Sunday, August 21, 2011

Amal ibadah jadikan hati lembut

ARKIB : 25/03/2005
http://utusan.com.my


DALAM banyak-banyak peristiwa luar biasa yang tercatat dalam sejarah umat Islam, kisah bagaimana Nabi Muhammad s.a.w. diangkat ke tujuh lapisan langit, telah mengubah pegangan kepercayaan dan membuka minda serta hati Waheeda Kamalam Ambigay Abdullah, 57, sekali gus mengakui dan meyakini kebenaran yang dibawa oleh Islam kepada seluruh umat manusia.

Malah akui pensyarah Undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Petaling Jaya, Selangor ini lagi, sebelum pengIslamannya, beliau kerap bermimpi melihat corak kalimah syahadah yang terbentuk daripada gumpalan awan tetapi tidak berhasrat langsung mencari maksud yang tersirat di sebalik mimpi itu.

Apatah lagi, kata Waheeda, pandangan dan penerimaan beliau terhadap agama Islam pada masa itu agak negatif.
``Kisah Israk dan Mikraj tidak pernah saya jumpa dalam mana-mana kitab agama lain. Manakala, kejadian mimpi pula dialami berulang-kali.

``Malah melalui mimpi ini jugalah saya mengenali serba sedikit tentang agama Islam.

``Namun disebabkan sejak kecil lagi, saya memang seorang yang boleh dikatakan anti-Islam. Jadi, apa sahaja yang berbau Islam akan ditolak mentah-mentah.

``Sehinggalah pada satu peringkat di mana saya diajukan satu soalan, mengapa saya benci sangat kepada Islam oleh seorang teman.

``Sejak itu, saya mula terfikir. Dan bertitik-tolak dari situ, bermulalah pengkajian mendalam saya tentang Islam,'' cerita Waheeda membongkar kisah silam lebih 35 tahun lalu.

Berbalik kepada kisah mimpi yang dialaminya, kata wanita berbangsa India ini, beliau pernah menceritakan pengalaman unik tersebut kepada kenalannya, respons yang diperoleh kuat mengatakan itu adalah petanda kepada pengIslaman beliau.

Terang Waheeda lagi, beliau kurang percaya tetapi tidak menolak kemungkinan ia menjadi satu kebenaran.
Pun begitu, janji Waheeda, kebenaran perlu dicari terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan besar, terutama yang melibatkan perjalanan hidupnya.

``Alhamdulillah pada usia 20 tahun, dengan penuh rasa tawaduk dan keikhlasan, akhirnya saya mengucap dua kalimah syahadah di Institut Dakwah Islamiah Perkim yang pada masa itu terletak di Wisma Selangor, Petaling Jaya.

``Malah beberapa tahun selepas itu, dalam mencari-cari seorang yang mampu menjadi pembimbing kepada diri yang bergelar saudara baru, Allah s.w.t. ketemukan jodoh saya dengan Raws Shariff bin M. Sharrif. Kami berkenalan singkat dan terus diijabkabulkan,'' kata Waheeda yang ditemui di pejabatnya di UIAM, Petaling Jaya.

Bagi wanita yang berasal dari Puchong, Selangor ini, Raws Shariff, yang berasal dari Pakistan dan telah mendapat kerakyatan Malaysia, merupakan seorang suami dan juga teman yang banyak memberi dorongan, bimbingan dan pemangkin semangat ke atas kejayaan yang dimilikinya sekarang ini.

``Saya bersyukur kerana dikurniakan Allah s.w.t. seorang insan yang bergelar suami yang baik, memahami, bertanggungjawab dan paling penting membimbing diri yang sebatang kara selepas pengIslaman.

``Suami banyak mendorong saya untuk belajar dan mendalami ilmu agama. Sungguhpun pada masa itu hubungan saya dengan keluarga kandung tidaklah dikira berkrisis besar. Antara kami baik tetapi agak dingin.

``Namun, kehadiran suami benar-benar tepat pada masanya. Beliaulah yang menjaga saya semasa sakit bersalin, menjaga anak, mengurus keluarga malah beliaulah yang menggalakkan saya melanjutkan pelajaran,'' terang Waheeda yang baru-baru ini dinobatkan sebagai Tokoh Saudara Kita oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada Februari lalu.

Waheeda memiliki Diploma Pengajian Islam dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan UIAM. Kemudian menyambung pengajiannya dalam bidang perundangan peringkat Sarjana Muda dan Sarjana di UIAM.
Malah sebelum beralih angin ke bidang pendidikan, beliau juga mempunyai pengetahuan luas dalam selok-belok undang-undang sivil dan syariah.

Bertepatanlah dengan penganugerahan yang pernah diterimanya, iaitu Pendakwa Syar`ie wanita pertama di Negeri Selangor.

Kini, anak kelapan daripada sembilan adik-beradik ini, giat menghasilkan kertas kerja dan risalah yang menyentuh soal perundangan, mualaf dan isu-isu perbandingan agama.

Selain itu, beliau juga menterjemah Enakmen Wakaf Selangor tahun 1999 ke Bahasa Inggeris.

Penglibatan Waheeda dalam persatuan juga tidak kurang seriusnya. Beliau adalah Penasihat Undang-undang Persatuan Al-Hidayah dan ahli jawatankuasa Al-Hunafa.

Menyedari kelebihannya dalam bidang perundangan, ibu kepada lima orang anak ini sanggup mengorbankan masanya dengan aktiviti kaunseling kepada mualaf, menjadi ahli panel forum di media-media elektronik serta pensyarah sambilan.

``Saya benar-benar bersyukur ke hadrat Ilahi kerana tanpa sokongan suami dan anak-anak, pasti usaha dan kerja amal bakti ini tidak akan bermakna.

``Biarpun sekarang anak-anak sudah besar tetapi saya mengambil keputusan untuk mengurangkan sedikit penglibatan saya terutamanya terhadap

aktiviti luaran,'' ujar Waheeda yang baru pulang dari Mekah selepas menjalani ibadah haji bersama suami tersayang.
Kata beliau lagi, meskipun anak-anak sudah berjaya dalam bidang dan kehidupan berkeluarga masing-masing, hubungan akrab tetap menjadi keutamaan beliau dan suami.

Waima, anak bongsu beliau masih menuntut di Amerika Syarikat, kecanggihan telekomunikasi telah merapatkan hubungan mereka sekeluarga.

Akui Waheeda lagi, sekelumit perasaan kesalpun tidak wujud langsung dalam benaknya semenjak diri bergelar Muslimah. Yang pasti, prinsip sanggup berubah menjadi kunci kejayaan.

``Memanglah pada awalnya saya rasa seperti kehilangan dan sangsi dengan keputusan pengIslaman yang diambil.
``Alhamdulillah, beberapa bulan kemudian Allah memudahkan segala urusan.

``Saya yakin Islam itu ajaib. Allah berkuasa ke atas segalanya. Dahulu saya seorang yang panas baran tetapi sinar Islam mengubah segalanya.

``Kemungkinan daripada amalan dan ibadah, menjadikan hati kita lembut. Malah seperti ada desakan dalaman yang menyuruh hamba-Nya melakukan sesuatu yang bermanfaat sama ada kepada diri, keluarga dan masyarakat,'' cerita Waheeda yang sudah bergelar nenek.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...