Thursday, August 18, 2011

Menghargai kehidupan - ``Islam banyak mengajar saya'', Louis Sebastian

ARKIB : 08/09/2005
http://www.utusan.com.my



AGAK pelik kisah pengIslaman kali ini. Percaya atau tidak, itulah realiti bagi pemuda kelahiran Ipoh, Perak, Louis Sebastian, 40.

Ini kerana kerelaan pengacara serba boleh dan penyanyi ini mengucap dua kalimah syahadah, rentetan kemalangan ngeri yang dialami pada 2002 lalu.

Malah akui Louis atau nama Islamnya, Iskandar Louis Shah Abdullah, biarpun insiden tersebut dianggap sekadar alasan remeh oleh segelintir orang, namun yang pasti, tragedi berdarah yang meragut nyawa insan lain, telah meninggalkan kesan mendalam kepada dirinya serta sarat dengan maksud tersirat.

Menceritakan detik cemas lewat petang itu, kata Louis yang juga popular dengan jolokan Louis The Maestro dan Broery Marantika Malaysia, beliau pada waktu itu sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang.
Hentaman

``Sebelum melepasi Plaza Tol Jelapang, Ipoh, Perak iaitu kira-kira satu kilometer lagi menghampiri kaunter tol, saya sudah memberhentikan kereta kerana perasan di hadapan ada satu kemalangan.

``Entah tanpa semena-mena sebuah kereta pacuan empat roda yang berada di belakang, melanggar tepat kereta Perdana V6 yang saya pandu.

``Akibat hentaman kuat tersebut, kereta saya tersepit di tengah-tengah antara 10 buah kenderaan yang terlibat,'' kata Louis yang datang ke pejabat Utusan Malaysia untuk mempromosikan album sulungnya, Tak Bersalah.

Menyambung kisah silam yang masih segar dalam ingatannya hingga kini, kata Louis, dalam situasi yang tidak terkawal itu, beliau sempat membalas balik stereng kereta daripada menjunam ke gaung.

Belokan serta merta itu menyebabkan keretanya membuang, seterusnya melanggar tebing konkrit. Kesan tindakan spontan ini, Louis pengsan seketika.

``Saya tidak sedarkan diri untuk beberapa minit tetapi dalam tempoh sesingkat itu, ada perkara luar biasa yang berlaku.

``Pertama, saya mendapat gambaran sepintas lalu perjalanan atau putaran kehidupan semenjak kecil hingga kini.

``Kemudian, dalam masa yang sama nampak darah merah membuak-buak diikuti pula cahaya putih yang menyilaukan pandangan.

``Pada detik ini, saya merasakan diri sudah berada di ambang kematian.

``Saat itu juga saya terbayang tanggungjawab besar kepada keluarga dan tidak henti-henti berdoa agar hayat saya tidak berakhir di situ. Perasaan sedih silih berganti.

``Tiba-tiba, saya ternampak tulisan Arab dan terus terbayang dalam fikiran bahawa itulah ayat-ayat al-Quran.

``Sedangkan saya tidak pernah mengenalinya. Selepas itu barulah saya tersedar semula,'' cerita anak ke 13 daripada 15 orang adik-beradik.

Kata Louis lagi, apabila tersedar beliau mendapati situasi keliling begitu sunyi dan beliau dalam ketakutan itu.
Louis tidak berani membuka mata, apatah lagi melihat diri melalui cermin pandang belakang kerana bimbang dengan keadaan diri.

Dengan langkah lemah, Louis cuba keluar dari keretanya yang remuk teruk, lalu merebahkan diri di sisi jalan.
Dalam suasana yang kelam-kabut itu, beliau masih sempat memerhatikan tindakan seorang lelaki yang mencari-cari mangsa dari arah keretanya.

Melihat keadaan kereta Louis, ramai yang tidak menduga pemandunya terselamat. Ini kerana, kereta V6 kesayangan Louis sudah tidak berupa kereta lagi tetapi ibarat tin yang dikemekkan.

Cerita Louis lagi, beliau memberanikan diri melihat keadaannya selepas kemalangan paling tidak diduga itu.
Yang lebih mengejutkan, tidak ada kesan luka atau patah, malah kesan calar juga tidak kelihatan.

``Saya tidak percaya dengan apa yang berlaku. Ia bagaikan satu keajaiban. Pun begitu, saya tidak puas hati dan melakukan pemeriksaan doktor, keesokan harinya. Lebih memeranjatkan, doktor mengesahkan saya langsung tidak mengalami kecederaan dalaman.

``Selepas tragedi itu, insiden pelik yang dialami semasa pengsan terus berlegar-legar di dalam minda.

``Saya tercari-cari maksud di sebalik semua yang berlaku. Apakah motifnya?

``Kerunsingan ini saya kongsikan dengan ibu angkat yang tinggal di Parit Buntar, Perak dan beliau bersetuju dengan anggapan saya bahawa segala yang berlaku adalah hidayah Allah.

``Pun begitu, apabila saya luahkan hasrat untuk memeluk Islam, ibu angkat saya agak gusar, bimbang kalau-kalau hajat saya itu bukannya atas rasa keinsafan dan keikhlasan.

``Namun saya bertegas dan itulah keputusan muktamad,'' kata Louis yang akhirnya memeluk Islam di Pejabat Agama Islam Negeri Perak ditemani ibu angkatnya.

Menjelaskan keadaan diri sebaik sahaja bergelar Muslim, terang Louis, tidak dapat dibayangkan bagaimana girang dan tenangnya perasaan pada masa itu.

Malah, tidak sekelumitpun rasa bersalah, apatah lagi masalah yang bakal dihadapi oleh setiap saudara baru.
Ahli keluarga pertama yang beliau beritahu tentang pengIslamannya hanyalah kepada kakak.

Merahsiakan
Alhamdulillah, dia menerima dengan hati terbuka, cuma menasihatkan Louis supaya merahsiakan dahulu berita tersebut daripada pengetahuan ibu atas sebab-sebab kesihatan.

Akui Louis, di dalam keluarga kandungnya, bukan sahaja beliau seorang yang bergelar Muslim tetapi kegembiraan ini turut dikongsi abang sulung yang lebih dahulu memeluk Islam.

``Saya juga berkeyakinan apabila seseorang itu telah ada pegangan, secara tidak langsung, matlamat kehidupannya juga menjadi jelas.

``Nawaitu sudah ada dan semuanya adalah demi Allah Yang Esa.

``Kenapa saya katakan begitu? kerana Islam mengajar saya lebih menghargai kehidupan dan memanfaatkan rezeki yang diperoleh ke jalan yang diberkati dan diredhai, bersifat sabar, berkeyakinan dan banyak lagi yang tidak saya sedari tetapi perubahan itu diakui orang sekeliling.

``Malah saya tidak lupa asal usul diri daripada orang susah sehingga ke tahap ini.

``Kekuatan yang Allah anugerahkan ini menjadikan saya lebih kuat berusaha sehingga berjaya mengecapi kemewahan di dunia seperti berkereta mewah, berumah besar dan mempunyai perniagaan yang berjaya.

``Alhamdulillah, ini semua adalah rezeki Allah dan tidak ada apa yang perlu dibanggakan kerana ia adalah hak milik yang sementara.

``Di dalam keadaan ini juga, saya tidak lupa memohon kepada Allah semoga hubungan kekeluargaan kami semakin erat,'' kata Louis yang tidak terlepas daripada pandangan serong segelintir masyarakat, yang menuduh pengIslamannya dengan niat mencari populariti.

Bagaimana Louis menghadapi cabaran bergelar saudara baru?

Ringkas jawapannya, memaafkan mereka yang tidak tahu dan kebenaran itu akan muncul juga.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...