Thursday, September 16, 2010

Aidilfitri - Galak ziarah saudara-mara

Oleh NOOR HASLIZA NUSI

Dahulu, sesudah sahaja menunaikan solat sunat Aidilfitri, seluruh isi keluarga, tidak kira tua ataupun muda akan berkumpul di rumah ibu bapa. Kemudian, mereka mula menyusun langkah berkunjung ke rumah saudara-mara sambil bermaaf-maafan sekali gus menikmati juadah Raya seperti ketupat, lemang, rendang dan bahulu.

Apatah lagi golongan kanak-kanak yang begitu teruja setiap kali menjelangnya Syawal. Budaya kunjung mengunjungi dari sebuah rumah ke sebuah rumah jiran tetangga nyata membangkitkan kemeriahan suasana Hari Raya. Dengan mengenakan baju Melayu dan baju kurung yang berwarna-warni, kanak-kanak menjadi golongan yang paling seronok menyambut Hari Raya. Mana tidaknya, inilah masanya untuk mereka mengumpul duit Raya. Ada yang berjalan kaki dan tidak kurang juga, yang berbasikal mengelilingi kampung dari pagi sehingga lewat petang.

Senario kanak-kanak menyambut Raya pada hari ini dilihat sedikit berubah apabila semakin kurang yang sanggup berpeluh untuk bertandang ke rumah jiran. Begitu juga generasi muda khususnya remaja yang kini nampaknya lebih gemar bersosial bersama rakan-rakan di pusat membeli-belah pada Hari Raya pertama atau sekadar memerap di rumah menonton pelbagai rancangan istimewa Aidilfitri di kaca televisyen.

Perubahan itu sekali gus membuatkan amalan kunjung mengunjung bagi menghayati Syawal dalam erti kata yang sebenar semakin dipinggirkan. Misalnya, amalan ziarah menziarahi saudara-mara, sahabat handai dan jiran tetangga, tidak lagi dianggap sebagai satu keperluan atau kewajipan dalam kehidupan anak muda sekarang.

'Bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing,' begitulah perumpamaan yang dapat dijelaskan bagi menyatakan sikap remaja hari ini yang mementingkan diri sendiri, seolah-olah hubungan sesama manusia tidak lagi menjadi keutamaan.

Perkara ini turut diakui Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie, Suzana Ghazali yang mengatakan: "Malangnya, ada ibu bapa sendiri yang tidak mempraktikkan amalan ziarah menziarahi ini. Sebab itulah, generasi anak-anak mereka tidak berminat untuk meneruskan amalan tersebut."

Katanya, jalan terbaik bagi mengatasi masalah anak muda kurang menghayati erti Syawal ialah ibu bapa perlu menerapkan amalan itu kepada anak-anak kecil bermula dari rumah.

Menurutnya, ibu bapa adalah orang yang paling dekat dan paling layak menasihati golongan muda agar terus mengamalkan tradisi masyarakat Melayu yang telah diwarisi sejak zaman berzaman.

"Malangnya, terdapat segelintir ibu bapa berasa malu dan enggan membenarkan anak-anak kecil mereka beraya di rumah jiran kerana bimbang dikatakan menyuruh anak-anak mengutip duit Raya.

"Pendapat sebegini ternyata salah. Sepatutnya, anak-anak dididik menziarahi saudara dan jiran untuk saling bermaaf-maafan sekali gus mengeratkan persaudaraan. Jika ada yang memberikan duit Raya, tak salah nak terima tetapi kalau tak ada, jangan meminta. Pesan kepada anak-anak hal sedemikian dan bukannya menghalang terus anak-anak berkunjung ke rumah jiran dan rakan-rakan sekampung," ujarnya.

Perkara paling dibimbangi, jelas Suzana ialah terdapat segelintir ibu bapa yang berasa sayang untuk meninggalkan rumah mereka. Ini disebabkan mereka bimbang daripada terlepas menyaksikan cerita menarik yang ditayangkan di kaca televisyen.

"Sikap ini sepatutnya tidak ada pada diri mereka sekiranya kelebihan amalan menziarahi itu diketahui dan diambil peduli," ujarnya.

Namun, beliau tidak menyangkal bahawa kemungkinan terdapat sikap negatif seperti sombong, pentingkan diri sendiri atau berlagak.

Katanya, ini boleh menjadi penyebab utama kenapa kelebihan amalan menziarah pada Hari Raya gagal dihayati oleh pihak tertentu.

"Ada beranggapan, amalan menziarah adalah untuk bermaaf-maafan. Ini menyebabkan mereka berpendapat tidak perlu menziarah kerana mereka tidak melakukan kesalahan kepada jiran atau saudara," ujarnya kesal.

Hakikatnya, menziarah bukannya sekadar untuk bermaaf-maafan, sebaliknya untuk mengeratkan silaturahim. Malah, setiap daripada kita digalakkan untuk saling bermaaf-maafan walaupun kita berasa tidak melakukan kesalahan kerana ada ketikanya, kita terlupa bahawa kita sebenarnya pernah tersilap.

"Ajaran Islam menekankan amalan menziarahi saudara-mara atau sahabat handai," katanya sambil menegaskan amalan itu boleh membentuk satu ikatan yang kukuh di antara satu sama lain.

Tambahnya, amalan ziarah merupakan satu wasilah dalam mengukuh silaturahim sesama kita. Amalan tersebut memberi manfaat yang besar dan faedah yang berguna di dalam konteks perpaduan ummah. Budaya menziarahi juga membolehkan yang jauh menjadi dekat, yang renggang menjadi rapat, yang bersengketa menjadi damai dan yang susah menjadi mudah.

Menurutnya, inisiatif untuk mengembalikan budaya ini agar kekal sehingga ke generasi seterusnya perlu diberi perhatian serius.

"Ia boleh dilakukan melalui didikan awal kanak-kanak mengenai kepentingan menziarahi atau menerusi kempen yang berkaitan daripada pelbagai pihak,"ujarnya.

Selain itu, ibu bapa seharusnya menanamkan amalan menziarah di dalam diri anak-anak kecil. Manakala, rancangan menarik di kaca televisyen pula perlulah ditayangkan pada malam hari bagi memberi peluang kepada anak-anak muda yang lebih gemarkan hiburan, melakukan amalan menziarah pada waktu siang.

10 Tips Memelihara Cinta Sejati

Cinta bukanlah daripada kata-kata, tetapi segumpal keinginan yang diberikan kepada hati yang memerlukan. Cintailah seseorang itu atas dasar siapa dirinya sekarang, dan bukan siapa dia sebelumnya.

Malah, kisah lampau yang berlaku tidak perlu diungkit lagi sekiranya hati benar-benar menyintai dirinya.

Sememangnya hidup bercinta dan untuk dicintai amat mudah, tetapi untuk dicintai oleh orang yang kita cintai sukar diperoleh. Ikuti 10 tips dibawah ini untuk memelihara cinta sejati.

1. Pilih pasangan yang sesuai

Janganlah sesekali jatuh cinta dengan seseorang yang sangat berpotensi. Wang dan rupa bukannya penyuntik cinta sejati. Terlalu banyak pasangan memilih teman hidup yang sebegini dengan harapan mereka berpeluang menikmati segalanya.

Secara jujur, tanyalah pada diri sendiri: “Dapatkah aku mencintai dia dengan cara yang sebenarnya tanpa harapan untuk berubah?” Jika tidak, buatlah keputusan untuk cari yang lain.

2. Jangan terburu-buru

Jangan menurut kehendak nafsu seks. Pasangan yang melakukan hubungan seksual akan mencipta suatu keintiman yang salah dan boleh menuju ke arah kekecewaan.

3. Percaya akan kelemahannya

Jangan mengabaikan keputusan untuk memiliki sesuatu hubungan atau perkara yang diingininya. Misalnya, jika pasangan membuat suatu penyataan seperti, ’saya tidak melaksanakan komitmen dengan baik,” percayalah dia.

Anda seharusnya tanya pada diri sendiri; ‘adakah dia sudah bersdia menghabiskan waktu untuk aku atau semata-mata untuk hobinya kemudian baru mengingati aku.’

4. Tutup mulut

Jangan cuba menceritakan tentang keburukan atau kelemahan pasangan kepada rakan. Bertanggung jawab dalam mengungkap perasaan anda terhadapnya dan saling merahsiakan antara satu sama lain. Cara sebegini dapat mengelakkan daripada berlakunya sesuatu konflik dan hubungan emosional anda berdua.

5. Terima seadanya

Terima pasangan dengan niat hati yang ikhlas. BUkan hanya sewaktu bercinta, pada awal perkahwinan dan sewaktu berbulan madu, tetapi amalkan date night sekali seminggu.

6. Jadi pemerhati

Bersikap pemerhati terhadap pasangan. Cuba memerhati dan memahami tingkah laku dan pemikirannya. Paling penting, sentiasa mengambil berat setiap apa yang berlaku. Ini mengelakkan daripada pasangan berani menipu dan cuba melakukan sesuatu di luar jangkaan.

7. Buktikan siapa diri anda

Fokus pada setiap perkara yang anda gemari dan tidak daripada pasangan, serta cuba berbincang cara bagaimana menyelesaikan masalah tersebut berdua.

8. Mr. Right kembali

Sedang asyik bercinta, orang yang pernah berpaut di hati anda suatu masa dahulu, tiba-tiba muncul di hadapan. Bagi anda yang menghadapi masalah sebegini, adalah suatu perkara sukar untuk diselesaikan, bukan?

Perasaan buntu dan bercelaru tentunya datang dan memaksa diri membuat keputusan. Buat keputusan agar tidak menyintainya lagi. Lupakan segala sejarah silam dengan memulakan kehidupan dan cinta baru.

9. Bukan perigi cari timba

Anda tidak pernah merakan bahawa cinta sejati seperti objek yang keras atau seolah-olah berkelakuan syok sendiri. Malah, anda haruslah sama-sama berinteraksi dan berbincang terhadap apa yang berlaku dalam perhubungan.

10. Hargailah diri sendiri dan pasangan

Hubungan yang sihat akan meningkatkan penghargaan diri dan pasangan. Untuk memperoleh hubungan yang lebih harmoni, setiap pasangan perlu menghargai diri sendiri dengan cuba mengungkapkan kata-kata romantis atau lakukan sesuatu kejutan terhadap dirinya

Umat hilang dua kenikmatan selepas Ramadan

Oleh Endok Sempo Mohd Tahir


SEHARI DUA lagi Ramadan akan beransur pergi. Jika kita merindukan kehadiran yang indah, inilah masa bahagia, masa betapa dekatnya jiwa kita bersama Allah, inilah waktu kedamaian, keadaan ini belum tentu kita akan temui lagi tahun depan.

Sementara kita masih ada peluang yang hanya beberapa hari ini, kita hirup udara malamnya. Kita sedut udara sahurnya. Kita kini sedang berada pada hari perpisahan yang sangat memilukan. Perpisahan dengan bulan mulia yang hadir bersama seluruh keindahan dan keistimewaannya.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Barang siapa melakukan satu ibadat sunnah pada Ramadan, maka ia seperti orang yang melakukan ibadat wajib pada bulan selain Ramadan. Dan barang siapa yang melakukan ibadat wajib pada Ramadan, maka ia seperti orang yang melaksanakan 70 ibadat wajib di selain Ramadan." (Hadis riwayat Ibnu Khuzaimah).

Berpisah dengan bulan ini bermakna kita meninggalkan kesempatan meraih pahala kebaikan yang berlipat ganda.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Ada dua kegembiraan bagi orang yang berpuasa, kegembiraan saat berbuka dan kegembiraan tatkala bertemu dengan Allah." (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Maka, perpisahan dengan bulan ini, bererti kita kehilangan dua keajaiban kegembiraan di kala berbuka puasa.

Perpisahan dengan bulan ini adalah hilangnya kesempatan kita untuk memperoleh keampunan Allah terhadap dosa yang tidak sanggup kita kira lagi.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Barang siapa yang menunaikan qiamullail pada Ramadan kerana keimanan dan mengharapkan pahala, nescaya akan diampuni dosanya yang lalu." (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Selesai saja Ramadan bermakna lenyapnya kesempatan kita untuk menunaikan solat malam dengan jaminan pahala ampunan atas dosa dan kesilapan yang kita sudah tenggelam di dalamnya.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Siapa saja yang solat tarawih bersama imam hingga selesai, akan ditulis baginya pahala solat satu malam suntuk." (Hadis riwayat Abu Dawud, At-Tirmidzi, An-Nasai dan Ibnu Majah)

Bagaimana dengan kualiti ibadat solat tarawih yang sudah kita lakukan? Perpisahan dengan bulan suci ini, bermakna kita akan kehilangan pahala solat tarawih satu malam suntuk.

Jika salafushalih, selama sebulan Ramadan ini berlumba-lumba membanyakkan membaca al-Quran, Malaikat Jibril memperdengarkan al-Quran kepada Rasulullah SAW, Usman bin Affan mengkhatamkan al-Quran setiap hari, Imam Asy-Syafi'i mengkhatamkan al-Quran sebanyak 60 kali di luar solat, bagaimana dengan ibadat membaca al-Quran yang kita lakukan?

Apabila Ramadan berlalu, bererti kita pun kehilangan kesempatan agung untuk memperoleh keberkatan sangat istimewa daripada membaca al-Quran pada bulan mulia ini.

Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya Kami sudah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan. Tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan." (Surah al-Qadr, ayat 1-3)

Maka Rasulullah SAW sentiasa mencari malam Lailatul Qadar dan memerintahkan sahabat mencarinya. Beliau membangunkan keluarganya pada malam sepuluh terakhir dengan harapan mendapat malam Lailatul Qadar.

Perginya bulan ini daripada sisi kita, bermakna kita terlepas kesempatan tidak ternilai dalam seluruh hidup sekalipun. Maknanya, lenyap peluang kita memperoleh keuntungan 1000 bulan, iaitu kira-kira 80 tahun daripada usia kita. Mampukah kita hidup dan beramal lengkap selama 80 tahun?

Oleh itu, jangan disia-siakan detik perpisahan ini. Rasakan benar-benar kehadiran kita pada bulan ini. Lantunkan zikir, tilawah al-Quran, munajat, permohonan ampun di sini. Buang kepenatan, hilangkan rasa lelah.

Hanya untuk hari-hari terakhir menjelang perpisahan dengan bulan penuh kemuliaan, kita kejar Lailatul Qadar. Namun, apa yang lebih penting adalah semangat diambil dengan makna Lailatul Qadar.

Semangatnya, adanya sebuah perubahan sikap yang istiqamah terhadap Islam, mencintai Allah sepenuhnya tanpa dinodai dengan cinta dunia. Dengan itu kita boleh menjadi manusia yang ikhlas, menerima Islam seutuhnya, tidak separuh-separuh dan tidak memilih.

Demi perpisahan ini, menangislah kerana kita akan berpisah dengan kemuliaan dan keberkatan hebat bulan ini. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Bahawa tidak akan masuk neraka orang menangis kerana takut kepada Allah sehingga ada air susu kembali ke tempat asalnya".

Ciri-Ciri Sahabat Yang Baik

Seorang bijak pandai berpesan kepada anak lelakinya: “Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut:

1. Jika engkau berbakti kepadanya, dia akan melindungi kamu;

2. Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas balik persahabatan kamu;

3. Jika engkau memerlu pertolongan daripadanya, dia akan membantu kamu;

4. Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik;

5. Jika dia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripada kamu, dia akan menghargai atau menyebut kebaikan kamu;

6. Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada kamu, dia akan menutupnya;

7. Jika engkau meminta bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya;

8. Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), dia akan menanyakan kesusahan kamu;

9. Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahan kamu;

10. Jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkan kamu;

11. Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya dia akan membantu kamu;

12. Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan;

13. Dia membantumu menunaikan tanggungjawab serta melarang melakukan perkara buruk dan maksiat;

14. Dia mendorongmu mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

Sebagai remaja yang terlepas daripada pandangan ayah ibu berhati-hatilah jika memilih kawan. Kerana kawan, kita bahagia tetapi kawan juga boleh menjahanamkan kita.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...