Friday, December 24, 2010

Perlunya perancangan kewangan - Semua Naik

Mengapa kita memerlukan pelan kewangan? Jika mahu kejayaan dalam apa jua usaha - tidak kira sama ada hendak berperang atau hendak menganjurkan majlis menyambut tahun baru, semuanya memerlukan perancangan rapi. Begitu juga jika mahu melaburkan wang. Anda boleh melakukan perancangan asas kewangan dengan melakukan tips-tips yang diberikan ini. Namun, sebaiknya anda perlu ada seseorang yang berpengalaman dan bertauliah untuk memberi gambaran yang lebih jelas bagaimana pelan perancangan ini dapat dilakukan dengan mudah dan teratur.


Mereka yang matang, bijak dan pandai selalu berkata, kita tidak merancang untuk gagal, tetapi ramai yang gagal untuk merancang.

Perancangan kewangan bukan sahaja memberi gambaran tentang kedudukan kewangan kita yang terkini tetapi juga memberi hala tuju masa hadapan kita dengan menetapkan matlamat kewangan, dan dengan demikian membolehkan kita mencapai matlamat yang diharapkan secara lebih efektif.

Nilai Kedudukan Kewangan Anda

Sebelum meneruskan sebarang pelan pelaburan, anda perlu menilai kedudukan kewangan sendiri, misalnya menilai perbelanjaan yang perlu dan simpanan yang ada, supaya anda boleh membuat keputusan berapa banyak yang boleh ditabung dan dilaburkan. Mungkin buat masa ini anda berbelanja sesuka hati dan pada bila-bila masa sahaja tanpa memikirkan berapa baki wang yang tinggal pada setiap hujung bulan.

Untuk menentukan kedudukan kewangan anda:

Pertama, pastikan nilai bersih wang anda
Nilai bersih simpanan boleh disamakan dengan lembaran imbangan sesebuah syarikat. Ia menggambarkan kedudukan kewangan anda. Untuk mengira nilai bersih simpanan, anda perlu menyenaraikan semua aset dan tanggungan anda. Kemudian tolak tanggungan daripada aset untuk mendapat nilai bersih simpanan.

Aset merangkumi wang tunai, akaun bank, barang-barang berharga seperti barang kemas atau barangan antik, pelaburan sedia ada seperti saham atau unit amanah dan aset tetap seperti rumah atau hartanah.

Tanggungan pula termasuklah sebarang pinjaman anda (untuk membeli kereta, rumah, malah pinjaman daripada keluarga dan kawan-kawan), kad kredit dan sebarang hutang lain jika ada.

Jika selepas dikira, nilai bersih adalah negatif, bermakna anda belum mampu melabur. Lupakan sahaja soal pelaburan buat sementara waktu dan berusaha supaya nilai bersih wang anda bertukar positif. Sebaliknya, jika nilai bersih adalah positif, perlu pula dilihat sama ada ia mencukupi untuk memenuhi semua keperluan akan datang. Mungkin jumlahnya perlu ditingkatkan supaya lebih banyak boleh dilaburkan.

Bagaimana untuk meningkatkan nilai bersih wang? Satu caranya adalah dengan mengurangkan perbelanjaan. Sebarang lebihan wang tunai daripada perbelanjaan boleh dimasukkan dalam senarai aset bagi meningkatkan nilai bersih.

Tetapi, perbelanjaan yang mana pula perlu dipotong? Untuk menentukannya:

Buat penyata aliran tunai

Anda perlu mengesan ke mana wang dibelanjakan; buat analisis aliran tunai mengenai corak pendapatan dan perbelanjaan. Pertama sekali, susun semua penyata gaji, resit, bil, penyata cukai dan data kewangan yang lain dalam satu rekod untuk menunjukkan berapa banyak pendapatan yang telah diperoleh dan berapa banyak pula telah dibelanjakan setiap bulan untuk sepanjang tahun. Senaraikan dan teliti setiap perbelanjaan untuk memastikan yang mana boleh dikurangkan supaya akhirnya nanti anda mempunyai aliran tunai yang positif - iaitu lebih banyak wang masuk berbanding wang keluar.

Ketika berlatih membuat aliran tunai, ada beberapa perkara yang perlu diambil kira dan ada soalan yang perlu ditanya pada diri sendiri, antaranya:

Pendapatan anda: Berapa gaji anda? Adakah anda mempunyai sumber pendapatan lain - kerja sambilan, dividen, rumah yang disewakan, bonus. Jika membuat analisis untuk seisi keluarga, pendapatan suami atau isteri patut dimasukkan sama.

Aliran wang keluar: Ini termasuk perbelanjaan rumah dan sara hidup seperti makanan, pakaian dan barangan keperluan harian; penjagaan kereta dan petrol; bayaran balik pinjaman kereta, kad kredit atau sewa rumah; premium insurans; perbelanjaan untuk pendidikan dan perubatan; perbelanjaan bercuti dan hiburan; bayaran cukai pendapatan, zakat dan lain-lain. Senarai ini panjang sekali.

Di sinilah anda perlu memutuskan yang mana perbelanjaan perlu dan yang mana pula sekadar membazir sahaja - potong mana-mana perbelanjaan yang dianggap membazir supaya lebih banyak wang dapat ditabung.

Susun belanjawan untuk memastikan perbelanjaan terkawal. Belanjawan itu akan menjadi penentu apa yang anda mampu belanjakan. Misalnya, anda tidak mampu makan malam di restoran yang mahal setiap minggu jika belanjawan anda menunjukkan yang anda hanya mampu makan di kedai kopi. Bagaimanapun, sesekali mungkin anda ingin berbelanja lebih sempena hari istimewa seperti ulang tahun perkahwinan; jadi jangan lupa masukkan perbelanjaan seperti itu dalam belanjawan. Tetapi jangan pula berlebihan.

Jika anda berasa lemas dengan data yang panjang lebar ketika mengatur pelan kewangan, dapatkan bantuan teknologi komputer yang canggih. Dalam dunia hari ini, pakej perisian komputer adalah umpama tulang belakang yang direka cipta untuk membantu anda menyusun dan mengawal belanjawan. Kebanyakan program perisian komputer ini boleh membantu anda menyusun belanjawan dan memeriksa perbelanjaan, malah mengira jumlah yang perlu ditabung untuk pelaburan serta mengawasi pelaburan anda.

Setelah kewangan dapat dikawal, langkah seterusnya ialah:

Tetapkan Matlamat Kewangan Anda

Cara mudah untuk menetapkan matlamat kewangan adalah melalui perancangan awal untuk beberapa jangka masa - dua tahun, lima tahun, 10 tahun, 20 tahun dan seterusnya. Kemudian, fikir tentang keperluan dan keinginan anda (atau keluarga), dan jadikan ia sebagai matlamat khusus yang ingin dicapai untuk setiap jangka masa yang telah ditentukan.

Matlamat anda boleh meliputi perkara-perkara yang memang diperlukan (umpamanya, memiliki rumah dalam masa lima tahun atau pembiayaan pendidikan anak-anak dalam masa 10 tahun atau simpanan untuk hidup selesa selepas bersara), hinggalah kepada perkara-perkara yang sejak sekian lama sudah diidamkan tetapi belum dapat dicapai (seperti bercuti naik keretapi Orient Express). Bagaimanapun, matlamat anda harus tentu, wajar, berfaedah dan bukan impian Mat Jenin.

Kemudian, kira berapa banyak wang diperlukan untuk memenuhi setiap matlamat tersebut. Jangan pula rasa takut melihat jumlah yang telah dianggarkan. Melainkan mereka yang memang sudah banyak menabung, kebanyakan kita perlu bekerja keras menambah tabungan untuk mencapai matlamat yang diimpikan - dan menambah tabungan boleh juga dibuat melalui pelaburan.

Bentuk Program Pelaburan Anda

Sekarang anda sudah pun menetapkan matlamat dan sudah mengemaskinikan belanjawan anda untuk mendapat angka sebenar lebihan belanja yang boleh dilaburkan, tetapi ada satu lagi perkara yang perlu dilakukan sebelum memulakan langkah melabur. Kebanyakan perancang kewangan menasihatkan kita supaya, sebelum membuat sebarang pelaburan, sisihkan perbelanjaan sekurang-kurangnya untuk tiga hingga enam bulan bagi menghadapi waktu terdesak (umpamanya jika kehilangan pekerjaan) atau masalah aliran tunai yang tidak dijangka.

Mereka yang sudah berkeluarga adakala dinasihatkan supaya menabung untuk perbelanjaan hingga setahun.

Setelah penampan waktu terdesak ini disediakan, anda boleh menimbangkan berapa banyak lebihan daripada pendapatan yang boleh digunakan untuk pelaburan bagi mencapai matlamat kewangan anda. Mulakan secara kecil-kecilan dan kemudian tingkatkan jumlah pelaburan setelah tabungan meningkat. Atau anda boleh juga memulakan pelaburan dengan menggunakan sebahagian daripada wang simpanan dan kemudian, setelah berasa lebih yakin, tambahkan tabungan untuk pelaburan.

Peruntukan aset: pelbagaikan pelaburan Soalan seterusnya yang perlu anda tanya diri sendiri, dalam aset mana wang anda hendak dilaburkan? Patutkah anda membeli saham atau bon? Bagaimana kalau melabur dalam sekuriti kerajaan? Unit amanah? Hartanah? Atau bertindak lebih berani dan melibatkan diri dalam niaga hadapan?

Anda perlu buat kajian dahulu. Pertama, cari jenis produk pelaburan yang boleh anda peroleh, bagaimana setiap pelaburan itu dilaksanakan dan apa risiko terbabit. (Sebagai permulaan, anda boleh klik Produk Pelaburan di laman ini). Ketika membuat penyelidikan mengenai sesuatu pelaburan, bermakna anda sedang menyelidik sesebuah syarikat atau pertubuhan kerana merekalah yang menerbitkan saham, sekuriti, unit amanah, bon dan lain-lain.

Ada banyak maklumat boleh diperoleh, sama ada di media, dalam talian, dan daripada syarikat itu sendiri, yang membolehkan anda mengenali syarikat tersebut secara lebih dekat. Amat penting anda mengetahui secara jelas mengenai syarikat tersebut seperti jenis produk, prestasi, pasaran, saingan dan jenis industrinya bagi membolehkan anda membuat ramalan tentang prospek masa depannya. Mengapa? Sebab pelaburan anda bergantung kepada masa hadapan.

Anda tidak sepatutnya melabur dalam satu aset tertentu sahaja; supaya pelaburan anda berjaya, anda patut memilih gabungan beberapa kelas aset atau rangkaian pilihan beberapa aset tertentu dalam satu kelas aset (umpamanya melabur dalam pelbagai sektor sekiranya ekuiti adalah satu-satunya pilihan anda). Dalam perkataan lain, pelbagaikan pelaburan. Menentukan berapa banyak wang yang hendak dilaburkan dalam setiap kelas aset untuk membentuk portfolio pelaburan dipanggil pembahagian aset.

Bagi anda, gabungan aset keseluruhan yang tepat bergantung kepada matlamat, jangka masa yang ditetapkan untuk mencapai matlamat tersebut, jumlah wang yang anda ada untuk dilaburkan dan umur.

Jika anda ada pelan jangka panjang dengan matlamat untuk menyekolahkan anak anda daripada sekolah rendah ke peringkat universiti, anda boleh memulakan pendekatan agresif dengan memperuntukkan peratus lebih tinggi dalam pelaburan ekuiti. Tetapi, jika jangka masa yang ditetapkan adalah lebih singkat, anda mungkin perlu bersikap sederhana dan membuat peruntukan sama rata antara ekuiti dan bon yang lebih selamat. Jika dana pelaburan anda agak kecil, ini bermakna anda perlu memilih unit amanah. Umur anda juga harus diambil kira. Secara amnya, jika anda lebih berusia, anda patut lebih konservatif dalam membuat pelaburan dan tumpuan anda juga harus beralih kepada produk pelaburan yang menghasilkan pendapatan seperti bon.

Menggariskan semua pertimbangan ini dan menentukan pendekatan pelaburan yang mana perlu diambil ialah penentu paling utama dalam menghadapi risiko - sebab itu, ketahanan anda sebagai pelabur terhadap risiko adalah amat penting. Malah, pelaburan anda dalam aset tertentu dalam lingkungan setiap kelas sebahagian besarnya didorong oleh keupayaan anda menghadapi risiko. Untuk itu, sila rujuk bahagian Risiko, Ganjaran dan Anda Sebagai pelabur untuk memahami konsep pelaburan yang amat penting ini, sebelum anda membuat keputusan akhir dalam memilih pelaburan.

Laksanakan Program Anda

Jika anda telah bersedia untuk melaksanakan pilihan pelaburan yang telah dibuat, bila masa paling baik untuk memulakannya?

Jawapannya mudah saja! Lebih awal, lebih baik! Memulakannya awal memang digalakkan supaya anda ada lebih banyak masa untuk mengembangkan pelaburan. Jika anda masih muda, lebih banyak masa untuk anda membuat pelaburan dan menambah tabungan. Jika anda kini berada di pertengahan kerjaya, anda masih boleh mencapai matlamat kewangan - cuma ia memerlukan lebih tabungan.

Walaupun anda mungkin kini berada pada usia hampir bersara, jangan fikir sudah terlewat untuk memulakannya! Ingatlah, lebih baik lewat daripada tidak berusaha langsung!

Ketika mula melabur, jangan melabur secara melulu. Bak kata orang, naik keretapi yang betul pada waktu yang tepat, sangat penting jika hendak sampai ke tempat dituju pada waktunya. Nasihat kami: Beli apa yang anda tahu. Jika anda tidak memahami sesuatu jenis pelaburan, jangan menceburkan diri sehingga anda faham semua konsepnya. Berfikir dan bertindak rasional untuk membeli pada harga rendah (dan menjual pada harga tinggi). Jangan biarkan perasaan tamak mengatasi pertimbangan wajar, misalnya beli saham pada harga sangat tinggi (atau enggan menjualnya kerana mahu lebih banyak keuntungan).

Elakkan daripada bertindak mengikut khabar angin. Memang biasa terdengar cakap-cakap di pasaran mengenai harga sesuatu saham akan naik. Selepas itu, semua orang akan berlumba-lumba membeli saham tersebut. Pembelian yang meningkat secara tiba-tiba itu menyebabkan harga saham tersebut melonjak, dan ini memberi peluang kepada pihak yang memulakan khabar angin itu untuk menjual saham mereka pada harga tinggi. Kesudahannya, siapa yang terpaksa pegang saham yang tinggi harganya itu? Sebab itu, sentiasa ingat peribahasa Melayu lama ini:

"Dengar cakap enggang, makan buah belolok,dengar cakap orang, terjun masuk lubuk!"

Gali Lubang Tutup Lubang

Tabiat menyimpan
Sama ada pendapatan bulanan yang diterima setiap hujung bulan besar atau kecil, tabiat menyimpan wang seharusnya menjadi amalan. Sekiranya anda tidak dapat menyimpan sepuluh peratus daripada gaji bulanan, simpanlah beberapa jumlah yang anda mampu.

Sebagai seorang yang bekerjaya, kita seharusnya meletakkan diri sendiri sebagai seorang pelajar. Apabila kita tidak mempunyai wang yang banyak, pasti kita akan berjimat.

Contohnya dengan membeli pakaian pada harga yang murah, membawa bekal ke pejabat, belajar menjahit baju kurung atau kemeja sendiri untuk digunakan ke pejabat dan banyak lagi.

Saya pasti, anda masih mengingati zaman muda sewaktu anda belum kenal dengan dunia kemewahan dan barang-barang berjenama.

Ketika itu anda sanggup berbelanja di mana saja dan sanggup mencari kedai yang menawarkan harga yang rendah dan tidak pernah berasa segan.

Mula hari ini, apa kata anda kembalu pada keadaan asal dan hidup dengan penuh kesederhanaan.

* Nasihat mengenai berbelanja
Sedarilah perbezaan di antara keperluan dan kehendak. Bak kata peribahasa, 'ikut hati mati, ikut rasa binasa, ikut mata leta' sememangnya membawa maksud apabila membuat sesuatu yang didorong oleh hawa nafsu, akhirnya mendatangkan kesusahan.

Oleh itu, kita seharusnya sedari perbezaan di antara keperluan dan kehendak. Jangan sesekali kita mengikut hawa nafsu, sedangkan kita adalah kelompok yang berpendapatan rendah.

Sebaiknya, niat kita berbelanja bukan mahu menunjuk-nunjuk dengan jiran tetangga, rakan sepejabat ataupun adik-beradik. Kemurungan dan pertambahan hutang yang tidak diingini adalah kesan daripada sifat buruk itu.

Satu contoh yang menunjukkan di antara keperluan dan kehendak ialah apabila anak kita baru pulang dari luar negara dan baru memulakan alam pekerjaan.

Kalau diikutkan hati, sebagai seorang ayah atau ibu pasti kita akan membelikannya sebuah kereta. Bagaimanapun, adakah ia satu keperluan atau kehendak? Bagi saya, sebagai seorang perancang kewangan, ini merupakan satu kehendak.

Sebaik-baiknya, biarlah mereka memulakan alam pekerjaan dengan membuat keputusan sendiri. Setelah mereka memperoleh pendapatan, biarlah mereka belajar menyimpan wang dahulu.

* Mengumpul wang dan harta
Sekiranya anda inginkan wang yang berlebihan, tambahlah masa bekerja.

Terdapat dua jalan pantas untuk menambah wang dan harta dengan cara mengurangkan hutang piutang. Antara jalan pantas ialah dengan memulakan perniagaan sendiri, kecil atau besar.

Paling istimewa tentang perniagaan sendiri ini, kita tidak payah bersara. Kita boleh bekerja sampai bila-bila, selagi kita mempunyai tenaga dan masa.

Pada zaman teknologi tanpa batasan ini, kita boleh mengembangkan perniagaan menerusi laman maya.

Jangan takut untuk melakukan kesilapan kerana kesilapan itulah yang akan menjadikan kita seorang ahli perniagaan yang berpengalaman.

Sekiranya kita perlu mengambil kelas komputer untuk menaikkan nama syarikat dan perniagaan kita, jangan malu untuk menghadiri kelas komputer. Inilah satu-satunya pelaburan yang dapat membantu kita pada masa hadapan.

Apa yang perlu kita lakukan ialah dengan melaksanakan matlamat langkah demi langkah, walaupun kadang kala langkah itu sekecil langkah seorang bayi.

Kita hendaklah menyayangi perjalanan ini dan ilmu yang akan kita peroleh dalam proses ini.

Senyumlah Che Mek Molek

Oleh Yussamir Yusof

Bukan sukar untuk menghadiahkan senyuman tetapi kita sendiri menyukarkan senyuman itu terpamer di wajah. Hati mana tidak tenang apabila sedang dalam kekusutan, masih lagi boleh tersenyum kepada rakan.

Senyuman itu adalah ciptaan indah Allah SWT, malah senyuman juga adalah kuntuman indah yang sentiasa dipersembahkan Rasulullah SAW, manusia sempurna yang patut diteladani segala sifat, sikap dan tingkah lakunya.

Ada beberapa hal menarik pada diri Baginda SAW yang jarang diungkapkan ramai iaitu mengenai senyumnya. Sepintas lalu, hal itu mungkin nampak kecil dan tidak bererti tetapi apabila dikaji, sebenarnya senyuman Rasulullah SAW memberi impak positif yang sungguh luar biasa.

Hikmahnya, banyak kejayaan Rasulullah SAW dalam misinya sebagai penyebar risalah tauhid disebabkan oleh senyuman dan keramahan Baginda. Disebabkan itu, Rasulullah SAW dapat mempengaruhi orang ramai sehinggakan Baginda dicintai dan disegani kawan, juga lawan.

Sahabat adalah saksi kehidupan Rasulullah SAW yang penuh dengan senyuman. Antara sahabat besar yang pernah menceritakan betapa indahnya senyuman Rasulullah SAW ialah Saidina Umar.

Kata Saidina Umar, “Rasulullah SAW tersenyum dan Baginda adalah orang yang paling bagus giginya.” (Hadis diriwayatkan Ibnu Hibban)

Seorang lagi sahabat Rasulullah SAW, Abdullah bin Al-Harist menyatakan, “Tidak pernah aku melihat seseorang yang lebih banyak tersenyum daripada Rasulullah SAW.” (Hadis riwayat At-Tirmizi)

Cucu kesayangan Baginda SAW, Saidina Husein juga ada menggambarkan bagaimana sikap Rasulullah mana direkodkan oleh Imam At-Tirmizi, beliau berkata, “Aku bertanya kepada ayahku (Saidina Ali) mengenai adab dan etika Rasulullah SAW terhadap orang yang bergaul dengan Baginda. Ayahku mengatakan: Baginda senantiasa tersenyum, budi pekerti lagi rendah hati, Baginda bukanlah seorang yang kasar, tidak suka berteriak-teriak, bukan tukang cela, tidak suka mencela makanan yang tidak disukainya. Siapa saja mengharapkan pasti tidak akan kecewa dan siapa saja yang memenuhi undangannya pasti akan sentiasa puas.”

Rasulullah SAW walaupun dalam keadaan marah, tetap mempamerkan senyumannya hatta kepada orang yang tidak disukai. Perkara itu pernah direkodkan Imam Bukhari disebutkan bahawa Saiditina Aisyah berkata: “Ada seorang lelaki yang meminta izin untuk bertemu dengan Rasulullah SAW. Ketika Baginda melihat orang itu dari jauh, maka Baginda bersabda: Dia adalah seburuk-buruk saudara dan anak dalam kerabat. Namun ketika orang (Uyainah) itu sudah duduk, Baginda memberikan senyuman di wajah dan menerima dengan baik hati kedatangan orang itu. Ketika orang itu sudah pergi, Aisyah berkata kepada Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah, ketika kau melihat orang itu tadi dari jauh engkau berkata begini dan begitu. Tapi kemudian engkau berwajah ceria setelah berada di hadapannya dan menerima kedatangannya dengan baik hati. Kemudian Rasulullah bersabda: Wahai Aisyah, bilakah engkau melihatku berbuat tidak baik?”

Imam al-Khataby ketika mensyarahkan hadis itu berkata, “Hadis ini dilihat dari sudut adab dan ilmu. Ucapan Rasulullah SAW mengenai diri Uyainah sesuatu gambaran yang tidak disukainya secara jelas disebut Ghibah.

Ghibah berlaku di antara sebahagian orang dari umat Islam terhadap sebahagian yang lain. Namun, perlakuan Baginda adalah menjelaskan dan mengungkapkannya dalam bentuk nasihat dan kasih sayang terhadap umatnya.

Kerana Baginda sudah dianugerahi sifat kemurahan hati dan akhlak yang baik, maka Baginda memperlihatkan wajah berseri dan tidak menghadapi kesukaran berhadapan orang tidak disukainya. Baginda bertindak sebegitu supaya umat Islam meniru perbuatan Baginda, supaya dapat dihindari keburukan yang boleh menimpa umatnya dan mereka boleh selamat daripada kejahatan dan tipu daya.

Begitu indah akhlak Rasulullah SAW, walaupun seseorang itu tidak disukai, Baginda tetap mempamerkan senyuman dan menyambut kedatangan Uyainah dengan ceria.

Sebagai umatnya yang mengaku bahawa Baginda adalah sebaik-baik manusia dan seorang nabi dan rasul, tidakkah kita malu kerana tidak mengikut perbuatan Baginda yang sentiasa menghadiahkan senyuman kepada orang ramai. Sesungguhnya beruntunglah mereka yang mengikuti perbuatan Rasulullah kerana harga senyuman tidak ternilai dengan wang ringgit.

Ketegasan Baginda juga dapat dilihat dalam hadis diriwayatkan Imam Bukhari dan Muslim mengenai wanita dari kabilah Makhzumiyah yang mencuri. Kaum Quraisy bingung dengan permasalahan itu kerana mereka tahu hukuman pencuri mengikut undang-undang Islam ialah dipotong tangan (mengikut syarat ditetapkan).

Mereka bertanyakan kepada sesiapa yang berani berjumpa Rasulullah SAW memohon melepaskan wanita itu. Usamah disarankan bertemu Rasulullah SAW kerana Rasulullah menyayangi Usamah. Maka Usamah pergi dan berbicara kepada Rasulullah SAW untuk minta pembelaan atas wanita itu.

Kemudian Rasulullah SAW bersabda: “Jadi kamu ingin memohon syafaat (pembelaan) terhadap salah satu dari hukum Allah? Setelah mengucapkan ayat itu, Baginda berdiri dan berkhutbah: “Wahai manusia! Sesungguhnya yang menyebabkan binasanya umat sebelum kalian ialah apabila mereka mendapati ada orang mulia yang mencuri, mereka membiarkannya. Tetapi apabila mereka mendapati orang lemah di antara mereka yang mencuri, mereka akan menjatuhkan hukuman kepadanya. Demi Allah! Jika Fatimah binti Muhammad yang mencuri, nescaya aku akan memotong tangannya”.

Oleh itu, marilah kita menjadikan senyuman dan ketegasan Rasulullah SAW sebagai panduan dan pada masa sama menilai hikmah di sebaliknya. Senyumlah, kerana senyuman tidak pernah mengurangkan rezeki sesiapa, malah dengan senyuman hati berasa tenang dan sentiasa disenangi orang lain. Sementara bertegaslah dalam keadaan perlu supaya agama tidak diperkotak-katikkan.

Apa Dah Jadi - Kalau sudah jodoh tak ke mana

Kalau sudah jodoh tak ke mana. Begitulah yang berlaku pada sepasang kekasih di London, England, yang terpisah lama akhirnya berkahwin gara-gara surat cinta yang dihantar 10 tahun lalu ditemui semula.

Steve Smith dan Carmen Ruiz-Perez, masing-masing berusia 42 tahun, berkahwin selepas 16 tahun berpisah.

Pasangan itu jatuh cinta dan bertunang ketika usia mereka 20-an apabila Carmen berhijrah ke England untuk berlajar.

Bagaimanapun, selepas setahun pasangan itu terpaksa berpisah disebabkan Carmen berpindah balik ke Perancis.

Beberapa tahun kemudian Steve menulis surat kepadanya dalam usaha untuk menyambung percintaan yang terkandas.

Malangnya surat tersebut tidak sampai ke tangan Carmen apabila ia terjatuh dan terselit di tepi tempat pendiangan di rumah Carmen.

Carmen hanya dapat membuka surat cinta itu 10 tahun kemudian selepas ia ditemui apabila tempat pendiangan tersebut, baru-baru ini dirobohkan untuk pengubahsuaian.

Carmen yang masih bujang dan tidak pernah melupakan percintaan pertamanya itu - menerima surat Steve yang antara hanya menyebut: "Saya harap anda sihat. Saya menulis untuk bertanya sama ada anda telah berkahwin atau masih mengingati saya."

Menurut Steve, dia tidak menulis panjang kerana mengagak Carmen sudah berkahwin.

"Tidak pernah terfikir selepas 10 tahun kami dapat bertemu semula," katanya.

Pasangan itu kemudian bertemu di Paris beberapa hari kemudian dan mengambil keputusan berkahwin - 17 tahun selepas jatuh cinta kali pertama.

cari pasangan

Bagi menguji sama ada pasangan anda sesuai atau tidak, tandakan 'ya' atau 'tidak' bagi setiap pernyataan di bawah. Hasilnya, anda boleh mengetahui sama ada calon pilihan anda benar-benar serasi dengan diri anda. Namun anda DILARANG untuk percaya kepada kuiz ini kerana jodoh adalah ketentuan Allah. Segala takdir berlaku dengan izinnya. Semoga jodoh anda berpanjangan hingga ke syurga.



1. Apakah anda berdua memiliki corak dan semangat pergaulan sama atau hampir sama? (Ya/Tidak)

2. Apakah anda berdua mempunyai sikap yang sama terhadap nilai hidup yang luhur serta lapang fikiran? (Ya/Tidak)

3. Apakah berdua saling hormat menghormati dan berpuas hati dengan pekerjaan masing-masing? (Ya/Tidak)

4. Apakah bakal tunang anda matang usianya? (Ya/Tidak)

5. Apakah bakal tunang anda terkenal di kalangan sahabat sebagai individu beramanah, jujur dan tidak selalu menguzurkan diri?

6. Apakah anda berdua sudah lama berkenalan? (Ya/Tidak)

7. Selama perkenalan pernahkah terjadi sesuatu yang mengeruhkan perhubungan anda berdua? (Ya/Tidak)

8. Apakah si dia tidak meninggalkan solat? (Ya/Tidak)

9. Apakah rancangan perkahwinan anda berdua dipersetujui keluarga kedua belah pihak? (Ya/Tidak)

10. Apakah bakal tunang anda patuh kepada kewajipan agamanya? (Ya/Tidak)

11. Apakah bakal tunang anda bukan kaki muzik dan rockers ? (Ya/Tidak)

12. Apakah anda sudah memikirkan masak-masak soal pilihan hati atau lebih didorong nafsu? (Ya/Tidak)

13. Apakah bakal tunang anda mempunyai perhubungan yang rukun dengan keluarganya? (Ya/Tidak)

14. Apakah bakal tunang anda bukan pemboros? (Ya/Tidak)

15. Apakah bakal tunang anda mudah cemburu dan syak wasangka? (Ya/Tidak)

16. Apakah bakal tunang anda tenang walaupun anda panas baran? (Ya/Tidak)

17. Apakah anda berdua mempunyai pengetahuan dan pengertian mengenai hidup berumahtangga? (Ya/Tidak)

18. Apakah bakal tunang anda sederhana tabiat dan bukan dari golongan kaki motor dan kaki perempuan? (Ya/Tidak)

19. Apakah bakal tunang anda boleh memberi didikan agama kepada anak-anak anda kelak? (Ya/Tidak)

20. Apakah anda mengerjakan solat sunat istikharah untuk menentukan sama ada pilihan hati baik untuk diri anda dan agama? (Ya/Tidak)

Keputusan:

# Jika anda dan pasangan masing-masing menjawab 'ya; sebanyak 16 kali atau lebih, ini membuktikan mahligai yang bakal dibina disinari cahaya kebahagiaan dan kejayaan. Jika anda menjawab 'ya' kurang dari 15 kali, perkahwinan anda mungkin berjaya tetapi dilanda gelombang pahit.

Sebaliknya, jika jawapan 'ya' tidak sampai 10 kali, perkahwinan anda kelak diragui sukar bertemu kedamaian.

Menangani Kekecewaan

Oleh Dr Jamaludin , Kosmo

Tiada siapa yang dapat lari daripada kegagalan hidup. tetapi yang membezakan kita ialah bagaimana kita berdepan dengan kegagalan itu.

Kekecewaan boleh berlaku bila apa yang kita ingini tidak diperoleh. Kenaikan harga barang yang mendadak menyebabkan seseorang tidak dapat menguruskan perbelanjaan dengan baik dan mengakibatkan masalah kewangan. Ada orang mencari jalan pintas untuk mendapatkan wang dengan cara meminjam dan sebagainya. Akhirnya menghadapi masalah hutang. Gagal dalam mengejar cita-cita juga boleh menimbulkan rasa kecewa.

Kecewa tidak mendapat apa yang diingini boleh merosakkan emosi dan fizikal. Kecewa kerana tidak ada peluang, tidak diberi peluang atau hilang peluang sangat menguji keinginan seseorang malah meluluhkan jiwa.

Kecewa inilah yang mengundang hidup yang tidak terurus dan dukacita berterusan. Allah mengingatkan kita dengan Firmannya : 'Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman' - Surah ali-Imran : 139

Bagaimana kita harus hadapinya? Sabar dan solat adalah kunci kepada ketabahan dan kejayaan. Solat adalah penguat jiwa yang lara, pengukuh ketahanan mental dan penyubur hati yang sedih.

Firman Allah: 'Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)' -Surah ali-Imran : 200.

'Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk'- Surah al-Baqarah: 45

Apa yang kita dapat daripada dugaan ini? Darjat keimanan akan meningkat. Begitu juga dengan adat dunia. Belajar daripada satu peringkat ke peringkat yang lebih tinggi. Jika lulus, barulah kita akan dibenarkan naik ke peringkat yang seterusnya.

Jika gagal, terpaksa mengulangi dan berusaha untuk lulus. Tegas Allah dalam firmannya: 'Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran, dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar' - Surah at-Taubah: 111.

GAGAL dalam peperiksaan boleh menimbulkan kecewa.

Jika berlaku demikian, kepada siapa kita harus berharap? Harapan adalah cita-cita, bukannya pemusnah hidup. Ramai orang yang keliru di antara harapan dan cita-cita. Mengharapkan bantuan Allah adalah pengukuh jiwa, penguat yang mengukuh tautan hati, mental dan fizikal hamba kepada Tuhannya.

Tidak ada apa yang dapat diharapkan selain daripada harapan yang sepenuhnya kepada Allah yang menguasai hati manusia. Firman Allah: 'Kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka katakanlah (wahai Muhammad): Cukuplah bagi Allah (yang menolong dan memelihara ku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, kepadanya aku berserah diri, dan Dialah yang mempunyai Aras yang besar'- Surah At-Taubah: 129.

Hidup, perlu diyakini adalah suatu ujian yang sangat hebat. Semakin kuat iman, semakin kuatlah ujian yang diterima. Banyak kisah yang kita lihat sendiri, kita dengar dan diceritakan betapa orang yang berjaya dalam hidup tidak pernah berputus asa.

Harapan mereka adalah bantuan daripada Allah, biar apa pun yang berlaku. Tidak pernah sekali-kali kecewa dengan rahmat Allah. Pesan Rasulullah yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas : 'Sesiapa yang banyak beristighfar, iaitu mengingati Allah serta memohon ampun daripadanya, dia dilepaskan Allah daripada segala kesukaran dan kesempitan, serta diberi rezeki daripada sumber-sumber yang tidak disangka'.

Ke mana selepas SPM? See U Di IPT

Oleh MOHD. FARID MD ALIAS

ALHAMDULILLAH penantian terhadap pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) telahpun berakhir, dan kini kalangan remaja lepasan peperiksaan tersebut sudahpun mengetahui keputusan peperiksaan masing-masing.

Bagi yang berjaya, tahniah diucapkan kepada mereka. Kejayaan anda pastinya turut menjadi kebanggaan keluarga. Anak yang dididik, diasuh kini menjadi harapan keluarga untuk terus berjaya dan menjadi insan yang berbakti.

Kita juga amat berasa berbangga kerana terdapat adik-adik kita yang mencatatkan kejayaan yang amat luar biasa, umpamanya Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal yang berjaya mendapat 19 A1 dan 1 A2. Kejayaan beliau merupakan inspirasi untuk kita mencapai kecemerlangan mengatasi kekurangan yang ada. Tahniah kepada beliau.

Bagi yang kurang berjaya pula, jadikanlah kehidupan pasca SPM ini sebagai lembaran baru ke arah mencipta kejayaan baru dalam bidang yang bakal diceburi. Masih tersedia pelbagai peluang melanjutkan pelajaran yang bersesuaian dengan kelayakan yang dimiliki.

Pemilihan Kursus Pengajian

Kini tibalah masanya untuk para lepasan SPM dan STPM memilih jalan kehidupan yang seterusnya. Perbincangan kali ini memfokuskan kepada proses pemilihan kursus pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Objektif akhir kepada proses membuat keputusan ini ialah satu keputusan untuk mengikuti kursus yang diharap paling bersesuaian dengan pelajar, mendapat restu dan sokongan daripada penjaga pelajar khasnya ibu bapa.

Pemilihan kursus bagi pengajian di peringkat yang lebih tinggi perlu dilakukan dengan berhati-hati. Ia perlu mengambil kira pandangan pihak lain umpamanya ibu bapa, para guru, ataupun tokoh yang telah berjaya dalam bidang berkaitan.

Di samping itu, pelajar perlu bersikap proaktif dalam usaha mendapatkan maklumat berkenaan kursus, institusi pengajian dan potensi kerjaya berkaitan. Hal ini membantu pelajar membuat keputusan terbaik berdasarkan kepada maklumat yang diperoleh.

Terdapat pelbagai sumber maklumat yang boleh diteroka oleh pelajar, umpamanya melalui laman web rasmi sesebuah institusi pengajian itu, forum maya, karnival pengajian tinggi, hari terbuka kampus, risalah, majalah serta sumber-sumber yang lain.

Kebiasaannya, persoalan pertama yang bakal timbul ialah apakah kursus yang ingin diikuti? Adakah ia kejuruteraan, perubatan, perakaunan, ekonomi, sains kemanusiaan atau sebagainya? Secara umumnya jawapan kepada persoalan ini merujuk kepada minat serta kecenderungan yang dimiliki oleh seseorang pelajar itu.

Bagaimana untuk mengetahui minat atau kecenderungan diri? Secara ringkas, jawapan tersebut terkait pada aktiviti bermanfaat apakah yang berhasil membuahkan kepuasan kepada diri pelajar setelah berjaya melaksanakannya.

Tetapi jika pelajar ingin mengkaji minat serta personaliti diri secara mendalam, pelajar boleh mengambil ujian personaliti diri daripada guru kaunseling ataupun Internet. Keputusan ujian tersebut mungkin dapat mengaitkan personaliti sesuatu kerjaya itu dengan personaliti diri pelajar.

Namun, dua kaedah tersebut hanyalah sebahagian daripada kaedah dalam proses mengenali diri dan ia tidak semestinya memberi jawapan mutlak kepada kerjaya yang menyamai minat diri.

Proses penerokaan minat diri berlaku secara berterusan dan kadang kala pelajar akan menemuinya dalam fasa kehidupan di kampus mahupun setelah bekerja kelak. Namun, kursus pengajian yang bakal diikuti selepas persekolahan menengah merupakan asas pengetahuan kepada apa jua kerjaya yang bakal diceburi kelak.

Seperkara juga yang perlu dikaji tentang sesuatu kursus itu ialah adakah ia diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) atau tidak. Hal ini penting agar sijil yang diterima setelah menamatkan kursus dapat diiktiraf oleh bakal majikan berdasarkan penarafan MQA.

Pemilihan Tempat Pengajian

Persoalan keduanya, institusi apakah yang menawarkan kursus yang berkaitan? Di dalam negara atau di luar negara? Kolej atau universiti? Kemudiannya, adakah kelayakan minimum untuk memohon kursus tersebut bersesuaian dengan kelayakan yang dimiliki?

Faktor suasana tempat pengajian perlu turut diambil kira memandangkan ia akan turut mempengaruhi prestasi pembelajaran kita. Adakah suasana tempat pengajian bersifat kondusif serta mempunyai kemudahan secukupnya atau tidak?

Bagaimana pula dengan corak budaya kehidupan kampus, sistem sokongan, persatuan pelajarnya, dan lain-lain lagi. Semestinya pelajar tidak akan dapat mengenali sepenuhnya persekitaran bakal kampus melainkan setelah menjadi pelajar kampus tersebut kelak.

Namun gambaran awal yang diperoleh dapat membantu pelajar dalam mempertimbangkan kesesuaian tempat pengajian tersebut. Ataupun seandainya pelajar telah bertekad memilih tempat pengajian tersebut, sekurang-kurangnya pelajar dapat bersedia dari segi mental untuk menghadapi serta mengadaptasi suasana baru kelak.

Faktor Kewangan

Sesuatu kursus yang ingin diikuti itu tentunya berserta kadar yuran tertentu yang perlu dibayar. Di samping itu, terdapat juga kos sara hidup sebagai seorang pelajar, kos alat perkakasan serta buku dan sebagainya.

Justeru, faktor kewangan juga merupakan satu aspek penting dalam proses pemilihan kursus pengajian. Persoalan tentang sejauh mana kemampuan pelajar dan keluarga untuk menanggung kos pengajian perlu dikaji serta dicari penyelesaiannya.

Yuran pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mungkin jauh lebih murah berbanding di institut pengajian tinggi swasta (IPTS). Kos pengajian di luar negara tentunya lebih tinggi berbanding di dalam negara.

Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) dapat membantu memberi pinjaman pendidikan kepada mereka yang layak. Namun adakah pinjaman yang disediakan mencukupi untuk menanggung kos pengajian keseluruhannya?

Alternatif lain adalah dengan memohon penajaan atau biasiswa daripada mana-mana badan berkanun atau syarikat swasta untuk menaja program pengajian yang bakal diikuti.

Namun keutamaan biasanya diberikan kepada mereka yang cemerlang dalam SPM serta aktif dalam kegiatan kokurikulum.

Walaubagaimanapun, terdapat juga tawaran biasiswa yang bakal dibuka setelah pelajar memasuki semester kedua tahun pertama. Pemilihan calon yang layak ketika ini pula berdasarkan kepada keputusan cemerlang yang diperoleh bagi semester pertama.

Akhir Kata

Dalam pada pelajar berusaha membuat perbandingan tentang kursus pengajian, ayuh amalkan juga solat istikharah serta sentiasa berdoa semoga Allah memberikan ilham untuk kita membuat keputusan terbaik yang diharapkan dapat membawa kebaikan kepada kehidupan kita di duni ini dan juga di akhirat kelak.

Selain itu, tanamkan niat dalam diri untuk menjadikan kerjaya yang bakal dibina sebagai satu perjuangan dalam usaha memenuhi tuntutan fardu kifayah terhadap umat Islam.

Umat Islam masa kini sememangnya memerlukan ramai pakar dalam segenap bidang untuk maju ke hadapan demi mencapai khaira ummah. Insya-Allah, kita sebagai generasi belia Islam hari ini dapat memenuhi aspirasi ummah dengan mencipta kecemerlangan dalam bidang yang diceburi.

Zaman remaja permulaan baik untuk berkarya

Oleh: DR. SIDEK BABA

AMALAN berkarya adalah suatu kelaziman atau kebiasaan seseorang menghasilkan karya sama ada berbentuk penulisan, lukisan, lirik lagu, ukiran dan lain-lain. Karya yang dihasilkan bermaksud merakamkan sesuatu yang dilihat, didengar dan dialami untuk dihargai sama oleh orang lain. Biasanya orang-orang yang menghasilkan sesuatu karya itu ia memiliki bakat seni yang tersendiri, seorang yang kreatif dan selalu peka terhadap persekitaran. Menerusi genre atau bentuk-bentuk penulisan yang digemari, ia menghasilkan sesuatu untuk menyampaikan mesej sesuatu perkara dan menerusi mesej itu diharapkan orang lain dapat menghargai sesuatu yang hendak disampaikan menerusi karya-karya yang pelbagai.

Tradisi Islam memang mendukung sama amalan berkarya. Amalan berkarya ini menjadi syarat bagi ilmuan terbilang dalam semua bidang. Kekuatan berkarya inilah yang menjadikan tamadun Islam unggul pada masa lalu. Amalan berkarya dari sudut Islam bukan saja memperlihatkan kebesaran Allah tetapi dibaca, dihargai, dinikmati oleh pembaca dan di kalangan seniman terhadap ayat-ayat Allah iaitu kehidupan itu sendiri. Sentuhan karyawan menyebabkan orang hampir dengan Allah kerana karya-karya yang tidak bercanggah dengan tauhid dan syariah sentiasa mengetuk pintu hati insan untuk merasakan kebesaran Allah menerusi limpahan rahmah dan nikmatNya.

Memang zaman remaja adalah permulaan yang baik untuk berkarya. Remaja kena ada tradisi mencatat, merenung, merakamkan dan memberi penghargaan atau apresiasi terhadap sesuatu yang baik, indah dan berseni. Dengan belajar menghasilkan sesuatu yang baik dan kreatif mahupun yang bukan kreatif remaja bukan saja dapat memupuk bakat atau potensi yang ada tetapi pada masa yang sama dapat berkongsi pandangan, pengetahuan dan idea dengan orang lain.

Bagi remaja, amalan berkarya harus dijadikan satu tradisi, kebiasaan dan kelaziman. Ada banyak jenis kegiatan berkarya boleh remaja lakukan. Ia mesti bermula sejak pada awal umur lagi. Remaja kena membiasakan diri dengan melakukan kerja-kerja catatan. Daripada catatan harus dikembangkan lagi supaya bukan saja kita mencatat idea orang tetapi lebih dituntut ialah memikirkan idea sendiri. Di sinilah amalan berkarya itu lahir.

Pertama, remaja kena rajin membaca, bergaul dan berkomunikasi dengan orang atau pihak lain. Menerusi pembacaan, pergaulan dan perhubungan banyak ilham dan isi-isi karya boleh diketengahkan. Para remaja harus memiliki sifat peka, sensitif, keinginan ambil tahu dan perspektif terhadap persekitarannya, analitis terhadap apa yang berlaku dan berjiwa kritis terhadap pandangan dan pendapat. Cara begini membolehkan pemikiran berkembang dan kematangan berfikir berlaku.

Kedua, remaja kena jadi seorang pendengar yang tekun dan pencatat yang baik. Kita sering mendengar orang berceramah tetapi jarang di kalangan remaja mengambil catatan, nota atau isi-isi penting. Selalunya kita hanya mendengar begitu saja. Jadikan amalan bila kita mendengar ceramah, kita bawa nota catatan untuk menulis apa yang diceramahkan.

Mungkin isi-isi atau idea yang dibawa oleh penceramah merupakan sesuatu yang baru. Remaja boleh mengolah dan menulisnya semula dalam bentuk-bentuk yang berlainan supaya apabila disiar atau diterbitkan ia memberi manfaat kepada orang lain. Orang-orang Barat amat gemar membuat catatan, nota atau jurnal tentang sesuatu yang berlaku atau terjadi yang dianggap penting. Tradisi ini amat berguna menjadikan mereka perakam zaman dan peristiwa untuk dianalisis, direnung dan dipelajari oleh generasi mendatang.

Bakat

Ketiga, para remaja yang memiliki bakat sebagai penulis kreatif, pelukis, penggubah mahupun tulisan yang bukan kreatif harus menjadikan berkarya sebagai penyaluran bakatnya. Umat Islam memerlukan karyawan yang bukan saja mempunyai kualiti dalam pengkaryaan tetapi karya-karyanya mendekatkan orang lain kepada Allah.

Karya-karya yang baik dan berkualiti boleh memberikan ilmu, maklumat, pengalaman dan teladan malah ilham kepada remaja menghasilkan karya-karya yang bermutu dan sekali gus dapat menyampaikan risalah tertentu dalam karyanya supaya pembaca dapat menikmati perspektif yang ingin dibawanya.

Alam yang luas ini adalah sumber yang maha kaya bagi membolehkan remaja berfikir, mengolah pemikiran dan menghasilkan karya. Alam ini dengan segala isi, peristiwa dan kejadiannya memberikan iktibar yang banyak. Para remaja yang mempunyai daya kreativiti yang tinggi boleh mengolahnya dalam bahasa dan sastera yang indah, dalam lukisan dan lakaran yang menarik, dalam lirik puisi dan lagu yang memikat dengan maksud bahawa sesuatu yang dihasilkan itu semuanya mempunyai hikmah yang tersendiri di kalangan mereka yang mahu berfikir.

Al-Quran menyebutkan: Bagaimana Allah turunkan hujan di bumi yang pada asalnya mati (kering) kemudian subur menumbuhkan pokok-pokok dan kehidupan untuk menjadi rezeki manusia. (al-Baqarah:164.) Ayat ini sekiranya mampu diungkapkan secara kreatif dan mendalam dalam tulisan deskriptif mampu membina tema-tema cerpen, novel dan drama yang menggambarkan kebesaran Allah. Ia juga berupaya membariskan lirik-lirik yang puitis didendangkan dalam lagu-lagu yang mersik dan mengusik. Dilakarkan ke kanvas-kanvas lukisan dan ukiran yang terkandung simbol-simbol dan tafsiran yang amat bermakna, ia mendekatkan manusia dengan pencipta yang sebenar.

Dipelihara

Al-Quran juga menyebutkan tentang “gunung-ganang itu ibarat pasak-pasak bumi” sebagai kias-fikir yang cukup mendalam dan sifatnya saintifik. Kalimah Allah itu menyebutkan pentingnya bumi ini dipelihara dengan amanah yang tinggi kerana sekiranya hutan-hutan yang hijau, pokok-pokok yang merimbun dirosakkan ia bakal memberikan kesan ekologi yang amat negatif. Kehijauan pokok berkait rapat dengan kepentingan kepentingan oksigen, keseimbangan muka bumi berkait rapat dengan keseimbangan cuaca dan juga sistem saliran. Sekiranya gunung-ganang diruntuhkan, bukit-bukit ditarah rata, pokok-pokok ditebang yang menyebabkan kehijauan pupus ia bakal menyebabkan lapisan ozon menipis dan boleh menyebabkan malapetaka kepada kehidupan.

Para karyawan harus memiliki upaya kreatif yang tinggi, menulis dengan bijaksana dalam pelbagai genre tulisan supaya pembaca dapat disentuh hati dan mindanya, supaya timbul keinsafan tentang kepentingan alam dan bumi ini dipelihara kerana ia dikaitkan dengan amanah.

Sebagai khalifah Allah di muka bumi, para karyawan harus mampu menggarap idea-idea segar dan indah untuk dinikmati pembaca supaya rahmah Allah di muka bumi ini dapat dinikmati dengan baik supaya jangan terjebak dengan peringatan Allah dalam al-Quran bahawa “kerosakan muka bumi ini adalah akibat perbuatan tangan-tangan manusia sendiri.”

Bagi para remaja, al-Quran adalah karya teragung daripada pencipta yang sebenar. Karyawan hanya mampu mereka dan menggubah tetapi bukannya Mencipta. Penciptaan adalah milik Allah. Manusia hanya cuba mereka dan menggubah sesuatu dalam bentuk penghasilan karya yang berbagai untuk dinikmati oleh manusia. Para remaja sejak awal umur lagi perlu menginsafi bahawa daripada sumber al-Quran terkandung kisah-kisah Nabi dan kaumnya yang berbagai ragam. Ia adalah rakaman gambaran manusia yang bakal berulang dan melakukan silih-peristiwa. Dalam al-Quran terkandung ayat-ayat Allah mengenai peristiwa dan musibah terhadap mereka yang ingkar dan melampaui batas. Ia boleh memberi ilham kepada karyawan betapa berbagai peristiwa yang berlaku dalam kehidupan manusia kini adalah perulangan atas dua pola perlakuan iaitu kebaikan kepada yang melakukan yang makruf dalam hidupnya dan keburukan atau malapetaka kepada yang melakukan kemungkaran dalam hidupnya.

Oleh itu, amat penting bagi remaja mengasah bakat mereka berkarya supaya alam yang terbentang luas sebagai buah karya Allah dapat diambil ibrah atau teladannya, peristiwa atau kejadiannya untuk menjadi bahan renungan kreatif remaja bagi digubah dengan kreatif dan mampu menyentuh perasaan insan yang memiliki sifat lalai dan lupa agar mereka hidup dalam keadaan fitrah.

Fitrahlah pedoman terbaik bagi remaja dan manusia lain supaya dengan berfikir dan berkarya secara fitrah, ia menyebabkan manusia memiliki rasa hampir dengan Penciptanya dan ia bakal menyebabkan manusia sentiasa dalam iman dan melakukan amal soleh sepanjang hayatnya.

Pasrah



sumber:email fwd

Kilang air mataku belum kering rupanya. Ditambah dengan hembusan dingin bayu malam ini membawa aku meneroka kembali sejarah hitam silamku. Apakah Allah telah mentakdirkan aku menerima nasib sebegini sehingga akhir hayatku. Kabus kelam dahulu kini datang kembali mengimbau genta rinduku pada seseorang yang pernah aku kenali, sayangi dan rindui suatu ketika dahulu. Aku seolah-olah bermimpi dalam perjalanan hidupku.

Walau pelbagai dugaan demi dugaan yang datang tapi belum pernah aku menidakkan qada dan qadar Allah. Tidak aku pertikaikan sama sekali jika aku ada kelemahan kerana aku jua insan ciptaan Allah. Tapi aku hanya seorang manusia yang bergelar wanita. Setakat manalah kekuatanku mengharungi cubaan maha berat begini. Semoga Allah menguatkan imanku agar terus membesarkan anak-anakku walau tiada apa yang dapat aku impikan dari orang yang bergelar 'abah' kepada anak-anakku.

Hari itu.. aku begitu sibuk di pejabat dengan kerja yang melambak di atas meja. Kehadiran beberapa pekerja yang datang untuk mengambil gaji cara tunai tidak ku hiraukan.. walau aku tahu beberapa mata liar sedang memerhatikan gerak geriku.. ditambah dengan kehadiran syawal.. maka mereka-mereka pun menyibukkan diri mencari surat-surat atau mungkin kad-kad raya di kaunter pejabat.

Tiba-tiba salah seorang dari pekerja itu masuk dan duduk di hadapan mejaku..sambil tersenyum..cuba menggodaku.. seperti zaman Allahyarham P.Ramlee.. tapi aku tidak menghiraukan kehadirannya dan terus dengan kerjaku.. tidak lama dia pun berlalu.

Esoknya.. dia datang lagi.. dan begitulah seterusnya.. sehingga pada suatu hari dia dengan sukarela menemani aku ke perhentian bas yang memang setiap hari setia menungguku walau aku menolak kerana takut dilihat oleh buah hatiku yang kadang kala menjemputku pulang tanpa memberitahu. Aku tinggal menyewa di suatu kawasan di pekan TA.. dan tanpa aku sedari rupanya pemuda tadi juga tinggal di kawasan yang sama. Pada suatu hari.. tuan rumah sewa ku telah datang dan memberi notis untuk mengosongkan rumahnya dengan alasan anaknya akan tinggal di situ.. mahu tidak mahu aku terpaksa keluar hujung bulan nanti yang hanya tinggal beberapa hari saja lagi. Masalah ku ini telah ku suarakan kepada pemuda yang kuanggap teman tadi... dan tanpa kuduga dia menjemput aku untuk menyewa salah sebuah bilik di rumah sewanya yang kebetulan kosong pada masa itu.

Aku yang terdesak terus saja menerima pelawaannya.. Bermula dari situ.. hubungan kami mulai rapat.. dan ini telah mula dihidu oleh buah hatiku.. namun dia tidak pernah bertanya apa-apa mengenai kami. Dia begitu sabar dengan sikapku kerana katanya dia terlalu sayang padaku.. Setelah sekian lama tinggal serumah .. terus terang aku katakan.. telah beberapa kali kami melakukan perbuatan sumbang.. namun aku bersyukur dan gembira.. akhirnya pemuda tadi telah meminangku dengan baik. Bermulalah episod perkahwinan kali keduaku..setelah kehancuran rumahtangga pertamaku gara-gara suamiku jatuh cinta dengan wanita lain. Kurelakan perpisahan itu..

Bermulalah episod perkahwinan kami.. dan buah hati yang dulu amat kusayangi dengan terpaksa telah kutinggalkan tanpa sepatah kata.. dan hingga ke hari ini dia masih tertanya-tanya apa salah dan silapnya sehingga aku sanggup berbuat demikian padanya.. Sering kotak email ku diisi dengan kehadiran kad mahupun emailnya yang cuma sekali ku jawab. Namun kini dengan linangan air mata.. patah demi patah perkataan cuba ku susun walau dengan jari jemari yang gementar aku menghubunginya kembali.. menyatakan kerinduan ku padanya yang berada jauh beribu batu dariku.. Di sudut hatiku.. aku tahu api lilin cinta kami belum pernah pudar.. walau aku telah bersuami dan dia juga telah beristeri.. namun kerinduan dapat aku rasakan antara kami. Aku tidak pernah membayangi akan berbuat curang dengan suamiku.. tapi aku kecewa.. terlalu kecewa hingga tidak dapat ku luahkan dengan kata-kata.. hanya air mata yang menjadi teman.. aku cuba menanam kepercayaan pada seorang lelaki yang bergelar suami.. tapi telah dua kali juga aku dicurangi.. apakah aku memang ditakdirkan untuk bersuamikan lelaki curang. Cuma satu beza antara suami-suami ku .. suami pertamaku lebih gentlemen.. aku puji dengan sikapnya yang tidak mahu menipuku.. berterus terang dengan kecurangannya.. berbanding dengan suami keduaku.. walau menitis air mata darah pun aku.. dia tetap dengan egonya.. kalau nak kata aku mendengar tohmahan orang.. mungkin sekali dua.. tapi kalau sudah kawan-kawan sekolah anakku pun pandai balik ke rumah dan bercerita mengenai kecurangan 'abah' mereka padaku.. masih bolehkah aku bersabar.. tidak ditambah dengan panggilan wanita yang tidak ku kenali ke talian bimbitnya.. pesanan suara wanita.. aduhhh.. dan yang paling pedih dan sakit hatiku.. pernah aku terdengar dia berpesan dengan kawan sekerjanya untuk memberitahu bahawa dia bekerja pada malam itu .. seandainya aku bertanya kelak... isteri jenis apakah dianggapnya aku.. sehingga sanggup bertanya mengenai suami kepada orang lain.. Bagiku.. aku tidak kisah jika dia sukakan wanita lain.. tapi apa salahnya berterus terang.. biarlah aku sakit hati sekali.. dari makan hati setiap hari.. Aku telah bosan dengan perkahwinan ini.. aku sudah tidak kisah sekarang.. anak-anak pun telah besar dan tahu menilai mana yang baik dan mana yang buruk.. aku telah pasrah.. kalau itulah kehidupan yang dipilihnya.. akan kurelakan.. walau dulu pernah dia katakan.. akan membimbingku menjadi isteri yang baik.. dan taat kepada ajaran agama.. namun sehingga ke hari ini.. bila kusuarakan.. bila lagi abang nak sembahyang.. jawapan yang kudapat adalah..'tunggulah.. abang belum bersedia.. nanti bercampur aduk..'... sakit hatiku dengan jawapan selambanya itu.. tapi aku diamkan saja.. entah apa yang bercampur aduk agaknya.. apakah dia takut kiranya dia bersolat dan kemudian berbuat maksiat.. nanti Allah tidak akan menerima amalannya.. Entahlah... aku pun tidak faham suami dan lelaki jenis apa dia ni.. kalau dilihat keturunannya... baik-baik belaka.. agaknya dia sorang sajalah yang komeng..

Kini.. hari ini.. walau aku masih bergelar isterinya.. namun kehidupan berumahtangga telah tidak aku rasakan bahagianya.. ditambah dengan kejauhan tempat bertugas kami.. aku semakin terasa kekosongan.. ligat suamiku semakin bertambah.. dan kadang-kadang sampai tak balik ke rumah kata anakku yang jua tinggal bersamanya.. jauh di sudut hatiku.. aku terasa diketepikan.. kesunyian dan kekosongan.. Dan bila malam menjelma.. aku .. sambil duduk termenung mengenangkan nasib.. mengulit kenangan lalu.. perlahan.. dalam kepayahan.. ku urai simpulan anyaman yang telah lama kusatukan di atas api lilin cintaku... ku cuba menguis-nguis mencari debu-debu yang tinggal walau selebihnya telah bertebaran ditiup angin.. ku kutip dan ku kumpul.. dengan rembesan air mataku.. DEMI ALLAH... aku kerinduan dalam kehancuran hatiku.. kehancuran yang tidak dapat kugambarkan.. entah siapa yang akan menyelamatkan aku dari terus hanyut.. entah tangan siapa yang akan menggapai dan membawaku ke suatu perhentian.. yang aku tahu pasti bukan tangan suamiku... .............

Membina Perhubungan Melalui Bicara



Salah satu perkara penting dalam mengembangkan dan menilai konsep kendiri adalah dengan melihat reaksi dan tindak balas orang lain terhadap pendedahan kendiri. Pendedahan kendiri berlaku apabila anda dengan sengaja mendedahkan maklumat peribadi anda terhadap orang lain yang tidak akan diketahui melainkan jika diberitahu.

Kita boleh mengagak umur, ketinggian dan berat dengan sekadar melihat. Tetapi mustahil untuk menjangka secara tepat melainkan anda diberitahu. Pendedahan kendiri bukan sahaja membantu orang lain memahami anda, ia juga menandakan tahap kepercayaan dan penerimaan orang lain terhadap anda.

Hubungan yang lebih baik dalam persahabatan mahupun kekeluargaan tidak akan mencapai peringkat yang lebih erat tanpa pendedahan kendiri, sebaliknya ia sekadar perhubungan palsu atau secara terpaksa kerana sebab-sebab tertentu. Anda boleh menilai konsep kendiri orang lain dan diri anda sendiri hanya apabila kedua-dua pihak bersedia mendedahkan diri antara satu sama lain.

Tahukah anda mengapa salah seorang rakan yang anda kenali di anggap sebagai rakan karib? Hatta diri penulis juga mempunyai rakan karib. Tanpa ragu-ragu, salah satu karateristik yang menjadikan seseorang itu sebagai rakan paling akrab dengan diri anda ialah kesediaan kedua-dua pihak berkongsi maklumat peribadi.

Apabila anda bersama dengannya, anda bersedia untuk berkongsi rahsia diri, buruk atau baik berbanding rakan-rakan lain yang mengenali anda secara luaran. Dua orang penyelidik, Irwin Altman dan Dalmas Taylor telah memperkenalkan model ‘penembusan sosial’ (social penetration). Cuba anda bayangkan sebiji kek berbentuk bulat. Ia mewakili semua maklumat berkenaan diri anda yang berkemungkinan didedahkan kepada orang lain.

Kek tersebut dipotong dan dibahagi-bahagikan mengikut saiz yang sama. Setiap bahagian mewakili sebahagian daripada diri anda. Contohnya, beberapa bahagian kek tersebut mewakili diri anda yang berkaitan dengan aktiviti, kepercayaan dan agama, keluarga, sekolah, ketakutan, pengalaman hidup atau apa sahaja yang berkaitan.

Di bahagian tengah kek diibaratkan sebahagian maklumat yang bersifat sangat peribadi semakin lama seseorang itu memakan kek tersebut, semakin banyak maklumat yang akan dimiliki olehnya. Sebanyak mana bahagian kek kehidupan yang ingin anda kongsi, terpulang kepada anda.

Untuk mendedahkan maklumat diri anda kepada orang lain, pertama sekali anda perlu menyedari tentang diri anda terlebih dahulu. Kesedaran kendiri, ialah kefahaman terhadap diri secara sedar. Dengan memikirkan tentang diri, bertanyakan kepada orang lain dan mendengar apa yang disampaikan berkenaan diri anda adalah proses kesedaran kendiri.

Salah satu kaedah yang boleh dilakukan untuk memahami diri anda adalah dengan menggunakan model Tetingkap Johari (Johari Windows) yang diperkenalkan oleh Joe (Joseph Luft) dan Harry (Harry Ingham). Lontarkan pandangan anda melihat sebuah tingkap yang mempunyai kerangka 4 segi yang dibahagikan kepada empat bahagian. Kita wakili setiap bahagian sebagai kuadran pertama hingga ke empat yang mempunyai karakteristik seperti berikut;

Kuadran pertama

Ia dipanggil sebagai ‘kawasan terbuka’. Mengandungi maklumat diri yang diketahui oleh anda dan orang lain. Apabila anda bersifat lebih terbuka terhadap orang lain maka kuadran ini akan terus membesar. Umur atau pekerjaan adalah antara maklumat yang anda letakan ke dalam kuadaran ini.

Kuadran kedua

Ia dikenali sebagi sebagai ‘kawasan buta’. Mengandungi maklumat diri yang diketahui oleh orang lain terhadap diri anda, tetapi anda sendiri tidak mengetahuinya. Penulis masih ingat salah satu jenaka yang selalu dilakukan di sekolah ialah melekatkan kerta yang bertulis ‘Pukul Saya’ di belakang pelajar lain. Begitulah sifat kuadran kedua. Anda mungkin merasakan diri anda seorang yang suka membantu, tetapi rakan-rakan lain melihat anda seperti ingin mengambil hati orang lain untuk kepentingan diri.

Kuadran ketiga

Ia dipanggi sebagai ‘kawasan tersembunyi’. Mengandungi maklumat diri yang diketahui diri anda sendiri tanpa diketahui umum. Ia mungkin melibtakan perasaan anda terhadap orang lain, perkara-perkara memalukan yang pernah berlaku terhadap diri. Kawasan tersembunyi ini tidak sewajarnya didedahkan kepada orang lain, ia boleh digunakan sebagai cermin untuk memperbaiki diri.

Kuadran ke empat.

Ia dikenali sebagai ‘kawasan tidak ketahui’. Baik anda mahupun orang lain tidak mengetahui maklumat tentang diri. Ia bergantung sama ada anda masih belum mengenali diri anda sepenuhnya atau tindak balas anda terhadap sesuatu yang belum berlaku atau perkara-perkara diketahui oleh Tuhan.

Selepas ini anda bebas untuk memilih dan melakar sama ada kek kehidupan atau tetingkap diri untuk lebih mengenali diri sebelum bersedia mendedahkan rahsia diri terhadap orang lain.

Kau Bernama Cinta



Orang bijak dan budiman sejak zaman ke zaman pernah mengatakan bahawa cinta adalah sendi segenap keutamaan di dunia ini. Kalau tiada cinta, nescaya nilai kemanusiaan akan hancur. Orang yang bercinta tidak pernah khianat kepada orang yang dicintainya, tidak pernah menyakiti dan tidak pernah mengecewakan.

Filem Mohabbatein memaparkan bagaimana kekuatan cinta berjaya menundukkan ego seorang ayah dan sekali gus seorang pengetua yang membenci cinta.

Cinta memang perasaan yang menakjubkan. Ia ibarat sebuah barang antik, suatu benda lama yang sentiasa baru dari zaman ke zaman dalam hidup manusia. Lebih daripada itu, cinta itu lebih tua daripada alam kerana atas dasar cintalah Tuhan menjadikan alam ini.

William Shakespeare pernah berkata: "Manusia mati dari semasa ke semasa dan badan mereka dimakan ulat, tetapi bukan kerana cinta." Malah cinta itu datangnya dari mata turun ke hati, berendam dalam dada dan mengharap pemberian kepada yang satu.

Ya, hampir semua manusia pernah hidup di bawah langit cinta. Ia mempesona dan mewarnai pelbagai wajah. Ia menghiaskan kehidupan ini seumpama bunga, maka cinta itulah madunya.

"Semakin banyak engkau memuntahkan kata-kata tentang cinta, semakin sepi hatimu dan semakin engkau gilakan cinta. Tiada kisah teramat manis daripada kisah cinta. Tiada kisah teramat ngeri daripada putus cinta. Yang termanis daripada yang manis di dunia ini ialah pujian kekasih yang terlontar daripada rasa cintanya," demikianlah kata-kata orang bijak yang memang kita percayai dan tersemat dalam jiwa kita yang terdalam.

Namun ingat bahaya cinta: cinta monyet ialah cinta keanak-anakan, cinta palsu sekadar basa-basi atau penghormatan, cinta saku merosak saku menguras wang. Oleh itu, 'bercintalah' dengan sepenuh hati kerana cinta sejati sajalah yang akan menghasilkan cita-cita luhur dan abadi. Cinta sejati memang tidak terungkap dengan kata-kata kerana ia menghiasi perbuatan 'pencintanya'.

Lihatlah dan renungilah kata-kata Bung Karim tentang cinta: "Cinta kepada harta bererti bakhil, cinta kepada perempuan ertinya alam, cinta kepada diri ertinya bijaksana, cinta kepada mati ertinya hidup, cinta kepada Tuhan ertinya takwa."

Atau renungi pula kata-kata Hamka: "Cinta bukan melemahkan hati, bukan membawa putus asa, bukan menimbulkan tangis sali sedan. Tetapi cinta menghidupkan penghargaan, menguatkan hati dalam perjuangan, menempuh onak dan duri penghidupan."

Sentuhan cinta semakin tersengat bahkan amat diperlukan dalam konteks sekarang, memandangkan sentuhan cinta kemanusiaan semakin terhakis dengan berlakunya peristiwa-peristiwa 'mencemaskan' umat manusia seperti keganasan global, perang tanpa henti, konflik antara umat yang mengaku beragama, seolah-olah membayangkan sentuhan cinta sesama manusia telah 'tercabut' daripada jiwa terdalam manusia. Walhal cinta itu adalah jiwa, di antara cinta sejati dengan jiwa tidak dapat dipisahkan, kerana cinta pun merdeka sebagaimana jiwa.

Ia tidak membezakan di antara yang kuat dan lemah, di antara kaya dan miskin bahkan antara darjat dan bangsa. Tetapi inilah yang kita saksikan di merata dunia.

Manusia membunuh, menindas demi memenuhi cinta palsu atas nama kemanusiaan, sedangkan cinta sejati sesama manusia semakin dilupakan, apatah lagi cinta sebenar terhadap Tuhan. Manusia lupa kata-kata ahli fikir Islam, Al-Farabi bahawa cinta yang ditujukan kepada pemuasan hawa nafsu sebenarnya adalah cinta yang diilhamkan Tuhan untuk binatang. Bak kata Hamka lagi: "Cinta itu adalah perasaan yang mesti ada pada tiap-tiap diri manusia, ia laksana setitis embun yang turun dari langit, bersih dan suci. Jika ia jatuh kepada tanah yang subur, di sana akan tumbuh kesucian hati, keikhlasan, setia budi pekerti yang tinggi dan lain-lain perangai yang terpuji."

Kenapa Orang Melayu Makan Guna Tangan?

Setiap bangsa di dunia ini punya budaya tersendiri.

Oleh sebab makan itu satu perkara yang wajib dalam hidup, cara makan juga merupakan satu budaya.

Masing-masing bangsa ada budaya mereka tersendiri bagaimana mereka makan.

Misalnya orang Cina menggunakan kayu (chopstick) dan orang Barat pula menggunakan sudu dan garfu.

Tentu ada sebab yang rasional kenapa mereka amalkan cara itu.

Orang Melayu makan biasanya menggunakan tangan kanan. Apakah rasionalnya dan kenapa orang Melayu makan dengan tangan ?

Soalan ini dijawab dengan mudah di akhir abad ke-19 oleh seorang kerabat diraja Kedah yang menetap di Selangor bernama Tengku Kudin. Perkara ini diceritakan oleh seorang isteri pegawai tinggi British yang berkhidmat di Selangor pada masa itu dalam bukunya “Chersonese – The Guilding Off” oleh Emilly Innes“

Begini kisah Tengku Kudin tersebut (seperti yang diceritakan dalam buku Chersonese)


Pada suatu hari Tengku Kudin telah dijemput oleh British Resident menghadiri satu jamuan makan malam di rumah resident tersebut.

Ketika semua tetamu jemputan telah bersedia untuk menghadapi hidangan, Tengku Kudin tiba-tiba bangun menuju ke arah paip air dan membasuh tangannya.

Tanpa menghiraukan orang lain semuanya menggunakan sudu dan garfu, beliau dengan selamba menyuap makanan ke mulutnya dengan tangannya!

Telatah Tengku Kudin ini diperhatikan oleh seorang wanita Inggeris yang kebetulan duduk di sisinya.

Merasa tertarik dengan perlakuan Tengku Kudin itu wanita tersebut lantas bertanya: “Kenapa anda makan dengan tangan ?

Bukankah menggunakan sudu dan garfu itu lebih bersih dan lebih sopan ?”

Dengan selamba Tengku Kudin menjawab lantang dan dapat didengari oleh orang lain. Katanya:

“Saya makan dengan menggunakan tangan saya sekurang-kurangnya ada tiga sebab:”

Pertama:
Saya tau tangan saya lebih bersih dari sudu dan garfu sebab saya sendiri yang membasuhnya – bukan orang lain. Sudu dan garfu itu dibasuh oleh orang lain yang belum tentu cukup bersih.

Kedua:
Saya yakin tangan saya lebih bersih kerana tangan saya hanya saya seorang saja yang menggunakannya – tidak pernah dipinjam oleh orang lain, sedangkan sudu dan garfu itu ramai yang pernah menggunakannya.

Ketiga:
Saya percaya tangan saya lebih bersih kerana ia tidak pernah jatuh dalam longkang !!

Jawapan Tengkun Kudin ini menjadikan semua orang yang mendengarnya terlopong. Kalau sebelum itu ada antara mereka yang tersenyum sinis melihat Tengku Kudin menyuap makanannya dengan tangan tapi selepas itu masing-masing mengangguk mungkin kerana memikirkan ada logiknya jawapan tersebut.

Moralnya: Kita jangan lekas menghina atau memandang jijik perlakuan orang lain yang berlainan dengan budaya kita. Masing-masing ada rasionalnya kenapa mereka berbuat begitu.

Artikel ini dikongsikan dari email

- Mengikut cara Rasulullah s.a.w,beliau akan menggaulkan lauk dan nasi dengan tangan kanannya dan kemudian membiarkan sebentar, lalu Rasullah saw akan mengambil sedikit garam menggunakan jari kecilnya(yg last tu), lalu Rasullah saw akan menghisap garam itu. Kemudian barulah Rasulullah makan nasi dan lauknya. Mengapa? Kerana kedua belah tangan
kita ada mengeluarkan 3 macam enzim,tetapi konsentrasi di tangan kanan kurang sedikit dari yg kiri. Ini adalah kerana enzim yg ada di tangan kanan itu merupakan enzim yang dapat menolong proses penghadaman (digestion), ia merupakan the first process of digestion.

Mengapa menghisap garam?
Kerana garam adalah sumber mineral dari tanah yg diperlukan oleh badan kita.
Dua cecah garam dari jari kita itu adalah sama dgn satu liter air mineral. Kita berasal dari tanah maka lumrahnya bahan yang asal dari bumi (tanah) inilah yg paling berkhasiat untuk kita.

Kenapa garam?
Selain dari sebab ia adalah sumber mineral, garam juga adalah penawar yang paling mujarab bagi keracunan, mengikut Dr, dihospital-hospital , the first line of treatment for poisoning adalah dengan memberi Sodium Chloride, iaitu GARAM.

Garam juga dapat menghalang sihir dan makhluk-makhluk halus yang ingin menggangu manusia.

Pengaruh Kawan

Kawan mempunyai pengaruh cukup besar dalam pembentukan nilai dan perwatakan diri. Malah, kesannya boleh jadi berpanjangan, dari zaman remaja hingga ke alam dewasa.

Sekiranya pengaruh itu berunsur positif, tiada siapa menentang, tetapi bagaimana dengan pengaruh negatif? Tiada sesiapa menidakkan kesan dan pengaruh kawan sepergaulan serta sahabat seperjalanan.

Akhir-akhir ini, pengaruh dan kesan buruk cukup menonjol, misalnya merokok, melepak dan merempit.

Di sekolah, bahkan di mana-mana institusi, perbuatan seperti itu tidak diajar, tetapi bagaimana seseorang boleh tahu merokok dan mahir merempit? Bukankah ia lahir daripada kawan?

Berkawan tidaklah salah, malah dalam Islam amat digalakkan kerana menghubungkan ikatan persaudaraan. Tetapi apakah jenis kawan yang harus didekati?

Kawan yang dianjurkan ialah kawan yang baik serta ikhlas kerana Allah. Sikap Islam terhadap faktor dan peranan ini dapat dilihat dengan jelas daripada beberapa al-Quran serta hadis.

Terdapat ayat yang mengisyaratkan mengenai peranan dan pengaruh kawan, antaranya firman yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Bertakwalah dan hendaklah kamu bersama-sama orang yang bersifat benar." (Surah at-Taubah: 119)

Orang yang bersifat benar ialah orang yang baik, berbudi bahasa, berakhlak dan mengamalkan budaya hidup terpuji, bukan orang jahat serta suka berdusta.

Ayat lain menceritakan, kawan yang bertakwa sebenarnya kekal dan bermanfaat, sementara kawan tidak bertakwa akan bermusuhan sesama sendiri.

Ini memang benar kerana kawan yang bertakwa mengenal Tuhan dan menjadikan Tuhan sebagai rujukan dalam semua perkara, manakala kawan tidak bertakwa lupa Tuhan serta demi kepentingan masing-masing bercakaran, walaupun sesama sendiri.

"Teman-teman pada masa itu setengah dengan setengah yang lain adalah musuh melainkan yang bertakwa." (Surah al-Zukhruf: 67)

Dalam satu ayat lagi, Allah menceritakan mengenai penyesalan orang yang bertemankan si jahat.

"Aduhai, kiranya aku tidak menjadikan si pulan itu sebagai teman, sesungguhnya dia telah menyesatkan aku dari al-Quran, selepas aku didatangi olehnya. Dan sesungguhnya syaitan mendustai manusia." (Surah al-Furqan: 28)

Kita sama-sama memohon perlindungan dan berharap supaya tidak termasuk golongan yang rugi bertemankan yang jahat sehingga mengakibatkan diri tersesat daripada landasan kebenaran.

Hadis al-Bukhari dari Abu Musa al-Asy'ari, bermaksud: "Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk."

Memang benar perumpamaan diceritakan itu. Apabila berkawan dengan orang baik, kita juga akan menjadi baik, tetapi jika berkawan dengan yang jahat, kita juga mungkin lambat laun serupa saja.

Walaupun kita tidak mengikut gelagat jahatnya, kadangkala tempiasnya terkena pada kita. Bukan sedikit orang yang berkawan dengan pencuri, juga dituduh mencuri, sedangkan dia tidak melakukannya.

Dalam sesetengah keadaan juga, kawan selalu diberikan keutamaan dan kepercayaan yang lebih berbanding ahli keluarga.

Malah, ada juga kawan yang dibela, manakala keluarga dicerca, sebagaimana penagih yang mahu menghilangkan ketagihannya. Kajian psikologi remaja amat jelas menunjukkan kebenaran ini.

Apa pun, tujuan berkawan sebenarnya untuk mendapatkan manfaat seperti bantuan dan perkongsian pengetahuan, bukan mencari keburukan. Perompak dan pencuri juga mencari kawan yang dapat memberikan faedah kepada dirinya.

Erti Gagal



Kegagalan bukanlah bererti anda seorang yang gagal. Ia hanyalah bererti anda masih belum berjaya lagi. Kegagalan bukanlah bererti anda tidak mencapai apa-apa. Ia sebenarnya bererti anda sudah mempelajari sesuatu. Kegagalan bukanlah bererti anda seorang bodoh kerana mencuba. Ia bererti anda berani, anda teguh, bersemangat waja - berbanggalah dengan diri anda.

Kegagalan bukanlah bermakna anda tidak akan berjayaIa hanyalah bermakna anda memerlukan sedikit masa lagi. Kegagalan bukanlah bermakna anda kecundang. Ia hanyalah bermakna anda berpeluang untuk bermula semula . Mencuba sesuatu yang baru. Kegagalan bukanlah bermakna Tuhan telah meninggalkan anda . Ia hanyalah bermakna dia mempunyai rancangan yang lebih baik lagi. Jadi benarlah kegagalan itu tidak pernah muktamad...


DR. Robert Schuller
BUKU: BERANI GAGAL

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...