Monday, May 20, 2013

Renungan buat suami isteri atau yang akan dapat title tersebut


Buat para/bakal suami dan isteri/bakal isteri, renung2kan lah

Pernikahan atau perkahwinan menyingkap tabir rahsia?

Isteri yang kamu nikahi tidaklah semulia Khadijah, tidaklah setaqwa Aisyah, pun tidaklah setabah Fatimah. Justeru isterimu hanyalah wanita akhir zaman yang punya cita- cita menjadi solehah....
Pernikahan atau perkahwinan mengajar kita kewajiban bersama.

Isteri menjadi tanah kamu langit penaungnya.

Isteri ladang tanaman kamu pemagarnya.

Isteri kiasan ternakan kamu gembalanya.

Isteri adalah murid kamu mursyidnya.

Isteri bagaikan anak kecil kamu tempat bermanjanya.

Saat isteri menjadi madu kamu teguklah sepuasnya.

Seketika isteri menjadi racun kamulah penawar bisanya.

Seandainya isteri tulang yang bengkok berhatilah meluruskannya.

Pernikahan atau perkahwinan menginsafkan kita perlunya iman dan taqwa.

Untuk belajar meniti sabar dan redha Allah s.w.t. kerana memiliki isteri yang tak sehebat mana.
 


Justeru kamu akan tersentak dari alpa.

Kamu bukanlah Rasulullah s.a.w.

Pun bukanlah Sayyidina Ali Karamallahhuwajhah.

Cuma suami akhir zaman yang berusaha menjadi soleh... amin..!

Untuk isteri.... renungkanlah. ....

Pernikahan atau perkahwinan membuka tabir rahsia?

Suami yang menikahi kamu tidaklah semulia Muhammad saw.

Tidaklah setaqwa Ibrahim. Pun tidak setabah Ayyub

Atau pun segagah Musa ... apalagi setampan Yusuf.

Justeru suamimu hanyalah lelaki akhir zaman yang punya cita-cita membangunkan keturunan yang soleh..

Pernikahan atau perkahwinan mengajar kita kewajiban bersama

Suami menjadi pelindung kamu penghuninya.

Suami adalah nahkoda kapal kamu pengemudinya.

Suami bagaikan pelakon yang nakal kamu adalah penonton kenakalannya.

Saat suami menjadi raja kamu nikmati anggur singgahsananya.

Seketika suami menjadi bisa kamulah penawar ubatnya.

Seandainya suami bengis lagi lancang sabarlah memperingatkannya.

Pernikahan ataupun perkahwinan mengajarkan kita perlunya iman dan taqwa. Untuk belajar meniti sabar dan redha Allah s.w.t. kerana memiliki suami yang tak segagah mana.

Justeru kamu akan tersentak dari alpa.

Kamu bukanlah Khadijah yang begitu sempurna dalam menjaga.

Pun bukanlah Hajar yang begitu setia dalam sengsara .

Cuma wanita akhir zaman yang berusaha menjadi solehah... amin!

Justeru itu wahai para suami dan isteri,

Jangan menuntut terlalu tinggi seandainya diri sendiri jelas tidak berupaya.

Mengapa mendambakan isteri sehebat Khadijah andai diri tidak semuliaRasulullah? Mengapa mengharapkan suami setampan Yusof seandainya kasih tak setulus Zulaikha? Tidak perlu mencari isteri secantik Balqis andai diri tidak sehebat Sulaiman DAN Tidak perlu mencari suami seteguh Ibrahim andai diri tidak sekuat Hajar dan Sarah.

Tips menjadi pasangan yang baik


1 )Terima seadanya:
Jangan cuba untuk mengubah pasangan mengikut kemahuan anda. Ingat, pasangan yang anda kahwini atau cintai itu adalah pilihan anda sendiri. Jangan terlalu dambakan kesempurnaan. Terima segala kekurangan kerana tiada manusia yang sempurna. Cuba fikirkan kebaikan pasangan daripada terus memikirkan kekurangan dan keburukannya.

2) Berkomunikasi secara terbuka:
Jangan selalu membuat andaian mengenai perasaan pasangan anda. Adalah lebih baik mengajak pasangan untuk berbincang secara terbuka mengenai segala hal. Belajar untuk mengekspresi perasaan dengan cara terbaik supaya pasangan memahami anda ketika anda marah, terluka, tersinggung atau gembira. Ucaplah kata sayang sekerap yang mungkin walaupun kadangkala ia dianggap keterlaluan. Tetapi itulah yang mahu didengar oleh pasangan. Sikap mendiamkan diri adalah sesuatu yang patut dielakkan.

3) Aktiviti bersama:
Aktiviti bersama mampu merapatkan perhubungan. Carilah sesuatu yang boleh dilakukan bersama. Misalnya, menonton video di rumah atau menonton wayang seperti waktu bercinta dahulu. Anda perlu berhati-hati jika anda lebih gemar untuk bersama rakan-rakan melebihi pasangan anda. Ini kerana itu adalah petanda yang tidak baik.

4) Tunjukkan cinta anda:
Setelah berumah tangga, ramai yang kurang mengambil perhatian mengenai perihal hati pasangan. Ramai yang berkata 'sudah kahwin untuk apa romantik lagi'. Itu adalah tanggapan yang salah. Rasa cinta dan sayang tidak ada salahnya jika diluahkan dengan sejambak bunga buat isteri atau makan malam romantis untuk suami. Menunjukkan rasa cinta secara berterusan kepada pasangan adalah sesuatu yang mampu mengekalkan perhubungan pada tahap yang selesa.

5) Kawal perasaan:
Apabila marah atau ada hal yang mengganggu anda, cubalah bertenang dan bertanya kepada pasangan. Elakkan tuduhan melulu dan meninggikan suara kerana ia hanya akan membawa kepada pergaduhan. Pasangan akan menghargai jika anda bertenang dalam menghadapi sebarang situasi.

6. Jangan ungkit kisah lalu:
Berhentilah mengungkit masa lalu yang negatif. Tidak ada sesiapa mahu mengingati kesilapan yang mungkin merupakan kenangan pahit atau memalukan. Jangan jadikan kesilapan lalu pasangan sebagai senjata setiap kali berlaku pertengkaran.

7) Kurangkan rasa cemburu:
Setiap individu tidak boleh lari daripada pasangan cemburu. Namun, cemburu yang keterlaluan patut dielakkan kerana ia boleh mencetuskan pergaduhan dan rasa tidak selesa pada diri sendiri. Hubungan cinta harus dibina atas dasar percaya kepada pasangan.

8) Jaga komitmen antara satu sama lain:
Elakkan membuat janji yang tidak mampu dipenuhi. Jika berlaku, ia akan menyebabkan pasangan kurang menghormati kita. Menjaga kepercayaan merupakan komitmen dalam satu perhubungan yang sihat. Apabila pasangan merasakan anda mula mengabaikan komitmen, maka bersiap sedialah untuk kehilangannya.

9) Jujur:
Jujur adalah perkara yang paling penting dalam perhubungan. Jangan sesekali menipu pasangan kerana ia adalah antara punca utama sebuah perpisahan. Kejujuran yang dimaksudkan adalah kejujuran untuk mengungkap perasaan kita terhadap pasangan. Jika terluka, katakan bahawa anda terluka. Katakanlah dengan tenang tanpa perlu meninggikan suara.

10) Beri layanan terbaik sepanjang hidup:
Layanlah pasangan anda seperti sebelum berkahwin. Jika dahulu jalan berpimpinan tangan, pimpinlah tangan pasangan setelah berkahwin. Ramai pasangan cenderung untuk mengabaikan keakraban perhubungan selepas berkahwin kerana lebih tertumpu kepada keperluan keluarga atau anak-anak.

Lapan hadiah berharga untuk orang tersayang


  • Kehadiran
    Kehadiran orang yang dikasihi adalah hadiah yang tidak ternilai harganya. Memang kita boleh hadir dengan menghantar surat, e-mel, laman facebook, telefon, foto dan banyak lagi dengan teknologi canggih kini.

    Namun, dengan berada di samping mereka kita akan dapat berbagi perasaan, perhatian dan kasih sayang secara lebih utuh. Oleh itu, jadikan kehadiran anda sebagai pembawa kebahagiaan. 
  • Mendengar
    Sedikit orang yang mampu memberikan hadiah seperti ini, kerana kebanyakan kita lebih suka dirinya didengari berbanding dia mendengar. Keharmonian hubungan antara manusia amat ditentukan oleh kesediaan saling mendengar.

    Dengan mencurahkan perhatian pada segala ucapannya, secara tidak langsung kita juga menumbuhkan kesabaran dan kerendahan hati. Untuk mendengar dengan baik, pastikan anda dalam keadaan tenang supaya dapat memahami apa yang disampaikan.
  • Diam
    Dalam diam juga ada kekuatan. Diam boleh digunakan untuk menghukum, mengusir atau membingungkan orang. Tetapi lebih dari segala-galanya, dia boleh menunjukkan kecintaan kita pada seseorang kerana memberi ruang.
  • Kebebasan
    Mencintai seseorang bukan bererti memberi kita hak penuh untuk memiliki atau mengatur kehidupan orang disayangi. Bolehkah kita mengaku mencintai seseorang jika kita selalu mengekangnya? Memberi kebebasan adalah salah satu bukti cinta.

    Makna kebebasan bukanlah bebas berbuat sesuka hati tetapi memberinya kepercayaan penuh untuk bertanggungjawab atas segala hal yang diputuskan atau dilakukan.
  • Keindahan
    Siapa yang tidak bahagia, jika orang yang disayangi tiba-tiba tampil lebih kacak atau cantik? Tampil indah dan rupawan juga adalah hadiah. Bahkan tidak salah jika anda tampil cantik tiap hari begitu juga memastikan kediaman juga indah.
  • Tanggapan positif
    Sedar atau tidak, kita sering memberi penilaian negatif terhadap fikiran, sikap atau tindakan orang yang kita sayang. Kali ini cuba hadiahkan tanggapan positif, nyatakan dengan jelas dan tulus. Cuba ingat berapa kali dalam seminggu anda mengucapkan terima kasih terhadap apa yang dilakukannya demi anda. Ingat pula, pernahkah anda memujinya. Ucapan terima kasih, pujian dan permintaan maaf adalah hadiah cinta yang sering dilupakan.
  • Kesediaan mengalah
    Tidak semua masalah layak menjadi bahan pertengkaran, apalagi hingga menjadi perbalahan yang hebat. Semestinya anda pertimbangkan apakah ia perbalahan itu berbaloi dan apabila ini berlaku, mungkin ada baiknya anda mengalah.

    Kesalahannya mungkin terlewat tiba untuk temu janji dan itu adalah kali pertama, jadi perlukah pertengkaran dibiarkan berlanjutan. Kesediaan untuk mengalah boleh menghilangkan perasaan sakit hati dan menyedarkan kita bahawa manusia tidak sempurna.
  • Senyuman
    Kekuatan senyuman amat luar biasa lebih-lebih lagi senyuman diberi dengan tulus, boleh menghangatkan hubungan yang dingin dan menjadi semangat kepada yang berputus asa. Senyuman juga isyarat untuk membuka diri kepada dunia sekeliling kita. Senyum itu juga ibadah.

    Mari bersama menilai hadiah apakah yang sudah kita beri kepada yang tersayang dan mana yang belum. Jadikan pemberian hadiah sebagai pengikat kasih sayang yang memperkukuhkan ukhuwah.

    Pecahlah batu dipukul besi, berubah hanya dititis air, mana mungkin jiwa pendakwah dapat merubah sekeping hati melainkan ia bertakhtakan kasih. 
  • LinkWithin

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...