Sunday, July 31, 2011

Mengenali Sifat Riya'

Orang yang tidak ikhlas melangsungkan kerja ibadatnya adalah orang yang diserang penyakit riyak yang membatalkan ibadatnya. Riyak terbahagi kepada dua:
  • riyak khusus
  • riyak bercampur.
Riyak khusus ialah berkehendakkan manfaat dunia semata-mata daripada amalan yang dikerjakan, manakala riyak bercampur ialah berkehendakkan manfaat dunia dan akhirat. Mengikut kaul (qaul) yang terpilih, tiada kadar tertentu terbatalnya pahala akibat riyak itu. Yang jelas, riyak itu mengakibatkan amalan tidak diterima, ditolak terus atau dikurangkan pahalanya. Diriwayatkan, apabila hamba Allah yang riyak menuntut pahala amalannya pada hari Kiamat, Allah Taala lalu berfirman: 
 
"Tidakkah Aku luaskan untukmu tempat kedudukanmu di majlis-majlis? Tidakkah Aku jadikan engkau pemimpin manusia di dunia? Tidakkah Aku murahkan (permudahkan) urusan perniagaanmu? Apakah kamu tidak dimuliakan?"

Riwayat ini bermaksud, tuntutan pahala daripada hamba Allah itu tidak diperkenankan, karena amalannya tidak ikhlas. Cukuplah untuk dia mendapat manfaat dunia yang menjadi matlamatnya. Diriwayatkan lagi, bahawa malaikat membawa naik ke langit amalan hamba Allah dengan sukacitanya. Tetapi Allah berfirman:
"Lemparkan amalan itu ke neraka Sijjin. Sesungguhnya dia (hamba Allah itu) mengerjakan amalan itu bukan keranaKu".

Mengikut riwayat yang lain: Pada hari Kiamat, kedengaran seruan yang dapat didengar oleh semua makhluk, "Hai,orang-orang yang menyembah manusia! berdirilah kamu, ambillah pahala daripada orang yang kerananya kamu kerjakan amalan kamu itu. Aku tidak menerima amalan yang dikaitkan dengan yang lain daripada-Ku".

Seterusnya diriwayatkan lagi, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
"Sesungguhnya syurga itu berbicara, katanya, 'Aku ini haram bagi setiap orang yang bakhil, riyak, pengadu-dumba dan pendengki".

Mengikut Iman al-Ghazali: "Bakhil dalam Hadis tersebut membawa maksud, bakhil yang sejahat-jahat bakhil, iaitu bakhil daripada mengucapkan Lailaha illallah, Muhammadun Rasulullah. Manakala riyak itu pula ialah ejahat-jahat riyak, iaitu riyak orang munafik, menunjuk-nunjuk imannya dan tauhidnya dengan kata-kata dan pertbuatan, tetapi di dalam hatinya berlainan. Orang yang tidak mengatasi bakhil dan riyak tersebut atau tidak membebaskan diri daripada serangan kedua-duanya, akan menerima kecelakaan dan akan terjatuh dalam kekufuran, lalu terluput daripada syurga dan berhak kekal dalam neraka".
Dalam satu riwayat yang panjang, Abu Hurairah menyatakan, Rasulullah bersabda, bahawa orang-orang yang mula-mula diseru pada hari Kiamat ialah:
  • lelaki yang membaca / menghafaznya al-Quran,
  • lelaki yang banyak harta,
  • lelaki yang terkorban dalam perang sabil.

Kepada lelaki yang membaca / menghafaz al-Quran, Allah Taala berfirman,
"Tidakkah Aku ajarkan engkau apa yang Aku turunkan melalui Rasul-Ku?". Apabila lelaki itu menjawab, "Ya, wahai Tuhanku", Allah berfirman lagi, "Apa yang engkau amalkan dengan apa yang engkau ketahui di dalam al-Qur'an itu?".

Jika lelaki itu berbohong, Allah berfirman kepadanya,
"Engkau dusta!". Para Malaikat juga turut berkata demikian. "Engkau sebenarnya mahukan sebutan / pujian orang. Sesungguhnya apa yang engkau mahu itu engkau telah dapat dan itulah ganjaran untukmu".

Kepada orang kaya pula Allah berfirman,
"Tidakkah Aku kurnaiakan kekayaan kepada engkau sehingga engkau tidak perlukan bantuan orang lain?".

Jawab orang kaya, "Ya, wahai Tuhanku"
Lalu Allah berfirman lagi,
"Apakah yang engkau lakukan dengan kekayaan yang Aku kurniakan itu?".

Jika orang kaya itu menjawab, dia gunakan hartanya untuk menghubungkan silatul-rahim dan bersedekah, Allah lalu berfirman dan diikuti oleh para malaikat.
"Engkau berdusta! Sebenarnya engkau mahu dikatakan orang, bahawa engkau pemurah. Engkau telah memperolehi apa yang engkau mahu itu dan itulah ganjaran untukmu! ".

Demikianlah juga, firman Allah kepada lelaki yang terkorban dalam perang sabil, apabila dia
berbohong dengan mengatakan, "Engkau perintah kami berjihad fi sabilillah, maka aku berjihad. Dalam perang sabil aku membunuh dan akhirnya aku dibunuh".

Ibnu 'Abbas pula meriwayatkan, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, "Sesungguhnya neraka dan penghuninya menjerit-jerit kerana orang-orang riyak".

Ibnu 'Abbas bertanya, "Kenapa mereka menjerit, ya Rasulullah?" 
 
Rasulullah menjawab, "Kerana terlalu panas api yang digunakan untuk menyeksa orang-orang riyak".

Orang yang mengerjakan amal kebajikan kerana berkehendakkan manfaat dunia, walaupun manfaat itu diharapkan daripada Allah (bukan daripada manusia) adalah juga termasuk dalam riyak, iaitu riyak khusus. Menurut ulama, "riyak" itu adalah berdasarkan apa yang dikehendaki, bukan daripada siapa kehendak itu diminta. Tak kira, sama ada daripada Allah Taala atau daripada manusia, jika manfaat dunia yang dikehendaki, maka itu dikira riyak. Firman Allah Taala, mafhumnya:
" Barang siapa berhendakkan hasil tanaman akhirat, Kami tambahkan baginya hasil tanamannya dan barangsiapa berkehendakkan hasil tanaman dunia, Kami kurniakan kepadanya sebahagian daripadanya, tetapi tiada baginya bahagian di akhirat." (surah Asy-Syura: ayat 20).

Jika manfaat dunia yang dikehendaki untuk dijadikan bekalan beribadat, maka itu tidak dikira riyak, karena manfaat itu bukan bersifat duniawi semata-mata, tetapi bercampur dengan manfaat ukhrawi. Jadi, niat untuk mencapai matlamat kebajikan ke jalan akhirat bukan dikira riyak. Umpamanya, kita berusaha mencari pengaruh atau berusaha untuk mendapat penghormatan orang ramai dengan cara meninggikan taraf hidup kita, semata-mata dengan tujuan agar kerja kebajikan kita, misalnya kegiatan dakwah, mendapat sokongan dan sambutan yang akan mendatangkan hasil yang diharapkan atau mendapat kejayaan yang cemerlang.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...