Monday, August 15, 2011

3 Kategori Orang Berpuasa

Sabda Nabi s.a.w. : “Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan melakukan pendustaan, maka bagi Allah tidak ada keperluan dalam ia meninggalkan makan dan minumnya (yakni Allah tidak berhajat kepada puasanya)” (HR. al-Bukhari)

3 kategori orang berpuasa seperti yang telah dinyatakan oleh al-Imam al-Ghazali rahimahullah dalam kitabnya ‘Ihya Ulumiddin’: 


1. Puasa Orang Awam
ialah puasa menahan perut dan kemaluan dari memenuhi kehendak syahwat. Puasa tahap ini adalah paling rendah hanya puasa orang awam. Puasa sebegini hanya sekadar meninggalkan makan dan minum serta perkara yang membatalkan puasa.


2. Puasa khusus
ialah puasa menahan pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki dan seluruh anggota badan dari melakukan dosa. Puasa di tahap ini pula adalah di tingkatan kedua iaitu puasa orang khas. Puasa dbagi tahap ini akan cuba menjaga akhlak dan melakukan pekara-perkara sunat bagi menambahkan lagi kualiti puasanya.


3. Puasa khususul khusus (paling khusus)
Bukan setakat menahan diri daripada melakukan perbuatan yg membatalkan puasa dan menahan anggota zahir daripada melakukan maksiat dan dosa.. lebih daripada itu, golongan ini menjaga anggota batin daripada memikirkan perkara dosa dan maksiat.. juga menjaga hati daripada sifat keji seperti riak, takabbur dan sebagainya.

Akhlak Islam - ``Saya tertarik dan ingin jadi umatnya''

ARKIB : 24/09/2004
http://www.utusan.com.my


Oleh ZUARIDA MOHYIN

CERITA teman-teman sekolah tentang Islam dan amalan penganutnya terutamanya yang berkisar konsep ketuhanan, puasa, sembahyang, balasan baik dan buruk, benar-benar menyedarkan Nawama a/p Ramasamy.

Malahan penjelasan mengenai syurga dan neraka yang diperkatakan itu kerap bermain di dalam fikirannya berhari-hari lamanya.

Biarpun diri kerdilnya mengakui wujud kebenaran dan logiknya agama Islam, namun beliau tidak berani bertindak membelakangkan agama anutan keluarga kandungnya.

``Walaupun pada masa itu saya baru bersekolah rendah, namun pergaulan dengan tujuh orang teman baik yang kesemuanya beragama Islam telah banyak mempengaruhi cara hidup saya waktu itu.

``Saya pernah bersama teman-teman berpuasa, memakai tudung dan menyambut hari raya. Alhamdulillah, mereka tidak pernah menyisihkan saya walaupun kami berlainan agama. Begitu juga dengan ibu bapa mereka yang sentiasa melayan kami sama rata.

``Keakraban kami diteruskan sehinggalah ke peringkat sekolah menengah, dan secara tidak langsung pemahaman tentang agama Islam semakin mantap dan mendalam.

``Pada masa itu juga, saya tertarik dengan akhlak umat Islam. Lantaran itu, wujud keinginan kuat untuk menjadikan agama Islam agama pegangan yang sah suatu hari nanti.

``Tambahan pula apabila saya dapat tahu emak berhasrat menyekolahkan saya setakat tingkatan tiga kerana mahu mengahwinkan saya.

``Kalau ini menjadi kebenaran, pastinya peluang untuk saya masuk Islam semakin sukar atau tidak kesampaian langsung,'' cerita Guru Agama dan Pegawai Mualaf di Pejabat Agama Islam Daerah Sabak Bernam, Selangor, Normah Nawama Abdullah yang ditemui baru-baru ini.

Normah, 40, kelahiran Tebuk Pulai, Sabak Bernam, Selangor mengakui perjalanan pengIslaman beliau penuh onak dan duri.

Anak sulung daripada sembilan orang adik-beradik ini terpaksa berhadapan dengan tentangan keras daripada keluarga kandung, terutamanya kedua-dua ibu bapa yang memang terang-terangan bersikap anti Islam pada masa itu.

Tambah ibu beranak lapan ini lagi, bantuan keluarga angkat yang membawanya keluar dari kampung asal dan menetap dengan salah seorang ahli keluarga mereka, melancarkan lagi proses pengIslaman beliau.

``Saya masih ingat lagi detik-detik mahu melarikan diri. Perasaan takut Tuhan sahaja yang tahu. Berbekalkan sebuah beg pakaian, saya keluar mengikut jalan belakang. Kebetulan pada masa itu, bapa sedang sibuk di kebun, dengan kuasa Allah, beliau tidak nampak saya yang sedang berjalan di parit bersebelahan.

``Sepanjang satu bulan di rumah keluarga angkat inilah, banyak ilmu pengetahuan Islam saya peroleh. Hampir sebulan saya tinggal di rumah mereka.

``Ketika di sini juga, saya dapat tahu keluarga sedang mencari saya dan mereka sanggup berjumpa bomoh dan menawarkan habuan wang ringgit kepada mereka yang memberitahu di mana saya berada.

``Beberapa kali saya terselamat daripada pandangan ibu, walaupun pada masa itu, beliau sedang melintasi hadapan rumah keluarga angkat saya. Pada masa itu tangannya sedang memegang sabit,'' cerita Normah yang memeluk Islam pada Julai 1982.

Ancaman daripada keluarga Normah akhirnya sampai ke pengetahuan pejabat agama Islam.
Oleh kerana permohonannya ke Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) terpaksa ditolak kerana tiada kekosongan, Normah berpindah dan tinggal dengan seorang guru agama selama sebulan lebih.

Perpindahan ini juga kata Normah, telah meredakan perselisihan faham yang timbul di kalangan ahli keluarga angkatnya.

Biarpun sedikit kecewa dengan tanggapan negatif mereka, Normah bersyukur dan percaya bahawa setiap ketentuan Allah itu pasti ada hikmah di sebaliknya.

Sambung ibu tunggal ini lagi, selepas itu Pejabat Agama Klang telah menempatkan beliau di Asrama Anak Yatim, Jalan Meru, Klang selama lebih kurang lima bulan, sementara menunggu kekosongan untuk meneruskan pelajaran.

Akhirnya pada awal tahun 1980 an, Normah diterima memasuki Institut Dakwah Islamiah Perkim di Petaling Jaya untuk mengikuti kursus pendakwah selama tiga tahun.

``Di sini jugalah saya bertemu dengan bekas suami yang juga merupakan saudara baru. Kami mengambil keputusan berkahwin pada tahun 1984 tetapi sayangnya ia tidak berpanjangan. Allah Maha Mengetahui.

``Habis belajar saya ikut nasihat suami agar tumpukan kepada rumah tangga dan anak-anak. Walaupun bergelar suri rumahtangga sepenuh masa, saya tetap merancang masa untuk melakukan aktiviti keagamaan yang lain.

``Lebih sepuluh tahun kemudian saya mula mengikuti semula aktiviti anjuran Pejabat Agama Islam Daerah Sabak Bernam, dan setahun kemudian saya memasuki Tilawah al-Quran peringkat zon. Alhamdulillah, berjaya bergelar juara. Begitu juga pada peringkat negeri, kata Normah yang kini menetap di Desa Kasih, Batu 2, Tebuk Pulai, Sabak Bernam, Selangor.

Antara hadiah yang diterimanya ialah menunaikan umrah untuk dua orang. Sekembalinya Normah bersama suami dari Mekah, beliau ditawarkan sebagai guru agama sambilan di pejabat agama.

Tiga tahun kemudian, beliau dilantik menjadi pegawai mualaf secara kontrak hinggalah hari ini.
Tanggungjawab beliau di sini merangkumi hal ehwal saudara baru, pengIslaman, kaunseling, kebajikan dan penganjuran pelbagai program riadah dan ilmu.

Setiap yang bergelar manusia itu pasti tidak lari daripada menghadapi dugaan dan cabaran Ilahi, akur Normah yang kini sudah dua tahun bergelar ibu tunggal.

Kesibukannya dengan tanggungjawab di pejabat agama sedikit sebanyak dapat melupakan masalah yang dihadapi.

Di samping itu beliau selalu meyakinkan pada dirinya bahawa masalah yang dialami ini adalah ujian daripada Allah s.w.t.

``Pesanan ini juga selalu saya panjangkan kepada saudara-saudara baru yang lain. Kemanisan iman ini akan dapat dirasai sekiranya kita berilmu, beramal dan ada sifat ihsan,'' katanya yang bergerak aktif dengan aktiviti-aktiviti Badan Amal Islam Mualaf (BAIM), Pejabat Agama Islam Daerah Sabak Bernam.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...