Saturday, August 27, 2011

Tidak jadi sami selepas terima hidayah Ilahi

ARKIB : 05/01/2006
http://www.utusan.com.my


Oleh: ZUARIDA MOHYIN



AGAMA Islam bagi Chang Khai Huat bukanlah sesuatu yang asing serta memberi gambaran menakutkan kerana sejak darjah dua, dia sering menjadikan masjid sebagai destinasi pertama sebelum pulang ke rumah.

Kebiasaannya Khai Huat dan teman-teman sekolahnya akan melepaskan lelah atau paling tidak pun melelapkan mata barang sejam dua di masjid. Kekerapan ini sekali gus membuatkan dia dikira sebahagian daripada pengunjung masjid biarpun mereka berbeza agama dan bangsa.

“Pergaulan yang agak lama dengan masyarakat Melayu di kampung menyebabkan saya tidak rasa tersisih apabila berada dalam lingkungan mereka.

“Malah saya mula tertarik dengan cara hidup orang Islam ketika itu yang begitu kaya dengan sifat mesra dan mempunyai hubungan kekeluargaan yang rapat.

“Sewaktu berada dalam darjah enam, saya mengambil keputusan untuk tinggal dalam kelas agama walaupun pelajar yang bukan beragama Islam diberi pilihan untuk berada di perpustakaan,” cerita Khai Huat yang kini menggunakan nama Islamnya, Abdul Hadi Chang Abdullah, 32, sewaktu berkunjung ke pejabat Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurut guru agama di Madrasah Baqiyathus Salihath, Kampung Tasek Permai, Ampang, Selangor ini, sepanjang berada dalam kelas agama tersebut, tiada sekelumit rasa bosan terdetik dalam hatinya.

Mendengarkan kisah para sahabat dan kegemilangan Islam suatu masa dahulu, Abdul Hadi begitu mengagumi kejayaan umat Islam. Sehinggakan keputusan mata pelajaran agamanya mengatasi kertas-kertas peperiksaan lain.
“Saya masih ingat satu peristiwa semasa berada di tingkatan satu Sekolah Menengah Rendah Beris Panchor ketika saya mengikut teman-teman mendengar satu ceramah agama.

“Bermula dari situ minat saya kepada Islam semakin mendalam. Pun begitu, semasa berada di tingkatan empat Sekolah Menengah Kedai Lalat, Bachok, rahsia saya belajar agama Islam diketahui mak cik.

“Saya telah ditukarkan ke sekolah aliran Cina dengan harapan saya tidak lagi dipengaruhi teman-teman yang beragama Islam,” kata Abdul Hadi yang memeluk Islam pada September 1994 sebelum mendaftar secara sah di Majlis Agama Islam Lundang, Kota Bharu, Kelantan tiga bulan kemudian.

Menurut pemuda yang dilahirkan di Kampung Tawang, Bachok, Kelantan ini, biar apa juga tindakan keluarga, dia tetap dapat meneruskan pergaulan dengan masyarakat Melayu yang berada di sekolah tersebut.

Namun, usaha itu tidak bertahan lama. Setahun berada di sekolah itu, minatnya beralih kepada agama Buddha kesan daripada kekerapan mengunjungi kuil.

Melihat kepada perubahan sikapnya itu, ibu kandung Abdul Hadi telah mencadangkan agar beliau menjadi sami. Kos menjadi sami yang melebihi RM2,000 menyebabkan hasrat tersebut terpaksa dipendamkan oleh Abdul Hadi sekeluarga kerana kekangan kewangan yang dialami.

Meneruskan ceritanya, kata Abdul Hadi, pada 1993 beliau bekerja di sebuah pusat membeli-belah di Kota Bharu sebelum menyambung pelajaran ke tingkatan enam pada awal 1994.

“Pada masa itu saya kembali mengingati Islam selepas mengikuti satu forum Islam yang diadakan berhampiran tempat belajar.

“Salah seorang ahli panel jemputannya ialah seorang saudara baru iaitu saudara Omar Lim Abdullah, Ustaz Farid Ravi dan seorang pegawai agama di daerah Kota Bharu. Mereka membahaskan tentang perbandingan agama.

“Pada masa yang sama saya mempunyai seorang teman baik bernama Khairul Anwar Yaakub. Dia pernah bertanya saya bila saya mahu memeluk Islam. Saya sekadar mendiamkan diri sedangkan ada terselit keinginan dalam hati saya untuk bergelar muslim,” kata Abdul Hadi. Selepas pertemuan dengan ahli panel forum tersebut barulah dia sedar bahawa Islam bukan milik orang Melayu sebagaimana yang difahami selama ini.

Beliau kemudian mengambil keputusan bertemu dengan Omar Lim untuk bertanyakan pelbagai kemusykilan yang bermain dalam fikiran.

Mengenai cita-citanya untuk menjadi sami, kata Abdul Hadi, semuanya tinggal angan-angan kerana banyak yang tidak berapa jelas tentang agama tersebut. Pun begitu beliau tidak menafikan bahawa agama yang pernah menjadi pilihannya itu banyak mendidik penganutnya bagaimana menjadi insan yang baik.

Akhirnya, suatu hari selepas selesai menunaikan solat Maghrib secara berjemaah, Abdul Hadi melafazkan syahadah dengan ditemani oleh Khairul Anwar.

Apabila bergelar muslim, satu perkara yang masih menghantui fikiran Abdul Hadi ialah apakah cara terbaik untuk memberitahu berita pengislamannya. Yang pasti keluarganya akan menentang habis-habisan.

Pertama, mereka menganggap masuk Islam bermakna menjadi orang Melayu. Apatah lagi imej orang Melayu tidaklah berapa ‘baik’ pada pandangan mereka. Abdul Hadi tidak salahkan mereka kerana mereka tidak faham.

Percubaan Abdul Hadi untuk merahsiakan pengislaman menempuh pelbagai cabaran dan halangan. Dugaan yang paling hebat ialah apabila keluarganya menghidangkan sajian yang haram dimakan oleh orang Islam kepadanya.
“Mereka tahu saya suka makan ‘benda’ itu, jadi mereka uji dengan cara tersebut. Fikiran saya buntu dan apa yang datang dalam fikiran ialah saya buat alasan belum terasa lapar lagi. Kali itu saya terselamat.

“Tetapi akhirnya semuanya terbongkar apabila mereka ternampak saya bersembahyang. Bila ditanya bertalu-talu saya mengaku saya Islam kerana bimbangkan keselamatan diri,” terang anak kelima daripada enam adik-beradik ini.
Abdul Hadi kemudian memberitahu bahawa dia telah dibawa ke Thailand untuk dipulihkan oleh sami besar di sana. Pelbagai upacara beliau lalui seperti mandi air jampi dan banyak lagi tetapi semuanya tidak berhasil mengubah pendiriannya.

Abdul Hadi pernah ditanya sami mengapa beliau memeluk agama Islam. Katanya, konsep Tuhan Satu itulah yang menarik dirinya kepada Islam.

“Saya jadi ‘panas’ tinggal di situ sebab tidak boleh melaksanakan sembahyang, jadi saya minta kebenaran kepada sami di situ untuk keluar menghilangkan tekanan menggunakan basikalnya.

“Mereka membenarkan. Tanpa banyak soal saya terus mengayuh basikal dan tiba di jalan besar, tiba-tiba saya teringatkan Ustaz Taufik Tee yang bertugas di Jabatan Agama Islam Kelantan.

“Berbekalkan wang saku RM2 saya tinggalkan basikal di tepi jalan dan menaiki teksi ke Kota Bharu yang terletak kira-kira 20 kilometer. Saya dihantar ke Institut Dakwah Islamiah Perkim (IDIP), Pengkalan Chepa,” cerita pemegang Sijil 4 Thanawi dari IDIP ini yang menghubungi keluarganya sebulan kemudian.

Meskipun beliau gembira bergelar muslim tetapi jauh di sudut hatinya timbul rasa sedih kerana terpaksa meninggalkan keluarga. Malah Abdul Hadi cuba menerangkan kepada mereka kebenaran Islam tetapi buat masa ini keluarganya masih belum dapat menerima.

“Saya amat berharap agar ibu dan adik-beradik yang lain memahaminya. Saya sentiasa berdoa agar mereka juga menerima hidayah Ilahi seperti saya.

“Saya bersyukur kerana dalam banyak-banyak manusia di muka bumi ini, hati saya telah disentuh dan menerima hidayah Allah s.w.t.. Walau bagaimanapun, saya tidak pernah melupakan keluarga terdekat biar apa sekali pun tanggapan dan pandangan mereka terhadap saya,” kata Abdul Hadi yang turut memiliki Sijil Tinggi Aliyyah Islam dari Pusat Pengajian al-Quran dan Sunah, Darul Kausar, Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan.

Ditanya tentang kariernya sebagai pendidik sejak 2002, Abdul Hadi menjelaskan, ia bukanlah satu kerjaya yang mudah kerana peranan dan amanah yang terpikul di bahu perlu dilaksanakan sebaik mungkin.

Beliau turut berterima kasih kepada ibu bapa dan tenaga pengajar lain di madrasah tersebut kerana sokongan mereka yang tidak pernah kurang.

Abdul Hadi aktif dalam Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) dengan menjadi pengajar di pertubuhan itu.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...