Sunday, August 14, 2011

Ujian Tuhan - Nur Hafizah tetap tabah

ARKIB : 02/01/2004
http://www.utusan.com.my


``Saya bersyukur dan seronok berada di dalam agama Islam, biarpun hidup saya serba sederhana dan sentiasa menerima ujian daripada Allah s.w.t. tidak kira berat ataupun ringan, waima untuk kembali kepada agama asal tidak sekali-kali,`` akui Pegawai Pentadbiran di Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Nur Hafizah Cheah Abdullah ketika ditemui di Balai Islam, Jalan Ipoh.

Seperkara lagi, Hafizah, 39, sentiasa ingat pesanan abang kandungnya yang mahu beliau taat kepada agama Islam yang dianuti. `Jangan senang-senang masuk dan keluar daripada agama tersebut'.

Biarpun abang sulungnya bukan beragama Islam, namun nasihatnya itu akan dipegang dan dijadikan iktibar.
Tambah ibu tunggal beranak tiga ini, persoalan tentang ujian Tuhan, bukanlah menjadi alasan bagi individu Muslim untuk mengaku kalah atau menyimpan prasangka buruk kepada Penciptanya.

Bagi Hafizah, dugaan Allah s.w.t. terhadapnya bukanlah sedikit dan ada di antaranya yang berat dan menguji keimanannya sebagai hamba.

Menceritakan tentang minat dan keinginannya mengenai agama Islam, menurut Hafizah, ia bermula semenjak di peringkat sekolah rendah.

Hinggakan, beliau sanggup meminta izin daripada guru agama untuk mengikuti kelas pengajarannya bersama pelajar-pelajar beragama Islam, meskipun terpaksa duduk di bahagian belakang kelas.

Bermula dari situlah, cerita Hafizah, kawan-kawan sebangsanya memulaukannya.

Keadaan yang serupa berterusan hinggalah ke peringkat sekolah menengah bila mana Hafizah mengambil kertas peperiksaan subjek Agama Islam di dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

``Malah semasa usia saya mencecah 15 tahun saya pernah lari dari rumah dan menumpang di rumah kawan dengan hasrat menggunung untuk memeluk agama Islam, tetapi terhalang apabila ibu datang menyongsong.

``Kegagalan pertama ini sedikitpun tidak melemahkan semangat saya, malah saya berazam lebih kuat untuk mencapainya satu hari nanti.

``Apabila saya meneruskan persekolahan tingkatan 4 di salah sebuah sekolah berasrama di Kuala Lumpur, dari situlah peluang saya memeluk Islam agak mudah dan cerah.

``Akhirnya, saya mengucap dua kalimah syahadah kira-kira 20 tahun yang lalu semasa berusia 18 tahun,`` cerita anak kelahiran negeri Selangor yang menganggap dirinya memang dilahirkan untuk bergelar Muslimah.

Walaupun Hafizah banyak mendalami ilmu agama Islam melalui pergaulan, persekitaran masyarakat Melayu Islam serta kelas-kelas semasa di sekolah rendah dan menengah, namun baginya itu semua belum mencukupi.

Oleh kerana itu, keikhlasannya berada selama dua tahun di Institut Dakwah Islamiah PERKIM, di Petaling Jaya, berjaya membuka mindanya bahawa sebelum ini sebenarnya beliau lebih banyak cenderung kepada keMelayuan yang diakui kaya dengan adat.

Insan
Kata Hafizah lagi, di institut inilah beliau berpeluang mendalami cara bagaimana menjadi seorang insan yang mengikut landasan atau syariat Islam sebenar, serta mampu membezakan antara adat dan agama.

Imbau anak ketiga daripada empat beradik ini lagi, meskipun beliau tidak menerima tentangan hebat daripada kedua-dua ibu dan bapanya tetapi seorang adiknya jelas menunjukkan reaksi membangkang.

Ini kerana pengIslaman kakaknya menyebabkan dirinya menerima impak yang teruk apabila disisihkan oleh teman-teman seagamanya.

Hafizah yang menyifatkan dirinya seorang yang keras hati, merasa bertuah dikurniakan Allah s.w.t. sifat sedemikian kerana dengan kekuatan dalaman inilah, memantapkan keimanan dan ketaqwaannya kepada dugaan dan ujian Allah s.w.t.

``Sewaktu anak-anak masih kecil lagi, perkahwinan yang dibina dengan lelaki pilihan hati, musnah. Lantas saya menjadi ibu tunggal kepada tiga orang anak kami.

``Ibu bapa kandung mahu memelihara anak-anak saya dan berharap saya akan kembali kepada agama asal, tetapi saya tolak.

``Biarlah kami anak-beranak makan pasir sekalipun, keluar daripada Islam dan berputus asa tidak terlintas langsung di hati ini.

``Alhamdulillah, dugaan ini menjadikan saya lebih tabah dan sabar. Malah dengan pekerjaan yang stabil, saya mampu berdikari dan membesarkan anak-anak sehingga dah besar panjang dan mendapat pendidikan akademik dan agama,'' kata ibu kepada Siti Fatimah 18, Mohd Rafie, 17 dan Mohd Syukri, 14 tahun.

Selain itu, kata Hafizah, tugasnya di MACMA banyak memberikan sumbangan yang berfaedah kepadanya dari segi bimbingan mengawal emosi, berkongsi permasalahan dan ilmu pengetahuan agama.

Lantaran itulah, beliau amat menggalakkan agar saudara baru lebih mendekatkan diri dengan persatuan sebegini kerana ia bukan setakat membantu tetapi mengajar, membimbing dan banyak manfaat yang boleh diperoleh daripada penganjuran sesuatu program.

``Semenjak saya berada di MACMA, saya boleh merasakan perbezaannya, tambah pula kenalan ramai dan secara tidak langsung kita berpeluang meminta pandangan mereka yang pakar dalam bidang tersebut, ataupun mempunyai pengalaman yang sama,'' jelas beliau turut meluahkan penghargaan kepada teman karibnya, Sumaiyah Abdullah, seorang rakyat Filipina.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...