Thursday, January 20, 2011

Daging berkecai di 'paya hangus'

Sumber Kosmo
http://www.kosmo.com.my/

Tapak pesawat Penerbangan Malaysia MH635 yang terhempas di Tanjung Kupang, Gelang Patah, Johor pada 4 Disember 1977 kini hanyalah sebuah belukar tinggal. Ia menyembunyikan 1,001 misteri yang belum sempurna terjawab.


ANTARA faktor pemula kisah yang disiarkan ini ialah cerita-cerita yang disampaikan dari mulut ke mulut oleh para pemandu teksi di sekitar Johor Bahru. Mereka menyebarkan cerita tentang kelibat wanita berpakaian seperti pramugari pada waktu malam di jalanan sekitar Jalan Kebun Teh dan juga di Gelang Patah, Johor.


"Wanita itu meminta dihantarkan ke salah satu destinasi itu. Kawan saya pernah terkena sebelum ini. Apabila ditanya wanita itu kenapa dia mahu turun di tempat yang gelap dan bukan kawasan perumahan, wanita itu tiba-tiba ghaib dari tempat duduk penumpang.

"Ada pula yang sempat dijawab wanita itu. Katanya, 'bang, saya nak cari tangan saya yang putus'. Gugur jantung saya," cerita seorang pemandu teksi, Yusof Mohamad, yang menggeleng-gelengkan kepala sambil berdoa dirinya tidak diuji dengan pengalaman seperti itu.




Ramai orang di bandar raya Johor Bahru maklum tentang kisah seram tersebut. Sama ada mendapat respons ketawa atau rasa takut yang melampau, ia sebenarnya merantai ingatan mereka terhadap sebuah tragedi dahsyat yang pernah berlaku lebih tiga dekad lalu.

Isnin 4 Disember 1977 adalah tarikh yang paling mendukacitakan dalam sejarah Penerbangan Malaysia (MAS). Penerbangan MH653 yang membawa seramai 93 penumpang bersama tujuh anak kapal telah meletup dan terhempas di sebuah kawasan paya bakau di Tanjung Kupang, Gelang Patah, Johor.
Rangka pesawat yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang itu berkecai dan terbakar hingga meranapkan muka bumi seluas kira-kira dua kilometer persegi dari titik hentamannya.
Kegemparan itu mengejutkan sekalian penduduk kampung nelayan di situ. Ada yang berkurung dan segera menutup pintu kerana ketakutan. Ada pula penduduk yang berani bergegas ke tempat kejadian.

"Saya ternampak gugusan api yang marak menyala di langit. Sejurus ia terhempas ke bumi, bergegar jadinya kawasan ini. Semua orang terdiam dan berdebar-debar," ujar seorang warga Kampung Tanjung Kupang, Ahmad Puteh, yang sewaktu kejadian itu berusia 26 tahun dan masih bujang.

 
NAHAS MH653 mendapat perhatian ramai termasuk Tengku Mahkota Johor, Perdana Menteri, Allahyarham Datuk Hussein Onn (kini Tun), Menteri Perhubungan, Mendiang Tan Sri Manickavasagam dan Timbalan Mufti Johor, Datuk Ahmad Awang.


Segalanya masih jelas dalam memori nelayan berusia 58 tahun itu. Menurutnya, hanya selepas setengah jam, baru dia nekad untuk melihat 'raksasa' apakah yang jatuh ke kampungnya itu.



Kutip duit berguni
Dalam gelap malam yang diterangi api yang masih marak, orang kampung sungguh terkejut apabila mendapat tahu yang jatuh itu adalah bangkai kapal terbang.

"Sebelum kedatangan pihak berkuasa, saya melihat beberapa orang kampung sibuk mengutip sesuatu di tanah. Duit berselerak macam daun pokok getah.

"Malah ada yang dapat kumpul hingga berguni-guni banyaknya," katanya yang tidak berani mengambil, namun tidak menafikan bahawa sesiapa pun akan tergerak hati untuk memungut not-not kertas wang ringgit, yen Jepun, dolar Amerika dan pound sterling di sekitar kawasan tragedi.

"Saya dengar cerita, beg-beg yang berisi pakaian dan barang kemas pun dijumpai orang kampung. Bila tengok barang-barang macam itu, mereka pun 'menyelit-nyelit'lah.

"Paling kecoh, apabila ada seorang yang ternampak cincin lalu ingin memungutnya secara diam-diam. Rupa-rupanya, cincin itu masih tersemat pada sebatang jari yang sudah putus!" kata seorang suri rumah, Zaiton Dol, 47, tentang tabiat rakus orang kampung.

"Entah siapa agaknya yang membawa wang tunai begitu banyak. Tapi bila difikirkan balik, memang ramai orang kenamaan dalam kapal terbang itu, kan? Mesti barang-barang itu milik mereka," katanya.


Selain mengorbankan seorang usahawan Jepun, Tomio Gotto, dan Duta Cuba ke Malaysia, Mario Garcia serta isterinya, tragedi pesawat MH653 itu turut meragut nyawa Menteri Pertanian, Datuk Seri Ali Ahmad, Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya, Tan Sri Mahfuz Khalid, Pengarah Kerja Raya Bahagian Tentera, Datuk Khalid Mohamad, dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Abu Bakar Othman Merican.


Selain itu, dua orang pegawai Bank Dunia, O.D. Hoerr dan S.A. Naime turut terkorban bersama-sama puluhan penumpang dan petugas kabin. Tiada seorang pun yang terselamat dalam pesawat yang dipandu juruterbang Kapten G.K. Ganjoor dan pembantunya, Kamarulzaman Jalil itu.

Seorang lagi penduduk kampung yang teruja menceritakan kisah itu ialah Siti Rahmah Ismail, 39. Walaupun ketika kejadian dia baru berusia tujuh tahun, Siti Rahmah masih mengingati banyak perkara.

"Budak-budak disuruh tidak keluar dari rumah. Maklumlah, ibu bapa kami takut perkara buruk terjadi kepada kami. Keadaan semakin kecoh apabila pihak berkuasa dan keselamatan yang terdiri daripada anggota polis, tentera, bomba dan ambulans tiba tidak lama kemudian. Kerja-kerja menyelamat berlarutan ke lewat malam," imbasnya.

MEMORIAL memperingati tragedi pesawat Boeing 737 MH653 masih dikunjungi ahli keluarga mangsa di Jalan Kebun Teh, Johor Bahru.


Keesokannya, udara kampung menjadi tidak nyaman. Ramai yang terkejut apabila terjumpa atau ternampak dari jauh kecaian daging dan tulang manusia yang bersepah dan membusuk. Lebih meloyakan adalah apabila isi perut yang terburai dilihat tersangkut pada ranting dan dahan pokok bakau.

"Ramai yang tidak boleh tidur malam kerana dibayangi pemandangan itu. Apatah lagi mereka diganggu mimpi ngeri, terutama mereka yang telah mencuri simpan barang peribadi milik mangsa nahas," kata Ahmad.

"Siapa yang mengambil milik orang pada malam kejadian, terimalah habuannya. Mereka tidak tenang. Sampai ada yang sakit seperti terkena badi hingga terpaksa dibawa berubat," tambah Zaiton pula.


Suara jeritan
Ahmad mengakui, selama beberapa tahun, Kampung Tanjung Kupang terutama di kawasan tragedi itu seperti berhantu. Semua orang takut untuk melaluinya.

"Kalau menaiki motosikal di daratan atau menaiki bot di sebelah paya bakau itu, pasti akan terdengar suara-suara kelam seperti orang menjerit, meratap dan memekik meminta tolong.

"Penghuni rumah yang paling dekat dengan tempat kemalangan juga telah lama berpindah sejak tragedi itu berlaku," kata Ahmad mengenai sebuah rumah tinggal yang terletak kira-kira 100 meter dari rebakan api bangkai MH653.

Kru Jurnal yang mengunjungi Tanjung Kupang kelmarin nekad 'menceroboh' masuk tapak tragedi walaupun mengetahui laluan masuknya sudah dipagar kerana telah menjadi milik Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP). Sewaktu memperlahankan kereta di sebatang jalan yang sempit, tidak pula terasa apa-apa yang meremangkan bulu roma.

 
SELAIN tapak tragedi, balai polis lama di Tanjung Kupang ini juga sudah menjadi sejarah lantaran tidak lagi berfungsi.


Semakin kereta kami ditelan belukar yang kian meliar, bau busuk tiba-tiba menusuk hidung. Namun, bau itu bukan daripada bau reputan daging manusia seperti yang diceritakan sebelumnya. Saat tiba di penghujung jalan, kami menemui sebuah kandang lembu yang diusahakan oleh seorang penduduk kampung, Mohamad Nor Kamaludin, 34.

"Daripada kawasan ini terbiar, biarlah saya memanfaatkannya. Lagipun kandang ini hanya sementara," kata Mohamad yang seakan-akan tahu tujuan kedatangan kami.

"Memang di sinilah tempat kapal terbang itu jatuh. Kisah tragedi itu sudah lama berlalu, tak ada apa pun yang menakutkan di sini. Silakanlah ambil gambar. Orang kata, masih ada tayar kapal terbang di hujung tanah sana. Kalau ada pun, pasti dah tenggelam ke dalam lumpur," ujarnya.

Menurut sumber daripada Pelabuhan Tanjung Pelepas, tempat tragedi pesawat MH653 itu adalah sebahagian daripada kawasan paya seluas 800 hektar milik kerajaan yang kini diletakkan di bawah jagaan PTP secara konsesi. Ia sekadar dirizab sebagai zon bebas aktiviti manusia.

Paya hangus yang telah mengorbankan 100 jiwa itu kini hanyalah hamparan muka bumi yang mirip hutan sekunder. Wartawan Jurnal sekadar menemui sebuah terusan air dan benteng tanah laterit yang ditinggikan bagi memisahkan kawasan belukar darat dengan kawasan bakau yang semakin teranjak melebihi garis air laut.

Di situlah 32 tahun lalu berlaku sebuah tragedi yang telah menggemparkan negara.



Hati-Hati Beri Dan Terima Pujian

SUKA dipuji dan memuji diri sendiri adalah sifat mazmumah yang membuahkan sikap riak. Sebenarnya yang layak dan berhak dipuji hanyalah Allah. Inilah maksud dalam surah al-Fatihah: "Segala puji hanya untuk Allah, Pencipta dan Penguasa seluruh alam." (Surah al-Fatihah, ayat 2)

Segala yang kita kagum dan takjub semuanya rekaan Allah Yang Maha Bijaksana termasuklah diri dan segala kepakaran serta kebolehan yang ada pada kita. Justeru, di mana letaknya kewajaran dibuai perasaan bangga dan bahagia apabila mendapat pujian yang belum teruji keikhlasannya?

Memuji Allah dengan lafaz 'Alhamdulillah'; mengandungi pengiktirafan akan Kebesaran, Keagungan, Kesempurnaan zat dan sifat-Nya. Di samping itu, ia juga mengandungi pengertian kesyukuran tulus ikhlas di atas segala nikmat-Nya yang tidak terkira.

Memuji Allah adalah satu ibadat dan Allah sangat suka kepada hamba yang memuji-Nya. Jabir bin Abdullah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Zikir yang paling afdal ialah ‘LailahaillaAllah dan doa yang paling afdal ialah ‘Alhamdulillah." (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Anas bin Malik meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Di kala Allah menganugerahkan satu nikmat kepada seseorang hamba, lantas hamba itu menerimanya dengan ucapan ‘Alhamdulillah' maka ‘Alhamdulillah' yang diucapkan itu lebih baik daripada nikmat yang diterimanya." (Hadis riwayat Ibn Majah)

Daripada Abdullah bin Umar, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Apabila seseorang hamba berkata, "Wahai Tuhanku, untuk-Mu saja segala pujian yang selayaknya dengan keagungan wajah-Mu dan kebesaran kekuasaan-Mu, dua malaikat terpinga-pinga, tidak tahu apa yang hendak dicatatkan. Lalu kedua-duanya segera menghadap Allah dan berkata: Wahai Tuhan kami, sesungguhnya seorang hamba-Mu mengungkap satu ucapan yang kami tidak mengetahui bagaimana menulis pahalanya. Allah bertanya apakah ungkapan itu sedangkan Dia sudah mengetahuinya. Maka malaikat itu menyebut ungkapan yang didengari. Allah berfirman kepada kedua-duanya: Kalian berdua tulislah apa yang diucapkan oleh hamba-Ku itu. Apabila tiba waktu dia kembali menemui-Ku nanti Aku akan memberinya ganjaran yang sesuai dengan ucapannya itu." (Hadis riwayat Ibn Majah)

Diriwayatkan, Rasulullah SAW mendengar seorang lelaki memuji seorang lelaki lain, lantas Baginda SAW bersabda yang maksudnya: "Malang kamu! Sesungguhnya kamu sudah memotong lehernya! Kemudian Baginda SAW menambah: "Sekiranya seseorang daripada kamu tidak dapat mengelak daripada memuji temannya maka hendaklah dia berkata, saya kira begini, jangan sekali-kali dia menyucikan seseorang mengatasi Allah." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Muawiyah berkata bahawa Rasulullah SAW jarang sekali meninggalkan pesanan ini di dalam khutbah Jumaatnya: "Sesiapa yang Allah kehendaki kebaikan untuknya, diberinya kefahaman yang mendalam mengenai agama. Sesungguhnya harta itu manis lagi menawan. Sesiapa yang mengambilnya dengan cara yang benar, diberkati padanya. Berwaspadalah kamu daripada perangai puji memuji. Sesungguhnya pujian itu adalah sembelihan." (Hadis riwayat Ahmad)

Namun kita perlu bezakan antara memuji (ada udang sebalik batu) dengan memberikan pengiktirafan dan penghargaan. Memberikan pengiktirafan dan penghargaan digalakkan bertujuan memberi galakkan, melebarkan silaturahim dan mengeratkan kasih sayang. Nawaitu perlu dijaga sepanjang waktu.

Kita juga dilarang memuji diri sendiri dan menyebut kebaikan diri. Firman Allah yang bermaksud: "Tidakkah engkau perhatikan (dan merasa pelik wahai Muhammad) kepada orang-orang yang membersihkan (memuji) diri sendiri? (Padahal perkara itu bukan hak manusia) bahkan Allah jugalah yang berhak membersihkan (memuji) sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan syariat-Nya); dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasan mereka) sedikitpun." Surah an-Nisaa, ayat 49)

Menurut al-Hasan dan Qatadah, ayat ini mengenai Yahudi dan Nasrani yang mendakwa mereka adalah anak Allah dan kekasih-Nya. Mereka juga berkata: "Tidak sekali-kali akan masuk syurga melainkan orang-orang yang beragama Yahudi atau Nasran. Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka saja. Katakanlah (wahai Muhammad): "Bawalah ke mari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar." (Surah al-Baqarah, ayat 111)

Al-Miqdad bin al-Aswad berkata Rasulullah SAW memerintahkan kami supaya menabur pasir ke muka orang yang suka memuji diri." (Hadis riwayat Muslim)

Terkesan dengan tarbiah al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW, Umar bin al-Khattab pernah berkata: "Sesungguhnya perkara yang paling aku takuti menimpa kamu ialah kagum kepada buah fikiran dan diri sendiri. Sesiapa yang mendakwa dia orang yang beriman, maka sebenarnya dia kafir. Dan sesiapa yang mendakwa dia orang yang berilmu, maka sebenarnya dia jahil. Dan sesiapa yang mendakwa dia ahli syurga, maka sebenarnya dia ahli neraka." (Hadis riwayat Ibn Marduwaih)

Mimpi seorang Nabi

Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqh yang masyur. Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahwa antara Nabi-nabi yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara. Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi, "Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat, pertama; apa yang engkau lihat (hadapi) maka makanlah, kedua; engkau sembunyikan, ketiga; engkau terimalah, keempat; jangan engkau putuskan harapan, yang kelima; larilah engkau daripadanya."

Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi itu kebingungan sambil berkata, "Aku diperintahkan memakan pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan." Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba...

bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi itu pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur 'Alhamdulillah'.

Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut. Maka berkatalah Nabi itu, "Aku telah melaksanakan perintahmu." Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disadari oleh Nabi itu yang mangkuk emas itu terkeluar semula dari tempat ia ditanam.

Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, "Wahai Nabi Allah, tolonglah aku." Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku."

Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya.

Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalannya. Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya. Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia berkata, "Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini."

Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah S.W.T. bahwa, "Yang pertama engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukittetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu.

Kedua; semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua.

Ketiga; jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya.

Keempat; jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat.

Kelima; bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah."

Saudara-saudaraku, kelima-lima kisah ini hendaklah kita semaikan dalam diri kita, sebab kelima-lima perkara ini sentiasa saja berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah mengata hal orang, memang menjadi tabiat seseorang itu suka mengata hal orang lain. Haruslah kita ingat bahwa kata-mengata hal seseorang itu akan menghilangkan pahala kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah dikerjakannya. Lalu dia bertanya, "Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu."

Maka berkata Allah S.W.T., "Ini adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang dirimu." Dengan ini haruslah kita sedar bahwa walaupun apa yang kita kata itu memang benar, tetapi kata-mengata itu akan merugikan diri kita sendiri. Oleh kerana itu, hendaklah kita jangan mengata hal orang walaupun ia benar.

Mengubati penyakit rohani

Abu Laits as-Samarqandi (seorang ahli fiqh yang masyur) berkata, jauhilah minum arak kerana di dalamnya mempunyai sepuluh perkara yang tercela.

# Apabila seseorang itu minum arak, kedudukannya seperti orang gila, akhirnya dia menjadi bahan ketawa kanak-kanak dan tercela dia bagi orang yang berakal.

# Arak itu boleh menyebabkan hilangnya akal dan musnahnya wang ringgit.

# Minum arak boleh menyebabkan timbulnya permusuhan antara sahabat.

# Minum arak akan menghalangi seseorang itu mengingati kepada Allah dan akan menghalangi dia daripada mengerjakan solat.

# Minum arak akan mendorong perbuatan zina. Sebab seseorang yang minum arak mungkin dengan mudah menceraikan isterinya tanpa disedarinya.

# Minum arak adalah anak kunci segala perbuatan jahat. Orang yang minum arak mudah sekali melakukan perbuatan terkutuk.

# Minum arak boleh menyebabkan menyakiti keluarganya dan temannya kerana mengiringi ke tempat fasik.

# Orang yang minum arak wajib dihad, dihukum dengan 80 sebatan, kalau dia tidak dipukul di dunia, dia akan dipukul di akhirat dengan cemeti api neraka di hadapan orang ramai dan disaksikan oleh bapa dan temannya.

# Minum arak itu menyebabkan pintu langit ditutup baginya, kerana semua amal baiknya dan doa-doanya tidak diterima selama 40 hari.

# Minum arak itu menyebabkan dikhuatiri dicabut imannya.

Semua akibat ini adalah di dunia sebelum dia mati. Selepas itu, dia akan menghadapi pula seksa akhirat nanti.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...