Friday, October 1, 2010

Lelaki berjambang

info nie aku share just suka2 sebab org selalu tanya naper aku x cukur jambang, penat wei nak menjawab, kena rewind cam kaset la pulak.






Ciri-ciri tipikal lelaki - macho, sasa dan pelindung mungkin tidak lagi relevan dalam memikat hati wanita sekarang. Jika anda lelaki berwajah bersih dan mahu menukar gaya penampilan, sekarang mungkin waktu sesuai!
Suatu kajian yang dilakukan ke atas wanita di United Kingdom (UK) baru-baru ini memberikan keputusan yang wajar difikir lelaki dalam menata gaya. Mengikut kajian itu, lelaki sekarang tidak lagi perlu mencukur bersih wajah mereka kerana wanita lebih tertarik kepada lelaki yang menyimpan jambang.
Responden yang ditemui menyifatkan lelaki dengan jambang pendek sebagai gagah, matang, agresif, menonjol dan sasa. Lelaki dari kategori ini dianggap paling sesuai dijadikan pasangan romantik sama ada untuk hubungan singkat atau jangka panjang.
Hasil kajian itu yang dijalankan ke atas wanita Britain berusia 18 hingga 44 tahun, mungkin menjelaskan tarikan yang dimiliki aktor seperti George Clooney dan Brad Pitt yang menawan ramai wanita dengan membiarkan wajah mereka tidak dicukur bersih.
Bagi kebanyakan wanita, lelaki yang menyimpan misai, jambang dan janggut lebih terserlah sifat kelelakiannya berbanding lelaki tidak bermisai dan berjanggut yang ada kalanya mereka gelar ʽjambuʼ atau ʽpretty boyʼ.
Misai dan janggut juga secara tidak langsung dapat membuatkan seseorang lelaki kelihatan lebih matang dan dominan, dua kualiti yang dicari rata-rata wanita.
Minat wanita juga berbeza-beza. Ada yang sukakan lelaki yang cuma menyimpan misai saja, ada yang suka pada lelaki yang menyimpan jambang saja dan ada yang terpikat pada yang memiliki kedua-duanya; misai dan jambang. Paling penting, misai dan jambang ini dijaga rapi dan tidak dibiarkan kelihatan bersepah kerana ia boleh menimbulkan pandangan bahawa anda seorang yang tidak terurus.
Sesetengah lelaki kelihatan menarik bila mempunyai misai, jambang atau janggut tapi ada juga yang tidak sesuai dengan penampilan sebegitu. Jika ramai yang memberi komen negatif mengenai penampilan anda yang bermisai, berjambang atau berjanggut - mungkin ia tidak sesuai dengan wajah anda.
Jadi, jika anda ingin mengetahui sama ada diri lebih menarik dengan misai dan jambang ataupun tidak, lebih baik kiranya anda tanyakan kepada rakan wanita di sekeliling anda.
Apa yang pasti, bermisai, berjambang ataupun tidak, semua ini adalah tarikan fizikal semata-mata.
Hakikatnya, biarpun seseorang lelaki itu ʽlulusʼ dari segi penampilan fizikalnya di mata wanita tapi ʽgagalʼ dari segi sikap dan keperibadian, misai, janggut, kumis atau jambang yang paling menawanpun tidak akan memberi sebarang makna.


INFO:
- Designer stubble atau jambang pendek (baru tumbuh) mampu membuatkan anda tampak lasak dan menyerlah, bergantung kepada bagaimana anda merapikannya. Gaya seperti ini selalunya sesuai dengan ramai lelaki tidak kira sama ada yang bersifat romantik. sofistikated atau bersahaja. Selain itu, gaya ini dikatakan tidak akan ketinggalan zaman.
- Jika anda mempunyai wajah ʽbaby faceʼ, dengan pipi bulat dan comel, designer stubble dapat membuatkan bahagian rahang anda tampak lebih cengkung selain menyembunyikan dagu yang berlapis.
- Gaya ini sesuai untuk anda yang kurang gemarkan suasana formal dan penampilan ini juga boleh dibawa ke pejabat asalkan anda sentiasa memastikan ia rapi.
- Bagi mendapatkan gaya ini, anda boleh bercukur selang dua hari. Terpulang kepada anda sama ada sesuai atau tidak sesuai untuk anda membiarkan jambang yang tumbuh di sekitar bahagian leher.
- Kenal pasti secepat mana pertumbuhan misai dan jambang supaya anda boleh menetapkan rutin perapiannya.

MANTAP IMAN UMMAH CEMERLANG

Khutbah Jumaat 6/2/2009

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

"MANTAP IMAN UMMAH CEMERLANG"
(06 Februari 2009 / 10 Safar 1430H)


Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang
dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT
dengan sebenar-benar takwa serta melaksanakan segala perintah-Nya dan
menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita mendapat keberkatan
hidup di dunia dan di akhirat. Mimbar hari ini akan memperkatakan
khutbah bertajuk: "MANTAP IMAN UMMAH CEMERLANG".

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Iman adalah nikmat yang paling berharga kurniaan Allah SWT dan
menjadi penentu kebahagiaan hidup di dunia dan kesejahteraan di
akhirat. Tanpa iman segala amalan kita semasa di dunia menjadi sia-
sia dan berakhir dengan balasan seksa. Oleh kerana pentingnya iman
dalam diri umat Islam, maka Allah SWT menurunkan wahyu kepada Nabi
SAW di Mekah selama 13 tahun yang menyentuh persoalan iman
sebagaimana yang termaktub di dalam al-Qur'an.

Namun kini, umat Islam semakin terhimpit dengan
permasalahan iman dan paling besar ialah ancaman terhadap akidah
mereka. Apa yang menyedihkan kita ialah kes murtad, maksiat dan lain-
lain kes kekufuran terus berulang dan berterusan. Persoalan besar
timbul ialah apakah yang menyebabkan gejala negatif seumpama ini
terus berlaku?. Kita jangan lupa bahawa syaitan dan sekutunya telah
berjanji kepada Allah SWT untuk terus menyesatkan orang yang beriman.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa ayat 119:
Maksudnya: "Dan sungguh, aku akan menyesatkan mereka, dan
memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan menyuruh mereka
membelah telinga binatang ternak; dan menyuruh mereka mengubah
ciptaan Allah. Dan sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin
yang dita'ati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan
kerugian yang terang nyata".

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Akhbar atau media pernah melaporkan bahawa terdapat remaja Islam
bertudung terlibat dengan seks bebas dan menjadi ahli kumpulan
nyanyian di rumah ibadat bukan Islam. Semua ini jelas memperlihatkan
betapa akidah umat hari ini semakin rosak akibat ceteknya pengetahuan
agama dan kerapuhan benteng iman. Apa yang sangat mendukacitakan kita
lagi ialah keterlibatan segelintir masyarakat dalam sambutan sempena
Hari Kekasih atau Valentine's Day yang berlaku sejak sekian lama. Ini
adalah sebahagian contoh yang amat membimbangkan kita kerana ia
meyimpang dari ajaran Islam dan melahirkan lebih banyak gejala sosial
seperti perzinaan, rogol dan sebagainya.

Mimbar ingin menegaskan bahawa sambutan Hari Kekasih bagi orang Islam
adalah bertentangan dengan ajaran Islam dan telah difatwakan haram
oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-71 yang diadakan
pada 22-24 November 2005. Ini samalah dengan kedudukan pengharaman
senaman Yoga yang dibuat akhir tahun lalu. Apa yang nyata, sambutan
Hari Kekasih ini bukan amalan yang disuruh oleh Nabi SAW, para
sahabat, tabiin atau golongan solihin.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Umat Islam perlu sensitif dan bertindak bijak dalam menangani
tindakan segelintir masyarakat kita yang menjadikan hukum Allah SWT
sebagai bahan provokasi atau bahan eksploitasi di pentas syarahan dan
dada-dada media untuk mendapat keuntungan dunia. Sebagai mukmin, kita
bertanggungjawab memelihara, mempromosi dan mempertahankan setiap
inci ajaran agama suci ini. Perlu disedari bahawa sikap tidak peduli
umat Islam bukan sahaja akan merosakan diri sendiri, malah dari segi
dakwah khususnya amat merugikan Islam.

Islam sangat mengambilberat dalam memperbetulkan pegangan akidah
umatnya supaya pandangan dan sikap mereka menjadi lurus dan tasawwur
mereka tentang sesuatu perkara menjadi jelas. Jangan kita mengikut
contoh umat jahiliyah dahulu yang menganggap bahawa iman sekadar
mengumumkan identiti diri dan melahirkan perbuatan baik sahaja
sedangkan hakikat iman ialah paduan antara keyakinan dihati tentang
dasar-dasar akidah dengan melaksanakan perintah Allah dan
meninggalkan tegahan-Nya. Ini bermakna kepercayaan tanpa diikuti
dengan amal ibadah, atau tanpa meninggalkan maksiat, maka belum
dikira sempurna iman.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 15:
Maksudnya: " Sesungguhnya orang yang benar-benar beriman ialah orang
yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-
ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka
pada jalan Allah; mereka itulah orang yang benar.".

Ayat ini mengisyaratkan bahawa kualiti iman boleh diukur dan dinilai
melalui amalan seharian. Banyak dan berkualitinya amal soleh
seseorang itu, maka tinggilah kualiti iman yang dimiliki dan
begitulah sebaliknya. Oleh itu, iman yang sebenar adalah merupakan
penjana kekuatan dan kecemerlangan ummah.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Islam tidak pernah menyekat hubungan kasih sayang di antara umatnya,
tetapi hendaklah melalui saluran yang dibenarkan oleh syarak. Cinta
yang utama adalah hanya kepada Allah SWT, rasul-Nya dan berjihad di
jalan-Nya. Cinta berlandaskan iman akan melahirkan cahaya keinsafan
kepada hakikat diri dan pencipta-Nya sehingga sanggup berkorban dan
mampu menundukkan hawa nafsu jahat..

Oleh yang demikian, mimbar menyeru semua pihak, marilah sama-sama
kita memperkasakan akidah kita, keluarga dan masyarakat kita demi
masa depan agama, ummah dan negara dengan langkah berikut:

Pertama: ibu bapa bertanggungjawab memastikan anak-anak dididik
dengan akidah yang benar dan dihayati;
Kedua: umat Islam khususnya remaja dilarang meniru amalan atau
budaya kaum musyrik;
Ketiga: menanam rasa cinta dan kasih sayang kepada Allah SWT
dan rasul-Nya;
Keempat: menjauhi aktiviti bergaul bebas dengan pasangan yang
bukan mahram dalam menyambut majlis tertentu; dan
Kelima: meninggalkan sambutan atau perayaan yang tiada dalam
syariat Islam.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 214:

Maksudnya: "Dan sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta
bertakwa, tentulah Kami bukakan kepada mereka keberkatan dari langit
dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan
mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan."

Buat GadisKu...

Oleh : Muhammad Nazir

Assalammualaikum w.b.t.

Gadisku.....

Sesungguhnya kejadianmu terlalu unik, tercipta dari tulang rusuk Adam yang bengkok menghiasai taman-taman indah lantas menjadi perhatian sang kumbang. Kau umpama sekuntum bunga, harum aromamu bisa menarik perhatian sang kumbang untuk mendekatimu namun...... tidak semua bunga senang untuk didekati oleh sang kumbang lantaran duri yang memagari dirinya umpama mawar , dari kejauhan sudah terhidu akan keharumannya serta kilauan warnanya yang memancar indah mengundang kekaguman terhadap sang kumbang ....... tapi awas duri yang melingkari bisa membuatkan sang kumbang berfikir beberapa kali untuk mendekatinya.......

Gadisku....

Aku suka sekiranya kau seperti mawar aspirasi setiap mujahidah. Bentengilah dirimu dengan perasaan malu yang bertunjangkan rasa keimanan dan keindahan taqwa kepada Allah... Hiasilah wajah mu dengan titisan wudhuk ..... ingatlah bahawa ciri-ciri seorang wanita solehah ialah ia tidak melihat kepada lelaki dan lelaki tidak melihat kepadanya.

Sesuatu yang tertutup itu lebih berharga jika dibandingkan dengan sesuatu yang terdedah ...... umpama sebutir permata yang didedahkan buat perhatian umum dengan permata yang diletakkan dalam satu bekas yang tertutup ...... sudah pasti nya keinginan untuk melihat permata yang tersembunyi itu melebihi daripada yang terdedah, wanita solehah yang taat dan patuh pada Al Khaliq dalam melayari liku-liku kehidupannya adalah harapan setiap insan yang bernama Adam......

Namun ............. ianya memerlukan pergobanan dan mujahadah yang tinggi kerana ianya bercanggah dengan nafsu serakah yang bersarang dalam dirimu lebih-lebih lagi title gadis yang kau miliki sudah pastinya darah mudamu mecabar rasa keimanan yang ada ...

Namun ingatlah gadisku.... sesiapa yang inginkan kebaikan maka Allah akan memudahkan baginya jalan-jalan kearah itu, yang penting gadisku engkau mesti punyai azam, usaha dan istiqomah..........

Gadisku ....

Akuilah hakikat dirimu menjadi fitnah kepada kebanyakan lelaki... Seandainya pakaian malumu kau tanggalkan dari tubuhmu maka sudah tidak ada lagi perisai yang dapat membentingimu... Sesungguhnya nabi ada mengatakan tentang bahaya dirimu "Tidak ada suatu fitnah yang lebih besar yang lebih bermaharajalela selpas wafatku terhadap kaum lelaki selain fitnah yang berpunca daripada wanita"....

Oleh itu gadisku setiap langkah dan tindakanmu hendaklah berpaksikan kepada Al Quran dan As Sunnah, jangan biarkan orang lain mengeksploitasikan dirimu untuk kepentingan tertentu..... Sesungguhnya Allah telah mengangkat martabatmu sebaris dengan kaum Adam...

Kau harapan ummah dalam melahirkan para mujahid dan mujahidah yang bisa menggoncangkan dunia dengan sentuhan lembut tangan mu.....

Gadisku...

Dalam hidupmu pastinya ingin disayangi dan menyayangi, itulah fitrah semulajadi setiap insani namun ramai diantara kamu yang tewas kerana cinta ... Bercinta itu tidak salah tapi memuja cinta itu yang salah, kerana cinta manusia sanggup menjual agama dan kerana cinta maruah tergadai.

Gejala murtad serta keruntuhan moral muda mudi sebahgian besarnya kerana sebuah cinta... Benarlah sabda Rasulullah SAW "Sesungguhnya cinta itu buta"

Cinta itu mampu membutakan mata dan hatimu dalam membezakan perkara yang hak dan yang batil apabila kau meletakkan cinta itu atas dasar nafsu dan tidak kerana Allah SWT ... Sebelum kau mendekati cinta, cintailah dirimu terlebih dahulu, mengkaji hakikat kejadianmu yang begitu simbolik , yang berasal daripada setitis air yang tak berharga lalu mengalami proses pembentukan yang direncanakan oleh Allah ..

Semoga disana mampu melahirkan rasa keagungan dan kehebatan terhadapNya dan timbul rasa cinta dan kasih pada penciptamu............

Gadisku......

Mencintai Allah dan rasul melebihi cinta terhadap makhluk adalah cinta yang hakiki dan abadi kerana hati yang pecah dan retak apabila diberikan kepada makhluk pastinya akan bertambah retak dan terburai tapi apabila hatimu diserah kepada Allah sudah pasti ia akan bertaut kembali..

Dalam seusia mu sibukkan lah dirimu dengan ilmu yang mampu mempertajamkan akal dan mampu membina syakhsiah muslimahmu..... Sesungguhnya ilmu itu cahaya dan ilmu tidak mampu bertapak dalam hati orang yang melakukan maksiat.

Buat akhirnya terimalah kata-kata seorang ahli sufii iaitu Rabiatul Adawiah sebagai renungan bersama:

"Cintakan manusia itu tidak mewujudkan kebahagian yang abadi untuk seseorang insan, kerana ia tidak kekal, cintakan manusia seringkali membuatkan seorang itu gagal, kecewa, menderita dan terseksa, oleh itu tidak ada suatu cinta pun yang dapat membuahkan kebahagiaan dan kenikmatan yang kekal abadi kecuali cinta kepada pencipta manusia sendiri"

Sekian..... Wassalam.





Al Anbiyaa’ ayat 105
Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis di dalam Kitab-kitab yang Kami turunkan sesudah ada tulisannya pada Lauh Mahfuz: "Bahawasanya bumi itu akan diwarisi oleh hamba-hambaKu yang soleh".

Panduan Berdamai Suami Isteri..

sekadar share apa yang diterima oleh email ku

Biasanya, setelah suami isteri bergaduh dan bertengkar, mereka mahuberdamai. Kalau boleh, mereka mahu supaya pergaduhan itu adalah yang terakhir. Jadi mereka inginkan perdamaian yang kekal. Tetapi biasanya, apa yang berlaku ialah sebaliknya. Perdamaian itu bersifat sementara. Esok lusa mereka bergaduh lagi.

Antara faktor yang menyebabkan suami isteri bergaduh dari masa ke masa ialah
kerena mereka tidak menggunakan teknik-teknik yang betul untuk berdamai. Pakar-pakar komunikasi interpersonal memberi panduan bagaimana cara untuk mencapai perdamaian yang tahan lama.

1. Jangan merajuk
Sejak masik kanak-kanak lagi, perempuan sudah pandai menggunakan strategi merajuk untuk mendapat apa yang mereka hendak. Perbuatan merajuk ialah sejenis tingkah-laku manipulatif, atau putar-belit. Ramai isteri menggunakan strategi merajuk untuk menang dan untuk memaksa suami mengalah. Apabila bergaduh, jangan suka merajuk. Merajuk tidak berguna sama sekali untuk tujuan menyelesaikan masalah. Malah ia boleh memburukkan lagi masalah yang ada. Walaupun dengan cara merajuk isteri boleh mendorong suami mengalah, namun strategi merajuk tidak membawa kedamaian yang kekal. Malah perbuatan merajuk sangat membahayakan kerana ia akan menyusahkan usaha untuk berdamai semula. Semakin kuat dan semakin lama rajuk seseorang isteri, semakin susah bila mereka hendak berdamai. Ini disebabkan si suami tahu bahawa dia sedang dihukum oleh isterinya dengan cara merajuk. Orang yang menganggap dirinya dihukum tidak mempunyai dorongan untuk memulakan proses berdamai.

Manakala orang yang menghukum tidak mahu berdamai selagi dia belum menang. Isteri-isteri berani merajuk kerana dia yakin suaminya akan mengalah dan memenuhi kehendaknya. Dengan itu, maka menanglah si isteri. Tetapi itu adalah keyakinannya sahaja. Banyak perbuatan isteri adalah berdasarkan keyakinan palsu. Lain kali, bila dia merajuk lagi, helah itu mungkin memakan dirinya sendiri kerana tidak ada lelaki yang suka dihukum oleh isterinya sendiri.

2. Jangan menghukum
Pergaduhan, pertengkaran dan koflik antara suami isteri meninggalkan kesan buruk kepada hati dan perasaan kedua-dua belah pihak. Dalam keadaan begitu, masing-masing cenderung mahu menghukum satu sama lain kerana hendak memuaskan hati yang sakit atas kata-kata berbisa dan perbuatan salah pihak yang satu lagi.

Lelaki dan wanita mempunyai cara-cara sendiri apabila menghukum pasangan. Lelaki cenderung untuk "menarik diri" di mana mereka tidak mahu lagi bercakap-cakap dengan isteri, melainkan terpaksa. Wanita pula cenderung untuk merajuk, menekan, menarik muka masam, menyindir, tidak mahu senyum dan tidak mahu melayan suami. Namun, hukuman tidak mungkin menyelesaikan sebarang masalah. Hukuman juga tidak menolong proses berdamai. Malah hukuman akan hanya mempercepatkan proses kerosakan hubungan. Walau apa bentuk hukuman sekalipun, sama ada ia kecil ataupun besar, hukuman hanya menyukarkan proses perdamaian. Jadi, kalau benar masih ada niat mahu berdamai, jangan menghukum.


3. Jangan berdusta
Kalau pasangan kita menunjukkan sikap mahu berdamai, dan kita sendiri pun
mahu berdamai juga, jangan berdusta. Jangan pura-pura tarik harga atau jual
mahal. Jangan pura-pura tidak sudi. Jangan pura-pura sudah benci. Perbuatan
seperti itu ada risikonya. Dia mungkin menyangka kita betul-betul tak sudi
dan tidak mahu berdamai. Akibatnya, dia terdorong bersedia untuk melupakan
usaha berdamai.


4. Jangan mencari salah
Kalau mahu berdamai, berhentikan tabiat suka mencari salah orang. Di sini, mencari salah termasuklah perbuatan mencari kelemahan-kelemahan dan kekurangan-kekurangan orang itu, dan menuduh orang itu salah atau silap. Ia juga termasuk perbuatan berleter, menegur, mengkritik dan menasihati orang itu. Mencari salah tidak mungkin membawa penyelesaian. Kajian-kajian mendapati, wanita cenderung menuduh suami mereka bersalah apabila berlaku
masalah dalam hubungan perkahwinan.


5. Berhentikan bahasa negatif
Dua jenis bahasa negatif yang biasa digunakan apabila bergaduh ialah: bahasa
tuduhan dan bahasa celaan. Kalau mahu berdamai, berhentilah daripada
menggunakan bahasa negatif.

"Ini semua kerana sikap awak yang tak betul tu." (tuduhan)

"Kenapa abang tak mahu dengar nasihat saya?" (tuduhan)

"Ini salah awak juga." (tuduhan)

"Kalau awak baik dan sayang kepada anak isteri, kita takkan selalu bergaduh." (tuduhan)

"Abang tak guna langsung." (celaan)

"Awak tak senonoh!" (celaan)

"Abang ni, sekolah saja tinggi, tapi otak bodoh juga." (celaan)

"Awak tak sedar, diri awak tu siapa." (celaan)

Untuk tujuan berdamai, tukar bahasa negatif kepada bahasa positif. Jenis-jenis bahasa positif yang sangat baik kesannya kepada hubungan cinta suami isteri ialah bahasa pengiktirafan, penghargaan, pujian dan sanjungan. Gunakan bahasa ini dengan murah dan lumayan.


6. Bercakaplah tentang hari ini dan esok
Setelah berdamai, jangan bercakap melainkan tentang hari ini dan hari esok. Jangan pandang ke belakang, melainkan untuk tidak mengulang lagi kesilapan kita sendiri pada masa lalu. Jangan sekali-kali mengungkit perkara-perkara yang menyebabkan konflik itu. Jangan sentuh apa yang sudah terjadi, sebaliknya bercakaplah tentang apa yang hendak dibuat. Buangkan perkataan "dahulu" dan "semalam" daripada kata-kata kita. Kedua-dua perkataan itu sangat berbahaya. Tidak ada siapa pun yang boleh menyelesaikan "dahulu" dan "semalam".


7. Senyum semula
Di dalam sebuah kajian, antara perkara yang banyak disebut oleh lelaki terhadap bekas-bekas isteri mereka ialah bahawa isteri mereka tidak senyum lagi. Jadi, senyumlah, walaupun susah, kerana senyuman ialah cara yang mujarab untuk berdamai semula.


8. Mulakan berdamai
Biasa terjadi, konflik yang berlaku itu berlarutan beberapa lama kerana masing-masing tidak mahu memulakan proses berdamai. Walaupun masing-masing mungkin mahu berdamai, tetapi masing-masing takut risiko jika dia yang memulakannya. Mana tahu kalau orang itu tidak mahu berdamai? Kalau benar kita mahukan perdamaian, ambil langkah pertama untuk berdamai. Jangan tunggu sampai orang itu yang mesti memulakannya. Tunjukkan bukti bahawa kita mahu berdamai. Gunakan kata-kata ataupun perbuatan. Andai kata orang itu menolak usaha kita, kerana dia memang tidak mahu berdamai, sekurang-kurangnya kita
telah berusaha untuk berdamai, jadi kita tidak berasa bersalah lagi atas alasan kurang usaha.


9. Kenal pasti punca masalah
Masalah ialah punca konflik yang utama. Selagi punca masalah itu tidak dikenal pasti dengan tepat dan diatasi, selagi itu konflik yang sama akan berulang-ulang kali tercetus lagi. Sebagai contoh, perbuatan isteri yang suka mengugut suami mungkin menjadi punca konflik. Selagi tabiat buruk itu tidak diatasi, selagi itu si isteri akan mengulang ugutan-ugutannya, dan konflik demi konflik akan tercetus. Kenal pasti dengan tepat punca masalah itu. Tujuannya bukanlah untuk mengungkit-ungkit perkara yang sudah berlaku, tetapi untuk mengelakkannya daripada berulang lagi pada masa depan. Apabila mengenal pasti punca masalah, jangan gunakan perkataan-perkataan yang berfungsi sebagi label kepada perbuatan orang itu. Gunakan perkataan-perkataan yang menerangkan apa yang sebenarnya dia telah lakukan sehingga tercetusnya konflik.

a. "Awak tak bertanggungjawab." (x)
"Saya mahu supaya saya diberi wang belanja dapur yang cukup tiap-tiap bulan." (/)

b. "Awak degil." (x)
"Saya mahu supaya cakap saya didengar dulu sebelum awak bantah." (/)

c. "Awak sudah bosan dengan saya." (x)
"Saya mahu supaya saya diberikan sedikit perhatian, jadi saya tak berasa diri saya
diabaikan." (x)

10. Kenal pasti perubahan
Terangkan dengan bahasa yang tepat apakah perubahan yang kita mahukan. Oleh kerana konflik biasanya berpunca daripada tingkah-laku yang tidak disetujui, maka cara berdamai ialah dengan mengubah tingkah-laku itu. Ramai orang, apabila mereka mahu supaya pasangannya mengubah tingkah-lakunya, mereka bercakap secara am dan kabur. Mereka menggunakan perkataan-perkataan yang mempunyai banyak makna. Ini menyebabkan pasangannya tidak faham dengan jelas tingkah-laku yang mana satu yang mesti diubahnya.
Sebagai contoh, perkataan biadab di dalam ayat "Awak biadab." mempunyai makna yang kabur, kerana perkataan itu tidak memberitahu dengan tepat perbuatannya yang mana satu yang dimaksudkan sebagai biadab. Jadi, sukarlah bagi si isteri untuk mengenal pasti perbuatannya itu dan bagaimana dia hendak mengubah tingkah-lakunya kepada yang "tidak biadab".

a. "Jangan biadab pada saya." (x)
"Jangan menengking saya." (/)

b. "Jangan suka tunjuk gaya." (x)
"Tak payahlah awak belajar main golf." (/)

c. "Jangan pemalas." (x)
"Jangan selalu tidur siang." (/)

d. "Layan saya dengan betul." (x)
"Jangan paksa saya makan nasi bungkus selalu." (/)

e. "Jangan syirik." (x)
"Jangan bomohkan saya." (/)

Kebolehan mencari gaduh dan berkonflik dengan pasangan sendiri tidak perlu dipelajari. Semua orang memiliki kebolehan itu sebagaimana semua manusia memiliki kebolehan berlari. Tetapi kebolehan hidup dalam perasaan seronok, gembira dan bahagia dengan pasangan mesti dipelajari sebagaimana manusia perlu belajar cara berlari menggunakan teknik-teknik yang betul.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...