Friday, August 12, 2011

Wuduk bawa Ashraf kenali Islam

ARKIB : 26/03/2009
http://utusan.com.my



ASHRAF Williams begitu sensitif apabila berbicara tentang status pengislaman dirinya. Ini kerana, dia sentiasa meletakkan dirinya sebagai seorang Muslim yang baru dan akan kekal begitu sehinggalah dia 'menutup mata'.
Panggilan yang selalu digunakan kepada mereka yang bergelar mualaf ialah masuk atau kembali kepada Islam. Namun, Ashraf yang tinggal di Johannesburg, Afrika Selatan merasa terhina acap kali dirinya dilabel sedemikian. Alasannya, dia bukannya seperti kereta.

Berkongsi kisah pengislaman diri di laman web IslamOnline.net, Ashraf berkata, ia bermula pada usianya 23 tahun, bila mana dia menyedari hayat tidak panjang jika masih terus minum arak, kaki perempuan serta mengamalkan gaya hidup yang tidak sihat.

Akhirnya, dia berhenti daripada tabiat buruk di atas. Sayangnya, apabila dia kembali siuman, Ashraf mula terfikir kenapa dan untuk apa dia perlu berhenti dan mengapa dia perlu menjadi seorang yang baik?

Sebelum itu, dia bekerja dalam suasana di mana hanya akan menerima pekerja yang ada 'rupa'. Maka ramailah yang dipecatnya kerana tidak memiliki kriteria tersebut.

Pun begitu, Ashraf menyedari sesuatu yang berbeza dengan seorang rakan wanita sepejabatnya di mana wajah dan penampilannya sentiasa segar walaupun sudah seharian bekerja.

Demi mencari jawapan serta rasa ingin tahu yang membuak-buak itu, Ashraf bertanya apakah rahsianya kekal kelihatan segar? "Agama saya". Ringkas jawab wanita itu.

Jawapan itu menambah persoalan di kepalanya. Bagaimana perkara ini boleh berkait dengan agama pula?

Lantas balas wanita itu, "Tidak, sebenarnya agama saya yang mengajar saya untuk menjaga wuduk.

"Apa! agama awak ajar cara bagaimana untuk menjaga wuduk, apa yang hendak dipastikan bersih? Apakah agama awak itu?" soal Ashraf kekeliruan.

"Islam," jawab wanita itu.

Sejak itu dia bertekad mengetahui lebih tentang agama Islam. Bahan bacaan pertama yang diperoleh ialah buku kecil tentang perbandingan agama karangan Ahmed Deedat. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas Allahyarham kerana sumbangan besarnya kepada agama Islam selama ini.

Selepas membaca tentang konsep Triniti (Tuhan, Nabi Isa dan Roh Kudus), dia mengambil masa beberapa hari memikirkan dalam-dalam mengenai hal itu. Dibesarkan sebagai seorang katolik serta mendapat pendidikan Katolisme sehingga berusia 18 tahun, sudah tentulah timbul pelbagai tanggapan yang perlu dia tangani.

Beberapa hari kemudian, Ashraf membaca semula buku kecil itu dan mula menerima konsep Allah itu Satu yang dibawa Islam. Dia terus dengan pelbagai bacaan berkaitan Islam yang diperoleh. Malah selepas setahun, Ashraf yakin untuk bergelar seorang Muslim.

Dia mandi, kemudian memakai kopiah dan terus memacu kenderaan ke masjid yang berdekatan. Tetapi Ashraf sekadar memandu mengelilingi masjid tersebut lebih kurang setengah jam sebelum membulatkan tekad.

Di perkarangan masjid, dia menuju kepada sekumpulan lelaki yang sedang duduk berbual-bual. Salah seorang daripada mereka, menghampirinya, lalu menyapa dan mahu menghulurkan bantuan. Spontan balas Ashraf, yang dia mahu melakukan syahadah. Sebaliknya lelaki itu memberikannya satu alamat dan menyuruhnya ke lokasi tersebut untuk mempelajari Islam.

Ashraf berkeras yang dia mahu memeluk Islam saat itu juga. Lelaki itu bertanya adakah dia telah mengetahui bagaimana melafazkan syahadah? "Tahu". jawabnya berkeyakinan.

"Aku naik saksi, tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah." Alhamdulillah, akhirnya dia bergelar Muslim juga pada saat itu dan memilih nama Muhammad Ashraf sebaik melakukan pengislaman.

Sejak itu juga Ashraf mula bergaul dengan Muslim yang lain, meneruskan pembelajaran dan selepas dua tahun, berhasrat mendirikan rumah tangga dan gadis pilihannya ialah adik perempuan kepada temannya.

Perkahwinan Ashraf itu turut membawa maksud yang dia telah melanggar tiga undang-undang di negaranya iaitu:
1. Akta Kawasan Kumpulan: Dia sepatutnya menetap di kawasan kelompok orang kulit putih.
2. Akta Perkahwinan Campur: Dia sepatutnya berkahwin dengan wanita berkulit putih dan;
3. Perbuatan tidak berakhlak: Dia sepatutnya melakukan hubungan seks dengan wanita berkulit putih.

Keluarga sebelah isterinya malah keluarga kandungnya sendiri amat mengambil berat perihal ini dan bimbang dengan masa depan perkahwinan mereka. Pun begitu, bagi Ashraf, selagi ikatan perkahwinan yang dibina itu mengikut syariat Islam, tiada sesiapa yang dapat menghalang akan kekuasaan Allah Yang Maha Berkuasa dan Maha Pelindung.

Pada suatu hari pada tahun 1994, kebetulan dia berseorangan di rumah pada minggu itu. Tiba-tiba pintu rumahnya diketuk. Ashraf membukanya dan terpaku seorang pegawai polis. Ashraf gementar seketika menyedari dia telah melanggar undang-undang negara.

Namun, dia memberanikan diri dan yakin dengan keputusan sejak berkahwin dulu lagi. Dia melayan baik anggota polis itu. Pada masa yang sama diberitahu oleh anggota polis itu bahawa pihaknya menerima laporan di rumahnya ada seorang wanita yang bukan dari kulit putih.

Sebaik polis itu ternampak kaligrafi Islam tergantung di dinding rumah Ashraf, dia bercerita bahawa dia juga pernah bergelar Muslim suatu waktu dahulu, sebaik melabuhkan punggung ke sofa dan meletakkan fail laporan di sisinya.
Ashraf hairan dengan maksud 'pernah Muslim', lalu menyoal polis itu balik untuk mendapatkan kepastian. Kata polis itu, ibu bapanya Muslim tetapi apabila mereka bercerai, ibunya berkahwin dengan lelaki kulit putih dan mereka berdua menjadi Kristian.

Sesuatu yang melucukan dalam cerita anggota polis itu ialah dalam kad pengenalannya tertera yang dia seorang berkulit putih tetapi dia sering menghantar kad pengenalan ke pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri memberitahu bahawa dia bukan orang kulit putih tetapi mereka tetap berkeras mengatakan dia berkulit putih.
Mereka berbual sambil minum teh dan sebelum polis itu beredar dia berpesan agar Ashraf tidak ke luar daerah.

Selepas bergelar Muslim, Ashraf terus menjaga hubungan kekeluargaannya dengan keluarga kandung. Apabila ibunya melihat cucu perempuan sulungnya lahir ke dunia, dia berpesan kepada Ashraf agar memastikan cucunya itu dijodohkan dengan lelaki kulit putih. Namun bapa muda ini mahukan anak kecilnya itu mengahwini lelaki Muslim.

Alhamdulillah, anak gadis Ashraf bertemu jodoh dengan seorang lelaki India yang berkulit gelap dan kini dia berbangga dihadiahkan dengan seorang cucu lelaki bernama Altaaf.

"Islam serasi dengan saya seperti sarung tangan. Saya dan isteri berazam mendidik anak dengan akidah Islam. Syukur, anak-anak kami membesar sebagai seorang Muslim malah teguh dengan kepercayaan kepada Islam di dada," akui Ashraf.

Ashraf turut berkongsi kekecewaannya iaitu tidak berpeluang berdakwah kepada bapanya sebelum bapa meninggal dunia. Tambah bila melihat pencarian erti ketenangan sebenar bapanya menerusi beberapa gereja Katholik, yang kesemuanya menemui kegagalan.

Walau bagaimanapun, Ashraf meyakini pencarian bapanya hanya akan terjawab di dalam agama Islam. Sebagai seorang Muslim kita melihat diri sebagai 'militan' di dalam solat yang didirikan.

Ritual berwuduk sebelum mengerjakan solat serta berdiri bertemu bahu di dalam saf, dianggap seperti 'perajurit' oleh bapa. Apa yang Ashraf tahu, semasa saat kematian bapa, dia (bapa) tenang dengan pilihan agama anak dan menantunya itu.

Ashraf bersyukur dia sekeluarga dapat berbakti menjaga ibu sebelum ibu pergi buat selamanya akibat penyakit kanser. Pada saat-saat terakhir ibu, dia seperti mengatakan dirinya seorang Muslim dan berbangga dengan pilihan itu. Ibu Ashraf berwasiat mahu dikebumikan dengan pakaian Muslimah milik isterinya.
Adik lelaki Ashraf yang lain masih belum Muslim, namun mereka tetap berbangga dan menghormatinya sebagai abang sulung. Salah seorang daripada mereka tinggal dengan Ashraf selama beberapa bulan dan menerima beberapa akhlak Islam.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...