Sunday, November 7, 2010

Nikmat hidup

Oleh: AMINAH MOKHTAR

KETUKAN di pintu semakin bertalu-talu. Dia bangun perlahan. Sebaik daun pintu terbuka, wajah jiran sebelahnya terjengul di tangga. Dia mempersilakan masuk, tetapi jiran itu hanya mahu bercakap di tangga dan terus bercerita tentang anaknya yang menjadi pembantu rumah di Kuala Lumpur memberitahu, kenalan tuan rumahnya memerlukan seorang pembantu rumah - sebuah keluarga ternama, seorang tokoh korporat yang punya syarikat pembuatan besar bernilai jutaan ringgit. Seorang lelaki yang baru menceraikan isterinya dan tinggal bersama seorang anak gadis tiga belas tahun.

``Kau hanya menguruskan rumah, bukannya payah. Kerja yang kau buat hari-hari.''

``Tapi saya tak pernah...''

``Kau kena belajar, Rabiah. Mana ada satu perkara dalam hidup ini yang tak kena belajar?''

Dia mengeluh panjang. Anak mata masih tidak terlepas dari memandang pangkin tempat mandian tubuh arwah emak yang masih basah. Bau kapur barus masih meremang. Hatinya tersayat.

``Kampung nelayan ini terlalu miskin untuk kau hidup, Rabiah. Pergilah. Jadi pembantu rumah bukannya hina. Kau nanti diberi gaji.''

``Kubur emak masih basah, mak cik.''

``Nak tunggu kubur emak kau kering? Nanti kau terlepas peluang.''

``Saya mahu jaga ayah dan emak, mak cik.''

``Emak dan ayah kau kan dah tak ada.''

``Ayah dan emak tetap ada dalam hati saya. Saya akan jaga emak, jaga ayah, dari hidupnya hingga ketika matinya dan sampai bila-bila.''

Hati mak cik jiran itu jadi libang-libau. Suara gadis bermata redup itu terasa sayu menghiris. Suara itu suara jiwa, suara hati anak yang baru kematian emak. Sayu dan begitu menghiba. Hah, mak cik jiran itu terus memujuk anak gadis itu untuk bekerja di Kuala Lumpur, bukan untuk mendengar sayu hati gadis lara. Bukan. Pantas dia bersuara tegas.

``Mana ada orang hidup jaga orang mati sampai bila-bila, Rabiah?''

``Ada mak cik.'' Suara itu masih rawan, masih tenang.

``Siapa?''

``Saya.''

``Rabiah.'' Mata mak cik jiran itu berkelintar penuh khuatir. Mata itu meraba-raba kewarasan fikiran anak gadis yang baru menjadi yatim piatu pagi tadi.

Gadis sebatang kara itu tunduk hiba di anak tangga.

``Mak cik kesiankan kau, Rabiah. Hidup seorang diri. Bukannya mak cik tak mahu tolong, tapi dengan apa mak cik nak tolong? Kau bukannya tak tahu, mak cik hanya ada beras yang cukup dimakan anak-beranak, sehari sekali.''

Mata gadis piatu itu mula menghangat. Dikentalkan hati agar tidak sayu. Pesanan arwah emak masih basah dalam ingatan - janganlah menangis mengenang nasib diri, menangislah, menangislah bila berhadapan dengan Allah. Menangislah, menangislah dalam sujud-sujud solat.

``Mak cik,'' dikuatkan hati menahan sebak.

``Masa hidup, bubur nasi makanan kami sekeluarga, bila ayah dan emak dah meninggal, bacaan al-Quran dan amalan makruf saya dapat tolong arwah emak dan arwah ayah di sana.''

``Jadi orang gaji pun kau boleh beramal.''

``Saya lebih suka dekat dengan kubur arwah emak, mak cik.''

``Hanya kubur arwah emak kau, kubur arwah ayah kau bukannya ada.''

``Saya dekat dengan laut mak cik. Arwah ayah meninggal di laut. Laut itulah kubur arwah saya. Saya mahu tinggal di sini mak cik.''

``Kau terima sajalah kerja itu. Itu saja yang dapat tolong kau nanti Rabiah.''

``Saya masih ada beras mak cik.''

``Tapi kalau kau tak kerja, beras itu akan habis.''

``Tapi saya masih boleh menoreh di kebun Usu Muhanaz.''

``Di Kampung Muara?''

Dia mengangguk lesu.

``Kau jangan bermimpi Rabiah. Dah setahun kau tak menoreh, kau ingat Usu Muhanaz masih tunggu kau?''

``Saya boleh menoreh di kebun orang lain. Kampung Muara banyak kebun getah mak cik.''

Lama mak cik jiran itu terdiam. Mukanya berkerut. Segala usaha untuk memujuk Rabiah masih gagal. Fikirannya buntu. Dia hanya mampu mengeluh panjang.

``Kau fikirlah baik-baik Rabiah.''

``Saya mahu tinggal terus di sini, mak cik.''

``Kau mahu miskin sampai mati?''

``Saya tak pernah miskin mak cik.''

Mulut mak cik jiran itu ternganga. Matanya terbuntal menerjah wajah gadis kampung nelayan yatim piatu yang kuning langsat, mata redup, pipinya merah jambu (tidak hangus dibakar terik matahari pantai) dan hidung dan bibir seulasnya terletak manis. Dia gadis tercantik kampung nelayan yang jauh di pedalaman ini. Itu kata burung, kata awan, kata angin yang sentiasa berterbangan di langit kampung nelayan. Orang kampung nelayan tidak punya masa menilai erti cantik dan halus kulit gadis kampung nelayan. Ulas-ulas nasi yang putih berbau harum, itu sahajalah kecantikan yang tiada tolok bandingnya dan indah dalam perkampungan yang tidak ada orang makan nasi tiga kali sehari itu.

``Kau terlalu angankan hidup kaya Rabiah, kasihan.''

``Kata arwah emak, kami sudah cukup kaya mak cik.''

``Emak kau yang mati berkapankan selimut itu?''

``Selimut itu sudah saya bersihkan seminggu sebelum emak pergi. Baunya masih harum dan bersih lagi.''

``Emak kau teringin jadi kaya. Tapi kampung nelayan yang tidak ada seorang pun punya rumah, semuanya berpondok atap nipah, tidak mampu tunaikan impian kau anak-beranak, sampai malam tadi, emak kau mati masih miskin Rabiah. Sekarang ini, hanya kau sahaja yang boleh jadikan mimpi emak kau itu jadi benar. Kau pergilah.''

``Supaya nanti saya mati kaya?''

``Rabiah.'' Mak cik jiran itu kepupusan kata-kata. Dadanya berolak deras.

``Emak dan saya selalu mimpikan hidup senang di sana mak cik.''

``Di mana?''

``Di sana.'' Ulas bibir gadis kampung nelayan itu tersenyum.

``Rabiah, di mana pun kau tak akan hidup senang kalau masih dalam kampung nelayan ini.''

``Boleh mak cik, kalau kita ikhlas beramal dan memohon taufik dan hidayah Allah, kalau kita rajin berusaha jadikan hidup kita ini berharga.''

``Kau selalu berdoa?''

``Mak cik tak pernah berdoa?''

``Kalau kau dan emak kau benar-benar alim kenapa doa tak menjadi?''

``Sudah lama doa saya, emak dan ayah dimakbulkan Allah, mak cik.''

Sekali lagi mak cik jiran itu tercengang.

``Macam orang gila kau ni Rabiah. Cakap tak tentu hujung pangkal.''

``Kata arwah emak, bermulanya di pangkal hati, berakhir di hujung lidah, itulah kata-kata yang kita lafazkan mak cik.''

``O, itu yang kau kata doa kau sekeluarga terkabul? Ayah kau mati karam di laut. Mak kau mati sakit busung dianiaya orang?''

``Mak cik, arwah ayah saya meninggal dalam iman. Kawan-kawan arwah ayah kata, arwah sedang azan sekuat hati dalam laut yang bergelora bila perahu arwah karam.

Arwah emak sakit dah suratan, bukan dibuat orang tapi, itulah qada Allah. Tapi arwah emak tetap redha dan akhirnya arwah mati ketika sedang solat malam. Masa tu, arwah emak sedang menangis mak cik. Air mata arwah hangat dan basah di hujung jari saya ketika saya rasa, nafas arwah dah tak ada.'' Suaranya sebak. Dia cuba tersenyum. Tetapi air matanya bergenang.

``Itu doa?''

``Ya, itulah doa yang paling mustajab. Allah telah kabulkan, hanya tinggal saya yang belum tahu lagi keadaan mati saya. Kalau boleh saya pun nak mati ketika sedang khusyuk rindukan Allah. Seperti rindu arwah ayah, seperti rindu arwah emak.''

Mak cik jiran itu pun tidak mampu berkata-kata lagi.

Pondok buruk, di hujung kampung itu pun semakin hari semakin kering pangkinnya. Semakin hari semakin hilang bau kapur barus di pangkin itu. Dan semakin hari semakin berkalih surah-surah dari Quran buruk di atas rehal usang.

Dan kubur di bawah pohon kemboja ungu terus dikunjungi gadis berkerundung ungu, membaca surah-surah Yassin, al-Waqiah dan al-Mulk, memohon kesejahteraan hidup di alam barzah, penghuni mulia yang wajahnya bercahaya hingga ke liang lahad, meskipun tubuh layu itu tidak pernah kenyang mengunyah nasi berlauk dan makanan yang lazat-lazat.

Kini benar-benar gadis berkerundung ungu itu terasa akan benarnya kata-kata arwah emak - orang yang alim dan dikasihi Allah itu tidak pernah mati. Jiwanya akan hidup dalam amalan orang yang ditinggalkan, amalan yang tinggi martabat imannya, amalan yang menjadikan jiwa dan hati sanubarinya kaya tidak terkata.

``Kaya itu apa emak?'' Itu suaranya sepuluh tahun yang lalu. Waktu itu umurnya lima tahun. Dia baru selesai mengaminkan doa khatam Quran yang emak bacakan untuknya dalam liuk-lintuk api pelita dalam pondok buruknya di suatu malam Jumaat di bulan Ramadan.

Lama emak terdiam. Mata emak mengusap anak yatim yang dikandungnya dengan penuh rasa syukur dalam limpah kebahagiaan hidup bersama suami yang cepat benar bahagia itu dihantar ke penghujungnya. Ah, hidup ini, emak me-ngeluh, tetapi cepat-cepat dipandamkan keluhan itu dengan istighfar.

``Kaya itu apa emak?'' Suara tulus itu masih disemerbaki rasa ingin tahu yang polos.

``Kaya itu macam kita inilah nak.''

``Macam kita?''

``Kita cukup semua nak, nasi bubur buat kita kenyang. Api pelita, boleh terangkan kita untuk baca Quran untuk sembahyang malam.''

``Ada orang tak dapat makan nasi bubur? Tak ada pelita nak baca Quran dan sembahyang malam?''

Dalam samar api pelita hati emak bergemuruh dengan rasa syukur yang melimpah, diusap anak bertubuh kecil lima tahun. Air mata emak berasak-asak keluar. Hati emak terhiba-hiba, Tuhan, terima kasih Tuhan, Kau kurniakan aku anak sebaik ini. Terima kasih Tuhan, Kau berikan aku anak sepintar dan semulia ini. Tuhan, jadikanlah anak aku ini, semulia-mulia manusia. Jadikanlah dia ya Allah, tempat yang boleh hamba-Mu ini gantungkan harapan, semasa hidup, ketika mati dan sesudah mati.''

``Emak, kenapa emak menangis?''

Emak tidak terkata. Pantas emak memeluk dan menciumnya dengan cucuran air mata.

Dia turut memeluk dan mencium muka emak yang basah dan hangat. Hatinya tersenyum puas dan lembut berkata; O, inilah yang dikatakan kaya.

Dia tersenyum dan terus tersenyum. Berjalan pulang dari tanah perkuburan emak dan kitab al-Quran dipeluk erat ke dada dan hujung tangannya mencebet sekendi air bacaan tahlil. Menyusur pantai pagi itu, suara ombak berdebur-debur memukul pantai. Angin pantai yang hamis sejuk menerjah mukanya. Kerundung ungunya terkiwir.

Angin terus menderu. Dalam deruan angin dan deburan ombak pantai itu dia bagai terbisik suara arwah ayah.

``Kubur itu bukan syarat masuk syurga. Hanya peringatan dan kewajipan menyempurnakan mayat bagi yang hidup. Kalau kita orang beriman, dan banyak berbuat amalan soleh dengan hati yang ikhlas kerana Allah, Allah tetap akan menjanjikan syurga itu walaupun mayat kita berkecai dalam laut. Walaupun mayat kita lumat dalam perut binatang buas.'' Arwah emak kata itulah kata-kata arwah ayah yang terakhir sebelum turun ke laut pagi itu dan tidak pulang sampai sekarang.

Dan sekarang dia berdiri menghadap laut. Ombak-ombak kecil di gigi pantai itu menampar kakinya. Disedekahkan Fatihah dan Qulhu kepada arwah ayah. Dan berdoa semoga Allah menempatkan roh emak dan ayah di satu tempat yang jadi harapan para solehin. ``Tuhan, pertemukan roh emak dan ayah, di sebaik-baik tempat di sisi-Mu walaupun, jasad mereka terpisah di darat dan di lautan. Mereka emak dan ayah yang amat merindui-Mu Allah, amat mengasihi, rasul-rasul-Mu, amat mengasihi kitab-kitab-Mu, amat mengasihi malaikat-malaikat-Mu dan amat redha akan qada dan qadar-Mu.''

Hatinya sebak. Titis air matanya gugur ke gigi laut yang berombak itu. Air mata masin itu berpadu dengan garam laut dan berpadu dengan peluh hamis masin para nelayan kawan-kawan ayah. Berpadu dalam perut laut. Dan ikan-ikan pun berenang simpang piranang.

Ombak yang masin itu bergulung-gulung pergi. Gadis yatim piatu kampung nelayan itu mengesat air mata dan melangkah pulang. Kerundung unggunya terkiwir-kiwir mengejar angin pantai. Hatinya puas.

Hidup yatim piatu, berpondok tempat berlindung, bersuluh liuk-lintuk api pelita di helai-helai kitab Quran dan rehal usang tinggilan arwah emak dan ayah, kepalang kayanya. Kerana tinggalan itu adalah harta yang tidak tersukat nilainya ditambah dengan hidup ini sendiri yang menjadi harta kurniaan Allah yang berganda-ganda nilainya.

Begitu arwah emak dan ayah mengajarnya menikmati hidup.

~TAMAT~

Isteri Yg Solehah

Wanita solehah ialah mereka yang pandai menghibur dan melayan suami dengan mempersembahkan segala kemesraan, kemanjaan dan cinta sepenuh hati sehingga suami sentiasa rindukan dirinya malah tidak mahu berpisah walaupun sekejap.

Bukan perkara yang susah mahu menjadi wanita solehah. Hanya dengan senyuman yang manis dan menambat hati suami, mereka boleh menduduki carta itu.

Ada yang berkata senyuman isteri yang dilakukan dengan ikhlas semata-mata untuk suami lebih baik daripada menggunakan produk alat solek jenama mahal yang berharga ratusan ringgit.

Pandangan yang mesra dan lembut ibarat celak yang paling indah menghiasai sepasang matanya. Kelembutan dan kehalusannya berbicara seperti pakaian yang paling cantik dipakainya.


Suami mana akan memandang ke belakang apabila isterinya sentiasa harum dan bersih. Malah, aroma itu pasti memikat selera suami untuk sentiasa berada di samping isteri daripada berborak bersama rakan di kedai kopi.

Berapa ramai isteri yang memberikan senyuman manis, pandangan yang mesra dan lembut serta wajah yang berseri-seri ketika mengiringi suami keluar rumah atau menyambut kepulangannya di muka pintu.

Rasululullah s.a.w pernah bersabda bahawa isteri solehah ialah yang menggembirakan suaminya apabila suami melihat kepadanya.

Bayangkan suami yang pulang dalam keadaan letih kerana beban tugas di pejabat ditambah kesesakan jalan raya, isteri yang menyambut di muka pintu menguntum senyuman, wajah yang dihiasi cantik, menolong membawa beg, membuka sarung kaki dan menyediakan minuman untuk menghilangkan dahaga.

Memang sukar mencari ciri-ciri wanita sedemikian kerana kebanyakan isteri terutama yang bekerja terlalu terbawa-bawa perangai mereka di pejabat sehingga suami tidak diberi perhatian. Akhirnya, suami jemu dan sengaja balik lewat ke rumah.

Kadangkala kita tertanya-tanya mengapa sesetengah lelaki suka mencari pelacur untuk memuaskan nafsu. Tidakkah mereka takut dengan hukum Allah dan risiko jangkitan penyakit yang boleh mereka dapat.

Sebenarnya, sesetengah lelaki gemar mencari perempuan lacur kerana mereka mendapat layanan kelas satu ketika bersama wanita berkenaan. Mereka tidak mendapatnya ketika di rumah apatah lagi isteri yang terlalu sibuk dengan kerja sehingga mengabai nafkah batin kepada suami.

Mungkin ada yang berkata, wanita lacur memberi layanan kelas satu kerana mereka dibayar atau mendapat tip.

Adakah isteri juga mahu suami memberi bayaran kepada mereka semata-mata untuk mendapatkan layanan kelas satu? Jika isteri mempunyai pandangan sedemikian, jangan melenting jika dikatakan mereka juga sama dengan pelacur.

Layanan isteri kepada suami tidak perlu kepada unsur kewangan. Sebagai ketua rumah tangga, suami perlu menyediakan keperluan kepada isteri termasuk makan minum, pakaian, perhiasan dan belanja isteri.

Jika perkara ini dilaksanakan, apa alasan isteri untuk tidak memberi layanan kelas satu kepada suami.

Beruntung isteri yang tahu melayan dan menghiburkan suami kerana selain mendapat kenikmatan, mereka juga mendapat ganjaran pahala daripada Allah.

Isteri yang sengaja enggan melayan nafsu suami akan dilaknat malaikat kerana tidak menunaikan tanggungjawab sebagai suri rumah tangga.

Kajian mendapati suami yang mendapat belaian dan kasih sayang isterinya akan cemerlang di tempat kerja dan masyarakat. Mereka tidak memerlukan apa-apa lagi melainkan isteri di sisi.

Mungkin ramai yang tidak percaya bahawa semangat suami lebih tinggi jika mendapat kasih sayang isteri. Suami manusia biasa, walaupun segagah atau segarang mana mereka, jika dimanja atau dibelai, mereka ibarat harimau jinak.

Justeru, isteri perlu mempunyai teknik atau kaedah untuk memikat suami, bukan semata-mata wajah yang jelita atau harta yang banyak.

Bayangkan ketika kecil, anak mendapat perhatian dan kemanjaan ibu bapa, tentu anak membesar menjadi manusia yang baik. Tetapi jika tiada kasih sayang ibu bapa, anak pasti membesar sebagai manusia yang tidak terkawal.

Oleh itu, isteri perlu faham, walau setinggi mana pangkat, kedudukan, harta dan darjat mereka, jangan lupa memberi kasih sayang dan kemanjaan kepada suami. Senyuman, kemanjaan, pakaian dan haruman adalah senjata untuk memancing manusia bernama lelaki.

Lamunan Terhenti

Aku masih lagi buntu, tak tahu ke mana arah tujuan dan penyelesaiannya.


Baru sebentar tadi aku menerima surat dari bekas suamiku, Aziz yang ingin aku kembali semula kepadanya.

Aziz, satu nama yang cukup agung dalam hatiku suatu ketika dahulu.

Dia insan pertama yang mengajar aku erti cinta. Perkenalan kami tersulam ketika aku mengikuti kursus motivasi di Sekolah Menengah Sains Muar. Semuanya bermula bila Aziz dengan tidak sengaja terlanggar dan tertumpahkan air teh ke atas blazerku ketika aku ingin mengambil kuih untuk minum petang.

Aziz agak panik juga, namun segera dihulurkan sapu tangan sambil mulutnya tak henti mengucapkan kemaafan.

Aku hanya tersenyum sahaja dan meminta diri ke tandas untuk membersihkan kesan air tersebut.



Hari ketiga kursus motivasi itu, peserta dibahagikan kepada bahagian kumpulan. Tanpa aku duga aku ditempatkan sekumpulan dengan Aziz.

Kesempatan itu aku gunakan untuk memulangkan sapu tangannya. Dia meminta maaf sekali lagi dariku, dan seperti biasa aku menjawab dengan senyuman.

Pelawaannya untuk berkenalan denganku lebih rapat lagi setelah selesai kerja kumpulan itu aku sambut dengan baik.



Seminggu di kem motivasi itu memang banyak membawa manfaat kepadaku, di samping itu dapat juga aku menambah kenalan dari serata negeri.

Sebelum bersurai, Aziz merapatiku dan meminta alamat serta nombor telefonku. Pada mulanya aku agak keberatan, namun, Aziz berjanji tidak akan ada masalah yang timbul, dia cuma ingin berkawan saja denganku.



Semenjak dari kursus motivasi itu aku semakin intim dengan Aziz. Surat demi surat dan deringan demi deringan berbalas.

Ketika itu kami tahu, ada perasaan baru yang berputik, namun putik yang belum berkembang itu kami simpankan dalam taman hati kerana SPM bakal menjelang dan kami tahu masa depan lebih utama daripada perkara lain.



Beberapa hari selepas tamat SPM, Aziz menghubungiku dan menjemput aku untuk menghadiri kenduri perkahwinan kakaknya. Keizinan mama dan papa kupinta sebelum jawapannya kuberikan kepada Aziz. Ternyata, tiada bantahan daripada mereka.

Hari Ahad, ditemani dengan Badariah, kami dihantar oleh Pak Mat ke rumah Aziz. Kedatangan kami disambut baik oleh Aziz yang kemudiannya mempelawa kami makan.

Selepas makan, aku ke dalam untuk melihat pasangan pengantin. Sedang aku asyik memerhatikan pasangan pengantin itu, terasa bahuku diikuti. Di sisiku, Aziz berdiri sambil tersenyum dan berkata, “Farin, kalau nak bersanding dengan saya sekarang pun boleh.

Kita pun sama-sama pakai baju biru hari ni!”. Tersipu-sipu aku seketika, memang aku berpakaian warna yang sama dengannya, tapi tidaklah kami berjanji terlebih dahulu.

Seketika kemudian, aku dan Badariah meminta diri.

Sebelum aku balik, Aziz memperkenalkan aku dengan mamanya. “Harap-harapnya, ini bukan kedatangan Farin yang terakhir ke sini ya. Kalau boleh biar selamanya di sini,” kata Auntie Khatijah ketika aku bersalaman dengannya.

Aku tak faham maksud kata-katanya itu, tetapi Badariah di sisiku telah ketawa kecil. Di dalam kereta aku bertanya kenapa Badariah ketawa ketika Auntie Khatijah berkata sedemikian kepadaku.



“Kamu ni Farin, harap otak je pandai, perkara mudah macam itu pun kamu tak faham. Auntie tu berkenan kalau kamu jadi menantunya, faham?” jawab Badariah. Sekali lagi aku tersenyum dan terkesima seketika.

Setelah pertemuan di rumah Aziz itu aku jadi tak keruan kalau tak mendengar suaranya. Oh Tuhan, inikah yang dikatakan cinta? Tanpa disedari, hari bertukar ganti dan keputusan SPM telah diumumkan. Berkat usaha dan doa dari keluarga tersayang dan bimbingan guru-guru yang berdedikasi, aku berjaya memperolehi pangkat satu dengan sembilan agregate.

Aziz juga tidak kurang hebatnya, dia mendapat pangkat satu dengan tujuh agregate. Kejayaan itu disambut dengan penuh kesyukuran kepada Yang Esa.



Kejayaan kami dalam SPM melayakkan kami berdua untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara. Aziz ditawarkan mengikuti kursus kejuruteraan dan aku pula melanjutkan pelajaranku dalam bidang undang-undang.

Bunga persahabatan aku dan Aziz juga telah berkembang ke alam percintaan, dan memandangkan kedua-dua belah pihak telah mengetahui perhubungan kami, aku telah diijabkabulkan dalam usia semuda 17 tahun.

Saat itu, hanya kegembiraan yang aku rasakan, tanpa menyedari waktu masih panjang dan apa-apa saja akan berlaku dalam tempoh tersebut.



Akhirnya, tibalah masa untuk aku dan Aziz meninggalkan keluarga. Saat itu, tak dapat aku gambarkan betapa sedih dan berat hati ini, namun demi segulung ijazah yang bakal kujadikan bekalan untuk hari tua nanti, kucekalkan hati.

Tetapi, gugur jua airmataku sederas hujan bila mama merangkul dan mencium pipiku. Selama 17 tahun aku hidup, aku tak pernah berenggang dengan mama dan sekarang aku terpaksa menguruskan diriku sendiri.

Genggaman tangan Aziz menenangkan perasaanku, dan menyedarkan aku bahawa waktu berangkat telah tiba.

Tinggallah Mama, Papa dan adik-adikku! tinggallah dulu Malaysia, aku akan pulang dan menjadi kebanggaan mu nanti!



Sebulan di Oxford ini mula mengajar aku dan Aziz erti kehidupan. Aku mula sibuk dengan tugasku sebagai isteri dan pelajar.

Aziz juga nampaknya bertanggungjawab dan menjalankan peranannya sebagai seorang suami.



Tahun pertama kehidupan rumahtangga amat membahagiakan. Kehidupan kami berdua disulami dengan cinta dan kasih sayang. Di sini, aku dan Aziz tidak tinggal serumah kerana para pelajar diberikan rumah khas untuk siswa dan siswi.

Aku tinggal dengan beberapa orang teman pelajar yang lain, begitu juga dengan Aziz. Untuk melepaskan rindu, kami biasanya menghabiskan cuti hujung minggu di tempat-tempat peranginan di sini.

Kebanyakan rakan-rakan kami mengetahui status kami.



Sedar tak sedar, sudah hampir dua tahun kami berada di sini, dan tempoh itu juga telah merubah seorang lelaki yang bernama Aziz. Perkenalannya dengan Michael, telah menjuruskan Aziz ke jalan yang salah.

Seringkali, menurut rakan-rakannya, Aziz pulang dari pub dalam keadaan mabuk, dan aku sendiri pernah terserempak dengannya dalam kedaan begitu sewaktu aku ke rumahnya untuk menghantar makan malam. Puas aku menasihatkan dia, namun nasihat ku itu bagaikan mencurahkan air ke daun keladi.

Pelajaran Aziz juga semakin merosot, dan amaran telah dikeluarkan kepadanya. Tangisan menjadi peneman tidurku setiap hari.



Kemuncak kesabaranku meledak apabila melihat Aziz melakukan perbuatan sumbang di dalam bilik di rumahnya dengan seorang perempuan kulit putih.

Ketika itu rakan-rakan serumahnya tiada kerana waktu itu waktu kuliah. Sepatutnya, aku yang berang melihat kejadian tersebut, tapi perkara yang sebaliknya berlaku. Sebaik saja melihat diriku, dalam keadaan tergopoh-gapah dia berpakaian dan menengking diriku, sambil itu tangannya yang sasa itu dihayun ke mukaku beberapa kali sehinggakan darah tersembur keluar dari mulut.

Dalam keadaan tegang itu, rakan-rakan serumah Aziz pulang ke rumah dan dengan bersaksikan mereka gugurlah talak satu ke atas diriku.



Seakan ingin pecah hatiku dan terhenti denyutan nadiku seketika mendengarkan ungkapan cerai itu dari mulut orang yang aku cintai.

Terduduk aku dengan fikiran yang berkecamuk. Setelah menceraikan aku, Aziz terus keluar berpelukan dengan gadis kulit putih tadi. Azmie, rakan sebilik Aziz yang menghantar aku pulang ke rumah.

Seminggu aku menjeruk rasa, dan bila perkara tersebut kukhabarkan pada mama dan papa di Malaysia, mereka juga turut bersedih.



Jika diturutkan hatiku yang terluka, pasti pelajaranku terbengkalai, namun berkat kasih sayang dari Yang Esa dan keluarga tercinta, aku pulang juga ke tanah air dengan segulung ijazah dan keputusan yang cemerlang.

Kepulanganku disambut dengan bangga dan ceria oleh keluargaku dan keluarga Aziz, juga. Mamanya, Puan Khatijah tak henti-henti memohon kemaafan dengan air mata yang berlinangan kerana tidak menyangka Aziz akan merubah sebegitu rupa.

Perhubungan dengan bekas mertuaku masih lagi baik. Aziz juga telah menyesali perbuatannya, dan cuba untuk berbaik-baik denganku, namun luka yang ditorehnya ini sukar untuk diubati... dan mungkin tertutup untuk selama-lamanya untuk insan bergelar lelaki!



Berbekalkan keputusanku yang cemerlang, aku berjaya mendapat kerja di sebuah firma guaman terkenal di ibu kota.

Hari pertama bekerja, telah aku rasakan keseronokkannya.

Di firma ini, ada beberapa orang peguam muda yang lain.

Mereka kuanggap seperti abang, kakak dan adik sendiri.

Dorongan dan nasihat mereka aku jadikan sebagai petunjuk dalam menjalankan tugas harianku. Salah seorang peguam yang sentiasa mengambil berat tentang diriku ialah Azizul Hakim.

Dia dua tahun lebih tua dariku. Aku memang senang bekerjasama dengannya kerana dia seorang yang teliti dan cekap dalam mengendalikan kes. Namanya juga amat dikenali kerana kepandaiannya berbahas dan kerapkali memenangi apa jua kes yang diambil. Dia kujadikan sebagai guru dan sumber inspirasi diriku.

Namun demikian, aku sering rasa segan terutama apabila dia merenung aku, terasa keruan aku dibuatnya. Sepasang mata helangnya itu juga sering menyoroti pergerakkan aku.

Bukan aku perasaan, tetapi teman sefirmaku, Sharifah juga menyedari keadaan tersebut.



Banyak sungguh kerja yang perlu aku selesaikan hari ini.

Kes saman berkenaan dengan pampasan perlu aku selesaikan segera. Sedang aku sibuk membuat kerja, kedengaran salam diberikan.

Bila kuangkat muka, aku dapati Azizul telahpun duduk di depanku. Entah mengapa, jantungku terus berdegup kencang bila dia merenungku dan menguntumkan senyuman di bibirnya.

“Farin tak turun lunch ke?” tanyanya mesra.



“Tak sempatlah Encik Azizul, saya perlu kaji kes-kes yang berkaitan dengan kes saman untuk pampasan ni. Lagipun, saya masih kenyang lagi sebab tadi saya dah sarapan,” terangku, masih dengan jantung yang berdebar.



“Farin, tak payahlah berencik-encik dengan saya. Panggil Azizul aje kan senang. By the way, are you free tomorrow night?”



Aku terus memeriksa diari, “Yes, I’II be available tomorrow.

Kenapa?”



“Actually, saya nak ajak sambut birthday saya dengan somebody special like you.”



Ayat terakhirnya itu membuat aku terdiam seketika. Rasaku wajahku merah bila dia berkata-kata begitu.



“What time shall I pick you up?” dia menyambung kata-kata.



“Esok Zul ambil Farin pukul 8.30 malam di rumah. You know my house, don’t you?” balasku.



Dengan senyuman dia mengganguk dan berkata “Terima kasih sebab sudi makan malam dengan saya.”



“No problem,” balasku.



Solat Subuh baru saja aku tunaikan. Entah mengapa, aku seakan tidak sabar menunggu malam.

Kepada mama dan papa telah aku khabarkan bahawa aku akan keluar dengan Azizul. Hadiah yang telah kubelikan semalam telah kubalut rapi dan terus aku letakkan di atas meja Azizul sebaik saja sampai di pejabat.

Tepat jam 8.30 malam, 12 Januari 2000, menjalar kereta Mercedes Azizul di depan rumahku.

Ditemani dengan Mama dan Papa, kami ke halaman. Azizul nampak gementar ketika bersalam dengan orang tuaku. Tak lupa dia meminta kebenaran untuk membawaku keluar.



“Tak apa... Take your time. Jaga Farin baik-baik ya...”, kata papa.



Setelah memberikan salam, kami berdua membelah malam menuju ke destinasi. Sambil menunggu makan malam, Azizul tak henti merenungku, sampai tak senang duduk aku dibuatnya.



“Kenapa pandang saya macam tu?” tanyaku spontan.



“Saja... lagipun Farin nampak cantik sangat malam ni...” jawabnya kembali.

Terasa panas dan merah wajahku dengan pujian tersebut.



Selesai makan, kami menikmati pencuci mulut sambil didendangkan dengan gesekan biola.

“Farin, ada sesuatu yang Zul nak cakapkan...” serius raut wajahnya. Aku memandang wajahnya dan dia menyambung, “Zul harap Farin dengar sampai habis, lepas tu, kalau ada apa-apa yang Farin tak suka, Farin boleh cakap.

Firstly, terima kasih yang tak terhingga untuk hadiah tu.

Saya menang suka warna biru. Secondly, dah dua tahun Farin kerja di firma kita tu, dan Zul mahu awak tahu yang dua tahun itu juga Zul menyimpan rasa cinta yang menggunung pada awak.

Hari demi hari, perasaan ni bertambah dan tak dapat lagi Zul nak sembunyikan dan Zul rasa awak pun perasan perhatian Zul pada awak.” Nafasnya ditarik dalam dan disambung lagi,

“Malam ni, bersempena dengan harijadi Zul, Zul nak Farin tahu yang Zul benar-benar cintakan awak dan berhasrat untuk mengambil awak sebagai isteri Zul.

Kisah silam awak, Zul harap awak tolak ke tepi, dan kita bina hidup baru bersama. Zul faham kalau awak tak nak terima Zul, tapi Zul harap awak tak akan kecewakan Zul.

Sekarang, awak cakaplah apa saja yang terbuku di hati...”.



Aku terkesima seketika... kehilangan kata-kata aku dibuatnya. Dalam diam, memang aku akui hati ini telah ditarik pada jejaka di depanku, tapi bila mengingatkan Aziz, seakan berdarah kembali lukaku.

Aku tahu tak wajar aku meletakkan Azizul di tempat Aziz. Dalam masa sesingkat itu, aku menarik nafas sedalam-dalamnya, dan memandang Azizul. “Zul... terlalu cepat

andai saya katakan yang saya setuju jadi isteri awak.

Terlalu banyak yang belum kita ketahui tentang diri masing-masing. Saya akui, saya juga ada hati pada awak, dan it’s an honour to be loved by someone like you.

Kita berkawan dan kenal hati budi masing-masing dulu, boleh?” soalku.



Tenang sungguh dia menerima jawapanku. “Farin, dua tahun Zul sanggup tunggu, takkanlah Zul tak sanggup tunggu lagi...” jawabnya sambil tersenyum.

Bulan dan bintang jadi saksi percintaan kami yang baru berputik itu.



Setiap waktu dan detik merapatkan lagi hubungan aku dengan Azizul. Tidak keterlaluan seandainya aku mengakui bahawa aku telah jatuh cinta padanya.

Suaranya, matanya, budi-bahasanya, membuatkan sayangku bersemi dari hari ke hari. Rakan-rakan sefirma tak kering idea untuk mengusik kami setiap hari.

Hari-hari yang kulalui semakin membahagiakan dan aku lupa pada Aziz. Keluargaku tahu tentang Azizul dan mereka merestuinya.

Sedikit demi sedikit kami membuat persiapan untuk menuju ke alam perkahwinan. Warna cream telah dipilih sebagai warna baju di malam pernikahan kami nanti, dan aku yang memang suka warna biru, memilih warna biru laut untuk pelaminku nanti.



Seperti hari-hari biasa aku sibuk dengan tugasku. Azizul tiada hari ini, kerana dia ada kes untuk diperdengarkan di mahkamah.

Waktu lunch menyebabkan ofis lengang. Dalam kesibukan, pintu bilikku diketuk dari luar, segera aku mempersilakan orang itu masuk. Seorang wanita yang agak berumur dan seorang perempuan muda penuh bergaya masuk ke bilikku.



“Balqish Fatrina?” tanya wanita berumur itu kepadaku tanpa tersenyum sedikitpun.



“Ya, saya. Boleh saya tolong?” tanyaku sambil mempersilakan mereka duduk. Sangkaku, mereka ini seperti orang-orang lain yang memerlukan khidmatku sebagai peguam.



“Saya, Datin Azizah, emak Azizul Hakim, dan ini bakal tunangnya, Anis Sofilia,” katanya. Bilik yang berhawa dingin itu kurasakan seperti oven, terasa berputar pandanganku seketika.

“Saya cuma nak kamu jauhkan diri daripada Azizul, saya dan Datuk Hisham, suami saya tak suka kamu berkawan dengannya. Kamu tu janda, ingat sikit. Tak layak kamu berkahwin dengan anak saya, rupa pun tak seberapa, terhegeh-hegeh.

Cuba bandingkan diri kamu dengan Anis ni, memang jauh langit dengan bumi. Anis ni, seorang model terkenal dan siswi lulusan Universiti oversea, tahu?! ...Ini, kad kahwin Azizul dan Anis, datanglah 25 Ogos ni, kalau tak sedar diri!”katanya angkuh.



Mereka terus keluar diiringi dengan mataku yang telah mula berair, sempat pula si Anis tu menjeling dan menjuihkan bibir padaku, terasa ingin kutampar mukanya yang sarat dengan make-up itu. Aku terhenyak di atas sofa entah berapa lama, tidak aku sedari.

Aku seakan kembali ke alam nyata bila Azizul memegang bahuku, dan memanggil namaku beberapa kali. Demi melihat wajahnya, esakanku mula meninggi dan terus kupeluk dirinya.

Dia termanggu-manggu dengan kelakuanku. Setelah agak reda tangisanku, aku terus mencapai kad yang dicampakkan oleh Datin Azizah ke atas mejaku tadi dan aku suakan kepada Azizul.



Mengucap panjang Azizul bila dia membaca kandungan kad itu. Menitik air mata lelakinya, bila dia memandang wajahku.

“Yang, sebenarnya, Zul memang tahu emak dah ada calon menantu, tapi tak sangka pulak emak dah mengatur semua persiapan perkahwinan ni... Yang, awak jangan risau, balik nanti Zul akan pertahankan hak Zul habis-habisan.

Saya cuma akan kahwin dengan awak saja...” dan gengaman tangannya dieratkan.



Parut lukaku yang hampir sembuh robek kembali, dan kali ini lukanya lebih dalam lagi, ditambah dengan nanah dan bisa yang amat sangat.

Sehari selepas kejadian itu, Azizul seakan mahu mengelak diri dariku. Sedih sungguh hatiku, bilaku tanya, dia hanya mengatakan yang dia sakit kepala dan tak ingin diganggu.



Seminggu berlalu, aku masih lagi tak dapat kata putus darinya. Akhirnya, apa yang aku takuti berlaku sekali lagi.

Malam itu, Azizul dengan keluhan dan rasa bersalah menyatakan bahawa percintaan kami tak dapat diselamatkan.

Dia tidak sanggup menderhakai mama dan papanya. Air mataku sudah kering untuk mengalir lagi dan hati ini seakan telah hilang derianya. Aku hanya mengangguk lesu, dan pelukan Azizul serta air matanya yang gugur ke wajahku seakan telah hilang bisanya, tidak sehangat sentuhan pertama dulu.

Bintang dan bulan menjadi saksi percintaan kami, dan ia juga menjadi saksi perpisahan kami.



25 Ogos, hari perkahwinan Azizul, dan hari itu juga aku berlepas ke Amerika membawa hatiku yang luka. Dua tahun sudah aku berada di Amerika, aku terlalu rindukan mama, papa dan adik-adik. Hanani, adikku akan berkahwin pada bulan Oktober ini, mama memujukku balik, adikku tak mahu melangsungkan perkahwinannya tanpa kehadiranku.



Meriah sungguh perkahwinan Hanani. Sedang aku sibuk melayan tetamu, aku dipanggil oleh mama. Aku bertemu dengan ibu saudaraku yang telah lama tidak aku temui kerana dia tinggal di Brunei dan jarang balik.

Di sisinya, berdiri seorang lelaki yang kurasakan aku kenali. Ya Allah! Itu Azizi, sepupuku. Tersenyum meleret dia ketika melihat diriku. “Apa khabar budak sihat? You look prettier now!” katanya mengusik.



Dulu, waktu kecil, aku gemuk, sebab itulah aku dipanggil budak sihat oleh ahli-ahli keluargaku. Menurut Azizi, dia sekarang bekerja sebagai juruaudit di ibu kota.

Mama kemudiannya mengajak ibu saudaraku makan.

Pertemuan dengan Azizi membawa aku kembali ke zaman kanak-kanak. Dulu, Azizi tinggal dengan atuk, jadi setiap petang aku dan dia akan ke sawah bermain lumpur, dialah yang mencabut pacat dari kakiku, membelikan aku gula-gula bila aku merajuk dengannya dan dialah yang mempertahankan aku bila atuk memarahi kami, dia juga sanggup menerima rotan bagi pihakku semasa basikal yang kami naiki terjatuh ke dalam longkang dan menyebabkan kami cedera.

Seakan-akan terdengar dia memanggilku si Montel untuk menyakitkan hatiku, bila aku menangis, tak tentu arah dia memujukku dan membelikan aku aiskrim. Kenangan-kenangan itu menyebabkan aku tersenyum seketika.



Seminggu sudah aku berada di rumah, dan aku jadi rindu untuk digelumangi dengan kes-kes dan tugasan. Kebetulan, syarikat tempat Azizi bekerja memerlukan seorang penasihat undang-undang. Setelah ditemuduga, aku diperlukan untuk bertugas esok.

Sebagai balasannya, aku pun belanjalah Azizi makan. Sejak hari itu, dialah tempat aku mencurahkan segala masalah dan apa yang terbuku di hatiku.

Bila aku bosan, pantas saja tanganku menelefon dan mengajaknya keluar, dan dia tak pernah menolak.

Kadangkala, rasa bersalah juga aku kerana sering menganggu dan mengajak dia keluar, bimbang juga aku kalau teman wanitanya cemburu.

Bila kuajukan soalan itu pada dirinya, dia cuma ketawa dan katanya, dia belum berjumpa dengan wanita idamannya.

Mustahil, benakku. Masakan tidak, dengan kedudukan yang mantap, dan wajah seiras Salman Khan, ketinggian dan tegap, sesiapa saja mudah tergoda. Dia cuma tersenyum dan menggosok kepalaku bila kunyatakan ketidakpuasan hatiku.



Rasa hormat dan sayang pada Azizi menebal dari sehari ke sehari. Perangsang darinya banyak membantu aku untuk membina semula istana dari runtuhan kelukaanku dahulu.

Bila bersama dengannya, hilang segala masalah yang membelenggu di dada. Dia juga banyak menasihatkan aku tentang hal-hal keagamaan. Dialah yang menyuruh aku bertudung.

Dengan kiasan, dia menyuruh aku membayangkan ayam jantan tanpa balungnya, tentulah buruk, jawabku. Macam itulah perempuan tanpa bertudung, katanya.

Seingatku, sepanjang keluar dengannya, tak pernah sekali tanganku dipegangnya. Kalau berjalan, dia akan berjalan di hadapan. Dia juga suka kalau aku berbaju kurung. Lebih ayu dan manis katanya.

Dia juga sering mengajak aku menghadiri majlis-majlis agama dan mengikuti ceramah-ceramah agama. Azizi juga yang menggalakkan aku bergiat dalam kelab-kelab sukarela untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik.



Bila mama menyatakan hasrat ibu saudara ku untuk menyuntingku untuk dijadikan isteri Azizi, hatiku tidak menolak. Usiaku telah masuk 30-an, aku telah matang dan aku telah bersedia untuk memikul tanggung jawab sebagai isteri sekali lagi.

Aku pasti, pilihanku kali ini tidak salah. Sekalipun Azizi tidak pernah menyatakan cintanya kepadaku, perhatian dan matanya telah menyatakan segala-galanya.

Moga kali ini perkahwinan ini kekal selamanya, dan diredhai oleh Allah. Ini juga cara untuk aku menghentikan gangguan Aziz ke atas diriku. Surat yang kuterima darinya pagi tadi aku renyukkan dan kucampakkan dalam tong sampah.

Tinggallah kenangan lalu! Tinggallah Aziz, tinggallah Azizul, kenangan bersama kalian telah kucampakkan ke tepi, dan kini sebuah buku yang lebih menarik dan membahagiakan akan aku ciptakan dengan Azizi!



Lamunanku terhenti bila si kembar Ameera dan Ameer menangis. Di sisiku, suamiku, Azizi, tersenyum mesra. Pantas dia menyuakan susu ke mulut si kecil yang sedang kelaparan. Kedua-dua kembarku berhenti menangis dan seakan selesa dalam kehangatan pelukan kami. Semoga Allah sentiasa memberkati kami. Tangan Azizi kugenggam, tersenyum dia memandangku. Dialah jiwaku, syurga hatiku kini dan selamanya!



Petikan daripada Majalah Dara.Com

Setitikpun jadilah..

SAYA tenung wajah ayah dalam-dalam. Kelopak mata kanannya sedikit terbuka.


Saya seluk kocek. Gagau kalau-kalau ada syiling. Tiada, Saya tawakal, kelopak mata ayah saya sentuh perlahan dengan hujung jari telunjuk agar ia terkatup cantik, Alhamdulillah... hasrat saya tercapai!

Saya tenung lagi, bagaikan itulah pertama kali menatap wajah ayah. Sayu, hiba dan rasa terkilan bercampur-baur.

Perasaan berkocak, dada sebak. Ada sesuatu yang membekam di hati.

Tanpa sedar air jernih bertakung pada kelopak mata, Kemudian setitis-setitis ia membasahi alur celahan antara hidung dan pipi.

Saya seluk kocek sekali lagi, keluarkan sapu tangan.

Sewaktu diangkat ke muka, bergolek syiling 20 sen jatuh daripada lipatannya. Saya biarkan syiling itu tumbang sendiri di hujung bantal yang mengalas kepala ayah.

Hasrat menyapu air jernih yang meleleh saya lupakan. Saya biarkan ia jatuh menimpa ribaan saya yang kosong.

Surah Yasin di tangan saya lepaskan perlahan-lahan. Sekali lagi saya gagal meneruskan bacaan.

Perasaan terkilan kerana tidak menunaikan permintaan terakhir ayah bertandang semula.

Kata-kata ayah terngiang-ngiang di telinga.

"A... a.,,, a,,, ayah nak air! Tekak ayah kering..,!" suara ayah terketar-ketar antara dengar dan tidak. Matanya masih dipejamkan.

Ketika itu saya benar-benar tercabar - antara kasih dan peraturan, antara memenuhi permintaan orang yang paling dikasihi dan peraturan hospital yang melarang pesakit bakal dibedah mengambil sebarang makanan ataupun minuman.

Saya cuma ada satu pilihan!

Terlalu mengharapkan ayah sembuh, setelah berfikir sejenak saya memilih untuk mematuhi peraturan. Apalagi melihat seluruh badan ayah dipenuhi berbagai-bagai wayar, saluran air dan darah.

Walaupun keputusan itu mungkin tindakan paling zalim saya lakukan demi kasih pada ayah.

"Esok ayah nak dibedah. Selesai nanti, ayah minumlah puas-puas," kata saya memujuk. Lagipun ini bukan kali pertama ayah melalui pembedahan... dah enam kali!

Daripada riak mukanya, ayah terguris dengan kata-kata saya. Dia membuka mata, menyengetkan kepala ke kiri dan kemudian ke kanan. Perlahan-lahan ayah cuba bangun, suatu tindakan membantah keputusan saya. .

Ayah saya tinggalkan berseorangan. Bukan kerana marah atau kecewa, cuma tak sampai hati melihat riak wajahnya.

Saya ke kaunter pertanyaan dengan harapan saya dapat bertemu doktor bertugas. Hasrat saya cuma satu, meminta kebenaran agar dapat memberikan seteguk dua air untuk ayah.

Berhadapan sahaja dengan petugas beruniform putih itu serta-merta lidah menjadi kelu. Tujuan meminta kebenaran saya lupakan, lantas saya kembali ke katil ayah.

Sekali lagi ayah meminta air.



"Setitikpun jadilah...!" katanya merenung tajam wajah saya.

Ahhhhhh...! Saya kembali kepada diri sendiri sebaik terasa tangan menyentuh bahu saya.

Imbasan bersama ayah yang masih bernafas petang semalam terhenti. Saya toleh kiri... kosong. Saya toleh kanan... juga kosong.

Saya amati sekali lagi. Ya, pasti, tidak ada sesiapa yang mencuit bahu saya.

Nyata belum ada jiran tetangga yang datang berziarah kerana hari masih terlalu pagi. Masih gelap di luar!

Walaupun kematian ayah sudah sampai ke pengetahuan seluruh kariah subuh tadi, jasadnya masih berada di dalam bilik, tempat asal sebaik tiba dari Hospital Teluk Intan subuh tadi.

Saya amati sekali lagi. Sah, tiupan angin yang masuk melalui tingkap yang terkuak menyebabkan langsir bilik sedikit beralun dan menyentuh bahu saya.

Saya abaikan segalanya. Seluruh fikiran dan tumpuan saya tumpahkan ke wajah ayah yang sememangnya saya biarkan terbuka. Saya mahu menatap wajah ayah sepuas puasnya sebelum tetamu tiba.

Wajah ayah bersih tetapi kelopak sebelah kanan mata ayah kembali sedikit terbuka. Saya raup lagi agar tertutup.

Alhamdulillah! Bacaan Yasin oleh saudara-mara masih berkumandang.

Sementara di luar bilik waris-waris sibuk berbincang, adik-adik datang bertimpuh sebelah menyebelah saya. Mereka mungkin tidak memahami kenapa abang sulung mereka teresak-esak sayu. Saya kerling dengan ekor mata.

Ahhhhh,.. rupanya mereka juga menangis.

Saya tahu tangisan mereka kerana kehilangan ayah, lama setelah kami menjadi piatu selepas kematian ibu beberapa tahun sebelum ni. Tapi tangisan saya lain. Saya menangis kerana kesal tidak memberikan setitik air yang cukup diperlukan ayah saat ayah betul-betui kehausan.

Saya tenung lagi muka ayah. Berkali-kali saya cuba menutup mata ayah tetapi setiap kali itu juga mata ayah kembali terbuka. Saya terkenang kata-kata orang tua...

"Kalau ada sesuatu yang dihajati seseorang tidak tercapai, dia akan mati celik!"

Lalu saya ambil syiling 20 sen di hujung bantal yang mengalas kepala ayah dan tindih mata ayah dengan harapan kali ini mata ayah tidak terbuka lagi. Saya tidak sanggup melihat mata ayah kembali terbuka.

Kekesalan itu saya tanggung hingga ke hari ini. Sesekali, terutama semasa bersendirian, saya kerap mengungkap kata-kata:

"Maafkan saya ayah... maafkan! Tidak terniat untuk saya melukakan hati ayah. Saya lakukan kerana terlalu menyayangi ayah."

Dan sampai kini, walau telah enam tahun berlalu, setiap kali mahu membasah tekak, saya teringatkan kata-kata ayah:

"... setitikpun jadilahh!"

Cinta Biasa....

Satu kisah Cinta Biasa......Bacalah.. sedih sikit

Suami saya adalah seorang jurutera. Saya mencintai sifatnya yang semulajadi dan saya menyukai perasaan hangat yang muncul di hati saya ketika bersandar di bahunya.

3 tahun dalam masa perkenalan dan 2 tahun dalam masa pernikahan, saya harus akui, bahawa saya mulai merasa letih...lelah, alasan-alasan saya mencintainya dulu telah berubah menjadi sesuatu yang menjemukan.
Saya seorang wanita yang sentimental dan benar-benar sensitif serta berperasaan halus. Saya merindui saat-saat romantis seperti seorang anak kecil yang sentiasa mengharapkan belaian ayah dan ibunya.
Tetapi, semua itu tidak pernah saya perolehi. Suami saya jauh berbeza dari yang saya harapkan. Rasa sensitifnya kurang. Dan ketidakmampuannya dalam menciptakan suasana yang romantis dalam perkahwinan kami telah mematahkan semua harapan saya terhadap cinta yang ideal.

Suatu hari, saya beranikan diri untuk mengatakan keputusan saya kepadanya, bahawa saya inginkan penceraian.

"Mengapa?" dia bertanya dengan nada terkejut.

"Siti letih. Abang tidak pernah cuba memberikan cinta yang saya inginkan." Dia diam dan termenung sepanjang malam di depan komputernya, nampak seolah-olah sedang mengerjakan sesuatu, padahal tidak.

Kekecewaan saya semakin bertambah, seorang lelaki yang tidak dapat mengekspresikan perasaannya, apalagi yang boleh saya harapkan daripadanya? Dan akhirnya dia bertanya, "Apa yang Abang boleh lakukan untuk mengubah fikiran Siti?" Saya merenung matanya dalam-dalam dan menjawab dengan perlahan.

"Siti ada satu soalan. Kalau Abang temui jawapannya di dalam hati Siti, Siti akan mengubah fikiran Siti. Seandainya, Siti menyukai sekuntum bunga cantik yang ada di tebing gunung dan kita berdua tahu jika Abang memanjat gunung-gunung itu, Abang akan mati. Apakah yang Abang akan lakukan untuk Siti?"

Dia termenung dan akhirnya berkata, "Abang akan memberikan jawapannya esok." Hati saya terus gundah mendengar responnya itu.

Keesokan paginya, dia tidak ada di rumah, dan saya menemui selembar kertas dengan coretan tangannya di bawah sebiji gelas yang berisi susu hangat yang bertuliskan...

"Sayangku, Abang tidak akan mengambil bunga itu untukmu, tetapi izinkan Abang untuk menjelaskan alasannya." Kalimah pertama itu menghancurkan hati saya.
Namun, saya masih terus ingin membacanya.

"Siti boleh mengetik di komputer dan selalu mengusik program di dalamnya dan akhirnya menangis di depan monitor. Abang harus memberikan jari-jari Abang supaya boleh membantu Siti untuk memperbaiki program tersebut."

"Siti selalu lupa membawa kunci rumah ketika Siti keluar, dan Abang harus memberikan kaki Abang supaya boleh menendang pintu, dan membuka pintu untuk Siti ketika pulang."

"Siti suka jalan-jalan di shopping complexs tetapi selalu tersasar dan ada ketikanya sesat di tempat-tempat baru yang Siti kunjungi. Abang harus mencari Siti dari satu lot kedai ke satu lot kedai yang lain mencarimu dan membawa Siti pulang ke rumah."

"Siti selalu sengal-sengal badan sewaktu 'teman baik' Siti datang setiap bulan, dan Abang harus memberikan tangan Abang untuk memicit dan mengurut kaki Siti yang sengal itu."

"Siti lebih suka duduk di rumah, dan Abang selalu risau Siti akan menjadi 'pelik'. Dan Abang harus membelikan sesuatu yang dapat menghiburkan Siti di rumah atau meminjamkan lidah Abang untuk menceritakan hal-hal kelakar yang Abang alami."

"Siti selalu menatap komputer, membaca buku dan itu tidak baik untuk kesihatan mata Siti, Abang harus menjaga mata Abang agar ketika kita tua nanti, Abang dapat menolong mengguntingkan kukumu dan memandikanmu."

"Tangan Abang akan memegang tangan Siti, membimbing menyusuri pantai, menikmati matahari pagi dan pasir yang indah. Menceritakan warna-warna bunga yang bersinar dan indah seperti cantiknya wajahmu."

"Tetapi sayangku, Abang tidak akan mengambil bunga itu untuk mati. Kerana, Abang tidak sanggup melihat airmatamu mengalir menangisi kematian Abang."

"Sayangku, Abang tahu, ada ramai orang yang boleh mencintaimu lebih daripada Abang mencintai Siti."

"Untuk itu sayang, jika semua yang telah diberikan oleh tangan, kaki, mata Abang tidak cukup bagi Siti. Abang tidak akan menahan diri Siti mencari tangan, kaki dan mata lain yang dapat membahagiakan Siti."

Airmata saya jatuh ke atas tulisannya dan membuatkan tintanya menjadi kabur, tetapi saya tetap berusaha untuk terus membacanya lagi.

"Dan sekarang, Siti telah selesai membaca jawapan Abang.
Jika Siti puashati dengan semua jawapan ini, dan tetap inginkan Abang tinggal di rumah ini, tolong bukakan pintu rumah kita, Abang sekarang sedang berdiri di luar sana menunggu jawapan Siti."
"Tetapi, jika Siti tidak puas hati, sayangku...biarkan Abang masuk untuk mengemaskan barang-barang Abang, dan Abang tidak akan menyulitkan hidupmu. Percayalah, bahagia Abang bila Siti bahagia."

Saya terpegun. Segera mata memandang pintu yang terkatup rapat. Lalu saya segera berlari membukakan pintu dan melihatnya berdiri di depan pintu dengan wajah gusar sambil tangannya memegang susu dan roti kesukaan saya.

Oh! Kini saya tahu, tidak ada orang yang pernah mencintai saya lebih dari dia mencintai saya. Itulah cinta, di saat kita merasa cinta itu telah beransur-ansur hilang dari hati kita kerana kita merasa dia tidak dapat memberikan cinta dalam 'kewujudan' yang kita inginkan, maka cinta itu telah hadir dalam 'kewujudan' yang tidak pernah kita bayangkan sebelum ini.

moral:

terima lah seseorg tu seadanya ...jangan terlalu mengharap yg luar biasa darinya kelak kita jua yg kan kecewa.....

Pahala Terakhir Seorang Isteri

Sumber: Nur

Sehingga kini, setiap kali saya terkenang kepadanya, air mata saya mengalir di pipi. Saya akan bermunajat dan memohon keampunan daripada Allah.

Peristiwa yang menimpa diri saya kira-kira dua tahun yang lalu sering datang meragut ketenangan yang cuba dipupuk hari demi hari. Saya selalu kecundang. Justeru saya masih belum dapat memaafkan kesalahan yang telah dilakukan.

Kesalahan yang disangka ringan, tetapi rupa-rupanya mendatangkan rasa bersalah yang tidak pernah berkesudahan hingga ke hari ini.

Ingin saya paparkan peristiwa yang menimpa diri ini untuk tatapan anda sekalian, untuk dijadikan teladan sepanjang hidup.

Untuk pengetahuan semua, di kalangan sahabat-sahabat dan saudara-mara, saya dianggap sebagai seorang isteri yang baik. Tidak keterlaluan jika dikatakan saya menjadi contoh teladan seorang isteri bekerja yang begitu
taat berbakti kepada suami.

Walau bagaimana penat dan sibuk sekalipun, urusan rumah tangga seperti melayan suami dan menguruskan anak-anak tidak pernah saya abaikan.

Kami dianggap pasangan romantik. Suami saya seorang lelaki yang amat memahami jiwa saya, berlemah lembut terhadap keluarga, ringan tulang untuk bersama-sama menguruskan rumah apabila pulang dari kerja dan lain-lain sifat yang baik ada pada dirinya.

Waktu sembahyang dan waktu makan merupakan waktu terbaik untuk mengeratkan ikatan kekeluargaan dengan sembahyang berjemaah dan makan bersama. Pada waktu inilah biasanya beliau akan memberi tazkirah dan peringatan kepada kami agar menjadi hamba yang bertakwa.

Dari sudut layanan seorang isteri terhadap suami, saya amat memahami akan kewajipan yang harus ditunaikan.

Itulah peranan asas seorang isteri terhadap suaminya. Allah menciptakan Hawa semata-mata untuk melayani Adam dan menghiburkannya. Meskipun syurga dipenuhi dengan kekayaan dan kemewahan, namun tidak mampu mengisi jiwa Adam yang kosong melainkan dengan diciptakan Hawa.

Oleh itu saya menganggap tugas mengurus rumah tangga, mengurus anak-anak dan bekerja di pejabat adalah tugas nombor dua setelah tugas pertama dan utama, iaitu melayani suami.

Sebagai seorang pekerja yang juga sibuk di pejabat, ada kalanya rasa penat dan letih menghambat sehingga saya pulang ke rumah. Tetapi saya bersyukur kerana suami amat memahaminya. Berkat tolong-menolong dan bertolak-ansur, hal tersebut tidak pernah menjadi masalah dalam keluarga.

Bahkan sebaliknya menumbuhkan rasa kasih dan sayang antara satu sama lain kerana masing-masing dapat menerimanya dan mengorbankan kepentingan masing-masing.

Sehinggalah tiba pada satu hari yang mana pada hari itu datangnya ketentuan Allah yang tidak dapat diubah oleh sesiapapun.

Hari itu merupakan hari bekerja. Agenda saya di pejabat amat sibuk, bertemu dengan beberapa orang pelanggan dan menyelesaikan beberapa tugasan yang perlu disiapkan pada hari itu juga.

Pukul lima petang, saya bersiap-siap untuk pulang ke rumah, Penat dan letih tidak dapat digambarkan.

Apabila sampai di rumah, saya lihat suami telah pulang dari pejabat. Dia telah membersihkan dirinya dan sedang melayani anak-anak, bermain-main dan bergurau-senda. Dia kelihatan sungguh gembira pada petang itu. Saya begitu terhibur melihat telatah mereka, kerana suasana seperti itu jarang berlaku pada hari bekerja. Maklumlah masing-rnasing penat.

Suami sedar saya amat penat pada hari itu. Oleh itu dia meminta agar saya tidak memasak, sebaliknya mencadangkan agar kami makan di sebuah restoran makanan laut di pinggir bandar. Dengan senang hati saya dan anak-anak menyetujuinya.

Kami pulang ke rumah agak lewat, kira-kira jam 11 malam.Apa tidaknya, kami berbual-bual panjang ketika makan, bergurau-senda dan usik-mengusik. Seperti tiada lagi hari untuk esok. Selain anak-anak, suami sayalah orang yang kelihatan paling gembira dan paling banyak modal untuk bercakap pada malam itu.

Hampir jam 12 barulah masing-masing merebahkan badan di katil. Anak-anak yang kekenyangan dan mengantuk segera lelap.

Saya pun hendak melelapkan mata, tetapi belaian lembut suami mengingatkan saya agar tidak tidur lagi. Saya cuba menggagahkan diri melayaninya, tetapi hati saya hanya separuh saja jaga, separuh lagi tidur.

Akhirnya saya berkata kepadanya sebaik dan selembut mungkin, "Abang, Zee terlalu penat," lalu saya menciumnya dan memberi salam sebagai ucapan terakhir sebelum tidur.Sebaliknya suami saya terus merangkul tubuh saya. Dia berbisik kepada saya bahawa itu adalah permintaan terakhirya.
Namun kata-katanya itu tidak meresap ke dalam hati saya kerana saya telah berada di alam mimpi. Suami saya perlahan-lahan melepaskan rangkulannya.
Keesokannya di pejabat, perasaan saya agak tidak menentu. Seperti ada perkara yang tidak selesai. Saya menelefon suami, tetapi tidak berjawab.
Sehinggalah saya dapat panggilan yang tidak dijangka sama sekali - panggilan dari pihak polis yang menyatakan suami saya terlibat dengan kemalangan dan dikehendaki datang segera ke hospital.

Saya bergegas ke hospital, tetapi segala-galanya sudah terlambat. Allah lebih menyayangi suami saya, dan saya tidak sempat bertemunya.
Meskipun reda dengan pemergian suami, tetapi perasaan terkilan dan bersalah tidak dapat dikikis dari hati saya kerana tidak melayaninya pada malam terakhir kehidupannya di dunia ini.

Hakikatnya itulah pahala terakhir untuk saya sebagai seorang isteri. Dan yang lebih saya takuti sekiranya dia tidak reda terhadap saya pada malam itu, maka saya tidak berpeluang lagi untuk meminta maaf daripadanya.

Sabda Rasulullah s.a.w; "Demi Allah yang jiwaku di tangan-Nya, tiada seorang suami yang mengajak isterinya tidur bersama di tempat tidur, tiba-tiba ditolak oleh isterinya, maka malaikat yang di langit akan murka kepada isterinya itu, hingga dimaafkan oleh suaminya." Sehingga kini, setiap kali saya terkenang kepadanya, air mata saya akan mengalir di pipi.
Saya akan bermunajat dan memohon keampunan daripada Allah.

Hanya satu cara saya fikirkan untuk menebus kesalahan itu, iaitu dengan mendidik anak-anak agar menjadi mukmin sejati.

Agar pahala amalan mereka akan mengalir kepada ayah mereka. Hanya itulah khidmat yang dapat saya berikan sebagai isterinya.
Itulah harapan saya... semoga Allah perkenankannya.

Berkasih Sayang tanpa Ucapan

Sumber: Email fwd

Suatu hari saya dibelanja oleh teman saya makan mee di kedai mee yang agak terkenal. Harganya tak mahal tetapi sedap. Kami duduk di meja bulat yang dapat menampung sepuluh orang bila mengelilingi meja. Di meja itu ada enam orang, saya, teman saya dan empat orang kawan yang lain.

Ketika asyik makan, satu keluarga baru duduk di sebelah kami. Mereka telah memesan mee dan sedang menunggu pesanan.. Keluarga tersebut terdiri daripada sepasang suami isteri yang masih muda dan seorang anak yang berusia dalam enam tahun. Mereka keluarga yang jauh dari sederhana. Pakaian mereka lusuh dan kusam.

Anaknya kelihatan seperti baru sembuh dari penyakit dan sedang menarik hingusnya keluar masuk. Hingusnya seperti nombor sebelas dan kadang2 seperti angka satu dengan warna kuning kehijau-hijauan. Si ibu dengan penuh kasih sayang mengelap hingus yang tidak berhenti keluar masuk hidung anaknya.

Pasangan itu sangat bahagia melihat anaknya bermain sambil tertawa. Seperti makan mee itu merupakan perayaan menyambut kesembuhannya. Ketika mee sudah sampai keluarga tersebut makan dengan lahapnya.

Keadaan tersebut tidak berlaku bagi kami semua terkecuali teman saya. Bagi kami berlima (termasuk saya) keadaan tersebut merupakan bencana dan penyiksaan. Bayangkan, bagaimana rasanya makan mee dengan mencium satu keluarga yang bau badannya tidak enak. Belum lagi melihat dan mendengar hingus yang ditarik keluar masuk dan sesekali dibersihkan oleh ibunya.

Setiap kali menyuap mee ke mulut sambil menghirup kuahnya, rasanya seperti hingus telah tercampur dengan makanan dan membuat selera makan hilang. Tidak beberapa lama kemudian, keempat kawan yang duduk semeja dengan kami meninggalkan meja satu persatu- tanpa menghabiskan makanan.
Melihat ini ada rasa kepahitan yang terpancar di wajah keluarga muda itu, seperti rasa rendah diri dan terasing melihat sikap saya dan empat lainnya.

Tetapi itu tidak lama, terutama ketika mereka melihat teman saya, keceriaan mereka pulih kembali. Teman saya tetap menikmati mee tanpa mengendahkan orang lain. Seolah-olah tidak ada bau di sekitarnya dan tidak ada bunyi hingus. Saya juga terpaksa berpura2 tidak endah dan terus menghabiskan mee kerana mahu menghormati teman saya yang belanja saya makan.

Selesai makan, kami masih duduk dua puluh minit sebelum meninggalkan kedai makan. Saya pelik dengan teman saya yang luar biasa. Biasanya setelah makan, dia hanya duduk paling lama sepuluh minit. Sekali lagi saya terpaksa menemani teman saya dengan perasaan yang sangat jengkel.

Akhirnya kami keluar meninggalkan kedai dan keluarga muda, saya merasa lega. Dalam perjalanan pulang, teman saya mengatakan dia sangat terganggu duduk berhampiran keluarga tersebut. Ia merasa ada bau dan terganggu dengan bunyi hingus anaknya itu. Dia juga merasa seperti apa yang saya rasakan.

Teman saya juga mengatakan, jika dia meninggalkan keluarga tersebut ketika mereka bergembira, keluarga itu akan merasa terpukul, tidak berharga, terasing dan putus asa. Si suami sedang memberi yang terbaik bagi keluarganya.

Mereka bersukacita merayakan kesembuhan anaknya. Si suami telah mengeluarkan wang yang bagi mereka cukup mahal dari hasil kerja keras hanya untuk memberikan yang terbaik bagi keluarganya. Wang itu tidak begitu banyak untuk ukuran kami tetapi tidak bagi keluarga itu.

Saya sangat terkejut mendengar kata kata teman saya. Dan tidak menyangka teman saya telah melakukan sesuatu yang luar biasa bagi keluarga itu.
Dengan caranya yang berbeza - bertahan makan mee sampai habis dan menunggu dua puluh minit setelah makan, telah memberi semangat baru bagi keluarga itu.

Saya teringat bagaimana rasa kepahitan, rendah diri dan terasing di wajah kedua suami isteri itu ketika melihat pelanggan yang lain meninggalkan meja tanpa menghabiskan makanan dan melihat tingkah saya.
Saya juga teringat bagaimana pasangan ini kembali ceria begitu melihat sikap teman saya yang tidak kisah.

Pertama kali dalam hidup ini, saya menyedari bagaimana utk mengasihi sesama manusia tanpa mengatakannya benar-benar tidak mustahil.
Teman saya dapat menunjukkan kasih sayang kepada sesama saudara tanpa perkataan dalam waktu sesingkat itu.

Cukup hanya dengan meneruskan makan mee sampai habis. Menunggu dua puluh minit setelah selesai makan.
Yang terakhir menahan rasa bau untuk menyempurnakan segalanya telah menunjukkan suatu keajaiban kasih dan dilakukan oleh seorang teman.
Ajaib bagaimana teman saya menegur saya tanpa mengatakan sesuatu.

Dia tidak menuduh tetapi cukup membuat saya rasa sangat terpukul dan malu tetapi tidak marah.
Saya kembali mengingatkan diri sendiri bagaimana selalunya kita mengatakan mengasihi sesama manusia tetapi tidak pernah melakukannya.

Kita Ibarat Emas Yang Diketuk

Seorang yang berperibadi kuat seumpama besi waja, semakin menghadapi cabaran hidup, semakin teguh dan tajam untuk menghadapi hidup; sebaliknya, seorang yang berperibadi lemah laksana timah apabila terkena api ia akan hancur, apabila terketuk oleh cabaran hidup ia akan berkecai

Ayam kampung perlukan sepuluh orang untuk menangkapnya. Ia akan lari sekeliling kampung. Sepuluh orang mengepung di sana, menghambat di sini, menerpa di sana dan tersungkur di sini, namun ayam kampung masih gagah lari menyelamatkan diri. Setelah berhempas pulas sepuluh orang baru dapat menewaskan seekor ayam. Tatkala ayam itu disembelih, tiba-tiba ia bangkit, berjalan keliling rumah dengan kepalanya sekali-sekala terkulai ke bawah. Ia berjalan lagi hingga akhirnya rebah.Maka tamatlah riwayat seekor ayam kampung.

Seekor ayam bandar (sangkar) dikeluarkan dari dalam sangkar. Ia diletakkan di luar dan dibiarkan lepas. Ayam bandar ini terteleng-teleng, melihat sana, melihat sini. Kemudian dia melangkahkan kaki, masuk kembali ke dalam sangkarnya. Dia tidak pernah tahu bahawa selama mana berada di dalam sangkar semudah itu nyawanya akan melayang, selama mana dia berada di luar peluang untuk dia lari menyelamatkan diri lebih terbuka luas. Itulah berbezanya ayam kampung dengan ayam bandar.

Cabaran hidup telah menjadikan ayam kampung begitu bertenaga, berani dan punya wawasan, sedangkan ayam bandar tidak nampak peluang dan menjadi begitu lemah lagi malas. Kesusahan sentiasa menjadi penunu untuk seseorang itu muncul luar biasa bagus dan hebat sekali, sebaliknya kesenangan pasti akan menyebabkan kelemahan, bukan sahaja tubuh badan kadang-kadang dalam soal peribadahan. Orang yang hidup dalam tekanan adalah umpama besi waja. Ia keras dan sukar dikalahkan.

Seseorang yang hidup dalam tekanan dan kepayahan sebenarnya sentiasa lebih kuat dan padu daripada mereka yang hidup dalam kesenangan. Maka itu, seorang yang miskin kadang-kadang lebih hebat peribadinya daripada seorang yang berada. Kekayaan adalah kekuatan dalam kelemahan, sedang kemiskinan kelemahan dalam kekuatan. Jadi, usahlah marah dengan keadaan jika anda tidak tergolong dalam kalangan orang senang.

Pada satu segi anda lebih kuat dan lebih hebat daripada orang senang. Kadang-kadang orang senang terlalu lemah hinggakan untuk menukar kepala paip yang sudah longgar perlukan orang kurang senang untuk melakukannya. Bukan disebabkan dia terlebih wang tetapi benar-benar kerana memang tidak pandai. Orang yang tidak pernah teruja oleh cabaran selalunya menjadi kian lemah sebaliknya orang yang hidup dalam ujian selalu bertambah kuat. Seorang gila selalunya tidak terurus segala hal, dia merayau-rayau dari satu tempat ke satu tempat.

Pakaiannya tidak pernah berganti, makan minumnya apa-apa saja yang dijumpai. Tidurnya tidak menentu, tetapi dia kelihatan sihat. Jarang nampak orang gila terlantar sakit, tetapi hospital menjadi tumpuan orang normal dan hidup senang. Usah rasa tidak selesa dengan cabaran sebab cabaran sentiasa memberikan kekuatan. Hanya orang yang lemah akan menganggap cabaran melemahkan.

Cabaran bukanlah nasib malang tetapi ia membuka peluang. Jika peluang tidak terlihat ia tetap bernilai pengalaman. Pengalaman itu tidak ternilai harganya, ia tiada dijual, ia hanya ada pada orang yang mengalami. Semakin kesusahan itu mengetuk, semakin ia membentuk, ibarat seorang tukang emas menempa emas untuk dijadikan perhiasan wanita, semakin diketuk semakin berharga, semakin diketuk semakin tinggi harganya.

Apakah kita seperti emas yang sedang diketuk itu?

Kesatlah Airmatamu Wahai Wanita

Apabila hati terikat dengan Allah, kembalilah wanita dengan asal fitrah kejadiannya, menyejukkan hati dan menjadi perhiasan kepada dunia - si gadis dengan sifat sopan dan malu, anak yang taat kepada ibu bapa, isteri yang menyerahkan kasih sayang, kesetiaan dan ketaatan hanya pada suami."

Bait-bait kata itu aku tatapi dalam-dalam. Penuh penghayatan. Kata-kata yang dinukilkan dalam sebuah majalah yang ku baca. Alangkah indahnya jika aku bisa menjadi perhiasan dunia seperti yang dikatakan itu. Ku bulatkan tekad di hatiku. Aku ingin menjadi seorang gadis yang sopan, anak yang taat kepada ibu bapaku dan aku jua ingin menjadi seorang isteri yang menyerahkan kasih sayang, kesetiaan dan ketaatan hanya untuk suami, kerana Allah.

Menjadi seorang isteri....kepada insan yang disayangi.....idaman setiap wanita. Alhamdulillah, kesyukuran aku panjatkan ke hadrat Ilahi atas nikmat yang dikurniakan kepadaku.

Baru petang tadi, aku sah menjadi seorang isteri setelah mengikat tali pertunangan 6 bulan yang lalu. Suamiku, Muhammad Harris, alhamdulillah menepati ciri-ciri seorang muslim yang baik. Aku berazam untuk menjadi isteri yang sebaik mungkin kepadanya.

"Assalamualaikum," satu suara menyapa pendengaranku membuatkan aku gugup seketika.

"Waalaikumusalam," jawabku sepatah. Serentak dengan itu, ku lontarkan satu senyuman paling ikhlas dan paling manis untuk suamiku. Dengan perlahan dia melangkah menghampiriku.

"Ain buat apa dalam bilik ni ? Puas abang cari Ain dekat luar tadi. Rupanya kat sini buah hati abang ni bersembunyi. `'

Aku tersenyum mendengar bicaranya. Terasa panas pipiku ini. Inilah kali pertama aku mendengar ucapan `abang' dari bibirnya.

Dan itulah juga pertama kali dia membahasakan diriku ini sebagai `buah hati' nya. Aku sungguh senang mendengar ucapan itu. Perlahan-lahan ku dongakkan wajahku dan aku memberanikan diri menatap pandangan matanya.

Betapa murninya sinaran cinta yang terpancar dari matanya, betapa indahnya senyumannya, dan betapa bermaknanya renungannya itu. Aku tenggelam dalam renungannya, seolah-olah hanya kami berdua di dunia ini.

Seketika aku tersedar kembali ke alam nyata. "Ain baru je masuk. Nak mandi. Lagipun dah masuk Maghrib kan ? `' ujarku.

`' Ha'ah dah maghrib. Ain mandi dulu. Nanti abang mandi dan kita solat Maghrib sama-sama ye ? `'Dia tersenyum lagi. Senyum yang menggugah hati kewanitaanku. Alangkah beruntungnya aku memilikimu, suamiku.

Selesai solat Maghrib dan berdoa, dia berpusing mengadapku. Dengan penuh kasih, ku salami dan ku cium tangannya, lama.

Aku ingin dia tahu betapa dalam kasih ini hanya untuknya. Dan aku dapat merasai tangannya yang gagah itu mengusap kepalaku dengan lembut. Dengan perlahan aku menatap wajahnya.

"Abang....." aku terdiam seketika. Terasa segan menyebut kalimah itu di hadapannya. Tangan kami masih lagi saling berpautan. Seakan tidak mahu dilepaskan. Erat terasa genggamannya.

"Ya sayang..." Ahhh....bicaranya biarpun satu kalimah, amat menyentuh perasaanku.

"Abang... terima kasih atas kesudian abang memilih Ain sebagai isteri biarpun banyak kelemahan Ain. Ain insan yang lemah, masih perlu banyak tunjuk ajar dari abang. Ain harap abang sudi pandu Ain. Sama-sama kita melangkah hidup baru, menuju keredhaan Allah." Tutur bicaraku ku susun satu persatu.

"Ain, sepatutnya abang yang harus berterima kasih kerana Ain sudi terima abang dalam hidup Ain. Abang sayangkan Ain. Abang juga makhluk yang lemah, banyak kekurangan. Abang harap Ain boleh terima abang seadanya. Kita sama-sama lalui hidup baru demi redhaNya."

`'Insya Allah abang....Ain sayangkan abang. `'

`'Abang juga sayangkan Ain. Sayang sepenuh hati abang.''

Dengan telekung yang masih tersarung, aku tenggelam dalam pelukan suamiku.

Hari-hari yang mendatang aku lalui dengan penuh kesyukuran. Suamiku, ternyata seorang yang cukup penyayang dan penyabar. Sebagai wanita aku tidak dapat lari daripada rajuk dan tangis.

Setiap kali aku merajuk apabila dia pulang lewat, dia dengan penuh mesra memujukku, membelaiku. Membuatku rasa bersalah. Tak wajar ku sambut kepulangannya dengan wajah yang mencuka dan dengan tangisan.

Bukankah aku ingin menjadi perhiasan yang menyejukkan hati suami? Sedangkan Khadijah dulu juga selalu ditinggalkan Rasulullah untuk berkhalwat di Gua Hira'.

Lalu, ku cium tangannya, ku pohon ampun dan maaf. Ku hadiahkan senyuman untuknya. Katanya senyumku bila aku lepas menangis, cantik!

Ahhh....dia pandai mengambil hatiku. Aku semakin sayang padanya. Nampaknya hatiku masih belum sepenuhnya terikat dengan Allah. Lantaran itulah aku masih belum mampu menyerahkan seluruh kasih sayang, kesetiaan dan ketaatan hanya untuk suami.

`' Isteri yang paling baik ialah apabila kamu memandangnya, kamu merasa senang, apabila kamu menyuruh, dia taat dan apabila kamu berpergian, dia menjaga maruahnya dan hartamu .`'

Aku teringat akan potongan hadis itu. Aku ingin merebut gelaran isteri solehah. Aku ingin segala yang menyenangkan buat suamiku. Tuturku ku lapis dengan sebaik mungkin agar tidak tercalar hatinya dengan perkataanku. Ku hiaskan wajahku hanya untuk tatapannya semata-mata.

Makan minumnya ku jaga dengan sempurna. Biarpun aku jua sibuk lantaran aku juga berkerjaya. Pernah sekali, aku mengalirkan air mata lantaran aku terlalu penat menguruskan rumah tangga apabila kembali dari kerja. Segalanya perlu aku uruskan. Aku terasa seperti dia tidak memahami kepenatanku sedangkan kami sama-sama memerah keringat mencari rezeki.

Namun, aku teringat akan kisah Siti Fatimah, puteri Rasulullah yang menangis kerana terlalu penat menguruskan rumah tangga.

Aku teringat akan besarnya pahala seorang isteri yang menyiapkan segala keperluan suaminya. Hatiku menjadi sejuk sendiri.

Ya Allah, aku lakukan segala ini ikhlas keranaMu. Aku ingin mengejar redha suamiku demi untuk mengejar redhaMu. Berilah aku kekuatan, Ya Allah.

" Ain baik, cantik. Abang sayang Ain.`' Ungkapan itu tidak lekang dari bibirnya. Membuatkan aku terasa benar-benar dihargai. Tidak sia-sia pengorbananku selama ini. Betapa bahagianya menjadi isteri yang solehah.

Kehidupan yang ku lalui benar-benar bermakna, apatah lagi dengan kehadiran 2 orang putera dan seorang puteri. Kehadiran mereka melengkapkan kebahagiaanku.

Kami gembira dan bersyukur kepada Allah atas nikmat yang dikurniakan kepada kami.

Namun, pada suatu hari, aku telah dikejutkan dengan permintaannya yang tidak terduga.

"Ain.....abang ada sesuatu nak cakap dengan Ain."

"Apa dia abang?" tanyaku kembali. Aku menatap wajahnya dengan penuh kasih. `' Ain isteri yang baik. Abang cukup bahagia dengan Ain. Abang bertuah punya Ain sebagai isteri," bicaranya terhenti setakat itu. Aku tersenyum. Namun benakku dihinggap persoalan. Takkan hanya itu?

"Abang ada masalah ke?" Aku cuba meneka.

"Tidak Ain. Sebenarnya......," bicaranya terhenti lagi. Menambah kehairanan dan mencambahkan kerisauan di hatiku. Entah apa yang ingin diucapkannya.

"Ain......abang.....abang nak minta izin Ain......untuk berkahwin lagi," ujarnya perlahan namun sudah cukup untuk membuat aku tersentak. Seketika aku kehilangan kata.

"A.....Abang.....nak kahwin lagi?" aku seakan tidak percaya mendengar permintaannya itu. Ku sangka dia telah cukup bahagia dengannku. Aku sangka aku telah memberikan seluruh kegembiraan padanya. Aku sangka hatinya telah dipenuhi dengan limpahan kasih sayangku seorang.

Rupanya aku silap. Kasihku masih kurang. Hatinya masih punya ruang untuk insan selain aku.

Tanpa bicara, dia mengangguk. `' Dengan siapa abang ? `' Aku bertanya. Aku tidak tahu dari mana datang kekuatan untuk tidak mengalirkan air mata. Tapi....hatiku... hanya Allah yang tahu betapa azab dan pedih hati ini.

`' Faizah. Ain kenal dia, kan ? `'

Ya, aku kenal dengan insan yang bernama Faizah itu. Juniorku di universiti. Rakan satu jemaah. Suamiku aktif dalam jemaah dan aku tahu Faizah juga aktif berjemaah.

Orangnya aku kenali baik budi pekerti, sopan tingkah laku, indah tutur kata dan ayu paras rupa. Tidakku sangka, dalam diam suamiku menaruh hati pada Faizah.

" A....Abang......Apa salah Ain abang?" nada suaraku mula bergetar. Aku cuba menahan air mataku daripada gugur. Aku menatap wajah Abang Harris sedalam-dalamnya. Aku cuba mencari masih adakah cintanya untukku.

"Ain tak salah apa-apa sayang. Ain baik. Cukup baik. Abang sayang pada Ain."

"Tapi....Faizah. Abang juga sayang pada Faizah....bermakna.....sayang abang tidak sepenuh hati untuk Ain lagi."

"Ain.....sayang abang pada Ain tidak berubah. Ain cinta pertama abang. Abang rasa ini jalan terbaik. Tugasan dalam jemaah memerlukan abang banyak berurusan dengan Faizah....Abang tak mahu wujud fitnah antara kami.

Lagipun....abang lelaki Ain. Abang berhak untuk berkahwin lebih dari satu. `'

Bicara itu kurasakan amat tajam, mencalar hatiku. Merobek jiwa ragaku. Aku mengasihinya sepenuh hatiku. Ketaatanku padanya tidak pernah luntur. Kasih sayangku padanya tidak pernah pudar. Aku telah cuba memberikan layanan yang terbaik untuknya. Tapi inikah hadiahnya untukku?

Sesungguhnya aku tidak menolak hukum Tuhan. Aku tahu dia berhak. Namun, alangkah pedihnya hatiku ini mendengar ucapan itu terbit dari bibirnya. Bibir insan yang amat ku kasihi.

Malam itu, tidurku berendam air mata. Dalam kesayuan, aku memandang wajah Abang Harris penuh kasih. Nyenyak sekali tidurnya.

Sesekali terdetik dalam hatiku, bagaimana dia mampu melelapkan mata semudah itu setelah hatiku ini digurisnya dengan sembilu.

Tidak fahamkah dia derita hati ini? Tak cukupkah selama ini pengorbananku untuknya? Alangkah peritnya menahan kepedihan ini. Alangkah pedihnya!

Selama seminggu, aku menjadi pendiam apabila bersama dengannya. Bukan aku sengaja tetapi aku tidak mampu membohongi hatiku sendiri. Tugasku sebagai seorang isteri aku laksanakan sebaik mungkin, tapi aku merasakan segalanya tawar. Aku melaksanakannya tidak sepenuh hati.

Oh Tuhan.....ampuni daku. Aku sayang suamiku, tapi aku terluka dengan permintaannya itu.

Apabila bertembung dua kehendak, kehendak mana yang harus dituruti. Kehendak diri sendiri atau kehendak Dia ?

Pastinya kehendak Dia. Apa lagi yang aku ragukan? Pasti ada hikmah Allah yang tersembunyi di sebalik ujian yang Dia turunkan buatku ini. Aku berasa amat serba-salah berada dalam keadaan demikian.

Aku rindukan suasana yang dulu. Riang bergurau senda dengan suamiku. Kini, aku hanya terhibur dengan keletah anak-anak.

Senyumku untuk Abang Harris telah tawar, tidak berperisa. Yang nyata, aku tidak mampu bertentang mata dengannya lagi. Aku benar-benar terluka.

Namun, Abang Harris masih seperti dulu. Tidak jemu dia memelukku setelah pulang dari kerja walau sambutan hambar. Tidak jemu dia mencuri pandang merenung wajahku walau aku selalu melarikan pandangan dari anak matanya.

Tidak jemu ucapan kasihnya untukku. Aku keliru. Benar-benar keliru. Adakah Abang Harris benar-benar tidak berubah sayangnya padaku atau dia hanya sekadar ingin mengambil hatiku untuk membolehkan dia berkahwin lagi?

`Oh Tuhan...berilah aku petunjukMu.' Dalam kegelapan malam, aku bangkit sujud menyembahNya, mohon petunjuk dariNya. Aku mengkoreksi kembali matlamat hidupku.

Untuk apa segala pengorbananku selama ini untuk suamiku ? Untuk mengejar cintanya atau untuk mengejar redha Allah ?

Ya Allah, seandainya ujian ini Engkau timpakan ke atas ku untuk menguji keimananku, aku rela Ya Allah. Aku rela.

Biarlah... Bukan cinta manusia yang ku kejar. Aku hanya mengejar cinta Allah. Cinta manusia hanya pemangkin. Bukankah aku telah berazam, aku inginkan segala yang menyenangkan buat suamiku?

Dengan hati yang tercalar seguris luka, aku mengizinkan Abang Harris berkahwin lagi. Dan, demi untuk mendidik hati ini, aku sendiri yang menyampaikan hasrat Abang Harris itu kepada Faizah.

Suamiku pada mulanya agak terkejut apabila aku menawarkan diri untuk merisik Faizah.

"Ain?......Ain serius?"

"Ya abang. Ain sendiri akan cakap pada Faizah. Ain lakukan ini semua atas kerelaan hati Ain sendiri. Abang jangan risau...Ain jujur terhadap abang. Ain tak akan khianati abang. Ain hanya mahu lihat abang bahagia," ujarku dengan senyuman tawar. Aku masih perlu masa untuk mengubat luka ini. Dan inilah satu caranya. Ibarat menyapu ubat luka. Pedih, tetapi cepat sembuhnya.

Aku mengumpul kekuatan untuk menjemput Faizah datang ke rumahku. Waktu itu, suamiku tiada di rumah dan dia telah memberi keizinan untuk menerima kedatangan Faizah. Faizah dengan segala senang hati menerima undanganku.

Sememangnya aku bukanlah asing baginya. Malah dia juga mesra dengan anak-anakku.

`' Izah......akak jemput Izah ke mari sebab ada hal yang akak nak
cakapkan, `' setelah aku merasakan cukup kuat, aku memulakan bicara.

`' Apa dia, Kak Ain. Cakaplah, `' lembut nada suaranya.

"Abang Harris ada pernah cakap apa-apa pada Faizah?"

"Maksud Kak Ain, Ustaz Harris?" Ada nada kehairanan pada suaranya. Sememangnya kami memanggil rakan satu jemaah dengan panggilan Ustaz dan Ustazah. Aku hanya mengangguk.

" Pernah dia cakap dia sukakan Izah?"

"Sukakan Izah? Isyyy....tak mungkinlah Kak Ain. Izah kenal Ustaz Harris. Dia kan amat sayangkan akak. Takkanlah dia nak sukakan saya pula. Kenapa Kak Ain tanya macam tu? Kak Ain ada dengar cerita dari orang ke ni? `'

`' Tidak Izah. Tiada siapa yang membawa cerita......." Aku terdiam seketika. "Izah, kalau Kak Ain cakap dia sukakan Izah dan nak ambil Izah jadi isterinya, Izah suka?" Dengan amat berat hati, aku tuturkan kalimah itu.

" Kak Ain!" jelas riak kejutan terpapar di wajahnya. `' Apa yang Kak Ain cakap ni ? Jangan bergurau hal sebegini Kak Ain, `' kata Faizah seakan tidak percaya. Mungkin kerana aku sendiri yang menutur ayat itu. Isteri kepada Muhammad Harris sendiri merisik calon isteri kedua suaminya.

"Tidak Izah. Akak tak bergurau......Izah sudi jadi saudara Kak Ain?" ujarku lagi. Air mataku seolah ingin mengalir tapi tetap aku tahan. Faizah memandang tepat ke wajahku.

"Kak Ain. Soal ini bukan kecil Kak Ain. Kak Ain pastikah yang......Ustaz Harris.....mahu... melamar saya?"

Dari nada suaranya, aku tahu Faizah jelas tidak tahu apa-apa. Faizah gadis yang baik. Aku yakin dia tidak pernah menduga suamiku akan membuat permintaan seperti ini. Lantas, aku menceritakan kepada Faizah akan hasrat suamiku.

Demi untuk memudahkan urusan jemaah, untuk mengelakkan fitnah. Faizah termenung mendengar penjelasanku.

"Kak Ain.....saya tidak tahu bagaimana Kak Ain boleh hadapi semuanya ini dengan tabah. Saya kagum dengan semangat Kak Ain. Saya minta maaf kak. Saya tak tahu ini akan berlaku. Saya tak pernah menyangka saya menjadi punca hati Kak Ain terluka," ujarnya sebak. Matanya ku lihat berkaca-kaca.

"Izah...Kak Ain tahu kamu tak salah. Kak Ain juga tak salahkan Abang Harris. Mungkin dia fikir ini jalan terbaik. Dan akak tahu, dia berhak dan mampu untuk melaksanakannya. Mungkin ini ujian untuk menguji keimanan Kak Ain."

"Kak...maafkan Izah." Dengan deraian air mata, Faizah meraihku ke dalam elukannya. Aku juga tidak mampu menahan sebak lagi. Air mataku terhambur jua. Hati wanita. Biarpun bukan dia yang menerima kepedihan ini, tetapi tersentuh jua hatinya dengan kelukaan yang ku alami. Memang hanya wanita yang memahami hati wanita yang lain.

"Jadi...Izah setuju?" Soalku apabila tangisan kami telah reda.

`' Kak Ain....ini semua kejutan buat Izah. Izah tak tahu nak cakap. Izah tak mahu lukakan hati Kak Ain."

"Soal Kak Ain....Izah jangan risau, hati Kak Ain...Insya Allah tahulah akak mendidiknya. Yang penting akak mahu Abang Harris bahagia. Dan akak sebenarnya gembira kerana Faizah pilihannya. Bukannya gadis lain yang akak tak tahu hati budinya. Insya Allah Izah.

Sepanjang Kak Ain mengenali Abang Harris dan sepanjang akak hidup sebumbung dengannya, dia seorang yang baik, seorang suami yang soleh, penyayang dan penyabar. Selama ini akak gembira dengan dia. Dia seorang calon yang baik buat Izah. `'

"Akak.....Izah terharu dengan kebaikan hati akak. Tapi bagi Izah masa dan Izah perlu tanya ibu bapa Izah dulu."

"Seeloknya begitulah. Kalau Izah setuju, Kak Ain akan cuba cakap pada ibu bapa Izah."

Pertemuan kami petang itu berakhir. Aku berasa puas kerana telah menyampaikan hasrat suamiku. `Ya Allah.....inilah pengorbananku untuk membahagiakan suamiku. Aku lakukan ini hanya semata-mata demi redhaMu.'

Pada mulanya, keluarga Faizah agak keberatan untuk membenarkan Faizah menjadi isteri kedua Abang Harris. Mereka khuatir Faizah akan terabai dan bimbang jika dikata anak gadis mereka merampas suami orang.

Namun, aku yakinkan mereka akan kemampuan suamiku. Alhamdulillah, keluarga Faizah juga adalah keluarga yang menitikberatkan ajaran agama. Akhirnya, majlis pertunangan antara suamiku dan Faizah diadakan jua.

"Ain.....abang minta maaf sayang," ujar suamiku pada suatu hari, beberapa minggu sebelum tarikh pernikahannya dengan Faizah.

"Kenapa?"

"Abang rasa serba salah. Abang tahu abang telah lukakan hati Ain. Tapi....Ain sedikit pun tidak marahkan abang. Ain terima segalanya demi untuk abang. Abang terharu. Abang....malu dengan Ain."

"Abang....syurga seorang isteri itu terletak di bawah tapak kaki suaminya. Redha abang pada Ain Insya Allah, menjanjikan redha Allah pada Ain. Itu yang Ain cari abang. Ain sayangkan abang. Ain mahu abang gembira. Ain anggap ini semua ujian Allah abang. `'

`' Ain....Insya Allah abang tak akan sia-siakan pengorbanan Ain ini.

Abang bangga sayang. Abang bangga punya isteri seperti Ain. Ain adalah cinta abang selamanya. Abang cintakan Ain."

"Tapi...abang harus ingat. Tanggungjawab abang akan jadi semakin berat. Abang ada dua amanah yang perlu dijaga. Ain harap abang dapat laksanakan tanggungjawab abang sebaik mungkin."

"Insya Allah abang akan cuba berlaku seadilnya." Dengan lembut dia mengucup dahiku. Masih hangat seperti dulu. Aku tahu kasihnya padaku tidak pernah luntur. Aku terasa air jernih yang hangat mula membasahi pipiku. Cukuplah aku tahu, dia masih sayangkan aku seperti dulu walaupun masanya bersamaku nanti akan terbatas.

Pada hari pertama pernikahan mereka, aku menjadi lemah. Tidak bermaya. Aku tiada daya untuk bergembira. Hari itu sememangnya amat perit bagiku walau aku telah bersedia untuk menghadapinya.

Malam pertama mereka disahkan sebagai suami isteri adalah malam pertama aku ditinggalkan sendirian menganyam sepi. Aku sungguh sedih. Maha hebat gelora perasaan yang ku alami. Aku tidak mampu lena walau sepicing pun. Hatiku melayang terkenangkan Abang Harris dan Faizah. Pasti mereka berdua bahagia menjadi pengantin baru.

Bahagia melayari kehidupan bersama, sedangkan aku ? Berendam air mata mengubat rasa kesepian ini. Alhamdulillah. Aku punya anak-anak. Merekalah teman bermainku.

Seminggu selepas itu, barulah Abang Harris pulang ke rumah. Aku memeluknya seakan tidak mahu ku lepaskan. Seminggu berjauhan, terasa seperti setahun. Alangkah rindunya hati ini. Sekali lagi air mata ku rembeskan tanpa dapat ditahan.

`' Kenapa sayang abang menangis ni? Tak suka abang balik ke?" ujarnya lembut.

"Ain rindu abang. Rindu sangat. `' Tangisku makin menjadi-jadi. Aku mengeratkan pelukanku. Dan dia juga membalas dengan penuh kehangatan.

`' Abang pun rindu Ain. Abang rindu senyuman Ain. Boleh Ain senyum pada abang ? `' Lembut tangannya memegang daguku dan mengangkat wajahku.

`'Abang ada teman baru. Mungkinkah abang masih rindu pada Ain ? `'Aku menduga keikhlasan bicaranya.

`' Teman baru tidak mungkin sama dengan yang lama. Kan abang dah kata, sayang abang pada Ain masih seperti dulu. Tidak pernah berubah, malah semakin sayang. Seminggu abang berjauhan dari Ain, tentulah abang rindu. Rindu pada senyuman Ain, suara Ain, masakan Ain, sentuhan Ain. Semuanya itu tiada di tempat lain, hanya pada Ain saja. Senyumlah sayang, untuk abang. `'

Aku mengukir senyum penuh ikhlas. Aku yakin dengan kata-katanya. Aku tahu sayangnya masih utuh buatku.

Kini, genap sebulan Faizah menjadi maduku. Aku melayannya seperti adik sendiri. Hubungan kami yang dulunya baik bertambah mesra. Apa tidaknya, kami berkongsi sesuatu yang amat dekat di hati.

Dan, Faizah, menyedari dirinya adalah orang baru dalam keluarga, sentiasa berlapang dada menerima teguranku. Katanya, aku lebih mengenali Abang Harris dan dia tidak perlu bersusah payah untuk cuba mengorek sendiri apa yang disukai dan apa yang tidak disukai oleh Abang Harris.

Aku, sebagai kakak, juga sentiasa berpesan kepada Faizah supaya sentiasa menghormati dan menjaga hati Abang Harris. Aku bersyukur, Faizah tidak pernah mengongkong suamiku. Giliran kami dihormatinya.

Walaupun kini masa untuk aku bersama dengan suamiku terbatas, tetapi aku dapat merasakan kebahagiaan yang semakin bertambah apabila kami bersama. Benarlah, perpisahan sementara menjadikan kami semakin rindu. Waktu bersama, kami manfaatkan sebaiknya. Alhamdulillah, suamiku tidak pernah mengabaikan aku dan Faizah. Aku tidak merasa kurang daripada kasih sayangnya malah aku merasakan sayangnya padaku bertambah.

Kepulangannya kini sentiasa bersama sekurang-kurangnya sekuntum mawar merah. Dia menjadi semakin penyayang, semakin romantik. Aku rasa aku harus berterima kasih pada Faizah kerana kata suamiku, Faizahlah yang selalu mengingatkannya supaya jangan mensia-akan kasih sayangku padanya.

Memang aku tidak dapat menafikan, adakalanya aku digigit rindu apabila dia pulang untuk bersama-sama dengan Faizah. Rindu itu, aku ubati dengan zikrullah. Aku gunakan kesempatan ketiadaannya di rumah dengan menghabiskan masa bersama Kekasih Yang Agung.

Aku habiskan masaku dengan mengalunkan ayat-ayatNya sebanyak mungkin. Sedikit demi sedikit kesedihan yang ku alami mula pudar. Ia diganti dengan rasa ketenangan. Aku tenang beribadat kepadaNya. Terasa diriku ini lebih hampir dengan Maha Pencipta.

Soal anak-anak, aku tidak mempunyai masalah kerana sememangnya aku mempunyai pembantu rumah setelah aku melahirkan anak kedua. Cuma, sewaktu mula-mula dulu, mereka kerap juga bertanya kemana abah mereka pergi, tak pulang ke rumah. Aku terangkan secara baik dengan mereka. Mereka punyai ibu baru. Makcik Faizah. Abah perlu temankan Makcik Faizah seperti abah temankan mama. Anak-anakku suka bila mengetahui Faizah juga menjadi `ibu' mereka. Kata mereka, Makcik Izah baik. Mereka suka ada dua ibu. Lebih dari orang lain. Ahhh...anak-anak kecil. Apa yang kita terapkan itulah yang mereka terima. Aku tidak pernah menunjukkan riak kesedihan bila mereka bertanya tentang Faizah. Bagiku Faizah seperti adikku sendiri.

Kadang-kadang, bila memikirkan suamiku menyayangi seorang perempuan lain selain aku, memang aku rasa cemburu, rasa terluka. Aku cemburu mengingatkan belaian kasihnya itu dilimpahkan kepada orang lain. Aku terluka kerana di hatinya ada orang lain yang menjadi penghuni.

Aisyah, isteri Rasulullah jua cemburukan Khadijah, insan yang telah tiada. Inikan pula aku, manusia biasa. Tapi..... ku kikis segala perasaan itu. Cemburu itukan fitrah wanita, tanda sayangkan suami.

Tetapi cemburu itu tidak harus dilayan. Kelak hati sendiri yang merana. Bagiku, kasih dan redha suami padaku itu yang penting, bukan kasihnya pada orang lain. Selagi aku tahu, kasihnya masih utuh buatku, aku sudah cukup bahagia. Dan aku yakin, ketaatan, kesetiaan dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepadanya itulah kunci kasihnya kepadaku.

Aku ingin nafasku terhenti dalam keadaan redhanya padaku, supaya nanti Allah jua meredhai aku. Kerana sabda Rasulullah s.a.w

"Mana-mana wanita (isteri) yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya meredhainya, maka ia akan masuk ke dalam syurga." (Riwayat-Tirmizi, al-Hakim dan Ibnu Majah).

Sungguh bukan mudah aku melalui semuanya itu. Saban hari aku berperang dengan perasaan. Perasaan sayang, luka, marah, geram, cemburu semuanya bercampur aduk.

Jiwaku sentiasa berperang antara kewarasan akal dan emosi. Pedih hatiku hanya Tuhan yang tahu. KepadaNyalah aku pohon kekuatan untuk menempuhi segala kepedihan itu. KepadaNyalah aku pinta kerahmatan dan kasih sayang, semoga keresahan hati ini kan berkurangan.

Namun, jika aku punya pilihan, pastinya aku tidak mahu bermadu. Kerana ia sesungguhnya memeritkan. Perlukan ketabahan dan kesabaran. Walau bagaimanapun, aku amat bersyukur kerana suamiku tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya. Dan aku juga bersyukur kerana menjadi intan terpilih untuk menerima ujian ini.

Sesal yang terlewat

Sumber: http://ustazazhar.com

Suatu hari seorang alim yang sangat takwa kepada Tuhan bermaksud untuk pergi ke Tanah Suci mengerjakan ibadah haji. Waktu dia meminta izin kepada ibunya, ternyata perempuan tua itu sangat keberatan.
Menurut ibunya, tunda dahulu keberangkatanmu sampai tahun depan. Ia merasa bimbang terhadap keselamatan anaknya, kerana orang alim itu adalah satu-satunya anak yang hidup dari hasil perkahwinan dengan almarhum suaminya.

Rupanya orang alim yang soleh itu sudah tidak dapat menahan keinginannya untuk menunaikan rukun Islam yang kelima.
Maka, walaupun tidak mendapat restu dari ibunya, dia berkemas-kemas lalu berangkat menuju ke Tanah Haram.
Jelas keputusannya ini bertentangan dengan ajaran Nabi. Kerana redha Allah bergantung kepada redha orang tua, begitu pula murka Allah terletak dalam murka orang tua.

Suatu hari seorang alim yang sangat takwa kepada Tuhan bermaksud untuk pergi ke Tanah Suci mengerjakan ibadah haji.
Ketika menyaksikan anaknya yang pergi juga, ibu yang sudah tua itu tergopoh-gapah mengejar anaknya. Akan tetapi anaknya itu sudah telalu jauh. Dia tidak mendengar suara ibunya yang memanggil-manggil sambil berlari-lari itu.
Dalam marahnya ibu yang sangat cinta kepada anaknya tersebut menadahkan kedua tangannya lalu berdoa: “Ya Allah, anakku satu-satunya telah membakar diriku dengan panasnya api perpisahan.
Kumohon pada-Mu, balaslah dia dengan seksaan yang setimpal. Sebagai ibunya, aku merasa sakit hati, ya Allah.”

Doa ini jelas tidak pada tempatnya bagi seorang ibu yang seharusnya bijaksana. Sebab di antara doa-doa yang dikabulkan adalah doa seorang ibu terhadap anaknya.
Bumi seolah-olah bergoyang mendengar doa ini. Namun orang alim tadi terus juga berjalan. Pada sebuah kota kecil sebelum sampai tempat tujuannya, orang alim itu berhenti melepaskan lelah.
Menjelang Maghrib dia berangkat ke masjid dan solat sampai Isyak. Sesudah itu ia terus mengerjakan solat-solat sunat dan wirid hingga jauh malam.

Secara kebetulan di sudut kota yang lain, pada malam itu terjadi peristiwa yang menggemparkan. Ada seorang pencuri yang masuk ke dalam rumah salah seorang penduduk.
Orang yang punya rumah terjaga dan bersuara. Tiba-tiba pencuri itu terjatuh kerana terlanggar suatu benda di kakinya. Ketika terdengar bunyi sesuatu yang jatuh itu, maka orang yang punya rumah pun memekik-mekik sambil berkata: “pencuri! pencuri.”

Seisi kampung terbangun semuanya. Dengan ketakutan pencuri itu lari sekuat tenaga. Orang-orang kampung terus mengejarnya. Pencuri itu lari ke arah masjid dan masuk ke halaman masjid tersebut.
Orang-orang pun mengejar ke sana. Ternyata pencuri itu tidak ditemukan di dalam rumah Allah itu.

Salah seorang di antara mereka memberitahu kepada pemimpinnya: “Kita sudah mencari di sekeliling masjid, namun tidak ada bekas-bekasnya sedikitpun.”

Yang lainnya pula berkata: “Tidak mungkin dia ditelan bumi, aku yakin dia belum lari dari sini. Kalau di luar masjid tidak ada, mari kita cari ke dalam masjid. Berkemungkinan dia bersembunyi di situ.”

Maka orang-orang pun masuk ke dalam masjid. Ternyata betul, di dekat mimbar ada seorang asing sedang duduk membaca tasbih. Tanpa bertanya-tanya lagi orang itu ditarik keluar.
Tiba di halaman masjid, orang tadi sudah terkulai dan pengsan kerana dipukul beramai-ramai.

Penguasa hukum di kota tersebut malam itu juga memutuskan suatu hukuman yang berat kepadanya atas desakan masyarakat yang marah.
Maka orang tersebut diikat pada tiang dan dicambuk badannya.

Keputusan dari hakim ini jelas menyalahi ajaran Nabi, bahawa seorang hakim seharusnya menyelidiki hingga hujung suatu perkara, dan tidak boleh menjatuhkan keputusan berdasarkan hawa nafsu.
Begitu juga walaupun lelaki itu dituduh menodai kesucian masjid kerana bersembunyi di dalamnya, dengan berpura-pura bersembahyang dan membaca wirid, padahal dia adalah pencuri.

Pagi-pagi lagi seluruh penduduk kota itu sudah berkumpul di pasar menyaksikan jalannya hukumam qisas itu. Selain algojo melaksanakan tugasnya, orang-orang pun bersorak-sorak melihat si alim dicambuk hingga pengsan.
Mereka tidak lagi mematuhi ajaran Islam untuk berbuat adil terhadap siapa saja, termasuk kepada pencuri yang jahat sekalipun. Darah memercik ke sana ke mari, orang-orang kelihatan semakin puas.

Semakin siang semakin ramai orang yang berkumpul menonton dan meludahi pencuri yang terkutuk itu. Dalam kesakitannya, orang alim yang dihukum sebagai pencuri itu mendengar salah seorang penduduk yang berkata: “Inilah hukuman yang setimpal bagi pencuri yang bersembunyi di dalam masjid!” Sambil meludah muka orang alim tersebut.
Orang yang dihukum yang dianggap pencuri ini dengan suara yang tersendat-sendat membuka mulutnya berkata:
“Tolong jangan katakan demikian. Lebih baik beritahukanlah kepada orang ramai bahawa saya ini adalah hamba Allah yang ingin mengerjakan ibadah haji, tapi tidak mendapat restu dari orang tua.”

Mendengar ucapan ini, orang yang mendengar jadi terkejut dan menanyakan siapakah dia sebenarnya. Orang alim tadi membuka rahsianya, dan masyarakat jadi serba salah.
Akhirnya mereka terpaksa memberitahukan hal itu kepada hakim.

Setelah hakim itu datang dan tahu duduk perkara yang sebenarnya, maka semua mereka menyesal. Mereka kenal nama orang alim itu, iaitu orang yang soleh dan ahli ibadah.
Cuma belum pernah tahu rupanya. Ibu-ibu yang hadir serta orang tua lainnya ramai yang merasa sedih tidak dapat menahan diri, tapi sudah tidak ada gunanya.

Malamnya, atas permintaan orang alim itu setelah dibebaskan dari seksaannya, dihantarkan ke rumah ibunya.
Pada waktu orang alim tersebut akan dihantar, ibunya telah berdoa: “Ya Allah, jika anakku itu telah mendapatkan balasannya, maka kembalikanlah dia kepadaku agar aku dapat melihatnya.”

Begitu selesai doa si ibu, orang yang membawa anaknya pun sampai. Orang alim itu minta didudukkan di depan pintu rumah ibunya, dan mempersilakan orang yang mengantarnya itu pergi.
Sesudah keadaan sunyi kembali, tidak ada orang lain, maka orang alim itupun berseru dengan suara yang pilu:
“Assalamualaikum.”

Maka terdengarlah suara oang tua yang menjawab salamnya dari dalam. Bergetar hati si alim mendangar suara itu:
“Saya adalah musafir yang terlantar. Tolonglah beri saya roti dan air sejuk,” kata orang alim itu menyamar diri.

“Mendekatlah engkau ke pintu. Hulurkan tanganmu melalui celah pintu,” jawab suara tadi dari dalam.

“Maaf, saya tidak boleh mendekati pintu kerana kedua kaki saya sangat kaku. Saya juga tidak dapat menghulurkan tangan melalui celah pintu, kerana tangan saya terasa letih.”

“Jadi bagaimana caranya?” Si ibu mengeluh kehilangan akal. “Antara kita ada pemisah yang tidak boleh dilanggar.
Engkau lelaki yang tidak saya kenal, dan saya, walaupun sudah tua, adalah seorang perempuan.”

“Jangan bimbang wahai puan,” kata orang alim tersebut.
“Saya tidak akan membuka mata kerana kedua mata saya sangat pedih, jadi saya tidak akan melihat ke arah puan.”

Mendengar jawapan itu, tidak beberapa lama kemudian perempuan itu pun keluar membawa sepotong roti dan segelas air sejuk.
Orang alim itu begitu saja merasakan kehadiran ibunya, sudah tidak mampu lagi menahan diri. Ia memeluk kaki ibunya dan menjerit sambil menangis: “Ibu, saya adalah anak ibu yang derhaka.” Ibunya pun merasa sedih.
Dipandangnya orang cacat di mukanya itu lalu ia menjerit ternyata adalah anaknya. Mereka berdua saling berpelukan dalam tangisan.

Ketika itu juga perempuan tersebut menadahkan tangannya memohon ampun kepada Allah: “Ya Allah, kerana telah jadi begini sungguh saya menyesal atas kemarahan saya kepada anak sendiri, saya bertaubat untuk tidak mengulangi lagi perkara ini, ampunilah saya ya Allah, serta ampunilah dosa orang-orang yang menyeksanya kerana kami semua telah disesatkan oleh godaan iblis dengan nafsu marah.”

wallahua'lam

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...