Friday, August 26, 2011

Surah Luqman dorong Muhammad Fahmee Tan peluk Islam

ARKIB : 20/04/2006
http://www.utusan.com.my



MANUSIA merancang tetapi Allah jugalah yang menentukannya. Begitulah gambaran kerdilnya makhluk bernama manusia itu waima setinggi mana pangkat, kedudukan atau sehebat mana kekayaan mereka di muka bumi ini.
Hakikatnya, manusia dan makhluk lain yang diwujudkan di atas alam semesta ini bertujuan untuk menyembah Allah s.w.t.. Ini diperjelaskan dalam ayat Quran yang bermaksud: Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku. (Adz-Dzaariyat: 56)

Kecantikan Islam itu amat luas dan pelbagai rahmatnya. Hinggakan segala musibah yang berlaku itu ada kebaikan yang hanya Allah Maha Mengetahui. Sebagai hamba-Nya yang taat, sewajarnya dalam situasi apa sekalipun kita mestilah yakin sepenuh hati di samping sentiasa bersabar dan tidak lekang memohon doa.

Paksi inilah yang menjadi kekuatan kepada anak muda kelahiran Taiping, Perak, Tan Eng Wah atau nama Islamnya Muhammad Fahmee Tan Abdullah, 30, yang membulatkan tekad memilih agama Islam menjadi agama pegangan hidupnya hingga ke akhir hayat.

Apatah lagi keyakinan dan keberanian tersebut diperoleh menerusi ayat al-Quran yang bermaksud: Dan jika kedua-duanya memaksamu untuk menyekutukan dengan Aku sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti kedua-duanya, dan pergaulilah kedua-duanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku kemudian hanya kepada-Kulah kembalimu, maka Ku-beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan. (Luqman: 15)

“Hati mana yang tidak sedih apabila keputusan besar yang dibuat itu tidak begitu dipersetujui oleh kedua-dua ibu bapa. Pun begitu, biar apa pun tanggapan orang, syahadah saya adalah dengan kerelaan serta kepercayaan kepada Allah semata-mata. Islam adalah agama yang sesuai dengan fitrah manusia dan ia mencakupi semua bidang.

“Sekali lagi saya mengetahui mereka kecewa terutamanya emak tetapi ayat 15 dalam surah Luqman di atas menjelaskan bahawa apa yang saya lakukan itu dikira tidak melampaui dan tidak bermaksud derhaka kepada mereka.

“Malah sebelum dan selepas pengislaman, saya sentiasa menjaga hati mereka dan memainkan peranan seorang anak kepada ibu bapa sebagaimana disarankan Islam. Oleh kerana itulah saya sentiasa bersikap mendiamkan diri kerana bimbang apa yang dituturkan itu mengguris perasaan mereka,” luah penyelia tapak projek ini yang mengucap dua kalimat syahadah pada September 2003 iaitu dua hari sebelum umat Islam menyambut Ramadan.

Bangku sekolah
Menurut anak tunggal ini lagi, agama Islam bukanlah terlalu asing kepadanya. Ini kerana sejak di bangku sekolah rendah hingga menengah, pergaulan dengan teman-teman Melayu sedikit sebanyak telah memberi pendedahan kepadanya.

Namun, akui Muhammad Fahmee, pertukaran kerja dari Kuala Lumpur ke Terengganu pada awal 2002 apabila majikannya mendapat projek menyiapkan sekolah mempunyai hikmah di sebaliknya.

“Sewaktu di Terengganu inilah saya berkenalan dengan isteri dan menjadikan ibu bapanya sebagai keluarga angkat. Emak mentua saya pada masa itu adalah pengusaha kantin di sekolah itu. Jadi secara tidak langsung hubungan antara kami menjadi akrab.

“Salah satu sebab yang menjadikan saya berminat atau tertarik dengan Islam adalah dalam hal berkaitan aurat wanita. Bagi saya Islam itu agama yang cukup cantik dan amat mengambil berat soal maruah wanita,” katanya yang memilih Nor Fadellah Mustapa, 26, sebagai pasangan hidupnya.

Mereka diijabkabulkan pada Ogos 2005. Majlis resepsi pengantin lelaki diraikan beberapa minggu kemudian di Taiping dengan dihadiri kedua-dua belah keluarga rapat.

Muhammad Fahmee yang sedang mengikuti Diploma Kejuruteraan Awam secara sambilan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Jalan Semarak, Kuala Lumpur sentiasa tidak melupakan kepentingan mencari ilmu agama.
Beliau akui jadual hariannya agak sibuk dengan kerjaya hakiki dan pelajaran namun peluang menimba ilmu di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) tidak pernah dilepaskan terutama bila ada kelapangan.

Pesanannya kepada mereka yang masih berjinak-jinak dengan Islam ataupun telah bergelar muslim, aspek kesabaran dan minat mencari ilmu itu perlu ada agar segala cabaran dapat ditangani secara bijaksana.

“Sebelum memperkayakan diri dengan ilmu agama, saya tidak berani langsung untuk memberi pandangan atau menerangkan sesuatu hal secara terang-terangan. Manalah tahu kata-kata yang keluar itu salah dan menyinggung segelintir pihak.

“Lantaran itu saya lebih mengambil sikap berdiam diri. Biarlah kita jadi seperti pepatah Melayu, diam-diam ubi berisi. Kini alhamdulillah, semua ahli keluarga telah menerima saya biarpun berbeza agama,” kata Muhammad Fahmee.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...