Saturday, August 6, 2011

Syaitan di bulan Ramadhan


Realiti yang berlaku, kita menyaksikan sebahagian umat Islam yang berpuasa masih ada yang melakukan maksiat di dalam bulan Ramadhan, bukan sekadar itu, bahkan berlaku juga rasukan jin dan syaitan di dalam bulan Ramadhan, termasuk yang dirasuk itu di kalangan umat Islam yang berpuasa.

Jika begitu keadaannya, apakah maksud hadith Nabi saw yang menyatakan syaitan itu dirantai dan dibelenggu dalam bulan Ramadhan ? Nabi saw bersabda:
 
Maksudnya : “Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Nabi saw telah bersabda :
 
“Apabila datangnya Ramadhan, maka dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan dirantai/dibelenggu para syaitan.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
 
Para ulama berbeza pendapat tentang maksud dibelenggu para syaitan. Ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan dari al-Halimiy yang menyatakan maksud dibelenggu itu mengandungi makna para syaitan tidak dapat sampai melakukan fitnah kepada umat Islam sepertimana diluar bulan Ramadhan disebabkan umat Islam menyibukkan diri dengan berpuasa yang berperanan melemahkan syahwat, demikian juga mereka sibuk dengan membaca al-Quran dan berzikir. 
 
 
al-Syeikh ‘Atiyyah Soqr menyebut beberapa ulama yang mensyarahkan hadith ini menyatakan yang dimaksudkan dibelenggu ini ialah tidak dapat menguasai orang-orang yang benar-benar berpuasa dengan puasa yang sebenarnya, dengan meraikan setiap adab-adab termasuk memelihara lidah, pandangan dan semua anggota dari melakukan maksiat sebagai memenuhi sabda Nabi saw :
 
Maksudnya : “Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan bohong dan perbuatan yang keji, maka Allah tidak ada hajat kepada makanan dan minuman yang ditinggalkannya.” (HR al-Bukhari)
 
Sebahagian ulama yang lain pula berpendapat maksud para syaitan yang dibelenggu itu ialah sebahagian syaitan yang degil/melampau, adapun selain daripadanya tidak dibelenggu.
 
Inilah yang dinyatakan di dalam hadith :
 
Maksudnya : “Dibelenggu padanya (Ramadhan) syaitan-syaitan yang degil/melampau.”
 
Ada pula yang berpendapat ianya membawa tanda para malaikat masuk ke dalam bulan Ramadhan sebagai membesarkan dan memuliakannya bagi menghalang para syaitan menggoda orang-orang mukmin. Ia boleh juga membawa isyarat kepada banyaknya pengampunan dan balasan pahala yang diberikan di dalam bulan Ramadhan menyebabkan syaitan menjadi seolah-oleh dibelenggu.
 
Ini dikuatkan dengan hadith yang diriwayatkan oleh Yunus daripada Ibn Syihab di sisi Muslim :
 
Maksudnya : “Maka dibuka pintu-pintu rahmat.”
 
Maka dibelenggu syaitan itu adalah perumpamaan melemahkan syaitan dalam menyesatkan umat Islam dan menghiasi syahwat mereka.
 
Al-Imam al-Qurthubiy pula berkata : “Maka jika dikatakan bagaimana kita boleh melihat beberapa kejahatan dan maksiat berlaku dalam bulan Ramadhan secara banyak, jika dibelenggu para syaitan sepatutnya perkara itu tidak berlaku.
 
Maka jawapannya ialah : “Sesungguhnya semua itu kurang berlaku pada orang-orang yang berpuasa dengan puasa yang memelihara syarat-syaratnya dan meraikan adab-adabnya, atau (yang dimaksudkan) dibelenggu sebahagian syaitan, iaitulah syaitan yang degil/melampau, (sebaliknya) bukan semua syaitan seperti yang terdapat di dalam sebahagian riwayat (hadith), atau maksudnya mengurangkan kejahatan dalam bulan Ramadhan, dan ternyata berlakunya kejahatan dalam bulan Ramadhan itu lebih kurang berbanding bulan yang lain, demikian juga tidak semestinya dibelenggu kesemua syaitan tidak berlakunya kejahatan dan maksiat, kerana ada juga sebab lain selain syaitan (yang membawa kepada kejahatan) seperti jiwa yang sememangnya jahat, dan kebiasaan yang jelek dan syaitan manusia.”
 
Al-Syeikh Muhamad bin Soleh al-Uthaimin ketika ditanya tentang persoalan ini menjawab :
 
“Di dalam sebahagian riwayat hadith (maksudnya) : “Dibelenggu padanya (Ramadhan) syaitan-syaitan yang degil/derhaka.” Atau (dengan lafaz) Tughallu di sisi al-Nasaie atau yang seumpamanya yang termasuk dalam perkara ghaib yang mana hendaklah kita menerima dan membenarkannya, dan kita tidak membicarakannya lebih daripada yang itu, sesungguhnya inilah yang lebih selamat bagi agama seseorang dan lebih baik untuknya…. kemudian secara zahir dibelenggunya syaitan itu (adalah membawa maksud dibelenggu) daripada memesong atau menyesatkan manusia disebabkan banyaknya kebaikan dan (mereka banyak) kembali (bertaubat) kepada Allah dalam bulan Ramadhan.”
 

Muhamad teruskan kelangsungan Rumah Ijabah

ARKIB : 21/01/2009
http://utusan.com.my



BILA sebut rumah anak yatim, stigma dalam masyarakat kita ialah ia tidak terurus, terpinggir, mundur serta jauh ketinggalan dalam banyak segi. Malah lebih menyedihkan, ada yang sanggup menuduh bahawa kemunculannya bukan dengan niat membela tetapi ada udang di sebalik batu.

Pun begitu, pandangan dan persepsi inilah yang cuba diperbetulkan oleh Muhamad Abdullah, 33, waima terpaksa berhadapan pelbagai rintangan dan cabaran seiring dengan penubuhan Rumah Ijabah Anak Yatim Al-Hafiz, Subang Jaya, Selangor kira-kira empat tahun lalu.

Muhammad yang merupakan Pemegang Amanah rumah ini mengakui sungguhpun sudah hampir melepasi fasa pertama penubuhannya, pihaknya masih menerima tempias negatif segelintir pihak. Namun katanya, ia bukan alasan untuk mengaku kalah kerana saya semuanya terletak atas individu serta nawaitu mereka yang menubuhkan institusi berkaitan kebajikan anak yatim itu sendiri.

"Sebab itulah kami di sini bukan sahaja menumpukan kepada penyediaan tempat perlindungan, penjagaan makan minum, perkongsian kasih sayang dan keprihatinan kebajikan tetapi yang paling utama ialah memastikan kanak-kanak ini mendapat pendidikan dan pembelajaran sepenuhnya.

"Menyedari akan kepentingan penguasaan ilmu inilah maka kanak-kanak ini ditanggung sepenuhnya dalam hal ehwal kelengkapan diri, persekolahan serta memperoleh pendidikan yang merangkumi akademi, agama dan hafazan al-Quran," katanya.

Menurut Muhamad, mereka juga berpeluang mengikuti aktiviti hujung minggu serta didedahkan dengan pelbagai aktiviti kokurikulum.

"Ia sekali gus membina keyakinan diri para penghuni agar tidak menjadikan status diri bergelar anak yatim atau fakir miskin sebagai satu kekurangan atau penghalang untuk berjaya," jelasnya.

Kata Muhamad, Rumah Ijabah Anak Yatim Al-Hafiz kini memegang amanah ke atas 70 anak yatim dan miskin antara usia enam hingga 18 tahun.

Tambah anak ketiga daripada lapan adik-beradik ini, kejayaan bertahan sehingga memasuki tahun keempat ini tidak akan terlaksana tanpa sokongan padu serta pengorbanan beberapa sahabat yang berperanan dalam penubuhan Yayasan Al-Ijabah iaitu pada 2006, tenaga pengajar dan tidak dinafikan pertolongan Allah SWT yang ada kalanya datang secara tidak diduga.

Berkongsi cabaran yang dihadapi jelas Muhamad, meskipun soal pencapaian pelajaran kanak-kanak ini menjadi tunggak utama beliau namun usaha memastikan kelangsungan (survival) institusi ini, itu lebih menguja.

"Banyak berlaku ke atas institusi anak yatim ialah apabila generasi pertamanya meninggal dunia, institusi tersebut juga terkubur bersama pengasasnya. Saya tidak mahu perkara ini berlaku sebab itulah pada peringkat awal kewujudannya, kita sudah merancang secara sistematik.

Sebenarnya, kata Muhamad, cetusan idea penubuhan asrama anak yatim ini adalah rentetan daripada usaha arwah ayah beliau, Ustaz Abdullah Mohd. Said yang sebelum ini mengasaskan sekolah agama pada 1998.

"Beliau pernah menyuarakan hasratnya untuk menubuhkan sebuah asrama untuk anak yatim, sayangnya harapannya itu tidak kesampaian apabila dijemput Ilahi kembali ke rahmatullah pada 2004.

"Alhamdulillah, setahun kemudian hasrat arwah ayah berjaya direalisasikan. Pun begitu sehingga kini, kami masih beroperasi di tiga lokasi berbeza untuk asrama lelaki dan perempuan, tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah. "Tempat-tempat itu ialah di Subang Jaya, Bandar Sunway dan Puchong. Oleh itu, atas kesempatan ini, kami sedang giat merancang penubuhan Kompleks Yayasan Al-Ijabah di tanah seluas 0.5 hektar di Puchong, Selangor," katanya dalam pertemuan dengan Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Sementelah pula ditiup semangat menerusi hadis Rasulullah SAW yang berbunyi, "Aku dan penjaga anak yatim seperti ini di syurga. Lalu Nabi menunjukkan dua jarinya iaitu jari telunjuk dan jari hantu".

Mengulas lanjut tentang kompleks yang dianggarkan menelan belanja RM4 juta itu, terang Muhamad pihaknya komited dalam usaha membela nasib anak yatim dan miskin. Dengan terbinanya sebuah kompleks yayasan yang lengkap dengan kemudahan seperti sekolah, dewan, surau, asrama dan kuarters guru, diyakini ia mampu menampung sehingga 500 orang penghuni.

Malah kata Muhamad lagi, melihat kepada para pelajar Rumah Al-Ijabah yang hampir menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan bakal melanjutkan pelajaran ke peringkat menara gading maka usaha penubuhan sebuah universiti wakaf untuk anak yatim dan miskin dirasakan relevan dan kena pada masanya.

Pihaknya berterima kasih di atas mana-mana pihak yang prihatin dan mahu bersama-sama memelihara dan membela anak-anak yatim dan miskin ini. Harapannya, semoga sedikit yang kita lakukan ini menjadi amal jariah yang berguna.
Sumbangan dan derma ikhlas boleh disalurkan dengan mengisi borang derma serta nyatakan nama dan alamat lengkap untuk pengiriman resit rasmi (pengecualian cukai pendapatan) atau atas nama Yayasan Al-Ijabah menerusi akaun Bank Muamalat 14010 005674714.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Mohd. Nor Azizi Awalludin di talian 019-306 4814 atau 03-5880 1886.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...