Thursday, April 28, 2011

Sifat Yang Melemahkan Diri

Secara sedar atau tidak, setiap manusia ada kelemahannya. Manusia sememangnya mempunyai kelebihan berbanding dengan makhluk lain ciptaan Allah s.w.t. Tetapi, di sebalik kehebatan itu, manusia diperingatkan dan dikecam oleh Allah s.w.t kerana memiliki kelemahan dan kekurangan yang membawa ke lembah kehinaan.

Di dalam hati manusia, terbit beberapa sifat kelemahan seperti marah, tamak dan tergesa-gesa yang muncul tanpa disedari. Walau pun nampak remeh, tetapi sifat-sifat itu menjadi laluan oleh syaitan untuk mencapai tujuannya. Manusia perlu diperingatkan tentang kelemahan itu. Ikuti maklumat bermanfaat itu sebagai santapan untuk rohani anda.

MARAH

Perasaan marah yang terbit adalah api di dalam dada insan. Sifat ini hadir apabila berlaku sesuatu yang tidak menepati kehendak hati. Perasaan itu akan berkobar-kobar dengan hebatnya jika api kemarahan dihembus lagi. Imam Ghazali menggambarkan sifat marah itu bagaikan darah yang mendidih di dalam dada. Ia akan menghasilkan asap hitam yang menyembur ke otak dan seterusnya menguasai akal fikiran manusia. Akibatnya, sifat itu mempengaruhi fizikal manusia sehingga menutup mata dan menggelapkan pandangan.

Manusia yang sedang membara kemarahannya boleh dilihat menerusi air mukanya yang berubah, tindakannya yang tidak menentu dan tutur katanya tidak teratur. Akal fikirannya waktu itu seolah-olah suatu benda yang terbakar. Api marah dapat membakar hati dan sikap ini tidak elok dibiarkan berterusan.

Dalam konteks agama, Islam membenarkan manusia marah dengan maksud untuk meluruskan yang salah, mencegah yang mungkar dalam keadaan yang terkawal dan waktu dan tempat yang sesuai. Sebab itulah ada ungkapan yang mengatakan, marah biarlah bertempat.

Jika tidak sesuai dengan keadaan, marah tidak dibenarkan kerana syaitan paling mudah menguasai manusia ketika sedang marah. Waktu itu, syaitan menciptakan keadaan yang boleh menyebabkan manusia tidak sedar apa yang mereka ucapkan dan perbuatan yang dilakukan.

Al-Quran ada merakamkan beberapa kisah tentang sifat marah yang terjadi kepada beberapa orang Nabi yang marah disebabkan oleh kedurhakaan kaumnya yang enggan taat kepada perintah Allah s.w.t. Mengenai kisah Nabi Yunus misalnya, al-Quran menyentuh mengenai marahnya terhadap sekelompok Bani Israil yang enggan taat sehingga dia meninggalkan tugas dan menuju ke laut. Dia menduga bahawa “Kami tidak akan memberinya hukuman atas marah”. (Surah al-Anbiya, ayat 87). Malah Rasulullah s.a.w sendiri diingatkan oleh Allah s.w.t akan bahaya sifat marah. Allah bersabda, “Janganlah engkau menjadi seperti Nabi Yunus yang ditelan oleh ikan besar,” (Surah al-Qalam, ayat 47).

Memandangkan banyak kesan buruk akan berlaku akibat sifat marah, Rasulullah s.a.w berpesan kepada kita agar tidak mudah marah. Andai kata rasa terdorong untuk marah, al-Quran dan as-Sunnah mengajar kita supaya memohon perlindungan Allah s.w.t daripada syaitan. Ini kerana syaitan akan mengipas dan menyiram minyak untuk menyemarakkan api di dalam hati.

Anda dianjurkan untuk diam, duduk dan meninggalkan tempat itu. Jika perasaan marah masih memuncak, eloklah berbaring. Rasulullah s.a.w bersabda, “Kalau salah seorang di antara kamu marah, sedang ketika itu dia berdiri, maka hendaklah duduk. Kalau marahnya belum reda, hendaklah berbaring,” (Riawayat Abu Daud dan Ibnu Hibban).

TAMAK

Sifat tamak adalah ekoran daripada keinginan yang sangat berlebihan yakni di luar batas kewajaran dan kemampuan. Bak ungkapan orang arif dan cerdik pandai, “Ukurlah kemampuan anda dan berusahalah untuk meraih keinginan. Ketahuilah batas anda dan jangan melampaui batas. Terimalah apa yang telah dianugerahkan oleh Allah s.w.t kepada kamu dan syukurilah anugerah itu.”

Tidak dinafikan bahawa keinginan yang berlebihan untuk mendapatkan sesuatu adalah sifat azali yang sudah tertanam dalam diri manusia. Nabi Muhammad pun memiliki sifat itu. Baginda berkeinginan agar seluruh manusia beriman kepada Allah s.w.t.

Keinginan Rasulullah s.a.w itu diingatkan oleh Allah s.w.t bahawa beliau hanya berkewajipan menyampaikan ajakan dan risalah Allah s.w.t dan bukan menjadikan mereka beriman seperti dalam sabda, “Engkau tidak dapat memberi petunjuk kepada siapa yang engkau cintai tetapi Allah s.w.t yang memberi petunjuk siapa yang dikehendakiNya.” (Surah al-Qasas ayat 56).

Perasaan keinginan nafsu yang melampaui batas adalah pintu masuk syaitan ke dalam jiwa manusia. Segala jalan akan ditempuh dengan sedaya upaya untuk memuaskan keinginan yang belum pasti diraih meskipun ia bertentangan dengan hati dan ajaran agama.

Akibat daripada sifat itu, seseorang manusia akan bangga dan merasa puas apabila berhasil memiliki sesuatu yang dimiliki oleh orang lain dan tidak pernah merasa senang dan puas melihat kelebihan dan kejayaan kawan apatah lagi lawannya.

Jiwa orang yang memiliki sifat itu sentiasa goncang dan tidak tenteram. Dia tidak pernah menikmati apa yang dimilikinya. Apa yang membahayakan ialah apabila keinginan nafsu adalah kuat tetapi kurang kemampuan untuk melakukannya.

TERGESA-GESA

Sudah menjadi lumrah bahawa setiap manusia ingin mendapatkan sesuatu yang diinginkannya dengan segera. Begitu juga sewaktu berdoa dengan harapan doa yang dipanjatkan akan segera dikabulkan oleh Allah s.w.t. Sifat ini adalah satu kelemahan manusia. Adakah tergesa-gesa sama dengan gerak cepat?

Sifat tergesa-gesa kerap terjadi akibat daripada satu tindakan. Kadang-kadang menyebabkan manusia menjalankan kewajipan asal menjadi sesuka hati dengan mengambil jalan pintas yang bertentangan dengan hukum. Bukankah banyak dosa yang terkumpul akibat kesilapan manusia disebabkan sifat tergesa-gesa?

Menghindari sifat ini tidak bermakna Allah s.w.t menggalakkan manusia bertindak lambat, menunda kerja hingga keesokan hari dan sebagainya. Sebaliknya ia bermaksud sebagai larangan melakukan sesuatu pekerjaan dengan tergesa-gesa sehingga tidak sesuai dan memenuhi ketentuan atau mengambil kesempatan dalam kesempitan. Rasulllah s.a.w. bersabda, “Tidak tergesa-gesa (berfikir matang) bersumber daripada Allah, dan tergesa-gesa bersumber daripada syaitan.” (Riwayat al-Baihaqi).

Sebagai renungan, eloklah merujuk nasihat al-Jahiz (775-867H) tentang sikap tergesa-gesa. “Hati-hatilah, jangan sampai syaitan memperdaya kamu, sehingga menguburkan tekad dan iltizam kamu atau memperlihatkan sikap suka menunda-nunda sebagai bentuk tawakkal (berserah diri kepadanya). Jangan sampai pula syaitan mencabut sikap berhati-hati yang melahirkan keengganan untuk bertindak dengan bertopengkan takdir.”

Hakikatnya terdapat banyak kelemahan manusia yang dapat dimanfaatkan oleh syaitan. Semoga dengan selalu mengingati Allah s.w.t dan mengingat permusuhan dengan syaitan, anda dapat menghindari semua sifat kelemahan. Mudah-mudahan Allah s.w.t melindungi anda daripada kelemahan berkenaan.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...