Monday, August 22, 2011

Pastikan air radiator kereta anda mencukupi sebelum perjalanan pulang berhari raya

Hari ini aku telah membuat persiapan awal untuk balik ke kampung dengan check kereta. Aku nak kata pandai serba tahu pasal kereta tu tak adalah, tapi setakat basic tu boleh la dari tak tahu langsung. Part yang aku check ari nie adalah radiator satu sistem penyejuk enjin.

Tugas utama radiator adalah untuk meminimumkan suhu enjin yang memanas ketika berfungsi dan kegagalan radiator berfungsi dengan sempurna menyebabkan enjin menjadi terlalu panas sehingga boleh menyebabkan beberapa komponen lain akan turut gagal melakukan tugas dengan baik.

Kebanyakan radiator dipasang di bahagian depan enjin atau lebih tepat di belakang gril kerana kedudukan itu terbukti sesuai untuk menyejukkan enjin dengan tolakan angin ketika kenderaan bergerak. Tapi ada juga model kereta menempatkan radiatornya di sebelah enjin sama ada kiri atau kanan.

Radiator mengandungi tiga bahagian penting iaitu atas, jejaring radiator dan tangki bawah. Jejaring radiator pula mempunyai ratusan lubang kecil yang berfungsi sebagai penyerap air yang mengalir dari atas ke bawah tangki, mengikut pusingan bahagian penyejuk pada bahagian enjin.

Setiap kali air mengalir ke ratusan lubang kecil itu akan menghasilkan air sejuk dengan bantuan angin ketika kereta bergerak. Sesetengah kereta pula menggunakan radiator jenis pengaliran melintang (crossflow), sistem yang dianggap memberi manfaat kepada enjin kenderaan berat.

Cara radiator berfungsi ialah menerusi pusingan air dari tangki ke dua saluran tiub yang dipasang ke bahagian atas dan bawah tangki ke enjin. Kegagalan pusingan itu berfungsi dengan normal akan menyebabkan enjin menjadi panas. Penyebab utama kegagalan radiator biasanya disebabkan tangki tersumbat oleh kepingan logam atau tangki berkarat kerana jarang dicuci. Karat tersebut juga boleh menyebabkan tiub penyambung atau radiator bocor.

Kita boleh mengelak perkara itu berlaku dengan menggunakan air suling atau air mineral untuk dimasukkan ke dalam tangki penyejuk. Selain itu ada juga yang menggunakan 
coolant sebagai ganti air dengan sedikit air bateri (air bateri tanpa kimia).



Abdul Rahman Siva - Setiap kejadian ada hikmah tersirat

ARKIB : 11/06/2004
http://www.utusan.com.my


Oleh ZUARIDA MOHYIN

BAGAIMANAKAH perasaan anda sekiranya dihalau keluar dari rumah, dipulau keluarga terdekat dan saudara mara, diugut bunuh serta dibelasah tanpa usul periksa kerana percayakan Allah s.w.t.?

Insiden-insiden di atas ini kedengarannya begitu mengecewakan, namun berlainan pula pandangan yang dipegang Pegawai Mualaf di Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Selangor, Ustaz Abdul Rahman Siva Abdullah, 37, yang melihat pengalamannya ini dari sudut positif serta menganggap semua itu sebagai hikmah daripada Allah s.w.t.

Malah kepercayaan dan keyakinannya bahawa setiap yang Allah s.w.t. takdirkan, waima perit sekalipun ada hikmah yang tersirat di sebaliknya.

Ia bertepatan dengan firman Allah s.w.t.: Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, Inna lillahi wa inna ilaihi raji`un. Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat daripada Tuhannya, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk. (Al-Baqarah: 155-157).

Berasal dari Shah Alam, Selangor, Abdul Rahman mengucap dua kalimah syahadah pada 5 Julai 1991 selepas bertahun-tahun membuat kajian dan perbandingan terhadap beberapa agama di Malaysia, seperti Kristian, Buddha dan agama tradisi keluarganya iaitu Hindu.

``Semenjak di bangku sekolah menengah lagi saya sudah melibatkan diri dengan misionari Kristian dan boleh dikatakan bergiat aktif dalam menarik orang lain bertukar daripada agama asal kepada agama Kristian.

``Waktu itu saya hanya membuat perbandingan agama antara agama Hindu dengan Kristian. Pengetahuan tentang agama Islam kosong.

``Namun, semakin lama saya mendampingi agama ini, timbul rasa tidak serasi terhadap agama Kristian. Kami selalu buat perjumpaan dan dalam majlis ini, saya lihat, lelaki dan wanita terlalu bebas dan minum minuman keras,'' cerita Abdul Rahman yang bertahan selama lima tahun sahaja dalam gerakan tersebut.

Kekecewaan ini menyebabkan Abdul Rahman membuat sekali lagi percubaan mencari agama terbaik.

Kali ini, pencarian tersebut melalui kaedah pemerhatian dalam kehidupan masyarakat Melayu yang beragama Islam.
Persoalan pertama yang wujud, mengapa di dalam Islam, orang lelakinya sahaja bersembahyang di masjid tetapi tidak bagi wanita.

Soalan tersebut telah diajukan kepada seorang hamba Allah, dan penerangan terperinci itu mencetuskan minat Abdul Rahman untuk mendalami agama yang dirasakan cukup menarik dan berbeza itu.

``Apabila ke masjid pula, melihat orang bersolat dan mengaji al-Quran, hati saya begitu tersentuh dan suka mendengarnya walaupun tidak faham maksudnya.

``Kisah lebih 25 tahun lalu terungkai kembali. Dahulu pada zaman kanak-kanak, saya suka mempersendakan azan setiap kali ia berkumandang.

``Pakcik saya pernah menegur sikap kurang sopan saya masa itu dengan mengatakan kita mestilah menghormati agama lain. Mungkin ini semua telah tertulis sebagai qada dan qadar Allah s.w.t.,'' akui Abdul Rahman yang diIslamkan oleh Datin Wahidah Abdullah di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Menurut beliau lagi, solat yang merupakan tiang agama, bukan sekadar memberi ketenangan dan ketenteraman. Malahan, pengamalannya sendiri akan memperbaiki akhlak seseorang itu.

Akui beliau, nasihat seorang teman, Haji Hafiz Kausari ketika mula-mula memeluk Islam, cukup terkesan di dalam diri Abdul Rahman.

``Tiga nasihatnya kepada saya iaitu, jangan mengharapkan pertolongan orang, tidak berbohong dan ikhlas dalam melakukan sesuatu pekerjaan, saya amal dan ingat hingga ke hari ini,'' kata Abdul Rahman mengenai abang angkatnya yang ditemui di Masjid Pakistan, Kuala Lumpur.

Menyentuh tentang penerimaan keluarga, kata anak sulung daripada 11 adik beradik ini, keluarga tidak dapat menerima pengIslamannya.

Oleh kerana itu, Abdul Rahman menetap di rumah perlindungan untuk saudara baru di Seksyen 19, Shah Alam.

Jelas beliau, keadaan pada masa itu diibaratkan seperti sudah jatuh ditimpa tangga, kerana bukan sahaja `kehilangan' keluarga tetapi telah dilayan buruk oleh seorang yang berbangsa Melayu dan mengaku beragama Islam.

``Tekanan demi tekanan ini membuatkan saya tidak dapat menahan kesedihan hingga mengalirkan air mata serta mempersoalkan mengapa diri saya dicaci dan dihina sedemikian rupa?

``Alhamdulillah, saya tidak mengaku kalah, malah kejadian tersebut telah membangkitkan semangat dan keazaman untuk mempelajari agama Islam dan membuktikan kepada diri sendiri dan orang ramai bahawa saya mampu berjaya.

``Saya tidak putus-putus berdoa, malah keyakinan saya bertambah kuat terhadap ayat al-Quran dan kuasa doa, selepas satu insiden saya dikejar orang dengan niat membunuh.

``Saya cuba membaca sepotong ayat di dalam surah Yasin yang dibaca oleh Rasulullah s.a.w. semasa baginda dikepung oleh pihak musuh.

``Dengan kuasa Allah, orang tersebut dikaburi matanya dan saya terselamat,'' cerita Abdul Rahman dan menambah insiden tersebut menjadikan beliau semakin yakin dengan ayat suci al-Quran.

Selain itu, sewaktu mengerjakan umrah atas tajaan JAIS pada tahun 1996, Abdul Rahman sebelum itu suka mendengar bacaan al-Quran yang disampaikan oleh Ustaz Abdul Rahman Sudis dan Ustaz Saad al-Ramidi.
Semasa di Tanah Suci Mekah, beliau berdoa agar dapat membeli kaset dua orang ustaz berkenaan.

Sekembalinya ke Malaysia, Abdul Rahman begitu terkejut kerana dua buah kaset yang dibelinya semasa di Madinah adalah bacaan dua ustaz tersebut.

Seperkara lagi, surah al-Baqarah ayat 186 yang bermaksud: Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka). Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul'', lebih memupuk kecintaannya kepada Allah s.w.t.
Abdul Rahman mula berkhidmat di JAIS sebagai Pegawai Percetakan pada tahun 1993. Pada tahun 1996, beliau menjadi guru agama sebelum dinaikkan pangkat sebagai Pegawai Mualaf setahun kemudian sehinggalah sekarang.

Berkongsi pengalaman beliau dalam menyampaikan syiar Islam, Abdul Rahman bercerita terdapat beberapa halangan, antaranya, di kalangan segelintir orang Islam sendiri yang menganggap kerja dakwah tidak penting serta penganjuran program sebagai satu pembaziran.

Kedua, salah anggap orang bukan Islam terhadap agama Islam itu sendiri. Lebih-lebih lagi, dalam suasana pihak tertentu memburukkan imej Islam dan kebimbangan mereka akan kehilangan identiti bangsa sekiranya memeluk Islam.

``Hal-hal ini mampu diatasi melalui kursus berterusan yang dikenali sebagai kursus intensif saudara baru selama lima hari.

``Dalam program ini, peserta akan diberi input tentang rukun Islam, rukun iman dan luahan masalah,'' kata Abdul Rahman bersyukur kerana sembilan orang ahli keluarganya turut menerima hidayah Allah s.w.t.
Tambahnya, beliau lebih suka memberi peluang kepada saudara baru ataupun mereka yang berminat mengenai Islam meluahkan perasaan sebelum mencari strategi serta jalan penyelesaian.

Kemudian, diadakan program ziarah, agar timbul keselesaan dan kemesraan antara mereka.
Secara tidak langsung katanya, timbul minat untuk mengetahui tentang cara hidup seorang mukmin.
Ikatan perkahwinan Abdul Rahman dengan Annur Abdullah, 27, yang dibina pada tahun 1997, dikurniakan dua orang cahaya mata; Mohd Nurdin, 6 dan Mohd Ismail, 5 tahun.

Abdul Rahman amat berterima kasih kepada pihak JAIS dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) serta orang perseorangan, antaranya Yusoff Ong, Ustaz Rosli, Ustaz Sirajuddin dan Ustaz Amir Marzuki kerana banyak memberi bimbingan selama ini.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...