Thursday, December 16, 2010

Siapa yang tak pernah gagal?

Tidak pernah gagal bermakna tidak normal. Tidak pernah susah bermakna tidak sempurna. Yang membezakan orang yang gagal dengan orang yang berjaya ialah bagaimana mereka bangkit dari kegagalan dan kesusahan hidup.

Orang yang ‘cukup makan’ terus hidup dalam kegagalan kerana mereka hanya meratapi nasib malang yang dikatakan ‘diberi’ oleh Tuhan. Mereka terus menerus memberikan pelbagai alasan untuk menghalalkan rasa malas mereka. Kesudahannya, mereka akan terus kekal menjadi golongan yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Manakala orang yang berjaya terus cuba bangkit dengan melupakan segala kisah silam yang melemahkan semangatnya, dan mengerah segala usaha semampu mungkin tanpa mengalah kepada nasib kerana mereka percaya, bukan nasib yang menentukan kejayaan mereka.

Jangan merajuk dengan usaha anda yang mungkin kelihatan sia-sia hari ini. Jangan berhenti berusaha. Anda mungkin perlu berehat, atau menukar arah, tetapi jangan sesekali berhenti bergerak ke hadapan. Jangan pandang belakang lagi! Seperti memandu, anda tidak perlu menoleh ke belakang, cukup dengan menggunakan ’side mirror’.

Kisah silam anda boleh dianggap sebagai ’side mirror’ untuk membantu anda terus maju. Kalau asyik tengok ’side mirror’ saja, accident pula nanti! Tengok depan ya!

Kisah Nabi Yunus ini mungkin boleh kita jadikan iktibar.
Nabi Yunus menyeru pada kaumnya Sembahlah Allah Yang Maha Esa Tinggallah berhala yang tidak bernyawa Jauhi perbuatan yang sia-sia Seruan Nabi tidak diterima Nabi diejek dan Nabi dihina Baginda tidak berputus asa
Walau dicaci walau dihina Akhirnya Nabi merasa hampa Umatnya masih menderhaka Lalu dia pergi membawa hati Ke tepi pantai seorang diri
Kapal pedagang Baginda menumpang Membawa diri ke rantau orang Malangnya laut bergelombang Hampir karam di tengah lautan Bila diundi Nabi merelakan Terjun ke laut penuh bergelora Baginda ditelan ke perut Ikan Nun Gelap gelita tidak terkira Sedarlah baginda akan silapnya
Ditarbiyyah Allah sebegitu rupa Menangislah Nabi penuh duka Memohon Ampun dari Tuhannya

Rugi jadi orang mudah merajuk. Anda boleh kekal dengan rajuk anda, dan anda mungkin tidak akan mendapat apa-apa darinya. Sebaliknya jika anda enggan mengalah dengan melupakan terus kegagalan tersebut, anda berpeluang menikmati kejayaan yang jauh lebih baik.
Jangan mudah merajuk ya! Kuatkan semangat dan bangkit cepat!

Ditulis oleh: Yun - Cakaplah.com

Belajar Terima Pandangan Orang Lain

Manusia yang lemah hanya mementingkan diri sendiri. Baginya orang lain belakang kira, langsung tidak diendahkan.

Antara jenis pentingkan diri ialah tidak mahu mendengar suara orang di sekitarnya. Cuma yang dia mahu dengar ialah suara nafsu dan keinginannya saja, walaupun kadangkala orang menderita disebabkan sikapnya.

Suara luar, rintihan yang di sekelilingnya tidak diendahkannya. Baginya itu semua tidak penting.

Nabi Sulaiman a.s sanggup mendengar suara dan pendapat luar walaupun daripada seekor burung hud-hud mengenai negeri Saba'.

Begitu juga Nabi Muhammad s.a.w mendengar pendapat dan pandangan sahabat, kemudian bersama berfikir mengenai cadangan dan akhirnya melaksanakan kesimpulan yang dipersetujui. Bukankah itu memberikan kejayaan!

Pemimpin yang baik ialah mereka yang dapat menyentuh hati golongan dipimpin. Tetapi sebelum kita dapat menyentuh yang dipimpin, kita semestinya menyelami apa ada dalam hati mereka.

Hendak menyelami hati mesti mendengar dulu suara mereka. Semestinya kita menjadi pendengar yang baik.

Dalam kehidupan seharian antara suara yang perlu kita dengar ialah:

1. Suara mereka yang dekat dengan kita seperti suara hati suami, isteri, anak, teman dan sahabat kita.

Luangkan masa mendengar sama ada pujian atau teguran. Tunjukkan wajah yang simpati dan tindak balas.

Hindarilah wajah yang dingin kerana ia akan melukakan mereka yang sedang berkomunikasi dengan kita. Banyak orang yang suka ceritanya didengari daripada memenuhi permintaan.

2. Suara pelanggan. Kepada yang ingin berjaya luangkanlah waktu untuk mendengar suara pelanggan (terutama peniaga dan pemberi perkhidmatan) dan mendengar suara umat (bagi golongan pendakwah atau pakar motivasi) kerana kadangkala ilmu dan hikmah datang daripada suara mereka ini.

Apabila suara mereka mengandungi makian hadapilah dengan positif dan sangka baik serta cuba perbaiki diri.

Jika suara mereka mengandungi pujian pertahankan pujian dengan mempertingkatkan kualiti.

3. Suara lawan. Suara lawan memang sukar untuk diterima, malah kadang-kadang disambut dengan lawan juga.

Bagi mereka yang bijaksana, suara lawan sebenarnya sangat berharga. Melalui kritikan mereka kita mengetahui lemah kita, bahkan yang cacat akan diperbaiki.

Kata bijak pandai 'apabila lawan kita menceritakan aib kita sebenarnya kita patut berterima kasih kerana dia bersusah meluangkan masa dan fikirannya menasihati kita'.

Cuba fikirkan, berapa banyakkah waktu yang kita pernah guna untuk memperbetulkan dan muhasabah diri kita?

Mulai sekarang marilah kita belajar mendengar, bukan sahaja kata-kata tetapi juga perasaan mereka di sekitar. Nanti mereka juga akan mendengar perasaan kita.

Oleh Mohd Zawawi Yusoh

Menangani Kesilapan

Semua manusia pernah berbuat silap. Adakah anda takut melakukan kesilapan? Adakah anda tahu bagaimana untuk menangani dan belajar daripada kesilapan? Sering mengulangi kesilapan yang sama? Benci kesilapan dan tidak dapat apa-apa daripada kesilapan?

Usah "bazirkan" hidup anda dengan melakukan kesilapan, tanpa mendapat sesuatu. Pelajarilah bagaimana untuk menangani dan mengurus kesilapan. Lebih daripada itu, anda boleh belajar daripada kesilapan anda! Tip di bawah ini mungkin boleh membantu anda :

Terima Kesilapan Yang Anda Lakukan
Memanglah kalau kita buat silap, kita berasa kecewa dan sedih. Tapi jangan biarkan kesedihan itu 'memerangkap' hidup anda. Terima ia sebagai satu pengalaman hidup yang akan terus mendidik dan membimbing anda.

Akui Hakikat BahawaKesilapan Adalah Sebahagian daripada Fitrah Kehidupan
Semakin banyak usaha untuk mencapai kejayaan, semakin besar risiko untuk anda melakukan kesilapan. Orang yang tidak buat silap ialah orang yang tidak buat apa-apa. tetapi tidak berbuat apa-apa adalah kesilapan yang paling besar. Kejayaan bukannya tidak melakukan kesilapan, tetapi tidak melakukan kesilapan yang sama untuk kali ke dua.

Hanya Lembah Yang Rendah Mampu Menadah
Air hanya pergi dan berkumpul di tanah yang rendah. Jika anda asyik meninggikan diri sendiri, maka alamat susah untuk menadah ilmu. Oleh itu, dalam banyak hal, anda perlu merendahkan diri dengan orang lain supaya boleh 'menadah' ilmu yang 'mencurah-curah' dari orang di sekeliling anda. Barulah anda boleh betul-betul belajar daripada kesilapan yang berlaku.

Sedia Untuk Meminta Maaf
Jangan rasa hina dan malu untuk meminta maaf. Meminta maaf adalah manifestasi kematangan dan rasa tanggungjawab seseorang itu. Jika anda berdiam diri, bukan sahaja dia marah kerana anda buat silap, bahkan menjadi semakin marah kerana ' kebiadaban dan berlagak' yang anda tunjukkan kerana enggan meminta maaf.

Jika Ia Kesilapan Peribadi Anda; Rahsiakannya
Ada kesilapan yang tidak melibatkan orang lain. Jika ini berlaku, simpanlah ianya sebagai satu rahsia hidup anda. Tiada guna anda membuka pekung di dada. Analisalah segera kesilapan itu dan lakukan usaha pembaikan demi perubahan.

Jika Ia Melibatkan Orang Lain?
Berterus terang dengannya, janjikan bahawa anda akan berusaha untuk memperbaiki kesulitan yang wujud kerana kecuaian anda. Setelah berusaha, terangkanlah apa yang anda telah lakukan dan sejauh manakah kerberkesanannya.

Belajarlah Daripada Kesilapan, Elak Daripada Berulang.
Renungkan apa sebenarnya apa yang telah berlaku. Apakah faktor-faktor sehingga berlakunya kegagalan itu. Kemudian, cari jalan untuk mengelakkan daripada perkara yang sama berulang kembali. Jika masih berlaku; mintalah bantuan mereka yang lebih berpengalaman dan berpengetahuan daripada anda. Terangkan kepadanya tentang masalah yang dihadapi secara terperinci. Bahkan kadangkala anda akan dapat mencari penyelesaian ketika anda sedang menerangkan kepadanya!

Jika Ada Kesilapan Yang Memalukan Majikan, Tangani Dengan Segera
Pergilah berjumpa majikan anda secepat mungkin, jelaskan kepadanya apa yang berlaku. Jika tidak, jangan terkejut jika majikan sendiri yang akan mencari anda, atau menyiasat kejadaian hingga ke akar umbi. Lebih teruk lagi, kalau majikan mendengar dan terpengaruh dengan gossip daripada orang lain. Bukankah ini semua akan 'mengucar-ngacirkan' hidup anda?

Jika Anda Tidak Dapat Memperbaiki Kesilapan Itu, Minta Bantuan
Tanyalah rakan-rakan anda yang lebih arif dalam bidang tersebut. Bincangkan dengan dia, apakah tindakan yang anda telah lakukan, dan kenapa masih tidak berjaya. Kemahiran memujuk dan mendorong sangat penting dalam proses ini.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...