Monday, December 20, 2010

Hidup Ini Membantu Anda Jadi Orang Berjaya

Takutkah Anda apabila Anda disisihkan simply sebab impian Anda berlainan dengan impian orang lain?

Takut sebegini memang ada, sebab Anda akan merasa takut kehilangan kawan dan orang-orang yang rapat dengan Anda.

Anda takut dikritik, Anda takut dikata ‘ngko ni gila’.

Apabila Anda mahu jadi orang berjaya, hidup ini akan menemukan Anda dengan orang-orang yang boleh membantu Anda mencapai kejayaan diimpikan.

Kesannya, Anda akan dijauhkan dari orang-orang yang menghalang Anda daripada mencapai impian Anda, walaupun orang itu cukup rapat dengan Anda.

Setiap orang adalah berlainan. Mungkin ada yang serupa tapi takkan pernah jadi sama.

Oleh sebab itu, kemahuan serta impian Anda akan jadi berlainan dengan orang lain walaupun nampak sama. Apa yang Anda mahu capai akan jadi berlainan dnegan orang lain, walaupun sekilas pandang nampak serupa.

Jangan takut memberitahu apa yang Anda nak capai dalam hidup, katakannya pada orang yang Anda percaya. Beritahu dengan penuh bersemangat.

Apabila Anda selalu berfikiran positif, fikiran Anda akan menemukan Anda dengan orang-orang positif serupa dengan Anda. Orang-orang berfikiran negatif akan jadi menjauh daripada Anda, walaupun dia keluarga Anda sendiri.

Ingat, ini adalah kesan hukum sebab dan akibat (cause and effect).

Anda fikir positif, Anda akan ditemukan dengan orang-orang positif, situasi-situasi positif dan perkara-perkara positif. Semua tu akan membuat Anda semakin dengan apa yang Anda mahu capai, selagi Anda berfikiran positif.

Untuk berjaya dalam hidup, kebenaranian dan kekuatan emosi kena di bina.

Petanda Apabila Anda Malas Nak Berubah

Ubah diri Anda, kemudian bina peribadi mulia. Barulah kecemerlangan dapat dicapai bila-bila masa.

Kita akan kerap berubah apabila kita mahu mencapai sesuatu. Apabila Anda malas nak berubah, atau Anda terasa malas nak berubah, itu tandanya Anda tiada matlamat.

Anda tidak ada apa yang mahu dicapai dalam hidup. Anda kabur tentang cita-cita Anda, Anda tidak pasti apa yang Anda mahu capai. Anda cuma mahu bersantai-santai.

Sebaik-baik peribadi untuk Anda jadikan contoh ikutan adalah peribadi Nabi Muhammad s.a.w. Bacalah profil diri Baginda dan bacalah mengenai sikap Baginda. Pasti Anda akan kagum jadinya.

Peribadi mulia yang paling asas adalah kejujuran.

Pada zaman moden sekarang ini, kejujuran adalah sikap yang dilakonkan untuk mendapat sesuatu, mungkin berupa ganjaran, wang atau pangkat.

Orang yang betul-betul jujur pula selalu diperbodohkan atau diperalatkan, mungkin juga diperbudak-budakkan.

Kekalkan sikap jujur seboleh mungkin walau Anda akan nampak seperti kebodoh-bodohan. Percayalah kejujuran akan menang dalam apa jua keadaan sekalipun.

Dalam pada itu, kekalkan sikap optimis yang Anda boleh mencapai impian Anda walau dengan apa cara sekalipun, asalkan ia dihalalkan oleh agama dan tidak memudaratkan orang lain.

Halangan, cabaran dan permasalahan hanya sementara.

Gunanya untuk membuat Anda berfikir strategi-strategi baru untuk Anda merealisasikan matlamat Anda.

Jangan Berputus Asa

Oleh Lokman Ismail

Hidup di dunia penuh cubaan dan tidak semua dirancang dan diingini akan diperoleh dengan mudah biarpun sudah dilakukan segala usaha termampu. Justeru, hanya mereka bersemangat kental dapat menghadapi cabaran hidup dengan jayanya.

Seperti kata pepatah, yang pipih tidak akan datang melayang dan yang bulat tidak akan datang bergolek. Ia mengajar kita supaya berusaha dan terus mencuba biarpun sering berdepan kegagalan. Hakikatnya, kegagalan lumrah kehidupan. Allah menguji setiap hamba-Nya dengan pelbagai cara. Ada banyak hikmah di sebalik sesuatu kegagalan dan ia ujian menentukan tahap kesabaran seseorang.

Sesiapa yang bersabar, dia bakal beroleh kejayaan berlipat ganda di sisi Allah. Hidup di dunia adalah medan ujian menentukan siapa paling layak mendapat pembalasan baik daripada Allah. Sesungguhnya, Allah Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Allah berfirman bermaksud: "Mereka itulah yang diberikan pahalanya dua kali ganda disebabkan mereka sabar." (Surah al-Qasas, ayat 54)

Firman Allah lagi: "Hanya orang yang sabar akan disempurnakan pahalanya tanpa kiraan." (Surah az-Zumar, ayat 10)

Oleh itu, orang beriman melihat kegagalan dan musibah dari sudut positif. Dia sentiasa bersangka baik terhadap Allah. Malah bersyukur dan menerima takdir itu dengan berlapang dada, dijadikan pengukuh kepada rasa takwa.

Kegagalan tidak bermakna dia akan gagal selama-lamanya. Justeru, umat Islam dilarang sama sekali berputus asa. Setiap Muslim mesti terus berusaha untuk mencapai apa yang diharapkan kerana tidak ada kejayaan tanpa berusaha.

Sikap berputus asa tidak akan mengubah ke arah lebih baik. Sebaliknya, ia akan memburukkan keadaan dan menjauhkan seseorang itu daripada kejayaan. Orang berputus asa sebenarnya menjauhkan diri daripada kejayaan yang separuhnya sudah dicapai di sebalik kegagalan ditempuh. Setiap usaha tentu ada kebaikannya, biarpun tidak mencapai kejayaan diharapkan. Tidak tepat jika dikatakan usaha dilakukan hanya sia-sia disebabkan tidak mencapai sasaran ditetapkan. Setiap kebaikan dilakukan tidak hanya untuk satu matlamat atau kebaikan. Kebaikan diraih dari pelbagai sudut bagi setiap perkara kebaikan dilakukan biarpun matlamat akhir belum tercapai.

Umpamanya, pelajar yang belajar dan kemudian menduduki peperiksaan, tetapi gagal mencapai gred diharapkan, sudah tentu lebih baik daripada mereka yang tidak belajar langsung. Dia mendapat banyak kebaikan daripada proses pembelajaran diikuti.

Sesungguhnya, setiap Muslim dilarang keras daripada bersikap berputus asa daripada rahmat Allah. Sikap berputus asa bererti menolak qada dan qadar yang wajib diimani dan diyakini, manakala sabar memudahkan seseorang berusaha mencari jalan menghadapi kegagalan.

Apa yang terjadi kepada manusia sudah ditetapkan Allah. Namun, ia tidak menghalang manusia daripada berusaha dan berdoa. Hanya Allah mengetahui di sebalik qada dan qadar. Tugas manusia ialah terus berusaha melakukan sesuatu untuk kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Mereka yang mudah berputus asa bermakna imannya cacat dan tidak sempurna. Mereka tidak tahan ujian dan dugaan Allah. Orang yang mudah berputus asa tidak akan mencapai kejayaan hidup. Kekecewaan menghampirkan diri kepada kegagalan mutlak.

Individu yang teguh imannya tidak berputus asa dengan rahmat Allah. Dia mengetahui dirinya sudah menuju kejayaan sama ada ditunjukkan di dunia ataupun di akhirat kelak.

Firman Allah bermaksud: "Wahai anakku, pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya (Bunyamin), dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat dan pertolongan Allah, sesungguhnya tidak berputus asa daripada rahmat dan pertolongan Allah melainkan kaum yang kafir." (Surah Yusuf, ayat 87)

Sesungguhnya Allah sekali-kali tidak menzalimi hamba-Nya. Setiap apa yang Allah jadikan itu ada sebabnya. Ujian diberikan Allah adalah tanda Allah menginginkan kebaikan untuknya.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sesungguhnya besar ganjaran seseorang berdasarkan besarnya ujian. Sesungguhnya Allah apabila mengasihi sesuatu kaum, mereka akan diuji dengan ujian. Barang siapa yang reda, maka baginya keredaan Allah dan barang siapa yang tidak bersabar, Allah tidak akan bersabar terhadap mereka." (Hadis riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah)

Firman Allah bermaksud: "Demi sesungguhnya Kami akan menguji dengan sedikit perasaan takut, kelaparan dan berlaku kekurangan harta benda dan jiwa (kematian) serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar." (Surah al-Baqarah, ayat 155)

Oleh itu, kegagalan sepatutnya akan menjadikan seseorang itu lebih tekun dan gigih berusaha sehingga mencapai kejayaan. Kebanyakan individu yang berjaya cemerlang dalam pelbagai bidang pernah beberapa kali gagal sebelum itu. Mereka bersyukur kerana berdepan dengan kesukaran dulu. Bagi yang berfikiran positif, musibah dan kegagalan adalah peluang. Ketika berdepan masalah, banyak orang menjadi 'cerdik' dan akal panjang untuk mengatasinya. Keadaan mencabar memberi satu momentum melonjak ke arah lebih baik.

Kegagalan bukan disebabkan peluang tiada. Allah membuka seluas-luasnya peluang untuk manusia berjaya mendapat apa dihajati. Namun, liku-liku perjalanan untuk mendapat apa dihajati berbeza antara satu sama lain.

Orang berjaya sentiasa melihat kegagalan sebagai peluang membolehkannya membina kejayaan. Dia terpaksa bersusah payah untuk menukar kegagalan sebagai kejayaan. Apa dicapai itu lebih manis dan bermakna, yang memberi pengajaran hidup cukup berharga.

Memilih pasangan ideal

Bolehkah kita menilai perwatakan seseorang sebelum berkahwin? Seringkali kita terdengar rungutan bagaimana suami boleh berubah menjadi seorang yang panas baran dan suka memukul sedangkan semasa bercinta dahulu, pijak semut pun tak mati.

Ada juga situasi di mana seorang isteri bertukar menjadi selekeh sedangkan semasa bercinta, sering berdandan rapi.

Berikut disenaraikan beberapa aspek penting yang patut dipertimbangkan dalam memilih pasangan anda.

1. Pegangan agama

Pegangan agama merupakan perkara utama yang harus diambil berat. Bagaimanakah pegangan agama pasangan anda? Jika isteri memerlukan tunjuk ajar, adakah anda sanggup mendidik serta memberi semangat? Lebih-lebih lagi jika beliau saudara baru.

Bagi isteri pula, adakah anda pasti bahawa pasangan anda boleh menjadi ketua keluarga yang baik dan seterusnya mendidik anda ke jalan yang benar?

2. Menyayangi pasangan

Adakah anda menyayangi pasangan sepenuh hati? Anda boleh menilainya dari sekarang. Si dia sentiasa bersama anda di kala anda susah dan senang. Si dia juga sentiasa risau jika anda pulang lewat dari kerja seorang diri. Jika ya. Si dia benar-benar adalah teman hidup anda.

3. Kesihatan

Adakah anda pasti tahap kesihatan masing-masing? Pastikan pilihan anda bebas daripada pengaruh dadah atau penyakit jangkitan kelamin. Jika pasangan mempunyai rekod penyakit genetik yang mungkin menimpa anak-anak, adakah anda telah bersedia dan sanggup dari segi mental?

Tanya diri sendiri sama ada anda sanggup menghadapi risiko. Buatlah ujian HIV atau talasemia sebelum berkahwin. Pastikan anda tidak berahsia mengenai kesihatan anda pada pasangan anda.

4. Kewangan

Perkara ini mungkin kelihatan remeh tetapi akan menimbulkan masalah besar jika tidak dipersetujui dari awal. Anda berdua harus berbincang bagaimana perbelanjaan keluarga patut dibahagikan.

Adakah suami menanggung 70 peratus manakala isteri 30 peratus atau masing-masing 50 peratus. Atau adakah suami sanggup menanggung 100 peratus perbelanjaan manakala isteri menyimpan wang gaji sebagai simpanan keluarga?

Mungkin ada di antara pasangan yang akan bertengkar semasa sedang berbincang mengenai perbelanjaan keluarga tetapi sekurang-kurangnya anda akan tahu sifat serta prinsip hidup pasangan mengenai wang sebelum anda berkahwin.


5. Kerjaya dan cita-cita

Adakah anda pasti tahap cita-cita pasangan anda? Bagi wanita, sudahkah anda berbincang dengan pasangan mengenai cita-cita serta kemahuan kerjaya yang ingin anda kecapi? Adakah pasangan sebagai suami mendorong serta bersetuju untuk memberikan sokongan atau sebaliknya? Bincang dengan hati terbuka, lebih-lebih lagi jika anda bercita-cita tinggi.

Bagi lelaki yang bercita-cita tinggi, elok jika anda memberitahu pasangan tentang peranan yang anda harapkan daripada seorang isteri supaya pasangan anda boleh membuat keputusan yang sewajarnya.

6. Kesesuaian

Adakah anda berdua sesuai untuk masing-masing? Adakah anda seorang yang peramah manakala pasangan pula seorang yang pendiam? Atau adakah anda seorang yang panas baran manakala si dia juga begitu? Sesuaikah anda? Tepuk dada tanya selera.

7. Persefahaman

Persefahaman antara satu sama lain amat penting dalam institusi perkahwinan. Jika tiada persefahaman maka tiadalah kebahagiaan dalam berumah tangga.

8. Keperluan seksual

Maksud keperluan seksual adalah bolehkah pasangan anda memenuhi cita rasa seksual anda? Maksudnya, wanita atau lelaki yang bakal anda kahwini mestilah menarik minat anda dari segi fizikal dan seksual kerana keperluan batin adalah sebahagiaan daripada kehidupan berkahwin.

Berbincang lebih baik daripada berdebat

Bersama Pakar Motivasi Mohd Zawawi Yusoh

Memang tabiat manusia sentiasa hendak menang. Untuk menang, manusia sanggup berbuat apa saja. Jalan hendak tunjuk hebat dan meraih kemenangan ialah dengan berdebat.

Remaja yang kuat minda dan ilmu tidak ketinggalan menggunakan cara ini demi juara dalam kalangan teman-teman.

Berdebat bukan saja dalam isu tempatan dan global, malah dalam perkara agama. Mereka yang tidak pandai cakap, boleh kalah. Mereka yang pandai cakap sering menang walaupun cakapnya tiada isi dan fakta.

Sebenarnya berdebat dalam perkara agama banyak tidak membawa faedah, apa lagi kalau pendebat itu sama-sama tidak cukup alat (ilmu).

Jika berbincang rasanya lebih bermanfaat. Biasanya debat dengan tidak beretika lebih banyak mengundang perbalahan dan permusuhan yang merugikan.

Memang tidak dinafikan berdebat adalah satu cara atau uslub berdakwah, tetapi itu adalah antara jalan yang terakhir selepas buntu dengan pengajaran dan pendekatan secara berhikmah.

Kalau hendak berdebat juga, ia hendaklah secara berhikmah dan dengan adab yang tinggi. Firman Allah yang bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu wahai Muhammad dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berdebatlah bersama mereka dengan baik.” (an-Nahl:125)

Ayat ini meletakkan debat sebagai jalan terakhir selepas pendekatan nasihat dan berhikmah. Ini bukan bermakna ia tidak berkesan, tetapi kerana kesukaran mematuhi aturan adab dan akhlak ketika berdebat.

Mungkin ramai suka berdebat, tetapi kurang ramai boleh ikhlas. Tidak ramai yang hendak cari kebenaran.

Yang biasa ialah yang hendak cari menang saja. Mengalah sama sekali tidak. Kalau pun ada yang mengaku, itu hanyalah di gelanggang, tetapi di luar belum pasti lagi. Perdebatan selalunya dikuasai mereka yang pandai bercakap walaupun tiada isi. Dalam pertandingan debat di sekolah atau universiti sebenarnya tidak termasuk dalam perbincangan ini kerana pertandingan itu ada juri dan hakimnya yang akan menentukan jumlah markah.

Acara di peringkat sekolah dan universiti itu untuk melatih pelajar bercakap serta mengeluarkan hujah dan fakta. Ia patut diteruskan.

Bagaimanapun, antara akhlak dan adab yang perlu ada kepada remaja yang berdebat supaya dapat menghasilkan natijah yang baik adalah seperti berikut:

i. Elakkan daripada menggunakan perkataan kasar dan kesat yang menggambarkan tidak menghormati pemikiran lawan. Jika perlu, adakan pengadil supaya perdebatan itu berhasil.

Malah, jika perlu, adakan kad kuning dan kepada yang berhak dapat kad merah pun perlu diberi agar tidak ada mereka yang langgar disiplin.

2. Hendaklah banyak mencari titik persamaan antara kedua-dua pihak. Ini kerana lebih banyak persamaan yang dicari lebih banyak hasil diperoleh.

3. Usah memperbesarkan perkara remeh-temeh.

Kepada adik-adik remaja, tajamkanlah minda untuk mencari dan membela kebenaran bukannya untuk bermegah dan mendabik dada. Jadikanlah buku sebagai mentor dan penasihat ketika kekusutan. Kebenaran akan muncul dan kebatilan akan lenyap.

Putus Cinta

Terfikir untuk menamatkan hubungan yang sudah 'tidak bermakna' gara-gara si dia tidak pernah memberi kata putus perhubungan yang sudah sekian lama terjalin?

Bukan tidak sayang atau cinta yang pernah membara, namun ia bagaikan bersulam dengan perasaan benci dengan keangkuhan dan kedangkalan.

Mengucapkan perasaan selamat tinggal bukan sesuatu yang mudah. Begitu juga sukar untuk melupakan dirinya yang sudah sekian lama dikenali ragam dan cemburunya.

Berpegang kepada kata-kata mungkin dia bukan jodoh terbaik, anda memikirkan untuk menamatkan saja riwayat cinta itu lalu satu keputusan nekad diambil.

Sama ada keputusan untuk berpisah itu wajar atau sebaliknya, petua berikut mungkin boleh membantu jika anda sedang berkira-kira tujuan anda mesti memutuskan cinta:


# Adakah sebab tetap atau sebab berubah? Sebab tetap antaranya adalah berbeza umur, bangsa dan negara. Sebab berubah pula antaranya ialah kelakuan, pendidikan dan kerjaya.

Anda mesti memikirkan sedalam-dalamnya. Jika anda belum begitu yakin, biarlah cinta itu diteruskan dulu.

# Anda mesti mencapai tahap keyakinan mutlak, barulah buat keputusan mengenai cinta anda itu. Anda mesti tegas dan pegang keputusan cinta anda walau apa yang berlaku.

Anda akan mengecewakan diri anda dan orang lain jika anda gagal berpegang dengan keputusan cinta anda.

# Fikirkan strategi untuk menamatkan riwayat cinta. Anda boleh membuat cinta si dia terhadap anda pudar dengan menonjolkan kekurangan diri dan perkara yang tidak digemarinya.

Kebiasaannya apabila anda sudah tiada rasa cinta, sifat ini akan muncul sendiri tetapi jangan sampai menyakiti si dia. Jangan sampai anda dulu mengucapkan kata putus.

# Biarlah dia dulu mengucapkannya kecuali apabila tiada cara lain, berterus teranglah. Putus cinta cara ini tinggi risikonya.

Anda tidak boleh fikirkan diri anda saja tetapi perasaan cintanya perlu juga difikirkan. Carilah masa sesuai, tempat selamat dan emosi si dia paling baik untuk mendengar kata putus cinta anda.

# Jangan sembarangan putus cinta kerana ini boleh menyebabkan putus nafas. Si dia boleh bertindak di luar jangkaan dengan membunuh diri, begitu juga anda. Elakkan risiko putus cinta begini.

Selepas putus cinta secara rasmi atau tidak rasmi, jangan jadikan sesiapa terutama kekasih lama anda musuh. Jadikan si dia sebagai sahabat setia pula. Musuh walaupun satu amat bahaya. Tetapi sahabat setia walau tiada cinta, tidak akan membiarkan anda menderita.

# Sekiranya dicintai seseorang yang tidak anda cintai, anggaplah ia satu penghormatan buat diri anda tetapi kembalikan penghormatan itu dengan cara yang ikhlas dan jujur. Jangan ambil kesempatan dan jangan melukakan.

# Bagaimana anda mengurus cinta, begitulah anda mengurus diri anda. Setiap hati dan perasaan mengalami kepedihan serta kebahagiaan yang serupa sekalipun cara mengendalikannya berbeza.

# Sekiranya anda bercinta dengan seseorang yang begitu menyintai diri anda dan tiba-tiba, cinta memilih untuk pergi, tiada siapa yang harus dipersalahkan, relakan cinta itu pergi.

Ini kerana, setiap yang berlaku ada maksud yang tersembunyi dan kita akan menyedarinya apabila masa silih berganti.

# Jangan terlalu memilih cinta kerana cinta itu sendiri akan memilih untuk singgah di hati sesiapa. Anda hanya perlu menerima kehadiran cinta itu dengan segala misteri di dalamnya apabila ia datang mengetuk pintu hati.

Nikmatinya, sebagaimana ia membuat hidup anda bahagia dan bebaskan ia.

# Cinta sentiasa dan selamanya akan menjadi misteri. Bersyukurlah kerana ia pernah singgah di hati kerana tidak semua yang diimpikan menjadi kenyataan. Tidak semua cinta akan kekal selamanya, adakalanya ia putus di tengah jalan tetapi percayalah cinta sejati tetap wujud walaupun mengambil masa yang lama untuk diperoleh.

Ingatlah, sekali gagal dalam percintaan tidak bermakna kita akan gagal untuk selamanya kerana yang penting kita tetap percaya kewujudannya. Jangan pula terlalu menghambakan diri kepada cinta.

# Cinta bukan sekadar berfungsi untuk memenuhi desakan masa dan rasa. Kalau diteruskan juga sikap ini, akan terhasil suatu keadaan yang memperkecilkan cinta. Bagi lelaki, cinta sejati bukanlah suatu ungkapan yang dicipta untuk mencari seorang lagi.

# Pandangan berhubung cinta sejati ini ditujukan kepada jejaka dan gadis yang sedang mencari pasangan agar mereka berhati-hati serta mencari pasangan yang benar-benar sesuai dengan jiwa mereka.

Pasangan yang sesuai tidak semestinya sama dalam setiap tindakan dan pemikiran. Kadang-kadang, unsur dan sikap yang berlawanan saling melengkapi.

# Wujudkah cinta sejati kepada pasangan yang kononnya sudah bertemu pasangan yang sehati sejiwa sedangkan hakikatnya, itu cinta kali pertama mereka yang sering disebut cinta pandang pertama.

Mereka yang bercinta pertama kali biasanya tertipu dengan bayangan perasaan yang begitu mengelirukan.

# Jangan terlalu terikat dengan cinta pandang pertama kerana dengan keterikatan itu, tidak mungkin kita tahu alternatif lain yang kebarangkaliannya lebih baik adalah tinggi.

Cinta pandang pertama boleh saja berlaku di tepi jalan, pasar malam mahupun akibat sesuatu perlanggaran atau kemalangan. Pendek kata, sesuatu pertemuan berlangsung secara tidak sengaja.

# Jangan sesekali meremehkan pandangan orang tua yang selalu kita anggap kolot apabila cuba mencari pasangan untuk kita.

Kononnya, hak mencari pasangan adalah hak peribadi, tanpa perlukan campur tangan pihak ketiga. Mereka menyusun aturan yang baik dan rasional dalam mencari pasangan yang sesuai. Ada risik, tilikan dan bermacam lagi prosesnya sebelum alam rumah tangga dapat dibentuk.

# Sebenarnya, konsep cinta agung bagi menggantikan cinta pandang pertama adalah pencarian yang membawa maksud menyelidik dan tidak ditipu perasaan cinta yang buta seperti cinta pandang pertama.

Melalui kaedah 'cuba jaya', mungkin lepas seorang, seorang yang lain pula, akhirnya akan bertemu dengan cinta sejati.

# Sekiranya semua pasangan kekasih dapat menerima konsep percubaan cinta seperti ini, tidak akan muncul lagi istilah putus cinta atau kecewa lara kerana putus cinta dianggap sebagai pertemuan yang ditakdirkan tidak sesuai.

Putus cinta akhirnya menjadi suatu yang positif. Ramai orang akan bersyukur kerana putus cinta.

# Untuk mereka yang pernah putus cinta, anggaplah peristiwa itu sebagai peristiwa biasa. Bercintalah lagi dan lagi, teruskan mencari sehingga menemui cinta sejati seperti kisah Laila Majnun - mencintai Laila seluruhnya, segala kekurangan dan kelebihan secara pakej.

Rupa atau intelek?

Bagai sudah menjadi lumrah, tarikan fizikal dianggap penting dalam perhubungan sosial terutama dalam konteks lelaki dan wanita. Rata-rata lelaki ataupun wanita cenderung menilai aspek fizikal seperti paras rupa dan tubuh badan dalam menjalin hubungan.

Bagi lelaki, dalam kebanyakan situasi, mereka cepat tertarik dan jatuh hati kepada wanita berwajah jelita dengan tubuh menawan berbanding gadis yang memiliki kekurangan dalam aspek itu. Kecenderungan ini bagai sudah menjadi trademark sedangkan jika diteliti dari aspek keperibadian, lebih banyak kualiti ditemui pada wanita yang tidak memiliki tarikan fizikal.

Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan jarang ditemui lelaki yang lebih mementingkan sikap, pemikiran dan hati budi dalam memilih teman hidup. Malah, jika diberi pilihan, lelaki inginkan pasangan yang lengkap dengan semua kualiti ini - cantik, bijak dan menawan.

Baru-baru ini, kaji selidik yang dikendalikan sebuah badan antarabangsa sedikit sebanyak menyokong teori kecenderungan lelaki memilih teman hidup. Hasil kaji selidik ini mendapati, majoriti lelaki lebih suka berpasangan dengan wanita cantik walaupun mereka tidak bijak.

Wanita yang dijadikan pilihan kepada responden kaji selidik ini adalah peserta program realiti popular Celebrity Big Brother’s, Chantelle Houghton yang cukup jelita tetapi bimbo dan peserta program University Challenge, Gail Trimble yang memiliki kekuatan intelek.

Dalam kaji selidik ini, 73 peratus responden iaitu lelaki memilih Houghton yang secara fizikalnya tampak lebih menarik berbanding Trimble.

Alasan yang diberi hampir separuh daripada responden lelaki ini ialah kebijaksanaan tidak penting. Apa yang lebih penting bagi mereka ialah menjadikan rakan-rakan kagum melihat mereka berdamping dengan wanita jelita.

Kajian itu juga mendapati, lapan daripada 10 responden lelaki pula menyatakan mereka berasa takut berpasangan dengan wanita bijak.

Apa yang menarik, kaji selidik itu mendapat reaksi berbeza daripada responden wanita. Kira-kira tiga perempat daripada responden wanita mengakui mereka mencari pasangan lelaki bijak berbanding tampan kerana bagi mereka, lelaki tampan cuma tahu bermegah saja. Mereka berpendapat, lelaki bijak mampu memenuhi semua keperluan diri.

Namun, tidak dinafikan bukan semua lelaki hanya mementingkan aspek fizikal dalam memilih pasangan. Ramai juga menghargai kebaikan hati budi dan kebijaksanaan wanita melebihi tarikan fizikal.

Cuma mungkin tidak wajar andai lelaki meletakkan kecantikan fizikal sebagai kriteria paling utama memilih pasangan hingga tidak nampak keistimewaan lain. Jika seseorang wanita tidak dikurniakan kecantikan fizikal, banyak aspek lain seperti sifat positif, penyayang dan penyabar dimiliki golongan ini.

Lelaki yang kononnya hanya terkesima dengan kecantikan wanita harus menyedari kebahagiaan bukan hanya terletak pada kejelitaan semata-mata, sebaliknya lebih daripada itu.

Di sini diminta pandangan pakar motivasi, Dr H M Tuah Iskandar al-Haj, mengapa lelaki lebih cenderung memilih rupa daripada kebijaksanaan. Ikuti temu bual ini...

Benarkah lelaki lebih rela keluar bersama wanita cantik yang bodoh daripada wanita bijak tapi penampilannya kurang menarik?

Ya, benar. Dari sudut psikologi, lelaki sentiasa ingin menjadi pemimpin. Seorang pemimpin tentunya perlu lebih bijak daripada orang yang dipimpinnya. Apatah lagi jika orang yang akan dipimpinnya itu adalah wanita.

Sudah pasti mereka memerlukan seorang wanita yang boleh mengikut arahan dan kemahuannya berbanding wanita yang terlalu bijak. Ini kerana bagi mereka wanita bijak biasanya banyak mulut.

Bagi seseorang lelaki, kecantikan pasangan adalah sangat penting kerana ia menjadi lambang kelelakian dan kemegahan mereka.

Lelaki bagaimana yang biasanya bersikap begitu dan mengapa mereka bersikap sedemikian?

Boleh dikatakan, hampir semua lelaki begitu. Memiliki pasangan wanita yang cantik adalah suatu lambang kemenangan dan kebanggaan. Lelaki begini biasanya akan memilih wanita yang tidak cantik hanya selepas tiada pilihan.

Tapi selagi mempunyai pilihan, mereka sentiasa akan memilih wanita yang cantik.

Adakah seseorang lelaki mahu berpasangan dengan wanita kurang bijak kerana lebih mudah untuk mereka menguasai wanita begitu?

Itu pun antara sebabnya mengapa lelaki memilih wanita kurang bijak. Lelaki suka kalau wanita bergantung sepenuhnya kepada diri mereka.

Ada hadis yang kita boleh dikaitkan dengan situasi ini iaitu:

Dari Abu Hurairah r a, Nabi SAW bersabda, ”Bijaksanalah membimbing wanita kerana wanita itu diciptakan dari tulang rusuk. Dan bahagian yang paling bengkok adalah yang sebelah atas. Jika engkau berusaha meluruskannya, nescaya ia patah. Tetapi jika engkau biarkan, ia akan sentiasa bengkok. Kerana itu bijaksanalah membimbing wanita dengan baik."
(Muslim)

Hadis ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa lelaki adalah pemimpin dan seorang pemimpin memang ingin menguasai orang yang dipimpin secara sepenuhnya.

Ada pula lelaki menyatakan mereka tergugat apabila mempunyai pasangan wanita yang lebih bijak. Komen anda?

Realitinya, jika disuruh memilih antara kecantikan dan kebijaksanaan pada seorang wanita, lumrahnya lelaki akan memilih kecantikan. Tidak dinafikan seseorang lelaki berasa tergugat jika pasangannya lebih bijak.

Seboleh mungkin lelaki tidak ingin bekerja di bawah wanita biarpun dia tahu wanita terbabit lebih bijak dan berketrampilan berbanding dirinya.

Tidakkah perkara seperti ini akan mengakibatkan kebanyakan wanita bijak sukar mendapat pasangan?

Ada betulnya. Di Malaysia sekarang, kebanyakan wanita yang menjawat jawatan tinggi masih keseorangan kerana wanita yang cantik meskipun tiada pekerjaan, sering menjadi pilihan lelaki.

Seseorang wanita yang bijak selalunya sukar mendapat pasangan kecuali mereka juga cantik atau lelaki pilihannya itu hampir sama kedudukan dengannya.

Adakah memiliki teman wanita atau isteri yang cantik hanya semata-mata untuk mengagumkan orang lain?

Ia bukan setakat mengagumkan orang lain, tapi juga simbol kemenangan. Seseorang lelaki menganggap dirinya jagoan jika mampu memikat wanita cantik biarpun wanita itu jahat.

Pada seorang lelaki, kecantikan sangat penting untuk dibanggakan. Sebab itu, kita lihat, ramai lelaki tidak kisah dikikis harta bendanya walaupun mereka tahu diri mereka sedang didampingi wanita pisau cukur.

Sejauh mana perlunya kriteria bijak dan cantik harus dititikberatkan seseorang lelaki dalam proses memilih pasangan?

Jika hendak memilih pasangan, jangan pula memilih wanita yang tidak bijak langsung hingga tidak boleh dibawa berbincang. Jika boleh, usah pula memilih wanita terlalu bijak hingga suara dan kuasa lelaki lenyap begitu saja.

Sebenarnya, kebanyakan lelaki akan rimas kalau wanita terlalu menunjuk pandai. Lelaki selalunya mahukan wanita yang akur dan berkata ya meskipun kurang setuju dengan sesuatu perkara.

Justeru, apa kualiti lain yang perlu lebih dititikberatkan selain dua ciri ini bagi menjamin hubungan yang bahagia?

Biarpun secara psikologi lelaki memang tewas terhadap kecantikan tapi untuk sebuah perhubungan yang maju dan menarik, mereka perlu fikirkan juga soal kebijaksanaan pasangan.

Ini kerana isteri yang bijak bakal melahirkan anak-anak yang bijak. Sebahagian besar lelaki inginkan zuriat yang bijak dan biasanya inilah alasan mereka untuk berkahwin dengan wanita yang bijak walaupun tidak cantik.

Namun, sikap lelaki yang terlalu mementingkan kecantikan ini sebenarnya bertentangan dengan pandangan Islam. Saya ingin memetik hadis ini:

Dari Abu Hurairah ra, katanya, ”Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, ‘Wanita Quraisy itu amat baik, mereka dapat menunggang unta, amat pengasih kepada anak-anak dan pandai menjaga harta suami."
(Bukhari).

Dalam hadis ini tidak dinyatakan pun aspek kecantikan perlu diambil kira dalam memilih pasangan.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...