Monday, December 16, 2013

Tip mengelak diri dari ditipu skim pelaburan tidak sah

Korang ingat lagi post dua hari lepas mengenai cara kenal pasti pelaburan tidak sah yang aku petik dari web SIDC? Ok nie sambungan tip yang disediakan.

Untuk mengelakkan diri daripada tertipu, sentiasa ingat petua-petua perlindungan yang berikut:
Perlindungan #1:
Hindari sebarang pelaburan yang menjamin keuntungan tetap atau tinggi bagi satu pelaburan kecil. Berhati-hatilah terhadap syarikat yang menjanjikan keuntungan besar atau menunjukkan prestasi cemerlang dalam satu tempoh masa yang pendek. Misalannya, “Kami jamin anda akan memperoleh sekurang-kurangnya 20-30% sebulan, bagi setiap bulan daripada bermulanya pelaburan ini.” Anda mesti ingat bahawa setiap pelaburan melibatkan risiko dan anda tentu selalu dengar bahawa, “risiko tinggi, pulangan tinggi!” Ambil langkah berhati-hati, terutama jika pelaburan itu kononnya akan memberi pulangan tinggi dengan risiko yang rendah atau tiada risiko langsung.
Perlindungan #2:
Berhati-hati dengan pelan yang menumpukan kepada membayar anda untuk melatih orang lain dan bukannya membayar anda kerana menjual produk atau perkhidmatan. Perkataan yang menjadi kunci utama untuk mengingatkan anda supaya berhati-hati ialah “downline” atau “piramid”.
Perlindungan #3:
Jangan sekali-kali bersetuju menyertai apa-apa “peluang” dalam keadaan mendesak, umpamanya, “tempoh untuk anda menyertai skim ini amat terhad” atau “beli sekarang, jika tidak, anda akan menyesal”. Ingatlah, jika perniagaan itu sah, ia akan tetap wujud esok, minggu hadapan, bulan hadapan atau tahun hadapan.
Perlindungan #4:
Memang mustahil untuk anda memenangi sebarang hadiah atau wang yang banyak jika anda tidak masuk sebarang pertandingan atau beli loteri. Begitu juga, mustahil bagi sesuatu pertandingan yang sah di sisi undang-undang untuk meminta bayaran wang pendahuluan sebelum menyerahkan hadiah wang. Jika anda menerima panggilan yang mengatakan bahawa anda telah memenangi satu hadiah dan anda perlu mengirim sejumlah wang ke sebuah negara asing bagi membolehkan anda menuntut hadiah tersebut, letakkan telefon. Jangan buang masa dan tenaga untuk melayan panggilan begini.
 Perlindungan #5:
Anda perlu bersikap ragu-ragu mengenai sebarang panggilan telefon yang tidak dijangka mengenai pelaburan daripada jurujual atau syarikat luar pesisir yang anda tidak kenali. Jika pemanggil itu mengaku sebagai wakil peniaga syarikat broker saham atau penasihat pelaburan yang dilesenkan oleh pihak berkuasa di luar negara, minta nama pihak kawal selia asing berkaitan yang melesenkan syarikat itu dan layari tapak webnya yang biasanya mempunyai senarai mereka yang berdaftar dan dilesenkan. Anda mesti sentiasa memeriksa bukti kelayakan individu yang dilesenkan dengan pihak berkuasa berkenaan sebelum menyerahkan wang anda.
Perlindungan #6:
Pastikan anda memperoleh rekod prestasi syarikat tersebut. Juga, mintalah maklumat bertulis mengenai produk pelaburan dan perniagaan itu, serta risiko yang terbabit dalam pelaburan tersebut. Baca dengan teliti prospektus atau laporan tahunan syarikat itu sebelum membuat pelaburan.
Perlindungan #7:
Jangan berikan sebarang maklumat kewangan atau peribadi sebelum you memastikan kesahihan syarikat itu.
Perlindungan #8:
Jangan takut bertanya soalan. Malah, lebih banyak soalan yang anda tanyakan, lebih baik lagi. Minta penjelasan mengenai apa-apa perkara yang anda tidak benar-benar fahami. Walau bagaimanapun, jangan terima bulat-bulat semua maklumat yang diberikan. Siasat sendiri. Jika anda memerlukan bantuan untuk membuat penilaian terhadap pelaburan tersebut, pergilah kepada mereka yang boleh memberikan nasihat secara bebas dan profesional, contohnya wakil peniaga berlesen, penasihat pelaburan, peguam atau akauntan.
Perlindungan #9:
Sentiasa periksa tapak web pihak pengawal selia, contohnya, tapak web Suruhanjaya Sekuriti (www.sc.com.my), untuk mendapatkan maklumat mengenai amaran untuk pelabur, atau senarai syarikat-syarikat perantara berlesen.
Perlindungan #10:
Jika ragu-ragu, jangan melabur. Mengapa anda mesti meletakkan wang anda dalam risiko jika anda tidak mendapat maklumat sepenuhnya mengenai syarikat, jurujual/ejen, atau pelaburan tersebut? Ingatlah, jika sesuatu janji itu nampak macam mustahil boleh dilaksanakan, kemungkinan besar memang mustahil boleh berlaku!

Abdullah Bin Mohammad

PG037575
0102256453

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...