Friday, December 7, 2012

Mengatasi Perasaan Gemuruh


Pernahkah anda merasa berdebar atau darah gemuruh ketika ingin tampil ke khalayak atau menghadiri temu duga atau ingin menempuh sesuatu seperti ingin berucap, menanyakan soalan dalam sesuatu majlis dan sebagainya?
Kerisauan melampau mampu mengundang ketidakstabilan sistem peredaran darah menyebabkan seseorang itu  mudah mengalami masalah darah gemuruh. Darah gemuruh boleh berlaku terhadap semua peringkat umur dan sering terjadi kepada seseorang yang tidak dapat menahan ketakutan atau keinginan untuk melakukan sesuatu.
Kebiasaannya, darah gemuruh boleh dirasakan dengan debaran yang kuat di bahagian jantung. Darah gemuruh adalah perasaan yang tidak dapat dikawal oleh minda dan ada juga berpeluh-peluh menahan debaran gemuruh di dada.
Perkara ini berlaku kerana kesan dari fisiologi badan yang bertindak secara automatik sebagai tujuan keselamatan mandiri. Kesannya adalah seperti berikut:-
1. Kenaikan kadar glukosa dalam darah
2. Kenaikan kadar kortikostroid dan katekolamina dalam darah dan air kencing
3. Kenaikan kadar denyutan jantung
4. Kenaikan tekanan darah
5. Kekeringan pada bibir dan mulut
6. Pelebaran pupil
7. Kesukaran bernafas dan nafas turun naik dengan cepat.
8. Serangan sejuk dan panas
9. Rasa kaku dan kebas pada anggota badan
10. Peluh sejuk keluar daripada rongga kulit
Sekiranya tidak dikawal atau dibendung ia boleh menyebabkan pelbagai risiko seperti:
  • Sawan
  • Tekanan darah tinggi
  • Murung

Bagaimana Rasa Gementar ini Boleh Berlaku?
Sistem neurovegetatif atau dikenali juga sebagai sistem autonomi bertindak tanpa dikenalikan oleh kehendak atau kemahuan sendiri. Ia bertindak secara automatik tanpa ada kuasa kawalan daripada kita sendiri yang kemudiannya memberi kesan terhadap sistem penghadaman, suhu tubuh badan, pernafasan, pengaliran darah, tekanan darah, dan beberapa rembesan(peluh, hormon). Sistem ini diransang selari dengan pengendalian situasi kecemasan apabila berdepan dengan sesuatu yang kita rasakan sebagai suatu masalah.
Seseorang yang terlalu membiarkan perasaan gemuruh juga akan menyebabkan pertuturan dan pergerakan kelihatan kaku serta gementar sekaligus perasaan gemuruh jejaskan penampilan diri seseorang.
Bahkan, kebanyakan orang yang mengalami perasaan gemuruh, sering mengalihkan perhatian agar tidak mengganggu fikiran. Mereka berpendapat, dengan cara ini dapat mengurangi perasaan gemuruh. Bagaimanapun, hal sedemikian tidak mampu melenyapkan terus perasaan gemuruh.
Oleh itu, jika tidak ditangani dengan baik berkemungkinan ia mampu menjadikan seseorang itu sentiasa bersikap rendah diri, berfikiran negatif, mengalami tekanan perasaan hingga membawa masalah emosi tidak stabil seperti kemurungan, kesedihan dan panas baran.
Persedian dalam sebarang kemungkinan perlu ada dalam mengawal keadaan setiap yang dilakukan agar apa pun terjadi dapat diterima dengan tenang dan redha. Sekurang-kurangnya dengan cara begini dapat menghilangkan rasa gemuruh walaupun ia sukar dilakukan. Dengan persoalan yang tiada jawapanlah yang banyak mendatangkan kegemuruhan kerana tiada daya untuk mengawal emosi. Justeru itu, kita haruslah berlapang dada dan menerima sebarang risiko dalam sesuatu kehidupan.
Perasaan gemuruh yang ada dalam diri boleh digunakan sebaik mungkin dengan cara ia tidak dibiarkan menguasai diri kerana jika tiada kawalan, ia mampu melemahkan seseorang itu serta merosakkan penampilannya ketika berhadapan orang ramai. Kebiasaannya, perasaan gemuruh lebih mudah menyerang seseorang apabila dia sedang berhadapan dengan sesuatu yang sangat diingininya. Walaupun perasaan berkenaan adalah sesuatu yang normal dan mempunyai fungsi tersendiri dalam kehidupan manusia tetapi ia harus bijak ditangani supaya tidak mendatangkan masalah kepada diri sendiri.
Ada beberapa petanda yang menunjukkan seseorang itu menjadi mangsa kepada perasaan gemuruh sendiri apabila ia gagal mengawalnya dengan baik. Antaranya adalah apabila seseorang itu membuat keputusan rasa gemuruh serta ketakutannya tidak diterima orang lain, sebagai satu masalah hingga membuatkannya gagal berhadapan dengan isu sebenar selain menyekat nya untuk memajukan diri.
Petunjuk lain yang memberi tanda seseorang itu dikuasai perasaan gemuruh adalah terlalu risau, sering memikirkan, merendahkan dan mengkritik diri sendiri apabila rasa gemuruh menguasai diri. Selain itu, tanda lain yang menunjukkan seseorang itu terlalu dikuasai perasaan gemuruh adalah sering melawan atau cuba mengawalnya di hadapan orang hingga kadang-kala menyebabkan ia terlupa apa yang perlu diucapkan serta hilang keyakinan diri sehingga tidak sabar pulang ke rumah.
Seseorang yang terlalu membiarkan perasaan gemuruh dalam dirinya juga akan menyebabkan otot badannya kejang dan bernafas pendek kerana mahu mengawal rasa gemuruh dalam perasaannya, hingga ia mampu menyebabkan percakapan, pergerakan atau penampilan kelihatan kaku serta kurang sopan. Sering kali juga seseorang yang terlalu gemuruh akan menipu diri sendiri dengan cuba mengalihkan perhatiannya kepada perkara lain supaya ia tidak terlalu mengganggunya tetapi helah itu tidak akan berkesan selamanya. Jika terus membiarkan diri sentiasa berasa gemuruh, dibimbangi ia mampu bertukar menjadi tenaga negatif yang boleh menyebabkan seseorang itu mengalami tekanan hingga membawa masalah emosi tidak stabil seperti kemurungan, kerisauan melampau dan panas baran.
Tidak kurang juga mereka yang mempunyai masalah gemuruh bersikap seperti bukan diri sendiri sebenar kerana mahu memuaskan hati orang lain selain terlalu mengikut kata-kata orang lain. Perasaan gemuruh bukan sesuatu yang asing kerana hampir setiap orang mengalaminya. Contohnya ketika seseorang itu mahu berkenalan dengan orang yang menarik perhatiannya. Apabila seseorang itu terlalu berfikir mengenai bagaimana ingin berhadapan dengan perkara yang diingininya, keadaan itu akan menyebabkan perasaan gemuruh menjadi berganda berikutan perasaan berdebar-debar.
Ada banyak cara boleh digunakan bagi mengatasi masalah gemuruh antaranya dengan mempunyai pemikiran positif dan tidak memandang rendah keupayaan diri. Selain itu, seseorang itu dinasihatkan tidak menunjukkan perasaan gemuruh melalui perlakuannya kerana keadaan itu akan menyebabkan ia menjadi lebih gemuruh dan apabila bercakap dengan seseorang, sentiasa melihat kepada matanya. Jika tidak mahu perasaan gemuruh menguasai diri, cuba tidak bertanya soalan yang membosankan atau bercakap topik tidak menarik pada orang lain dan paling penting bagi mengatasi masalah gemuruh adalah keyakinan yang tinggi terhadap diri sendiri.
Antara tips mengatasi perasaan gemuruh ini ialah:
1. Pernafasan- lakukan pernafasan sehingga 30 kali iaitu pastikan nafas yang disedut hingga ke pusat dan tahan selama 7 saat dan hembuskan kembali. Bagi memastikan nafas disedut dalam2, maka cuba gunakan tangan kanan pegang dibahagian dada dan tangan kiri di bahagian pusat. jika kedua2 tangan terasa bergerak ,maka anda telah berjaya melakukannya
2. Persediaan dan latihan amat diperlukan. Jika anda takut untuk berucap atau temu duga persediaan apa sahaja isi atau bahan berkenaan perlu dibuat. Selepas itu anda boleh berlatih seorang di hadapan cermin. Pastikan anda tersenyum apabila berhadapan dengan penemu duga ataupun khalayak. Jangan terlalu memikirkan mereka hanya memberikan tumpuan pada anda dan mewujudkan sangkaan  negatif pada diri anda. Sebenarnya mereka lebih berminat supaya anda dapat sampaikan secara yang baik ikut kemampuan anda. Berapa banyak masa yang kita perlu gunakan untuk bersedia? Peraturan yang satuialah gunakan seberapa masa yang diberi. Jika anda diberi masa 2 bulan, jangan tunggu sehingga minggu terakhir. Jika anda diberi semalaman, sama juga, lakukan lah yang terbaik!
3.Rasa gemuruh makin dilawan makin menjadi kesannya. Jadi anda perlu terima dalam keadaan tenang kerana ini cara badan anda untuk respon supaya anda dapat buat yang terbaik . Anggapkan rasa gemuruh sebagai ‘kawan’ dan bukanya lawan anda. Dengan cara ini anda akan dapat mengawal perasaan tersebut dengan lebih mudah lagi.
4. Sematkan kata-kata positf dalam diri anda bahawa anda yakin anda pasti boleh melakukan. Lakukan berulang-ulang dengan penuh emosi dan percaya diri.
5.Hubungan mata sangat memainkan peranan penting dalam mempengaruhi tingkat keyakinan anda . Elakkan dari bercakap dengan keadaan yang menunduk dan juga tiada hubungan mata.
6. Amik wuduk dan berselawat
Air dapat menyejukkan perasaan. Insya’Allah kalau kita niat dalam hati perkara yang baik mesti kita dibantu olehNYA.cBanyakkan berselawat, beristigfar sebanyak mungkin. Niat supaya jangan gemuruh semasa melakukan perkara-perkara yang mendatangkan perasaan gemuruh.
7. Motivasikan diri sendiri
Belajar mendisplinkan diri, motivasikan diri, yakinkan diri sendiri dalam melakukan sesuatu perkara. Belajar jadi orang yang berfikiran positif. Jangan tengok kelemahan diri malah tengok kelebihan diri sendiri.
8.Gambaran minda yang berulang-ulang perlu dilakukan supaya anda menyampaikan mesej kepada minda bawah sedar anda. Bayangkan anda dapat melakukan perkara yang anda takuti dengan jayanya. Anda dapat laksanakan secara hebat dan orang lain berasa kagum pada anda. Kesannya apabila anda melakukan pada masa sebenar, kesan secara otomatis akan berlaku tanpa anda sedar.
9.Teknik doa adalah paling berkesan seperti doa nabi Musa
Doa Nabi Musa AS
قَالَ رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِنْ لِسَانِي يَفْقَهُوا قَوْلِي
Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku; Dan mudahkanlah bagiku, tugasku; Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku, supaya mereka faham perkataanku;
(Surah Taha : 25 -27 )
10.Katakan pada diri anda bahawa apa sahaja yang anda buat walaupun apa sahaja kesilapan anda sedia untuk menanggungnya atau reda terimanya. Cara ini menjadikan minda anda tidak tertekan dan rasa santai yang menyebabkan anda boleh melakukan dengan lebih baik dan lebih baik lagi.
11. Cuba hipnosis. Hipnosis ialah keadaan separa sedar yang membuatkan seseorang tenang (fizikal dan mental) hingga membolehkan dia membuat perubahan kelakuan seperti dikehendakinya. Kaedah hipnosis telah diiktiraf sebagai sebahagian rawatan alternatif untuk membantu pesakit menyelesaikan masalah pada diri mereka sendiri. Kaedah ini bukan bertujuan mengambil alih rawatan moden, sebaliknya melengkapkan kaedah rawatan sedia ada bagi kebaikan pesakit. Ia sebagai rawatan alternatif asalkan mereka yakin dan percaya dengan cara yang dipilih. Yang paling penting kaedah hipnoterapi tidak menggunakan sebarang ubatan dan tiada kesan sampingan. Kesan hipnoterapi ini juga berbeza antara individu. Ada yang memerlukan hanya lima jam untuk menampakkan keberkesanan, bergantung kepada tahap ketenangan masing-masing. Hipnosis juga boleh dilakukan sendiri dengan berbaring di katil dan rehatkan semua otot serta lapangkan fikiran. Kaedah hipnosis sendiri ini jika diamalkan selama 21 hari boleh membantu memupuk sifat positif, keyakinan dan keupayaan diri. Apabila mahir, ia boleh dilakukan di mana saja, termasuk ketika menunggu kenderaan awam supaya anda sentiasa tenang.

Sumber http://www.usahawan.com

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...