Saturday, August 13, 2011

Firdaus - Hidup lebih bermatlamat

ARKIB : 23/04/2004
http://www.utusan.com.my


Mengapa Saya Pilih Islam?
Oleh ZUARIDA MOHYIN

``Daripada sekecil-kecil perkara yang dianggap remeh hinggalah kepada yang sebesar-besar perbuatan, Islam mempunyai adabnya yang tersendiri,'' kata Mohd. Firdaus Mohan bin Abdullah, 31 tahun. Ia menjadi antara faktor yang menarik minatnya kepada Islam, selain persekitaran dan pergaulan.

Menurut anak jati Selayang Baru, Selangor ini, beliau mengenali agama Islam pada mulanya melalui masyarakat Islam sewaktu keluarganya menetap di perkampungan yang majoritinya orang Melayu beragama Islam.

Tambahan pula semasa alam persekolahan, teman-teman sekelas dan guru-guru di Sekolah Menengah Selayang Baru terdiri daripada bangsa Melayu. Secara tidak langsung, Firdaus terdedah dengan cara kehidupan masyarakat Melayu.

Malah kata Firdaus, walaupun pelajar-pelajar India dimestikan mengikuti kelas Tamil tetapi menurut Ketua Biro Sumber, Perkim Cawangan Pergerakan Belia, Wilayah Persekutuan (Perkim Gerak) ini, beliau memilih mengikuti kelas Agama Islam yang bertahan selama dua tahun, dan lebih suka duduk di surau bersama teman-teman Islam.

``Saya mampu merahsiakan aktiviti di sekolah daripada pengetahuan keluarga, terutamanya ibu bapa hinggalah tamat persekolahan.

``Pada zaman remaja lagi, kami enam beradik kurang diberi didikan ajaran Hindu, cuma emak dan ayah sahaja melakukan penyembahan.

``Sekurang-kurangnya, saya terselamat daripada terpaksa melakukan pekerjaan yang tidak begitu saya senangi.

``Ini kerana saya pernah terfikir, bagaimana patung yang tidak berkuasa itu boleh disembah dan diminta sesuatu hajat daripadanya,'' cerita Firdaus yang ditemui di Dayabumi baru-baru ini.

Genap usianya 21 tahun, iaitu pada penghujung tahun 1994, Firdaus nekad ke bangunan Perkim di Jalan Ipoh lalu melafazkan dua kalimah syahadah di hadapan Ustaz Zainuddin.

Selepas saat itu bermulalah kehidupan yang lebih bermakna, kata anak bongsu ini biarpun menghadapi tentangan hebat daripada abang-abang dan kakak-kakaknya serta saudara mara.

``Alhamdulillah, emak dan ayah cuma mahu saya jelaskan kepada mereka mengapa saya pilih Islam kerana mereka bimbang hubungan kami anak beranak akan terputus.

``Saya terangkan itu semua tidak benar malah Islam amat menjaga hubungan silaturahim sesama manusia.

``Kekhuatiran mereka terpaksa saya kurangkan dengan penjelasan setakat yang saya tahu.

``Malahan insiden ini menyedarkan saya kepentingan menguasai ilmu agama,'' imbas Firdaus.

Bermula saat itu, beliau kerap ke Balai Islam mengikuti kelas-kelas anjuran Perkim.
Pada setiap hari Selasa dan Khamis, beliau mengikuti kelas Tajwid al-Quran di bawah penyeliaan Ustaz Fauzi.

``Melalui kelas-kelas tersebutlah, banyak perkara yang saya pelajari. Barulah saya tahu, masuk Islam bukannya bermakna jadi Melayu.

``Islam adalah agama yang universal kerana pertama kali menjejakkan kaki, rupa-rupanya penganut Islam itu terdiri daripada berbilang bangsa.

``Bukan saya seorang sahaja bangsa asing tetapi ramai lagi yang lain serupa dengan saya.

``Saya rasa cukup bertuah menjadi seorang Muslim kerana Islam mencakupi banyak perkara. Ia cukup menyeluruh untuk mengatur hidup manusia itu.

``Di samping itu, al-Quran merupakan sebuah kitab yang cukup terperinci yang meliputi pelbagai bidang.

``Malah ia banyak mengubah cara hidup saya daripada kehidupan yang tiada bermatlamat kepada seorang yang sentiasa mencari keredhaan Allah s.w.t. dan saya percaya Islam boleh membentuk seseorang manusia menjadi insan yang baik zahir dan batin,'' akui Firdaus jujur.

Tambahnya lagi, banyak perubahan lain yang berlaku dalam dirinya selepas itu. Kalau dulu, akui Firdaus, tabiatnya buruk tetapi selepas mengenali Islam ia berubah dan mampu berfikir secara menyeluruh.

Ini kerana keindahan dan penghayatan tentang Islam akan datang selepas seseorang Muslim itu mempelajari dan memahami Islam itu sendiri.

Cerita beliau lagi, bagi memperbaiki semula hubungannya sekeluarga, Firdaus mengambil keputusan tetap tinggal dengan mereka biarpun selepas bergelar Muslim.

Lama-kelamaan, keluarganya boleh menerima Firdaus semula, sesuai dengan pepatah `air dicincang tidak akan putus'.

Lebih menggembirakan Firdaus ialah pengIslaman kakaknya, selepas itu.
Menyentuh tentang perkahwinannya dengan NorAzizah Saad, 32, pada akhir tahun 1995 ketika usianya 23 tahun kata Firdaus, ia turut menerima tentangan hebat daripada ibu bapa dan beberapa orang bapa saudara sebelah isterinya pada peringkat awal.

``Mungkin disebabkan isteri saya adalah anak perempuan tunggal, jadi mereka agak keberatan melepaskannya, lebih-lebih lagi, saya seorang mualaf.

``Saya pernah diuji berseorangan membaca surah al-Fatihah dan surah-surah lazim yang lain tetapi alhamdulillah, saya boleh membacanya,'' ceritanya yang turut mengajar anaknya mengaji di rumah selama setengah jam setiap hari.

Perkahwinan yang dibina atas dasar suka sama suka ini, Firdaus dan NorAzizah dikurniakan empat orang cahaya mata; Muhamad Qayyum, 8, Nurul Hidayah, 6, Muhamad Fikri Hakim, 4 dan Muhamad Danial, 2 tahun.

Firdaus yang juga aktif dengan Perkim Gerak sejak 2001, mengakui penglibatan awalnya bermula selepas mengikuti Ustaz Azlan menghadiri mesyuarat persatuan tersebut.

``Saya telah dicalonkan sebagai Penolong Biro Kebajikan dan sejak itulah bermulanya penglibatan secara langsung hinggalah ke hari ini.

``Memandangkan masa itu saya mempunyai van, jadi saya membantu membawa peserta kursus intensif ke lokasi berkenaan tanpa mengharapkan ganjaran apa-apa.

``Lagipun, nak jadi pendakwah saya tidak pandai bercakap, oleh itu saya melakukan sekadar yang mampu sahaja,'' kata Firdaus yang pernah mengerjakan umrah pada tahun 2003 atas tajaan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Pada akhir pertemuan pagi itu, Firdaus berpesan bagi mereka yang berhasrat untuk memeluk Islam, agar janganlah Islamnya itu sekadar pada nama sahaja tetapi mestilah belajar dan menghayatinya, barulah keindahan Islam itu akan lahir.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...