Wednesday, December 15, 2010

Pujuklah Ia Walaupun Terpaksa

Lelaki tidak meminati wanita? Itu adalah satu pembahongan. Tidak ada lelaki tidak berminat atau tertarik untuk mengenali mana-mana wnita. Lelaki dijadikan sebagai makhluk yang akan memulakan sesuatu. Berbanding dengan wanita yang dijadikan dengan perasaan malu yang lebih menebal daripada lelaki.

Terdapat pelbagai cara lelaki untuk mengenal wanita. Melalui cara itu lelaki akan lebih mengenali wanita dan memahami kehendak wanita. Melalui pemerhatian yang dilakukannya, lelaki mengenali wanita sebagai seorang yang:

Mudah tersinggung jika hatinya terusik terutama yang membangkitkan perasaan

Mudah jemu dan perlukan suasana yang berlainan untuk menghilangkan rasa jemu dan bosan.

Amat memerlukan cinta kerana memandang lelaki sebagai orang yang dicintainya dan cuba menyesuaikan dirinya dengan lelaki yang dicintainya.

Suka dipuji walaupun dia tahu bahawa lelaki itu berdusta asalkan pujian itu tidak menyakiti dirinya malah mendatangkan kegembiraan kepada dirinya.

Tidak percaya kepada lelaki walaupun kekasih atau suaminya begitu menyayanginya. Keadaan ini disebabkan perasaan gelisah dan sangsi lebih banyak dirasakan oleh wanita.

Berhati sentimental kerana naluri dan perasaan wanita yang penuh dengan kelembutan, sensitif, perasa dan lebih suka terpengaruh oleh suara hatinya berbanding oleh akalnya.

Suka memaksa lelaki kerana dia menganggap lelaki adalah insan yang dapat melenyapka rasa bosan dan jemu. Dan sebab itilah wanita memaksa lelaki agar memujuk rayu dan memanjakannya. Walaupun begitu, wanita tidak sanggup kejam terhadap lelaki malah lebih rela berlaku kejam terhadap dirinya sendiri.

Cemburu. Ini kerana wanita lebih cenderung mempertahankan harga diri, kepentingan peribadi, kepentingan keluarga dan anak-anak.

Bersikap penggoda keran awanita dikatakan sentiasa memikirkan cara untuk memenagi hati lelaki dengan menggunakan daya tarikan tubuh dan wajahnya bagi tujuan tersebut. Sebab itu wanita suka memperagakan pakaian yang seksi ditempat umum.

Perkara-perkara yang dinyatakan di atas bukanlah tuduhan terhadap wanita atau untuk merendah-rendahkan mertabat wanita. Dengan mengetahui perkara ini, lelaki dapat mengetahui dengan lebih mendalam mengenai sifat-sifat sebenar wanita. Bagi wanita pula, kenalpasti kelebihan dan kelemahan diri adalah penting sebagai persiapan menghadapi apa saja kemungkinan yang bakal dicetuskan oleh lelaki.

5 Tips Untuk Capai Kejayaan

5 Tips Untuk Capai Kejayaan

1. Sikap

Sikap adalah satu faktor penentu kejayaan dalam apa jua perkara yang anda lakukan. Albert Einstein mengatakan bahawa sikap merupakan 99% penentu kepada kejayaan atau kegagalan seseorang.

Jika anda ingin memperoleh kejayaan, anda pertamanya mestilah mempunyai sikap yang positif dalam apa jua perkara yang anda lakukan.

Ketika anda sedang berehat, hendak melelapkan mata atau bekerja – apa juga yang anda lakukan, anda mestilah menanamkan sikap positif.

Apabila suatu perkara tidak menjadi seperti yang anda harapkan, anda seharusnya terus bersikap positif.

Jika anda bangun lewat, jangan merasa tertekan atau kecewa sangat, sebaliknya anda harus berfikiran positif dan berkata kepada diri anda sendiri “ok, hari ini aku terlewat bangun, sekarang aku perlu lakukan yang terbaik untuk hari ini”.

Saya yakin mereka yang mencapai kejayaan pada hari ini adalah mereka kesemuanya mempunyai sikap yang baik dan positif.

Sebenarnya, memang lebih mudah bagi kita untuk berfikiran negatif. Dan untuk berfikiran positif itu hakikatnya memerlukan sedikit usaha.

Saya cadangkan anda lekatkan sekeping nota di atas meja anda, di dalam kereta, pada cermin di bilik mandi, sekeping nota ringakat tertulis “SIKAP POSITIF”. Apabila anda melihat nota itu, berhenti sejenak dan berfikir tentang perkara yang sudah berlaku pada hari itu, adakah anda sentiasa bersikap positif dalam setiap perkara?

Jika anda bersikap positif, semua perkara yang anda lakukan akan menjadi lebih mudah. Jika ada perkara yang anda tidak suka untuk melakukannya, jangan biarkan sikap negatif menguasai diri. Cuba lakukan dulu perkara tersebut dan fikirkan “Saya akan buat kerja ini sampai habis kemudian selepas ini saya akan buat kerja yang saya suka !”.

Cubalah teknik ini dan anda pasti akan merasakan perbezaannya.

2. Ambil tindakan

Ini merupakan satu perkara yang paling kritikal dan paling penting dalam membezakan orang berjaya dengan orang gagal.

Ada ramai orang mempunyai idea-idea yang baik dan mereka memberitahu kepada kawan-kawan tentang idea atau cadangan tersebut. Mereka seronok bercerita kepada orang ini dan orang itu. Tapi sayang, dalam keghairahan mereka berkongsi idea dan cerita itu, mereka tidak mengambil sebarang tindakan. Sehinggalah cerita mereka itu menjadi senyap begitu saja tanpa sebarang tindakan. Mereka inilah orang-orang yang gagal dan rugi.

Jika anda mempunyai banyak idea atau cadangan yang bagus. Itu tidak mengapa. Tetapi yang terlebih pentingnya ialah TINDAKAN. Anda mesti mengambil tindakan.

Sebenarnya, apabila anda sudah mula mengambil tindakan, anda akan menghadapi pelbagai halangan dan cabaran. Namun, anda mesti komited dan fokus kepada tindakan anda sehinggalah anda mencapai kejayaan.

Jika anda mempunyai sebarang projek atau idea yang ingin dilaksanakan pada masa ini, mungkin juga sesuatu yang sudah lama anda fikirkan, berhentilah daripada bercakap dan berfikir mengenainya. Yang penting sekarang ialah JUST DO IT! LAKUKAN SAJA!

Saya mempunyai ramai kawan-kawan yang datang berjumpa dan bercakap mengenai pelbagai idea bisnes dan sebagainya. Mereka begitu ghairah bercerita dan berkongsi cerita.

Saya sentiasa memberikan pendapat dan mengingatkan mereka betapa pentingnya untuk mengambil tindakan. Saya juga berikan mereka sokongan moral dan semangat untuk melakukannya.

Tetapi yang menyedihkan ialah 90% daripada mereka tidak pernah membuat tindakan.

Ingatlah, jika anda tidak membuat tindakan, anda sebenarnya menafikan hak anda untuk mencapai kejayaan.


3. Tukar Paradigma

Sejak dari bangku persekolahan lagi kita selalu diingatkan dipesan “Belajarlah pandai-pandai supaya besar nanti dapat kerja yang baik”.

Bukanlah pesanan itu tidak betul. Cuma pada saya, kita mesti menjadi orang yang lebih terbuka dan berwawasan tinggi. Dalam dunia global dan penuh mencabar sekarang ini, gaya pemikiran begitu sudah agak ketinggalan.

Orang belajar sekarang ini bukan untuk mendapat kerja (makan gaji ) yang baik. Sebaliknya, gaya pemikiran usahawan dan cendekiawan perlu ditanam pada jiwa anak-anak kita sedari kecil lagi.

Ketahuilah bahawa 80% jutawan pada hari ini mencapai impian mereka dengan memulakan bisnes sendiri. Semua orang pun tahu, jika kita benar-benar mahukan kebebasan kewangan@kaya, tidak dapat tidak, kita mesti berusaha untuk membuka perniagaan sendiri.

Maka, mari kita ubah paradigma dan gaya pemikiran kita menjadi lebih terbuka, global dan berdaya saing.


4. Tuliskan Apa Yang Anda Fikirkan

Tidak kiralah, sebaik manapun otak atau memori yang anda miliki, anda tak boleh take for granted. Mengapa perlu mengambil risiko terlupa sesuatu yang penting?

Tuliskanlah perkara yang ada difikiran supaya anda membantu melegakan otak atau minda anda yang penuh dengan informasi.

Jika anda mempunyai sesuatu idea – tuliskan.

Jika anda mempunyai masalah – tuliskan ia.

Apabila anda menulis mengenai suatu masalah, ia sebenarnya membuatkan otak anda berputas ligat memikirkan jalan penyelesaiannya. Apabila anda tulis sesuatu masalah itu, anda akan mendapati bahawa anda dapat berfikir dengan lebih jelas, dan yakinlah bahawa satu masa nanti anda akan dapat jalan untuk menyelesaikannya.

Teknik ini nampak mudah dan leceh, tapi jika anda mula mempraktikkannya, anda akan dapat merasai kesan baiknya.



5. Tetapkan Tujuan Dan Impian

Jika anda tidak mempunyai sasaran, anda tidak akan ke mana-mana. Anda akan jadi, pi mai pi mai tang tu.

Anda harus mempunyai matlamat atau sasaran yang jelas. Anda perlu tahu ke mana destinasi anda dan apa yang anda ingin capai. Berusahalah untuk mencapainya dan sentiasa ingat akan impian anda.

Saya ada ramai kenalan yang mungkin (pada saya) kurang faham tentang konsep menetapkan sasaran ini. Ramai yang membuat impian seperti, “impian aku ialah untuk menjadi jutawan dalam masa 5 tahun”, tetapi apabila saya bertanyakan kepada mereka bagaimana untuk mencapainya? Mereka gagal untuk menjawab soalan mudah saya itu. Jika begitu, nampaknya mereka sendiri tidak jelas dengan impian mereka sebenarnya.

Anda mesti mempunyai sasaran atau matlamat jangka panjang dan jangka pendek. Matlamat anda mesti jelas dan teliti. Anda mesti mempunyai pelan tindakan kepada setiap matlamat anda. Anda mesti pecahkan matlamat anda menjadi kecil dan boleh dicapai supaya senang untuk anda fokus pada tindakan.

Bangkit daripada kegagalan

Seseorang yang gagal dalam cubaan pertama mesti belajar daripada kesilapan dan membaikinya.
Keinginan untuk berubah tetap ada dalam diri seseorang. Memang ramai orang yang gagal mencapai kejayaan tetapi mereka terus berusaha.
Cuba renungkan firman Allah s.w.t. yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Mintalah bantuan (untuk menghadapi kesusahan dalam menyempurnakan perintah Tuhan) dengan sabar dan mengerjakan solat." - (Surah al-Baqarah: 153)

Ketika sedih, hampa, sakit hati, takut dan risau, inilah masanya kita perlu bangkit dengan segera dan bersolat. Apa yang diperlukan pada masa itu adalah ketenangan jiwa. Dan solat merupakan penyejuk hati dan pembuka kebahagiaan.

Apabila semangat semakin luntur dan kita tidak tahu ke mana hendak dituju, duduklah sebentar dan fikirkan kembali apa yang kita telah lakukan.

Elok juga kalau kita belajar daripada kisah seekor keldai yang hampir mati tertimbus.

Di sebuah kampung di pedalaman, keldai merupakan harta penting untuk petani. Suatu hari, seorang petani mundar-mandir di sekitar rumahnya kerana mencari keldai yang hilang. Setelah penat, dia duduk di pangkin rumahnya memikirkan nasib keldai itu.

Kemudian, perlahan-lahan dia mendengar suara rengekan seakan-akan seseorang berada dalam kesusahan. Beringsut-ingsut si petani mencari arah suara itu dan rupa-rupanya itu ialah suara keldai yang sedang dicarinya.

Keldai itu tersesat dan terjatuh ke dalam perigi lama yang dilitupi daun-daun pokok di atasnya.

"Apa yang harus dibuat? Perigi ini dalam dan kalau ditarik keluar, terlalu bahaya," bisik hatinya. Lama berfikir, dia memutuskan untuk menimbus sahaja keldainya.

Si petani mengajak beberapa orang rakannya untuk mengambus perigi tadi.

Semasa membuat kerja, dia menutup kedua-dua telinganya kerana tidak sanggup mendengar pekikan keldainya. "Cepat timbus, biar suara keldai ini tidak kedengaran lagi."

Peluh mencurah-curah keluar dari dahi petani dan rakan-rakannya.

Sehinggalah suara keldai tidak kedengaran barulah mereka berhenti. Menyangka keldai sudah mati, mereka berdiri di tepi perigi untuk melihat apa yang berlaku.

Sungguh menakjubkan! Pandangan mereka terpaku pada seekor keldai yang masih kuat, segar dan sambil menggoyang-goyangkan ekor ke kiri dan kanan.

Setiap kali tanah jatuh ke atas badannya, keldai itu akan menggoyangkan punggungnya, menjatuhkan timbunan tanah lalu menginjak-injak sehingga menjadi padat.

Melihat keadaan ini, petani tambah bersemangat dan menyiapkan usaha mereka sehinggalah keldai itu dapat melompat keluar dan berlari pergi.

Seperti juga kisah keldai ini, kehidupan kita akan terus dituangkan tanah dan kekotoran yang berupa kesedihan, masalah, ujian dan cubaan hidup.

Hanya ada satu cara untuk keluar daripada keadaan tersebut iaitu menggerakkan akal untuk membuang segala kesedihan daripada hati.

Dengan cara itulah, anda dapat menjadikan semua masalah seperti tanah untuk dipijak dan melompat keluar dari perigi kesengsaraan.

Kejayaan dan kegagalan untuk berubah adalah silih berganti. Tidak ada sesuatu yang kekal kerana setiap masa kita berubah.

Hanya kepada Allah kita berharap dan memohon pertolongan.

Allah berfirman: "Tidakkah Kami (Allah) telah melapangkan dadamu (Ya Muhammad)? Dan telah Kami ringankan bebanmu yang berat. Yang memberati tanggunganmu. Dan Kami tinggikan (muliakan) namamu? Sesungguhnya di samping kesukaran ada kemudahan. Sesungguhnya di samping kesukaran ada kemudahan. Apabila engkau telah selesai (mengerjakan sesuatu pekerjaan), maka bersusah payahlah (mengerjakan yang lain pula). Dan kepada Tuhanmu kamu berharap." - Surah al-Insyirah: 1-8

Gagal adalah sunah kehidupan. Yang lalu biarlah berlalu. Kita perlu pandang ke hadapan.

Ahli sukan yang bangga dengan kejayaan, jutawan yang megah dengan kekayaan dan ahli politik yang teruja dengan kekuasaan bersetuju bahawa seseorang yang gagal dalam cubaan pertama mesti belajar daripada kesilapan dan membaikinya!

Oleh: Dr Amaludin Ab. Rahman

Membina Sikap Positif

Petua 1 :Jangkakan Kejayaan Hukum Minda

Hukum minda mengatakan apa yang dijangkakan berkemungkinan besar akan berlaku. Oleh itu, daripada membuang masa menjangkakan kegagalan kenapa tidak jangkakan kejayaan. Sekiranya anda jangkakan kejayaan, fokus anda pastinya hanya kepada cara untuk berjaya.

Anda gambarkan hanya nikmat dan erti sebuah kejayaan, maka secara tidak langsung anda akan menggarap sikap positif.

Malangnya dalam kehidupan ini kita sering takutkan kegagalan. Cara fikir kita menjurus ke arah itu. Oleh itu yang tergambar dipemikiran kita hanyalah halangan dan rintangan serta kepayahan. Dalam memburu kejayaan anda tidak boleh putus harapan. HARAPAN adalah satu anugerah yang cukup besar Allah berikan kepada manusia.

Manusia biasanya membangun ketahap yang mereka jangkakan atau yang orang lain jangkakan terhadap mereka. Oleh itu jangkakan kejayaan dalam setiap usaha yang anda lakukan. Kalau anda perlu ubah perancangan untuk mencapai sasaran, maka ubahlah. Pastikan juga anda bertindakbalas secara positif terhadap perkara-perkara yang mungkin membantutkan kejayaan tersebut.

Lihat diri anda sebagai seseorang yang pasti merealisasikan harapan yang digenggam.

Apabila kita rasakan yang kita tidak punya masa depan, tiada harapan untuk maju, tiada peluang untuk meningkatkan keupayaan maka ia akan menjurus kita kepada satu sikap negatif iaitu sikap malas.

Petua 2 :Lakonkan Watak Orang Cemerlang

Tidak dapat dinafikan setiap manusia mempunyai kelemahan dan kekuatannya tersendiri. Sebab itulah untuk berjaya kita mesti mempunyai model ikutan (role model) yang boleh ditauladani.

Cuba lihat senario berikut, katakanlah anda sebagai seorang pelajar, telah dipilih untuk berlakun dalam sebuah filem tempatan. Kisahnya berkisar kehidupan pelajar-pelajar sekolah dan anda telah dipilih sebagai pelakun utama. Bayarannya cukup lumayan iaitu RM10,000 dan nama anda juga akan dikenali ramai setelah filem ini ditayangkan.

Anda dikehendaki melakunkan watak pelajar cemerlang. Syarat untuk anda kekal sebagai pelakun cuma dua iaitu, yang pertama anda mestilah menjaga disiplin dan masa anda. Maknanya, apabila pergambaran bermula jam 5 petang maka anda mesti berada dilokasi sebelum masa tersebut.

Yang keduanya pula, anda mesti menghayati watak pelajar cemerlang sepenuhnya. Sekiranya pengarah tidak berpuas hati dengan anda, dia akan gugurkan nama anda dari senarai pelakun pada bila-bila masa. Pengarah tidak risau sebab anda pelakun baru, satu ditolak berpuluh akan memohon untuk berlakun.

Kalau anda berada dalam situasi di atas, apa tindakan anda? Saya yakin anda akan mula meneliti dan memahami plot filem tersebut bersungguh-sungguh. Anda mula menghafal skrip yang diberikan ayat demi ayat biarpun ketebalannya mencecah ratusan muka surat.

Anda akan mula menjiwai dan menghayati watak pelajar cemerlang yang diberikan kepada anda. Anda akan tiru gaya, percakapan dan cara hidup mereka. Pendek kata anda mahu penonton lihat betapa realistiknya lakunan anda. Anda mahu dikenali selepas usaha anda ini. Anda mahukan ganjaran wang RM10,000 yang dijanjikan kepada anda.

Tidakkah anda terfikir betapa beruntungnya kalau anda lakunkan perkara yang serupa setiap hari dalam hidup anda. Kenapa mesti anda bersungguh-sungguh dalam lakunan filem? Tidakkah anda sedar bahawa kita semuanya pelakun di pentas dunia atau di pentas kehidupan.

Kenapa tidak lakunkan watak orang cemerlang itu hari ini. Anggapkan seolah-olah anda berhadapan dengan kamera. Kalau anda seorang pelajar, maka bertindaklah seperti pelajar cemerlang di sekolah anda sekarang! Sekiranya anda seorang pekerja, bertindaklah seolah-olah anda pekerja cemerlang sekarang!

Mula mengurus masa secara berkesan, menglibatkan diri secara aktif, berperibadi mulia seolah-olah anda sememangnya cemerlang. Lakukannya setiap hari dan hasilnya nanti anda akan perolehi apa yang diperolehi oleh pelajar cemerlang lainnya. Lebih malang lagi kalau anda tidak mahu menjadi pelakun itu hari ini maka Allah akan pilih orang lain untuk menggantikan tempat anda.

Orang lainlah nanti yang akan berjaya. Mereka akan jadi pemimpin, jurutera, ulamak, peguam dan sebagainya. Orang lain yang akan dikenali dan nama mereka disebut-sebut sebagai orang yang membawa perubahan dalam masyarakat. Orang lain yang akan memperolehi pendapatan bukan sekadar RM10,000 tetapi mungkin lebih tiap-tiap bulan.

Anda tidak punya pilihan lain. Untuk berjaya anda mesti mula berlakun hari ini. Hayati watak orang cemerlang. Berfikirlah, bercakaplah dan bertindaklah seperti mereka yang cemerlang. Lama kelamaan tabiat cemerlang akan sebati dengan kehidupan harian anda. Ia akan menjadi sikap baru anda.

Anda akan dapati mereka disekeliling anda menyedari yang anda kini bersikap positif. Setiap kebaikan yang bakal anda perolehi hasil lakunan positif anda ini membuatkan anda tidak mahu lagi kembali kepada sikap negatif anda sebelum ini. Anda mula memikirkan untuk hidup dalam kelompok dan persekitaran baru.

Apa anda tunggu lagi? Lakunkanlah watak orang cemerlang itu sekarang dengan memerhatikan model ikutan anda.

Petua 3 :Ubah Penampilan Diri

Sikap positif terserlah melalui penampilan diri yang positif. Kita mudah mengenali mereka yang bersikap positif melalui percakapannya, pakaiannya, rambutnya, kasutnya, gayanya dan sebagainya. tetapi kita lupa, sebenarnya kita mampu melakukan sebaliknya iaitu membina sikap positif melalui penampilan yang positif.

Ambil contoh yang paling mudah, anda telah dijemput ke satu majlis pelancaran oleh seorang rakan. Anda mengenakan baju biasa sahaja dengan berbaju kemeja lengan pendek dan berseluar kasual.

Sampai sahaja di sana, anda lihat hampir kesemua mereka yang hadir lengkap berbaju batik atau berkot dan bertali leher. Apa perasaan anda? Saya yakin walau bagaimana positif pun sikap anda, anda pasti rasa bersalah dan rendah diri. Berbeza pula bentuk perasaan anda sekiranya anda hadir dengan pakaian yang rapi, segak, kemas dan bergaya.

Anda pasti rasa penuh yakin dan positif. Begitulah besarnya pengaruh penampilan diri dalam membentuk sikap positif dan emosi anda. Cuba fikirkan sejenak bagaimana perasaan anda apabila anda mengenakan baju baru ke pejabat. Anda rasa lebih bersemangat dan yakin.

Kemas, bersih dan rapi tidak semestinya berjenama. Tidak salah mempunyai pakaian dan aksesori yang berjenama sekiranya anda mampu tetapi ia bukannya suatu kemestian. Jangan pula seperti kata pepatah ‘biar papa asal bergaya’.

Anda perlu ingat bahawa pelaburan yang telah anda buat dalam membentuk penampilan diri atau imej yang positif mestilah membawa pulangan yang setimpal atau berbaloi. Kalau anda melaburkan wang ringgit untuk membentuk imej diri semata-mata untuk bergaya dan menunjuk-nunjuk, maka pelaburan itu merugikan anda.

Pelaburan yang dibuat mestilah mampu menjadikan anda lebih positif dan produktif. Sebab itu ramai jurujual profesional mempunyai penampilan diri yang positif. Mereka dilatih untuk berkeadaan sedemikian. Mereka meraih keuntungan dan pendapatan dengan mempunyai penampilan positif. Mereka mempengaruhi pelanggan dengan penampilan diri begitu.

Beberapa perkara yang mesti diperhatikan dalam membentuk penampilan diri:

1. Potongan rambut – Potongan yang sesuai dengan peranan, kemas dan menarik.

2. Pilihan warna dan corak – Pilihan warna yang kena pada tempat dan masa serta ‘matching’.

3. Jenis pakaian – Sama ada batik, kasual, sukan, kot dan sebagainya.

4. Kemas dan rapi – Sentiasa digosok rapi.

5. Kasut – Kasut yang sesuai dengan tujuan kehadiran kita di satu-satu tempat.

6. Aksesori – Jam tangan, beg, gelang dan rantai (bagi wanita), haruman dan lain-lain.

7. Jenama – Bukan perkara utama tetapi digalakkan bagi yang mampu.

8. Kesihatan diri – Keceriaan wajah, kelihatan sihat, kuku, kulit dan sebagainya.

9. Gaya – Cara berjalan, bercakap, ketawa dan mimik muka.

10. Senyum – Rahsia utama penampilan diri ialah senyuman yang terukir.

Tuntutan penampilan diri ini berbeza-beza mengikut kedudukan anda dalam masyarakat dan karier yang anda ceburi. Walau siapa anda, sama ada sedar atau tidak anda tetap dinilai oleh manusia lain melalui penampilan diri. Sebab itu permohonan untuk ke satu-satu pekerjaan perlu melalui proses temuduga.

Mereka mahu melihat calon-calon secara terus bukan sekadar untuk menguji kebijaksanaan seseorang pemohon tetapi juga untuk melihat penampilan diri yang melambangkan sikap dan peribadi seseorang. Penampilan diri positif perlu dipatuhi oleh semua golongan masyarakat termasuk pelajar, ibu bapa, pekerja, eksekutif, pemimpin dan sebagainya.

Petua 4 : Berkawan Dengan Orang Berjaya

Rasulullah s.a.w sendiri pernah bersabda, “kalau mahu kenal seseorang itu maka kenallah kawan-kawannya”.

Oleh itu sekiranya anda memilih kawan yang positif, bergaul dengan mereka yang berjaya, banyak berbincang tentang apa yang mahu dicapai dimasa hadapan; pastinya ia akan mempengaruhi pemikiran dan tindakan harian anda. Pastinya anda turut terdorong untuk mencapai kejayaan dalam hidup anda pula. Mereka yang gagal hanya akan mampu menceritakan kisah-kisah kegagalan mereka sedang mereka yang berjaya pula akan menceritakan kisah-kisah kejayaan mereka.

Untuk berjaya anda perlu berkawan dengan mereka yang telah berjaya.

Belajar dari pengalaman dan pengetahuan mereka. Belajar tentang cara mereka membentuk personaliti dikalangan masyarakat. Orang yang berjaya selalunya mempunyai personaliti dan karisma yang mengkagumkan. Personaliti dan karisma ini bukannya semula jadi sebaliknya mereka berusaha membinanya. Kalau mereka boleh, anda juga boleh melakukannya.

Petua 5 :Dalami Ilmu Kecemerlangan

Semangat ada ketikanya naik dan ada ketikanya luntur. Ada ketikanya kita terlupa tentang matlamat yang dikejar disebabkan oleh pelbagai urusan dan aktiviti lain. Ada ketikanya juga diri terasa malas dan bosan. Semuanya ini adalah lumrah hidup seorang manusia. Untuk mengekalkan semangat dan membina sikap positif maka anda perlulah sentiasa mendalami ilmu kecemerlangan diri.

Anda boleh mendalaminya dengan banyak membaca buku-buku motivasi, berbincang dengan rakan-rakan tentang perancangan anda, menghadiri program dan ceramah motivasi. Anda juga perlu mendengar kaset-kaset motivasi dan mendapatkan bahan-bahan daripada internet. Semakin bertambahnya ilmu kecemerlangan diri didada maka semakin positif dan matang fikiran anda.

Petua 6 : Fokus Kepada Apa Yang Anda Mahukan

Anda sering mendengar bahawa sikap positif lahir dari pemikiran yang positif. Namun begitu fahamkah anda apa yang dikatakan fikir positif itu? Dalam hidup kita, kita hanya akan bertindak dan berusaha mengejar apa yang ada dalam fikiran kita. Iaitu apa yang terlintas, ternampak dan tergambar di fikiran.

Sebagai contoh mari kita lakukan aktiviti yang cukup mudah. Keluarkan sehelai kertas sekarang dan lakarkan suasana di sebuah pantai yang indah permai. Ambillah masa lebih kurang 5 minit untuk anda menyiapkan lukisan ini. Jangan pedulikan sama ada lakaran itu cantik atau tidak, lakarkan sahaja apa yang tergambar di fikiran anda tentang suasana di pantai.

Baik sekarang saya tanya anda, ada atau tidak lakaran kapalterbang di dalam lukisan itu? Ada atau tidak jeti dari tepi pantai sampai ke tengah laut? Ada atau tidak budak menjual air? Kalau tiada maka kenapa begitu? Jawapannya sebab anda tidak terfikir tentangnya. Atau lebih tepat lagi anda tidak langsung tergambar tentangnya. Oleh itu bolehlah dibuat kesimpulan bahawa kalau kita tidak tergambar akan sesuatu maka kita tidak mungkin dapat menghasilkannya.

Begitulah dari aspek kecemerlangan diri, untuk anda menjadi orang berjaya anda mesti gambarkan diri anda seorang yang berjaya. Anda mesti mampu melihat apa yang mahu dilakukan mulai hari ini untuk menjadi orang berjaya.

Fikirkan pula, positifkah anda apabila anda berkata:

- Mulai hari ini aku tidak malas lagi.

-Mulai hari ini aku tidak mahu tinggal solat lagi.

- Aku tidak mahu lawan cakap suami lagi.

Positifkah anda? Jawapannya ialah tidak! Hasrat anda memang baik tetapi fikiran anda negatif sebab anda fokus kepada apa yang anda tidak mahu. Anda tergambar bagaimana anda main-main dalam pekerjaan. Anda terbayang bagaimana anda melawan cakap suami, ibu bapa, ketua dan sebagainya. Kalaulah ini yang tergambar maka inilah juga yang akan terhasil! Anda menghasilkan sesuatu yang negatif sedangkan hasrat anda baik.

Oleh sebab itu anda perlu ubah gambaran minda anda kepada gambaran yang positif dengan mengubah ucapan anda seperti berikut:

- Mulai hari ini aku seorang yang rajin.

- Mulai hari ini aku solat lima waktu.

- Aku akan tumpu pada guru dalam kelas.

- Aku ikut cakap ibu bapa.

Lihat, kata-kata di atas membawa maksud yang sama tetapi dari sudut yang positif. Maka yang tergambar juga adalah gambaran yang positif. Kalau yang positif anda nampak maka positiflah juga tindakannya nanti. Memanglah anda mungkin tidak berubah dengan hanya sekali, dua kali atau sepuluh kali berkata-kata secara positif. Tetapi kalau setiap hari dan beratus-ratus kali anda amalkan dalam hidup anda maka satu hari nanti tanpa anda sedari anda menjadi orang yang positif. Oleh itu ingatlah… fokus kepada apa yang anda mahukan!

Petua 7 : Kejayaan Silam Membarai Diri

Dalam hidup kita ini pasti ada sekali dua kita mencipta kejayaan sama ada kecil atau besar. Waktu kecil dulu mungkin kita pernah tewaskan rakan-rakan dalam suatu permainan dan kita berbangga dengannya. Mungkin juga kita pernah dulunya dipuji atas pencapaiaan, kualiti kerja atau kerajinan kita. Mungkin kita pernah menerima anugerah sebagai pemenang dalam apa jua pertandingan.

Mulai hari ini cuba ingatkan kembali sebanyak mungkin kenangan manis ini dan senaraikan dalam diari anda. Setiap kali anda rasa tertekan, negatif, malas, bosan dan sebagainya maka bacalah diari anda ini dan hayati semula saat-saat tersebut. Gambarkan dengan jelas apa yang berlaku ketika itu. Rasakan apa yang anda rasakan ketika itu. Semangat anda akan membara sekiranya anda lakukannya bersungguh-sungguh. Semangat untuk kekal cemerlang ini akan menjana sikap yang positif.

Tidak kira betapa gagalnya anda rasa hidup ini namun pasti pernah sekurang-kuangnya sekali anda pernah dipuji atas kebaikan dan kejayaan silam.

Lakukan perkara berikut, sediakan satu buku kecil dan senaraikan semua kejayaan anda sejak dari dahulu hingga ke hari ini, sama ada kecil atau besar. Kemudian baca dan hayati apa yang anda tulis itu satu persatu, gambarkan keadaan ketika itu, rasakan perasaan anda ketika itu dan dengar apa yang anda dengar ketika itu. Lakukannya dengan penuh kesungguhan dan rasakan satu getaran perasaan yang positif yang mengalir dalam setiap urat nadi anda. Sentiasa kemas kini buku kecil anda ini dengan kejayaan-kejayaan baru. Ia adalah sumber tenaga dan kekuatan anda.

Anda mungkin tidak mengingati kesemuanya, tidak mengapa, ambil masa anda. Anda boleh tambah senarai kejayaan anda pada bila-bila masa sahaja.

Satu tabiat yang baik, mulai hari ini rakamkan setiap peristiwa penting dalam hidup anda sama ada melalui gambar atau rakaman video.

Setiap kali anda rasa tertekan, anda rasa tidak dihargai, anda rasa putus asa – lihat kembali buku kecil dan rakaman anda ini

Petua 8 : Saranan Diri Positif

Untuk kekal dalam sikap positif anda perlu saran diri anda dengan katajaya yang merangsang jiwa dan fikiran.

Anda juga boleh gunakan petikan mutiara kata daripada ahli ilmu, petikan al-quran serta hadith. Dengan melazimkan hidup anda berpandukan katajaya dan petikan-petikan ini maka ia memberi anda kekuatan untuk menyahut cabaran dan mengatasi segala masalah. Anda juga boleh cipta sendiri katajaya itu, misalnya:

“Kalau orang lain boleh.. Aku juga BOLEH!”

“Setiap kata-kata pasti akan dikota!”

“I’m the best!”

“I can do it!”

Jadikan kata-kata ini sebagai sebahagian dari hidup anda. Saran diri anda setiap hari dengan kata-kata ini hingga ia lazim dalam minda anda.

5 Etika Mengkritik

Jika anda berasa kurang senang terhadap seseorang dan ingin memberitahunya, elakkan dari bersikap melulu/terburu-buru. Kenali dahulu 5 etika mengkritik agar kritikan itu dapat diterima secara positif. Kata orang, nak komen pun biar kena caranya. Barulah orang tak sakit hati.

5 ETIKA MENGKRITIK

1. Jangan sesekali mengkritik di depan orang lain. Tindakan anda akan memalukan dirinya, dan dianggap tidak profesional, malah ini boleh mengundang rasa tidak puas hati orang lain terhadap anda juga.

2. Cuba mulakan teguran anda dengan pujian atau kata-kata yang membina dahulu.

3. Ciptakan suasana ‘bersahabat’ sebelum anda memulakan ’serangan’.

4. Kritik hanya pada tindakan/perbuatan/perangai, bukan orangnya.

5. Ikhlas ketika mengkritik. Bukan untuk menunjukkan kuasa atau siapa lebih pandai.

Amalkan budaya nasihat

Dalam menempuh kehidupan seharian, kita tidak boleh lari daripada melakukan kesilapan. Pelbagai faktor boleh dikaitkan dalam melakukan kesilapan, mungkin kerana lupa, terlepas pandang, tidak disengajakan atau tidak mendapat maklumat yang cukup.

Oleh itu, amalan nasihat menasihati dalam kehidupan merupakan salah satu cara untuk mewujudkan keharmonian hidup. Rasulullah s.a.w menegaskan dalam sabdanya yang bermaksud: 'Agama Islam itu nasihat. Kami berkata bagi siapa wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Bagi Allah dan kitabNya (al-Quran) dan Rasul-Nya (Sunah-Nya ) dan bagi para Imam (ketua kaum Muslim), serta bagi orang ramai' - hadis riwayat Muslim.

Dalam konteks yang lebih besar, amalan nasihat menasihati merupakan tanggungjawab seorang Muslim terhadap yang lain. Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: 'Hak dan tanggungjawab seorang Muslim terhadap seorang Muslim yang lain ada enam. Jika anda bertemu maka ucapkanlah salam kepadanya dan jika anda dijemput maka hendaklah memperkenankannya, dan jika dia meminta nasihat maka nasihatilah dia dan jika dia bersin dan mengucapkan alhamdulillah maka doakanlah dia semoga dia dirahmati Allah dan jika dia sakit maka ziarahilah dan jika dia mati maka iringilah jenazahnya hingga ke kubur' - hadis riwayat Muslim. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: 'Tugas Aku (Nuh) menyampaikan kepada kamu perintah-perintah kamu, sedang aku mengetahui melalui wahyu dari Allah akan apa yang kamu tidak mengetahui' - surah al-A'raf:62.

Amalan hidup nasihat menasihati merupakan tuntutan dan beberapa perkara berkaitan perlu diberi perhatian. Dalam memberi dan menerima nasihat, kita perlulah bersifat positif, tidak terburu-buru, tidak buruk sangka, sentiasa menyelidik dan mengelakkan diri daripada sifat dendam. Allah s.w.t mengingati dengan firmannya yang bermaksud: 'Wahai orang yang beriman, jauhilah kebanyakan sangkaan, sesungguhnya sebahagian sangkaan itu dusta' - surah al-Hujurat :12. Talhah bin Abdul Rahman bin Auf, seorang dermawan Quraisy ditegur oleh isterinya yang berkata: "Saya belum pernah jumpa teman-teman seburuk teman-temanmu.

"Kalau kita senang, semua datang menemui, sekarang bila kita susah, tiada pun mereka datang menemui kita." Jawab suaminya: "Sifat inilah yang patut dipuji, sebab mereka tidak menyusahkan kita."

Seorang ibu bapa tidak boleh tidak untuk sentiasa memberi nasihat kepada anak-anaknya. Ini merupakan satu kewajipan yang perlu dipikul dalam mendidik anak-anak. Namun apa yang tidak disukai oleh anak-anak adalah amalan sikap suka meleter yang tidak bertempat. Amalkan sikap menjadi pendengar yang teliti dan aktif. Hidupkan suasana dan naluri bertanya (dua hala) dan elakkan mencari kesalahan serta carilah perkara yang baik dan positif.

Dalam keadaan tertentu, bukan semua orang suka mendengar nasihat. Namun sifat yang baik apabila diberi nasihat, cubalah jadikan diri sebagai orang positif dalam menerima nasihat. Dalam nasihat, ada terkandung alternatif yang perlu dipilih untuk menyelesaikan permasalahan yang timbul. Apa yang penting dalam amalan nasihat menasihati ialah semangat dan amalan silaturahim hendaklah terus terjalin.

Jangan jadikan nasihat sebagai satu kritikan yang boleh menyakiti hati dan perasaan yang boleh memutuskan hubungan silaturahim. Allah s.w.t mengingatkan kita dalam firmannya yang bermaksud: 'Berpegang teguhlah kamu semua dengan tali (agama Islam) Allah dan jangan kamu bercerai berai.' - surah al-Imran:103.

~ Kosmo!

Iktibar dari sebiji kacang hijau

Pohon beringin yang besar itu asalnya dari satu biji yang kecil dan burung yang besar terbang di udara itu asalnya dari sebutir telur”

Orang yang tidak berbuat apa-apa boleh berkata apa-apa sahaja. Dia nampak orang berniaga kecil-kecilan, dia kata, “Buat apalah berniaga tepi jalan, bila nak kaya?”
Dia lihat orang berlatih sukan, dia kata, “Setakat jaguh kampung bolehlah.” Dia terserempak dengan orang yang menulis buku, dia kata, “Setakat buku picisan macam ni aku pun boleh buat.”

Hakikatnya dia tidak pernah berbuat apa-apa. Maka itu dia bebas berkata apa-apa sahaja. Jika dia berbuat perkara yang sama, dia akan berfikir banyak kali sebelum memberikan komen. Dia tahu jerih-perihnya untuk membina gerai di tepi jalan, berhadapan dengan cabaran pelanggan dan penguatkuasaan, komennya mungkin bukan bersikap komplen.

Jika dia pernah berlatih untuk memenangi sesuatu pertandingan sukan, dia akan tahu betapa pentingnya sesuatu kemenangan itu, biarpun tarafnya setakat jaguh kampung, ia tetap penting untuk kemenangan-kemenangan yang lebih besar. Dia tidak pernah memiliki kesungguhan seperti itu, maka dia bebas berkata apa-apa sahaja.
Kalau tahu sukar dan sulitnya menulis buku, dia tidak mudah memperlekeh karya orang lain. Sebaris ayat pun tidak pernah dihasilkannya, tentulah dia boleh berkata apa-apa sahaja.

Orang begini pastinya tidak akan ke mana-mana. Dia akan statik pada kedudukannya sebagai pemerhati dan pengkritik. Ramai sungguh orang yang menjadi penganalisa tidak bertauliah. Cakapnya pandai, hujahnya kadang-kadang bernas juga tetapi suatu apa pun tidak pernah terhasil olehnya.

Kena lihat setiap sesuatu yang besar itu bermula daripada sesuatu yang kecil. Setiap yang lahir terus gagah, biasanya tidak bertahan lama. Gedung perniagaan yang gagah di bandar raya asalnya satu perniagaan kecil. Kebanyakan orang kaya asalnya orang biasa. Pemimpin asalnya rakyat biasa. Seekor ayam asalnya sebutir telur. Seekor burung yang terbang tinggi di angkasa asalnya kecil, lemah dan tanpa sayap. Setiap hari ibu burung akan mencarikan makanan untuknya dan memasukkan makanan itu ke dalam mulutnya. Tiada seekor burung pun tiba-tiba lahir dan terus boleh terbang.

Orang yang tidak berbuat apa-apa memang boleh berkata apa-apa sahaja. Bercakap itu mudah maka itu ramai orang melakukannya. Apabila tiba masa untuk berbuat, selalu menyerah sebelum mencuba.

Istimewanya mereka hanya pada, “Eleh, setakat macam tu, aku pun boleh,” namun dia tidak pernah melakukannya.

Itulah pelik dan anehnya sesetengah manusia.

Jika tidak pernah memegang berus cat, mudah saja mengatakan kerja mengecat itu senang dan boleh dilakukan oleh semua orang. Setelah benar-benar mengecat baru tahu sakit dan letihnya.

Menonton perlawanan bola sepak selalu menjadi juara jerit tetapi apabila disuruh bermain ternyata kaki bangku. Menonton orang menyanyi memang mudah mengatakan itu ini, begitu begini, tetapi apabila disuruh menyanyi tidak pula boleh mengotakan apa yang dikata. Memang, orang yang tidak berbuat apa-apa boleh berkata apa-apa.

“Doktor, tolong saya. Sebiji kacang hijau masuk ke telinga saya,” kata seorang pesakit.

“Wah, ini sukar sekali. Perlu teliti mengeluarkannya, kalau tidak dalaman telinga awak boleh cedera.”

“Apa susahnya doktor, sebiji kacang hijau je.”

“Kalau begitu, awak masukkan air ke telinga, tunggu hingga ia tumbuh menjadi taugeh, senanglah awak cabut.”

Orang yang tidak tahu apa-apa memang boleh berkata apa-apa sahaja.

Oleh Dr. H.M.Tuah

Petua lebih ceria walaupun jiwa bergelora

Pernahkah anda rasa terlalu tertekan atau rendah diri apabila dimarahi ketua juga marah apabila disisihkan rakan sepejabat?

Sekiranya anda seorang pelajar, barangkali rasa malu menyelinap diri apabila dileter guru.

Si peniaga pula mungkin kurang bersemangat apabila perniagaan merudum atau rakan sekerja kurang memberikan kerjasama hingga menyebabkan pelbagai masalah lain melanda.

Ketika berdepan situasi sedemikian, apa perlu dilakukan?

Cuba ubah sikap supaya diri lebih bersemangat, ceria lagi bertenaga. Berikut mungkin petua yang boleh digunakan bagi menjadikan diri lebih gembira dan ceria walau di mana jua berada, di samping terpaksa menonjolkan sikap selamba walaupun di hati sedang ‘bergelora’.

# Niat di hati. Katakan pada diri sendiri, “Aku mahu jadi ceria, aku memang seorang yang bersemangat!”

# Ubah pernafasan. Tarik nafas dalam-dalam, tahan dalam kiraan tujuh saat, kemudian hembus perlahan-lahan dalam kiraan tujuh saat.

Lakukan ketika berdiri. Ulang lima hingga tujuh kali untuk kesan maksimum.

# Ubah postur badan dan gaya berjalan. Tegakkan badan, jangan bongkok dan melangkah dengan penuh keyakinan, biar nampak bertenaga.

# Menyanyi kecil. Menyanyi boleh mengubah diri kita terutama lagu yang disukai. Elak menyanyi lagu sedih sebab ia mengubah suasana dan peribadi diri yang boleh menyebabkan diri bertukar sedih. Jangan terlalu mengikut perasaan.

# Banyakkan istighfar dan zikir. Apabila berada dalam keadaan tertekan yang keterlaluan, tentu ada rasa marah kecil di dalam hati kerana tidak puas hati lalu emosi menjadi bercelaru dan kurang bersemangat.

Untuk menghilangkan marah, cuci hati dengan beristighfar. Lebih berkesan lagi jika sebelum itu, anda mengambil wuduk.

Istighfar sebanyak mungkin, sehingga kesannya meresap masuk ke sanubari sejauh yang mungkin, semakin dalam sehingga diri benar-benar terasa damai.

Selepas itu, bersyukur atas apa yang diperolehi pada hari dan saat itu. Misalnya, bersyukur kerana mempunyai kerja untuk mencari rezeki, punya pendapatan di akhir bulan dan seumpamanya.

Amalan sentiasa bersyukur mengubah jiwa menjadi lebih tenang lantas menjadi lebih bersemangat.

Petua berikut boleh digunakan untuk memotivasikan diri:

1. Ucapkan kata positif supaya ia menerbitkan getaran positif dari minda. Jika boleh, beri semangat pada diri setiap pagi, setiap hari dan setiap saat kita bernafas.

2. Baca artikel motivasi pendek yang merangsang pemikiran supaya gelombang minda bertukar menjadi lebih positif.

Dengar ceramah motivasi menggunakan alat MP3, telefon bimbit dan seumpamanya. Pada waktu pagi, lazimnya banyak gelombang negatif yang bersimpang-siur daripada orang keliling.

Keadaan jalan yang sesak, berita keganasan dan cerita politik banyak menerbitkan getaran negatif yang sangat kuat.

3. Saat menyedari diri mula berfikiran negatif, latih diri untuk beristighfar kerana ia dapat mencuci kekotoran yang terbit dari dalam hati.

Perkataan yang dibaca, dilihat dan didengar menerbitkan getaran tenaga minda yang berbeza.

4. Apabila perkataan negatif, tenaga yang terbit juga menjadi negatif. Kemudian ia mempengaruhi diri supaya bertukar menjadi negatif. Kesannya, motivasi diri menurun, tidak bersemangat, lemah, longlai, malas, asyik bertangguh bahkan lebih buruk, kurang inspirasi untuk meneruskan hidup.

5. Hanya ada satu jenis gelombang menguasai minda sama ada positif atau negatif. Perkataan yang dibaca, diucap dan didengari mempengaruhi gelombang minda ini.

Jadi, untuk memastikan diri sentiasa bersemangat dan bermotivasi, dekatkan diri dengan perkataan positif dan baik, sekerap mungkin. Ini bagi membolehkan tenaga yang terbit adalah positif dan kesannya, diri menjadi positif sepanjang hari.

Maafkanlah, Walau Sebesar Mana Salahnya

Mudahkan memaafkan seseorang?

Susah. Anda susah nak memaafkan seseorang kerana Anda di dorong oleh ego. Ego di pula di api-apikan oleh nafsu. Nafsu pula di api-apikan oleh bisikan syaitan. Syaitan ni musuh khalifah Allah yang paling nyata.

Jika Anda mendahulukan Tuhan dalam apa jua yang Anda lakukan, pasti Anda berani memaafkan, walau sebesar manapun kesalahan seseorang pada Anda. Tak ada guna menyimpan dendam pada sesuatu yang sudah berlaku di masa lalu.

Dendam dan sakit hati menghalang Anda dari maju. Sekuat manapun usaha Anda, jika masih ada dua perasaan ni (dendam dan sakit hati) kemajuan yang Anda capai tak akan berkembang.

Dendam menyemarakkan ego kita, sebab Anda tak akan puas hati selagi orang tu tak lutut meminta maaf pada Anda atau selagi orang tu tak susah hidupnya.

Apabila Anda berbuat kesusahan pada seseorang, maka akibatnya Anda akan dibalas kesusahan, bahkan mungkin kesusahan lebih berat hingga Anda merasa sungguh menyesal.

5 Jenis Orang Anda Akan Jumpa Dalam Proses Menuju Kejayaan

Masa berubah. Anda juga kena berubah seiring perubahan masa. Ilmu kena ditambah, usaha kena ditambah,barulah boleh mencapai tahap lebih baik dari yang sebelumnya. Jika kita tidak berubah, pasti kita tidak mencapai apa-apa. Sebabnya, kita tidak berubah.

Berusaha memperbaiki diri itu juga perubahan. Bila Anda tidak berubah, maknanya Anda tidak berusaha mengubah diri Anda.

Orang yang tidak mahu memperbaiki diri ada di mana-mana. Anda boleh kenali orang sebegini melalui dua cara:

1. Mereka suka mengkondem orang lain.

2. Mereka berusaha menjatuhkan orang lain yang sudah berjaya.

3. Mereka memburuk-burukkan orang yang bersemangat mahu berjaya.

Berikut adalah 5 jenis orang yang Anda akan jumpa dalam proses memburu kejayaan.

1.Orang tidak mahu berjaya, cukuplah sekadar biasa-biasa saja.

2.Orang mahu berjaya, tapi pernah gagal lalu jadi memandang negatif terhadap kejayaan. Inilah orang skeptik.

3.Orang yang sentiasa berfikir pasal kejayaan, tapi usahanya sedikit cuma.

4.Orang yang banyak usaha ke arah kejayaan, lepas satu diusahakan, dia usahakan lagi satu. Belum lagi mencapai kejayaan dari usaha yang dulu, dia sudah mula mengusahakan perkara baru. Tak ada fokus. Mahu mencapai berbagai kejayaan dalam satu masa. Main lompat-lompat. Akibatnya fokus lari, hasil tak nampak-nampak lagi. Duit dan tenaga habis gitu saja.

5. Orang bersemangat dan memberi komitmen tinggi pada apa yang diusahakan, tidak merubah fokus selagi belum benar-benar berjaya dalam perkara yang diusahakan olehnya. Inilah sikap orang berjaya!

Bagaimana Untuk Rasa Gembira Sekarang Ini

Rasa gembira (happiness) adalah satu ‘feeling’.

Rasa gembira adalah satu perasaan. Perasaan ini boleh dihadirkan, dipadamkan atau ditukarkan dengan perasaan lain, mungkin juga perasaan yang berlawanan dengannya.

Seperti yang Anda tahu, lawan pada rasa gembira adalah duka, kecewa. Lawan paling mudah simply adalah rasa tidak gembira (unhappy).

Berikut adalah 5 tips bagaimana untuk merasa gembira (merasai kegembiraan di jiwa)

Tips 1: Cari seseorang, bantu dia ringankan bebannya.

Bantu seseorang di mana masalahnya lebih teruk dari Anda. Secara tidak semena-mena, Anda akan merasa bersyukur masalah Anda tidak seteruk masalah orang yang Anda bantu. Dari situ, muncul kegembiraan. Anda merasa makin bersemangat membantu orang itu, sebab Anda mahu melihat dia gembira kerana bila dia gembira, Anda pun akan rasa gembira sama.

Tips 2: Bantu saja, sekadar menolong tanpa mengharap apa-apa.

Dalam era sekarang ni, jika Anda membantu sesiapa saja tanpa mengharap apa-apa, pasti orang tu tertanya-tanya. Pasti dia merasa mesti ada niat lain disebalik pertolongan Anda itu. Untuk merasa gembira, tolong seseorang dengan melakukan apa yang patut. Tolong saja dia! Buat apa yang perlu, lakukan apa yang patut. Elak untuk kata pertolongan Anda tu ikhlas, katakan Anda cuma mahu menolong.

Perkataan ‘ikhlas’ perlu Anda ubah, sebab perkataan ini selalu di salah erti.

Tips 3: Mengingati orang-orang kesayangan Anda.

Ingati orang-orang kesayangan Anda, gambarkan diri mereka sepanjang masa seolah-olah mereka ada dekat di sisi Anda sekarang ni. Imaginasikan saat ketika Anda bersama mereka satu ketika dulu atau di masa lalu.

Membayangakan situasi gembira sebegitu pasti membuat Anda merasa gembira tiba-tiba. Kenapa ini terjadi? Minda Anda memberi respon pada imaginasi Anda, pastu imaginasi mempengaruhi mood Anda. Mood adalah emosi. Emosi datang dari minda. Anda boleh mempengaruhi simply dengan menggunakan imaginasi digabung dengan emosi tenang (calm).

Tips 4: Hobi.

Bina satu hobi. Hobi adalah perkara yang Anda suka lakukan tanpa disuruh-suruh. Pasti Anda ada hobi. Saat Anda tertekan, merasa geram, susah hati atau gundah-gulana, luangkan masa melakukan hobi Anda. Jika hobi Anda membaca, cari sebuah buku dan baca. Anda akan rasa gembira selepas tu! Hobi mengalihkan fokus fikiran Anda dari fikiran bercelaru kepada fikiran yang tenang saat Anda enjoy melakukan hobi Anda. Kenapa ramai orang suka memancing? Sebab ketika memancing, mereka merasa tenang. Bila ikan menjerat umpan, rasa seronok sangat. Lantas, rasa gembira itu muncul.

Tips 5: Hampirkan diri pada Tuhan,sehampir mungkin.

Walau apapun agama Anda, saya dan Anda makhluk bertuhan. Pembaca iMotivasi bukan saja beragama Islam, bahkan ada beragama Buddha,Kristian dan Hindu sebab kita ini warga Malaysia. Rasa gembira ada di dalam ketenangan. Ketenangan hanya wujud apabila kita menghampirkan diri pada alam semesta dan juga pada Tuhan. Dekatkan diri pada Tuhan, dari situ Anda akan merasai ketenangan. Apabila sudah tenang, Anda akan merasa gembira dan bersyukur. Syaratnya, elak berkata negatif, berfikir negatif dan jangan sesakkan fikiran dengan rasa kemarahan.

3 Sebab Kenapa Azam 2010 Gagal Dicapai

Berikut adalah 3 sebab utama kenapa azam 2010 Anda gagal dicapai.

1. Anda Didepani Masalah.

Anda berdepan masalah dari berbagai arah misalnya masalah kewangan (duit asyik tak cukup), masalah perhubungan dengan kawan-kawan (tak ngam tune), kesibukan di tempat kerja, kesibukan mengurus keluarga, strategi Anda tidak mendatangkan hasil seberapa, usaha menemui kegagalan.

2. Anda Malas Lalu Hilang Semangat.

Ada sesetengah orang meletak azam mahu memiliki sesuatu seperti kereta baru, rumah baru, kerjaya baru, gaji baru, sumber pendapatan baru, bini baru (opss!). Untuk mendapatkan sesuatu, dah menjadi lumrah dunia Anda akan melalui kesusahan terlebih dahulu. Setelah berdepan kesusahan serta bermacam rupa masalah, tiba-tiba Anda rasa malas, tertekan dan hilang semangat. Akhirnya Anda berhenti berusaha. Azam cuma tinggal azam. Sekadar bermain di fikiran.

3. Anda Tidak Ada Mentor Atau Sumber Ilham


Kata orang-orang berjaya kata, apa saja yang Anda lakukan, perlu didahulukan dengan dua perkara iaitu ILMU dan MINDA. Bila ilmu Anda sudah ada, minda anda sudah positif, Anda perlu perkara ketiga iaitu seorang sebagai SUMBER ILHAM atau seseorang yang memahami azam Anda.

Orang inilah yang akan memberi semangat buat Anda, memberi sokongan serta dorongan. Dia adalah isteri Anda, kekasih Anda, ibu dan bapa, adik beradik, mungkin juga kawan rapat. Anda tidak boleh berseorangan. Anda perlukan seseorang untuk menjadi ‘booster’ semangat Anda.

Walau apapun azam Anda untuk tahun 2010, pastikan Anda tulis dan baca setiap hari untuk membuat minda Anda terfokus ke arah azam itu, bukannya kepada perkara-perkara lain. Minda Anda akan menarik orang-orang tertentu, situasi, benda dan perkara ke dalam hidup anda untuk membantu Anda mencapai cita-cita Anda, walau apapun ia.

5 Tips Bagaimana Menjaga Fikiran Positif Setiap Hari

Berikut adalah 5 tips bagaimana untuk menjaga fikiran positif,untuk di amalkan setiap hari.

1. Jangan Komen, Jangan Komplen, Jangan Ngomel.

Mengomen dan mengomplen adalah perbuatan buruk kerana Anda menyatakan rasa tidak puas hati terhadap sesuatu. Apabila situasi berlaku di luar jangkaan atau masalah timbul tanpa disangka, jangan komen, jangan komplen, jangan mengomel sampai ke laut. Biarkan ia seadanya, biarkan begitu saja. Dah kita tak boleh nak buat apa untuk mengubahnya. Latih diri Anda untuk tidak mempersoalkan. Just let it be, as the way it is!. Untuk menjaga fikiran positif, jangan komen,jangan komplen,jangan ngomel.

2. Berhenti Bercakap Seolah-olah Anda Tahu.

Cakap hanya apabila Anda tahu, diam apabila Anda tidak tahu, seperti kami pernah ulang di artikel-artikel lalu. Elak banyak bercakap seolah-olah Anda banyak tahu untuk membuat diri Anda menonjol, nampak hebat gitu. Hanya orang dengan harga diri rendah mahu membuat dirinya menonjol sebab mereka kurang ada kredibiliti. Banyak bercakap kelebihan diri sendiri adalah sikap negatif, berpunca dari fikiran negatif, diapikan oleh ego. Hentikan, supaya Anda dapat ‘maintain’ berfikiran positif. Bila bercakap, lebihkan menyokong, elak mengkondem!

3. Berhenti Salahkan Luaran, Salahkanlah Dalaman.

Berhenti salahkan seseorang, salahkan Tuhan, salahkan pemimpin, salahkan kawan, salahkan adik-beradik atau apa saja di luar diri Anda. Berhenti menyalahkan atau menuding jari pada orang lain atas apa yang berlaku. Tips ini berkait dengan tips pertama tadi. Berhenti mengomen, berhenti mengomplen, berhenti menyalahkan. Salahkan dalaman iaitu diri Anda sendiri kerana tidak berinisiatif memfokus kepada penyelesaian. Salahkan diri Anda kerana tidak memainkan peranan.

Sebagai contoh, jika Anda dilanda masalah kewangan, salahkan diri sendiri kerana tidak bekerja kuat dan tidak bekerja dengan lebih bijak. Jika Anda wanita dan Anda perasan suami Anda tidak melayan Anda berbeza dari dulu, salahkan diri sendiri kerana tidak menjaga kecantikan dan tidak mengambil inisittif mencantikkan lagi kecantikan sedia ada, untuk senangkan hati suami Anda.

4. Jangan Hanya Mahu Dihormati Oleh Semua, Tapi hormatilah Semua, Walau Siapapun Dia!.

Orang berfikiran negatif hanya mahu dihormati. Orang berfikiran positif hormat semua orang dan sikap hormat itu tidak dilakonkan, ia lahir dari hati. Setiap orang disekeliling dihormati tanpa mengira jawatan, harta dan darjat, walau orang tu makcik cleaner sahaja. Orang berfikiran negatif hanya mahu dihormati sebab mereka dikuasai ego. Untuk menjaga fikiran positif, belajarlah menghormati sesiapa saja. Anda akan perasan Anda makin bersemangat untuk maju ke depan.

5. Ingat Sikap-sikap Buruk Anda, Tekadlah Mengubahnya.

Jika sikap buruk Anda adalah suka bertangguh, tulis di atas kertas dengan ayat “aku mahu ubah sikap bertangguh”. Baca tulisan tu berpuluh-puluh kali sehari. Lepas tu, buat apa yang Anda tulis.

Tiap kali rasa nak bertangguh, latih diri untuk tidak bertangguh. Seboleh mungkin, elak bertangguh, sebagai langkah Anda komited nak mengubah sikap suka bertangguh.

Untuk membina sikap positif, fikiran Anda kena sama dengan perbuatan dan percakapan Anda. Fikiran kena sentiasa bersangka baik, perbuatan kena dibentuk supaya menjadi baik-baik, perkataan di mulut pun kena baik. Barulah Anda dapat menjaga fikiran positif yang Anda dah bina.

HATI KITA MATI

Menurut Syeikh Ibrahim Adham, antara sebab atau tanda-tanda hati mati ialah :

~Mengaku kenal Allah swt, tetapi tidak menunaikan hak-hak-Nya

~ Mengaku cinta kepada Rasulullah saw, tetapi mengabaikan sunnah baginda

~Membaca al-Quran, tetapi tidak beramal dengan hukum-hukum di dalamnya

~Memakan nikmat-nikmat Allah swt, tetapi tidak mensyukuri atas pemberian-Nya

~ Mengaku syaitan itu musuh, tetapi tidak berjuang menentangnya

~Mengaku adanya nikmat syurga, tetapi tidak beramal untuk mendapatkannya

~Mengaku adanya siksa neraka, tetapi tidak berusaha untuk menjauhinya

~Mengaku kematian pasti tiba bagi setiap jiwa, tetapi masih tidak bersedia untuknya

~Menyibukkan diri membuka keaiban orang lain, tetapi lupa akan keaiban diri sendiri

~Menghantar dan menguburkan jenazah/mayat saudara se-Islam, tetapi tidak mengambil


Pengajaran daripadanya:

Hati mati kerana tidak berfungsi mengikut perintah Allah iaitu tidak mengambil iktibar dan pengajaran daripada didikan dan ujian Allah.

Hati juga mati jika tidak diberikan makanan dan santapan rohani sewajarnya. Kalau tubuh badan boleh mati kerana tuannya tidak makan dan tidak minum, begitulah juga hati.

Apabila ia tidak diberikan santapan dan tidak diubati, ia bukan saja akan sakit dan buta, malah akan mati akhirnya.

Santapan rohani yang dimaksudkan itu ialah zikrullah dan muhasabah diri. Oleh itu, jaga dan peliharalah hati dengan sebaik-baiknya supaya tidak menjadi kotor, hitam, keras, sakit, buta dan mati. Gilap dan bersihkannya dengan cara banyak mengingati Allah ( berzikir ).


Firman Allah:


ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَتَطۡمَٮِٕنُّ قُلُوبُهُم بِذِكۡرِ ٱللَّهِ‌ۗ أَلَا بِذِڪۡرِ ٱللَّهِ تَطۡمَٮِٕنُّ ٱلۡقُلُوبُ (٢٨



(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan "zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia. (Al-Rad, Ayat 28)




Sucikanlah 4 hal dengan 4 perkara :
"Wajahmu dengan linangan air mata keinsafan,
Lidahmu basah dengan berzikir kepada Penciptamu,
Hatimu takut dan gementar kepada kehebatan Rabbmu,
...dan dosa-dosa yang silam di sulami dengan taubat kepada Zat yang Memiliki mu."



Hati merupakan tempat yang lembut, rahmat, kasih sayang dan lain-lain. Apabila kita mengisi hati kita dengan banyak zikrullah, nescaya ia memenuhi rahmat dan kasih sayang.

Hati merupakan anggota yang menentukan segala permasalahan hidup. Jika ia dimakmurkan dengan keyakinan dan iman, sudah tentu segala anggota akan mengikut dengan penuh keimanan. Untuk kita melihat betapa kuat, kuasa dan luasnya hati dengan keimanan, Allah Taala menjelaskannya dalam Surah az-Zumar ayat 23 yang bermaksud:


ٱللَّهُ نَزَّلَ أَحۡسَنَ ٱلۡحَدِيثِ كِتَـٰبً۬ا مُّتَشَـٰبِهً۬ا مَّثَانِىَ تَقۡشَعِرُّ مِنۡهُ جُلُودُ ٱلَّذِينَ يَخۡشَوۡنَ رَبَّہُمۡ ثُمَّ تَلِينُ جُلُودُهُمۡ وَقُلُوبُهُمۡ إِلَىٰ ذِكۡرِ ٱللَّهِ‌ۚ ذَٲلِكَ هُدَى ٱللَّهِ يَہۡدِى بِهِۦ مَن يَشَآءُ‌ۚ وَمَن يُضۡلِلِ ٱللَّهُ فَمَا لَهُ ۥ مِنۡ هَادٍ (٢٣



"Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah. Kitab Suci itulah hidayat petunjuk Allah; Allah memberi hidayat petunjuk dengan Al-Quran itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi hidayat petunjuk kepadanya."


Itulah petunjuk Allah, dengan kitab itu Dia menunjukkan siapa yang yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang disesatkan Allah, maka tidak ada seorang pun pemberi petunjuk baginya.


Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:
"Ketahuilah bahawa pada jasad terdapat segumpal darah, apabila elok nescaya eloklah seluruh jasad dan apabila rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah bahawa itulah hati."

Kalaulah begitu, hati merupakan tempat cahaya keyakinan dan keimanan. Sebagaimana iman boleh bertapak dalam hati, begitu juga kekerasan dan kekufuran juga boleh bertapak dalam hati. Hati yang lupa untuk berzikrullah akan menjadi keras, kenapa? Ini kerana ia beriktikad bahawa tiada di sana kecuali kehidupan dunia sahaja dan maddi(kebendaan).

Justeru, ia cuba mendapatkannya semampu mungkin dan dengan apa cara sekalipun sehingga melangkaui hak-hak dengan melakukan kezaliman, kerosakan dan mengambil hak mereka yang daif. Inilah puncanya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...