Saturday, August 6, 2011

Muhamad teruskan kelangsungan Rumah Ijabah

ARKIB : 21/01/2009
http://utusan.com.my



BILA sebut rumah anak yatim, stigma dalam masyarakat kita ialah ia tidak terurus, terpinggir, mundur serta jauh ketinggalan dalam banyak segi. Malah lebih menyedihkan, ada yang sanggup menuduh bahawa kemunculannya bukan dengan niat membela tetapi ada udang di sebalik batu.

Pun begitu, pandangan dan persepsi inilah yang cuba diperbetulkan oleh Muhamad Abdullah, 33, waima terpaksa berhadapan pelbagai rintangan dan cabaran seiring dengan penubuhan Rumah Ijabah Anak Yatim Al-Hafiz, Subang Jaya, Selangor kira-kira empat tahun lalu.

Muhammad yang merupakan Pemegang Amanah rumah ini mengakui sungguhpun sudah hampir melepasi fasa pertama penubuhannya, pihaknya masih menerima tempias negatif segelintir pihak. Namun katanya, ia bukan alasan untuk mengaku kalah kerana saya semuanya terletak atas individu serta nawaitu mereka yang menubuhkan institusi berkaitan kebajikan anak yatim itu sendiri.

"Sebab itulah kami di sini bukan sahaja menumpukan kepada penyediaan tempat perlindungan, penjagaan makan minum, perkongsian kasih sayang dan keprihatinan kebajikan tetapi yang paling utama ialah memastikan kanak-kanak ini mendapat pendidikan dan pembelajaran sepenuhnya.

"Menyedari akan kepentingan penguasaan ilmu inilah maka kanak-kanak ini ditanggung sepenuhnya dalam hal ehwal kelengkapan diri, persekolahan serta memperoleh pendidikan yang merangkumi akademi, agama dan hafazan al-Quran," katanya.

Menurut Muhamad, mereka juga berpeluang mengikuti aktiviti hujung minggu serta didedahkan dengan pelbagai aktiviti kokurikulum.

"Ia sekali gus membina keyakinan diri para penghuni agar tidak menjadikan status diri bergelar anak yatim atau fakir miskin sebagai satu kekurangan atau penghalang untuk berjaya," jelasnya.

Kata Muhamad, Rumah Ijabah Anak Yatim Al-Hafiz kini memegang amanah ke atas 70 anak yatim dan miskin antara usia enam hingga 18 tahun.

Tambah anak ketiga daripada lapan adik-beradik ini, kejayaan bertahan sehingga memasuki tahun keempat ini tidak akan terlaksana tanpa sokongan padu serta pengorbanan beberapa sahabat yang berperanan dalam penubuhan Yayasan Al-Ijabah iaitu pada 2006, tenaga pengajar dan tidak dinafikan pertolongan Allah SWT yang ada kalanya datang secara tidak diduga.

Berkongsi cabaran yang dihadapi jelas Muhamad, meskipun soal pencapaian pelajaran kanak-kanak ini menjadi tunggak utama beliau namun usaha memastikan kelangsungan (survival) institusi ini, itu lebih menguja.

"Banyak berlaku ke atas institusi anak yatim ialah apabila generasi pertamanya meninggal dunia, institusi tersebut juga terkubur bersama pengasasnya. Saya tidak mahu perkara ini berlaku sebab itulah pada peringkat awal kewujudannya, kita sudah merancang secara sistematik.

Sebenarnya, kata Muhamad, cetusan idea penubuhan asrama anak yatim ini adalah rentetan daripada usaha arwah ayah beliau, Ustaz Abdullah Mohd. Said yang sebelum ini mengasaskan sekolah agama pada 1998.

"Beliau pernah menyuarakan hasratnya untuk menubuhkan sebuah asrama untuk anak yatim, sayangnya harapannya itu tidak kesampaian apabila dijemput Ilahi kembali ke rahmatullah pada 2004.

"Alhamdulillah, setahun kemudian hasrat arwah ayah berjaya direalisasikan. Pun begitu sehingga kini, kami masih beroperasi di tiga lokasi berbeza untuk asrama lelaki dan perempuan, tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah. "Tempat-tempat itu ialah di Subang Jaya, Bandar Sunway dan Puchong. Oleh itu, atas kesempatan ini, kami sedang giat merancang penubuhan Kompleks Yayasan Al-Ijabah di tanah seluas 0.5 hektar di Puchong, Selangor," katanya dalam pertemuan dengan Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Sementelah pula ditiup semangat menerusi hadis Rasulullah SAW yang berbunyi, "Aku dan penjaga anak yatim seperti ini di syurga. Lalu Nabi menunjukkan dua jarinya iaitu jari telunjuk dan jari hantu".

Mengulas lanjut tentang kompleks yang dianggarkan menelan belanja RM4 juta itu, terang Muhamad pihaknya komited dalam usaha membela nasib anak yatim dan miskin. Dengan terbinanya sebuah kompleks yayasan yang lengkap dengan kemudahan seperti sekolah, dewan, surau, asrama dan kuarters guru, diyakini ia mampu menampung sehingga 500 orang penghuni.

Malah kata Muhamad lagi, melihat kepada para pelajar Rumah Al-Ijabah yang hampir menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan bakal melanjutkan pelajaran ke peringkat menara gading maka usaha penubuhan sebuah universiti wakaf untuk anak yatim dan miskin dirasakan relevan dan kena pada masanya.

Pihaknya berterima kasih di atas mana-mana pihak yang prihatin dan mahu bersama-sama memelihara dan membela anak-anak yatim dan miskin ini. Harapannya, semoga sedikit yang kita lakukan ini menjadi amal jariah yang berguna.
Sumbangan dan derma ikhlas boleh disalurkan dengan mengisi borang derma serta nyatakan nama dan alamat lengkap untuk pengiriman resit rasmi (pengecualian cukai pendapatan) atau atas nama Yayasan Al-Ijabah menerusi akaun Bank Muamalat 14010 005674714.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Mohd. Nor Azizi Awalludin di talian 019-306 4814 atau 03-5880 1886.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...