Saturday, December 4, 2010

Budak hitam

Haji Malim bermenung di ruang jendela banglo tiga tingkatnya. Kedudukan banglonya yang strategik di puncak Bukit Kaya, memberi peluang kepadanya melihat persekitaraan bandaraya Kuala Lumpur pada waktu petang dengan jelas. Kereta kecil dan besar dalam berbagai bentuk bertali arus mengisi dada Kuala Lumpur. Aerobus pun bergerak dari stesen dengan pantas seperti bebola berada di awang-awang.

Di ufuk barat Kuala Lumpur, cahaya kaki langit bersaga. Mentari yang membakar dada bandaraya itu perlahan-lahan menyelinap masuk ke peraduanya. Ia menandakan tidak lama lagi waktu malam akan tiba. Itulah keajaiban ciptaan Allahuwajalla. Siang dan malam menjadi pemisah waktu.
Haji Malim ingin berhibur dengan keindahan alam ketika itu. Hati kecilnya sungguh terluka kerana kedatangan seorang budak hitam yang tidak diundang ke banglonya pada hari itu. Haji Malim tidak tahu bagiamana tetamu kerdil itu boleh masuk ke perkarangan banglonya sedangkan sekitarnya dipagari dawai berduri. Pintu pagarnya pula diawasi oleh pengawal bersenjata yang menakjubkan lagi, tetamu itu mampu mendaki bukit yang begitu tinggi. Ia hanya mampu didaki oleh kenderaan besar seperti jip atau trooper sahaja.

Budak hitam yang terpacak tiba-tiba di muka pintu banglonya kelihatan sungguh daif. Pakaiannya compang - camping. Badannya berkilat dan berminyak. Keringat yang mengalir ke seluruh tubuhnya bertambah kilat kerana kulitnya hitam seperti bontot kuali. Bau keringat dan pakaiannya yang lusuh itu menyakitkan lubang hidung Haji Malim.

"apa awak mahu datang ke sini?" tanya haji malim, seperti dia menyoal tetamu lain yang pernah datang ke banglonya.

"tuan saya lapar. Berikan saya air dan sedikit hidangan," budak hitam itu memohon simpati.

"berapa banyak?"

"sedikit sahaja. Kalau air itu boleh menahan sedikit kehausan dan makanan boleh menahan kelaparan, ia sudah cukup untuk tuan. Cukup untuk saya bersyukur," rayu budak hitam dengan tenang.

Haji Malim merenung budak hitam itu dari hujung kepala hingga ke hujung kakinya. "tunggu," kata Haji Malim setelah puas merenungi budak hitam itu.

Budak Hitam itu menunggu dengan sabar. Dia tidak berganjak sedikit pun dari tempat dia berdiri sejak tadi. Matanya meleret melihat langkah Haji Malim meniti anak tangga ke tingkat atas. Seluruh ruang banglo Haji Malim dihiasi dengan khat ayat- ayat Al-Quran, yang diperbuat daripada tembaga.

"nah seratus ringgit. Awak gunalah wang ini untuk minum, makan atau apa saja yang awak suka. Aku halalkan,"

"saya tak mahu wang. Saya nak air dan sedikit makanan, bukan wang,"

"tak mahukan not seratus ini," bisik hati kecil haji malim, sambil dia membelek-belek not seratus yang belum bertukar tangan.

"saya nak air dan sedikit makanan, itu saja," budak hitam itu mengulangi.

"tak boleh!!"

Budak hitam itu tak membalas. Dia merenuni Haji Malim lama-lama, seperti Haji Malim merenunginya tadi. Kemudiannya dengan langkah longlai dia meninggalkan Haji Malim. Haji Malim terpegun. Pelik dan takjub.

Peristiwa petang tadi jelas terbayang dalam benak Haji Malim. Ia sungguh mencuit kalbunya. Sambil berkeluh-kesah dia melmparkan pandangannya ke arah kereta-kereta yang bersimpang siur di dada Kuala Lumpur untuk menghiburkan dirinya.

"Jusuh! Taib!" teriak Haji Malim sekuat hatinya.

"Jusuh! Taib!" teriaknya sekali lagi seolah-olah tidak puas dengan teriakan yang pertama tadi.

Tidak berapa lam selepas itu, Jusuh dan Taib kelihatan berlari anak meniti anak tangga ke tingkat atas menemui Haji Malim. Jusuh dan Taib termengah-mengah keletihan. Mereka terkulat-kulat memandang wajah Haji Malim yang serius.

"saya tuan haji," kata Jusuh dan Taib serentak.

"awak pergi panggil pengawal di gate hadapan sekarang. Katakan saya mahu jumpa sekarang."

"ya," akur Jusuh dan Taib. Kedua-duanya berpusing membelakangkan Haji Malim menuruni anak tangga.

"nanti. Biar Jusuh yang pergi," Haji Malim memerintah.

Taib terpinga-pinga mendengar arahan Haji Malim. Dia kembali ke tempat asalnya berhadapan dengan Haji Malim. Seram sejuk rasanya, bagaikan menunggu hukuman gantung yang akan dijatuhkan kepadanya.

"aku masih memikirkan bagaiman budak hitam itu boleh masuk ke sini petang tadi? Awak tahu Taib?"

Taib membisu. Hati dan akalnya tidak dapat meneka bagaimana seorang budak hitam boleh muncul tiba-tiba di ruang pintu banglo haji malim. Hjh Azizah, Hjh Sharifah dan Hjh Sakinah, ketiga-tiga isteri Haji Malim pun tidak menyedari kehadiran budak hitam itu. Semuanya pelik.

"saya tak sedar tuan haji. Kalau mak-mak encik semua tahu, saya kurang arif."

"mustahil rumah besar dan berpagar begini bpleh disusupi oleh seorang kanak-kanak kecil," Haji Malim mendengus.

"benar tuan haji," Taib kegugupan. Dia sungguh takut.

"mana mak-mak encik awak? Suruh mereka datang jumpa aku sekarang!"

Taib lantas menuruni anak tangga ke ruang tamu di bahagian bawah. Lega sungguh rasanya. Hatinya berkata-kata, biarlah Hjh Azizah, Hjh Sharifah dan Hjh Sakinah menghadapinya pula.

Ketika melalui anak tangga, Taib berselisih dengan Jusuh. Turut mengekori Jusuh, dua orang pengawal berpakaian seragam biru. Di pinggang masing-masing tersisip sepucuk pistol jenis Walter Brown. Seorang berkumis dengan wajah bengis, seorang lagi lebih muda daripadanya berkaca mata. Masing-masing berjalan dalam keadaan tunduk.

"mak-mak encik, tuan haji nak berjumpa," jelas Taib sebaik sahaja menemui Hjh Azizah,Hjh Sharifah dan Hjh Sakinah yang sibuk menyiapkan hidangan makan malam di dapur.

"ada apa ribut-ribut senja begini?" rungut Hjh Azizah, isteri Haji Malim yang tua.

"saya kurang periksa," Balas Taib pendek.

Hjh Azizah, Hjh Sharifah dan Hjh Sakinah berceloteh panjang, kemudian beriringan menuju ke tangga untuk ke tingkat atas. Taib hanya mengekori dengan akur. Setibanya di atas, terjadilah satu perkumpulan yang besar pada petang itu.

Perkumpulan ini begini belum pernah dialami oleh Taib setelah bekerja di rumah besar itu selama lima tahun. Begitu juga Jusuh, dua pengawal dan tiga orang isteri Haji Malim. Jusuh, Taib dan dua orang pengawal berdiri berhampiran dengan Haji Malim, manakala ketiga-tiga isterinya pula duduk dengan tertib di suatu penjuru.

"kenapa wak lepaskan budak hitam itu masuk!'' tanya Haji Malim tanpa bertangguh kepada pengawal yang berkumis.

''mustahil budak sebesar itu awak tak nampak. Sia-sia saja aku bayar gaji.'' Herdik Haji Malim.

''sumpah, lillah....'' pengawal itu mempertahankan dirinya.

''sakinah awak tahu bagaimana ini perkara ini boleh terjadi?''

''abang haji, kami bertiga tidak nampak kerana berada di dapur sepanjang masa.''

''memang benar kata adik sakinah itu,'' Hjh Sharifah membela.

Jusuh, Taib, kedua-dua pengawal dan ketiga-tiga isteri Haji Malim terus membisu. Tiada upaya mereka menyakinkan Haji Malim tentang keadaan itu sebenarnya.

''aku sungguh aib kerana perbuatan budak hitam itu. Aku beri sedekah seratus ringgit dia tak mahu terima. Dia mati-mati mahu hidangan yang disediakan oleh ketiga-tiga isteri aku. Ini melampau.....!'' cerita Haji Malim sambil merenungi ke wajah isteri-isterinya.

''abang haji sudahla tu. Budak hitam itu pun dah pergi. Jangan marah-marah lagi.'' Pujuk Hjh Azizah.

Kemarahan Haji Malim tamat begitu sahaja kerana suara azan Maghrib berkumandang. Sememangnya menjadi kelaziman di banglo Haji Malim, semua orang mesti bersolat bila tiba waktunya.

Selesai solat, Haji Malim terasa lesu sekali. Lalu dia berbanting di atas sejadah yang terhampar di kamarnya. Dia tidur nyeyak, sehingga dengkurnya terdengar dari luar.

''hei manusia, kenapa kamu angkuh sekali?'' Haji Malim terdengar satu suara sayup-sayup mengherdiknya.

''siapa kau?! Aku hajilah, berbahasalah sikit!'' Haji Malim membalas. Dia merenung orang yang mengherdiknya. Wajah orang itu suci bersih. Dia berjubah putih dan senyumannya tiada putus-putus.

''kamu tiada bezanya dengan aku. Kamu makhluk Allah. Aku pun begitu.''

''aku haji, aku tinggal di Bukit Kaya. Kawasan orang ternama.''

''tapi kamu tidak bernama.''

''aku?'' Haji Malim menunding jarinya ke badannya. ''nama aku Haji Malim. Malim pilot.''

''tapi perbuatanmu tidak seperti haji. Kamu herdik babu-babu kamu seperti haiwan. Kamu layan tetamu dengan tidak sewajarnya.''

''mereka tu bebal, bodoh, dungu. Budak hitam yang datang siang tadi, aku tidak undang. Dia degil, dia bukan mahu wang tapi mahu makan makanan yang dihidangkan oleh isteri-isteri aku.''

''kenapa kamu tidak menurut kehendak dia?''

''dia comot. Pakaian dia compang-camping, tak layak dia makan sehidang dengan isteri-isteriku yang manis,'' hujah Haji Malim.

Wajah budak hitam itu menjelma di hadapan Haji Malim. Dia sedang menggamit Haji Malim dengan muka yang manis sekali. Selesai sahaja berbicara, Haji Malim menggeleng-gelengkan kepalanya berulang kali. Senyuman budak hitam itu tiada juga lekang dari celah bibirnya. Wajahnya semakin berseri. Ia mencuit hati kecil Haji Malim.

''kamu sungguh bakhil. Sepinggan nasi pun kamu tak upaya sedekah kepada seorang kanak-kanak.''

''tidak! Aku selalu bersedekah. Aku selalu menderma kepada yang susah dan miskin.''

''sedekah kamu tidak ikhlas. Kamu menolong bila mereka datang merayu saja. Orang kaya seperti kamu sepatutnya pergi sendiri mansari orang yang susah dan miskin.''

Haji Malim termenung. Kata-kata itu dikajinya dalam-dalam. Haji Malim masih ingat. Deman dari setinggan Kenanga menerima pertolongannya setelah dia datang mengadu, Esah janda anak lima dari Kampung Gelam dan Jali serta Jamil, dua orang anak yatim dari Lembah Hijau, semua senasib dengan Deman.

''tidak cukupkah itu?'' tanya Haji Malim.

''itu tanda kamu bakhil. Kamu tidak mahu bersusah payah.''

''contohnya?''

''pada hari ini, kamu enggan memberi makan kepada seorang budak hitam semata-mata dia comot dan daif. Kamu tidak redha dia makan makanan yang dimasak oleh isteri-isteri kamu.''

''salahkah aku berbuat begitu?''

''apalah ada pada nafsu seorang kanak-kanak yang daif begitu. Kamu sebenarnya bakhil, tidak ingin masakan sedap-sedap dinikmati oleh orang lain, sedangkan kamu sendiri tidak makan. Kamu makan roti sahaja bukan? Kamu sakit jantung bukan.....?''

pertanyaan itu bertalu-talu memukul gendang telinga Haji Malim. Ia menusuk hingga ke hulu hatinya. Lidahnya kelu. Fikirannya buntu.

''kamu betul-betul bakhil. Tidakkah kamu tahu memberi makanan pada orang yang lapar, balasannya syurga?''

''syurga!''
''syurga!''
''syurga!''

Haji Malim bertempek berulang kali. Dia mendepa kedua belah tangannya cuba mencapai sesuatu. Ia seolah-olah dahan pokok yang rendang dengan buah yang lebat dan ranum. Apabila kedua belah tangannya tercapai, dahan itu serkah tiba-tiba dan menerbitkan bunyi yang kuat seperti penahan petir. Haji Malim langsung jatuh bersama-sama dahan itu ke dalam kolam air yang berasap. Ketika kakinya mencecah, air itu terasa amat dingin. Kemudian ia terasa semakin lama semakin panas. Berbahang. Haji Malim cuba berpaut semula pada dahan yang serkah itu, tetapi malang dahan dan pokok yang berbuah ranum itu sudah hilang dari pandangannya. Kolam air itu pun telah bertukar menjadi sebuah kolam yang luas idak bertepi.

''tolong!!''
''tolong!!'' teriak Haji Malim.

Setelah tersedar dari tidur Haji Malim merasai sungguh aneh. Seluruh badanya basah kuyup. Ketiga-tiga isterinya sudah berda di sisinya. Cemas.

''abang haji mengigau tadi?'' tanya Hjh Sakinah lembut.

''mana Jusuh, mana Taib, mana pengawal-pengawal di luar? Mana mereka?!''

''sabar abang haji....'' pujuk Hjh Sharifah, tersedu.

''mana mereka? Aku mahu mereka cari budak hitam itu sampai dapat! Aku mahu jumpa budak hitam itu semula!''

Ketiga-tiga isterinya turun ke bahagian bawah mendapatkan Jusuh, Taib dan pengawal di pintu pagar. Tidak berapa lam kemudian, bunyi deru Trooper memecah kesunyian senja turun dari puncak Bukit Kaya meninggalkan Haji Malim yang sedang dibungkus rasa gelisah.

Jusuh yang memandu Trooper itu memecut selaju mungkin. Dia igin mempercepatkan misi memburu si budak hitam yang berada entah di mana.

Sahabat

Pesanan al-Qamah (seorang sahabat Rasulullah saw) kepada anaknya:

Pertama: pilihlah sahabat yang suka melindungi sahabatnya, dia adalah hiasan diri kita dan jika kita dalam kekurangan nafkah, dia suka mencukupi keperluan.

Kedua: pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, dia suka menerima dengan rasa terharu, jikalau ia melihat kebaikan yang ada pada dirimu, dia suka menghitung-hitungkan (menyebutnya).

Ketiga: pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, ia suka menerima dengan rasa terharu dan dianggap sangat berguna, dan jika ia mengetahui mengenai keburukan dirimu ia suka menutupinya.

Keempat: pilihlah sahabat yang jikalau engkau meminta sesuatu daripadanya, pasti ia memberi, jikalau engkau diam, dia mula menyapamu dulu dan jika ada sesuatu kesukaran dan kesedihan yang menimpa dirimu, dia suka membantu dan meringankanmu serta menghiburkanmu.

Kelima: sahabat yang jikalau engkau berkata, ia suka membenarkan ucapan dan bukan selalu mempercayainya saja. Jikalau engkau mengemukakan sesuatu persoalan yang berat dia suka mengusahakannya dan jika engkau berselisih dengannya, dia suka mengalah untuk kepentinganmu.

“Ya Haiyyum, Ya Qayyum, dengan rahmatMu daku memohon pertolongan. Baikilah seluruh urusanku, dan janganlah Engkau serahkan diriku ini kepadaku walaupun sekelip mata” (Riwayat al-Nasai, dinilai sahih oleh al-Albani).


Firman Allah dalam surah Al-Hujurat ayat 6 yang Tafsirnya:
"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan."

Cuba kira berapa orang sebenarnya

Alam dewasa remaja perlu persiapan ilmu

Oleh: PROf. DR. SIDEK BABA

PERINGKAT remaja adalah peringkat percubaan untuk mengenal, mengetahui, belajar, bertatih dan akhirnya membina sikap, pendirian, watak, tingkah laku, perangai dan kebiasaan terhadap sesuatu perkara atau pun amalan. Peringkat remaja juga adalah tahap yang amat penting untuk membina persediaan masuk ke alam dewasa. Tanpa persiapan yang baik untuk masuk ke alam dewasa, proses pendewasaan remaja tidak akan sampai ke peringkat matang dan menyumbang.

Maksud matang ialah remaja sebelum masuk ke alam dewasa sudah mula membuat persiapan ilmu, meningkatkan pengajian ilmu di peringkat yang lebih tinggi, bersikap positif terhadap kemajuan, perubahan ke arah kebaikan, mengetahui batas pergaulan dan batas keseronokan, merancang ke arah hidup yang lebih bermakna. Menyumbang bermaksud tenaga pemikiran remaja yang dinamik, tenaga fizikal yang tangkas digunakan ke arah kebaikan bukan sahaja untuk diri tetapi juga keluarga dan persekitaran.

Ada di kalangan remaja berpendapat bahawa hidup hanya sekali. Kehidupan remaja yang penuh dengan keseronokan dan kegembiraan hanya sekali. Tempoh itu harus digunakan sepenuhnya untuk bersuka-ria, melakukan dan mengalami apa sahaja yang tergerak di hati dan teringin oleh nafsu.

Remaja harus mencuba dan terus mencuba sesuatu yang dilihat terlarang. Sudah dicuba dan dialami, maka barulah diketahui baik buruknya sesuatu. Kalau terlajak pun taubatnya kemudian. Sikap remaja yang seperti ini amat bahaya dan bakal merosakkan. Sekiranya remaja terlajak lazimnya ia menjadi ketagihan. Merokok, mulanya cuba-cuba akhirnya timbul ketagihan. Mengambil ganja mulanya cuba-cuba, akhirnya menjadi ketagih dan akhirnya terjebak dalam perangkap salah guna yang teruk. Bercampur gaul tanpa batasan juga amat menyeronokkan nafsu-nafsi, akhirnya remaja terperangkap dengan salah-laku seks yang juga menimbulkan ketagihan.

Untuk mencari jalan kembali apabila terlajak, ia amat payah. Lihat saja yang tersadai di Pusat-Pusat Serenti atau di penjara kerana salah-guna dadah, harapan untuk dipulihkan amat tipis sekali. Bayangkan bagaimana potensi tenaga muda disalahguna menyebabkan ia rosak dan menjadi beban pula kepada negara.

Alam dewasa ialah alam yang penuh tanggungjawab dan cabaran. Ada beberapa perkara utama yang akan berlaku di tahap Alam dewasa ini.

1. Alam memenuhi cita-cita dan pengajian.

2. Alam berumahtangga.

3. Alam pekerjaan.

4. Alam beranak-pinak.

5. Alam menyumbang kepada masyarakat.

6. Alam memiliki harta.

Alam memenuhi cita-cita dan pengajian ialah lanjutan daripada cita-cita yang dibina pada zaman remaja, sama ada ia menjadi angan-angan atau realiti. Selepas umur 19 tahun remaja sudah masuk ke alam dewasa, bidang pengajian akan mula ditentukan. Sama ada bidang pengajian selari atau tidak dengan cita-cita. Sekiranya cita-cita di peringkat remaja selari dengan bidang pengajian di peringkat dewasa, ia memberi kekukuhan jalan hidup dewasanya.

Sekiranya tidak berlaku seperti apa yang dicita-cita kerana sebab-sebab tertentu, tentunya seseorang itu akan berada di suatu persimpangan untuk memilih jalan terbaik yang lain. Di tahap ini seseorang harus tahu bahawa antara minat dan bakat serta hasil pencapaian akademik, kadang-kadang menjadi tidak seimbang.

Dalam keadaan seperti ini seseorang harus mampu memilih alternatif terbaik supaya menjalani alam remaja dalam membina cita-cita baru, tidak dijadikan faktor penghalang, malah ia menjadikan seseorang lebih matang, bersedia menghadapi kemungkinan dan cabaran serta sanggup meningkatkan lagi perjalanan ilmu yang memberi manfaat di alam dewasa nanti.

Selepas mencapai cita-cita keilmuan, alam dewasa pastinya mendorong seseorang untuk mencari pekerjaan. Bekerja adalah suatu cara untuk mencari sumber penghidupan dan melakukan khidmat yang terbaik. Cabaran mencari pekerjaan juga adalah sesuatu yang tidak mudah.

Sekiranya sejak zaman remaja seseorang sentiasa cemerlang dengan pencapaian akademik dan ketrampilannya, peluang untuk mendapat kerja tidak begitu rumit. Pekerjaan ini amat penting sebagai penyambung jalan hidup seterusnya. Harus ada tekad di kalangan remaja bahawa ilmu dan ketrampilan yang dicari dan bidang kursus yang diikuti, hanya asas untuk memulakan penghidupan yang lebih bermakna.

Sekiranya dengan kelulusan yang ada menjadikan remaja lebih kreatif, berusaha sendiri, terlibat dalam perniagaan dan industri kecil dan sederhana kemudiannya, masalah pengangguran tidak akan berbangkit. Kalau hanya bergantung kerja dengan pihak kerajaan atau swasta saja tanpa ada hasrat untuk bekerja dan berniaga sendiri, peluang mencari rezeki akan jadi terbatas.

Para remaja yang bakal masuk ke alam dewasa harus bersikap positif bahawa rezeki Allah ada di mana-mana. Kuasai ilmu asas yang baik dalam apa jua bidang yang ingin kita ceburi, pupuk disiplin diri, bina tekad dan azam dan sertailah dunia perniagaan dan industri secara kecil-kecil dahulu, dan apabila sudah mempunyai modal dan pengalaman yang bertambah, meningkatlah lebih tinggi lagi dengan harapan akan menjadi pengusaha dan peniaga yang berjaya suatu ketika nanti.

Inilah jalan berfikir yang ada di kalangan ramai remaja yang bukan Islam kerana menginsafi bahawa bergantung kepada peluang kerja yang ditawarkan oleh pihak kerajaan amatlah terbatas, dan bumi kita ini menunggu penglibatan kita untuk meneroka dan mencari rezeki yang halal.

Mempunyai pekerjaan yang diminati memberikan laluan seterusnya untuk memikirkan teman hidup pula. Memasuki gerbang perkahwinan adalah fitrah bagi mereka setelah ada pendapatan dan mampu melakukan penyaraan. Menjadi bakal suami dan isteri adalah suatu tahap yang sangat penting dalam hidup seseorang. Tanpa ilmu dan akhlak yang baik, suami isteri akan menghadapi kesulitan mengaturkan kehidupan.

Apabila sudah beranak pinak, ibu dan ayah mempunyai amanah pendidikan yang besar. Bolehkah pendidikan berjalan dengan baik sekiranya diri ibu dan ayah tidak menjadi teladan yang terbaik bagi anak-anak? Di peringkat ini amat penting ilmu ketrampilan keibubapaan dipelajari dan dikuasai. Lebih-lebih lagi mendidik anak pada zaman kini yang banyak dirangsang oleh faktor media cetak dan elektronik yang amat mempengaruhi minda dan tingkah-lakunya.

Kadang-kadang kerana kesibukan mencari rezeki anak-anak jadi terbiar. Belaian, kasih sayang dan didikan tidak dapat diberikan sepenuhnya. Kebimbangan yang ada ialah berlakunya keciciran dalam proses membesarkan anak-anak. Dan tempoh yang amat kritikal dalam proses mendidik seseorang manusia ialah bermula lahirnya dalam keadaan fitrah sehingga tempoh akil balighnya.

Tempoh ini memerlukan belaian dan kasih sayang yang tinggi, contoh teladan yang baik, persekitaran yang menyuburkan akhlaknya kerana anak-anak mempunyai naluri meniru dan meneladani.

Katakan seseorang di alam remajanya tidak bercita-cita tinggi, tidak peduli untuk mendapatkan ilmu pengetahuan yang berguna, terlibat dalam pergaulan bebas tanpa batasan, bergaul di kalangan remaja yang suka berseronok-seronok, cuai kepada pesan dan nasihat ibu bapa, tidak patuh kepada ajaran agama, sifat ego yang tinggi dan melulu, berfikir secukup hidup dan lain-lain, alam dewasa yang bakal dimasuki tidak memberikan janji yang baik.

Alam dewasanya tidak akan memberikan kematangan dan kedewasaan pada dirinya. Alam dewasa membebankan hidupnya kerana banyak tanggungjawab perlu dilakukan. Akhirnya seseorang akan kehilangan arah dan hala tuju hidup. Pada waktu inilah ia mudah terjebak dengan amalan-amalan negatif sama ada terlibat dengan amalan salahguna dadah, hidup berseronok-seronok, malah mungkin terlibat dengan jenayah dan kegiatan-kegiatan yang menyalahi undang-undang sehingga tempoh dewasanya berakhir dengan tragedi ngeri.

Persiapan, pengalaman dan bakat yang terbina dengan baik pada zaman remaja akan melanjutkan amalan, tingkah-laku, tabiat dan pekerti pada zaman dewasa seseorang. Seseorang kena ingat pentingnya membina potensi, minat dan bakat secara sihat pada peringkat awal umur kerana peringkat awal umur ialah tahap di mana proses peniruan berlaku.

Pada peringkat sebelum remaja atau pada zaman remaja, bakat akal, bakat rohani dan jasmani adalah di peringkat pembentukan dan penyuburan. Sekiranya proses pembentukan dan penyuburan tidak berlaku secara fitrah, ia akan mewujudkan ketempangan. Sebaliknya pembentukan berlaku secara positif, ia ibarat menyediakan tapak yang kukuh, bakat yang terserlah dan kecenderungan yang positif ke arah peningkatan seterusnya.

Melihat Positif Dalam Negatif

“Biarlah hanya papan dan tanah menjadi pemisah antara jasad dan perjuangan. Insya Allah.”

Sesungguhnya kita patut BERSYUKUR…

1. untuk suami/isteri yang tidur berdengkur diwaktu malam, kerana beliau tidur disisi kita bukan dengan orang lain.

2. untuk anak/adik perempuan kita yang mengomel apabila mencuci pinggan, kerana itu bermakna dia berada di rumah, bukan dijalanan berpeleseran.

3. untuk cukai pendapatan yang kita kena bayar, kerana itu bermakna kita masih mempunyai pekerjaan.

4. untuk pakaian kita yang dah tak muat, kerana itu bermakna kita cukup makan.

5. untuk lantai yang perlu dimop, tingkap yang perlu dilap, dan rumah yang perlu dikemas, kerana itu bermakna kita mempunyai tempat tinggal.

6. untuk bunyi bising jiran-jiran, kerana itu bermakna kita masih lagi boleh mendengar.

7. untuk timbunan pakaian yang perlu dicuci/digosok kerana itu bermakna kita ada pakaian untuk dipakai.

8. untuk keletihan/kesakitan otot selepas seharian bekerja, kerana itu bermakna kita masih berupaya untuk kerja kuat.

9. untuk tempat letak kereta yang jauh daripada lif, kerana itu bermakna kita masih berupaya untuk berjalan.

10.untuk jam loceng yang berdering pada waktu pagi, kerana itu bermakna kita masih hidup untuk meneruskan hari tersebut…

HAVE A WONDERFUL DAY!!!

BELAJARLAH BERSYUKUR…….

Kemahiran berfikir perlu pendedahan sejak zaman remaja

Oleh: DR. SIDEK BABA

KEMAHIRAN berfikir adalah sesuatu yang amat fundamental dalam kemajuan sesuatu negara dan bangsa. Bangsa Yunani terkenal melahirkan ahli-ahli fikir dan sekali gus menghasilkan karya-karya besar.

Pemikir seperti Aristotle, Plato, Socrates dan lain-lain, pemikirannya dikaji sehingga kini. Hal yang sama berlaku dalam ketamadunan Islam yang melahirkan pemikir-pemikir besar dalam banyak bidang. Orang-orang seperti Ibn Nafis, Ibn Sina, al Batani, al Khwarizmi, al Biruni, al Zahrawi, ibn Khaldun, ibn Taimiyyah, Shah Waliyullah dan lain-lain adalah pemikir, pengkaji dan saintis pada zamannya yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan manusia dan tamadun. Kekuatan yang ada pada mereka bermula dengan tradisi berfikir yang menghasilkan ilmu dan karya.

Kemahiran berfikir harus didedahkan kepada generasi muda sejak zaman remajanya lagi. Kecenderungan al Farabi, al Kindi, Ibn Rushd berfikir bermula sejak umur remaja lagi. Bermula dengan mendekati dan meneliti al Quran, menguasai aspek-aspek bahasa dan tafsir sehinggalah mendekatkan mereka dengan ilmu-ilmu falsafah, matematik, astronomi dan muzik adalah gambaran tradisi berfikir yang cemerlang berlaku di kalangan mereka. Dewasanya mereka menghasilkan karya-karya besar untuk kajian dan tatapan manusia berzaman-zaman.

Berfikir sebagai suatu kemahiran perlu disuburkan di kalangan remaja. Tempoh remaja adalah tempoh yang amat berpotensi membentuk kemahiran berfikir supaya potensi akliah atau mindanya dapat berkembang dengan subur dan baik. Remaja tidak seharusnya di dedah dengan pendekatan mengingat dan menghafaz saja. Ia juga penting sebagai suatu cara merakam maklumat dan ilmu. Tetapi lebih penting lagi ialah bagaimana maklumat dan ilmu dapat difahami dan diaplikasikan kepada diri dan juga diluar diri. Ia sudah tentu menuntut upaya atau kemahiran berfikir.

Kemahiran berfikir amat perlu bagi remaja supaya sudut pandangannya menjadi luas dan mantap. Oleh kerana sifat ilmu dan maklumat adalah berkembang, pemikiran remaja tidak harus statik, beku dan jumud dalam tahap-tahap tertentu sedangkan perkembangan maklumat dan ilmu di sekitarnya berkembang dengan laju. Dalam gelombang perkembangan maklumat yang digerakkan oleh teknologi para remaja harus berkemampuan menyaring yang mana baik dan bermanfaat atau yang mana sebaliknya. Kemahiran berfikir boleh membantu.

Apa yang penting bagi remaja ialah kenal pasti potensi, minat dan kecenderungan terhadap bidang-bidang ilmu dan keahlian kemudian latih diri dengan kemahiran berfikir yang sistematik. Maksud berfikir yang sistematik ialah bagaimana pemerhatian, pengkajian, dapatan, penemuan yang dilalui oleh remaja baik dalam hal-hal akademik dan kerja saintifik, mahupun khazanah pengalaman dan pemerhatian mencetuskan daya fikir, perasaan ingin tahu yang tinggi, kecenderungan melihat dalam perspektif yang berbeza, memperkayakan persepsi, tafsir dan taawil terhadap sesuatu adalah jalan-jalan yang menghasilkan kemahiran berfikir.

Remaja di peringkat awal membina kemahiran berfikir harus peka dan sensitif terhadap sesuatu. Ia mendorong rasa ingin tahu yang tinggi. Dorongan ingin tahu harus diikuti dengan pembacaan, perkongsian ilmu dan maklumat, melakukan analisis, mendapatkan maklumat-maklumat berbanding dari sumber-sumber lain kemudian meletakkan sesuatu subjek atau isu dalam persepktifnya. Apabila sesuatu itu berada dalam perspektifnya maka barulah asas pemikiran diletakkan dan subjek itu boleh dilihat secara kritikal, kreatif, reflektif, lateral, analitis, evaluatif dan sebagainya.

Melihat dan menanggapi sesuatu berasaskan perspektif pemikiran boleh menambahkan lagi kesuburan ilmu, menjadikan maklumat berkembang, pendapat diperkayakan dan akhirnya data dan fakta yang diperolehi menjadi lebih tersaring dan rumusan ke arah sesuatu akan menjadi lebih baik. Ia sangat penting memandu remaja berfikir dengan lebih tepat, baik dan sempurna. Ia boleh menyebabkan remaja berfikir dengan kualiti.

Pada hari ini ramai remaja yang tidak berfikir. Sesuatu itu dilihat secara pergi dan datang tanpa kecenderungan untuk berfikir baik atau buruknya. Sesuatu yang datang dalam hidupnya baik yang bercorak maklumat, hiburan, senikata, bahan pembacaan dan tontonan lebih banyak yang mengisi keperluan naluri dan nafsu. Sekiranya para remaja tidak dibina asas dirinya menjadi remaja yang baik dan berakhlak unsur hiburan dan berpoya-poya sangat digemari. Remaja jenis ini jarang berfikir tentang baik buruk, bermanfaat atau pun tidak akan sesuatu itu, sebaliknya menjadi pengguna setia hingga akhirnya menyebabkan para remaja terpengaruh dengan perkara-perkara negatif dan terlibat dengan perbuatan yang melampaui batas.

Dalam tradisi Islam kemahiran berfikir sentiasa dihubungkan dengan faktor zikir. Zikir di sini harus dilihat dalam erti kata yang luas. Zikir bukan hanya menyebut nama Allah atau kebesarannya tetapi zikir dalam konteks fikir mengajar remaja memahami faktor kewujudan Allah dengan tanda-tanda kebesaran-Nya. Allah s.w.t adalah sesuatu yang ghaib. Adanya alam ini, seluruh kejadian yang ada, rahmah dan nikmat yang melimpah, diberikan roh kepada manusia supaya manusia mampu berfikir, merasa dan memilik nilai dalam aplikasi hidup.

Remaja di peringkat awal umur lagi jangan hanya berfikir terhadap benda-benda yang wujud dan tampak semata-mata. Sesuatu yang wujud dalam alam dan kehidupan ini tidak semestinya maujud dalam bentuk yang nyata dan tampak. Roh yang ada pada tubuh remaja sendiri adalah sesuatu yang ghaib. Tetapi ia wujud pada diri dan memperkasa akal dan hati. Tanpa roh jasad, akal dan rohani tidak akan memberi makna apa-apa. Pemikiran pokoknya ialah siapa yang mencipta roh itu. Al-Quran memberikan pertunjuk bahawa roh itu adalah ciptaan Allah dan yang diketahui oleh manusia tentang roh adalah amat sedikit.

Akal adalah anugerah Allah yang amat berharga. Dari akal membolehkan remaja mengingat dan menghafaz. Dari akal juga menyebabkan pemikiran berkembang dan daya taakulan terjadi. Berfikir adalah suatu proses dan apa yang difikir menjadi sumber maklumat dan ilmu kepada remaja. Tetapi upaya pemikiran remaja terbatas sedangkan alam dan kehidupan yang amat luas ini sifatnya tidak terbatas. Remaja memerlukan pedoman. Al-Quran sebagai kalam Allah memberikan kita pedoman mengenai alam nyata dan alam ghaib. Darinya remaja belajar memberi perimbangan mengenai pertunjuk, pedoman dan pertanda dari Allah untuk manusia tahu dan darinya manusia dapat mengukuhkan jiwa kehambaan yang tinggi supaya kepatuhan dan ketaatan yang ada membolehkan remaja hidup dalam keadaan yang fitrah. Kalau tidak pemikiran remaja akan berkembang secara pemikiran orang Barat yang sebahagiannya tidak percaya kepada konsep Penciptaan dan menolak konsep ghaib sebagai dogma dan dihubungkan sebagai tidak rasional dan tidak saintifik.

Dalam al-Quran terdapat hampir 200 ayat yang khusus tentang sains. Ulama dan ilmuan Islam pada masa terdahulu berfikir berpandukan zikir iaitu menghubungkan Allah sebagai Pencipta. Sedikit kebesaran dan kehebatan hasil ciptaan-Nya dikaji oleh manusia dalam mengurus hidupnya. Bagi yang tidak beriman merasakan apa yang ditemui dan didapati dianggap ia hasil kajian saintifik manusia sedangkan bagi pemikir dan saintis Islam ia adalah tanda kebesaran Allah yang menciptakan segala sesuatu dan manusia hanya dapat menemui sedikit rahmah, hikmah dan nikmat-Nya. Dari situ manusia memiliki rasa syukur yang tinggi.

Para remaja Islam perlu bersikap kreatif, inovatif dan kritikal terhadap sesuatu fakta dan data. Tetapi daya kreatif, inovatif dan kritikal jangan sampai kita menolak faktor zikir hingga menyebabkan remaja kehilangan arah dan pedoman dan akhirnya menolak Tuhan dan agama. Faktor zikir adalah faktor yang memandu remaja dekat dengan kebenaran dan faham tentang fitrah kejadian. Oleh itu berfikir tanpa landasan boleh menyebabkan remaja hilang arah. Berfikir menolak fitrah kejadian akhirnya menyebabkan remaja menolak fitrah kejadian. Berfikir secara Qurani akan membimbing remaja ke arah kebenaran yang hakiki. Kebenaran hakikilah yang menjadi pedoman terbaik memandu remaja membina peribadi yang fitrah.

sebut 5 perkara

5 perkara yang patut disebut-sebut selalu untuk memberi kesedaran kepada kita sepanjang menjalani hidup ini.

Nabi Muhammad saw pernah mengingatkan umat-umatnya tentang kelima-lima perkara ini iaitu:

1) Perbanyakkan menyebut Allah daripada menyebut makhluk

Sudah menjadi kebiasaan bagi kita menyebut atau memuji-muji orang yang berbuat baik kepada kita sehingga kadang-kadang kita terlupa hakikat bahawa terlampau banyak nikmat yang telah Allah berikan kepada kita. Lantaran itu, kita terlupa memuji dan menyebut-nyebut nama Allah. Makhluk yang berbuat baik sedikit kita puji habisan tapi nikmat yang terlalu banyak Allah berikan kita langsung tak ingat. Sebaik-baiknya elok dibasahi lidah kita dengan memuji Allah setiap ketika, bukan ucapan Alhamdulillah hanya apabila sudah kekenyangan hingga sedawa. Pujian begini hanya di lidah saja tak menyelera hingga ke hati.

2) Perbanyakkan menyebut akhirat daripada menyebut urusan dunia

Dunia terlalu sedikit dibandingkan dengan akhirat. 1000 tahun di dunia setimpal dengan ukuran masa sehari di akhirat. Betapa kecilnya nisbah umur di dunia ini berbanding akhirat. Nikmat dunia juga 1/100 daripada nikmat akhirat. Begitu juga seksa dan kepayahan hidup di dunia hanya 1/100 daripada akhirat. Hanya orang yang senteng fikiran sibuk memikirkan Wawasan Dunia (WD) hingga terlupa Wawasan Akhirat (WA). Manusia yang paling cerdik ialah mereka yang sibuk merancang Wawasan Akhiratnya. Saham Amanah Dunia (SAD) tak penting, tapi yang paling penting ialah Saham Amanah Akhirat (SAA) yang tak pernah rugi dan merudum malahan sentiasa naik berlipat kali ganda. Oleh itu perbanyakkanlah menyebut-nyebut perihal akhirat supaya timbul keghairahan menanam dan melabur saham akhirat.

3) Perbanyakkan menyebut dan mengingat hal-hal kematian daripada hal-hal kehidupan

Kita sering memikirkan bekalan hidup ketika tua dan bersara tapi jarang memikirkan bekalan hidup semasa mati. Memikirkan mati adalah sunat kerana dengan berbuat demikian kita akan menginsafi diri dan kekurangan amalan yang perlu dibawa ke sana. Perjalanan yang jauh ke akhirat sudah tentu memerlukan bekalan yang amat banyak. Bekalan itu hendaklah dikumpulkan semasa hidup di dunia ini. Dunia ibarat kebun akhirat. Kalau tak usahakan kebun dunia ini masakan dapat mengutip hasilnya di akhirat? Dalam hubungan ini eloklah sikap Saidina Alli dicontohi. Meskipun sudah terjamin akan syurga, Saidina Ali masih mengeluh dengan hebat sekali tentang kurangnya amalan untuk dibawa ke akhirat yang jauh perjalanannya. Betapa pula dengan diri kita yang kerdil dan bergelumang dengan dosa?

4). Jangan menyebut-nyebut kebaikan diri dan keluarga

Syaitan memang sentiasa hendak memerangkap diri kita dengan menyuruh atau membisikkan kepada diri kita supaya sentiasa mengingat atau menyebut-nyebut tentang kebaikan yang kita lakukan sama ada kepada diri sendiri, keluarga atau masyarakat amnya. Satu kebaikan yang kita buat, kita sebut-sebut selalu macam rasmi ayam ‘bertelur sebiji riuh sekampung’. Kita terlupa bahawa dengan menyebut dan mengingat kebaikan kita itu sudah menimbulkan satu penyakit hati iaitu ujub. Penyakit ujub ini ibarat api dalam sekam boleh merosakkan pahala kebajikan yang kita buat. Lebih dahsyat lagi jika menimbulkan ria’ atau bangga diri yang mana Allah telah memberi amaran sesiapa yang memakai sifatNya (ria’) tidak akan mencium bau syurga. Ria’ adalah satu unsur dari syirik (khafi). Oleh itu eloklah kita berhati-hati supaya menghindarkan diri daripada mengingat kebaikan diri kita kepada orang lain. Kita perlu sedar bahawa perbuatan buat baik yang ada pada diri kita itu sebenarnya datang dari Allah. Allah yang menyuruh kita buat baik. Jadi kita patut bersyukur kepada Allah kerana menjadikan kita orang baik, bukannya mendabik dada mengatakan kita orang baik. Kita terlupa kepda Allah yang mengurniakan kebaikan itu.

5). Jangan sebut-sebut dan nampak-nampakkan keaiban atau keburukan diri orang lain.

Kegelapan hati ditokok dengan rangsangan syaitan selalu menyebabkan diri kita menyebut-nyebut kesalahan dan kekurangan orang lain. Kita terdorong melihat keaiban orang sehingga terlupa melihat keaiban dan kekurangan diri kita sendiri. Bak kata orang tua-tua ‘kuman seberang lautan nampak, tapi gajah di depan mata tak kelihatan’. Islam menuntut kita melihat kekurangan diri supaya dengan cara itu kita dapat memperbaiki kekurangan diri kita.

Menuding jari mengatakan orang lain tak betul sebenarnya memberikan isyarat bahawa diri kita sendiri tidak betul. Ibarat menunjuk jari telunjuk kepada orang; satu jari arah ke orang itu tapi 4 lagi jari menuding ke arah diri kita. Bermakna bukan orang itu yang buruk, malahan diri kita lebih buruk daripadanya. Oleh sebab itu, biasakan diri kita melihat keburukan diri kita bukannya keburukan orang lain. Jangan menjaga tepi kain orang sedangkan tepi kain kita koyak rabak. Dalam Islam ada digariskan sikap positif yang perlu dihayati dalam hubungan sesama manusia iaitu lihatlah satu kebaikan yang ada pada diri seseorang, meskipun ada banyak kejahatan yang ada pada dirinya.

Apabila melihat diri kita pula, lihatkan kejahatan yang ada pada diri kita walaupun kita pernah berbuat baik. Hanya dengan cara ini kita terselamat dari bisikan syaitan yang memang sentiasa mengatur perangkap untuk menjerumuskan kita ke dalam api neraka.

Jika kau fikirkan kau boleh, Kau hampir boleh melakukan

Apa yang Anda fikirkan itulah yang Anda perolehi. Allah menciptakan manusia lengkap dengan kemampuan untuk berpikir. Dari fikiran dunia berkembang dari peradaban primitif menjadi yang paling moden. Segala apa yang manusia ciptakan berasal dari kemampuan untuk memperdayakan fikiran. Kekuatan fikiran seringkali kita lupakan. Bila kita berfikir bahwa kita telah dikalahkan, maka sebenarnya kita telah kalah sebelum berperang, bila kita berfikir kita tidak mampu, maka sungguh kita menjadi lemah.

Bila kita ingin menang tapi kita berfikir kita tidak boleh menang, maka kita tidak akan pernah menjadi seorang pemenang. Bila kita berfikir bahwa kita benar-benar rugi maka kita akan benar-benar mengalaminya. Kejayaan, manafaat, berasal dari kemampuan manusia mewujudkan jalan fikirannya.

Segala sesuatu dalam kehidupan ini, perjuangan kehidupan Anda untuk kejayaan atau tidak, salah satunya ditentukan dari kemampuan Anda untuk memperdayakan pikiran Anda. beberapa fikiran yang harus anda fikirkan agar dapat mewujudkan mimpi.

1. Nasib saya tergantung dari diri saya

Bila Anda menghabiskan waktu hanya untuk menunggu datangnya keajaiban, maka Anda akan menunggu lama sekali, malah barangkali sia-sia. Seseorang yang berjaya selalu melakukan sesuatu, secara baik dan tepat, untuk mewujudkan keinginannya. Anda sebaiknya bergerak dan melakukan sesuatu, cari cara yang baik dan tepat, jangan hanya menunggu. Anda pasti akan berhasil dan berhak untuk mewujudkan impian.

2. Segala sesuatu mungkin saja terjadi

Anda berfikir tidak mungkin menjadi wakil pengarah, Mempunyai usaha sendiri, Segera menikah. Jika demikian, maka Anda memang tidak akan pernah mendapatkan mimpi anda. Ingat, jika Anda berfikir tidak boleh, maka Anda tidak akan pernah berjaya. Tetapi bila berpikir Anda boleh, maka Anda pasti boleh.

3. Pekerjaan apapun harus dilakukan dengan baik

Anda tidak pernah tahu ketika Anda diperhatikan atau dinilai. Bila Anda terbiasa melakukan pekerjaan dengan baik dan benar, maka Anda tidak mendapatkan kesulitan untuk menerima tanggung jawab yang lebih besar.

4. Menganggap penting setiap orang

Bila Anda ingin bersikap agresif, Anda pun perlu bersikap baik dengan rakan sekerja serta orang-orang yang berada di sekeliling. Anda keliru kalau menganggap tidak perlu menjalin hubungan baik dengan orang sekitar. Bersikaplah dengan sopan dan ramah terhadap orang-orang di sekeliling Anda. Soalnya, kita tidak pernah tahu, sikap baik itu mungkin memegang peranan penting bagi masa depan Anda.

5. Tidak terpaku pada latar belakang pendidikan

Bila selalu merasa bahwa pekerjaan yang Anda lakukan tidak sesuai dengan latar belakang pendidikan, maka Anda akan menghasilkan pretasi yang buruk. Mungkin pekerjaan yang Anda lakukan tidak terlalu sesuai bagi Anda, tetapi seorang profesional yang berjaya melakukan tugas yang dibebankan kepadanya dengan sebaik-baiknya tanpa peduli di mana mereka berada. Orang berjaya bukan selalu orang yang berpendidikan tingggi.

6. Memiliki jejaring yang kuat

Pegawai yang berjaya memahami dengan baik pentingnya suatu jaringan, baik di dalam maupun di luar pejabat. Anda perlu bersikap proaktif untuk mengembangkan hubungan profesional. Ajak dan undang rakan sekerja untuk makan tengahari di luar. Atau berinteraksi dengan rakan lama anda, dengan Milist, atau apapun yang membuka jaringan luas untuk hidup anda. Dengan mempunyai jaringan yang luas kesempatan berjaya akan semakin besar.

7. Kegagalan merupakan kunci kejayaan

Setiap orang pasti pernah mengalami kegagalan dari masa ke semasa. Perbezaan antara orang yang berjaya dan orang yang gagal adalah dari bagaimana mereka menghadapi kegagalan yang dialami. Pegawai yang berjaya selalu belajar dari kesalahan yang mereka lakukan dan tetap maju.

8. Tunjukkan kemampuan

Apakah Anda menunggu sampai seseorang menunjukkan bakat dan kemampuan Anda? Mungkin sudah tiba masanya anda memperlihatkan kemampuan Anda. Katakan kejayaan Anda dan apa yang telah Anda lakukan bagi perusahaan. Profesional yang maju memahami cara menunjukkan kejayaan mereka tanpa sombong.

9.Tidak pernah berhenti mencari peluang

Tentu saja ada masa di mana Anda puas dengan pekerjaan yang sedang Anda ceburi. Tetapi jangan lupa, profesional yang berjaya selalu mencari kesempatan untuk maju dan berkembang. Pasang mata, buka telinga, dan buka wawasan untuk tantangan dan kesempatan baru. Anda tidak pernah tahu, bila akan mendapatkan sesuatu yang dapat mengubah karier Anda menjadi lebih cemerlang.

Sikap mental yang positif merupakan hasil dari kehidupan yang didedikasikan untuk pengembangan diri. Dengan komitmen peribadi untuk melakukan hal yang terbaik hari ini, anda tidak perlu terlalu memikirkan hari esok. Anda akan mempunyai kepercayaan bahawa hal-hal baik akan terjadi seperti halnya anda mempunyai keyakinan bahawa jika suatu saat muncul masalah, maka anda akan mempunyai kekuatan dan ketrampilan untuk menangani, mengambil alih dan kemudian menaklukkannya. Anda adalah orang yang tegar. Anda tidakakan mengizinkan keraguan-keraguan anda merosak mimpi-mimpi anda. Harapan membuat musim semi menjadi abadi.

Jadi anda adalah apa yang anda fikirkan, tapi jangan hanya terus berfikir wujudkan segala yang ada didalam fikiran anda. ayuh segera capai kejayaan dalam hidup.

Mimpikan.. FIkirkan.. dan Lakukan... itulah kunci menggapai kejayaan.

Fikirkan Boleh


Jika kau fikirkan kau boleh
Kau hampir boleh melakukan
Jika kau fikirkan ragu-ragu
Usahamu tidak menentu

Jika kau fikirkan kekalahan
Kau hampiri kegagalan
Jika kau fikirkan kemenangan
Kau hampiri kejayaan

Engkaulah apa kau fikirkan
Terkandung dalam pemikiran
Kau fikir boleh melakukan
Fikirkan boleh

Percaya apa kau lakukan
Tabah apa kau usahakan
Bertindak atas kemampuan
Engkau boleh

Proses bina insan - Bergerak seiring

Oleh PROF. DR. SIDEK BABA

REMAJA dan proses bina insan adalah sesuatu yang bergerak seiring. Tidak mungkin ada penerus generasi sekiranya tidak ada remaja. Remaja hari ini adalah orang dewasa pada hari esok. Kualiti remaja hari ini menggambarkan kualiti negara pada masa depan. Aspek bina insan amat penting dijadikan keutamaan terhadap remaja hari ini supaya pembinaan dirinya berlaku secara seimbang dan harmoni.

Allah menjadikan remaja dengan tiga potensi atau tiga kekuatan. Pertama, Allah menjadikan akal membolehkan remaja berfikir. Hasil fikir menjadikan remaja tahu dan akhirnya berilmu. Allah menjadikan juga remaja memiliki potensi rohaniah. Daripadanya terdapat faktor hati, kalbu dan nafsu dalam diri remaja. Faktor hati membolehkan remaja berperasaan, kalbu membolehkan remaja membuat pertimbangan baik-buruk sesuatu, dan nafsu membolehkan remaja mengawal keinginan atau hajat.

Allah juga menjadikan remaja memiliki faktor jasmani. Daripada potensi jasmani membolehkan ia memiliki daya untuk bergerak dan melakukan sesuatu. Sama ada potensi akal, rohani atau jasmani, ia memerlukan didikan, asuhan, penyuburan supaya ia berkembang secara seimbang dan memantapkan lagi maksud bina insan yang menyeluruh.

Mengapa pendekatan membangunkan bina insan perlu menyeluruh. Ia disebabkan keperluan dan cabaran yang bakal dihadapi remaja sifatnya sedemikian. Contohnya remaja perlu memperkasakan akal menerusi latihan dan pendidikan kerana corak kemajuan dan perubahan hari ini memerlukan ilmu dan ketrampilan.

Tanpanya, remaja akan terpinggir daripada arus perubahan. Bangsa-bangsa yang maju berubah dengan kekuatan ilmu sains dan teknologi. Banyak faedah berbanding yang boleh remaja dapati apabila belajar di kalangan bangsa-bangsa yang maju.

Remaja harus bersikap terbuka untuk belajar ilmu orang lain di samping bersedia mengembangkan ilmu itu sesuai dengan acuan kita sendiri. Faktor ilmu-ilmu Islam pada masa lalu, menjadi sebab terbinanya tamadun di Barat.

Tidak salah kita mengambil ilmu-ilmu yang bermanfaat di Barat danTimur supaya umat Islam akhirnya memiliki kekuatan membangunkan tradisi ilmu dengan menampilkan keunggulan ilmu Islam dan mampu membina tamadun.

Remaja juga perlu memperteguh potensi rohani kerana corak cabaran hari ini banyak menguji kekuatan hati dalam membuat pertimbangan dan tindakan. Cabaran budaya popular hari ini umpamanya memerlukan kalbu yang teguh. Cabaran nafsu-nafsi dalam berbagai bentuk kini menghendaki kedudukan nafsu yang terkawal. Tanpa didikan dan asuhan berasaskan nilai-nilai agama, bayangkan apa akan jadi pada remaja yang subur dengan keinginan dan dorongan hawa nafsu kalau faktor rohaniah di tolak tepi.

Hal yang sama juga penting terhadap keperluan jasmani. Remaja yang tangkas dan perkasa adalah yang sentiasa menjaga kesihatan mental dan kesihatan dirinya. Bayangkan di kalangan remaja yang terlibat dalam amalan ketagihan dadah, kestabilan mental tidak ada dan ketangkasan fizikal juga merosot.

Ia mengakibatkan negara kehilangan sumber potensi yang amat berharga untuk menggerakkan mereka ke dalam sistem supaya sifatnya menyumbang bukannya beban kepada negara. Bayangkan berapa keturunan umat Islam bakal menanggung kerugian dalam proses pembinaan generasi, sekiranya yang terlibat dengan dadah dan yang mengidap penyakit AIDS/HIV semakin ramai dan jalan kembali amat terbatas.

Di sini perlunya pembinaan generasi muda atau remaja berjalan secara seimbang. Maksud seimbang dalam proses bina insan ialah penguasaan ilmu dan ketrampilan harus sama naik dengan pembinaan diri dan peribadi. Kurikulum atau ilmu yang dipelajari oleh remaja di sekolah atau di Pusat Pengajian Tinggi, harus mampu mengimbangi faktor agama, nilai, etika dan adab dalam pengertian yang luas supaya ia menjadi asas kepada setiap subjek yang diajarkan.

Pihak perancang pendidikan harus mampu mengolah perspektif nilai dan etika secara bijaksana. Umpamanya mengajar para remaja kemahiran matematik, harus didukung dengan nilai bahawa matematik tidak saja mengajar tentang angka dan kaedah kemahirannya tetapi dikaitkan dengan nilai ketepatan, keseimbangan dan tanggungjawab.

Apabila nilai Rabbani menjadi pedoman terhadap pengurusan kewangan, dengan sendirinya kualiti kerja akan dapat dipertahankan dan organisasi menjadi lebih produktif dan diyakini oleh pihak lain kerana faktor amanah, jujur dan ikhlas sentiasa menjadi pedoman terbaik dalam pengurusan.

Oleh itu strategi membangunkan remaja, seharusnya memberi keseimbangan yang baik antara membina ketahanan fizikal dengan rohaniah dan akal-fikiran. Sekiranya sesuatu bentuk latihan untuk para remaja hanya tertumpu kepada memperkasa fizikal, amat dibimbangkan proses bina insan ini tidak menjadi seimbang.

Zaman globalisasi ini ketangkasan minda amat dituntut. Oleh itu amat penting ketangkasan minda juga dipupuk supaya wujud perimbangan antara tindakan fizikal dengan kebijaksanaan akal. Kuasa-kuasa Barat sering menggunakan pendekatan strategik dalam mengatur dan melaksanakan sesuatu strategi.

Membangunkan sistem maklumat dan sistem telekomunikasi umpamanya, menuntut dibangunkan perisian dan program mengikut acuan mereka. Sekiranya di kalangan remaja tidak memiliki kewaspadaan mental dan intelek, minda remaja bakal dibentuk dengan acuan Barat. Tetapi apabila minda remaja ditangkaskan dengan nilai-nilai yang baik, para remaja menjadi lebih kritikal dan evaluatif. Ia bakal menyebabkan remaja lebih teliti dan berhati-hati dalam menggunakan sesuatu.

Hal yang sama juga perlu ada dalam strategi memperkasa rohani remaja. Mendidik agama dan nilai tidaklah dalam maksud yang pasif. Agama dan nilai adalah sesuatu yang hidup dan relevan dengan perkembangan zaman. Bagaimana faktor rohaniah menjadi faktor merangsang daya-juang, memperkasa jati-diri, pencetus keinsafan dapat dijadikan landasan membentuk watak remaja sehingga peribadi remaja terbina dengan watak 'ikan di laut masin'. Semasin mana persekitarannya, dagingnya tetap tawar atau dalam fahaman yang mudah ialah bagaimana hebatnya pengaruh persekitaran yang ada, peribadi remaja tetap utuh dan teguh.

Allah s.w.t. umpamanya menjadikan 'Bina Rijal' atau 'Bina Manusia' atau 'Bina Insan' sebagai perkara utama sebelum sistem dibangun dan diuruskan. Rasulullah s.a.w. menyebut pada zamannya baginda menghasilkan generasi yang cemerlang. Cemerlang di sini dirujuk kepada keteguhan akidah, kekuatan akhlak dan daya-juang tinggi yang dimiliki oleh para sahabat Nabi. Keunggulan peribadi sebegini tidak saja mampu meneruskan perjuangan Rasulullah s.a.w. tetapi menjadikan Kota Madinah sebagai model pembangunan yang seimbang, dan Model Madinah akhirnya mampu menjadi suluh terhadap pembangunan Baghdad, Baitul Hikmah dan Andalusia yang amat penting bagi pembangunan tamadun Islam dan tamadun umat manusia.

DR. SIDEK BABA ialah pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, Kuala Lumpur.

TAHUKAH ANDA…….

1. Sebatang rokok boleh memusnahkan 25 hingga 100 miligram Vitamin C

2.Orang yang sudah berumur tidak mendapat cukup Vitamin D kerana kurangnya pendedahan kepada cahaya matahari.

3.Kanak-kanak memerlukan lebih protein berbanding orang dewasa (kira-kira satu setengah hingga dua kali ganda per paun daripada berat badan) manakala bayi pula memerlukan tiga kali ganda lagi.

4.Vitamin B1 boleh mengurangkan mabuk laut dan udara

5.Flavonoids yang ditemui dalam anggur merah mempunyai kuasa 1,000 kali jika dibandingkan dengan Vitamin E

6.Pengambilan suplemen Vitamin E boleh mengurangkan sakit jantung

7.Untuk mengekalkan Vitamin B dan C, jangan rendam sayur-sayuran anda. sebaliknya terus basuh.

8.Beras perang atau merah adalah lebih sihat berbanding beras putih

9.Stainless steel, kaca dan bekas makanan berenamel adalah lebih bagus jika anda ingin mengekalkan nutrien makanan

10.Gunakan pisau yang tajam ketika memotong sayur-sayuran. Sayur-sayuran yang lebam akan kehilangan Vitamin A dan C

Untuk maju perlukah kita menjadi liberal?

Oleh PROF. DR. SIDEK BABA
http://drsidekbaba.blogspot.com/

ADA orang berpendapat bahawa untuk maju dan membangun kita mesti bersikap liberal. Liberal bermakna bersikap terbuka, menerima sesuatu daripada orang lain, sentiasa menerima perkara-perkara yang baru dan jangan terikat dengan tradisi dan perkara-perkara lalu yang sudah ketinggalan zaman.

Lalu lahir perasaan yang negatif terhadap tradisi, mengagumi cara hidup dan jalan berfikir orang lain, meremeh budaya dan nilai sendiri dan akhirnya menolak kehidupan yang dipandu oleh nilai- nilai agama.

Di tengah-tengah kebangkitan tamadun kebendaan Barat, umat Islam menjadi kehilangan arah dan pedoman. Meskipun Barat sudah lama meninggalkan kita dari sudut penjajahan fizikal namun penjajahan pemikiran, budaya dan nilai semakin mencengkam.

Umat Islam nampaknya belum lagi merasakan kemerdekaan yang sebenar dan terus menerus menjadi pengagum Barat yang amat luar biasa. Lalu lahir bidasan orang-orang yang ingin kembali kepada asas fundamental agama sebagai usaha memutar jarum jam ke belakang, kolot dan jumud.

Apakah Islam agama yang anti kemajuan dan pembangunan? Apakah faktor tradisi dianggap tidak penting dan yang lalu itu semuanya tidak mustahak dan relevan untuk kehidupan kini. Kalau begitu bagaimana umat yang beriman ingin memahami faktor nabi dan rasul, faktor al-Quran dan sejarah, faktor tamadun dan kecemerlangan ilmu adalah sesuatu yang berlaku pada masa yang silam.

Mengatakan yang silam itu tidak relevan seolah-olah menolak faktor kenabian, al-Quran dan tamadun silam yang amat menyumbang terhadap peradaban manusia. Bersikap terbuka tidak sama dengan membina faham liberal. Bersikap terbuka adalah sesuatu yang dituntut oleh Islam. Tetapi keterbukaan tidak bermakna menolak prinsip asasi Islam.

Faham liberal orang-orang Barat umumnya menolak agama dan tradisi. Faham liberal berkembang di Barat menjadikan mereka sekular dan setengahnya anti-agama. Tetapi fahaman keterbukaan orang-orang Islam mestilah dalam konteks litaarafu iaitu proses berkenalan yang memanfaatkan yang baik daripada tradisi orang lain kerana sifat jadinya manusia dan kehidupan adalah beragam atau pelbagai. Keterbukaan dalam tradisi Islam memperkayakan khazanah ilmu dan nilai-nilai baik dalam peradaban lain.

Remaja Islam perlu memahami asas-asas ilmu mengenai perubahan dan kemajuan, pembangunan dan kemodenan, keterbukaan dan tradisi, antara prinsip dan pendekatan supaya mempunyai asas berfikir yang betul dan tidak merugikan umat Islam secara jangka panjang.

Para remaja harus faham bahawa Islam adalah agama tamadun, agama perubahan dan agama kemajuan. Bezanya dengan Barat ialah kemajuan dalam Islam memberi fokus kepada kemajuan manusia. Apabila manusia maju ilmu dan pemikirannya, maju akhlak dan peribadinya maka manusia seperti itu akan memberi kesan baik kepada kemajuan sekitarnya.

Terdapat manusia yang maju ilmu pengetahuan dan penguasaan teknologinya tetapi buruk dari segi akhlak dan peribadinya. Manusia seperti ini boleh meruntuhkan tamadun dan peradaban malah kalau perubahan berlaku pun ialah perubahan ke arah kerosakan dan kefasadan.

Tradisi Islam tidak mengambil pendekatan anti-Barat atau pun anti-Timur semata-mata kerana mereka orang- orang Barat atau orang-orang Timur. Banyak faedah berbanding yang para remaja boleh peroleh daripada orang- orang Barat dan Timur terutama dalam bidang sains dan teknologi.

Apa yang umat Islam kurang senang ialah cara proses pemBaratan berlaku, seolah-olah memaksakan nilai dan gaya hidup mereka terhadap umat Islam. Inilah yang seharusnya menjadikan kepekaan remaja supaya keterbukaan remaja terhadap Barat tidak menyebabkan remaja hilang jati diri Islamnya.

Tradisi Islam juga tidak menentang teknologi. Teknologi yang bermanafaat selamanya dilihat oleh Islam sebagai alat tetapi bukannya matlamat. Matlamat kepada teknologi bergantung kepada nilai guna teknologi dan juga perisian dan program yang terdapat pada teknologi.

Komputer sebagai alat membawa kesan positif kepada keperluan manusia. Kesan positif itu akan menjadi lebih bermakna sekiranya maklumat yang diperolehi, prisian yang disajikan, program yang ditawarkan memberi menafaat kepada perkembangan ilmu dan juga maklumat.

Apa yang remaja patut lakukan ialah belajar menghargai tradisi. Tradisi yang baik sama ada dari sudut sejarah pengilmuan dan pendidikan berguna untuk dipelajari oleh remaja. Tradisi pengilmuan dan pendidikan dalam Islam sentiasa menitikberatkan kepentingan akhlak dan binaan peribadi di samping ilmu dan keterampilan.

Tetapi para remaja harus akui bahawa Ilmu Mengurus Sistem seperti sains, teknologi, kemahiran berfikir, ekonomi dan pengurusan tidak berkembang dalam tradisi pondok dan madrasah. Kalau ada pun ilmu Mengurus Sistem masih dalam tasawwur Barat.

Hal ini perlu diperbaiki dan diatasi supaya kekuatan ilmu Mengurus Diri (Fardu Ain) yang terpancar dalam kekuatan rohani dan peribadi dapat diimbangi dengan kekuatan Ilmu Mengurus Sistem (Fardu Kifayah) yang tegak atas dukungan atas pancaran nilai-nilai murni dan baik.

Asas ini sangat penting bagi remaja supaya keterbukaan remaja terhadap faktor luar lingkungan memperkayakan khazanah ilmu dan teknologi yang boleh memberi guna kepada umat Islam. Kecenderungan sistem pendidikan dalam dunia Islam hari lebih banyak memberi nilai ekonomi kepada aliran sains dan teknologi tetapi aliran sastera, kemanusiaan dan agama dianggap tidak mempunyai nilai ekonomi.

Kita sebagai manusia tidak sahaja memerlukan kefahaman tentang sains dan teknologi, ekonomi dan pengurusan tetapi manusia sebagai manusia perlukan pedoman nilai, falsafah dan hikmah kerana tanpanya nilai guna manusia akan menjadi negatif dan manusia cenderung melihat alat dan benda sebagai segala-gala bukannya kejujuran, amanah, kebaikan, keadilan, ikhlas, tulus dan telus sebagai asas binaan diri dan juga sistem.

Bersikap terbuka bukan bermakna menjadi liberal. Isu-isu tentang gender atau kejenisan, feminisme pemberatan terhadap wanita bukan sebenarnya isu Islam atau isu umat Islam. Ia timbul di kalangan umat Islam kerana sebahagian di kalangan umat Islam terbentuk dalam orientasi hidup dan berfikir di Barat dan amat kerdil memahami tradisi dan peradaban agamanya. Lalu mereka menjadi liberal dan mula mempersoalkan tentang kejenisan dan pemberatan terhadap wanita.

Para remaja harus cuba memahami hikmah di sebalik kejadian berpasang-pasang. Allah menjadikan manusia dan sekitarnya dalam bentuk berpasang-pasang supaya wujud titik-keseimbangan antara keduanya dalam peranan dan tanggungjawab.

Sekiranya titik-keseimbangan itu terbina atas asas adl wal ihsan maka tidak timbul isu diskriminasi di kalangan sesama manusia. Kalau orang-orang Islam melakukan diskriminasi sesama manusia, bukanlah salah Islam tetapi salah manusia itu sendiri.

Oleh itu apa yang berlaku dalam budaya dan kehidupan di Barat mungkin dianggap sesuai bagi orang-orang Barat dan tidak semestinya sesuai bagi orang-orang Islam. Keterbukaan Islam dan umatnya kepada Barat dan Timur tentulah bertempat supaya proses kemajuan masih lagi dan acuan kita sendiri.

- DR. SIDEK BABA ialah pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, Kuala Lumpur.

Itulah Perkahwinan..

Suatu pagi yang dingin, terjadilah satu perbualan antara seorang guru falsafah dan pelajarnya…

pelajar: guru, apakah erti cinta..?bagaimanakah saya boleh mendapatkannya…?

guru: ada sebuah ladang gandum yang luas didepan sana. berjalanlah kamu dan jangan sesekali kamu berundur.

kemudian ambillah satu ranting. sekiranya kamu mendapati ranting tersebut sangat menakjubkan, ertinya kamu telah menemui cinta.

pelajar tersebut pun berjalan dan tidak berapa lama dia kembali dengan tangan yang kosong.

guru bertanya: mengapa kamu tidak membawa sebatang ranting pun…?

pelajar menjawab: saya hanya terpaksa memilih satu ranting saja, dan sewaktu berjalan saya tidak boleh mengundur kebelakang semula. sebenarnya saya telah berjumpa dengan satu ranting yang paling menakjubkan tapi saya tak tahu apakah yang akan menakjubkan di hadapan sana nanti, maka saya biarkan ranting itu lalu saya dapati tidak ada lagi ranting yang paling menakjubkan selain daripada yang saya lihat tadi. jadi saya tidak mengambil sebatang pun akhirnya.

gurunya menjawab: ye, itu lah cinta…

dihari lainnya pula pelajar tersebut bertanya kepada gurunya, apa itu perkahwinan…?

guru: ada hutan yang subur didepan sana. berjalanlah kamu. tapi janganlah kamu sesekali mengundur kebelakang. tebanglah sepohon pokok saja. dan tebanglah jika kamu merasakan bahawa pohon tersebut adalah yang paling cantik,segar dan tinggi, kerana kamu telah menemukan apa itu perkahwinan.

pelajar tersebut pun berjalan, dan tidak berapa lama, dia datang semula dengan membawa sepohon kayu, walaupun pohon tersebut tidaklah berapa segar, cantik dan tinggi pada pandangan guru tersebut.

maka gurunya pun bertanya: mengapa kamu memotong pohon seperti ini….?

pelajar itu menjawab: sebab, berdasarkan pengalaman ku sebelum ini, aku hanya berjalan separuh daripada hutan tersebut dan aku takut akan kembali dengan tangan kosong. jadi saya mengambil kesempatan menebang pohon ini lalu dibawa kesini. pada pandangan saya ianya adalah pohon yang terbaik buat saya. saya tidak mahu kehilangannya atau menyesal kerana tidak memilihnya…

maka guru itu menjawab: itulah perkahwinan…….

Kesimpulannya… janganlah terlalu memilih, tiada manusia yang sempurna di dunia ini.

Kalau dah dapat yang rasa macam ok jer tu.. rembat je cepat..

Si Gadis

Saya ingin bercerita mengenai kisah adik saya, Nur Annisa, seorang gadis yang baru menginjak dewasa tetapi agak kasar dan suka berkelakuan seperti lelaki. Ketika usianya mencecah 17 tahun perkembangan tingkah lakunya benar-benar membimbangkan ibu. Dia sering membawa teman-teman lelakinya pulang ke rumah. Situasi ini menyebabkan ibu tidak senang tambahan pula ibu merupakan guru al-Quran.

Bagi mengelakkan pergaulan yang terlalu bebas,ibu telah meminta adik memakai tudung. Permintaan ibu itu ditolaknya sehingga seringkali berlaku pertengkaran-pertengkaran kecil antara mereka. Pernah pada suatu masa, adik berkata dengan suara yang agak keras,"cuba mama tengok, jiran-jiran kita pun ada yang anaknya pakai tudung, tapi perangainya sama je macam orang yang tak pakai tudung. Sampai kawan-kawan annisa kat sekolah, yang pakai tudung pun selalu keluar dating dengan boyfriend diorang, pegang-pegang tangan. Ani ni, walaupun tak pakai tudung, tak pernah buat macam tu!"

Ibu hanya mampu mengeluh mendengar kata-kata adik. Kadang kala saya terlihat ibu menangis di akhir malam. Dalam Qiamullailnya. Terdengar lirik doanya " Ya Allah, kenalkan annisa dengan hukumMu".

Pada satu hari ada jiran yang baru pindah berhampiran rumah kami. Sebuah keluarga yang mempunyai enam orang anak yang masih kecil. Suaminya bernama Abu khoiri, (nama sebenarnya siapa, tak dapat dipastikan). Saya mengenalinya sewaktu di masjid. Setelah beberapa lama mereka tinggal berhampiran rumah kami, timbul desas-desus mengenai isteri Abu Khoiri yang tidak pernah keluar rumah, hingga ada yang menggelarnya si buta, bisu dan tuli. Perkara ini telah sampai ke pengetahuan adik. Dia bertanya kepada saya, "abang, betul ke orang yang baru pindah itu, isterinya buta, bisu dan tuli?" Lalu saya menjawab sambil lewa, "kalau nak tau sangat, pergi rumah mereka, tanya sendiri".

Rupa-rupanya adik mengambil serius kata-kata saya dan benar-benar pergi ke rumah Abu Khoiri. Sekembalinya dari rumah mereka, saya melihat perubahan yang benar-benar mendadak berlaku pada wajah adik. Wajahnya yang tak pernah muram atau lesu menjadi pucat lesi. Entah apa yang dah berlaku? Namun, selang dua hari kemudian, dia minta ibu buatkan tudung.Tudung yang labuh. Adik pakai baju labuh. Lengan panjang pula tu. Saya sendiri jadi bingung. Bingung campur syukur kepada Allah SWT kerana saya melihat perubahan yang ajaib.

Ya, saya katakan ajaib kerana dia berubah seratus peratus! Tiada lagi anak-anak muda atau teman-teman wanitanya yang datang ke rumah hanya untuk bercakap perkara-perkara yang tidak tentu arah. Saya lihat, dia banyak merenung, banyak baca majalah Islam (biasanya dia suka beli majalah hiburan), dan saya lihat ibadahnya pun melebihi saya sendiri. Tak ketinggalan tahajudnya, baca Qur'annya, solat sunatnya dan yang lebih menakjubkan lagi, bila kawan-kawan saya datang, dia menundukkan pandangan. Segala puji bagi Engkau wahai Allah, jerit hati saya.

Tidak lama kemudian, saya mendapat panggilan untuk bekerja di kalimantan, kerja di satu perusahaan minyak CALTEX. Dua bulan saya bekerja di sana, saya mendapat khabar bahawa adik sakit tenat hingga ibu memanggil saya pulang ke rumah (rumah saya di Madiun). Dalam perjalanan, saya tak henti-henti berdoa kepada Allah SWT agar adik di beri kesembuhan, hanya itu yang mampu saya usahakan. Ketika saya sampai di rumah..didepan pintu sudah ramai orang. Hati berdebar-debar, tak dapat ditahan. Saya berlari masuk ke dalam rumah. Saya lihat ibu menangis. Saya segera menghampiri ibu lantas memeluknya. Dalam esak tangisnya ibu memberitahu, "Dhi, adik boleh mengucapkan kalimat Syahadah diakhir hidupnya". Air mata ini tak dapat ditahan lagi!!

Setelah selesai upacara pengkebumian dan lain-lainnya, saya masuk ke bilik adik. Saya lihat di atas mejanya terletak sebuah diari. Diari yang selalu adik tulis. Diari tempat adik menghabiskan waktunya sebelum tidur semasa hayatnya. Kemudian diari itu saya buka sehelai demi sehelai. Hingga sampai pada satu halaman yang menguak misteri dan pertanyaan yang selalu timbul di hati ini - Perubahan yang terjadi ketika adik baru pulang dari rumah Abu khoiri. Di situ tertera soaljawab antara adik dan isteri jiran kami itu.

Butirannya seperti ini: Soaljawab (saya lihat di lembaran itu terdapat banyak bekas airmata)

Annisa: (Aku hairan,wajah wanita ini cerah dan bersinar seperti bidadari) Mak cik, wajah mak cik sangat muda dan cantik!

Isteri jiranku : Alhamdulillah. Sesungguhnya kecantikan itu datang dari lubuk hati.

Annisa : tapi mak cik kan dah ada anak enam. Tapi masih kelihatan cantik.

Isteri jiranku : Subhanallah! Sesungguhnya keindahan itu milik Allah SWT. Dan bila Allah SWT berkehendak. Siapakah yang boleh menolaknya?

Annisa : Mak Cik, selama ini ibu saya selalu menyuruh saya memakai tudung, tapi saya selalu menolak kerana saya rasa tak ada masalah kalau saya tak pakai tudung asalkan saya berkelakuan baik. Saya tengok, banyak wanita yang pakai tudung tapi kelakuannya melebihi kami yang tak pakai. Sampaikan saya tak pernah rasa nak pakai tudung. Pendapat mak cik bagaimana?

Isteri jiranku : Annisa, sesungguhnya Allah SWT menjadikan seluruh tubuh wanita ini perhiasan dari hujung rambut hingga hujung kaki, segala sesuatu dari tubuh kita yang terlihat oleh bukan mahram kita semuanya akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT nanti, tudung adalah perlindungan untuk wanita!

Annisa : Tapi yang saya tengok, banyak wanita bertudung yang kelakuannya tak elok.

Isteri jiranku : Tudung hanyalah kain , tapi hakikat atau makna disebalik tudung itu sendiri yang harus kita fahami.

Annisa : apakah hakikat tudung?

Isteri jiranku : Hakikat tudung adalah perlindungan zahir batin, lindungi mata kamu dari memandang lelaki yang bukan mahram kamu, lindungi lidah kamu dari mengumpat orang dan bercakap perkara yang sia-sia. Sentiasalah lazimi lidah dengan zikir kepada Allah SWT, lindungi telinga kamu dari mendengar perkara yang mengundang mudharat baik untuk dirimu mahupun masyarakat , lindungi hidungmu dari mencium segala yang berbau busuk, lindungi tangan-tangan kamu dari berbuat sesuatu yang tidak senonoh, lindungi kaki kamu dari melangkah menuju maksiat, lindungi fikiran kamu dari berfikir perkara yang mengundang syaitan untuk memperdayai nafsu kamu, lindungi hati kamu dari sesuatu selain Allah SWT, bila kamu sudah biasa, maka tudung yang kamu pakai akan menyinari hati kamu. Itulah hakikat tudung.

Annisa : Mak cik, sekarang saya sudah jelas tentang erti tudung. Mudah mudahan saya mampu pakai tudung. Tapi, macam mana saya nak buat semua tu?

Isteri jiranku : Duhai nisa, bila kamu memakai tudung, itulah kurniaan dan rahmat yang datang dari Allah SWT yang Maha Pemberi Rahmat , bila kamu mensyukuri rahmat itu, kamu akan diberi kekuatan untuk melaksanakan amalan-amalan 'tudung' hingga mencapai kesempurnaan yang diinginkan Allah SWT. Duhai nisa, ingatlah akan satu hari di mana seluruh manusia akan dibangkitkan ketika ditiup sangkakala yang kedua. Pada saat roh-roh manusia seperti anai-anai yang bertebaran dan dikumpulkan dalam satu padang yang tiada batas, yang tanahnya dari logam yang panas, tiada rumput mahupun tumbuhan, ketika tujuh matahari didekatkan di atas kepala kita namun keadaan gelap gelita, ketika seluruh manusia ketakutan, ketika ibu tidak mempedulikan anaknya, anak tidak mempedulikan ibunya, sanak-saudara tidak kenal satu sama lain lagi, antara satu sama lain boleh menjadi musuh lantaran satu kebaikan lebih berharga dari segala sesuatu yang ada di alam ini, ketika manusia berbaris dengan barisan yang panjang dan masing masing hanya mempedulikan nasib dirinya, dan pada saat itu ada yang berpeluh kerana rasa takut yang luar biasa hingga tenggelam dirinya akibat peluh yang banyak, dan bermacam macam rupa-rupa bentuk manusia yang tergantung amalannya , ada yang melihat ketika hidupnya namun buta ketika dibangkitkan, ada yang berbentuk seperti haiwan,ada yang berbentuk seperti syaitan, semuanya menangis. Menangis kerana hari itu Allah SWT murka! Belum pernah Allah SWT murka sebelum dan sesudah hari itu. Hingga ribuan tahun manusia dibiarkan Allah SWT dipadang mahsyar yang panas membara hinggalah sampai ke Timbangan Mizan. Hari itulah dipanggil hari Hisab. Duhai Annisa, bila kita tidak berusaha untuk beramal pada hari ini, entah dengan apa nanti kita akan menjawab bila kita di tanya oleh Yang Maha Perkasa, Yang Maha Besar , Yang Maha Kuat , Yang Maha Agung, Allah SWT.

Sampai di sini sahaja kisah itu saya baca kerana di sini tulisannya terhenti dan saya lihat banyak titisan airmata yang jatuh dari pelupuk matanya. Subhanallah! Saya selak halaman berikutnya dan saya lihat tertera tulisan kecil dibawah tulisan itu
"buta, tuli dan bisu.. wanita yang tidak pernah melihat lelaki selain mahramnya , wanita yang tidak pernah mahu mendengar perkara yang dapat mengundang murka Allah SWT, wanita tidak pernah berbicara ghibah dan segala sesuatu yang mengundang dosa dan sia sia"

Tak tahan airmata ini pun jatuh. Semoga Allah SWT menerima adikku disisinya. Amin.

Subhanallah! Saya harap cerita ini boleh menjadi iktibar bagi kita semua. Wassalam.

-Wallahu A'lam-

Sumber: www.iLuvislam.com

Nilai adab didik remaja dari awal

Oleh: PROF. DR. SIDEK BABA

ADAB adalah pancaran akhlak yang mulia. Ia gambaran pekerti seseorang dalam tingkah laku hidupnya dan menggambarkan ketertiban, kesantunan dan kesopanan seseorang terhadap seseorang yang lain atau apabila berada dalam suatu situasi tertentu. Ia juga menyentuh tentang rasa hormat terhadap orang lain. Secara ringkasnya ia menyentuh perilaku seseorang terhadap Allah, Nabi Muhammad, pemimpin, ulama dan ilmuan, ibu bapa, keluarga, ketua, sahabat, rakan taulan dan orang ramai.

Ia penting bagi remaja. Tingkah laku dan akhlak remaja adalah di peringkat pembentukan. Di peringkat ini, nilai-nilai adab dan tatacaranya perlu diajar dan diketahui oleh remaja. Sebenarnya didikan mengenainya perlu berlaku di peringkat awal lagi oleh ibu bapa dan keluarga. Banyak mengenainya boleh diajarkan seperti adab dengan ibu bapa dari sudut panggilan, adab anak dengan kawan-kawan dan banyak lagi. Sekiranya remaja di peringkat awal lagi menjadikan tatacara adab sebagai sebahagian hidupnya, ia akan menjadi sebati pada dirinya dan akhirnya akan memandu cara hidup dewasanya.

Adab adalah gambaran kehalusan pekerti dan kesantunan tingkah laku insan. Ia adalah fitrah manusia. Apabila tatacara adab berjalan, ia menimbulkan harmoni pada diri, terhadap orang lain dan melahirkan ketertiban dalam masyarakat. Contohnya apabila kita beradab kepada Allah, kita melakukan apa yang di suruh dan menjauhkan yang dilarang. Apabila kita beradab kepada ibu dan ayah, kita mengikut apa yang dinasihatinya dan menjauhi yang ditegahnya. Adab kita kepada ulama dan ilmuan ialah kita memanfaatkan ilmu-ilmu baik yang diajarkannya. Adab kita kepada jiran ialah menghormati hak-hak jiran. Falsafah dan manfaat utama mengapa adab ini dilihat penting kerana mengekalkan harmoni, saling hormat, kesantunan dalam hubungan kemanusiaan.

Realiti hari ini menunjukkan sebahagian remaja kita sedang mengalami keadaan kehilangan adab. Ia berpunca kerana banyak sebab. Pertama, ibu bapa kurang prihatin tentang pentingnya adab dalam proses membentuk tingkah laku anak-anak. Kedua, anak-anak sangat terdedah dengan tingkah laku yang tidak menggambarkan adab yang baik sama ada menerusi pengalaman hidupnya, mahupun yang disaksikan di kaca TV. Ketiga, yang lebih berumur tidak menjadikan dirinya sebagai contoh terbaik dari sudut pengamalan adab. Keempat, anak-anak mudah tertarik dengan tingkah laku yang kasar, bahan-bahan permainan yang menjadikannya ganas dan objek-objek seksual yang merosakkan.

Sebab itu kita sering bertemu dengan remaja yang tidak memberi salam apabila berselisih, melakukan kerja-kerja maksiat secara terang-terangan, hilang silu dan malu apabila bercampur gaul, menggunakan bahasa dan kata-kata kurang sopan dan lucah, memakai pakaian menjolok mata, melawan ibu bapa, melawan guru, terlibat dengan gejala sosial dan kegiatan dadah serta banyak lagi. Itulah gambaran sebahagian remaja kita yang sudah kehilangan adab. Bayangkan kalau mereka ini bakal menjadi ibu bapa, pemimpin pada masa depan, apakah mereka boleh menyumbang ke arah pembangunan negara dan kesejahteraan umat?

Ia menuntut kerjasama semua pihak. Ibu bapa mestilah menjadi contoh teladan terbaik dari segi adab. Sekiranya rumah tangga memberikan asas yang baik kepada penitipan adab anak-anak, sekolah pula harus membantu mengukuhkan nilai-nilai adab pada diri pelajar dan muridnya. Seterusnya pihak media harus berperanan baik. Bentuk iklan, hiburan dan persembahan mesti membayangkan teladan yang baik. Sekiranya semua pihak berperanan dan merasa ia suatu tanggungjawab bersama, pemupukan adab akan berlaku dengan baik. Sekiranya hal-hal ini tidak berlaku tingkah laku dan pekerti yang biadap akan muncul.

Ahli ilmu menghubungkan adab dengan maksud yang lebih luas. Ia dihubungkan dengan aspek mendisiplinkan minda atau berfikir, dihubungkan dengan disiplin hati atau tabiat, dan dihubungkan dengan tingkah laku seseorang. Memang amat penting bagi remaja melakukan disiplin minda. Ia bermaksud apa yang remaja fikir, apa yang remaja baca, apa yang remaja tulis dan apa yang remaja bincang. Kalau remaja dilatih berfikir terhadap perkara-perkara yang baik dan bermanfaat di samping berfikir sebaliknya bagi maksud pengajaran, sudah tentu kebaikan juga akan menjadi buah pemikiran remaja.

Kalau yang dibaca oleh remaja adalah bahan-bahan yang menambahkan ilmu dan meninggikan hikmah, ia bakal menghasilkan buah fakir yang bernas dan baik, dan ia penting bagi memandu hidup remaja ke arah pedoman yang betul. Sekiranya remaja ada bakat menulis, apa yang difikir, ilham yang diterima dan bahan yang dibaca bakal membantu remaja untuk menulis sesuatu secara baik dan berkesan dan apabila hasil tulisan itu dibaca orang, ia bakal memberi manfaat kepada yang lain.

Di samping perlunya disiplin minda, disiplin hati adalah sesuatu yang amat penting. Daripada hati datangnya niat dan tabiat. Tabiat hati berhubung langsung dengan sifat diri manusia. Jujur, ikhlas, kasih, sayang, rindu dan benci datangnya daripada hati. Bagaimana sifat jujur dan ikhlas dapat diperkukuhkan, rasa kasih dan sayang dapat diperteguhkan, rasa rindu dapat dihidupkan dan rasa benci menjadi amalan. Apabila remaja jujur berkata-kata, ia menyuburkan sihat hati. Apabila remaja ikhlas dalam melakukan sesuatu ia bakal menjadi sumber amal, apabila rasa kasih dapat dibentuk ia menjadi remaja memiliki rasa kemanusiaan yang tinggi, apabila remaja memupuk rasa sayang terhadap ibu bapa, ia berguna untuk keluarga, dan apabila remaja benci kepada maksiat tentunya sifat itu menyelamatkan remaja daripada jebak keburukan. Inilah gambaran remaja yang beradab. Hal yang sama berkaitan dengan amalan dan perbuatan. Apabila minda memiliki kekuatan yang jernih dan teguh, apabila hati terbentuk dengan sifat-sifat yang murni dan baik, maka dengan sendirinya perbuatan amalan remaja akan terpancar berasakan apa yang ada dalam mindanya dan hatinya. Itulah yang dikatakan adab.

Imam al-Ghazali dalam kitabnya, Ihya Ulumuddin atau Jiwa Agama memberi analogi atau kiasan pancaindera manusia diibaratkan seperti anak-anak sungai. Hati atau kalbu diibaratkan seperti takungan air yang mengalir atau mudrikah. Daripada mata menyebabkan manusia melihat, memerhati, membaca, mengamati dan menulis sesuatu. Sekiranya yang dilihat, diperhati, dibaca, diamati dan ditulis itu adalah sesuatu yang baik, ia ibarat air jernih yang mengalir masuk ke kalbu atau mudrikah. Sebab itu Rasullullah s.a.w. mengibaratkan hati itu seketul daging, sekiranya baik daging itu maka baiklah pekerti manusia dan pekerti manusia yang baik itulah yang dikatakan asas adab bagi manusia. Adab yang baik tidak saja menghasilkan cara hidup yang baik tetapi akhirnya mencetuskan peradaban.

Krisis nilai berpunca daripada didikan

Oleh DR. SIDEK BABA
http://drsidekbaba.blogspot.com/

BILA seorang remaja berselisih jalan dengan seorang tua dan bertegur sapa, remaja itu mempunyai suatu nilai. Bila remaja lain terjumpa dengan dompet milik orang lain dan memulangkannya ke balai polis, remaja berkenaan juga mempunyai nilai. Bila seseorang remaja tahu bahawa dadah itu tidak baik dan berzina itu dilarang oleh agama dan tidak melakukannya, remaja itu juga mempunyai nilai. Nilai yang diamalkan oleh remaja seperti ini adalah nilai yang baik.

Sebaliknya, jika seorang remaja merosakkan alat telefon kegunaan awam, ia dilihat sebagai perbuatan yang tidak baik. Seorang remaja lain memandu motosikal dengan laju, bunyinya yang bingit, mengganggu ketenteraman orang ramai di tengah malam adalah juga perbuatan yang tidak baik. Seorang remaja lain pula bercumbu-cumbuan di khalayak ramai tanpa rasa malu, juga dianggap perbuatan yang tidak baik. Nilai yang digunakan oleh remaja seperti ini adalah nilai yang bercanggah dengan ajaran Islam.

Nilai adalah ukur tara tentang baik buruk sesuatu yang digunakan oleh remaja dalam percakapan, perlakuan dan amalan. Nilai sering disandarkan kepada agama, budaya, tradisi, falsafah ataupun sesuatu kepercayaan. Remaja mempunyai naluri, nafsu dan hati. Faktor dalaman diri remaja ini mempunyai dorongan yang amat kuat untuk melakukan sesuatu. Yang mempedoman remaja melakukan sesuatu adalah nilai. Sekiranya nilai hanya disandarkan kepada naluri semata-mata atau mengikut nafsu sahaja atau mengikut hati, kecenderungan perbuatan dan amalan mungkin berasaskan nilai-nilai yang ada dan teringin pada waktu itu dan mungkin cenderung ke arah yang buruk. Sebaliknya, jika perbuatan remaja disandarkan kepada pedoman agama, maka nilainya boleh menjadi baik.

Dalam Islam, nilai al-Quran dan hadis menjadi sumber memandu manusia menerima pedoman, panduan dan petunjuk dalam melakukan sesuatu. Nilai-nilai Islam memandu manusia ke arah kebaikan, kesejahteraan, amanah, keadilan dan kesaksamaan. Islam mengajar remaja supaya berkata benar, bersikap jujur, menghormati ibu bapa, orang tua dan jiran, melakukan sesuatu dengan ikhlas, jangan buruk sangka, menepati waktu, bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu dan selalu tulus dan telus dalam perbuatan dan amalan.

Nilai-nilai baik seperti ini apabila diamalkan oleh remaja, ia bakal menjadikan remaja orang dewasa yang matang, stabil, berhemah, dihormati dan diteladani. Fitrah manusia memang suka mencontohi perkara-perkara yang baik. Naluri dan dorongan nafsu manusia juga boleh mendorong manusia jadi sebaliknya. Sekiranya terdapat di kalangan remaja yang melakukan keburukan, ada kemungkinan nilai kepada perbuatan itu adalah hasil daripada didikan yang diterima, pengaruh persekitaran yang wujud atau pengaruh rakan yang digauli.

Dewasa ini kita melihat sebahagian remaja sedang menghadapi krisis nilai. Krisis nilai bermaksud gelagat atau tingkah laku sesetengah remaja tidak lagi menggambarkan dirinya sebagai orang yang beragama dan jauh lagi untuk mengatakan bahawa mereka itu berbudaya. Cara sikat rambutnya, cara berpakaiannya, cara pergaulannya, cara bercakap dan bahasa yang digunakannya, cara menghabiskan masa hariannya, cara menaiki motosikalnya, menggambarkan ada krisis nilai yang parah yang sedang dialami oleh mereka. Di kalangan mereka ini sudah hilang malu terhadap orang lain, tidak menerima teguran, bersikap agresif bila rasa dirinya tercabar, cenderung merokok dan mengambil dadah malah ramai yang terlibat dengan jenayah yang serius.

Mengapa hal ini berlaku? Jawapan yang mudah adalah pengaruh pergaulan dan pengaruh persekitaran. Sepatutnya dunia yang dikatakan maju dan membangun tidak akan menampilkan watak-watak remaja yang seperti itu. Dunia kemajuan dan pembangunan sepatutnya mendorong remaja menjadi lebih santun dan sopan, cintakan ilmu dan pendidikan, menghargai budaya bangsa dan tamadun umat. Sebaliknya dunia moden hari ini menghasilkan krisis nilai yang amat parah bagi remaja.

Asas yang utama dalam isu ini adalah pendidikan di peringkat awal kanak-kanak. Kalau ditanyakan bilakah tahap yang amat kritikal mendidik anak-anak, pakar pendidikan dan ahli agama akan mengatakan “sejak daripada perut ibu hinggalah ke aqil baligh”. Ini tidaklah bermakna tahap-tahap umur yang lain tidak penting dalam memberikan didikan dan asuhan. Tahap kritikal ini dilihat oleh para pendidik dan ahli agama kerana kanak-kanak akan melalui proses pertumbuhan akal, emosi, kejiwaan dan memiliki kecenderungan atau naluri meniru, mencontohi, meneladani dan mudah terpengaruh dengan apa yang dilihat, ditonton dan disaksikan terutama terhadap perlakuan ibu bapa, di kalangan adik-beradik mahupun di kalangan rakan sebaya. Pada tahap ini bermulanya asas nilai dan perlakuan yang mula membentuk watak kanak-kanak dan ia bakal menjadi landasan membentuk perlakuan ke arah tahap remaja.

Para remaja nanti tanpa disedari atau memang disengajakan akan berasa selesa dengan corak perlakuan yang bermula sejak awal usianya lagi. Sekiranya pola-pola perlakuan tidak diperhatikan oleh ibu bapa dan mengambil langkah membentuknya sejak dari awal, besar kemungkinan apa yang sudah terbiasa dan lazim di peringkat kanak-kanak boleh berterusan sehingga ke tahap remaja, dewasa dan tua.

Terdedah

Krisis nilai adalah akibat daripada tidak berlakunya pemupukan nilai-nilai murni dan baik sejak daripada peringkat umur kritikal lagi. Pendidikan berkualiti daripada ibu bapa tidak berlaku, anak-anak amat terdedah dengan bahan-bahan yang tidak baik daripada media cetak dan elektronik malah bahan-bahan seperti ini banyak mempengaruhi dan mendorong remaja mencontohinya.

Apabila anak-anak mengalami keciciran di rumah dan sekolah pula tidak memberikan kesan penghayatan kepada nilai-nilai baik, contoh-contoh dalam masyarakat juga tidak banyak membantu. Ia menyebabkan para remaja menjadi penganut nilai-nilai negatif dan akhirnya berlaku krisis nilai.

Memang sebahagian besar filem, corak hiburan, majalah-majalah, festival-festival yang berkembang di Barat dan disajikan dalam media cetak dan elektronik hari ini amat mencabar nilai-nilai murni seseorang remaja. Bayangkan seseorang remaja yang sejak zaman kanak-kanaknya lagi tidak diberi peluang untuk diasuh dan dididik dengan nilai-nilai agama, budaya dan tradisi yang baik, tidak mungkin zaman remajanya mempunyai ketahanan dan kekebalan menghadapi kerenah budaya popular yang cenderung merangsang nafsu-nafsi dan jalan berfoya-foya yang mengarah kepada perbuatan melampaui batas.

Ia menyebabkan wujudnya jurang yang dalam antara remaja dengan ibu bapa dan amalan dalam keluarga. Ia juga melahirkan konflik antara golongan lama dan tua dengan golongan muda yang lagaknya lebih agresif. Keadaan seperti ini menyebabkan apa yang remaja lakukan tidak lagi mengambil acuan yang lazim berlaku di mana pemindahan budaya, nilai dan tradisi lazim berlaku secara berterusan walaupun wujud faktor-faktor yang berubah pada setiap zaman. Ia tidak menghalang proses pengukuhan jati diri berasaskan nilai-nilai baik dan murni.

Remaja harus insaf bahawa sebagai orang Islam, remaja ada agama, ada bahasa dan budaya, ada tradisi dan jati diri. Remaja juga harus sedar bahawa sifat zaman adalah berubah. Faktor-faktor perubahan tetap wujud di sepanjang tempoh hidup manusia. Tetapi perubahan yang berlaku tidaklah sampai merobohkan asas-asas nilai, budaya dan tradisi baik yang kita miliki zaman berzaman.

Para remaja harus berusaha membina keupayaan bagaimana nilai-nilai baik daripada agama dan budaya boleh menjadi landasan untuk disesuaikan dengan perkembangan hari ini. Nilai-nilai teras dan asasi yang dipedomankan oleh Islam seharusnya menjadi prinsip utama dalam pembentukan watak dan peribadi remaja.

Islam memberikan landasan supaya ilmu dan pendidikan seharusnya berjalan secara fitrah sejak pada awal umur lagi. Islam juga mendidik remaja supaya berpekerti baik dan sentiasa tinggi cita-cita untuk membangun akhlak mulia, berilmu dan cemerlang dalam sesuatu jurusan. Islam juga menganjurkan supaya menjadi orang yang bersyukur dan sentiasa bersedia untuk menyumbang khidmat dan kebaikan kepada orang lain bila sampai masanya nanti.

Sekiranya asas ini dijadikan nilai-nilai teras dalam kehidupan remaja, dewasanya remaja nanti akan menjadi orang yang jelas nilai bukan menghadapi krisis nilai seperti yang dialami oleh sesetengah remaja pada hari ini.

3 JENIS MIMPI

1) Mimpi dari Allah SWT iaitu mimpi yang baik untuk dunia dan akhirat merupakan khabar gembira atau suatu peringatan daripada Allah SWT supaya tidak melakukan maksiat terhadapNya.

2) Mimpi daripada syaitan iaitu mimpi buruk yang tidak menyenangkan seperti kedatangan malapetaka, musibah, permusuhan, kesedihan, kesengsaraan, kemelaratan, penderitaan dan sebagainya.

3) Mimpi yang dipengaruhi oleh keadaan diri seseorang itu sendiri umpamanya bermimpi makan ketika keadaan diri sedang lapar atau ketika dalam keadaan kenyang bermimpi termuntah atau salah satu anggota tubuh sedang sakit dan bermimpi dianiaya orang dan sebagainya. Mimpi seperti ini tidak mempunyai erti sama sekali.

Sabda Rasulullah SAW “mimpi itu ada 3, mimpi dari Allah SWT ( mimpi yang baik ), mimpi daripada syaitan (mimpi buruk) dan mimpi daripada dirinya yang kerana terjadi sesuatu kemudian dia bermimpi”

Dicatat oleh En Ahmad

Artikel dari : http://urutdanrawat.com

Memperkasa peranan ‘tekno daie’

Oleh ZUARIDA MOHYIN

Artikel dari: http://www.utusan.com.my


SENARIO demi senario di asas menjadikan kita dalam situasi serba salah dan berbelah bahagi. Bak kata pepatah, ditelan mati emak, diluah mati bapa.

Apa tidaknya, perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) telah mencetuskan satu fenomena baru, seterusnya mewujudkan dunia tanpa sempadan.

Malah apabila kita membicarakan tentang penggunaan ICT, kita sebenarnya tidak boleh lari daripada pendedahan dunia Internet. Sistem inilah yang membuatkan perhubungan menjadi semakin pantas, canggih dan mencabar.

Sekali gus, memberi kesan yang besar kepada cara manusia berinteraksi dan berkomunikasi.

Penggunaan alat ICT pada hari ini bukan sekadar Internet dan komputer tetapi lebih daripada itu antaranya; perisian multimedia, power point, animasi, telefon bimbit, gerbang sesawang, jaringan sosial Internet, perpustakaan digital, permainan atas talian dan banyak lagi.

Lantaran itu, umat Islam seharusnya memanfaatkan perkembangan teknologi maklumat dan seterusnya mengambil pakai kecanggihan teknologi bagi menonjolkan ciri-ciri umat Islam yang mampu memahami keupayaan dan kaedah penggunaan ICT demi memakmurkan bumi.

Selain itu, mampu menyumbang pandangan serta membangunkan teknologi, bukan sekadar menggunakan teknologi itu secara membuta-tuli.

Walau bagaimanapun, dalam keghairahan kita menggunakan teknologi yang semakin canggih ini, seharusnya perlu dilihat kesan yang memudaratkan sekiranya pembangunan tidak mengikut acuan Islam yang betul.

Ini kerana persoalan eksploitasi ke arah kemudaratan jarang sekali mendapat perhatian banyak pihak.

Lantaran itu, dalam usaha mewujudkan generasi siber ummah, seharusnya aspek ini tidak dipandang sepi dan perlu diambil serius oleh para ‘tekno daie’.

Tidak hairanlah jika dikatakan perlunya golongan pendakwah yang menguasai ICT, memandangkan generasi zaman sekarang yang seolah-olah tidak boleh dipisahkan dengan teknologi.

Pegawai Penyelidik Pusat Sains dan Teknologi, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Norkumala Awang dalam kertas kerja bertajuk ‘Para Tekno daie dan Persoalan Technological Imperative’, mentakrifkan ‘tekno daie’ sebagai golongan pendakwah yang menggunakan teknologi untuk menjalankan kerja-kerja dakwah dengan menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Katanya, teknologi yang digunakan oleh pendakwah tidak terbatas hanya kepada skop ICT tetapi apa jua teknologi yang dapat dimanfaatkan dan digunakan oleh pendakwah demi kepentingan Islam itu sendiri.

Pendek kata, jelas beliau, golongan ‘tekno daie’ ini ialah sekumpulan individu yang mempunyai latar belakang yang berbeza tetapi mempunyai matlamat satu iaitu menyebarkan syiar Islam.

“Tetapi sayangnya, para teknologis atau saintis Muslim masa kini, tidak menyedari bahawa mereka juga sebenarnya tergolong dalam saf daie yang mampu membawa umat manusia menuju jalan Allah.

“Mereka yang memperlengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan semasa yang cukup juga tergolong sebaris dengan saf daei ini,” katanya pada seminar Memperkasa Peranan Teknodaie: Cabaran dalam Pembangunan dan Penggunaan ICT di IKIM, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambah Norkumala, kegagalan para pendakwah mendekatkan diri dan mempelajari teknologi menyebabkan kurang keberkesanan dalam aspek penyampaian serta kefahaman dakwah, sekali gus menjadi asbab kepada ketinggalan umat Islam.

Technological imperative dikatakan apabila sesuatu teknologi sudah mula berkembang, maka perkembangan ini tidak boleh dibendung atau dielakkan.

“Kita tidak mengawal teknologi tetapi teknologi yang mengawal kehidupan kita merupakan satu dakwaan yang terkandung dalam technological imperative.

“Apa yang boleh disimpulkan, kemunculan kepada teknologi baru ini mendesak dan memaksa kita sebagai pengguna untuk menerima perkembangannya tetapi sebagai seorang ‘tekno daie’, kita mempunyai pilihan untuk menentukan, sama ada penggunaan teknologi itu membawa kepada kebaikan atau kemudaratan.

“Di sinilah perlunya elemen ilmu yang berlandaskan al-Quran dan sunnah untuk menentukan pemilihan itu adalah yang terbaik untuk umat Islam secara amnya. Sebagai umat Islam kita perlu mengawal dan menguasai teknologi, bukannya teknologi mengawal kehidupan kita,” tegasnya.

Norkumala mengakui, umat Islam lebih kepada menjadi pengguna berbanding menjadi pencipta malah tabiat penggunaan teknologi ini, lebih cenderung kepada budaya negatif berbanding positif.

Beliau turut mengulas perihal cabaran yang perlu dihadapi oleh para ‘tekno daie’ dalam mengharungi arus kederasan teknologi maklumat iaitu perlu menguasai teknologi yang berlandaskan apa yang digariskan dalam Islam.

“Ia bukan sahaja mementingkan aspek keinsanan malah mengutamakan keihsanan. Aspek ini memberi keutamaan dalam hubungan manusia dengan Allah. Selain itu, kita juga perlu menjadi pengguna yang mahir dalam erti kata bagaimana mendidik mereka yang dekat dengan kita terlebih dahulu.

“Para ‘tekno daie’ juga perlu mempunyai pertahanan intelektual untuk menyahut cabaran dunia moden iaitu dengan memberi pemahaman jelas tentang Islam.

“Di samping itu, meningkatkan kemampuan masyarakat Islam untuk membina sistem jaringan maklumat yang canggih daripada sistem yang dicipta oleh Barat atau yang bermatlamat ‘jahat’,” jelasnya.

Pada seminar dua hari itu juga, Pensyarah Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Mohd. Farid Mohd. Shahran tidak menafikan kepentingan mengguna teknologi di dalam dunia pendakwahan.

Namun pada masa sama, tidak terlalu bergantung teknologi secara mutlak kerana katanya, suasana ekstrem ini sudah pasti menjadikan teknologi bukan lagi sepenuhnya menjadi pemudah kepada dakwah tetapi akan bakal menjadi penghambat dan penyebab kegagalan dakwah.

“Dalam dakwah, teknologi mungkin boleh membuka ruang kepada penyebaran maklumat mengenai agama secara lebih pantas dan berkesan. Pun begitu, adakah jumlah yang banyak dapat menjamin mutu kefahaman tentang agama,” soalnya.

Selain itu, kata Mohd. Farid, persoalan yang masih relevan untuk ditanya ialah mengapa dalam keadaan kemajuan teknologi membantu sistem pembelajaran agama, kadar keruntuhan akhlak dan kerosakan nilai dalam masyarakat Islam terutamanya, di kalangan generasi muda juga semakin tinggi?

“Bagi saya, di samping teknologi, apa yang lebih penting ialah kandungan dakwah itu sendiri. Adalah amat penting untuk para pendakwah memantapkan kefahaman mereka dengan mendalami ilmu dan mempunyai kejelasan dalam menyampaikan ilmu tersebut kepada orang lain,” tegasnya apa gunanya sekiranya kita mengunakan power point sedangkan kita tidak mempunyai powerful points.

Kertas kerja Mohd. Farid yang bertajuk, ‘Penyediaan Generasi Pendakwah Era Baru: Teknologi Sebagai Pemudah atau Penghambat?’ turut menegaskan bahawa ruang lingkup agama adalah lebih luas berbanding ruang lingkup sains (moden) yang hanya menekankan dimensi inderawi.

Hal-hal keagamaan seperti persoalan akidah, ibadah dan akhlak adalah mencakupi dimensi rohaniah yang tidak terjangkau oleh peralatan fizikal.

Contohnya, penggunaan teknologi maklumat (IT) seperti kemudahan jentera carian (search engine) melalui Internet, peralatan pandang dengar (audio visual) dan tele sidang, sudah pasti membantu pelajar untuk memperoleh pelbagai bahan-bahan ilmiah mengenai agama.

Namun, kefahaman sebenar mengenai hal-hal keagamaan terutama yang bersifat rohaniah, memerlukan kepada proses kemasukan ilmu jiwa Islam (Islamic psychology) dan teori ilmu Islam (Islamic epistemology).

Dengan maksud lain, proses kedatangan ilmu ke dalam diri bukan sahaja melalui pancaindera lahiriah tetapi juga pancaindera rohaniah.

Oleh itu, proses ini akhirnya berkait dengan persoalan adab menuntut ilmu dan penyediaan jiwa yang berada di luar kerangka teknologi.

Profesor dalam bidang Dakwah dan Media, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Zulkiple Abd. Ghani dalam kertas kerja bertajuk, ‘Adab-adab berdakwah dahulu dan Era ICT: Antara Kelainan dan Persamaan’, menjelaskan dua perkara pokok bagi membincangkan adab berdakwah dahulu dan dalam zaman ICT adalah faktor masa dan ruang.

“Kenyataan bahawa ‘Islam sesuai di sepanjang masa dan di sebarang tempat’ serta pemikiran tentang adanya aspek tetap dan fleksibel memberi kelebihan kepada Islam untuk berfungsi sebagai agama yang benar sehingga hari akhirat.

“Dalam konteks pengunaan teknologi terutamanya media baru yang menggabungkan media penyiaran, komputer dan satelit, aspek yang tetap dan yang fleksibel masih tetap berperanan,” katanya pada sesi satu seminar.

Tambahnya, berdakwah dahulu dan dalam zaman ICT kini, dari segi asas kewajipannya dan kerangka metodologi adalah sama. Ia bergerak dalam kerangka metodologi asas iaitu secara berhikmah, maui’zah hasanah (memberi nasihat dan peringatan) dan mujadalah al-husna (melibatkan aspek perbahasan, perbincangan, muzakaran dan perdebatan).

Malah matlamatnya juga sama iaitu ke arah mentauhidkan Allah, mendapat kebahagiaan hakiki dan menyebarkan kesejahteraan di atas muka bumi.

“Oleh itu, menggunakan ICT bagi tujuan dakwah dengan adab-adab yang tinggi adalah tuntutan ajaran agama dan ia adalah sebahagian daripada proses ke arah pencapaian peradaban atau dari sudut lain, dianggap sebagai peningkatan kepada ‘kualiti hidup’.

“Mana-mana masyarakat yang mengabaikan anugerah ICT akan ketinggalan. Begitu juga jika pembangunan ICT tidak menuju kepada sebuah peradaban, masyarakat tersebut juga tetap akan rugi,” katanya.

Menurut Zulkiple, adalah jelas berdakwah khususnya di zaman ICT menuntut kefahaman yang tinggi di kalangan pendakwah untuk menguasai kemahiran-kemahiran kandungan dan teknik.

Apa yang dapat beliau simpulkan menerusi kertas kerjanya iaitu adab berdakwah dahulu dan sekarang masih bergantung kepada manhaj rabbaniyyah yang digariskan oleh Allah SWT dalam surah al-Nahl ayat 125 iaitu dakwah secara hikmah, mauizah al hasanah dan mujadalah bil-husna. Ia masih tetap relevan walaupun dalam persekitaran siber.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...