Thursday, July 21, 2011

IKHLAS DALAM AMALAN

Beramal yang dimaksudkan di sini ialah mengerjakan sesuatu ibadah yang dituntut oleh Islam ke atas setiap orang mukallaf. Islam memerintahkan kita beramal.dan setiap amal itu tidaklah ia sunyi dari maksud-maksud tertentu. Kata ulama ushul Fiqh: Sesuatu itu adalah mengikut maksudnya. Dengan demikian kita haruslah merenungkan kembali apakah maksud kita mengerjakan sesuatu ibadah dalam Islam, seperti sembahyang, mengerjakan haji jika termampu, berzakat dan sebagainya. Dalam sebuah hadis yang menjadi asas kepada gerakkerja Islam Nabi Saw bersabda yang bermaksud “Hanya sanya tiap amalan itu adalah dengan niat, dan bagi tiap-tiap seorang itu menurut apa yang diniatkan” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Dengan begitu adalah penting bagi kita sebagai individu Muslim menentukan apakah sebenarnya maksud kita mengerjakan sesuatu amalan atau ibadah. Ibadah di sini pula meliputi fardu ‘ain dan fardu kifayah. Fardu ‘ain adalah kewajiban setiap individu Muslim, manakala fardu kifayah adalah kewajiban bagi masyarakat Muslim menunaikannya. Jika sudah tertunai maka gugurlah kewajiban itu ke atas orang lain dalam masyarakat berkenaan.

Sebab itu adalah lebih baik kita memahami apakah konsep ibadah itu sendiri supaya nanti segala gerak kerja kita yang Islami akan menjadi bernilai samada di dunia mahupun di akhirat. Tanpa pemahaman ini kita mungkin tidak mendapat apa-apa selain penat lelah sahaja. Selain dari niat yang menentukan ibadah itu diambilkira atau tidak, satu lagi masalah pokok yang sangat penting dalam hal ini adalah keikhlasan. Tanpa keikhlasan, nilai amal kita itu tidak bernilai di sisi Allah ‘Azawajalla.

Menurut Imam Nawawi, amal itu terbahagi kepada tiga bahagian (Arbain Annawawiyyah). Pertama adalah amal yang dikerjakan kerana takut kepada Allah.

Amal ini dinamakan ibadat hamba. Kedua amal yang dikerjakan kerana hendak mendapatkan syurga dan pahala. Amalan sebegitu dinilai sebagai ibadah seorang saudagar. Ketiga ialah amal yang dikerjakan kerana malu kepada Allah dan kerana melaksanakan hak kehambaan dan membuktikan kesyukuran dan merasakan diri masih di dalam kecuaian dan kebimbangan kerana takut segala amalan itu entah diterima entahkan tidak. Inilah ibadah orang merdeka.

Sayyidatina ‘Aisyah ra pernah bertanya kepada Nabi Saw apabila melihat baginda sembahyang malam sehingga bengkak kakinya. Mengapakah baginda besusah payah sembahyang malam sedangkan dosanya telah diampunkan Allah samada yang telah lalu, yang semasa dan yang akan datang. Tetapi baginda menjawab “ Tidakkah patut aku menjadi hamba yang bersyukur?” Demikianlah Nabi Saw, seorang manusia yang paling mulia dan dijamin tempatnya di syurga, tetapi masih melakukan ibadah jauh lebih baik berbanding kita, semata-mata kerana untuk melahirkan kesyukuran kepada Allah ‘Azawajalla. Itulah tahap kenabian. Dan kita tidak mungkin untuk mencapainya. Tetapi kita masih boleh beribadah atau melaksanakan tuntutan Islam dengan lebih baik dan bermakna sekiranya kita ikhlas dalam menunaikannya dan mencapai tahap ibadah orang merdeka seperti yang disebutkan di atas.

Ini bermakna amal yang ikhlas ialah amal yang diqasadkan hanyalah kerana Allah semata.Tidak kerana yang lain. Sebab turun ayat terakhir dalam surah AlKahfi menurut riwayatnya ialah apabila Nabi Saw didatangi oleh seorang laki-laki lalu bertanya :Ya Rasulallah: ada seorang laki-laki yang bersedekah dan ia suka supaya dipuji dan diberikan pahala kepadanya. Tetapi Nabi Saw tidak dapat berkata apa-apa kepadanya sehingga turun ayat ini yang bermaksud ;” maka barangsiapa yang mengharapkan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia beramal dengan amalan yang soleh, dan janganlah ia sekutukan dengan seseorang pun dalam beribadah kepada Tuhannya itu (AlKahfi, ayat 110).”

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...