Wednesday, May 5, 2010

Google Analytics Blog Membantu Anda Mengurus Blog

Aku telah menggunakan satu tools Google Analytics Blog untuk membantu aku dalam mengurus dan merancang blog. Tools ini mempunyai banyak funsi-fungsi menarik yang berguna kepada semua bloggers dalam membuat penulisan.

Antara tools yang agak menarik bagi aku adalah analisa jenis browser. Ini penting dalam merangcang jenis widget yang akan digunakan. tidak semua widget yang kita guna sesuai dengan browser yang ada.

Selain itu satu lagi menu yang biasa aku guna adalah bagi memantau visitor type, iaitu sama ada pelawat yang melawat blog kita terdiri dari pengunjung yang sama atau pengunjung yang baru. Jika pengunjung blog kita adalah orang yang sama, maknanya blog kita mampu menarik orang untuk melawatinya, namun jika ramai pengunjung yang baru, makna kita perlu membuat sesuatu untuk menarik mereka melawat kembali.


Ada satu lagi fungsi yang ada dalam tools ini adalah source visitor. Tools ini mampu capture source network visitor. Jika visitor menggunakan cloud yang khas, maka nama cloud tersebut akan dipaparkan dalam tools ini. dengan itu kita dapat membuat persediaan untuk bahan bacaan pengunjung untuk next time.

Leftenan Adnan

Siri Pahlawan kembali lagi, kali ini info mengenai Leftenan Adnan Saidi dibawakan untuk anda. Semoga dengan maklumat ini akan menambahkan lagi semangat cinta negara dalam jiwa anda.

Adnan bin Saidi atau lebih dikenali sebagai Lt. Adnan Saidi dilahirkan di Kampung Sungei Ramal, Kajang, Selangor pada tahun 1915. Adnan Saidi merupakan anak sulung dalam keluarganya. Adik-adiknya, Ahmad bin Saidi dan Amarullah bin Saidi juga merupakan anggota tentera. Ahmad Saidi terbunuh dalam pertempuran selepas dia memasuki angkatan laut pada tahun 1939. Kapalnya, HMS Pelanduk, ditenggelamkan oleh Jepun dalam pelayaran ke Australia. Adiknya yang termuda Amarullah Saidi terselamat dari peperangan dan sekarang bersara dan menetap di Kajang, Selangor.




Adnan Saidi menerima pendidikan di Pekan Sungei Ramal dalam aliran Inggeris. Dia merupakan pelajar yang rajin dan berjaya dalam pengajiannya. Selepas menamatkan pengajiannya, Adnan terpilih sebagai guru pelatih dan mengajar (alma mater) selama lebih satu tahun. Adnan Saidi kemudiannya mengambil keputusan untuk memasuki tentera.

Pada tahun 1933, ketika berusia 18 tahun, Adnan Saidi memasuki Rejimen Askar Melayu (Malay Regiment). Setahun kemudian, dia terpilih sebagai rekrut terbaik. Pada tahun 1936, Adnan dilantik ke pangkat Sarjan – kenaikan pangkat yang pantas bagi seorang tentera muda. Pada tahun 1937, Adnan Saidi terpilih untuk mewakili platunnya dalam perbarisan memberi hormat di London bagi menyambut pertabalan Raja George VI. Tidak lama selepas itu, Adnan Saidi sekali lagi dinaikkan pangkat kepada Kompeni-Sarjan-Major dan dihantar ke Singapura untuk kursus latihan pegawai. Setelah menamatkan kursus sebagai Leftenan Muda, Adnan Saidi dilantik sebagai ketua Platun ke-7, Kompeni 'C' .

Sekembalinya Lt. Adnan Saidi daripada London, dia berkahwin dengan seorang guru dikampungnya, Puan Sophia Pakih Muda dan mendapat tiga orang anak: dua lelaki, Mokhtar dan Zainudin (yang tinggal di Seremban dan Johor), dan seorang anak perempuan. Termuda di antara tiga beradik, bayi perempuannya meninggal sejurus selepas kejatuhan Singapura.

Pada akhir 1941, Lt. Adnan Saidi ditempatkan di Singapura dan membawa keluarganya bersama-sama. Mereka tinggal di rumah besar di Pasir Panjang, dalam kawasan yang dikhaskan untuk keluarga Rejimen Askar Melayu.

Apabila berita peperangan Perang Dunia II semakin hampir, dan pihak Jepun bersedia untuk menjajah Singapura, Lt. Adnan menghantar keluarganya kembali ke kampung mereka di Kajang Ini merupakan masa yang getir bagi Lt. Adnan kerana isterinya, Sophia, sedang mengandungkan anak mereka yang ketiga. Ini merupakan kali terakhir mereka bersama.

Pendaratan tentera Jepun di Malaya [Tanah Melayu](Malaysia) dan tindakan pantas tentera Jepun memaksa Tentera British berundur ke Singapura. Pertempuran-pertempuran akhir mempertahankan Singapura termasuk pertempuran di Pasir Panjang yang lebih dikenali sebagai Pertempuran Bukit Candu. Bukit Candu dinamakan sempena kilang memproses candu yang dahulunya terletak di kaki bukit tersebut.


Pertempuran sengit telah berlarutan beberapa hari sebelumnya. Tentera Jepun yang biasa bertempur dari ketumbukan Tentera ke 25 yang terkenal berjaya mengatasi kedudukan pertahanan strategik di Singapura. Bukit Candu menandakan sempadan pertahanan terakhir. Ia merupakan kedudukan pertahanan penting di Singapura berasaskan dua alasan strategik; ia boleh melihat bahagian utara Singapura dan selain itu, sekiranya pihak Jepun mengawal permatang, ia memberikan mereka laluan langsung ke kawasan Alexandra. Kawasan Alexandra merupakan tapak depoh bekalan peluru dan bekalan utama, hospital tentera dan kemudahan utama Tentera British. Dengan itu, permatang tersebut perlu dipertahankan bersungguh-sungguh.

Pertahanan permatang itu telah ditugaskan kepada Kompeni 'C' . Kompeni 'C' merupakan sebahagian satu pasukan kecil Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu (1 Melayu). Batalion 1 Melayu dan Batalion 2 Melayu, bersama-sama dengan batalion ke-2 "Loyal Regiment" Tentera British dipusatkan menjadi Briged Infantri Pertama Malaya (1st Malaya Brigade)

Pada 13 Februari 1942, Division Chrysanthemum Tentera Imperial Jepun yang handal di bawah pemerintahan Lt. Gen. Renya Mutaguchi menumpukan perhatian mereka kepada persisiran selatan Singapura - Permatang Pasir Panjang. Pada pagi tersebut, permatang tersebut dibedil bertalu-talu dengan sokongan udara, mortar berat dan bedilan meriam. Kompeni 'C' dan Lt. Adnan Saidi ketika itu telah ditempatkan di Perkampungan Pasir Panjang telah memberikan tentangan hebat. Akhirnya tentera Jepun terpaksa berundur disebabkan tentangan sengit daripada Kompeni 'C'. Adnan dan orang-orangnya telah membina benteng pertahanan Rejimen di kawasan tanah tinggi, yang dikenali sebagai Celah (Gap). Walaupun mempunyai bilangan anggota yang lebih ramai, pasukan Jepun di bawah Major Kimura gagal menembusi barisan pertahanan di Celah (Gap).

Pada tengah malam 14 Februari 1942, Kompeni 'C' menerima perintah untuk bergerak ke tapak pertahanan baru - Pt. 226, Bukit Candu. Lebih ramai askar tambahan ditempatkan ke pasukan di bawah pimpinan Adnan – menjadikan jumlah keseluruhannya 42 kesemuanya. Selepas meninjau persekitaran dengan cermat, Lt. Adnan Saidi memerintah orang-orangnya untuk memperkukuhkan benteng pertahanan mereka dengan beg pasir. Kawasan bukit tersebut dikelilingi dengan benteng beg pasir.

Pada awal petang 14 Februari, pihak Jepun melancarkan serangan berhelah. Daripada Jalan Pepys Road mendaki Pt.226, Adnan Saidi yang ketika itu berusia 27 tahun, memantau kontinjen "tentera Sikh" daripada Tentera British India (British-Indian Army) mara. Penglihatannya yang tajam dan kecerdasan fikirannya membolehkan Lt. Adnan perasan sesuatu tidak kena apabila menyedari tentera berturban yang mara itu bergerak dalam kumpulan berempat dan bukannya bertiga seperti Tentera British. Menyedari helah tersebut, Lt. Adnan Saidi dan anak buahnya melepaskan tembakan dan berjaya membunuh sekitar 20 orang musuh pada jarak dekat, dengan itu memaksa tentera Jepun berundur.

Dua jam kemudian, tentera Jepun telah melancarkan serangan besar-besaran dalam bilangan yang besar. Serangan tersebut menumpaskan Lt. Adnan Saidi dan tenteranya. Dengan bilangan yang jauh lebih kecil dan kekurangan peluru, Regimen Melayu bertempur dalam pertempuran sehingga ke mati.

Pertempuran sengit berlanjutan di Bukit Candu. Semua jenis senjata digunakan, termasuk bom tangan dan senjata automatik. Lt. Adnan sendiri mengendalikan senjata mesingan jenis Lewis gun. Dalam kebanyakan kes, askar bertempur dalam pertempuran berhadapan menggunakan bayonet. tetapi, mereka kekal bertahan mengecewakan pihak musuh. Dalam pertempuran yang berikutnya pegawai dan tentera mati. Adnan cedera parah tetapi enggan berundur dan sebaliknya menyuruh orang-orangnya berjuang sehingga ke titisan darah terakhir. Keberaniannyalah yang menaikkan semangat juang orang-orangnya untuk bertahan bersunguh-sungguh.


Korporal Yaakob, yang mendapat Pingat Keberanian Medal of Gallant, merupakan salah seorang daripada mereka yang terselamat dalam pertempuran Bukit Candu. Dalam kacau-bilau pertempuran, beliau yang cedera jatuh di atas mayat mereka yang terkorban. Beliau terselamat dengan berpura-pura mati disamping mayat rakannya dan melihat kematian mengerikan Adnan Saidi. Musuh yang menang berjaya menawan Lt. Adnan. Akibat perasaan dendam kerana keberaniannya melawan Jepun, ketua platun itu diseret sebelum diserkup dengan guni. Tentera Jepun kemudiannya telah menggantungkan kakinya pada pokok ceri. Kerana meradang akibat kehilangan ramai rakan, tentera Jepun kemudiannya telah menikamnya dengan bayonet berkali-kali. Dalam kejadian lain disebut lehernya telah dikelar. Kejadian ini dilihat oleh Koperal Yaakob. Selepas pertempuran, pihak Jepun melarang sesiapapun menurunkan mayatnya untuk dikebumikan, dan tiada seorangpun yang berani. Malah menurut beberapa sumber, tubuh Lt. Adnan Saidi yang dicacatkan itu dibakar menjadi abu.

Beberapa tahun lalu, Haji Burhan Muslim, yang tinggal berhampiran Bukit Candu, teringat telah memanjat bukit dengan sepupunya beberapa hari selepas pertempuran tersebut. Dalam salah satu rumah banglo yang terdapat di bukit Lorong Pepys, dia melihat mayat askar Melayu yang dipancung merata-rata. Dalam salah satu bilik, terdapat mayat seorang tentera Melayu yang lehernya dikelar. Pakaian seragamnya basah dengan darah. Melihat kepada lencana yang terdapat pada pakaian seragamnya, Haji Burhan percaya bahawa dia adalah pegawai berpangkat. Dia percaya bahawa mayat tersebut mungkin mayat Lt. Adnan Saidi, (mungkin membuktikan mayat Lt. Adnan Saidi tidak dibakar).

Keberanian Lt. Adnan Saidi bersama kontinjen 42 orang anggota Askar Melayu yang telah bertempur mati-matian untuk mempertahankan permatang Pasir Panjang merupakan satu episod yang kini kekal dalam lipatan sejarah. Pertempuran sengit itu disebut khusus dalam perutusan Lt. General A. E. Percival berkenaan Pemerintahan Operasi Malaya dari tarikh Disember 1941 sehingga 15 Februari 1942:

"Selepas dua jam dibedil dengan meriam dan motar, tentera Jepun menyerang Regimen Melayu yang mempertahankan Permatang Pasir Panjang. Regimen Melayu bertempur dengan gagah beraninya tetapi mengalami kehilangan jiwa yang teruk, dan menjelang petang musuh sampai ke Celah (Permatang Pasir Panjang)..."

"After two hours of heavy shelling and mortaring, the Japanese attacked the Malay Regiment which was holding Pasir Panjang Ridge. The latter fought magnificently, but suffered heavy casualties, and by afternoon the enemy had reached the Gap (Pasir Panjang Ridge)…"

Di tapak bersejarah ini, pertempuran bagi pertahanan terakhir Singapura telah berlarutan selama 48 jam, berakhir dengan satu-satunya pertempuran jarak dekat tangan-ke-tangan (yang direkodkan) dengan Tentera Jepun.



Sumber
http://ms.wikipedia.org/

JIRAN SEBAGAI HARTA YANG BERNILAI TINGGI

Kehidupan kita dalam seharian adalah seperti roda, sentiasa berputar, bergilir-gilir turun naik dan jatuh bangun. Hari ini kita senang dan mungkin esok kita mengalami kesusahan. Kita perlu ingat bahawa putaran hidup manusia adalah tidak menentu dan tidak dapat diramalkan nasibnya. Dengan demikian kita tidak boleh hidup secara bersendirian, tidak boleh mengasingkan diri dalam masyarakat.


Ajaran Islam menuntut kita bercampur gaul dan bermesra dengan masyarakat. Salah satu kumpulan manusia yang memain peranan besar meningkatkan kebahagiaan keluarga ialah jiran. Jiran yang tinggal dalam lingkungan rumah kita adalah orang yang paling hampir dan pantas untuk memberi bantuan dan pertolongan. Berdasarkan besar peranan jiran ini, maka mimbar berpendapat jiran samada kaya atau miskin adalah harta atau aset yang amat bernilai tinggi kepada kita sendiri dan masyarakat. Dalam hal ini Islam memberi penghargaan yang tinggi kepada jiran.

Firman Allah SWT dalam surah An-Nisaa’ ayat 36:

Maksudnya: “Dan sembahlah Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan berbuat baiklah kepada kedua ibubapa, dan kaum kerabat dan anak-anak yatim, dan orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka orang yang sombong dan membanggakan diri”.

Ketika mengulas perkara yang sama Nabi Muhammad SAW mengingatkan umat Islam supaya memulia dan menghormati jiran sebagaimana layanan kita terhadap kaum kerabat kita sendiri. Ini selaras dengan sabda baginda:

مَا زَالَ جِبْرِيْلُ يُوْصِيْنِى بِالجَار حَتَّى ظَنَنْتُ أَنَّهُ سَيُوَرّثَهُ

Mafhumnya : “Jibril sentiasa mewasiatkan kepadaku supaya berbuat baik kepada jiran sehinggalah aku merasakan jiran itu kerabatku.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Oleh itu, adalah satu kerugian besar kepada umat Islam dan masyarakat jika kita mengabaikan dan tidak mempedulikan jiran yang di anggap sebagai harta yang bernilai tinggi itu.

Jiran itu dianggap sebagai harta yang amat bernilai dalam masyarakat kerana:

Pertama: Jiran adalah orang yang paling pantas secara sukarela siang atau malam memberi bantuan ketika kita menghadapi sakit-pening, kecemasan, dan mala petaka;

Kedua: Menambahkan rangkaian dan cawangan sahabat kerana jiran mungkin terdiri daripada pelbagai latar belakang agama dan pekerjaan seperti doktor, guru, ahli perniagaan, ustaz dan sebagainya yang mungkin dalam masa tertentu boleh membantu kita apabila memerlukannya;

Ketiga : Menjamin keselamatan dan keharmonian dalam usaha menangani isu-isu seperti ancaman jenayah, kecurian dan gejala sosial; dan

Keempat: Menjaga kebajikan penduduk setempat seperti menguruskan kematian, kenduri kendara, menjaga warga tua, orang miskin, orang kurang upaya, membantu anak yatim, meningkatkan perpaduan dan sebagainya.

Dalam usaha memupuk semangat mesra kejiranan, tidak dapat dinafikan bahawa kita akan berhadapan dengan banyak halangan dan rintangan. Walau bagaimanapun, perkara ini dapat di atasi sekiranya masing-masing mengamalkan dan menghayati sikap berlapang dada, bertolak ansur, saling faham memahami, meningkatkan kesabaran, bertukar-tukar pendapat, bersedia mencari titik persamaan dan mengeratkan hubungan yang renggang dengan penuh hikmah dan mahabbah. Untuk itu, mimbar menyeru sidang jemaah sekalian dan semua pihak di negara ini, marilah sama-sama kita meningkatkan azam dan tekad bagi mengamalkan semangat kejiranan dan perpaduan dalam masyarakat kita.

Jiran adalah harta yang amat bernilai kepada kita. Oleh itu, apakah kita perlu menunggu sehingga mala petaka menimpa keluarga kita, ketika itu baru kita terkial-kial hendak mencari dan memperkukuhkan hubungan sesama jiran? Bukankah elok dan bijak sekiranya, kita bersikap sentiasa mesra jiran sebagai langkah persediaan membantu kita menghadapi apa-apa kemungkinan yang mendatang. Bak kata pepatah Melayu “ Sediakan Payung Sebelum Hujan ” dan “ Sesal Dahulu Pendapatan, Sesal Kemudian Tidak Berguna ”.

Persoalan besar timbul ialah apakah kaedah terbaik dalam usaha memuliakan dan menjaga jiran sebagai harta kita yang amat bernilai itu?. Rasulullah SAW bersabda, terdapat enam (6) perkara hak muslim yang perlu dilaksanakan terhadap muslim yang lain iaitu memberi salam apabila bertemu, memenuhi undangan apabila dijemput, memberi nasihat apabila dipinta, memberi tasymit apabila bersin, melakukan ziarah apabila sakit dan mengiringi jenazah apabila meninggal dunia. (Riwayat Muslim).

Selain itu, berdasarkan pengajaran-pengajaran hadith, langkah-langkah lain yang perlu diambil bagi meningkatkan kemesraan jiran ialah:

Pertama: Tanda-tanda orang yang beriman ialah menjadikan sikap mesra dan memuliakan jiran sebagai gaya hidup sihat;

Kedua: Jiran adalah bersaudara. Jika jiran kita terdiri daripada bukan Islam, maka menjadi kewajipan umat Islam untuk mempamerkan umat Islam yang berakhlak mulia;

Ketiga: Kita hendaklah bersangka baik kepada jiran atau tidak memandang serong terhadap jiran;

Keempat: Kita perlu mengelak perasaan dengki dan cemburu terhadap jiran; dan

Kelima: Memberi atau bertukar-tukar makanan lebih-lebih lagi jika bau kelazatan makanan kita dapat dihidu oleh jiran.

Maksudnya: “ Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).”(Surah al-Maidah:2)


PETIKAN KHUTBAH JUMAAT JAKIM

Teori Pembentukan Jantina

Sekadar panduan sahaja. Hanya Allah yang berkuasa atas segalanya


Para ahli bangsa Arab yang menafsirkan ayat Mafatihul Ghaib yang terkandung dalam Surah Al-An'am ayat 59 yang mermaksud, " Dan pada sisi Allah lah kunci-kunci semua yang ghaib; tiada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri."


Terbuktilah dengan hasil kejadian janin dalam rahim ibu yang hamil. Siapakah yang menentukan jantina janin itu, sedang bentuk dan rupa benih adalah sama dan serupa. Mereka merumuskan pengertian "Mafatihul Ghaib" tersebut dengan pengalaman dan penyelidikan sebab terjadinya jantina,lelaki dan perempuan.

Kesimpulannya: "Sel telur yang menghamilkan kerana masuknya ke dalam rahim dengan sperma lelaki bergerak dan berpindah randah. Kekadang letaknya disebelah kanan, kekadang di sebelah kiri. Bila sel telur terletak pada lambung kanan, maka akan lahir bayi lelaki dan sekiranya terletak pada sebelah kiri, rahim akan lahir bayi perempuan."

Menurut keterangan Dr. Muhammad Abdul Hamid (Mesir), pendapat ini diadakan percubaan oleh doktor-doktor Arab dan Inggeris. Hasilnya dalah 97% dari percubaan itu, hanya 3% yang gagal. Itu disebabkan kerana ketidak mampuan pihak wanita dalam melakukan secara teliti dalam mengetahui masa subur dan bulan kelahiran.

Teori pembentukan jantina anak adalah seperti berikut.

Caranya:
1. Waktunya : Pada masa subur isteri kerana pada masa itu sel kelamin wanita dapat dibuahi sel kelamin lelaki.

2. Caranya : Lakukan persetubuhan dgn sebaik-baik dan sempurna. Setelah selesai, isteri hendaklah tidur miring sampai bangun pagi. Jangan tidur telentang supaya letak air mani jatuh miring.

3. Hasilnya : Bila ingin anak lelaki, miring ke kanan dan jika ingin anak perempuan miring ke kiri.

Teori ini juga merupakan daya usaha dalam mencari sesuatu yang diingini,namun hasilnya di luar batas kemampuan manusia. Semuanya ditentukan Allah SWT. Namun kita digalakkan berikhtiar.

Ada teori lain, satu pendapat Dr. M. Zaky Syafi'i Beyk dari Iskandariah (Mesir) yang menyatakan dalam bukunya "Al Azmatus Zaujiyah wa'ilajuha" -"Berilah isteri makan vitamin B semenjak mula hamil hingga 8 bulan setiap hari 3 kali - 2 biji sekali. Memakan vitamin B akan menambah kesihatan dan kesuburan apalagi bagi ibu yang mengandung. Bila isteri makan vitamin B sebagai penambah zat makanannya yang biasa setiap hari, maka bayi yang akan lahir kelak, insyaallah lelaki. Teori ini amat praktis dan mudah dilakukan.Ianya bergantung kepada kita. Hasilnya akan dapat dirasai apabila telah mencuba.

Amalan suami semasa isteri mengandung.
Perkara-perkara yang perlu diamalkan oleh suami ketika isteri mengandung :

a. Suami hendaklah banyak bertaubat kepada Allah SWT

b. Banyak membaca Al-Quran dan mengharapkan agar anak yang ada dalam kandungan isteri akan memahami keinginan baik yang terkandung dalam Al-Quran tersebut.

c. Suami hendaklah banyak berpuasa sunat, Isnin dan Khamis dll.

d. Suami hendaklah rajin mengerjakan solah berjemaah.

e. Elakkan pergi ke tempat yang tidak dibenarkan syarak.

f. Rajin menghadiri majlis ilmu dan orang-orang soleh.

g. Suami hendaklah banyak bersabar dalam menjalin hubungan dengan isteri.

h. Dilarang memakan benda-benda haram, begitu juga dilarang memberi isteri rezeki yang tidak halal, rasuah serta wang riba.

i. Banyak membaca doa keselamatan isteri yang sedang mengandung dan keselamatan anak dalam kandungan.

j. Dilarang membuka aurat kerana dikuatiri mempengaruhi akhlak anak yang akan lahir nanti.

k. Suami hendaklah menjauhi diri daripada marah dan benci pada isteri.

l. Banyak membaca surah Al Fatihah, Luqman, Yasin, Yusuf, Surah An Nahl ayat 78, surah Al A'raf ayat 189 dan ayat Kursi.

Adab suami ketika isteri sedang mengandung

Ketika isteri mengandung, suami hendaklah benar-benar bertanggungjawab terhadap isteri kerana perasaan isteri sangat sensitif pada saat itu. Ia sangat memerlukan perhatian daripada suami yang disayanginya. Ada beberapa perkara yang perlu suami lakukan terhadap isteri yang sedang mengandung :

a. Suami hendaklah menunjukkan rasa ksih saying terhadap isteri, sebagai teman hidup yang paling dekat.

b. Hendaklah berlaku jujur dan setia terhadap isteri serta hindari daripada bersikap kejam terhadap isteri.

c. Selesaikan dahulu jika ada perselisihan faham yang berlaku dengan isteri sebelum masuk tidur.

d. Jangan mudah mengeluarkan perkataan talaq kepada isteri.

e. Ketika isteri hampir bersalin, suami digalakkan membaca doa berikut, " La ila ha illa anta subha naka inni kun tu minadzolimin " maksudnya " Tiada Tuhan yang disembah melainkan Engkau Maha Suci.Engkau Ya Allah, sesungguhnya aku termasuk di kalangan orang yang zalim. "

f. Suami hedaklah kerap solat sunat dan mendoakan agar isteri dan anak dalam kandungan selamat.

Dorongan Suami semasa isteri bersalin

Suami yang soleh akan turut merasakan penderitaan isterinya walaupun tidak secara langsung. Suami harus banyak terlibat dalam proses jagaan kehamilan, kelahiran bayi dan perhatian terhadap isteri. Suami hendaklah memberi motivasi kepada isteri agar tetap tabah dan bersabar, di samping itu suami harus banyakkan berdoa dan beristigfar dan selawat. Dengan cara ini perasaan isteri akan menjadi tenang dan mudah bersalin.

Mengandung merupakan beban dan tekanan terhadap wanita. Dari segi fizikal, ia harus menampung kandungannya, tubuh badannya bekerja lebih kuat. Jantungnya mengepan darah 40% lebih daripada keadaan biasa. Buah pinggangnya harus mengendalikan pembuangan kotoran bayinya. Wanita mengandung juga mengalami perubahan emosi.

Waktu pantang dan selepas kelahiran, bayi juga dapat menimbulkan tekanan jiwa dan emosi isteri kerana ia harus menyusu dan membersihkan bayi antara 2-3 jam setiap malam. Suami yang baik akan berusaha mengurangi beban isteri dan turut menjaga bayi di waktu malam.

Begitu seterusnya perhatian dan tanggungjawab suami terhadap isteri itu berterusan, semenjak hamil sehinggalah menjaga anak adalah pekerjaan yang harus dibantu oleh suami agar isteri dapat merasakan kebahagiaan dan keringanan dalam menjalankan tanggung-jawab yang berat itu. .

Mengapa bayi lahir menjadi kenan
Kelahiran bayi cacat atau kenan mempunyai kesan dalam hati ibu bapa, saudara mara dan juga masyarakat. Reaksi pertama ibu adalah kesedihan dan kepiluan. Ia merasa hampa kerana anak yang dikandungnya selama 9 bulan itu cacat atau kenan. Kecacatan ini timbul dari berbagai gejala. Puncanya mungkin disebabkan oleh baka dan keturunan, jangkitan kiman, pendedahan kepada ubatan dan bahan kimia, masalah pemakanan, dadah, arak dan sebagainya.

Ramai orang percaya bahawa wanita yang kenan melahirkan bayi yang cacat. Seringkali kelahiran cacat dikaitkan dengan kejadian ketika isteri mengandung seperti suami membunuh binatang dll. Kejadian itu dikaitkan bila bayi lahir cacat, tapi tidak bila bayi dilahirkan normal. Islam menganjurkan umatnya melakukan kebaikan dan menjauhi kejahatan. Begitu juga dengan kenan dan kecacatan ini, jika suami isteri melakukan kebaikan, tuhan akan membalas dengan kebaikan dan begitu sebaliknya.

Tanggungjawab bapa terhadap kelahiran anak
1. Menanam uri - Kebanyakan daripada kita tidak menghiraukan tentang kepentingan uri. Di saat-saat kegembiraan menerima ahli baru, seringkali uri dilupakan. Jika pihak keluaga tidak mengambil uri, klinik atau hospital mengumpulkan uri-uri itu dan didermakan kepada syarikat swasta. Kemudian uri itu diproses bagi memperolehi hormon yang terkandung di dalamnya. Hormon-hormon ini banyak digunakan dalam alat-alat kecantikan dan solekan. Sebahagian ibu bapa cuma membuangkannya dalam tong sampah tanpa memikirkan uri adalah teman rapat bayi didalam kandungan Uri amat penting kepada bayi. Orang tua dahulu mengamalkan cara menanam uri dengan baik. Mereka mencuci dan membalutnya dengan kain dan ditanam, Adab ini adalah baik kerana menghargai sesuatu.

2. Mengazan dan mengqamatkan bayi yang baru lahir, telinganya berfungsi dengan baik. Islam menganjurkan diazankan di telinga kanan dan diqamatkan di telinga kiri. Tujuannya ialah untuk mengingatkan kembali anak tentang perjanjian yang pernah dikaitkan dengan tuhan di alam Rohani.

3. Mendoakan anak - Usaha membesarkan dan mendidik anak supaya menjadi manusia berguna bukanlah suatu yang dapat dipastikan kejayaanya. Doa Berdoa adalah satu usaha. Doa merupakan usaha meminta pertolongan kepada Allah.

Lima perkara yang memepengaruhi jiwa dan harapan orang yang berdoa

a. Dengan berdoa, maka semakin tumbuh subur keyakinan bahawa Allah SWT itu dekat.

b. Segala permohonan dari hamba-Nya akan mendapat perhatian sepenuhnya daripada Allah SWT.

c. Supaya doa itu diterima Allah SWT, maka orang yang berdoa terlebih dahulu menjalankan petunjuk dan anjuran Allah.

d. Hendaklah percaya dengan kesungguhan hati dan keimanan kepada Allah SWT.

e. Dengan menjalankan seruan Allah dan percaya kepada-Nya maka Allah akan memberikan petunjuk dan ilmu pengetahuan agar tidak tersesat dan berputus asa.

Antara doa-doa yang patut diamalkan oleh orang tua agar anak- anak mereka menjadi orang yang diredhai Allah iaitu:

a) Doa agar anak patuh kepada Allah - Al Bagarah : 128

b) Doa agar diberi anak yang baik - Al Imran : 38

c) Doa agar diberi zuriat yang menyenangkan hati - Furqan : 74

d) Doa agar anak tetap mengerjakan solat - Ibrahim : 40

e) Doa ketika memberi nama anak

Panduan menamakan anak
Sunat memilih nama yang baik. Memberikan nama merupakan cermin keperibadian dan kefahaman orang tua, kerana nama yang diberikan menggambarkan harapan hati dan harapan orang yang memberikannya.

Syariat Islam menganjurkan supaya nama yang baik kerana nama tersebut akan dipanggil Allah pada hari Qiamat. Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya: "Namakan denagn nama para nabi, dan nama yang paling Allah suka ialah nama Abdullah dan Abdurrahman dan nama yang paling benar ialah Harits dan Humaam dan nama yang paling buruk ialah Harb dan Murrah. " (HR. Abi Wahab Al-Jasyimi).

Para ulama sepakat mengharamkan semua nama yang mengabdikan selain dari Allah SWT seperti Abdul Uzza, Abdul Ka'abah dan lain-lain. Nama yang makrikh yang perlu dihindari iaitu Yasar, Rabah, Najah, Aflah dan Barakah. Nabi SAW melarang umatnya menamakan anak dengan nama-nama tersebut.

Nama seperti nama malaikat seperti Mikail dan sebagainya. Ada 2 pendapat ulama, sebahagiannya membolehkan manakala sebahagian lagi melarang. Tidak boleh menamakan dengan nama-nama yang buruk yang akan menggambarkan corak kehidupan yang tidak dapat diterima oleh fitrah manusia.

Tidak boleh menamakan dengan nama daripada surah dalam Al-Quran seperti Thaha, Yasin dan sebagainya. Ibnul Qayyim menjelaskan, nama Yasin dan Thaha adalah salah satu nama nabi adalah tidak benar. Imam Malik mengatakan bahawa nama-nama tersebut makruh dipakai untuk nama anak.

Rasulullah menganjurkan kepada seseorang yang mempunyai cita-cita yang baik untuk diharapkan melalui nama anak-anak. Memberi gelaran kepada anak Adalah sangat terpuji memberi gelaran yang baik kepada bayi semenjak kecil lagi bagi memberikan motivasi anak. Namun begitu, biarlah gelaran yang baik dan jauhi gelaran yang boleh memalukannya.

Masa memberikan nama dan orang yang berhak memberikan nama.
Berdasarkan kepada beberapa hadis Rasulullah SAW, maka memberikan nama bagi bayi dapat dilakukan pada hari lahirnya ataupun 3 hari sesudah kelahiran. Jika belum, boleh ditunda hingga sampai perlaksanaan aqiqah.

Siapa yang berhak, ayah atau ibu?
Sebenarnya ianya boleh dibincang antara suami dan isteri ketika ingin memberi nama. Menurut Nasya'at Al-Masri, hak memberi nama diberikan pada ayah, kerana adalam Al-Quran menjelaskan supaya anak dinasabkan kepada ayah bukan ibu.

Penyembelihan aqiqah
Untuk mensyukuri kelahiran anak, agama menganjurkan untuk mengadakan acara kesyukuran. Menyembelihkan kambing bagi anak lelaki, 2 ekor dan seekor bagi anak perempuan. Acara tersebut sebaiknya dijalankan ketika anak berumur 7 hari. Aqiqah amat penting, menurut keterangan ulama, hukumnya adalah "Sunat Muakkad". Dengan aqiqah akan menjadikan anak dapat memberi pembelaan (syafaat) kepada orang tuanya pada hari qiamat.

Hikmah aqiqah.

a. Sebagai bukti dari perasaan gembira, kerana diberi kekuatan oleh Allah untuk menjalankan syariat Islam serta dianugerah anak, serta mempunyai harapan agar anak tersebut akan mengabdikan dirinya kepada Allah.

b. Membiasakan berkorban bagi orang tua, demi kepentingan anak yang baru lahir.

c. Melepaskan penghalang pada bayi dalam memberikan syafaat kepada orang tua mereka kelak.

d. melindungi daripada syaitan sehingga setiap anggota tubuh aqiqah berguna untuk menebus seluruh anggota tubuh bayi.

e. Pada waktu memotong aqiqah juga hendaklah diucapkan seperti pada waktu memotong korban iaitu membaca Bismillah.

f. Lebih utama memasak aqiqah itu dan tidak diberikan dalam keadaan mentah. Untuk memudahkan para fakir miskin untuk menikmatinya dan ini lebih terpuji.

g. Umur binatang aqiqah yang disembelih adalah sesuai dengan yang diperintahkan, sihat dan tidak cacat.

h. Tidak sah apabila dilaksanakan secara bersama-sama oleh beberapa orang dengan seekor kambing.

i. Sebaik aqiqah itu berbentuk kambing, walaupun ada juga yang menyembelih seekor unta, lembu atau kerbau.

j. Diutamakan memotong aqiqah atas nama bayi. Rasulullah SAW bersabda, "Sembelihlah atas namanya". Ertinya diniatkan atas nama bayi dengan mengucapkan nama Allah.

k. Penyembelihan terbaik dilakukan sesudah matahari terbit.

l. Sesuatu yang terpuji pada pemotong aqiqah adalam sama terpuji pada pemotong qorban iaitu, dagingnya disedekahkan. Yang baik ialah dibahagi 3 iaitu sebahagian dimasak sendiri, sebahagian dihadiahkan dan sebahagian lagi disedekahkan.

m. Tidak diperkenankan menjual kulit aqiqah atau dijadikan bayaran penyembelihan. Harus disedekahkan atau diambil untuk keperluan orang yang mengadakan aqiqah.

n. Bagi seseorang yang mengetahui bahawa orang tuanya belum melakukan aqiqah untuknya, maka dianjurkan untuknya melakukan aqiqah, seperti Nabi telah melakukan aqiqah untuk dirinya setelah diangkat menjadi Rasul.

o. Sebelum dilakukan penyembelihan aqiqah terlebih dahulu melakukan pencukuran rambut bayi. Kemudian rambut ditimbang dan nilai rambut disedekahkan pada fakir miskin.

Mengkhatankan anak
Berkhatan atau bersunat harus dilakukan untuk membersihkan anak-anak kerana kemaluan merupakan tempat najis yang harus dibersihkan. Hukum berkhatan Menurut Imam Shafie, Imam Malik dan Al-Auzai dan lain-lain, berkhatan hukumnya wajib.

Khatan Nabi Ibrahim Dan Rasulullah SAW.
Nabi Ibrahim berkhatan ketika berusia 80 tahun. Beliau khatankan Nabi Ismail pada usia 13 dan Nabi Ishaq pada usia 7 tahun. Ada riwayat mengatakan Rasulullah dilahirkan sudah berkhatan dan juga riwayat mengatakan baginda dikhatan oleh Malaikat Jibrail.

Hikmah dan kelebihan berkhatan
a. Berkhatan merupakan asas daripada kebersihan dan merupakan syariat Islam perlu dikerjakan.

b. Menyempurnakan tuntutan syara' yang sesuai dengan sunnah Nabi Ibrahim dan Rasulullah SAW. Sebagai usaha ke arah kebersihan diri untuk mengabdikan diri pada Allah SWT.

c. Sering digunakan sebagai perbezaan antara orang Islam dan bukan Islam.

d. Dari aspek kesihatan, ia boleh mendatangkan kebersihan pada kemaluan, mencantikkan bentuk dan merangsang syahwat.

e. Menjaga kesihatan tenaga batin serta memelihara diri dari dihinggapi penyakit kelamin.

f. Mengandungi hikmah yang besar di sebalik yang dilihat oleh mata kerana ajaran Islam yang lengkap dan murni, setiap yang disuruh pasti mengandung makna yang mendalam.

Mendidik moral anak
Memberikan pendidikan kepada anak adalah kewajipan ibubapa. Firman Allah dalam suruh Luqman ayat 12 - 19 memberi beberapa pokok ajaran Luqman, antaranya :

a. Pendidikan supaya bersyukur

b. Pendidikan supaya jangan mempersekutukan Allah

c. Pendidikan supaya berbakti kepada orang tua

d. Pendidikan tentang balasan dari hasil perbuatan yang baik dan sebaliknya.

e. Pendidikan tentang soalt

f. Pendidikan tentang amar makruf nahi mungkar

g. Pendidikan supaya bersabar

h. Pendidikan supaya jangan sombong dan angkuh

i. Pendidikan kesederhanaan

Erti anak bagi orang tua
Setiap orang akan merasa bahagia apabila dikurniakan anak. Namun disebalik ke bahagiaan ini tersimpan tanggungjawab yang amat berat yang harus dipikul. Anak amat bererti pada ibubapa, antaranya:

1. Anak sebagai rahmat Allah SWT

2. Anak sebagai amanat Allah SWT

3. Anak sebagai harta yang tergadai

4. Anak sebagai penguji keimanan

5. Anak sebagai alat untuk beramal

6. Anak sebagai saham di akhirat

7. Anak sebagai sumber kebahagiaan

8. Anak sebagai tempat bergantung di hari tua

9. Anak sebagai penyambung cita-cita

10. Anak sebagai makhluk yang harus diberi pendidikan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...