Tuesday, August 16, 2011

Sembahyang lima waktu - Kepuasan yang sukar diluahkan

ARKIB : 19/03/2004
http://www.utusan.com.my


Oleh ZUARIDA MOHYIN

``Keinginan saya untuk memeluk Islam datang secara mendadak dan mendesak, waima saya pernah menolak agama ini kerana bimbang terputus hubungan dengan keluarga dan dua orang anak hasil perkahwinan pertama,'' kata Nora Ong Abdullah, 56 membuka bicara petang itu.

Pesara Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Kampung Seri Sikamat, Seremban ini yang ditemani suami, Mohd. Toufed Mohidin, 44, di Pusat Kaunseling, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), datang tepat pada waktu yang dijanjikan.

Nora kelihatan berseri dengan pakaian serba putih dari hujung kaki ke hujung rambut. Manakala Toufed, berkemeja kemas lengkap bersongkok sesuai dengan jawatannya sebagai Penghulu Mukim Rantau di Pejabat Daerah Seremban.

Mengimbas kembali detik awal pengIslaman beliau, akui Nora hidayah Allah s.w.t. tiada sesiapa pun dapat menjangkakannya.

``Pagi itu, saya berada di sekolah dan sedang memulakan rutin kerja seperti biasa. Tiba-tiba, hati ini terpanggil untuk bergelar seorang Muslim.

``Saya cuba menyibukkan diri dengan menaip dan melakukan kerja-kerja perkeranian tetapi fikiran semakin bercelaru dan hati tidak tenteram.

``Apa yang dibuat semua tak kena. Tidak sampai lima minit, saya capai beg, minta kebenaran pengetua untuk keluar sebentar dan terus meluru keluar dari perkarangan sekolah dengan satu tekad iaitu mesti peluk Islam,'' cerita Nora yang sebelum ini dikenali dengan nama Ong Yit Kook, ibu tunggal berbangsa Cina dan beragama Buddha.

Alhamdulillah, dalam keadaan tidak tahu ke mana hendak dituju serta ketiadaan ustaz yang bertanggungjawab mengIslamkan saudara baru di pejabat agama tersebut, namun sebelum tengah hari, Nora telah diajar mengucap dua kalimah syahadah dengan bantuan seorang ustazah di situ.

Selepas pengIslaman tersebut kata Nora, dia menerima kecaman hebat daripada ibunya yang mempersoalkan mengapa dia perlu bertukar agama sedangkan telah mempunyai agama tradisi mereka sekeluarga.

Hingga kepada satu tahap, ibu tidak mengaku Nora sebagai anak kandungnya kerana dikatakan telah mengaibkan mereka, bak kata pepatah Melayu, `menconteng arang ke muka keluarga'.

Biarpun dahulunya Nora takut hendak memeluk Islam tetapi kekuatan selepas menerima hidayah di luar jangkaan beliau. Kata Nora dia semakin berani dengan segala rintangan mendatang walaupun `bersendirian'.
Nora mengetahui ibu membencinya sejak itu kerana setiap kali beliau menghubunginya, ibu akan meletakkan gagang telefon apabila mendengar suaranya.

``Tetapi di dalam Islam, sungguhpun kami berlainan agama, hubungan darah tidak akan terputus hanya kerananya.

``Biar apa pun tindak balas yang diterima, saya tetap seorang anak yang bertanggungjawab terhadap kebajikan ibu,'' jelas Nora yang tidak kenal erti jemu dan sentiasa bersabar kerana percaya Allah bersama orang-orang yang benar.

Sambung Nora, insiden tawaran beliau membantu ibu yang mahu menziarahi adiknya yang sakit di Sungai Petani, telah merapatkan kembali hubungan mereka dua beranak.

``Pada hari saya menjemput ibu di perhentian bas, itulah kali pertama dalam hidup ini, saya peluk ibu. Saya rasa pelukan tersebut telah menimbulkan semacam sentuhan dalaman yang mengusik naluri keibuan ibu.

``Malah ibu juga mahu bermalam di rumah, terkeluar daripada perancangannya sebelum ini, iaitu bermalam di rumah salah seorang adik beradiknya.

``Saya tahu ibu mempunyai motif mahu melihat bagaimana kehidupan bujang saya setelah bergelar Muslim.

``Sepanjang dua hari berada di rumah, banyak kata-kata ibu yang berbaur sindiran tetapi saya diamkan.

``Di samping itu, ibu juga banyak bertanya tentang ajaran Islam. Saya terangkan setakat pengetahuan yang diperoleh melalui kursus-kursus yang diikuti,'' ujar Nora.

Jelas anak ketiga daripada lapan adik-beradik ini lagi, pengIslaman beliau hanya diketahui di kalangan ahli keluarga terdekat.

Malah Mohd. Toufed sendiri sebagai temannya, hanya mengetahui pengIslaman Nora setelah melihat dia bersembahyang semasa berkunjung ke rumahnya. Akhirnya mereka mengakhiri sepuluh tahun perkenalan dengan ikatan perkahwinan pada September 1988.

Kata Nora, suaminya sejak sebelum mereka diijabkabulkan sehinggalah kini sentiasa memberi tunjuk ajar dan membantu kerja-kerja dakwahnya, khasnya selepas Nora bersara.

Boleh dikatakan kedua-dua pasangan ini menjalankan aktiviti dakwah bagai belangkas.

``Semasa saya menghadapi krisis rumah tangga dengan bekas suami, Toufed banyak mendengar dan memberi nasihat. Malah sikapnya berterusan hingga ke hari ini.

``Malah, suami juga banyak mengenalkan saya tentang agama Islam selain pengetahuan yang saya dapat ketika di bangku sekolah,'' kata Nora yang sentiasa menerima sokongan suami dalam kerja-kerja dakwah.
Menjawab keindahan Islam kata Nora, berjaya melakukan sembahyang lima waktu dalam erti kata yang sebenar merupakan sesuatu yang bermakna.

Sebelum ini, kata Nora beliau beranggapan bahawa sembahyang lima waktu itu dibuat secara serentak, rupa-rupanya terdapat lima waktu sembahyang dalam sehari.

Selepas melakukan sembahyang yang sebenarnya, barulah lega di hati Nora dan kepuasan yang diperoleh sukar diluahkan dengan kata-kata.

Menyentuh reaksi anak-anak dengan pengIslaman beliau, Nora menjelaskan mereka waktu itu masih kecil lagi.

``Selepas bercerai pada tahun 1985, anak-anak tinggal dengan bekas suami. Saya keluar dari rumah dengan hanya membawa bantal, tilam dan beberapa helai pakaian biarpun rumah tersebut milik saya.

``Malah urusan makan, pakaian dan perbelanjaan persekolahan anak-anak tetap saya uruskan. Hinggakan saya terpaksa berulang alik dari Rantau (rumah lama) ke Seremban (sekolah baru).

``Mungkin apa yang saya lakukan ini, menyebabkan anak-anak masih menganggap saya ibu mereka sungguhpun kami berlainan agama,'' kata Nora hubungan anak-anaknya juga lebih rapat berbanding dengan bapa mereka sendiri.

Luah Nora, dia merasa bertuah memiliki seorang suami yang begitu memahami dan pandai mengambil hati ahli keluarga dan anak-anak tirinya.

Secara tidak langsung, keharmonian yang ditunjukkan oleh pasangan Nora dan Mohd. Toufed ini membawa mesej yang positif kepada pasangan yang serupa dengan mereka.

Tambah Mohd. Toufed pula, perkahwinan campur merupakan salah satu kaedah berdakwah dalam jangka masa panjang.

``Pada awal perkahwinan dulu, ada juga timbul keraguan untuk pergi ke rumah ipar-ipar sebelah isteri tetapi setelah diterangkan tentang Islam dan diberitahu tentang perbezaan antara adat dan agama, semua salah faham dapat diselesaikan.

``Sekurang-kurangnya, apa yang telah saya lalui bersama isteri dapat dikongsi dengan pasangan Islam yang mengamalkan perkahwinan campur.

``Boleh dikatakan kalau dahulu sesuatu masalah tersebut sukar diatasi tetapi oleh kerana kami telah menghadapinya terlebih dahulu, jadi peringkat pemulihan tersebut dapat dipendekkan,'' kata Mohd. Toufed.
Lantaran itu, Mohd. Toufed tidak melarang Nora menubuhkan Persatuan Darus Saadah untuk menjaga kebajikan saudara baru, terutamanya kaum Cina pada tahun 1994.

Pada awal penubuhan persatuan ini, Nora merupakan setiausahanya. Kini beliau merupakan penasihat kepada persatuan kerana memberi peluang kepada `muka-muka' baru untuk menerajui sebuah persatuan yang diilhamkan oleh beliau sendiri serta mendapat sokongan padu daripada suami.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...