Friday, April 18, 2014

Nilai emas bagi wanita Kelantan

KOTA BHARU 25 Ogos – Emas adalah barang paling akrab dengan golongan wanita kerana tanpa kilauan emas, penampilan mereka dirasakan seperti tidak sempurna.

Di Malaysia, wanita Kelantan antara golongan yang dikatakan pencinta barang kemas itu sehingga ada yang berjenaka ‘tangan dan leher wanita Kelantan sentiasa disaluti perhiasan emas.’

Maka tidak hairanlah didapati ramai wanita Kelantan termasuk peniaga sayur di Pasar Siti Khadijah, pergelangan tangan mereka sentiasa disaluti barangan kemas, menggambarkan betapa obsesnya golongan hawa di negeri Cik Siti Wan Kembang ini kepada emas.

Kenaikan mendadak harga emas di pasaran ketika ini juga dilihat tidak menjejaskan minat mereka terhadap barang kemas apabila tinjauan sekitar bandar ini baru-baru ini mendapati, hampir kesemua kedai emas menerima kunjungan ramai di kalangan wanita yang ingin ‘melaram’ atau kelihatan ‘cantik’ semasa Hari Raya Aidilfitri.

Andainya pada sambutan hari raya raya tahun lalu, mereka membeli rantai yang beratnya kira-kira ‘lima rial berat’, tahun ini mereka mungkin membeli ‘20 rial berat’ pula.

Emas Kelantan mempunyai panggilan tersendiri iaitu ‘ satu rial berat’ bersamaan dengan 2.72 gram dan harga pasaran RM445 atau RM163.60 satu gram (ketika laporan ini dibuat).

Antara barangan kemas yang menjadi pilihan sudah semestinya rantai atau gelang yang ditawarkan dalam pelbagai bentuk rekaan klasik dan kontemporari.

Corak itu sesuai dengan cita rasa pelanggan terutama di kalangan anak gadis.

Seorang peniaga emas dan permata, Jamal Hosen, 30, memberitahu, walaupun jualannya kali ini agak berkurangan berbanding tahun lalu, namun, masih ramai yang datang membeli di kedainya.

“Antara yang menjadi pilihan ialah rantai tangan dengan reka bentuk seperti KLCC, Benson, Dunhill, bunga dan sebagainya.

‘‘Saya mendapat tempahan barang kemas ini dari Pulau Pinang bagi memenuhi keperluan pelanggan,” katanya kepada Utusan Malaysia ditemui di sini, baru-baru ini.

Katanya, jualan barangan emas permata agak murah sedikit kerana mengggunakan kandungan emas yang lebih sedikit, tetapi ia menjadi kegemaran di kalangan peraih emas kerana laris dijual.

Sementara itu, pemilik bengkel emas, Mohd. Zahari Awang, 42, memberitahu, pasaran barang kemas tempatan terus berkembang di sebalik peningkatan harganya hampir setiap hari.

Katanya, ini berdasarkan tempahan membuat pelbagai barang kemas daripada hampir 20 buah kedai emas termasuk dari luar Kelantan menjelang musim perayaan ini.

Menurutnya, tempahan itu mengikut kehendak pelanggan dan kebiasaannya cincin dan subang dengan berat satu rial berat, manakala rantai jenis ‘pahat telur’ dengan berat sehingga 21 rial.

Mohd. Zahari yang mempunyai bakat semula jadi dalam mereka bentuk barang kemas memberitahu, kebiasaannya emas tempatan membabitkan berat lebih 100 rial adalah untuk dijadikan simpanan oleh pembeli.

Pekerja mahir dalam pembuatan gelang dan rantai tangan, Zulkifli Zakaria, 46, pula memberitahu, tempahan barang kemas dibuat mengikut waktu dipersetujui oleh pelanggan.

“Kebanyakan warga emas menggemari bentuk tradisi berbanding golongan muda memilih bentuk terbaharu termasuk tulisan perkataan jawi dan rumi,” katanya.

Bagi penggemar emas, pembelian barang kemas tidak dianggap suatu pembaziran sebaliknya pelaburan, kerana jika keadaan terdesak barang kemas tersebut boleh dijual balik terutama ketika harga emas meningkat.

Bagi Wan Aishah Wan Ahmad, 71, minatnya terhadap barang kemas bermula seawal usia remaja kerana keluarganya tergolong di kalangan peniaga emas yang menjalankan perniagaan emas dengan peniaga dari Thailand melalui sistem bata.

Bermula dari situ, katanya, dia mula berminat dengan barang kemas sehingga akhirnya berkecimpung dalam perniagaan tersebut pada usia 30-an di Mekah.

“Bila lihat emas cantik, saya beli selepas itu jual balik untuk beli tanah. Pelaburan seperti itu lebih baik. Kita tidak pakai emas sepanjang masa, hanya masa musim perayaan atau pergi kenduri-kendara,” katanya.

Seorang peniaga makanan ringan, Salma Yunus, 58, pula memberitahu, dia sudah berpuluh tahun sentiasa mengamalkan sikap berjimat-cermat semata-mata untuk membeli emas.

“Sampai satu masa, saya beli emas untuk disimpan dan kemudian dijual bagi dijadikan modal oleh anak-anak memulakan perniagaan,” katanya yang mempunyai 10 orang anak berusia berusia antara 19 dan 40 tahun.

Jelas Salma, membeli emas sebenarnya satu pelaburan jangka panjang terutama pada saat mengalami masalah kewangan.

“Dulu emas kita beli untuk melawa, tetapi sekarang sudah tua dan keadaan sekarang juga bahaya jika terlalu menonjol memakainya di tempat awam,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my Tahun 2011

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...