Wednesday, July 31, 2013

8 alasan salah untuk bernikah

1 – Menyenangkan orang lain

Ketika sedang dalam tempoh bercinta, orang tua kedua belah pihak sudah pun mengenali si dia dan menganggap anda sebahagian daripada keluarga. Ketika acara keluarga, si dia juga turut dijemput malah kalangan ahli keluarga anda tidak segan bertanya bila anda berdua akan disatukan.

Sebagai anak, memang kita wajib membahagiakan orang tua, tetapi keputusan untuk berkahwin itu terletak di tangan anda. Andalah yang tahu sama ada si dia itu serasi dengan anda atau sebaliknya. Orang tua mungkin senang dengan pilihan anda, tetapi anda sendiri bagaimana?

Jangan juga berkahwin kerana termakan dengan desakan dan asakkan orang sekeliling yang asyik bertanya. Pastikan diri anda dan juga pasangan bersedia kerana anda berdualah yang akan menjalani kehidupan berumahtangga nanti.

2 – Kerana wang atau harta

Bertemu dengan teman lelaki yang kaya dan tidak pernah berkira memang menjadi dambaan setiap wanita. Pasti senang bila di saat hujung bulan, ada yang menawarkan untuk belanja makan tengah hari atau ketika telefon rosak si dia menghadiahkan anda telefon canggih yang anda idamkan. Malah ketika anda kesempitan wang, dia ringan tangan menghulurkan RM untuk anda.

Anda mula berangan untuk berhenti daripada bekerja setelah berkahwin dengan si dia nanti, apatah lagi dia sudah pun melamar anda. Tetapi hati-hati dengan keputusan anda ini kerana tidak mustahil anda melakukannya kerana budi yang telah ditaburkan atau anda kabur mata dengan kedudukan kewangannya. Renungi dalam-dalam sebelum membuat keputusan benarkah anda betul menyayangi dan ikhlas menerima pasangan seadanya dan bukan kerana hartanya.

3 – Usia yang meningkat

Ketika ini ramai gadis yang membuat sasaran untuk berumahtangga pada usia 25 hingga 28 tahun untuk mendirikan rumahtangga. Ketika ini, diri dirasakan sudah matang dan mempunyai kerjaya. Namun hakikatnya, manusia ini hanya merancang tetapi Tuhan jua yang menentukannya. Ketika usia sudah mencecah 28 tahun, diri belum menemui teman lelaki.

Sebenarnya perkahwinan itu tidak perlu dihubung kait dengn umur seseorang. Akan tetapi, dalam masyarakat kita hari ini, wanita yang berusia 28 tahun dianggap selayaknya sudah berkahwin. Lebih daripada usia itu, ada yang sudah melabelkannya sebagai andartu.

Jika anda termasuk dalam golongan wanita ini, jangan sesekali berasa tertekan, terutama sekali sekiranya anda selesa dengan keadaan hidup anda saat ini. Tidak perlu juga memaksa diri bernikah dengan calon suami yang baru dua minggu anda kenal, hanya kerana bimbang usia yang semakin meningkat tetapi masih belum punya suami. Ingat! Memilih suami bukanlah seperti memilih ikan di pasar!

4 – Takut sendirian

Anda ebrusaha mencari bakal suami hingga mengetepikan latar belakangnya kerana tidak mahu memikirkan hakikat anda akan hidup sendirian sehingga usia tua. Tindakan ini tidak mustahil akan membuatkan diri anda sendiri yang merana. Bagaimana kalau lelaki yang baru anda kenali itu hanya sekadar pura-pura baik? Tidak mustahil anda tetap ditinggalkan sendirian selepas berkahwin keran lelaki yang diambil menjadi suami itu rupanya tidak ikhlas menikahi anda.

5 – Bebas dari kongkongan orang tua

Kebelakangan ini anda selalu saja dileteri kerana kerap pulang malam. Walhal anda sibuk dengan kerja di pejabat dan bukan keluar bersama teman lelaki atau tunang, seperti yang mereka anggap. Bosan mendengar leteran mereka, anda memutuskan untuk berkahwin agar lebih bebas ke mana-mana.

Jangan begitu! Memang wajar orang tua berasa risau dengan keselamatan anak gadis mereka yang keluar bersama lelaki. Tapi berkahwin untuk merawa bebas bukan jalan keluar daripada masalah anda ini. Fikirkan dengan matang akan keputusan ini.

6 – Mahu mewarisi harta

Anda mempunyai teman istimewa yang kaya kerana orang tuanya yang berada. Anda berdua pula memang suka sama suka lalu tanpa berfikri panjang, anda terus menerimanya dengan harapan akan dapat menumpang senang. Anda juga berhasrat untuk mewarisi harta suami yang banyak itu tanpa memikirkan bahawa bakal suami anda sebenarnya mempunyai ramai adik-beradik yang harus dibahagikan harta kedua ibu bapa mereka. Apa pun alasan untuk brekahwin sebsgini salah dan ia juga bermakna anda berkahwin kerana harta dan bukan sepeuhnya atas dasar keikhlasan serta cinta.

7 – Bersaing dengan teman

Bulan lepas rakan baik anda melangkah ke jinjang pelamin, bulan sebelum itu, sepupu menamatkan zaman bujangnya. Baru-baru ini anda menerima satu lagi undangan perkahwinan daripada rakan sepejabat. Anda pula sudah empat tahun bercinta tetapi belum ada lagi ura-ura untuk berkahwin.

Lantaran itu, anda sendiri sanggup menebalkan muka mengutarakan persoalan kahwin kepada teman lelaki anda. Jangan mlatah bila melihat teman-teman lain sudah laku sementara anda belum lagi. Jodoh anda belum tiba jadi jangan memaksa kerana setiap yang berlaku itu ada hikmahnya. Mungkin anda sebenarnya belum bersedia atau ada lelaki yang lebih baik menunggu anda di luar sana. Siapa tahu?

8 – Terlalu banyak rahsia diketahui

Akibat terlalu akrab dengan teman lelaki, maka semua rahsia sudah anda ceritakan kepadanya, termasuklah perkara yang negatif. Rahsia keluarga juga sudah diluahkan kepada teman lelaki anda ini.

Satu ketika dia berhajat untuk memperisterikan anda, sedangkan pada ketika itu bibit-bibit cinta kepadaya anda rasakan sudah semakin luntur. Tapi kerana takut teman lelaki membuka rahsia jika anda menolak lamarannya, maka anda sanggup menerimanya. Pastinya yang akan makan hati dan menyesal selepas ini adalah diri anda sendiri.

Renung-renungkan alasan-alasan ini dan jangan sampai anda tersilap langkah.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...