Tuesday, February 22, 2011

Ujian MUET tiga kali setahun

Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) pada 21 Februari 2011 telah mengumumkan berita yang pastinya akan menggembirakan bakal calon MUET apabila MPM akan menawarkan MUET sebanyak 3 kali setahun melai tahun depan.

Langkah ini adalah bagi menampung jumlah permohonan untuk menduduki MUET yang semakin bertambah pada setiap tahun. Seramai 94,117 calon menduduki MUET pada akhir tahun lepas, iaitu peningkatan sebanyak 13.15 peratus berbanding jumlah calon MUET pertengahan tahun iaitu sebanyak 81,743 calon.

Beliau berkata secara keseluruhan, prestasi calon MUET akhir tahun telah meningkat sebanyak 46.02 peratus calon, mendapat Band 3 atau lebih baik berbanding dengan 33.87 peratus pada MUET pertengahan tahun lepas.

Diharap dengan pertambahan MUET sebanyak 3 kali setahun ini akan meningkatkan lagi semangat calon-calon untuk berusaha mendapat Band yang tinggi.

Pengalaman laksamana semasa mengambil MUET hampir 8 tahun lepas amat menyeksakan kerana terpaksa menunggu lama jika terlepas untuk kali pertama bagi tahun tersebut. Kekerapan ujian ini mungkin boleh ditambah dari masa ke semasa mengikut jumlah permohonan calon-calon.

MPKB haramkan penyediaan Shisha kepada pelanggan

MPKB telah mengambil langkah proaktif dengan mengharamkan penyediaan Shisha kepada pelanggan oleh semua restoran di kawasan penyeliaan MPKB. Pengharaman ini tertakluk dibawah Undang-Undang Kecil MPKB.

Langkah MPKB ini patut dipuji dan disokong kerana TV3 juga telah menyiarkan slot khas mengenai keburukan Shisha yang anda boleh lihat di http://www.tv3.com.my/beritatv3/laporan_khas/index.1.html.

Menurut rujukan di wikipedia, baca betul-betul wikipedia, bukan wikileaks ya, shisha adalah nama yang digunakan didalam bible yang bermaksud "sulaman" adalah merujuk kepada:

- Hookah - iaitu alat untuk merokok
- Mu‘assel - campuran separuh tembakau dan separuh perasa yang digunakan

Menghisap shisha sama seperti menghisap rokok dan kedua-duanya mempunyai banyak keburukan. Pakar-pakar perubatan telah menjelaskan kesan-kesan buruk merokok. Sesungguhnya Allah swt telah mengharamkan ke atas orang Islam melakukan sesuatu yang memudaratkan mereka. Oleh itu adalah wajib bagi mereka yang menghisap shisha atau rokok supaya berhenti dan berwaspada daripada perbuatan tersebut kerana firman Allah swt:

Maksudnya: Mereka bertanya kepadamu (Muhamad), "Apakah yang dihalalkan bagi mereka"? Katakanlah, "Yang dihalalkan bagi kamu adalah yang baik-baik. (al-Maidah: 4)

Dan Allah swt telah berfirman lagi:

Maksudnya: Dan dia (Muhamad) yang menghalalkan segala yang baik bagi mereka dan mengharamkan segala yang buruk bagi mereka. (al-A'raf: 157)

Fikir-fikirkan lah

Minda: Amanah umpama jantung manusia

http://www.hmetro.com.my
Oleh WAN MOHD RUZLAN WAN OMAR

AMANAH adalah nilai peribadi mukmin sejati dan sangat dituntut Islam ke atas setiap umatnya tanpa mengira pangkat dan kedudukan, lebih-lebih lagi pada pemimpin.

Seorang pemimpin yang sebenar mesti memiliki sifat amanah sebagai tonggak kepada kemercuan imej perwatakan diri yang unggul.

Ingatlah tanpa amanah akan menjerumuskan seseorang kepada ciri-ciri orang munafik.

Sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud: ‘Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga: Apabila bercakap dia berbohong, apabila berjanji dia mengingkarinya dan jika diberi amanah dia mengkhianatinya’.

Saidina Abu Bakar pula ketika menyampaikan ucapan dasar selepas dilantik sebagai khalifah ada menyatakan: “Kejujuran adalah suatu amanah dan kedustaan adalah suatu khianat”.

Jarang kita ingat bahawa amanah yang kita pikul sebagai seorang hamba Allah di muka bumi ini adalah satu tanggungjawab berat.

Sedarlah kita bahawa amanah pernah Allah tawarkan kepada langit dan bumi, tetapi kedua-duanya menolak, lantaran beratnya tanggungjawab menjaga amanah Allah itu serta bimbang akan mengkhianatinya.

Ibnu Hatim ada menceritakan bahawa Mujahid berkata apabila Allah jadikan langit dan bumi lalu dibentangkan kepada mereka amanah.

Namun, kedua-duanya menolak tawaran Allah itu. Akan, tetapi apabila dijadikan Nabi Adam a.s, amanah itu ditawarkan pula kepadanya.

Nabi Adam berkata: “Apa ini, ya Tuhan?” Jawab Allah: “Ini jika kamu tunaikan dengan baik akan diganjarkan pahala, tetapi seandainya kamu cuai, kamu akan diazab”.

Kemudian Nabi Adam berkata: “Aku sanggup menanggungnya”.

Hal ini sebenarnya ada Allah khabarkan melalui Surah Al-Ahzab ayat 72 yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah (Kami) kepada langit dan bumi dan gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan untuk memikul amanah itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya dan dipikul oleh manusia, sesungguhnya manusia itu amat suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara yang tidak patut dikerjakan”.

Inilah kisahnya bagaimana manusia menerima amanah Allah.

Az-Zamakhsyari menyatakan amanah ialah rasa taat yang ada pada manusia itu terhadap segala perintah Allah. Ertinya segala tanggungjawab itu seharusnya dilaksanakan penuh taat dan tidak sekali-kali menyeleweng daripada ketaatan.

Al- Alusi ada membandingkan amanah itu seumpama jantung kepada tubuh manusia. Jantung berperanan menyedut darah ke seluruh tubuh manusia yang membolehkan kita bergerak dan dapat melakukan sesuatu kerja. Tanpa jantung manusia tidak akan hidup.

Begitulah halnya dengan amanah. Amanah adalah jantung kepada ciri peribadi seseorang insan. Lari atau menyeleweng daripada menunaikan amanah bermakna insan itu sudah mati.

Digambarkan bahawa Saidina Ali Abi Talib apabila masuk saja waktu solat, maka kuning mukanya dan berubah raut wajahnya.

Lalu ditanya mengapakah terjadi demikian? Lalu dijawabnya: “Sesungguhnya sudah masuk kepadaku amanah yang ditawarkan oleh Allah kepada langit dan bumi yang kedua-duanya menolaknya dan tidak sanggup menerimanya. “Sesungguhnya aku menanggungnya, aku tidak tahu bagaimana aku hendak tunaikan”.

Subhanallah, begitu hebat dan mendalam kesungguhan rasa insaf Saidina Ali tentang amanah itu. Kita bagaimana?

Demikian gambaran mengenai peri pentingnya kedudukan nilai amanah pada setiap mukmin. Cerita berikut dikisahkan semula sebagai tatapan rohani, sekali gus menjernihkan hati sanubari kita agar sentiasa memegang kukuh nilai amanah dalam kehidupan di dunia ini.

Kisahnya Amirul Mukminin Umar Abdul Aziz dikunjungi oleh emak saudaranya. Tujuannya kerana berhajat untuk meminta tambahan wang saraan daripada Baitul Mal.

Pada waktu itu, Umar sedang makan kacang bercampur bawang dan adas iaitu makanan yang rakyat biasa makan. Melihat emak saudaranya datang berkunjung itu, Umar pun berhenti makan lalu mengambil sekeping wang bernilai satu dirham dan membakarnya.

Kemudian Umar membungkus wang berkenaan dengan sehelai kain dan diberikannya kepada emak saudaranya sambil berkata: “Inilah tambahan saraan wang yang mak cik minta”.

Apabila saja dipegangnya, emak saudaranya lantas menjerit kerana kepanasan. Kemudiannya Umar pun berkata: “Kalau api dunia terasa sangat panas, bagaimana nanti api neraka yang akan membakar diriku dan mak cik kerana mengkhianati amanah dan berbuat seleweng terhadap harta kaum Muslimin?”

Peristiwa di antara Umar Abdul Aziz dengan emak saudaranya itu jelas menunjukkan yang khalifah itu sangat menjaga nilai amanah hatta kepada kaum kerabatnya sendiri.

Begitulah suci dan luhurnya peribadi seorang khalifah agung dan peristiwa berkenaan sewajar memberikan pengajaran kepada kita supaya sentiasa mengamalkan sikap amanah sebagai agenda hidup.

Jika amanah sudah kukuh dan mantap terserap dalam diri seseorang mukmin, pasti sukarlah syaitan untuk ‘melemparkan senjatanya’ ke dalam diri mukmin itu.
Siapapun diri kita, tinggi atau rendahnya pangkat kedudukan kita, pemimpin kecil atau pemimpin besar, semua tidak terkecuali daripada memegang sikap amanah ini.

Landskap kehidupan dalam masyarakat dan negara pasti sangat kondusif, penuh berkat dan tenteram harmoni jika setiap manusia beramanah. Seandainya semua pemimpin sedar dan insaf mengenai menjaga amanah Allah itu, sudah pasti tidak akan timbul sama sekali gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. Ingatlah wahai pemimpin, engkau akan ditanya Allah apakah engkau sudah melaksanakan amanah itu dengan sempurna.

Ingatlah, engkau pasti akan ditanya! Bermuhasabah diri daripada sekarang dan insaflah akan akibat masa berhadapan dengan Allah.

Dalam membentuk masyarakat cemerlang dan menggemilangkan sesebuah negara, pemimpin mesti seorang yang berintegriti dan kuat sikap amanahnya.

Jika kita teliti apa yang dilakukan Rasulullah ketika memilih pemimpin, Baginda sangat peka terhadap nilai amanah pada seseorang itu sebelum dilantik sebagai pemimpin.

Hal itu bertepatan dengan firman Allah dalam surah al-Qasas ayat 36 yang bermaksud: “Sesungguhnya sebaik-baik orang hendak engkau ambil untuk bekerja ialah yang kuat (berkemampuan) dan amanah (dipercayai)”.

Manakala dalam surah al-Nisa’ ayat 58 Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya)”.

Jadi di sini jelas bahawa nilai amanah adalah kriteria utama dalam memilih seseorang pemimpin.

gabungan ke arah kejayaan

Usaha ke arah kejayaan adalah komitmen gabungan 3 perkara. Ketiga-tiga perkara ini adalah seperti berikut:

1. Hati.
2. Minda.
3. Tindakan.

Ketiga-tiganya kenalah baik, kenalah positif, kenalah digabung sekata. Andai kata hati dan minda positif tapi tindakan negatif, kesannya akan jadi negatif. Andai kata hati, minda dan tindakan jadi positif, kesannya jadi positif. Ketiga-tiga perkara ni perlu positif, barulah Anda akan merasai impaknya.

Melalui gabungan hati, minda dan tindakan positif, Anda akan dapat mencapai apa jua kecemerlangan dalam apa jua usaha Anda. Sebab? Perkara-perkara positif menaikkan Anda, perkara-perkara negatif menjatuhkan Anda. Lihatkah orang-orang berfikiran negatif, mereka tak mencapai banyak kemajuan. Lihat pada orang-orang berfikiran positif, mereka dapat mencapai kemajuan.

Hati adalah aspek diri yang paling senang untuk dipengaruhi, iaitu sama ada ada dipengaruhi oleh bisikan-bisikan positif atau bisikan-bisikan negatif.

Ketika Anda berbuat sesuatu, bisikkan kata-kata positif dalam hati supaya Anda bersemangat, supaya tindakan Anda dan minda Anda jadi positif. Contoh bisikan-bisikan positif adalah seperti berikut:

1. “Aku mahu bersemangat hari ini”.
2. “Aku mahu buat yang terbaik hari ini”.
3. “Aku percaya aku boleh buat. I CAN DO it!”.
4. “Jika dia boleh, aku pun boleh!”.
5. “Aku boleh buat benda ni, aku cuma kena belajar cemana nak buat. Aku optimis aku boleh buat!”
6. “Aku boleh, aku boleh, aku boleh!”.

Down cemanapun emosi Anda, berusahalah positifkan diri. Masukkan bisikan-bisikan positif seperti di atas supaya Anda dapat mengawal emosi lalu merubahnya jadi positif.

Laungkan dalam hati salah satu daripada bisikan-bisikan di atas untuk meniupkan inspirasi ke sanubari Anda. Apa yang ada di hati akan naik ke minda. Apa yang ada di minda Anda, itulah yang akan mempengaruhi perbuatan Anda.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...