Sunday, January 2, 2011

Assalamualaikum

Assalamualaikum warahmatullah...

apa khabar sekalian...

moga sentiasa dibawah keredhaan,keberkatan dan naungan ALLAH subhanahu wata'ala...
ana akan menceritakan kelebihan memberi salam melalui hadith berikut...

Imam Muslim meriwayatkan di dalam Sahihnya, sebuah hadith dari Jabir bin Abdullah RA, beliau pernah mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda, maksudnya:

"Apabila seorang lelaki memasuki rumahnya, lalu dia menyebut nama Allah ketika masuk dan ketika makan, syaitan akan berkata kepada teman-temannya, 'Tidak ada tempat penginapan dan makan malam untuk kalian.' Jika dia memasuki rumahnya tanpa menyebut nama Allah, syaitan akan berkata (kepada saudara-saudaranya), 'Kalian boleh ikut menginap di dalamnya malam ini.' Dan ketika makan, dia tidak menyebut nama Allah, syaitan berkata, 'Kalian boleh ikut menyantap makan malam.'"

Makruh memberi salam dengan ucapan “Alaikumus salam.” Rasulullah s.a.w. bersabda apabila Jabir r.a. memberi salam dengan lafaz tersebut, “Jangan kamu mengatakan alaikas salam.” Dalam riwayat Abu Daud disebut, “Kerana sesungguhnya ucapan alaikas salam itu adalah salam untuk orang yang telah mati.” (Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)

Telah datang seorang lelaki kepada Nabi s.a.w. dan berkata,
‘Assalamualaikum’. Maka Rasulullah menjawab salam kemudian dia duduk.
Maka Rasulullah berkata sepuluh pahala kemudian datang yang lain memberi
salam dengan berkata ‘Assalamualaikum warahmatullah’, lalu Rasulullah jawab
salam tadi, dan berkata dua puluh pahala. Kemudian datang yang ketiga terus
berkata ‘Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh’. Rasulullah pun menjawab
salam tadi dan terus duduk, maka Rasulullah berkata tiga puluh pahala.
(Riwayat Oleh Abu Daud Tarmizi: Hadis Hasan)


‘Sesungguhnya seorang muslim itu apabila bertemu saudaranya lalu bersalaman
oleh kedua duanya, maka gugurlah dosa mereka sepertimana berguguran daun
dari pokok yang kering ditiup angin kencang, melainkan kedua duanya
diampunkan segala dosa mercka walaupun banyak seperti buih di lautan.’
(Riwayat Thibrani)


‘Keadaan sahabat Rasulullah apabila mereka bertemu mereka bersalaman dengan
berjabat tangan, dan apabila mereka menyambut kepulangan yang jauh mereka
berpelukan.’
(Riwayat Abu Daud)


‘Apabila bertemu antara dua orang muslim lalu kedua duanya bersalaman dan
memuji Allah lalu kedua duanya meminta ampun kepada Allah, Allah
mengampunkan dosa kedua duanya.’
(Riwayat Abu Daud)


‘Setiap ucapan salam dari seseorang ke atasnya adalah sedekah, setiap hari setelah
naik matahari kamu bertugas mengadili di antara dua hamba Allah yang
bertelagah adalah sedekah, memberi pertolongan untuk mengangkat barang
keperluan ke atas kenderaan adalah sedekah dan bercakap dengan cakapan
cakapan yang baik adalah sedekah dan setiap langkahmu untuk ke tempat
sembahyang adalah sedekah, begitu juga kamu membuang duri atau apa-apa yang
boleh menyakitkan orang di jalanan adalah sedekah.’
(Riwayat Bukhari dan Muslim)


Adab memberi dan menjawab salam

Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu. (an-Nisa': 86)

Termasuk dalam sunah memberi salam seperti berikut:
•Orang yang berkenderaan memberi salam kepada orang yang berjalan kaki.
•Orang yang berdiri/berjalan memberi salam kepada orang yang sedang duduk.
•Individu (seorang) memberi salam kepada kelompok ramai dan kelompok yang sedikit memberi salam kepada kelompok yang lebih ramai.
Dalilnya ialah hadis nabi : ( يجزء عن الجماعة إذا مروا أن يسلم أحدهم ، ويجزء عن الجلوس أن يرد أحدهم ),

maksudnya: “cukuplah bagi sekumpulan manusia apabila mereka melintasi orang lain dengan salah seorang mereka memberi salam. Dan cukuplah bagi kumpulan yang duduk dengan salah seorang mereka menjawab salam.” (hadis riwayat Abi Dawud)

Dianjurkan mengucapkan salam sebanyak tiga kali di khalayak ramai. Di dalam hadis Anas disebut bahawa: “Nabi s.a.w. apabila Baginda mengucapkan sesuatu kalimah, ia mengulanginya tiga kali. Dan apabila ia datang kepada sesuatu kaum, ia memberi salam kepada mereka tiga kali.” (Riwayat al-Bukhari)

•Orang yang muda memberi salam kepada orang yang lebih tua.
•Disunatkan meninggikan sedikit suara memberi dan menjawab salam, supaya jelas didengar, kecuali seandainya ada orang yang sedang tidur.
•Disunatkan memberi salam sewaktu masuk ke sesuatu majlis dan ketika keluar dari majlis.
•Disunatkan memberi salam ketika masuk ke rumah walaupun rumah yang kosong.
•Makruh memberi salam kepada orang yang sedang qada hajat.
•Disunatkan memberi salam kepada anak-anak.
•Tidak memulai memberi salam kepada orang bukan Islam. Namun sekiranya mereka yang mendahulukan memberi salam, maka jawablah: “Wa’alaikum.”
•Disunatkan memberi salam kepada sesiapa jua sesama Muslim, sama ada yang dikenali atau tidak.
•WaJib menjawab salam yang dikirimkan melalui orang lain.
wajib menjawab salam yang dikirimkan samada dikirimkan menerusi seseorang secara lisan atau dikirim menerusi tulisan apabila kiriman tersebut sampai. Dalilnya ialah hadis Aisyah, katanya: Rasulullah saw bersabda kepada saya:

( هذا جبريل يقرأ عليك السلام ) bermaksud: “ini dia Jibril menyampaikan salam kepadamu. Kata Aisyah; saya menjawab : ( وعليه السلام ورحمة الله ) –wa`alaihissalam-bermaksud: dan ke atasnya salam juga. (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Disunatkan juga membalas kepada pengantara yang membawa kiriman salam dengan menjawab : ( وعليك وعليه السلام ) –wa`alaika wa `alaihissalam- bermaksud; ke atas mu dan ke atasnya salam. Dalilnya ialah hadis daripada Ghalib al-Quttan daripada seorang lelaki katanya memberitakan kepadaku oleh bapaku daripada datukku katanya; bapaku mengutuskan daku bertemu dengan Rasulullah dengan arahan; datangilah baginda dan sampaikan kepada baginda salam. Lalu aku bertemu baginda dan berkata: bapa saya menyampaikan salam kepada tuan. Lalu baginda menjawab: ( عليك السلام وعلى أبيك السلام ) ke atas kamu dan ke atas bapamu salam. ( hadis riwayat Abi Dawud). Menurut Imam Nawawi, hadis ini mengandungi seorang perawi yang tidak dikenali. Namun hadis-hadis tentang amalan-amalan yang lebih (sunat) diberi kelonggaran oleh ahli-ahli ilmu.

•Jangan memberi salam dengan isyarat melainkan ada keuzuran seperti sedang solat, bisu atau jarak yang agak jauh.
•Digalakkan berjabat tangan, kecuali dengan wanita atau lelaki yang bukan mahram.
•Haram membongkokkan badan atau sujud sebagai tanda penghormatan semasa memberi salam.


Huraian

Islam telah membawa ucapan salam yang tersendiri yang membezakan masyarakat Islam daripada masyarakat yang lain. Ucapan salam ini merupakan antara ciri masyarakat Islam yang sangat unik, menarik dan tersendiri yang tidak akan larut atau hilang dalam ciri-ciri masyarakat yang lain. Perbuatan berbalas-balas salam ini merupakan satu perbuatan yang amat mulia dalam Islam. Ucapan salam yang dilafazkan ketika berjumpa antara sesama muslim sunat hukumnya manakala orang yang menerima salam wajib menjawab salam tersebut.

Islam juga menganjurkan umatnya sentiasa memberi salam ketika bertemu tanpa menetapkan hari atau masa yang khusus untuk memberi salam. Ringkasnya, ucapan salam itu boleh diucapkan pada bila-bila masa sahaja apabila bertemu antara sesama muslim.

Islam juga menyeru umatnya supaya menjawab salam dengan ungkapan yang lebih baik daripada orang yang memberi salam.

Ungkapan yang lebih baik selalunya akan mudah mengikat hati yang keras menjalin persaudaraan yang ikhlas dan mesra ketika mewujudkan perkenalan di antara mereka yang belum kenal dan mengukuhkan lagi hubungan antara mereka yang telah sedia terjalin hubungannya.

Kesimpulan

Islam menganjurkan umatnya memberi salam tatkala bertemu sesama mereka. Perbuatan itu walaupun sunat hukumnya tetapi amat mulia dan besar ganjaran pahalanya berbanding perbuatan menjawab salam yang hukumnya adalah wajib. Islam juga menggalakkan umatnya supaya menjawab ucapan salam dengan ungkapan yang lebih baik dan sempurna.

Antara dalilnya firman Allah :


وَإِذَا حُيِّيتُمْ بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ حَسِيبًا

Maksudnya : "Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu" (al-Nisak : 86)


Memberi salam adalah SUNAT hukumnya bukan wajib. Antara dalilnya :

لا تدخلون الجنة حتى تؤمنوا . ولا تؤمنوا حتى تحابوا . أولا أدلكم على شيء إذا فعلتموه تحاببتم ؟ أفشوا السلام بينكم

Maksudnya : "Kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman. Dan kamu tidak beriman, hingga kamu saling sayang menyayangi. Mahukah kamu aku tunjukkan kepada kamu sesuatu yang jika kamu melakukannya, kamu akan saling sayang menyayangi? Sebarkanlah salam sesama kamu." (Muslim)

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...