Wednesday, March 2, 2011

Sistem kabel Batam-Dumai-Melaka siap akhir tahun

ARKIB : 12/02/2011
http://utusanonline.com.my

KUALA LUMPUR 11 Feb. - Telekom Malaysia Bhd. (TM) bekerjasama dengan dua syarikat Indonesia untuk membina sistem kabel dasar laut gentian optik berjalur lebar tinggi di antara Malaysia dan Indonesia yang dinamakan Sistem Kabel Batam-Dumai-Melaka (BDM).

Dua syarikat tersebut adalah PT XL Axiata Tbk (XL Axiata) yang juga milik TM dan PT Mora Telematika (Mora Telematika).

Naib Presiden Eksekutif, TM Global, Rozaimy Abdul Rahman berkata, pembinaan sistem kabel tersebut melibatkan pelaburan AS$7.6 juta (RM 23.21 juta) yang mana sebahagian AS$4 juta (RM9.16 juta) dibiayai oleh TM dan bakinya oleh syarikat-syarikat Indonesia tersebut.

Menurut Rozaimy, pembinaan sistem kabel dasar laut dari Malaysia terus ke Indonesia adalah penting berikutan terdapatnya pertumbuhan data mendadak seiring dengan perkembangan pesat ekonomi di kedua-dua negara.

"Reka bentuk BDM telah mengambil kira keperluan kapasiti tinggi pada masa ini dan akan datang untuk aplikasi-aplikasi Internet generasi akan datang.

"Ia juga tidak terhad kepada penggunaan Internet sahaja malahan meliputi panggilan suara dan sebagainya," jelas beliau lagi.

Jelas Rozaimy, sistem kabel BDM terdiri daripada dua pasang fiber yang direka untuk menyediakan kelajuan penghantaran maklumat 1.28 Trilion bit sesaat (Tbps) dengan menggunakan teknologi Dense Wavelength Division Multiplexing (DWDM).

Ia bakal menawarkan kemudahan-kemudahan peningkatan transmisi yang fleksibel dan tanpa sempadan.

Sistem kabel itu akan menghubungkan jarak kira-kira 400 kilometer di antara kedua-dua negara menerusi dua laluan, Melaka-Batam dan Melaka-Dumai.

"Stesen hentian di Malaysia akan disediakan oleh TM manakala stesen hentian di Indonesia akan disediakan oleh XL Axiata.

"Projek ini dijangka siap dan mula beroperasi menjelang suku keempat 2011, " katanya di dalam sidang media selepas menandatangani perjanjian pembinaan dan penyenggaraan bersama XL Axiata dan Mora Telematika di sini hari ini.

Rozaimy mewakili TM manakala XL Axiata diwakili Naib Presiden, Commerce Netconya, Habib Mustain dan Robertnus Suratno, mewakili Mora Telematika.

Projek ini telah mula dijalankan sejak Januari tahun lalu.

Rozaimy berkata, sistem kabel BDM tidak hanya memberi manfaat kepada Malaysia dan Indonesia sahaja sebaliknya turut memberi faedah kepada negara-negara dan rantau-rantau yang dihubungkan ke negara-negara lain secara terus oleh sistem kabel itu.

Justeru katanya, saling hubungan (interconnections) yang terbaik juga disediakan kepada sistem kabel dasar laut sedia ada lain yang merangkumi Asia Pasifik, Eropah, Amerika Syarikat dan rantau Afrika.

TM memiliki atau memajak lebih daripada 10 sistem kabel dasar laut yang merentasi lebih 60,000 batu (96,560 kilometer) laluan gentian seluruh dunia, termasuk beberapa laluan kabel dasar laut yang digunakan oleh syarikat itu untuk membawa trafik di Asia Pasifik dan Amerika Utara,.

"Ini dapat dilihat menerusi minat yang ditunjukkan oleh syarikat-syarikat antarabangsa yang mahu bekerjasama untuk membina kabel-kabel baharu dengan Indonesia.

"BDM bukan sahaja menawarkan keupayaan jalur lebar antarabangsa tambahan ke negara-negara serantau, bahkan ia nya juga akan berfungsi sebagai gerbang Asia dengan bertambahnya organisasi-organisasi antarabangsa yang memindahkan operasi mereka ke rantau ini bagi menikmati kos operasi yang rendah," katanya.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...