Tuesday, August 30, 2011

Aidilfitri - Nilai murni tiada dalam agama lain

ARKIB : 19/11/2004
http://www.utusan.com.my


Oleh ZUARIDA MOHYIN

MELAKSANAKAN solat sunat hari raya secara berjemaah di masjid, kemudian bermaaf-maafan dan berziarah, begitu terkesan di hati bapa muda kelahiran Bachok, Kelantan, sementelah pula dirinya baru bergelar Muslim.

Begitulah luahan Mohd Ikhwan Ong Abdullah, 32, apabila mengimbau kenangan menyambut hari raya Aidilfitri pertamanya selepas pengIslaman beliau pada Jun 2002.

``Aidilfitri adalah satu kemenangan bagi umat Islam selepas sebulan berpuasa. Bagaimana ia diraikan juga begitu menarik minat saya kerana dalam agama asal, sambutan Tahun Baru Cina, sekadar makan besar dan berkunjung ke rumah saudara terdekat.

``Berlainan dalam amalan orang Islam, selain kunjung-mengunjung, ia juga peluang bermaafan terutamanya bagi mereka yang berselisih faham ataupun yang muda menghormati mereka yang lebih tua, sekali gus dapat mengeratkan hubungan silaturahim.

``Malah suasana pagi hari raya jauh berbeza dengan hari-hari biasa yang lain. Dalam ajaran Islam, kita disunatkan mandi sunat hari raya dan kemudian mengerjakan solat sunat hari raya. Ia tidak ada pada mana-mana agama,'' kata juruteknik di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sewaktu ditemui di rumahnya, baru-baru ini.

Kagum Ikhwan lagi, di dalam soal menyambut lebaran juga Islam turut menonjolkan nilai-nilai murni seperti berkongsi kegembiraan tidak kira bangsa, agama dan taraf hidup, meneruskan amalan bersedekah dan banyak lagi.

Tambah menarik, semua ini bersandarkan kepada konsep kesederhanaan yang begitu ditekankan oleh agama Islam. Sungguhpun tahun ini merupakan kali ketiga menyambut hari kemenangan umat Islam tetapi akui Ikhwan, tahun ini membawa pengertian yang sedikit berbeza.

Kehadiran puteri sulung pasangan Ikhwan dan Noraini Samsudin, 27, Nur Afrina, setahun tiga bulan, bakal menyerikan lagi kemeriahan sambutan raya mereka pada tahun ini.

Bagi Ikhwan dan isteri yang juga berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang ini, walaupun pada raya tahun lepas, Nur Afrina ada namun pada masa itu mereka tidak berpeluang pulang berhari raya di kampung kerana Noraini masih di dalam `pantang'.

Jadi, hari raya tahun inilah terasa suasana hari raya yang sebenar. Pertama, kerana sudah bertiga dan kedua, dapat berhari raya di kampung halaman. Pastinya, ia mencetuskan satu suasana baru yang bakal menggembirakan mereka sekeluarga.

Menyingkap kisah pengIslaman beliau, cerita Ikhwan, ia banyak berkait dengan kawasan tempat beliau dilahirkan dan dibesarkan.

``Boleh dikatakan majoriti penduduk kampung tersebut terdiri daripada masyarakat Melayu yang beragama Islam. Jadi secara tidak langsung, saya sudah cukup masak dengan budaya orang Melayu.

``Semakin lama bergaul dengan mereka, saya dapat rasakan bahawa kehidupan orang Islam ini berlainan dengan tujuan kehidupan kami sekeluarga.

``Orang Islam ini mereka bukan sahaja mengejar habuan duniawi, malah hal-hal berkaitan akhirat turut dititikberatkan.

``Selain itu, melalui cerita-cerita yang dicuri dengar daripada ustaz tentang kisah-kisah nabi, kewujudan alam ini dan banyak lagi, sedikit sebanyak telah membuka minda saya tentang logik dan kebenarannya. Apatah lagi, ia dibuktikan dengan al-Quran dan sunah Rasulullah s.a.w.,'' akui Ikhwan yang dahulunya penganut agama Buddha.

Tambah beliau, pendirian keluarganya yang bersikap terbuka juga menjadi faktor yang mempengaruhi minatnya untuk mendalami Islam.

Pada akhir tahun 1999 apabila mula berkenalan dengan Noraini, minatnya untuk mendalami Islam semakin serius. Malah, amalan-amalan seperti berpuasa dan sembahyang telah mula dipraktikkan walaupun belum melafazkan kalimah syahadah.

``Awalnya saya ingatkan dia orang Melayu kerana dari segi percakapan, dia fasih berbahasa Melayu dengan loghat Kelantan. Jadi tak nampak identiti asalnya.

Mulanya sekadar berkawan biasa tetapi apabila melihat kesungguhan yang ditunjukkan Ikhwan, iaitu suka bertanya tentang agama Islam. Saya cuba juga mengajar mana yang mampu secara tidak formal.

``Dia pula, senang `tangkap' atau cepat faham apa yang diajarkan seperti asas-asas melakukan solat.

``Selain itu, dibelikan buku-buku berkaitan fardu ain untuk membantu lagi pemahamannya,'' celah Noraini, jururawat di Wad Pediatrik, HKL yang turut serta dalam sesi temuramah pagi itu.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada penghujung 2002, beberapa bulan selepas Ikhwan secara sah memeluk agama Islam di ibu pejabat Perkim, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

PengIslamannya ini kata Ikhwan begitu bersejarah buatnya kerana niat untuk memeluk Islam telah lama wujud dalam hati kecilnya tetapi hidayah belum hadir. Namun, peristiwa mendirikan solat dalam keadaan basah kuyup benar-benar meyakinkan hatinya.

``Saya baru pulang dari kerja dan waktu itu hujan turun lebat. Dalam keadaan basah tu, saya dengan tergesa-gesa hendak mendirikan solat sebab dah lambat.

``Selesai solat, kain yang saya jadikan sejadah, saya sidai. Keesokannya saya lihat pada kain itu ada tulisan nama Allah pada bahagian lutut sebelah kanan.

``Saya cuba tunjukkan kepada Noraini dan beberapa orang ustaz di Perkim. Sehari selepas kejadian itulah, selepas membuat temu janji dengan Ustaz Amran pada paginya.

``Malam itu selepas solat Isyak, saya mengucap syahadah dengan disaksikan Danial Au dan Ustaz Azlan,'' kata Ikhwan yang mulanya agak keberatan bercerita kerana bimbang kisah tersebut disalah faham oleh pihak tertentu.

Tentangan dan bantahan keluarga merupakan antara asam garam setiap yang bergelar saudara baru.
Berlainan dalam kes Ikhwan, rahsia pengIslaman beliau terbongkar apabila keluarga kandungnya mengetahui hasratnya untuk berkahwin dengan gadis Melayu.

``Terkejut, merupakan reaksi awal keluarga. Kakak saya menghubungi Noraini untuk kepastian dan beliaulah yang banyak menerangkan kedudukan sebenar.

``Tanpa banyak soal mereka akhirnya dapat menerima keputusan Ikhwan. Manakala di pihak isteri pula, mereka menerima saya seikhlasnya. Mungkin ini disebabkan ada di antara saudara maranya yang turut mengamalkan kahwin campur dan kehidupan mereka harmoni dan bahagia,'' kata Ikhwan seraya dipersetujui Noraini.

Berkongsi pengalaman dua tahun sebagai Muslim, kata Ikhwan, Islam adalah agama yang begitu mudah serta sesuai dengan fitrah manusia.

``Dalam bab sembahyang contohnya, di mana-mana bumi Allah ini, kita bebas mendirikan solat.

``Tidak seperti agama asalnya, yang mesti di tempat khas serta disertakan peralatannya barulah dikira sempurna amalannya. Matlamat kehidupan di dalam Islam pula ada hala tujunya.

``Bukannya mengejar kesenangan di dunia semata-mata. Malah Islam ini menyeluruh. Semua bidang ada dalam liputan agama Islam, malah al-Quran dan hadis adalah panduan hidup manusia jika mahu selamat dunia dan akhirat,'' jelas Ikhwan.

Tambah Ikhwan, agama Islam kalau dihayati sepenuhnya, keindahannya terserlah kerana ia memandu manusia ke satu matlamat iaitu akhirat.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...