Friday, December 17, 2010

Jangan

Jangan merasa puas hati bila mendengar pujian orang dihadapanmu, atau pun merasa senang bila ditunjukkan rasa kemesraan dan muka manis terhadapmu, sebab yang demikian itu belum tentu timbul dari hakikat batinnya.

Jangan sekali-kali mengadukan segala hal ehwalmu yang berupa kesusahan dan sebagainya kepada orang lain, sebab dikhuatiri bahawa Allah S.W.T akan murka lalu diserahkan semua urusan itu kepada orang itu.

Jangan harapkan orang lain akan bersikap sama terhadapmu bila berada di belakangmu sebagaimana yang anda kenal kepadanya dimasa berdepan denganmu.Harapan semacam itu adalah sia sia belaka dan tidak betul.

Jangan menentang orang lain sehingga terjadi permusuhan di antara kamu bersama, melainkan jika anda melihat sesuatu kemungkaran dalam agama yang dilakukan oleh orang itu, maka ketika itulah boleh anda menentang usaha-usaha kemungkaran yang dilakukannya.

Jangan menilai seseorang menurut keadaan dunianya lalu anda memuliakannya, sebab dunia itu kecil sekali disisi Allah s.w.t Jangan sampai anda menjual agama mu untuk mendapatkan benda benda keduniaan sehingga anda dipandang kecil dimata orang yang memberinya. Mungkin suatu masa kelak anda tidak akan diberi lagi, maka ketika itu anda akan kehilangan harga diri dimatanya.

Ciri Lelaki intelek

Ciri-ciri lelaki bijak tafsiran model dan pengacara, Belinda Chee

Yakin.

Lelaki bijak petah berbicara apa saja. Lelaki berkeyakinan seperti ini tahu mereka mampu bercakap mengenai pelbagai topik. Namun, kadangkala lelaki sebegini dianggap berlagak atau suka cakap besar. Lelaki bijak selalunya mengagumkan ramai orang tanpa perlu bercakap besar.

Pandai berkomunikasi serta berkebolehan mengajar.

Disebabkan lelaki bijak berpengetahuan luas, mereka lazimnya yakin dengan diri sendiri. Mereka tahu apa yang mereka tuturkan dan dengan itu, mampu berkomunikasi dan mengajar orang lain dengan baik.

Optimistik.

Lelaki bijak tahu kepintaran mereka dapat mengelak diri daripada menanggung kesusahan. Kebanyakan lelaki intelek bersikap positif dalam hidup mereka.

Segak.

Lelaki bijak pandai bergaya. Saya selalu membayangkan lelaki bijak memakai pakaian kemas, kaca mata bergaya serta kasut yang mengikut fesyen terkini. Ia mungkin kedengaran stereotaip tapi bila anda berpakaian kemas, persepsi orang akan menjadi lebih baik.

Semestinya pandai berjenaka.

Kebijaksanaan lelaki menjadikan mereka spontan bila berjenaka.

Bila Kawan Jadi Kekasih

Jauh di sudut hati, terasa betapa indah memujanya.

Namun siapa yang dapat merasakan cuitan hati jika tidak terluah dek kata-kata?

Yang menjadi masalah, mampukah ia terungkap jika orang yang diminati dan sering menjentik perasaan bukanlah orang lain sebaliknya sahabat baik sendiri?

Bertahun menjalin hubungan atas dasar sahabat sejati, rakan setia yang sanggup bersusah bersama dan bergembira di saat anda mahu meluah segala suka-duka, kini segalanya berubah.

Jantung bagai disentap apabila bertembung dengannya bahkan tiba-tiba membuatkan hati berdebar-debar dan jatuh cinta tanpa disedari apabila perasaan itu muncul di celah persahabatan yang dijalin.

Jika dulu, anda menganggap dirinya seorang sahabat sejati, sanggup berkongsi suka dan duka serta menjadi teman paling setia mendengar masalah, kini lain pula situasinya.

Sahabat yang selama ini dimahkotakan sebagai teman biasa kini bertukar menjadi kekasih istimewa.

Persoalannya, adakah hubungan akan berjalan dengan lancar jika bercinta dengan sahabat sendiri? Adakah dia juga merasakan hal yang sama seperti anda? Adakah anda harus menyatakan perasaan itu terhadapnya?

Apabila dilamun cinta dengan teman biasa, perlu diteliti semua aspek peribadinya sebelum sesuatu hubungan itu menjadi bertambah intim. Takut nanti, yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran.

Kata orang, bercinta dengan sahabat sendiri akan mencetuskan kekangan dalam perhubungan. Sekiranya khuatir persahabatan itu akan berakhir dengan perasaan saling membenci, anda harus mempertimbangkan aspek pro dan kontranya.

Pro

* Anda harus menyukai seluruh peribadinya. Perlu juga tahu perubahan hatinya, perkara yang membahagiakannya jika menjalin hubungan cinta dengan anda dan perkara yang perlu dihindari.

* Anda sanggup menempuh suka dan duka bersama tidak kira apa juga rintangan yang dihadapi berbanding sewaktu menjalinkan hubungan persahabatan dulu.

* Anda mengenali ibu bapanya dan diterima baik oleh mereka. Yang pasti, anda seharusnya mempunyai nilai positif yang membawa ke arah kebahagiaan kedua-dua pihak.

Kontra

* Memandangkan anda berdua sudah mengenali perilaku masing-masing, tiada lagi hal yang boleh membuatkan anda perlu bertanya. Ia mungkin menimbulkan rasa bosan jika anda masih mahu melakukannya.

* Anda meminati karakternya ketika bergelar sahabat, tetapi tidak mustahil karakter itu boleh berubah setelah hubungan yang dibina bertukar menjadi kekasih.

* Sikap seperti cemburu dan syak wasangka melampau mungkin antara sikap yang tidak pernah anda sangka muncul pada si dia yang dulu hanya seorang teman biasa.

* Sebagai sahabat, hubungan anda berdua dilihat bertambah baik, tetapi ia berubah setelah menjadi teman istimewa. Anda akan kehilangan orang yang selalu menjadi pendengar yang baik. Siapa yang akan menjadi pendengar setia apabila dia yang menjadi topik pembicaraan anda?



Dari segi pro dan kontra yang disenaraikan, aspek kontra lebih berkemungkinan membawa anda ke arah kehancuran sebuah persahabatan yang begitu indah.

Anda berasa sudah mengenali hatinya dengan baik sebagai sahabat, tetapi sebagai kekasih segalanya berubah.

Terdapat juga risiko yang harus anda hadapi apabila berterus-terang mengenai perasaan.

Jangan luahkan perasaan ini kerana ia akan muncul sekiranya kamu cuba menahan dan menyembunyikannya.

Duduk dengan tenang, pertimbangkan aspek pro dan kontranya.

Jangan lupa, risiko yang mungkin terjadi. Anda tidak akan mengetahui sejauh manakah perasaannya terhadap anda sekiranya anda takut untuk cuba bertanya sendiri.

Apabila anda berdua berjaya mengungkap perasaan cinta itu, mungkin pada awalnya ia akan menimbulkan sedikit kejanggalan, tetapi kesudahannya, ia akan berakhir dengan kegembiraan.

Usah ungkit kebaikan dibuat

oleh:Pakar Motivasi Mohd Zawawi Yusoh

Ada banyak perkara yang kita tidak boleh lupa. Kita tidak lupa ibu bapa, kita ingat harta benda dan antara yang kita tidak lupa ialah kebaikan yang pernah kita lakukan.

Malah, sesetengah daripada kita apabila berjumpa orang yang pernah kita berjasa, teringat jasa kita.

Kalau itu yang kita teringat, kita akan sentiasa banyak mengungkit dan mungkin nanti akan ada banyak halangan dalam berhubung sesama manusia.

Dalam pertemuan kali ini, mari kita mendengar pesanan dan nasihat Luqman al-Hakim kepada anaknya.

Pesannya: "Wahai anakku, hendaklah kamu ingat kebaikan orang dan lupa kejahatan orang. Dan hendaklah kamu lupa kebaikan kamu terhadap orang dan ingatlah kejahatan yang kamu lakukan kepada orang."

Mari kita perhalusi pesanan Luqman di atas.

1. Mengingati segala kebaikan yang dilakukan orang lain kepada kita. Apabila kita ingat kebaikan orang, kita akan berasa kekurangan kebaikan yang kita lakukan kepada orang lain dan kita akan berusaha melakukan kebaikan.

2. Mengingati segala kejahatan yang kita lakukan. Ini supaya kita tidak mengulangi kesalahan dan kesilapan kita terhadap orang lain.

3. Lupakan kebaikan yang pernah kita lakukan. Apa-apa kebaikan yang pernah kita lakukan hendaklah kita lupakan, kerana Allah saja yang dapat menilai apa yang kita buat.

Ditakuti nanti, apabila kita sentiasa ingat kebaikan yang kita lakukan, menyebabkan syaitan akan memaut hati kita dan membisikkan supaya mengungkit kebaikan yang pernah dilakukan.

Orang yang mengungkit kebaikan yang dilakukan menyebabkan amalan berkenaan menjadi sia-sia dan tidak bernilai di sisi Allah.

Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: "Orang yang mengungkit kebaikannya sama seperti daun kering yang dijilat api."

Betapa ruginya amalan perbuatan terbabit. Habis begitu sahaja hanya dengan sekali ungkitan.

4. Lupakan kejahatan yang pernah dilakukan orang terhadap kita. Sebagai manusia, memanglah susah untuk kita melupakan kejahatan yang pernah dilakukan orang terhadap kita.

Bagaimanapun, agama kita menuntut supaya melupakan kejahatan mereka. Kita perlu melawan supaya kita boleh lupakan kejahatan orang lain.

Apabila kita melupakan kejahatan dan kesalahan orang lain, kita dapat membantu dan menolong mereka dengan melakukan kebaikan.

Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: "Orang yang baik ialah orang yang berbuat baik kepada orang membuat baik kepadanya dan membuat baik kepada orang yang membuat jahat terhadapnya."

Lupakan kejahatan orang terhadap kita. Tiada guna mengingati kejahatan dan kesalahan orang kerana ia boleh merosakkan akal serta kebahagiaan hidup kita, malah menjadikan hidup kita tidak ceria.

Marilah kita sama-sama mengikhlaskan diri dalam segala tindakan tanpa mengingati dan mengungkit kebaikan yang dilakukan supaya mendapat keredaan Allah serta kebahagiaan dunia mahupun akhirat.

Saintis bukti cinta memang buta

WASHINGTON: Saintis Amerika Syarikat membuktikan cinta sememangnya buta, sekurang-kurangnya dalam memberikan perhatian kepada orang lain yang tidak kurang cantik atau kacak.

Penuntut kolej yang dilamun cinta kurang memberikan perhatian kepada lelaki atau wanita lain yang menarik, menurut kajian pasukan saintis Universiti California Los Angeles (UCLA) dan laman web temu janji, eHarmony.

“Rasa cinta kepada pasangan romantik nampaknya membuatkan orang lain kelihatan kurang menarik, dan emosi berkesan dalam cara amat khas dalam membolehkan anda menolak idea untuk menggoda orang lain jauh daripada fikiran anda,” kata Gian Gonzaga dari eHarmony, yang kajiannya diterbitkan dalam jurnal Evolution and Human Behaviour .
Profesor psikologi dan pengajian komunikasi di UCLA, Martie Haselton pula menambah: “Ia menunjukkan cinta seolah-olah menyebabkan anda buta terhadap orang lain.”

Gonzaga dan Haselton meminta 120 penuntut heteroseksual yang komited dalam hubungan meneliti gambar ahli laman web eHarmony berlainan jantina yang menarik.

Sukarelawan diminta memilih gambar paling menarik dan menulis karangan sama ada mengenai pasangan mereka atau subjek pilihan.

Ketika menulis, penuntut diminta melupakan ‘wajah paling panas’ daripada laman web itu, tetapi diarah meletakkan tanda jika terfikir ada gambar yang menarik.

Sukarelawan yang menulis mengenai pasangan itu didapati enam kali kurang berkemungkinan untuk mengaku memikirkan orang lain yang menarik berbanding sukarelawan yang menulis mengenai subjek rawak.

Mereka kemudian diminta berfikir kembali wajah menarik dalam gambar dan penuntut yang menulis mengenai kekasih masing-masing tidak mengingati banyak maklumat mengenai penampilan fizikal orang lain yang menarik itu.

“Mereka cuma ingat warna baju atau sama ada gambar itu diambil di New York tetapi tidak ingat sesuatu yang istimewa mengenai individu berkenaan.

“Ia bukan bermakna ingatan mereka lemah; ia seolah-olah mereka secara berhati-hati menolak keluar perkara yang membuatkan mereka berfikir mengenai betapa menariknya alternatif itu,” kata Gonzaga. - Agensi

7 Perkara Yang Lelaki Tak Suka

1 - KEJUTKAN mereka, AJAK mereka keluar DATING ketika mereka tgh SYOK tido di buai MIMPI indah.

2 - AJAK temankan masuk dalam butik PAKAIAN WANITA berjam2 lamanya. ENDINGNYA xbeli sehelai pown... sekadar NAK SURVEY harga sahaja

3 - AJAK mereka tengok wayang FILEM CINTA & ROMANTIK sedangkan awl2 sblum tu mereka da cakap nak TENGOK FILEM AKSI & THRILLER..!

4 - TENTUKAN pakaian apa yg DIORANG HARUS pkai ketika nak kuar dating dgn U ALL nt..

5 - TEMANKAN perg PARTY kwn U ALL sdgkan d party tu dia xknl seorg umat MANUSIA pun.. nak xnak TERPAKSA la jd KERA SUMBANG & PAK PACAK smbil TGU U ALL abis BERGOSIP & MENGUMPAT dgn kwn2

6 - MENDESAK! lelaki mmg PANTANG klu asyik2 kena desak lbh2 lagi klu tiap2 ari kena tya soalan SAMA BERTALU2.

7 - CEMBURU yg MELAMPAU2 cntohnya tya " abg kat mn nie... dgn saper tu.. tu suara perempuan mn lak tu... blb..bla..bla.. mmg sakit jiwa nak explain. lps 2 merajuk plak bagai nak rak smpai laki fed up nak pujuk wlupun sbnarnye x de apa pun berlaku..

Sumber: VirtualFriend

3 Langkah Bagaimana Menjadi Wanita Berfikiran Positif Tiap Hari

Wanita berfikiran positif adalah wanita bersemangat, berinspirasi, mendahulukan Tuhan dalam setiap perkara, bersangka baik dengan masalah serta senang didampingi sesiapa saja. Berikut adalah 3 langkah asas bagaimana menjadi wanita berfikiran positif setiap hari.

Langkah 1: Bersangka Baik Dengan Situasi Buruk.

Masalah, cabaran dan situasi buruk tetap akan datang dari berbagai arah. Anda tak boleh elak, tak boleh sembunyi, tak boleh lari. Untuk menjadi wanita berfikiran positif, anggap masalah sebagai sebagai peluang untuk memajukan diri. Anggap cabaran sebagai peluang untuk Anda mendiskaver kekuatan serta bakat Anda. Jadikan situasi buruk sebagai peluang untuk Anda memperbaiki diri menjadi orang baru, memperbaiki pemikiran dan memperbaiki tindakan.

Langkah 2: Memaafkan Kesalahan Orang Lain Sebelum Anda Tidur.

Ego, sikap panas baran serta kesombongan membuat Anda sukar memaafkan. Oleh kerana itu, fikiran pun terbentuk penjadi fikiran negatif. Turunkan ego Anda, buang sikap panas baran, buang kesombongan. Jadilah seorang pemaaf. Maafkan kesalahan orang lain yang Anda tak puas hati dari sebesar-besar kesalahan hinggalah ke sekecil-kecil kesalahan. Amalkan memaafkan kesalahan semua orang pada Anda dari dulu sampai sekarang. Bila bangun keesokan paginya, Anda akan rasa ‘feel good’. Anda akan jadi bersemangat.

Langkah 3: Biar Anda Kuasai Emosi,Bukan Emosi Kuasai Anda.

Wanita sinonim dengan air mata kerana emosi wanita amat sensitif. Nak menjadi wanita berfikiran positif Anda perlu tabah serta mahir mengawal emosi. Dalam apa jua perkara, kawal emosi Anda. Anda boleh berlatih mengawal emosi dengan bertenang selalu, be in control, pamerkan air muka yang tenang serta amalkan meditasi ringkas (duduk diam, tenangkan fikiran) selepas selesai sembahyang.

Meditasi ringkas di iringi zikir-zikir Asmaul Husna membuat Anda mahir mengawal emosi. Lama kelamaan Anda akan mahir menahan marah, menahan tekanan,sentiasa tenang.

Ke arah membina dan mencapai impian

Oleh MOHD. FARID MD. ALIAS
Sumber: Utusan Malaysia

RAMLI menghisap rokok sejak berada di tingkatan dua. Kini bergelar mahasiswa di sebuah institusi pengajian tinggi, beliau masih tetap dengan tabiat merokok. Namun kehidupan di kampus memerlukan kewangan yang bukan sedikit.

Ramli mula sedar akan pembaziran wang Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) untuk membeli rokok. Baru-baru ini harga rokok dinaikkan lagi, bermakna peruntukan kewangan untuk tabiat merokok semakin meningkat.

Ramli memang mempunyai impian untuk berhenti merokok. Dia menyedari merokok bukan sahaja membazirkan wangnya malah membahayakan kesihatan. Sejak dia di sekolah menengah, pelbagai cara telah dilakukannya untuk tujuan tersebut tetapi gagal.

Analisis

Setiap insan mempunyai impian. Begitu juga dengan remaja. Impian remaja mungkin bermakna cemerlang dalam pelajaran, kerjaya yang mendatangkan masa depan yang cerah, memiliki kenderaan sendiri hatta mengimpikan untuk berhenti merokok.

Memasang impian adalah ibarat gambaran kepada kejayaan yang bakal dimiliki. Dengan memasang impian, akal kita akan bergerak ke arah mencapai impian yang diingini.

Namun begitu, sebagai remaja Muslim, kita harus memastikan impian yang dibina selari dengan ajaran Islam. Cita-cita ke arah kebaikan amat dituntut di dalam Islam.

Amat penting jiwa remaja Muslim terarah kepada binaan diri, peribadi dan akhlak contoh ke arah hiburan yang merangsang nilai-nilai baik, keteguhan yang merintis daya juang yang tinggi supaya hiburan dan kelasakan dapat jadi pemangkin ke arah kekuatan bukannya keruntuhan, disiplin bukannya kekacauan dan kecelaruan.

Ke Arah Membina Dan Mencapai Impian

Membina impian yang bermatlamat. Remaja seharusnya mempunyai impian yang jelas dengan matlamat akhir (a dream with an end in mind). Membina impian tidak semestinya sesuatu yang kompleks, tetapi yang pentingnya mempunyai matlamat yang baik.

Matlamat akhir sesuatu impian bagi seorang remaja Muslim seharusnya mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. dan menyumbang kepada pembinaan diri dan masyarakat. Tanpa matlamat yang jelas, remaja tidak akan memahami akan makna impian tersebut dan mendorong kepada laluan yang tidak selari dengan agama dan etika masyarakat. Misalnya, di dalam kes Ramli, dia bercita-cita meninggalkan tabiat merokoknya, maka matlamat akhirnya bukan sahaja menjauhi larangan agama, malah dapat menjimatkan wang dan perbelanjaannya untuk kegunaan lain. Ini adalah contoh impian yang baik dan mempunyai matlamat akhir yang jelas.

* Tekad dan Perancangan. Selain memasang impian, remaja juga harus mempunyai perancangan yang jelas dengan impian yang dicipta. Perancangan jangka dekat atau perancangan jangka panjang haruslah dikenal pasti. Meletakkan suatu sasaran haruslah realistik dan selari dengan usaha yang dilakukan supaya impian tercapai.

Mengharungi cabaran yang banyak di ketika ini, tidak mustahil sekiranya impian yang dibina tidak dapat dicapai sekiranya remaja tidak mempunyai perancangan yang tersusun dan asas keimanan yang kukuh.

Melaksanakan perancangan impian pula harus ada keazaman dan tekad yang teguh. Rajin meminta nasihat ibu bapa, guru, rakan-rakan serta orang-orang yang boleh membawa kita hampir kepada impian tersebut harus disemai agar usaha tidak lari dari impian asal.

* Fokus. Menanamkan fokus terhadap impian yang dibina. Fokus kepada impian akan menjadikan impian yang dibina dan dirancang akan menjadi lebih terarah. Ramai remaja kini sudah hilang fokus dalam menempuh kehidupan.

Kemakmuran kebendaan yang ada disalahgunakan untuk terlibat dalam kegiatan-kegiatan yang merosakkan. Hilangnya fokus ini bukan sahaja menyebabkan impian tidak tercapai, malah sebahagian remaja tidak menjadi aset kepada negara sebaliknya beban jangka panjang yang menyulitkan banyak pihak.

* Konsisten (istiqamah). Remaja harus memiliki usaha yang berterusan. Banyak elemen malas, membuang masa, berlagak, melanggar peraturan dan undang-undang, menjadi ‘Pak Turut’ terhadap sesuatu yang negatif serta tidak tahu dosa pahala dalam amalan dan perlakuan menghalang daripada mencapai impian yang bermakna.

Muhasabah selepas tercapainya impian harus sentiasa dilakukan untuk mempertingkatkan pencapaian yang sedia ada serta mendorong remaja bersikap reflektif tentang impian dan pencapaian yang dimiliki.

* Berdoa dan bersabar. Senjata terbaik untuk mencapai impian adalah dengan berdoa. Maksud firman Allah: Aku mengabulkan permintaan orang yang berdoa kepadaKu, maka hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu dalam kebenaran. (al-Baqarah: 186). Doa dapat menguatkan pengharapan remaja bahawa impian yang dimiliki bakal dikabulkan Allah.

Melalui doa remaja dapat meluahkan segala rasa hati kepada Allah serta mengungkapkan segala impian yang ingin dicapai. Adakala impian tersebut mungkin nampak seakan-akan tidak mungkin dicapai.

Sebagai contoh Ramli di atas, pelbagai kaedah telah dicuba berasa sukar untuk meninggalkan tabiat merokok itu. Dalam situasi ini, remaja tersebut perlu terus berdoa untuk berhenti merokok walaupun impian tersebut seakan sukar dicapai pada ketika itu.

Suatu hari nanti mungkin dia akan mendapati secara tiba-tiba tabiat merokoknya itu amat mudah untuk ditinggalkan. Solat juga merupakan doa. Justeru remaja perlu menjaga solat. Solat menghubungkan remaja dengan pencipta. Melalui solat juga remaja mampu mendapat ketenangan dan kekuatan dalam menghadapi kehidupan seharian.

Kesimpulan

Walau sebesar mana impian yang dimiliki, remaja harus memastikan impian yang dimiliki itu selari dengan matlamat hidup kita sebagai seorang Muslim. Remaja Muslim yang menjadikan Islam sebagai pedoman dan cara akan sentiasa melihat kepentingan akidah, ibadah, akhlak dan syarak sebagai pertimbangan terbaik memimpin diri ke arah mencapai impian dan kecemerlangan.

Seorang Muslim itu bukan sahaja bermatlamat untuk mencapai kebahagiaan di dunia malah yang lebih penting di akhirat. Namun sekiranya kita masih belum mencapai apa yang diimpikan, kita harus bersabar, terus berusaha dan berdoa serta sentiasa bersangka baik dengan Allah.

Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Justeru kadangkala perkara yang kita miliki pada ketika ini adalah lebih baik untuk kita dan kita perlu bersikap reda atas segala kurniaan-Nya!

Sifat dengki, hanya memakan diri

Pada zaman dahulu dikisahkan ada seorang lelaki yang setiap hari berkunjung menghadap raja. Lelaki tersebut bolehlah dianggap sebagai penasihat raja pada masa itu kerana beliau sering berpesan kepada tuanku raja dengan mengatakan, “Orang yang berbuat baik akan mendapat balasan yang baik, dan orang yang berbuat buruk, maka cukuplah keburukan itu sebagai balasannya.”

Melihat keakraban dan hubungan lelaki itu dengan tuanku raja, ada seseorang lelaki lain telah menyimpan perasaan hasad dengki kepada lelaki si penasihat raja itu. Pendengki itu berkata, “Lelaki itu begitu rapat sekali dengan raja. Dia menjadi penasihat raja yang disegani. Setiap hari dia dapat bertemu raja. Sedangkan aku tidak ada apa-apa. Ini tak boleh jadi. Aku mesti fikirkan sesuatu.” Dia meluahkan perasaan tak puas hatinya.

Si pendengki telah mendapat idea. Dia kemudiannya telah pergi menghadap tuanku raja dan berkata, “Ampun tuanku. Izinkan patik melapurkan sesuatu. Sebenarnya lelaki yang pada setiap hari menemui tuanku itu adalah seorang penderhaka. Setelah dia menemui tuanku dan berjalan keluar dari istana, dia seringkali menceritakan hal yang buruk mengenai tuanku. Dia berkata bahawa bau mulut tuanku busuk.”

Wajah sang raja menjadi merah. Tuanku raja menjadi begitu murka.

Setelah mengadu kepada sang raja, si pendengki pun keluar dari istana dan duduk di tepi jalan yang biasa dilalui oleh lelaki penasihat raja itu.

Apabila dia nampak lelaki penasihat raja itu berjalan melaluinya, si pendengki itu lalu menghalang perjalanannya. Lalu dia berkata kepada lelaki penasihat raja. “Wahai sahabat, kalau kamu tidak keberatan, marilah ikutku dan singgah ke rumahku.

Aku ada membuat sedikit makanan.”

Si lelaki penasihat raja menerima pelawaan pendengki itu. Lalu dia telah pergi ke rumahnya. Apabila tiba di rumah, si pendengki telah menghidangkan beberapa masakan berserta bawang merah dan putih sebagai ulamnya.

Lelaki penasihat raja makan hidangan tersebut.

Termasuk bawang merah dan putih. Setelah makan, dia meminta diri untuk meneruskan perjalanan menemui tuanku raja seperti kebiasaannya.

Sampai di istana, sewaktu berjabat tangan dengan tuanku raja, lelaki penasihat itu telah menutup mulutnya kerana dia bimbang tuanku raja akan tercium bau mulutnya yang busuk (kerana makan bawang putih & merah).

“Ohhh, rupanya memang benar aduan orang itu, lelaki ini benar-benar menganggap mulutku berbau busuk,” fikir tuanku raja di dalam hati.

Sang raja berasa sangat sakit hati dan murka.

Baginda telah memikirkan rancangan untuk menjatuhkan hukuman atas perbuatan lelaki penasihat tadi.

Lelaki penasihat yang tidak mengetahui apa-apa itu, duduk dan berbicara seperti biasa. Sebelum mengundur diri, dia tidak pernah lupa berpesan kepada tuanku raja. “Orang yang berbuat baik akan mendapat balasan baik, manakala orang yang berbuat buruk, maka cukuplah keburukan itu sebagai balasannya.“

Setelah sekian lama berada di istana. Lelaki penasihat telah meminta diri untuk pulang. Ketika itu tuanku raja pun berkata memulakan rancangannya,

“Aku menitahkan kamu untuk bawa surat ini dan serahkanlah kepada sahabatku di negeri sebelah.”

(Kandungan surat itu adalah seperti berikut, “Jika sampai kepadamu pembawa surat ini, maka kau sembelih dan bunuh saja dia. Dia telah mengkhianati aku. Dia telah membuat derhaka kepadaku.”

Lelaki penasihat yang tidak mengetahui apa isi kandungan surat tersebut, hanya menurut saja perintah sang raja. Dia lalu mengambil surat itu untuk disampai kepada sahabat raja tadi.

Dalam perjalanan menuju ke negeri sebelah untuk menyampaikan surat tersebut kepada sahabat tuanku raja, tiba-tiba si pendengki telah menghalang perjalanannya.

“Wahai sahabat, apa yang kamu bawa bersama-sama mu itu?” tanya nya.

“Oh, ini surat dari tuanku raja untuk sahabatnya di negeri sebelah. Surat ini baginda telah tulis dengan tangannya sendiri. Biasanya baginda tidak akan menulis surat sendiri, melainkan surat mengenai urusan pembahagian hadiah.”, kata lelaki penasihat raja kepada si pendengki itu.

“Jika begitu, berikanlah surat itu kepadaku. Aku akan menghantarnya surat tersebut seperti yang disuruh oleh tuanku raja. Aku betul-betul dalam kesusahan sekarang dan memerlukan wang atau hadiah.” pintanya.

Si pendengki telah mereka-reka cerita mengatakan dia dalam kesusahan. Dia menceritakan betapa susahnya hidupnya sekarang.

Oleh kerana kasihan mendengar kisah kehidupannya, lelaki penasihat raja pun kemudiannya menyerahkan surat tersebut untuk dihantar kepada sahabat tuanku raja di negeri sebelah.

Si pendengki berasa gembira sekali. Dia menjadi begitu bersemangat untuk menyampaikan surat itu dan menerima hadiah daripada sahabat raja.

Setelah sampai ke negeri sebelah. Si pendengki pun lantas menyerahkan surat itu kepada sahabat raja seperti yang diarahkan.

Sahabat raja membaca surat, lalu berkata ; “Celakah lah kamu. Kamu adalah seorang penderhaka. Kamu telah mengkhianati rajamu sendiri. Sekarang, raja kamu telah mengarahkan aku untuk memancung lehermu.”

Si pendengki berasa sangat takut. Dia berkata ; “Tidak! Tidak! Yang dimaksudkan oleh raja itu bukan aku sebenarnya. Biar aku jelaskan semuanya. Beri aku kesempatan untuk membuktikannya.” Rayunya dengan penuh ketakutan.

“Tidak! Perintah raja tak boleh ditunda. Aku akan melaksanakan hukuman itu sekarang. Pengawal, bawa penderhaka itu ke mari. Biar aku pancung kepalanya.” kata sahabat raja tersebut.

Raja di negeri sebelah lalu memancung leher si pendengki yang malang itu.

Pada keesokan harinya, lelaki penasihat itu datang seperti biasa ke istana dan berkata, “Orang yang berbuat baik akan mendapat balasan baik, dan orang yang berbuat buruk, maka cukuplah keburukan itu sebagai balasannya.”

Raja berasa sangat harian melihatnya masih hidup.

Setelah ditanya satu persatu, barulah sang raja tahu cerita yang sebenar.

“Sebenarnya semalam, seorang lelaki telah mengundangku kerumahnya dan menghidangkan masakan berserta ulam bawang merah dan putih. Semasa aku bertemu dengan tuanku, aku tutup mulutku agar tuanku tidak tercium bau tidak sedap dari mulutku. Setelah aku keluar dari istana, lelaki tersebut sekali lagi telah menghalang aku. Dan meminta surat yang tuanku berikan untuk disampai kepada raja negeri sebelah.”

Lelaki penasihat raja menceritakan segala-galanya kepada tuanku raja.

Barulah raja tahu tentang keburukan yang dilakukan oleh si pendengki itu.

Mendengar cerita itu, maka fahamlah raja bahawa lelaki yang mati itu sebenarnya telah menaruh hasad dengki kepada sahabatnya.

“Sekarang barulah aku faham maksud pesanan yang selalu kamu ucapkan. Benar katamu, orang yang berbuat baik akan mendapat balasan, manakala orang yang berbuat buruk,maka cukup keburukan itu sebagai balasannya.“ Kata tuanku raja.

Sahabat-sahabatku sekalian,

Ingatlah pesanan ini. Perasaan hasad dengki dan iri hati itu adalah sifat terkeji. Sifat dengki hanya akan memakan diri. Dengki itu merosakkan amalan. Dengki itu mengahapuskan kebaikan sepertimana api yang membakar kayu api. Ingatlah, sifat dengki hanya akan merugikan diri kita sendiri.

Sekarang cuba muhasabah diri sebentar. Adakah dalam diri kita ada perasaan hasad dengki kepada orang lain? Perasaan dengki pada rakan sekerja? Perasaan hasad dengki kepada rakan serumah? Perasaan iri hati atas kejayaan orang lain? Dengki dan jealous pada orang lain? Renung-renungkan dan selamat beramal.

Kenapa Sifat Dengki Dibenci?

Sebut je benci, semua org tau bahawa ini adalah sifat mazmumah. Ke ada orang kata sifat dengki la baguih…boleh meningkatkan jati diri?? Orang yang mempunyai sifat tercela sangat dibenci orang ramai. Orang yang pendengki ni memang takleh tengok orang lebih pada dia, biar sikit pun. Kalau boleh sampai kerepot pun dialah nak yang atas sekali sedangkan dunia berputar dan hidup ini ada turun naiknya.

Sifat dengki ni akan merosakkan potensi diri. Betul ke? Bila seseorang itu bersifat dengki, maka dia dibenci…time tu ko buatlah hape pun takde dah sape nak pandang. Kalau cakap berisi pun, orang malas nak layan. Bila dah jadi mcm ni, kita pulak dah susah hati. Bila susah hati, makin lah rasa dengki tu mencanak-canak naiknya. Pastu mula plan itu ini nak jatuhkan orang.

Sifat dengki juga adalah dosa pertama yang dilakukan oleh iblis laknatullah apabila menolak perintah ALLAH SWT supaya sujud kepada Nabi Adam. Begitu juga kejadian Qabil yang membunuh Habil. Dengki adalah sikap dimana bila orang naik, kita pulak nak jatuhkannya pulak

Bukan tak boleh orang mukmin bersifat dengki tapi biarlah sekadar berusaha menjadi terbaik dan bukan menjatuhkan orang. Percayalah bahawa tidak rugi berusaha keras untuk menjadi yang terbaik daripada menjatuhkan orang tapi kita tu tak baik-baik jugak.

Bagaimana mencegah perasaan dengki? Cubalah bersifat qanaah iaitu berasa cukup dengan apa yg ada slps berusaha. Redhalah dengan ketentuan ALLAH dan bersyukurlah sekurang-kurangnya kita masih diberi nikmat hidup. Kerana takdir yang ALLAH beri tidak sama. Namun ALLAH tidak pernah menzalimi hambaNya.

Sesiapa yg susah walaupun telah berusaha, tetapi sabar, maka ALLAH memberi pahala atas kesabaran itu. Malah sesiapa yg diberi kesenangan dan berkongsi kesenangannya dgn ikhlas, maka pahala juga baginya. Cukuplah dengan apa yang telah ditakdirkan namun berusaha kearah kehidupan yang lebih baik adalah sifat yang terpuji.

Rasulullah SAW bersabda, yang ertinya : “sesungguhnya hasad dengki itu memakan kebaikan sepertimana api memakan kayu bakar”

Hasad Dengki Hancurkan Perpaduan Ummah

PERASAAN hasad dengki sukar dihapuskan dalam jiwa kerana ia lahir di hati kecil tanpa pengetahuan orang lain. Ia bermula daripada perasan cemburu hingga merebak dan berkembang menjadi perasaan tidak tenang.

Akibatnya, seseorang yang dihinggapi penyakit dengki berusaha sedaya upaya untuk memenuhi hasrat hati yang sedang menekan perasaan jiwanya.

Sesungguhnya masalah hasad dengki menjadi punca fitnah besar yang merosakkan perhubungan hidup bermasyarakat sejak manusia mula bertapak di bumi. Perasaan dengki bermula dari anak Nabi Adam, Habil dan Qabil, hasil hasutan iblis.

Perasaan hasad dengki di kalangan umat manusia membawa kepada gejala buruk yang akan menghancurkan perpaduan dan kerana itu Islam benci mereka yang mempunyai hasad dengki dalam jiwa.

Sesungguhnya setiap kelebihan atau keistimewaan yang diperoleh seseorang adalah kurniaan Allah yang Maha Pemurah. Firman Allah yang bermaksud: "Apakah mereka mendendami manusia disebabkan suatu kelebihan yang Allah berikan kepada mereka?" – (Surah an-Nisa', ayat 54)

Apabila perasaan hasad dengki bercambah dan menyerap ke seluruh jiwa seseorang, dengan sendirinya keadaan hidup mereka menjadi tidak tenang.

Perasaan hati sering tergugat kerana melihat kebahagiaan orang lain. Maka hatinya mula timbul rasa resah dan benci lantas ia pun cuba membuat pelbagai fitnah untuk memburukkan orang dicemburui itu.

Hasad dengki membawa kehancuran perhubungan kasih mesra dalam masyarakat. Penyakit dengki susah diubati dan apabila seseorang itu diresapi dan ia dengan sendiri akan merosakkan sifat tolong menolong dalam masyarakat.

Hasad dengki paling kuat melanda kedudukan agama ialah daripada bukan Islam seperti berlaku pada zaman jahiliah.

Kedudukan Islam diancam pelbagai tipu daya dan fitnah untuk melemahkan keteguhan jiwa umat Islam. Namun mereka yang beriman, tetap teguh memperjuangkan Islam dengan menggadaikan harta dan nyawa demi agama.

Setiap perkara bertujuan baik akan musnah dan hancur jika timbul rasa dengki dan iri hati. Umat Islam yang mengamalkan sifat dengki boleh menyebabkan sinar keagamaan beransur pudar dan setiap gerak langkah mereka terkeluar daripada garis Islam.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Jauhkanlah diri kamu daripada dengki kerana dengki itu memakan segala amalan kebajikan sebagaimana api memakan kayu." (Hadis riwayat Abu Daud)

Sesungguhnya dengki mendengki dan benci membenci sesama sendiri tidak sedikit pun memberi faedah atau keuntungan bahkan merugikan. Lagipun sifat hasad dengki bertentangan dengan dasar Islam dan boleh dianggap sebagai musuh paling ketat.

Untuk keteguhan hati dalam keimanan, kita mesti berpegang teguh kepada sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Janganlah kamu dengki mendengki. Jangan kamu putus memutus hubungan, janganlah kamu jauh menjauhi hati, janganlah kamu benci membenci; hendaklah kamu semua wahai hamba Allah hidup bersaudara dan haram bagi seorang Muslim itu menjadi saudaranya tidak bercakap selama tiga hari." (Hadis riwayat Bukhari, Ahmad dan Muslim)
Hasat dengki

Hasad dengki. Apa tu? Ha ha..buat2 tak pernah dengar pulak ek. Kata bebudak zaman sekarang orang zaman skang ni ramai yang ada PHd. ‘perasaan hasad dengki’. Kadang-kadang tu benda yang orang lain lebih dari kita tu kecik je, mula la kita pun anto antu jin setan ape kat dia.

Tapi tu teknologi zaman silam anto benda2 lagu tu. Orang zaman skang semua guna kaedah mami jarum. Pernah tengok mami jarum? Huhu..gitula kaedah yang selalu digunakan oleh kaum wanita kan? Kan? So, teknik orang lelaki mcm mana? Ada jugak kot diorg ni guna kaedah yang sama. Sampai ada jugak yang menggunakan teknik backhand untuk menumbangkan orang yang didengki.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Tidak boleh dengki dan iri hati kecuali dalam dua perkara; iaitu iri hati terhadap orang yang dikurniai harta lalu menginfakkannya (di jalan Allah) pada malam dan siang hari, (juga iri hati) kepada orang yang diberi kepandaian membaca al-Quran lalu membacanya setiap malam dan siang” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Alangkah comelnya dunia ni kan kalau kita berdengki tanpa ada perasaan mahu menjatuhkan. Kalau dengki, usaha la sendiri kasik up u punya diri. Biarlah orang yang dah berjaya tu meraikan kejayaannya. Satu kenikmatan yang hebat andai kita meraikan kejayaan dengan usaha sendiri, bukan dengan menjatuhkan orang lain.

Dari kita Ihya’ ‘Ulumuddin (Imam Al-Ghazali) menyenaraikan punca timbulnya perasaan hasad dengki:

• Perasaan permusuhan dan kebencian – sekalipun marah, janganlah sampai timbul perasaan mahu bermusuh. Jika betul marah, ubat yang paling mujarab adalah memaafkan. Hayati kembali perkataan ‘kemaafan adalah dendam terindah’. Dengan memaafkan, hati dan jiwa kita kian tenang dan tidak akan ada lagi perasaan mahu bermusuhan.

• Berasa diri mulia – kita tentu saja pernah menjadi yang terbaik namun untuk mengekalkan status itu memang sukar kerana dunia ibarat roda. Terimalah hakikat bahawa dunia ini hanya sementara. Relakanlah orang lain mencapai kemanisan dalam kehidupan mereka. Bukan bermakna kita jatuh kita tidak akan bahagia kerana rekod kita pernah bagus Cuma bila dunia berubah, maka kita juga perlu berubah. Jika dulu manusia berjaya memasak dengan kayu api namun zaman skang, dah macam-macam teknik tanpa nampak apinya pun makanan masih boleh dimasak. Begitulah diibaratkan kita perlu sentiasa memperbaharui keadaan supaya kita sentiasa di atas namun kita perlu akur andai teknik kita mungkin kurang berkesan untuk membantu.

• Takbur – jangan suka membesarkan diri. Dengan membesarkan diri, kita akan mengecilkan orang lain. Sedangkan kita manusia tidak bersifat sempurna kerana kita banyak kelemahan.

• Ujub – bila kita takjub dengan diri, kebenaran akan selalu terhalang. Kita akan sentiasa berada dalam keadaan tertekan kerana bimbangkan orang lain akan lebih menonjol.

• Takut terlepas sesuatu tujuan atau habuan – bukankah rezeki masing-masing telah ditetapkan oleh ALLAH. Berusahalah dengan cara yang tersendiri dan redhalah dengan apa yang kita dapati. Semoga dengan cara ini hidup kita akan lebih diberkati.

• Ghairah untuk menjadi ketua dan mencari popularity – perasaan mahu menjadi orang yang paling atas memang akan selalu terdedah dengan perasaan hasad dengki. Sekali lagi ingat, bahawa dunia laksana roda, ada masa kita di atas dan di masa lain, kita akan di bawah juga akhirnya.

• Busuk hati – jika perasaan busuk hati wujud pada seseorang, akan wujud juga perasaan tidak suka pada kebaikan orang lain. Setiap manusia, ada bahagiannya masing-masing di dunia ini. Bersama-sama lah menjaga bahagian masing-masing jangan sampai kerana sibukkan bahagian orang lain, bahagian kita akan menjadi sia-sia.

Sudah-sudahlah dengan perasaan dengki. Bina satu rasa yang lebih menyenangkan dalam diri dari kita melayan rasa dengki ini. Bagaimana lagi untuk mencari bahagia dalam diri andai kita mengizinkan lagi hasad dengki ini bertapak terus menjadi daki dalam hati kita.

Orang-orang yang dibenci Allah

Diriwayatkan oleh an-Nasa'I dari Abi Hurairah:

Ada empat jenis manusia yang amat dimurkai ALLAH iaitu:

1) Penjual yang banyak menggunakan sumpah untuk meyakinkan kebagusan barang dagangannya atau sebagainya, sedangkan sebenarnya barang-barang itu tidak sebaik yang dikatakannya. Ia menarik minat pembeli dengan sumpah-sumpah dusta agar barang-barang yang dijualnya itu dibeli dengan harga yang baik.

2) Si fakir yang sombong yang menolak pemberian yang sedikit dan tidak tahu bersyukur dan berterima kasih atas pemberian-pemberian yang diterima, atau si fakir yang suka hidup dengan orang-orang yang berada dengan kewangannya yang sedikit .

3) Si tua yang berzina. Walaupun umurnya sudah lanjut, namun ia masih belum insaf kesudahan hidupnya malah masih merasa muda dan jauh dari panggilan maut. Ia sepatutnya memperlihatkan contoh-contoh teladan yang baik kepada generasi muda, tetapi sebaliknya ia melumbai mereka dalam bidang-bidang maksiat terutamanya maksiat zina.

4) pemimpin yang zalim, tidak syak lagi bahawa kezaliman seorang raja atau pemimpin negara akan mendatangkan berbagai-bagai implikasi yang buruk kepada ketenteraman rakyat dan keselamatan negara. Walau bagaimanapun sejarah telah membuktikan bahawa kezaliman itu lambat laun akan mencetuskan reaksi-reaksi rakyat yang tajam dan pada akhirnya akan menumbangkan pemerintahannya

Moga kita semua dalam golongan yang dicintai ALLAH.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...