Sunday, January 2, 2011

DEMI MASA

Apabila dinasihati menambah simpanan bulanan sambil melakukan pekerjaan sementara, pasti kebanyakan daripada kita akan mengeluh bahawa tiada masa yang cukup. Oleh itu, kaedah terbaik yang perlu dilakukan adalah dengan menguruskan masa dengan baik dan bijak. Ini kerana, apabila pengurusan masa dilakukan dengan sebaik mungkin dan penuh disiplin, pengurusan hidup kita akan berjalan dengan lancar.

Sekiranya pengurusan masa yang baik dijadikan amalan setiap hari, kita dapat menambah masa untuk melakukan sesuatu perkara. Mungkin ramai yang tertanya-tanya bagaimana kita dapat menambah masa, sedangkan semua orang mempunyai masa 24 jam dalam sehari. Caranya adalah seperti berikut:

Jika kita merupakan seorang yang biasa tidur melebihi lapan jam sehari, sampailah masanya untuk kita melakukan satu pengorbanan.

Mulai esok, kita mulakan setiap hari dengan bangun tidur satu jam lebih awal daripada biasa.

1 jam x 30 hari = 30 jam tambahan. (24 jam + 6 jam)

Ini bermakna, kita mempunyai satu hari tambahan dalam sebulan dan masih ada enam jam tambahan yang boleh kita gunakan untuk melakukan apa sahaja yang kita gemar.

Tentu anda berasa gembira dengan keputusan masa itu. Ini kerana, anda dapat meluangkan lebih banyak masa dengan melakukan pelbagai kerja-kerja tambahan seperti melakukan kerja tambahan di pejabat untuk menambah pendapatan atau membuka kedai bagi menarik ramai pelanggan.

Lima prinsip pengurusan masa.

1) Tanggungjawab

Kita hendaklah memikul tanggungjawab sepenuhnya cara kita menghabiskan masa seharian.

2) Naluri

Kita hendaklah mempercayai gerak hati kita. Kadangkala terdetik di hati agar tidak menghabiskan masa dengan kerja-kerja yang akan membawa kepada pembaziran. Oleh itu, percayalah pada hati apabila ia mula berdetik.

3) Bina sistem pengurusan masa

Apa kata kita membina sendiri sistem pengurusan masa khusus untuk diri sendiri. Ini bermakna, masa yang dibina itu dipenuhi dengan melakukan kerja-kerja yang penting atau munasabah. Perkara-perkara yang kurang penting boleh diagihkan kepada ahli keluarga yang lain seperti isteri atau suami, anak-anak atau ahli keluarga lain. Pada setiap akhir minggu, kita perhatikan semula tugas-tugas mingguan yang telah dilaksanakan dan tandakan sama ada kita suka atau tidak. Apabila kita perhatikan penjimatan masa yang dilakukan pada setiap bulan, secara tidak langsung masa untuk menambahkan pendapatan juga akan meningkat.

4) Merasai kejayaan

Apabila sistem di atas menunjukkan tanda-tanda positif, kita hendaklah merasakan kejayaan ini dan kongsi rahsia dengan insan yang tersayang atau rakan-rakan di pejabat.

5) Peluang orang lain

Perkara yang perlu disedari adalah kita tidak boleh melakukan semua kerja seorang diri. Kadangkala kita harus sedar bahawa kita perlu melepaskan kerja-kerja ini dan berikan peluang kepada orang lain.

Kita adalah insan paling bertuah pada zaman ini. Kita bukan sahaja berjaya memperoleh bantuan dari segi kewangan, pendidikan, dan kemahiran, malah kita boleh menentukan naik dan turun keadaan hidup diri sendiri.

Walau apa pun kerjaya yang dilakukan, pengurusan masa yang baik dapat membantu meningkatkan pendapatan sampingan.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...