Wednesday, August 17, 2011

Hidayah yang diterima amat berharga

ARKIB : 12/03/2004
http://www.utusan.com.my


Oleh Zuarida Mohyin

Wahai ayahku, mengapa kamu menyembah sesuatu yang tidak mendengar, tidak melihat dan tidak dapat menolong kamu sedikitpun?

``Wahai ayahku, sesungguhnya telah datang kepadaku sebahagian ilmu pengetahuan yang tidak pernah datang kepadamu, maka ikutilah aku, nescaya aku akan menunjukkan kepadamu jalan yang lurus... (Maryam: 42 - 45).

Maka Ibrahim membuat berhala-berhala itu hancur berpotong-potong, kecuali yang terbesar daripada patung-patung yang lain, agar mereka kembali (untuk bertanya) kepadanya.

Mereka berkata: ``Siapakah yang melakukan perbuatan ini terhadap tuhan-tuhan kami, sesungguhnya dia termasuk orang-orang yang zalim?... Ibrahim menjawab : ``Sebenarnya patung yang besar itulah yang melakukannya, maka tanyakanlah kepada berhala itu, jika mereka dapat berbicara. (Al-anbiya : 58-63)

Dua kisah keberanian Nabi Ibrahim menegur dan berdakwah kepada bapanya serta tipu helahnya seperti yang diceritakan dalam dua surah di atas, telah menyentap fitrah Farid Ravi Abdullah untuk mengenal erti kebenaran yang sebenar.

Ia diakui sendiri oleh Pensyarah Jabatan Al-Quran dan Sunah, Sekolah Pengajian Islam, Kolej Islam Selangor Darul Ehsan (KISDAR) ini.

Minatnya membaca kisah-kisah nabi ini menurut Farid, 32, mula berputik sejak di sekolah rendah lagi dengan mengikuti kelas pendidikan Islam.

Malah anak jati Kampung Sungai Choh, Rawang ini, merupakan satu-satunya pelajar yang bukan beragama Islam di dalam kelasnya, yang mengikuti kelas pendidikan Islam hingga darjah enam.

``Salah seorang daripada teman yang seagama dengan saya, akan keluar dari kelas tersebut, tetapi saya tidak.

``Saya tertarik dengan kemesraan ustazah yang mengajar subjek tersebut, dan kaedah pendidikannya begitu menyeronokkan dengan aktiviti nasyid, bacaan muqaddam dan banyak lagi.

``Secara tidak langsung, ia menimbulkan minat berterusan. Malah pada saat itu, saya sudah boleh membaca surah fatihah, doa iftitah dan doa menjawab laungan azan,'' cerita Farid yang ditemui di pejabatnya, baru-baru ini.

Tambah Farid, semasa di sekolah menengah juga, beliau ingin meneruskan kelas pendidikan agama Islam tetapi menerima bantahan dari pihak atasan sekolah tersebut.

Hasratnya tidak terputus begitu sahaja, dengan bantuan daripada seorang guru, Ustaz Ali, pihak sekolah akhirnya akur dengan hujahan guru agama tersebut serta berpuas hati dengan alasan yang dikemukakannya.

Sepanjang mengikuti kelas tersebut, Farid bijak menyembunyikan hal tersebut supaya tidak sampai ke pengetahuan ahli keluarganya.

``Saya tidak pernah bawa balik buku-buku berkaitan subjek agama. Saya masih ingat satu insiden semasa di tingkatan tiga.

``Ada orang menyampaikan berita yang saya mengikuti kelas pendidikan agama Islam.

``Apa lagi masa itu saya dipukul teruk oleh abang kerana terlalu marah dengan tindakan saya. Namun, kejadian tersebut sedikitpun tidak melunturkan semangat dan keinginan untuk terus belajar tentang Islam,'' kata Farid yang memeluk Islam pada 20 Disember 1989 dengan bantuan sebuah keluarga angkat, Hajah Saonah dan Haji Hashim.
Kata Farid, kasih sayang yang dipamerkan oleh keluarga angkat tersebut yang juga jirannya, merupakan contoh yang baik mengajak orang kepada Islam.

Ini kerana biarpun mereka berlainan agama dan bangsa, tetapi layanan mereka mengalahkan keluarga sendiri.
Seawal usia 10 tahun, Farid cukup selesa apabila berada di kalangan ahli keluarga tersebut. Tambah beruntung pula, kebaikan mereka tidak disalah anggap oleh keluarga kandung.

Hubungan erat yang terjalin ini, secara tidak langsung, menarik minatnya kepada Islam.
Akui Farid, beliau pernah ke Pejabat Perkim di Jalan Ipoh meluahkan hasratnya untuk memeluk Islam tetapi ditolak kerana masih di bawah umur.

Biarpun kecewa, Farid tidak berganjak daripada keputusannya dan bertekad suatu hari nanti, beliau akan bergelar seorang Muslim sejati.

Dalam masa menunggu usia yang dibenarkan tersebut, Farid tidak jemu-jemu menambah pengetahuan agama Islam. Hinggakan dia pernah menyuruh seorang kawan melakonkan semula cara bersembahyang, agar dapat dilihat cara yang sebetulnya.

Terang Farid, selepas bergelar seorang mualaf, beliau terpaksa berhadapan dengan cabaran dan dua keadaan, iaitu daripada keluarga dan masyarakat Islam itu sendiri.

``Cabaran daripada kaum keluarga memanglah lumrah kepada setiap saudara baru. Tetapi satu perkara yang agak jarang berlaku dan tidak mustahil wujud ialah pandangan segelintir umat Islam yang masih meragui pengIslaman saudara-saudara baru ini.

``Saya pernah melalui pengalaman pertama kali menjejakkan kaki ke masjid, tiba-tiba ada di antara jemaah tersebut mengajukan keraguannya terhadap saudara-saudara baru seperti saya.

``Namun, saya anggap ini semua sebagai kata-kata perangsang dan ia sedikit sebanyak menimbulkan satu semangat ingin membuktikan pengIslaman saya bukan sebab paksaan, kepentingan tertentu ataupun berkahwin tetapi lahir daripada rasa keikhlasan yang terbit atas dasar kebenaran yang dibawa oleh Islam,'' kata Farid.

Melalui pemerhatian anak bongsu daripada lima beradik ini lagi, banyak perubahan yang dirasainya selepas mengucap dua kalimah syahadah.

Akui Farid, 15 tahun dahulu jelas ketara kehidupan yang dilaluinya tidak begitu teratur kerana di dalam agama asalnya, tiada garis panduan terhadap satu-satu ibadat.

Mereka bebas membuat pilihan sama ada mahu melaksanakan ibadat tersebut ataupun sebaliknya.
Berlainan dengan apa yang dibawa oleh agama Islam, ia telah menyusun kehidupan umatnya dengan sebaik-baiknya lengkap dengan peraturannya, di samping mengaitkannya dengan Maha Pencipta.

Luah Farid, beliau sendiri tidak menyangka mampu berjaya sehingga ke tahap sekarang ini. Katanya, selepas memeluk Islam, beliau belajar di Pusat Latihan Dakwah Keningau di Sabah selama setahun.

Kemudian, selama empat tahun menyambung pengajian di Institut Dakwah Islamiah Perkim, Kelantan dengan ditauliahkan Sijil Rabi' Senawi sebelum meneruskan lagi pengajian ke peringkat Sijil Tinggi Agama di Perak selama setahun.

Selepas itu, Farid melanjutkan pengajian di Universiti al-Bayt, Jordan dan dalam masa yang sama memperoleh Ijazah bacaan al-Quran bersanad. Kembali dari Jordan, Farid dilantik sebagai Eksekutif Pusat Islam di KISDAR selama setahun, sebelum diserapkan menjadi pensyarah.

Kini, Farid yang juga merangkap imam besar Masjid Al-Azhar di KISDAR, sedang menyambung pengajian di peringkat Sarjana di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan dalam proses menyiapkan tesis.

Menyentuh soal ujian, kata Farid, ia merupakan satu perkara biasa bagi seorang saudara baru sebagaimana Allah s.w.t. berfirman: Apakah manusia itu menyangka bahawa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan: ``Kami telah beriman'', sedangkan mereka tidak diuji lagi? (Al-Ankabut:2)

Lantaran itu, saran Farid, seorang mualaf itu janganlah hanya menerima Islam sekadar pada namanya sahaja. Mereka harus menerima kenyataan bahawa hidayah yang diterima itu pada hakikatnya amat berharga.

``Satu perubahan mestilah dilakukan selaras dengan perbezaan daripada seorang yang jahil kepada Muslim yang berpengetahuan.

``Dalam menghadapi ujian tersebut seorang Muslim itu mestilah yakin dengan qada dan qadar Allah s.w.t.

``Khususnya bagi saudara baru, mereka kena yakin bila sahaja memeluk Islam, bermaksud mereka berada di jalan yang benar dan keyakinan mestilah dipegang secara total.

``Barulah apa sahaja dugaan dan ujian mendatang, saudara baru itu berjaya menghadapinya,'' kata Farid yang bercita-cita menubuhkan Akademi Saudara Baru satu hari kelak.

Kongsi Farid, beliau pernah mengambil keputusan keluar dari rumah dan tinggal di rumah tumpangan saudara baru di Seksyen 19, Shah Alam selama tiga bulan apabila keluarga tidak dapat menerima berita pengIslamannya sebelum berangkat ke Sabah.

Farid mendirikan rumah tangga bersama gadis pilihan hati, Suziana Mohd Soyong, 27, pada Mac 2001. Pasangan ini berkenalan semasa sama-sama menuntut di Jordan dan kini dikurniakan dua cahaya mata. Menariknya, bapa mentua Farid juga merupakan saudara baru.

Farid bersyukur, ibu dan abang kandungnya turut sama menerima hidayah Allah s.w.t. sebelum mereka meninggal dunia pada 2001 dan 2003.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...