Monday, December 6, 2010

Latip

Latip yang kurang pendengaran ingin meminta nasihat dari kawannyadengan meminta skrip yang sesuai semasa melawat Pakciknya di hospital.Kawannya pun memberikan skrip yang sesuai untuk di hafal oleh beliau.

Skrip asal..

Latip: Apa khabar pakcik?
Pakcik: Sudah semakin sembuh. Dua tiga hari lagi baiklah ni.
Latip: Syukur alhamdulillah.. semoga dipercepatkan hajatnya. Bagaimana makanan di sini?
Pakcik: Boleh tahan juga. Berselera Pakcik makan.
Latip: Bagusss.. Makanan begitu memang sesuai untuk Pakcik. Enak sekali! Bagaimana layanan yang Pakcik terima di sini?
Pakcik: Sungguh berpuas hati. Kerana pakcik dilayan seperti VIP.
Latip: Hebat sekali! Pakcik sungguh beruntung kerana memang pakcik begitu orangnya kalau di luar.

Tiba di hospital..

Latip: Apa khabar pakcik?
Pakcik: Aku terasa seperti mau mati. Lebih baik mati dari sakit seperti ini!
Latip: Syukur alhamdulillah.. semoga dipercepatkan hajatnya. Bagaimana makanan di sini?
Pakcik: Makanan yang aku dapat macam makanan kuda!
Latip: Bagusss.. Makanan begitu memang sesuai untuk Pakcik. Enak sekali! Bagaimana layanan yang Pakcik terima di sini?
Pakcik: Aku dilayan seperti bangkai bernyawa!
Latip: Hebat sekali! Pakcik sungguh beruntung kerana memang pakcik begitu orangnya kalau di luar

Adakah Anda Tahu?

KAKI kita merupakan salah satu bahagian tubuh yang tentu saja sangat berguna sebagaimana anggota tubuh lainnya.

Sekalipun kaki hanya mengalami luka kecil seperti melecet, kegiatan sehari-hari kita akan terganggu. Oleh karena itu, makin mengetahui kaki, jauh lebih baik dibanding tidak mengetahuinya sama sekali. Di sini ada beberapa fakta tentang kaki yang mungkin cukup menarik untuk diketahui.

1. Makan makanan pedas sering menyebabkan kaki berbau. Untuk mengatasinya, kurangkan makanan pedas dan minum banyak air.

2. Kaki melakukan perjalanan secara purata 115.000 km sepanjang hidup.

3. Pada kaki terdapat 250,000 kelenjar peluh yang menghasilkan hampir satu cawan setiap hari.

4. Satu perempat dari tulang tubuh kita terdapat pada kaki.

5. Memakai kasut tumit tinggi merupakan salah satu kunci masalah penyakit kaki perempuan.

6. 70% lebih dari masyarakat akan mengalami sakit kaki pada tempat yang sama dalam kehidupan mereka.

7. Semakin usia meningkat, kuku kaki makin keras dan makin tebal.

8. Ketika berdiri tegak, 50% dari berat anda berada pada tumit, 25% pada tapak kaki dan 25% menyebar sekitar bola kaki Anda.

9. Kaki bayi berusia 16 hingga 25 bulan tumbuh setengah ukuran kasut mereka setiap tiga bulan dan yang berusia 25-36 bulan tumbuh rata-rata setengah ukuran sepatu mereka setiap empat hingga enam bulan. Dengan demikian, sering menukar kasut mereka adalah hal baik agar kaki mereka dibungkus oleh ukuran kasut yang tepat.

10. Naik tangga selama lima minit membakar energi tubuh 42 kJs (kilojoules) , sedangkan naik lift 10,5 kJs. Bagi yang nak diet, naik tangga lebih baik daripada naik lift.

(sumber; Woman's Day)***

Tanda Lelaki Itu Masih Suami Orang

1. Bila berbual dengan anda matanya tidak memandang wajah atau muka anda kerana takut pembohongannya dikesan.

2. Ketika sedang berjalan-jalan dengan anda matanya liar memerhatikan sekeliling kerana dia khuatir terserempak dengan rakan-rakan isterinya atau saudara mara.

3. Jarang mengajak anda makan di tempat terbuka untuk menjaga line dengan makan di tempat-tempat yang sulit dan tersembunyi.

4. Sukar untuk menghubungi telefon bimbitnya kerana sering tidak dapat dihubungi kerana sebenarnya dia menggunakan 2 atau 3 talian (sim card) dan anda hanya mempunyai nombor talian yang dikhaskan untuk menggatal.

5. Sama sekali tidak akan mengajak anda datang ke rumahnya untuk bertemu kedua orang tuanya.

6. Dalam keretanya ada tanda-tanda kehadiran budak kecil seperti anak patung, selipar, puting ataupun tompok-tompok berbau susu di kusyen kereta.

7. Bila bersembang tentang rahsia wanita, pengetahuannya luarbiasa kerana dia sendiri pernah tinggal serumah, sebilik dan sekatil dengan wanita.

8. Tahap kemiangan dan kegatalannya melampau, mungkin kerana terlalu di kongkong oleh isterinya. Bila memandang tubuh anda, matanya menakutkan (tafsir sampai ke dalam kata orang tua).

9. Perutnya buncit atau boroi kerana makan dan minumnya dijaga oleh isteri mithali yang baik dan setia di rumah.

10. Bila telefon bimbitnya berbunyi, dia akan pergi ke tempat yang agak jauh dari anda untuk menjawabnya atau jika di dalam kereta dia akan membiarkan telefon berbunyi tanpa menjawabnya selepas melihat nombor yang terpapar di screen kerana yang menelefonnya adalah isterinya.

Mahu menjadi burung ciak ataupun cicak?.

RIBUAN tahun dahulu, pada zaman Nabi Ibrahim a.s. berdakwah, baginda telah ditangkap dan diseksa oleh orang-orang kafir yang dikepalai oleh Namrud. Baginda kemudiannya dibakar hidup-hidup.

Saat baginda dibakar inilah terjadinya dua peristiwa yang unik.

Pertama, seekor burung ciak-ciak (burung yang amat kecil), menggunakan paruhnya yang kecil berulang-alik mengambil air lalu cuba memadamkan api yang marak terbakar itu. Rakan-rakan burung itu kemudian menempelak perbuatan burung itu. Mereka berkata tidak ada apa-apa faedahnya mencurahkan air yang sedikit ke atas api yang marak itu. Api itu tidak akan padam sedikitpun!

Burung itu menjawab:

"Aku bukan memikirkan sama ada perbuatanku ini berhasil atau tidak. Aku lebih memikirkan amanahku kepada Allah. Aku lebih memikirkan takutku kepada Allah. Kelak Allah akan bertanya di akhirat, apakah yang aku lakukan di saat nabi-Nya dibakar hidup-hidup sedangkan aku punya keupayaan?" Tegas burung itu dalam nada ketakutan. Takut kepada Allah. Jawapan burung itu membuatkan burung-burung lain hanya terdiam dan termangu. Kesal dengan sikap masing-masing.

Lain pula halnya dengan seekor cicak. Cicak kecil itu pula cuba menghampiri api itu lalu menghembus-hembus ke arah api tersebut. Cicak itu berharap api itu akan lebih marak dan dapat menghanguskan terus Nabi Ibrahim a.s.

Biarpun mungkin dia sedar perbuatannya tidak mungkin memarakkan api, tetapi disebabkan oleh sikap hasad dan dengkinya, dia meneruskan agendanya itu.

Demikian cebisan kecil daripada gugusan kisah dakwah seorang rasul yang diiktirat sebagai Ulul Azmi, Nabi Ibrahim a.s. Apakah pengajaran di sebalik kisah dua ekor binatang kecil ini kepada anda sebagai remaja?

Dalam kehidupan kita di dunia yang tana' ini, kita juga dihidangkan dengan dua pilihan. Pilihan pertama menjadi seperti burung ciak pada zaman Nabi Ibrahim. Taat dan takwa kepada Allah melebihi perasaan takut kepada benda-benda lain. Burung ciak juga menjadi simbol sikap ihsan; menyumbang, biarpun sedikit ke arah keselamatan, keamanan, kedamaian, dan kesejahteraan masyarakat.

Remaja yang menjadi 'burung ciak' menyedari amanah yang dipikulnya kepada Allah, ibu bapa, masyarakat, dan negara. Remaja sedemikian akan memberi sumbangan, biarpun kecil asalkan berbaloi demi agama, bangsa, dan negara.

Di rumah, dia akan menjalankan tanggungjawabnya dengan penuh kesempurnaan. Arahan ibu bapa tidak disanggah kecuali berlawanan dengan kehendak syariat dan undang-undang, Solat tidak ditinggalkan biarpun satu waktu. Dia rela membantu ibu bapa tanpa disuruh seperti membersihkan rumah, memasak, dan mengemas rumah.

Di sekolah, dia juga akan menunaikan amanahnya sebagai pelajar dengan penuh tanggungjawab. Pergi ke sekolah seawal pagi agar tidak ketinggalan dan tidak tertangkap oleh pengawas. Di kelas, memberi tumpuan seratus peratus terhadap pengajaran guru. Jika tidak faham, lekas-lekas bertanya. Dia juga aktif dalam kegiatan kokurikulum.

Di kalangan rakan-rakan sebaya, remaja ini bijak memilih kawan. Dia akan memilih rakan yang mampu membantunya ke arah kecemerlangan, bukan daripada kalangan yang membantut. Dia tidak akan mengizinkan barang seincipun tindakan rakan-rakan yang boleh merosakkan dirinya.

Dalam masyarakat, dia akan memberi sumbangan sebaik mungkin untuk agama, masyarakat, dan negara, biarpun kecil. Misalnya, mungkin dia akan menderma sebanyak RM0.10 untuk SMS Rancangan Bersamamu, bergotong-royong membersihkan taman perumahan untuk mengelakkan pembiakan nyamuk aedes, melaungkan azan di surah, dan sebagainya.

Remaja yang mencontohi burung ciak tidak akan menganggap sumbangan kecilnya untuk memajukan dirinya, agama, bangsa, dan negara sebagai sia-sia atau tidak berfaedah. Ini kerana dia menganggap sumbangan kecilnya amat berguna untuk agama, bangsa, dan negara serta dinilai secara adil oleh Allah SWT.

Hal ini berbeza pula dengan remaja yang menjadi seperti seekor cicak pada zaman Nabi Ibrahim a.s. Remaja 'cicak' ini lebih suka menjadi perosak agama, bangsa, dan negara selain merosakkan dirinya sendiri.

Kerosakan yang ditimbulkan mungkin amat sedikit tetapi berbaloi untuk membantu merosakkan seluruh imej agama, bangsa, dan negara. Remaja 'cicak' tidak peduli akan amanah yang dipikulnya, baik di sekolah, rumah, ataupun masyarakat.

Di sekolah, dia tidak ambil kisah tentang pelajaran. Dia tidak ambil kisah tentang tugasan-tugasan yang diberi oleh guru. Di kelas, dia tidak ambil perhatian atau endah sedikitpun. Bahkan dia lebih senang menjadi perosak.

Misalnya, menconteng meja, mencuri harta-benda kawan-kawan sekelas atau mengusik kawan-kawan yang ingin belajar,

Di rumah, dia juga malas membantu ibu bapanya. Dia lebih suka melepak dan memerap menonton televisyen atau melayari internet khasnya laman web lucah daripada membantu keluarga.

Dalam masyarakat, dia lebih senang menjadi kera sumbang. Usahkan membantu, malah merosakkan harta-benda hak masyarakat menjadi kegemarannya. Misalnya, merosakkan telefon, mencuri kabel, meragut, menghisap dadah, melepak, dan sebagainya.

Mungkin baginya perbuatan yang dilakukan itu kecil-kecilan. Misalnya, apalah sangat sekadar mencuri seinci dua inci kabel elektrik. Tetapi dia tidak tahu padahnya.

Padah pertama kepada dirinya sendiri yang mungkin akan mati terbakar terkena kejutan elektrik. Kedua, 'sumbangannya' yang sumbang itu boleh mengakibatkan penduduk di seluruh taman perumahan yang didiaminya terputus bekalan elektrik.

Begitu juga dengan remaja yang 'gatal tangan' merosakkan telefon awam dengan mencuri duit syiling atau memutuskan gagang telefon. Mungkin baginya 'apalah sangat' setakat mencuri duit syiling beberapa puluh sen daripada sebuah pondok telefon. Namun risikonya terlalu besar. Bayangkan seorang penduduk yang tidak mempunyai kemudahan telefon atau 'prepaidnya' habis, tiba-tiba mengalami kecemasan seperti rumahnya terbakar atau rumahnya kecurian, dia perlu menggunakan telefon awam, bagaimanakah dia hendak menggunakan kemudahan itu?

Sejak akhir-akhir ini, kita menjadi begitu ngeri mendengar pelbagai kisah mengenai remaja yang menjadi songsang.

Misalnya, mengikut aliran punk, black metal, gay, lesbian, penyalahgunaan dadah, dan sebagainya. Mungkin pada awalnya, keterlibatan mereka sedikit demi sedikit tetapi lama-lama menjadi 'bukit.'

Mungkin bagi remaja 'cicak' sebegini, orang lain tidak perlu peduli dengan perbuatan mereka kerana mereka tidak 'mengganggu' orang lain! Namun mereka tidak sedar, dengan menjadi 'cicak,' akhirnya mereka menjadi penyumbang kecil ke arah kemusnahan sebuah bangsa dan negara serta merosakkan imej agama.

Tahukah anda kemusnahan empayar-empayar dan negara-negara besar satu ketika dahulu, bermula dengan 'sumbangan' kecil-kecilan rakyatnya? Misalnya, Empayar Rom, Empayar Khalifah Uthmaniah, Empayar Melaka, dan sebagainya musnah dan tenggelam dalam arus zaman disebabkan oleh kerosakan akhlak muda-mudinya, berleluasanya gejala rasuah, dan salah guna kuasa.

Jadi, menung-menungkan hala tuju hidup anda sekarang.

Mahu menjadi burung ciak ataupun cicak?.

Titik Ais Di Dalam Hati

Dalam sebuah syarikat pengangkutan kargo menggunakan kereta api ada seorang pegawai, bernama Nik. Dia sangat rajin bekerja, dan sangat bertanggungjawab. Tetapi dia mempunyai satu kekurangan, iaitu dia merasakan tidak mempunyai harapan apapun terhadap kehidupannya. Dia melihat dunia ini dengan pandangan kelam tanpa harapan langsung.

Pada suatu hari semua kawan-kawan sekerjanya bergegas untuk merayakan hari ulang tahun kelahiran bos mereka. Mereka semua pergi dengan cepat dan tergesa-gesa. Dengan tidak sengaja Nik yang sedang bekerja terkunci di sebuah bilik sejuk kontena pengangkutan ais yang belum sempat dibetulkan. Nik menjerit, memukul pintu dengan kuat sambil meminta tolong, namun hampa kerana kesemua rakannya sudah pun pergi merayakan ulang tahun kelahiran bosnya. Maka tidak ada yang mendengar jeritan pertolongannya.

Tangannya sudah merah dan bengkak-bengkak memukul pintu itu, suaranya sudah serak akibat menjerit kuat, tetapi tetap tidak ada orang yang mempedulikannya. Akhirnya dia terduduk di dalam sambil menghelakan nafas yang panjang.

Semakin dia berfikir semakin dia merasa takut, dalam hatinya berkata: Dalam kontena sejuk pengangkut ais suhunya pasti di bawah 0 darjah, kalau dia tidak segera keluar dari situ, pasti akan mati kesejukan. Dia memaksakan diri dengan tangan yang gementar kesejukan, mencari secarik kertas dan sebatang pen, menuliskan surat wasiatnya.

Keesokan harinya, semua petugas pun datang bekerja. Apabila mereka membuka pintu bilik sejuk dalam kontena pengangkut ais tersebut, mereka sangat terkejut menemui Nik yang terbaring di dalam. Mereka segera menghantar Nik ke hospital untuk rawatan, tetapi malangnya Nik sudah tidak bernyawa lagi. Tetapi yang paling mereka terkejut adalah, bekalan elektrik ke bilik sejuk untuk menghidupkan mesin itu tidak dibuka, dan dalam bilik kontena yang besar itu cukup oksigen di dalamnya. Dan yang paling menghairankan mereka adalah suhu dalam bilik itu 28 darjah C saja. Tetapi Nik mati “kesejukan”!

Nik bukanlah mati kerana suhu dalam kontena terlalu rendah tetapi dia mati kerana ada titik ais di dalam hatinya. Dia sudah menghukum dirinya dengan hukuman mati. Bagaimana dia dapat hidup terus?

Percaya pada diri sendiri adalah sebuah perasaan hati. Orang yang mempunyai rasa kepercayaan diri tidak akan terus putus asa, dia tidak akan terus berubah sedih terhadap keadaan hidupnya yang jalan kurang lancar dan berjaya.

Tanyalah pada diri kita sendiri, adakah diri kita juga selalu memutuskan bahawa kita tidak mampu untuk melakukan suatu perkara, sehingga kita kehilangan banyak kesempatan untuk berjaya? Kehilangan banyak kesempatan untuk belajar berdikari? Untuk jadi lebih mengerti tentang kehidupan ini?

Yang mempengaruhi semangat kita bukanlah faktor-faktor dari luar, melainkan dalam hati kita sendiri. Sebelum berusaha, kita sudah dikalahkan oleh diri kita sendiri. Biarpun ada banyak bantuan yang diberikan kepada diri kita, ia tetap tidak akan membantu jika kita berfikiran negatif setiap masa.

10 Perkara Jangan Beritahu Wanita

10. Dia tidak disukai keluarga anda

Anda hanya memarakkan api yang sedang menyala. Sebaiknya anda diamkan sahaja perkara itu daripada diketahui pasangan. Sementara menunggu masalah reda, anda boleh memujuk keluarga untuk menerimanya dengan memberitahu perkara baik tentang wanita pilihan anda itu.

9. “Saya rasa hubungan kita tidak terjamin lagi”

Wanita tertarik dengan lelaki yang penuh karisma dan keyakinan. Andai anda sendiri berasa kurang yakin malah sesekali berasa cemburu dengan status kerjayanya dan gajinya yang tinggi, pasti mereka mulai menghindari anda. Jika ada perasaan sebegitu sebaiknya anda kawal hati dengan sebaiknya. Tidak salah andai gaji mereka lebih besar daripada anda.

8. “Saya suka dengan (nama wanita lain)”

Jangan beritahu mereka tentang isi hati anda ini lebih-lebih lagi jika anda seorang lelaki yang mudah tertarik dengan mana-mana wanita cantik.

7. Simpan rahsia kelemahan anda

Jika anda jenis lelaki yang takutkan labah-labah mahupun cicak, simpan rahsia itu sebaiknya. Biarkan mereka tahu rahsia anda secara natural iaitu sepanjang berhubungan dengan anda.

6. Bandingkan dirinya dengan teman wanita terdahulu

Wanita tidak suka dibandin-bandingkan dengan perempuan lain terutama hal yang buruk-buruk. Jika anda berbuat begini anda sebenarnya menempah satu hubungan yang singkat.

5. Jangan jadi ‘anak emak’

Beberapa kali dalam sehari anda menghubungi ibu anda? Jika jawapannya kerap kali, sebaiknya anda kurangkan sedikit. Wanita tidak suka merasakan seperti sedang berebut anda daripada ibu anda. Jadi simpan rahsia diri sekemas-kemasnya.

4. Anda punyai hobi yang pelik

Anda mungkin pengumpul barangan ‘Transformer’ atau jam antik tegar dan menjadi teruja apabila melihat telur-telur cicak. Tetapi anda perlu sedar, apakah mereka dapat menerima hobi pelik anda itu? Jangan pula berlagak baik dengan memberitahu perkara sebenar kepada mereka. Peluang untuk anda ditinggalkan adalah lebih tinggi sebenarnya.

3. “Saya tidak berkenan awak berkawan dengan..(kawan perempuannya)”

Jangan sesekali merendah-rendahkan atau memperlekehkan teman-temannya. Sebaiknya beritahu perkara yang baik-baik sahaja tentang mereka. Anda baru sahaja bersama dengannnya sedangkan teman-teman mereka telah mengenali teman wanita anda sejak sekian lama. Siapakah yang lebih mengenali teman-teman kekasih anda itu? Pastinya anda tidak dalam senarai di atas.

2. Anda telah melakukan sesuatu yang memalukan sebelum ini

Anda fikir inilah masa yang sesuai untuk membuktikan kejujuran dengan mendedahkan perkara sebenar. Sebenarnya pasangan anda tetap tidak dapat menerima bahawa diri mereka pernah diduakan. Wanita walaupun menyatakan mereka tidak berasa apa-apa sebenarnya mereka tebal dengan sifat dendam dan akan terus mengingati perkara itu sampai bila-bila. Berhati-hati apabila mahu melepaskan beban yang anda tanggung sekarang ini.

1. Anda tertarik dengan teman baiknya yang sangat seksi

Jika anda fikir teman baiknya itu kelihatan seksi, jangan beritahu perkara sebenar walau dengan nada bergurau sekalipun. Tidak mungkin pasangan anda berasakan itu satu gurauan, malah mereka akan berasa marah dan terluka. Dan dalam jangkamasa panjang kepercayaan mereka terhadap anda sedikit terhakis. Jangan sesekali fikir mereka kuat menghadapi kenyataan anda. Hakikatnya mana-mana perempuan tidak sekuat itu. Jadi jangan ambil risiko.

Manusia Dan Keldai

Suatu ketika seorang lelaki beserta seorang anaknya membawa seekor keldai ke pasar. Di tengah jalan, beberapa orang melihat mereka dan tersengih menyindir, “Lihatlah orang-orang dungu itu. Mengapa mereka tidak naik ke atas keledai itu?”

Lelaki itu mendengar perkataan tersebut. Dia lalu meminta anaknya naik ke atas keledai. Seorang perempuan tua melihat mereka, “Sudah terbalik dunia ini! Sungguh anak tak tahu diri! Ia berehat di atas keledai sedangkan ayahnya yang tua dibiarkan berjalan.”

Kali ini anak itu turun dari punggung keldai dan ayahnya yang naik. Beberapa saat kemudian mereka berselisih dengan seorang gadis muda. “Mengapa anda berdua tidak menaiki keldai itu bersama-sama?”

Mereka menuruti nasihat gadis muda itu. Tidak lama kemudian sekelompok orang lalu di situ. “Binatang malang, ia menanggung beban dua orang gemuk tak berguna. Kadang-kadang orang memang sangat kejam!”

Sampai di sini, ayah dan anak itu sudah muak. Mereka memutuskan untuk memikul keldai itu. Melihat kejadian itu, orang-orang tertawa terbahak-bahak, “Lihat, manusia keldai memikul keldai!” sorak mereka.

Jika anda berusaha memudahkan semua orang, boleh jadi anda tak akan dapat memudahkan dan menggembirakan siapa pun.

Adakah anda keldai atau manusia?. Kalau keldai memang dia tidak banyak kerenahnya.

Moral: Kita tidak dapat melakukan semua perkara untuk memuaskan hati semua pihak.

Nilai RM5

Jalan di situ berlopak-lopak besar,terhinjut-hinjut Toyota Corolla Altis 1.8 ini dilambung graviti. Ery duduk di sebelah sudah berapa kali bangun tidur, dengkurnya makin menjadi. Siaran radio sekejap berbunyi, bercampur-campur. Sekejap radio perak, sekejap kedah mengikut lambungan kereta lagaknya.

Aku terpaksa memperlahankan kereta melalui satu perkampungan nelayan yang kotor, beberapa budak-budak kecil dengan muka yang comot dan hingus kering di muka berlari-lari. Seorang daripadanya tidak berseluar langsung, geli. Ada orang tua berbasikal mengangkat tangan memberi salam. Aku menaikkan cermin kereta, melepaskan rengusan garang.

Ery sudah bangun, mengesat-ngesat mata, menggeliat kasar. Mengeluarkan bunyi seperti kerbau. Perempuan sial, sopannya cuma di depan jantan, tersipu-sipu dan bersimpuh malu. Hipokrit ini cuma tahu bersolek dan berdandan bila mahu keluar, di rumah dia seperti perempuan baru beranak, t-shirt goboh dengan kain pelekat senteng dan rambut usai seperti orang gila, mengeluarkan bau hapak dan masam.

Ada sebuah jeti buruk disitu. Beberapa nelayan baru sampai dari laut disambut peraih-peraih buncit. Memunggah ikan. Ery sudah separuh menggelepar di luar meliar mata mencari Shafik, tunangnya. Aku duduk sahaja di dalam kereta. Aku bencikan pantai hanyir seperti ini.

Beberapa gadis bertudung labuh lalu dengan menaiki basikal dan memberi senyuman. Aku menghempas pintu serta merta. Memang benar. Perempuan kolot seperti mereka itu, patut dijerukkan saja di tempat busuk ini.Tolol!

Kemudian, datang seorang tua menghampiri tingkap belakang. Aku sedikit marah, mengetap bibir.

"Nak apa?!"

Dia terketar terkejut, sedikit berundur.

"Assalammualaikum nak, pakcik ambil upah cuci kereta.."

Dia bercakap dengan pandangan yang tumpah ke kakinya, tertib dan seperti takut. Di tangannya ada satu baldi buruk air sabun dengan tuala koyak di bahu. Baju kemeja kusam koyak di poket, cuma dibutang dua menampakkan dadanya yang leper ditolak tulang selangka. Seluar hijau pudar senteng.Tidak berkasut dengan kuku hitam dan kaki yang reput. Menjijikkan!

"Basuh sajalah, tapi, awas!! Kalau calar kereta aku, tahulah macamana aku nak ajar kau!!"

Berkata sambil meliarkan mata pada Ery yang tengah tersengih-sengih meramas-ramas tangan dengan tunangnya itu. Duduk pula bersimpuh, membelai-belai rambut. Boleh pula kaki yang asyik duduk terkangkang di rumah itu ditutup rapat.

Orang tua itu tertunduk-tunduk mengucap terima kasih. Ah, miskin seperti ini tunduk-tunduk meminta simpati, tiada maruah. Terus saja dia menggosok satu demi satu tayar kereta. Memberus sambil terbatuk-batuk, meludahkan kahak hijau. Pengotor, sial! Aku mengalihkan mata ke pantai.

Peraih berdekah ketawa menepuk-nepuk belakang nelayan kurus itu. Menyerahkan beberapa ringgit. Nelayan itu tersenyum pahit. Menyelitkannya di celah kopiah. Itulah, siapa suruh kecil-kecil tidak mahu belajar pandai-pandai, masuk universiti dan kerja besar. Tidaklah hidup susah seperti itu. Bodoh!!

"Sudah nak!!"

Pakcik itu datang setelah 20 minit. Aku sudah malas hendak memandangnya, dan kuhulurkan sahaja RM 5. Aku rasa itu sudah cukup lumayan untuk fakir seperti dia. Cepat-cepatlah dia pergi.Tapi, sebaliknya dia memegang lama duit itu. Tunduk dan menangis tersedu-sedu. Menambahkan kerut dan mengelap mata dengan hujung kemejanya.

"Kenapa ni? Gila?!"

"Nak, seumur hidup pakcik hidup susah ini, pakcik kerja memetik kelapa, mencuci tandas di restoran, kemudian mencuci kereta, belum pernah pakcik terima upah sebanyak ini. Paling banyak pun hanya seringgit."

Dia bersungguh-sungguh melihat ke dalam mata aku. Timbul pula sedikit simpati, sedikit sayu. Rasa yang tidak pernah bertakung dalam hati keras aku selama 25 tahun ini. Dia melipat kecil wang itu diikat simpul di dalam sapu tangan biru muda. Pergi dengan terhinggut menangis dengan baldi buruk ke arah sekumpulan nelayan. Aku memandangnya dengan pandangan kosong. Ini warna kemiskinan, aku tidak pernah lihat. Aku membesar dalam hutan batu, di kota lumpur. Keras diselaput wang kemewahan, kemudian keluar dengan segulung ijazah.

Bekerja seperti orang gila untuk duit. Biarlah, kalau aku mahu bantu, ramai lagi di luar sana. Lupakan saja..

Ery memanggil aku dari sebuah kedai makan di situ. Hampir 10 minit aku melayan meluat-melihat Ery yang tersipu-sipu menggagau mee dengan sudu dan garfu. Kemudian, kelibat orang tua itu melintasi kami, menjinjing dua beg besar hitam berisi barang. Hairan, takkanlah dengan wang RM 5 dia boleh membeli barang sebanyak itu. Mustahil. Atau dia memang ada duit tapi, berlagak seperti fakir. Mungkin..Dengan rasa ragu, aku menghampirinya.

Dia memberi senyum lembut dan aku dengan rasa curiga bertanya terus.

" Eh, pakcik. Tadi saya bagi lima ringgit, takkan dapat beli barang sebanyak ini?".

Bunyinya seperti meninggi. Pakcik itu seperti terkejut.Dia diam dan tunduk seketika. Pahit menelan air liur.

Meletakkan dua beg plastik di atas tanah, membukanya satu satu, perlahan-lahan dan terketar. Aku terkedu. Terkejut dan malu. Pakcik itu mengeluarkan sapu tangan tadi dan membuka simpulannya. Wang aku tadi, masih terlipat kemas.

"Nak, pakcik tahu. Kami ini orang susah, nak. Hidup seperti najis, dibuang dan ditolak-tolak. Kalian pekup hidung melihat kami. Ambillah ini semula. Pakcik juga punya maruah. Kadang-kadang maruah kami lebih tinggi dari kamu orang kaya yang hidup berpura-pura, menipu orang. Harga diri kami masih kuat. Bila anak menyoal pakcik seperti tadi, anak telah memijak harga diri pakcik. Anak seperti menghukum pakcik sebagai orang tua sial yang berpura-pura susah. Ambillah semula, nak."

Pakcik itu meletakkannya di atas tangan aku, dan aku menolak, berkali-kali. Aku sudah menangis, meminta maaf, berkali-kali. Tidak mahu menyentuh langsung wang itu, hingga jatuh di hujung kaki.

"Lihat, itulah tempat duit. Di tapak kaki. Duit itu perlu, tapi jangan sampai ia lebih tinggi dari harga diri. Jangan sampai duit menjadikan kita angkuh dan bongkak. Pakcik ke sana tadi, tempat nelayan memunggah ikan. Pakcik kutip ikan-ikan kembung pecah perut ini yang sudah dibuang ke tepi.

Dengan bangkai busuk ini pakcik sambung hidup anak-anak pakcik, jangan sampai kelaparan, jangan mati."

Mendatar sahaja suara orang tua itu berkisar-kisar dengan pukulan ombak. Dia terbatuk-batuk berjalan, meninggalkan aku dengan wang lima ringgit di hujung kaki, dua plastik berisi ikan busuk yang sudah mula dihurung lalat. Aku terduduk menangis semahu-mahunya. Aku mempunyai wang yang boleh membeli segala kemewahan dunia cuma aku belum mampu membeli sesuatu yang ada dalam diri orang tua itu.

Jika tidak dapat apa yang kita suka...belajarlah utk menyukai apa yang kita dapat.." renungkan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...