Sunday, February 27, 2011

Apakah tujuan kita hidup?

Setiap benda yang dijadikan oleh pencipta atau dicipta oleh manusia dengan izin Nya pasti mempunyai tujuan. Pokok dicipta kerana mempunyai tujuan untuk membekalkan oksigen dan makanan, gunung ganang bertujuan sebagai pasak bagi bumi ini. Begitu juga dengan kereta untuk kemudahan kita bergerak.

Namun pernahkah kita terfikir, apakah tujuan kita dicipta?
Allah swt berfirman:

Maksudnya: "Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku".( al-Dhariyat: 56)

Jelas disini tujuan hidup kita hanyalah mengabdikan diri kepada Allah. fungsi seorang hamba ialah hanya menurut perintah Nya. Disini kita perlu faham bahawa mengabdikan diri bukan bermaksud kita perlu beribadat sepanjang masa.

Dari Abu Hurairah r.a katanya:”Nabi saw. bersabda yang maksudnya:”Sesungguhnya agama (Islam) itu ringan. Sesiapa yang memperberat-beratkannya maka dia akan dikalahkan oleh agama. Oleh itu kerjakanlah (agama itu) mengikut sepatutnya atau mendekatinya dengan yang sepatutnya dan gembiralah (kerana akan beroleh pahala) serta beribadatlah (mohonlah pertolongan Allah) pada waktu pagi, petang dan sebahagian malam.”
(Bukhari)

Huraian JAKIM (http://ii.islam.gov.my/hadith/hadith1.asp?keyID=822):
Tujuan ibadah adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Konsep ibadah terbahagi kepada 2 kategori iaitu ibadah khusus (seperti sembahyang, puasa, haji) dan ibadah umum iaitu setiap gerak geri, tindakan dan pekerjaan yang diniatkan kerana Allah). Syarat diterima sesuatu ibadah itu bergantung pada tiga perkara iaitu; Islam, ikhlas dan ittiba’ (dilakukan sesuai dengan perintah Allah SWT dan mencontohi apa yang dilakukan oleh Rasulullah saw). Dalam erti kata bahawa sesuatu ibadah itu hendaklah dikerjakan sebaik mungkin (menepati kehendak syarak) tanpa melebih-lebihkannya. Malah apa yang dimaksudkan dalam hadith di atas sebagai ‘dikalahkan oleh agama’ ialah keadaan seseorang yang menjadi lemah lantaran terlalu kuat mengerjakan ibadah hingga lupa menguruskan keperluan dirinya seperti mencarai nafkah menyara hidup ahli keluarga dan sebagainya. Perkara ini ternyata amat bertentangan dengan kehendak Islam kerana Islam juga menyuruh manusia agar berusaha gigih untuk mencari penghidupan yang baik di dunia dan bukan menumpukan segala usaha untuk bekalan akhirat semata hingga melupakan dunia sewenang-wenangnya sedangkan dunia adalah jambatan ke akhirat. Oleh itu manusia mestilah bijak menyeimbangkan antara keperluan dunia dan akhirat agar tidak termasuk di kalangan orang-orang yang rugi.

Dalam hadith lain yang diriwayatkan Bukhari dan Muslim ada diceritakan:

3 orng telah datang mengunjungi rumah Rasulullah SAW bertanya mengenai ibadah Rasulullah. Mereka berkata, "apakah yang boleh diukur dengan Rasulullah? Baginda telah diampuni dahulu dan kemudian. Maka tidak mengapalah baginda mengerjakan ibadah dengan sedikit". Salah seorang berkata pula," Sesungguhnya aku sentiasa mahu mengerjakan solat pada waktu malam". Seorang lagi berkata," Aku hendak menjauhkan diri daripada perempuan(tidak mahu berkahwin selama-lamanya).

Rasulullah SAW datang menemui mereka lalu bersabda:

"Kamu telah berkata sedemikian rupa. Bukankah aku ini orng yang paling takut dari kalangan kamu dan paling bertaqwa kepada Allah. Tetapi aku berpuasa, aku juga berbuka. Aku solat,aku juga tidur dan aku juga berkahwin. Maka sesiapa yg tidak suka mengikut jejak langkahku, bukan dia daripadaku".


Pernahkah kita ke suatu tempat, tetapi kita tidak tahu apakah tujuan kita ke situ. Apakah yang anda rasa ketika itu. Semestinya rasa kekosongan dan buntu. Ketika itu pastinya kita akan membuat keputusan untuk kembali ke rumah. Ini sama dengan hidup kita. Jika kita telah tersesat atau hidup tanpa tujuan, kita perlu kembali ke pangkal jalan dan tetapkan halatuju kita.

Tujuan kita perlu selari dengan syariat Islam supaya kita selamat dunia dan akhirat. Tetapkan tujuan anda sekarang jika masih belum ada. Mantapkan tujuan anda jika telah ada.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...