Saturday, November 9, 2013

Kesilapan dalam Perniagaan

1) Tiada kiraan dalam menentukan harga jualan



Kesilapan yang biasa dilakukan oleh peniaga adalah silap dalam membuat kiraan harga kos sebelum menentukan harga jualan sesuatu produk. Dalam menghasilkan sesuatu produk atau mendapatkan produk bagi jualan anda, pelbagai kos tersembunyi wujud tanpa anda sedari. Sebagai contoh, sekiranya saya membuat pembelian satu gold bar 10 gram berharga RM1,400, terdapat beberapa kos lain yang perlu saya ambil kira iaitu kos penghantaran ke cawangan terdekat, kos saya pergi ke cawangan untuk ambil gold bar, kos promosi jualan, kos jumpa pelanggan bagi jualan dan beberapa kos lain. Harga kos bagi gold bar tersebut bukan lagi RM 1,400 dan mungkin harga sebenar telah mencecah RM1,450. Jika dilihat jumlahnya kecil hanya RM50. Namun jika perkara tersebut berulang untuk puluhan kali sebulan, ianya boleh menyumbang kepada kerugian.

2) Tidak menyimpan maklumat pelanggan

Kebiasaannya peniaga kecil-kecilan selalunya tidak menyimpan maklumat pelanggan yang selalu berurusan dengan mereka. Mereka juga selalu lupa untuk menyimpan maklumat bakal pelanggan kerana beranggapan pelanggan akan menghubungi mereka semula. Situasi ini menyumbang kepada kehilangan pelanggan dan anda juga hilang peluang bagi membuat promosi. Dalam perniagaan, perkara yang susah untuk kita lakukan adalah mengekalkan pelanggan sedia ada. 

3) Tiada maklumat stok jualan dan akaun kira-kira jualan

Salah satu situasi yang selalu terjadi kepada peniaga adalah berlaku kerugian walau barangan jualan habis dijual. Ini berlaku kerana peniaga selalu lupa untuk membuat kiraan stok yang ada dan juga dijual. Peniaga juga kadang kala alpa dalam menyediakan akaun jualan. Mereka lebih seronok melihat jumlah wang yang banyak diterima. Namun jangan terkejut kerana kadang kala wang tersebut ternyata tidak menunjukkan jumlah sebenar patut anda raih. Kiraan stok juga perlu bagi memastikan tidak berlaku kehilangan stok jualan. Peniaga juga selalu lupa untuk menyimpan butiran seperti resit sehingga perbelanjaan yang dibuat tidak dikira.

4) Tidak urus perniagaan dengan betul

Selalu kita lihat sesuatu perniagaan diurus secara kelam kabut. Pemilik perniagaan dilihat melakukan semua kerja. Ini berlaku kerana budaya ingin jimatkan kos pengurusan dalam perniagaan. Namun kadang kala, pemilik perniagaan lupa bahawa budaya terlalu berjimat menyebabkan aktiviti yang perlu dilakukan seperti membuat penghantaran barangan, promosi tidak dibuat. Ini akan menyebabkan pelanggan kita hilang kepercayaan.

5) Tiada Promosi

Promosi merupakan suatu pemangkin kejayaan perniagaan namun anda tidak perlukan promoi jika produk yang anda jual adalah suatu produk dominan atau dianggap produk tunggal dalam pasaran. Contoh produk yang dianggap tunggal adalah seperti microsoft, walau tanpa sebarang promosi produk microsoft seperti perisian sistem windows tetap menjadi pilihan kerana ramai antara pelanggan yang ada beranggapan windows satu-satunya perisian sistem yang ada di pasaran. Selain itu, promosi juga boleh menarik dan mewujudkan sifat kesetiaan pelanggan anda.


6) Tidak mengurus modal dengan betul

Selain mengurus akaun kira-kira dengan cermat dan teratur. Mengurus modal juga merupakan satu perkara yang penting dalam menentukan jatuh bangun perniagaan anda. Kita selalu lihat ramai dikalangan peniaga melayu yang telah menyalahgunakan modal perniagaan bagi membeli kereta mewah, pergi melancong dan lain-lain perbelanjaan yang tidak menyumbang kepada pulangan. Sepatutnya sebagai seorang peniaga, kita tertip dalam menggunakan modal perniagaan dan harus diingat bahawa modal perniagaan hanya boleh digunakan untuk pusingan perniagaan sahaja. Jika ingin berjoli, anda hanya boleh gunakan hasil keuntungan sahaja.


7) Lokasi perniagaan tidak sesuai

Jika anda menjalankan perniagaan dengan membuka kedai. Lokasi perniagaan memainkan peranan penting. Tiada gunanya anda niagakan barangan dengan harga yang murah tetapi pelanggan tiada. Selain itu, lokasi perniagaan juga memainkan peranan apakah produk yang sesuai. Jika anda berniaga dipekan kecil dimana penduduknya adalah golongan sederhana, perniagaan restoran mewah bukanlah sesuatu yang menguntungkan. Anda mungkin menerima pelanggan, namun mungkin ianya hanya seorang dalam sehari.  


8) Tidak mempunyai ilmu perniagaan

Ramai dikalangan peniaga yang terjun ke dalam perniagaan tanpa dilengkapi ilmu yang cukup dan betul. Ini menyebabkan mereka terdedah kepada risiko kegagalan ekoran keputusan yang tidak tepat akan dibuat kerana kekurangan ilmu. Ramai dikalangan mereka yang mencuba beberapa kali sehingga berjaya. Namun jika dilengkapi ilmu terlebih sebelum berniaga dahulu dapat membantu anda mengurus perniagaan dengan sempurna. Tetapi harus diingat, orang yang ada ilmu perniagaan pun boleh lingkup dalam perniagaan.





Abdullah Bin Mohammad

PG037575
0102256453

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...