Wednesday, August 10, 2011

Sariyah contohi ibu peluk Islam

ARKIB : 08/01/2009
http://utusan.com.my

Susunan ZUARIDA MOHYIN

Dilahirkan kira-kira 30 tahun lalu dalam keluarga yang kuat pegangan agama Ortodok Roman Katolik, secara tidak langsung menjadikan Sariyah rapat dengan pelbagai aktiviti di gereja. Sehinggakan ada di antara ahli keluarganya yang menjadi paderi, mubaligh dan biarawati.


Malah bukan itu sahaja, datuknya juga mendirikan sebuah gereja di kampung halaman mereka di Kerala, India.
Pun begitu, kata Sariyah, keluarganya selalu berusaha menjadi manusia yang terbaik sama ada dari segi perbuatan dan amalan. Malah yang paling alim di antara mereka ialah ibu.

Ini terbukti apabila nama ibu telah beberapa kali disebut-sebut oleh paderi di kariah kami sebagai seorang model wanita Kristian yang harus dicontohi wanita-wanita lain. Ini kerana ibu sentiasa membaca Injil dan mempraktikkan ajaran agamanya secara ikhlas.

Semuanya berubah, apabila ibu melalui pengalaman secara rohaniah yang menimbulkan pelbagai kemusykilan ke atasnya. Lantas, untuk mencari jawapan kepada keresahan hati dan fikiran, ibu telah merujuk kepada Injil yang sentiasa dipandang tinggi dan dianggap suci itu.

Malangnya, apa yang dicari-cari oleh ibu membawanya lebih jauh dan keyakinannya terhadap kesucian kitab itu semakin pudar.

Pada masa sama, seorang peguam bernama Ibrahim Khan adalah penasihat undang-undang yang digajikan oleh ibu bapa saya untuk tempoh sementara, memandangkan peguam tetap kami sedang bercuti. Apatah lagi, pada waktu itu, kedua-dua mereka benar-benar memerlukan nasihat peguam dalam urusan perniagaan.

Sebagi seorang Muslim yang berpendidikan, Ibrahim telah memperkenalkan Islam kepada ibu dan peliknya, ibu menerima Islam dalam masa beberapa minggu sahaja. Pada masa itu usia saya baru 13 tahun.

Tindakan ibu itu menimbulkan kekeliruan kepada saya, apa lagi sebagai anak sulung. Keluarga kami berpecah kerana ibu merasakan perkahwinannya batal dan tidak sah. Pada saat iu saya benci Islam kerana ia telah menyebabkan keluarga kami bercerai-berai. Bapa pula meninggalkan kami dan pergi entah ke mana. Situasi ini menambahkan kemarahan dan menyemarakkan api kebencian saya terhadap Islam.

Meskipun begitu, saya gemar mendengar laungan azan. Mungkin lucu bunyikan tetapi itulah kenyataannya. Malah saya tetap mengagumi, menghormati dan sayangkan ibu, sungguhpun saya tidak memahami tindakannya.
Timbul semacam keinginan yang membuak-buak untuk mengetahui bagaimana seorang wanita yang terpelajar, bertamadun boleh tertarik dengan agama kuno seperti Islam itu. Suatu hari, akhirnya saya bertanyakan ibu dan jawapannya ringkas, "Bacalah Injil dari muka ke muka".

Bertitik tolak dari detik itulah, bermulanya perjalanan saya mencari erti kebenaran hakiki. Sungguhpun pada usia yang masih terlalu muda dan mentah, Allah SWT telah mengurniakan saya dengan sifat kematangan untuk memahami apa yang dibaca. Saya menemui banyak fakta-fakta yang tidak konsisten dan kesilapan di dalam Injil.

Bagaimanapun, hati saya masih keras untuk menerima kebenaran yang disebut di dalam Islam, biarpun telah jelas diterangkan tentang Nabi Muhammad SAW. Saya masih tetap meneruskan pengajian tentang Kristian dan secara perlahan-lahan membandingkannya dengan agama lain tetapi tidak dengan Islam.

Pada ketika itulah, ibu mengirim surat dengan disertakan transliterasi dan terjemahan daripada surah al-Ikhlas dan kiriman inilah telah menghantui fikiran saya. Berulang kali saya membaca terjemahan surah tersebut seolah-olah seperti bertasbih. Akhirnya, saya akur dan cuba membuka al-Quran.

Saya terkesima, rupa-rupanya semua persoalan yang dicari-cari selama ini, ada di dalam kitab suci itu. Saat itu saya mengakui bahawa saya telah menemui destinasi atau arah tujuan kehidupan di dunia ini. Ia mengambil tempoh dua tahun untuk saya mempelajari, memahami dan mendalami agama Islam. Pun begitu saya bersyukur, akhirnya saya temui kebenaran yang dicari selama ini iaitu pada usia saya 15 tahun.

Selepas itu, saya mengakui Islam adalah agama yang syumul di Lapangan Terbang Bombay di mana saya berharap ibu menjadi saksi dalam melakukan syahadah. Ibu akhirnya membuat pengakuan bahawa dia sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar saya diberikan hidayah. Katanya lagi, sekurang-kurangnya dia mendapat sokongan daripada anak sulungnya walaupun tiada bantuan daripada orang lain. Sesungguhnya Allah SWT telah mengabulkan doa ibu.

Adik lelaki dan adik perempuan saya pada masa itu masih terlalu muda dan mereka mengikut jejak saya dengan turut serta memeluk Islam.

Kami terpaksa melakukan hijrah ke Bombay kerana bimbang masyarakat akan cuba untuk memisahkan kami tiga beradik daripada ibu mereka, apatah lagi pastinya di Kerala kami tidak dapat melaksanakan tanggungjawab dan peranan sebagai seorang Muslim.

Bombay adalah satu-satunya pilihan yang ada pada saat itu. Ya Allah! satu kebesaran yang ditunjukkan oleh Allah ialah apabila masyarakat Islam di situ menerima kami dengan tangan terbuka. Kami mempelajari bahasa Arab, menamatkan pengajian dan kini, kami mempunyai rumah sendiri yang membahagiakan.

Syukur kepada Allah, ayah pula kembali kepada kami walaupun dia masih dengan agama Roman Katolik. Namun, kami mencintainya dan dia adalah penyebab kepada semua keputusan yang kami ambil.

Ayah sedang belajar tentang Islam dan amat menghormati agama Islam dan cara hidup Islamik kami. Dia adalah tunggak kekuatan kami dan meskipun berbeza pegangan agama, dia tetap melaksanakan tanggungjawab membesarkan anak-anak tanpa masuk campur dalam urusan kepercayaan kami, malah selalu melindungi kami serta sentiasa di sisi. Ayah saling tidak tumpat seperti peranan yang dimainkan oleh bapa saudara Rasulullah SAW iaitu Abu Talib.

Masih ramai ahli keluarga kami yang menentang Islam walaupun mereka mengetahui tentang kebenaran Islam. Ada juga kami menerima kiriman surat yang cuba mengkristiankan kami semula biarpun jumlahnya semakin berkurangan dari semasa ke semasa.

Baru-baru ini, kami bercuti pendek di Kerala kerana menziarahi datuk dan nenek. Ia sesuatu yang menyeronokkan apabila dapat pulang ke kampung halaman, tempat di mana kami pernah dibesarkan dahulu.

Mungkin suatu hari nanti, kami dapat membina sebuah masjid dan pusat pengajian Islam. Insya-Allah.
Kini setelah lebih 10 tahun bergelar Muslim tetapi kami merasakan seperti dilahirkan Muslim. Ini kerana kami telah berjaya membantu membina sebuah madrasah di mana ada diajarkan pendidikan al-Quran.

Kami juga telah menemui seorang Murshid, Baba Moinuddin, 104 tahun yang telah menghabiskan hampir separuh daripada hayatnya dengan menyumbang di kompleks tersebut.

Dia mendidik kami secara berterusan untuk menambah ilmu pengetahuan dan memperbaiki amalan. Hanya Allah sahaja dapat membalas kebaikan insan-insan yang terlibat secara langsung mahupun tidak dalam hijrah akidah kami sekeluarga.

lPetikan dari laman web IslamOnline.net

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...