Tuesday, August 23, 2011

Muhammad Danial - Jangan Melayukan atau Arabkan Islam

ARKIB : 13/08/2004
http://www.utusan.com.my


Oleh ZUARIDA MOHYIN

PERUMPAMAAN `Tak kenal maka tak cinta', kalaupun tidak sepenuhnya tepat namun ada juga kesesuaiannya apabila menyentuh kisah perjalanan Ketua Bahagian Kebajikan, Perkim Cawangan Pergerakan Belia, Wilayah Persekutuan, Muhammad Danial Au Yang Leong Hock, 36, terhadap Islam.

Pemuda kelahiran Pulau Mutiara ini mengakui, sebelum menerima hidayah daripada Allah s.w.t., pandangannya tentang Islam benar-benar negatif.

``Saya ingatkan Islam itu pentingkan satu bangsa sahaja iaitu bangsa Melayu. Kalau masuk Islam tu tandanya dah jadi orang Melayu.

``Selain itu, saya juga lihat amalan mereka (orang Islam) terlalu ketat seperti terpaksa berlapar daripada makan dan minum kerana berpuasa, sembahyang lima kali sehari dan rapuhnya ikatan perkahwinan kesan daripada amalan poligami.

``Tidak memahami ibadah-ibadah ini menyebabkan timbul perasaan anti Islam dan merasakan Islam itu menjadikan seseorang terkongkong.

``Tambah pula, apabila mendengar laungan azan berkumandang, hati serta merta boleh bertukar menjadi marah,'' imbas Danial dalam pertemuan di pejabatnya yang terletak di Taman Pertama, Cheras, baru-baru ini.

Walau bagaimanapun, Allah s.w.t. Maha Mengetahui lagi Maha Menguasai, insiden kematian neneknya kira-kira lapan tahun lalu menjadi titik-tolak yang sama sekali mengubah pandangannya mengenai Islam.

Menurut Danial, sewaktu menghadiri majlis kematian tersebut, beliau baru sahaja mengetahui bahawa salah seorang sepupunya telah berkahwin dengan wanita Melayu.

Lebih mengejutkan Danial, apabila sepupunya yang telah memeluk Islam dan isterinya itu sanggup datang dan memberi penghormatan terakhir kepada mendiang neneknya.

Sedangkan makciknya sendiri, tidak menghadiri majlis tersebut dengan alasan bimbang serta takut terkena badi orang mati.

Saat itulah kata Danial, terdetik di hati kecilnya bahawa ada sesuatu yang tidak kena atau istimewa mengenai agama Islam itu dan beliau berhasrat mendalaminya.

``Untuk tidak menimbulkan kerisauan keluarga terutamanya ibu, saya beritahu ibu bahawa saya mahu membuat kajian tentang kepelbagaian agama di negara ini, salah satunya agama orang Melayu (agama Islam) inilah.

``Tetapi hakikatnya, saya mahu mendalami agama Islam berbanding agama-agama lain yang ada. Kenapa ia (agama Islam) begitu toleransi dan fleksibel?

``Malahan selama sepuluh tahun dalam pencarian tersebut, saya sudah lapan kali mempraktikkan puasa Ramadan termasuk puasa enam (bulan Syawal) sekali, sebelum memeluk Islam,'' cerita Danial yang secara sah mengucap dua kalimah syahadah pada penghujung tahun 1999 di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Menurut Danial, cabaran pertama yang dihadapai apabila memeluk Islam ialah dipulaukan oleh keluarga, saudara mara dan teman-teman.

Malah sehinggakan ibunya sendiri mengugut akan membunuh diri sekiranya beliau nekad dengan hasrat pengIslamannya.

Anak kedua daripada lima adik-beradik ini turut ditawarkan ganjaran wang yang lumayan, jika beliau menarik balik keputusan pengIslamannya.

Namun, semua itu dihadapi secara tenang dan lebih banyak mendiamkan diri agar tidak menyinggung perasaan ibu.
Bagi Danial yang sebelum ini beragama Buddha, harapan ibu bapa terhadap anak lelaki cukup tinggi, lantaran itu tidak hairanlah ibunya begitu kecewa dengan keputusan beliau.

Tambahan pula, Danial yakin tentangan ini wujud kerana kurang kefahaman tentang Islam itu sendiri.

Hal ini tidak hanya dialami di kalangan bukan Islam, malah umat Islam sendiri ada yang tidak menghayati Islam secara betul.

``Saya banyak berhutang budi dan berterima kasih kepada Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) kerana di sinilah saya memperoleh gambaran Islam yang sebenar.

``Kalau dahulu, saya kaji tentang Islam melalui teman-teman tetapi mereka juga kekurangan ilmu. Saranan mereka agar pergi ke Perkim saya sahut.

``Alhamdulillah, setelah kenal dan faham Islam barulah boleh berjuang untuk Islam. Lantaran itu, saya terpanggil membantu balik Perkim untuk sebarkan Islam,'' azam Danial yang mengenali Perkim selepas setahun memeluk Islam.
Namun kini yang membimbangkan Danial ialah di kalangan umat Islam itu sendiri wujud segelintir pihak yang gemar menggoyahkan kesucian Islam dengan perkara-perkara yang semakin mengelirukan bangsa lain.

Harapan beliau agar umat Islam jangan sekadar Islam pada nama sahaja tetapi mestilah beragama dan bertauhid.
Di samping itu mestilah sentiasa berusaha untuk menambahkan ilmu di dada. Kesibukan dunia bukannya alasan kerana kehidupan di dunia adalah satu persinggahan, akhirat juga kekal selamanya.

Pinta Danial lagi, agar Islam jangan diMelayukan atau diArabkan. Islam adalah agama untuk semua kerana tanpa Islam, bumi akan rosak. Oleh itu wajiblah kita sebagai hamba-Nya, taat kepada Allah Yang Esa.

Berkongsi antara faktor lain yang menarik Danial kepada Islam ialah melalui pembacaan daripada terjemahan beberapa ayat-ayat al-Quran. Antaranya, saranan untuk mengenali diri sendiri.

Jangan menyangka kita hebat di dunia ini kerana ada yang lebih hebat dan berkuasa daripada kita. Hakikatnya, makhluk manusia adalah salah satu ciptaan Allah yang kerdil.

``Malah ungkapan awal beberapa ayat di dalam al-Quran sering dimulakan dengan ungkapan `Wahai orang-orang yang beriman'. Ini membuktikan Islam adalah agama untuk semua bangsa.

``Manakala melalui kisah riwayat Rasulullah s.a.w., ia membuatkan saya begitu tersentuh dan menangis. Betapa baginda seorang yang sabar. Jika dibandingkan perwatakan baginda dengan diri umatnya memang cukup berbeza.
``Sementara buku berkaitan mati juga meninggalkan kesan mendalam. Bagi Islam, orang yang paling pintar ialah orang yang sentiasa mengingati mati.

``Berbeza dengan kepercayaan bangsa Cina, paling pantang jika mengingati mati atau dalam bahasa pasar, `suey','' kata Danial yang juga merupakan seorang ejen insurans.

Menyentuh bagaimana mengenal pasti kecantikan Islam terang Danial, seseorang Muslim itu, sama ada mereka Islam keturunan atau yang baru memeluk Islam, harus faham terlebih dahulu selok belok Islam sebanyak yang mungkin.
Perolehan ilmu itulah yang akan membantu seseorang Islam menghayati kecantikan agama Islam itu sendiri.

Akui Danial yang juga berpeluang menunaikan umrah pada tahun 2002 lalu, kehidupannya selepas Islam cukup tenang malah banyak perubahan positif berlaku di dalam hidupnya selepas memeluk agama Islam.

``Kali pertama saya peluk emak, emak tahu saya sudah masuk Islam. Kalau sebelum ini saya pijak semut pun tidak mati di hadapan emak, tetapi di belakang emak banyak perkara buruk yang dilakukan.

``Kini Islam menjadikan saya seorang anak yang taat dan menghormati orang tua. Pesanan seorang imam di kampung agar saya benar-benar bergelar seorang mukmin sejati, mencetuskan tekad untuk belajar Islam secara yang benar bukan semberono.

``Syukur, kini saya sudah boleh membaca dan memahami al-Quran dan masih meneruskan kelas al-Quran di sebuah surau di Sentul, tiga kali seminggu selepas kerja hingga ke pukul 1.00 pagi,'' kata Danial yang tidak putus-putus mengingatkan penulis agar sentiasa menyebarkan dakwah walau sepotong ayat.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...