Monday, June 27, 2011

Sesuap Nasi


Mop di tangan kanan. Timba merah terisi air sabun di tangan kiri. Bau Fabuloso menyucuk hidung. Peluh terpercik pada wajah perempuan tua berbaju kurung saga.

Sudah dua hari Leman lihat dia tekun mencuci dan mengemop lantai. Sejak Ketua Jabatan baru menghuni kerusi panas di bangunan yang ditumpanginya ini, sudah dua tiga muka baru yang Leman lihat.

Pekerja Am baru agaknya. Bisik Leman pada diri sendiri. Sedikit pun tidak terluah pada bibir.

Pagi ini, jelingan Leman tertumpa kearah pintu pejabat yang terbuka sedikit.

Leman dapat melihat betapa tekunnya mak cik tersebut membongkok mengemop lantai. Seperti kekok dan perlu ditunjuk ajar. Mungkin sebelum ini dia tidak pernah bekerja seperti ini. Sekejap-sekejap dia berhenti.

Memegang pinggang. Mengetuk-ngetuk pinggangnya sambil mengaduh kecil.

2.15 petang. Ketika Leman mahu ke surau membayar tunai suruhan Tuhan, Leman terperasan kelibatnya dari jauh. Masih tekun dengan kerjanya mengemop lantai. Ketika itu, seorang lelaki lalu tanpa sedikit pun permisi. Lantai yang dimopnya kembali kotor dengan tanah merah. Dia tetap diam meneruskan kerja. Entah bagaimana kehendak Tuhan, lelaki itu tersandung timba terisi Fabuloso di tepi lorong. Basah kasut kilatnya. Marahnya tak bertepi. Maki hamun sesuka hati. Sedikitpun tidak ada hormat kepadanya.

Perempuan tua itu tetap tunduk sambil mulutnya tidak kering ucap maaf tanda akur itu mungkin kesalahannya. Masakan perempuan itu bersalah, mata ini menjadi saksi. Timba itu elok terletak di tepi. Bukan mengganggu jalannya. Di tengah lorong Leman berselisih dengan lelaki itu.

"Assalamualaikum" salam Leman hulurkan. Biar amarahnya sejuk. Oh!

Mukanya tetap bernyala api marah. Sedikitpun dia tak menjawab salam. Leman ke hujung lorong. Melihat perempuan tua itu terkocoh-kocoh mengelap lantai. Yang basah seboleh-bolehnya dikeringkan. Leman menyapa ramah. Soalan mudah, sudah makan ke belum. Berbahasa basi, sambil anak mata Leman menyulam matanya. Ada air jernih tergenang.

"Minta maaf, saya tumpang lalu, mak cik" Ujar Leman

Leman senyum meleret tanda simpati. Leman berharap hatinya berbunga-bunga.

"Lalulah nak. mak cik izinkan"

Bibirnya mula menguntum senyum. Hilang mendung wajah tuanya.

"Aku juga manusia. Tahu peritnya mencari sesuap nasi." Ujar Leman dalam hati.

"Sedikitpun aku tidak pandang rendah kerjanya. Kerja itu halal. Tapi aku terkilan. Bilamana hormat sesama manusia (lebih-lebih lagi kepada warga tua daripada yang muda) seperti sudah hilang." Hati leman Leman terus berkata sambil meneruskan langkahnya menuju ke surau.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...