Wednesday, April 21, 2010

TANGGUNGJAWAB MEMELIHARA JATI DIRI MUSLIM (تغضوغجواب ممليهارا جاتيديري مسلم) khutbah Juma'at pada 16 Jun 2006 / 19 Jamadilawwal 1427 H

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ أَمَّا بَعْدُ


فَيَا عِبَادَ اللهِ ! إِتَّقُوْا اللهَ، حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.



Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya menyeru diri saya dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama bersyukur dan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t. dengan melakukan segala suruhan-Nya dan menjauhi segala yang dilarangan, mudah-mudahan kita menjadi insan yang beriman, bertaqwa serta selamat di dunia dan di akhirat.

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

Islam menganjurkan umatnya agar berakhlak dan berbudi perkerti mulia dalam setiap perbuatan mahupun tuturkata. Kerana kemuliaan dan kehormatan seseorang itu akan dinilai melalui ketinggian keperibadian akhlak. Sejarah telah membuktikan bahawa umat yang maju adalah umat yang memiliki keperibadian akhlak yang tinggi sebaliknya umat yang tidak berakhlak akan menyebabkan ia menjadi lemah dan membawa kehancuran.

Kerana itulah, misi utama diutuskan junjungan besar nabi Muhammad s.a.w. adalah untuk menyempurnakan akhlak manusia. Sebagaimana sabdanya :


إِنَّمَا بُعِثْتُ ِلأُتَمِّمَ مَكَارِمَ اْلأَخْلاَقِ


Maksudnya : “ Sesungguhnya aku diutuskan hanyalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia ”
( H.R. Thabrani )

Sidang Jumaat Yang Berbahagia,

Dewasa ini, kita sering mendengar tentang masalah yang menimpa umat Islam. Di mana umat Islam samaada di negara kita mahupun di seluruh dunia sedang menghadapi krisis keruntuhan akhlak yang cukup membimbangkan. Sekiranya keadaan ini tidak dibendung dan diatasi sudah pasti akan membawa umat Islam kelembah kehinaan dan kemurkaan Allah s.w.t.

Terdapat segelintir umat Islam yang telah hilang keperibadian sebagai seorang mukmin sejati, mereka seolah-olah hidup kembali seperti di zaman jahiliah. Dan yang lebih parah lagi terdapat umat Islam yang memisahkan dan mengasingkan urusan dunia dengan urusan hidup seharian bahkan beranggapan bahawa agama tidak memberi apa-apa sumbangan dalam pembangunan bangsa dan negara. Mereka percaya bahawa hanya ilmu-ilmu tertentu seperti ilmu sains dan lain-lain yang terpisah dengan agama sahaja yang dapat membawa manusia kepada kemajuan dan ketamadunan. Ini semua merupakan petanda ke arah memisahkan agama daripada kehidupan manusia yang akan meyebabkan manusia hidup dalam budaya yang rosak dan jauh dari rahmat Allah s.w.t.

Hadirin Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Memisahkan agama daripada hal-hal keduniaan akan memberi kesan yang cukup besar kepada pembangunan dan pembentukan akhlak manusia. Terdapat segelintir masyarakat hari ini beranggapan bahawa akhlak merupakan hal individu yang tidak ada hubung kait dengan kuasa pemerintah serta mereka tidak mahu pihak berkuasa campurtangan dalam menentukan hal-hal mereka p dan perlu diberi kebebasan untuk melakukan apa yang diinginkan tanpa perlu ada sekatan daripada agama mahupun pemerintah dengan alasan bertentangan dengan hak asasi manusia dan menggugat hak kebebasan individu.

Maka, fahaman seumpama ini sangat-sangat bertentangan dengan ajaran Islam yang dibawa oleh junjungan besar nabi Muhammad s.a.w., kerana Islam merupakan suatu agama yang sempurna lagi lengkap mengatur seluruh kehidupan manusia meliputi pelbagai bidang seperti ibadah, mu’amalat, munakahat, jenayah dan sebagainya.

Kerana itu, kita sebagai orang yang mengakui beriman kepada Allah s.w.t. hendaklah menjadi umat yang kuat dan tidak akan mudah diseleweng atau terpesong dengan fahaman tersebut atau bertindak mengikut kemahuan hawa nafsu semata-mata. Disebabkan kita yakin bahawa dalam Islam kebebasan manusia bukanlah membawa maksud manusia itu bebas melakukan apa saja sesuka hati mereka, kerana Allah s.w.t. telah menetapkan batasan dan peraturan yang mesti dipatuhi oleh setiap manusia yang mukallaf dengan ketentuan halal dan haram begitu juga soal ganjaran pahala dan dosa.

Dalam Islam, kamajuan material sahaja bukanlah kamajuan yang utama yang ingin dicapai, kerana Islam juga menitik beratkan soal pembangunan modal insan iaitu melahirkan insan yang berakhlak mulia, berilmu pengetahuan, bermanfaat untuk diri sendiri, masyarakat dan negara. Berasaskan konsep inilah Islam muncul sebagai agama yang menjamin keharmonian, kesejahteraan, kebahagian dan kedamaian.

Hadirin Sidang Jumaat Yang Dikasihi Allah,

Justeru, mimbar jumaat pada hari ini ingin mengajak para jamaah dan seluruh umat Islam agar sama-sama menghayati dan memahami tanggungjawab memelihara jati diri sebagai seorang muslim. Kita perlu melihat adakah kita telah melaksanakan semua perintah Allah s.w.t. dan meninggalkan larangannya, seperti menjadi hamba yang tetap melaksanakan ibadah-ibadah yang khusus seperti sembahyang, berpuasa dan ibadah-ibadah yang umum seperti melaksanakan tugas dan tanggungjawab, menyayangi keluarga, menunaikan tanggungjawab sesame manusia, bercakap benar, memakan makanan yang halal, mencari sumber pendapatan yang halal dan sebagainya. Kerana sebagai seorang muslim kita sentiasa dituntut agar berusaha mendekatkan diri serta mencari keredhaan Allah s.w.t.

Maka, marilah sama-sama kita berusaha memelihara dan memantapkan diri, keluarga dan masyarakat kita dengan sentiasa mempertingkatkan jati diri agar tidak terpengaruh dengan sebarang fahaman yang boleh menyesatkan serta merugikan kita sebagai seoarang muslim di antaranya :

Pertama : Memiliki keimanan yang mantap

Sebagai seorang muslim sejati hidup kita hendaklah sentiasa didasarkan atas keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t. sepanjang masa. Sekiranya berlaku pengabaian terhadap pengukuhan keimanan kepada Allah maka sudah tentu perjalanan hidup seseorang akan mudah diseleweng dan terpesong menurut kemahuan hawa nafsu semata-mata. Maka kerana itulah keimanan yang mantap adalah penting sebagai penghalang daripada terjerumus ke lembah maksiat disamping ia mengatur perjalanan hidup yang selamat dan diredhai Allah s.w.t.

Firman Allah dalam surah al-Anfal ayat 2 :


Maksudnya : “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah yang apabila disebut nama Allh (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada tuhan mereka jualah mereka berserah ( bertawakal )”.

Kedua : Berusaha menjadi insan berjiwa merdeka

Kita sebagai seorang muslim sejati hendaklah sentiasa berusaha membebaskan diri dari sebarang belenggu, terutama mengatasi belenggu penjajahan pemikiran dari pemikiran yang jumud kepada terbuka ke arah kemajuan dan pembaharuan serta menghasilkan pemikiran baru bagi kebaikan diri, masyarakat dan umat Islam. Seterusnya kita hendaklah menolak fahaman serta amalan-amalan negatif yang boleh merosakkan dan menghancurkan umat Islam.

Oleh itu, perkara yang paling utama ialah membebaskan pemikiran kita dari sebarang bentuk ketergantungan kepada sesuatu yang lain selain dari Allah s.w.t. yang boleh membawa kita kepada syirik terhadap Allah. Kerana sesungguhnya melakukan syirik terhadap Allah merupakan suatu dosa dan kezaliman yang besar.

Firman Allah dalam surah Lukman ayat 13 :

Yang bermaksud : “Sesungguhnya perbuatan syarik itu adalah satu kezaliman yang besar " .

Ketiga : Melaksanakan Amar Ma’aruf dan mencegah Nahi Mungkar

Sebagai seorang yang beriman dengan Allah s.w.t. serta mengakui kita sebagai seorang muslim sejati, maka sudah tentu kita tidak dapat lari dari tanggungjawab melaksanakan semua perintah Allah dan perkara-perkara ma’aruf serta meninggalkan semua yang mungkar, kerana ianya merupakan salah satu usaha dakwah dalam Islam. Maka sudah tentu tugas menyeru manusia kearah kebaikan menjadi keutamaan sesuai dengan ajaran Islam yang membawa maksud selamat dan sejahtera.

Firman Allah dalam surah ali-Imran ayat 110 :

Yang bermaksud : “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik, dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)”.

Dalam ayat ini, sekiranya setiap muslim melaksanakan tanggungjawab amar ma’aruf dan nahi mungkar, maka sudah pasti kita akan menjadi “khaira ummah” iaitu ummah yang unggul dalam erti kata menjadi ummah contoh yang diikuti sepanjang zaman.
اعوذ بالله من الشيطان الرجيم :

( Surah al-Hujurat ayat : 15 )

Yang bermaksud : “Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya)”.
بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيْمِ، وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِىْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ، وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَـا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.



دسدياكن اوليه : جباتن كماجوان إسلام مليسيا, فوتراجاي.

( سيلا سيمق ترلبيه دهولو خطبة جمعة اين سبلوم دباخ داتاس منبر )

Sifat Mazmumah Manusia Punca Utama Kemalangan

Menteri yang bertanggungjawab telah mengumumkan kepada rakyat bahawa had laju lebuh raya dikekalkan dengan alasan bahawa kes kemalangan yang meragut nyawa banyak berlaku, inikan pula had laju ditambah. Lagi-lagilah keadaan akan bertambah buruk.


Sebenarnya, perkara yang patut diambil kira dalam menentukan had laju ini bukan kecanggihan keretanya atau kehebatan lebuh rayanya. Kereta, walaupun tak canggih, kalau dibiarkan sahaja, tak akan menyebabkan kemalangan. Lebuh raya pula, kalau tidak digunakan, tidak juga akan menyebabkan kemalangan.

Berlakunya kemalangan apabila ada campur tangan pemandu yang memandu kereta di atas lebuh raya. Jadi, punca bahaya dan kemalangan bukan kereta dan bukan lebuh raya tetapi pemandu. Oleh itu, pemandulah yang mesti diambil kira dalam menentukan had kelajuan lebuh raya ini.

Lebih 80% kemalangan di lebuh raya disebabkan kejahilan, kecuaian, kelalaian dan sikap buruk pemandu. Hanya 20% sahaja disebabkan kereta atau jalan. Itu pun kerana ramai pemandu tidak mengambil berat dan tidak menentukan kereta mereka selamat sebelum memulakan perjalanan. Tayar tidak diperiksa. Ada yang bengkak, ada yang tak cukup angin, ada yang terguris dan ada yang botak. Minyak berek tidak diperiksa dan jika perlu ditambah. Brake pad yang haus tidak diganti. Minyak enjin, minyak power steering, air radiator dan air bateri tidak diperiksa. Sebelum jalan pun, kereta sudah ada masalah.

Dianggarkan lebih dari 60% pemandu tidak mengetahui GMP (General Mechanical Principles) atau Prinsip Mekanikal Am tentang kereta mereka. Mereka hanya tahu memandu. Lain hal tentang kereta mereka tak tahu. Mereka tak tahu bagaimana enjin kereta bekerja. Bagaimana sistem pelincirannya, sistem penyejuknya, sistem penyalaan atau ignitionnya dan sistem bahan apinya. Mereka juga tidak tahu sistem transmissionnya, sistem suspensionnya, sistem bereknya, sistem elektriknya, sistem kawalannya dan berbagai-bagai lagi sistem yang ada pada kereta. Mereka main lanyak saja. Tak tahu macam mana nak maintain kereta dan tak tahu had-had kemampuan kereta mereka. Tetapi ini semua perkara mudah. Kalau disyaratkan semua itu sebelum diberi lesen memandu, semua orang akan belajar.

Yang menjadi masalah ialah sikap, akhlak dan perangai pemandu. Terutamanya pemandu yang angkuh, sombong, ego, tak boleh orang lain lebih dari dia, tak bertoleransi, tak mahu mendahulukan orang lain, tak mahu mengalah, suka berebut-rebut, gopoh-gapah, tak sabar, tak boleh bertolak ansur, berdendam, pemarah, panas baran, pantang dicabar, suka berlaju-laju dan berlumba-lumba, suka paksa diri walaupun mengantuk dan sentiasa nak cepat. Semua sifat-sifat mazmumah yang ada pada pemandu inilah sebenarnya punca kebanyakan kemalangan. Kadang-kadang jalan baik, cuaca baik, kereta baik tetapi berlaku juga kemalangan. Bukan keretanya yang hendak bertembung tetapi pemandunya yang hendak berlaga.

Banyak kita lihat, orang yang lemah lembut sifatnya, cakap perlahan dan berbudi bahasa dan kadang-kadang ada juga perempuan yang cantik, comel dan genit, tetapi bila mereka memandu, sifat mereka bertukar menjadi kasar, bengis dan ganas. Pantang tengok kereta di depan, mesti nak potong. Tekan minyak macam tekan berek. Tekan sampai habis. Tekan berek pula macam tekan minyak. Tekan sikit-sikit sahaja.

Ada orang, kalau dia memandu Proton Wira, kereta Mercedes potong tak apa. Kereta BMW potong tak apa. Kereta mewah yang lain potong tak apa. Tapi jangan Kancil ke, Kenari ke, Kelisa ke. Ini dia tak boleh tahan. Mesti potong balik.

Ada orang, kalau memandu, mulut tak pernah diam. Kalau dia menyanyi ke, bernasyid ke tak apa. Ini tidak. Dia sibuk membebel dan memaki hamun pemandu lain. Bodohlah. Lesen kopilah. Tak ada otaklah. Apa bawak pelahan sangat. Kalau nak pelahan, jalan kakilah. Dan bermacam-macam lagi sumpah seranahnya. Selagi tak sampai ke destinasi, selagi itulah dia membebel.

Ada pula pemandu, kalau orang yang di sebelahnya itu kebetulan buah hati atau kekasihnya, ditumpu segala perhatiannya kepada kekasihnya itu. Pengguna lebuh raya yang lain dia tak peduli. Undang-undang jalan raya dia tak peduli. Polis trafik pun dia tak peduli. Dia nak slow, dia slow. Dia nak terhoyong-hayang ke dia tak kira. Orang macam ini, elok suruh dia kahwin cepat dengan buah hatinya itu. Kerana kalau dah jadi bini, taklah sampai macam tu sangat dia beri perhatian.

Kadang-kadang pemandu yang datang dari arah depan entah apa sebabnya, makan jalan kita. Kebanyakan orang jadi marah dan mula memaki hamun. Angkat tangan tunjuk penumbuk. Makan jalan dia tu pantang datuk nenek dia. Sebenarnya datuk nenek dia tak kisah pun. Saja dia nak libatkan datuk nenek dia. Sebab kalau ada orang tua-tua terlibat, orang ada hormat sikit.

Separuhnya pula tak cukup tunjuk penumbuk. Dia rasa dia betul. Oleh itu dia tak mahu beralah. Orang makan jalan dia, dia tetap tak berganjak. Dia tetap atas jalan dia. Dia kata dalam hatinya: Kau berani sangat makan jalan aku? Hah kita tengok!

Itu pun boleh tahan juga. Ada yang lebih dahsyat lagi dari itu. Orang makan jalan dia, dia pun makan jalan orang. Hatinya berkata: Kau boleh buat, aku pun boleh buat!

Punca kemalangan adalah sifat-sifat manusia-manusia itu sendiri. Ego, sombong, angkuh, tak boleh bertolak ansur, tak sabar. Akibatnya kedua-dua pihak cedera. Baik tak baik, kedua-dua pihak mati.

Apalah salahnya kita beralah, masuk ke tepi jalan dan beri dia laluan. Dengan itu kedua-dua selamat. Manalah kita tahu masalah dia. Dia mungkin tak mahu makan jalan kita tapi dia tak dapat elak. Mungkin tayarnya hilang angin sebelah. Mungkin steeringnya jam. Atau dia mengelak lubang. Atau dia mengantuk dan tak sedar. Dia tu kan manusia. Ada banyak kelemahan. Apalah salahnya kita beri dia laluan dan maafkan dia.

Kalau berlaku pelanggaran pula antara dua kereta, dramanya lagi hebat. Seorang pemandu keluar bawa spana hidup. Seorang lagi keluar bawa spanar buka roda. Kereta dua-duanya dah kemek dan calar balar. Ini giliran pemandunya pula nak kemek dan calar balar. Lepas berlanggar mesti nak bergaduh.

Apalah salahnya, kalau berlaku pelanggaran kedua-dua pemandu keluar, beri senyuman yang manis dan hulur tangan untuk bersalam. Masing-masing mengaku salah dan minta maaf. Cuba selesaikan dengan baik. Tak ada siapa yang suka kemalangan. Kalau dah jadi, apa nak buat. Selesaikan sajalah dengan baik. Janganlah cetuskan pula kemalangan yang lain. Cukuplah satu kemalangan tu.

Lebih baik lagi, kalau ada kedai atau warung, ajak minum. Selesaikan sambil minum. Tukar-tukar alamat, tukar-tukar nombor telefon. Ini peluang kita berkenalan. Peluang dapat kawan.

Sifat hati yang baik ini perlu. Bukan sahaja dalam hidup bermasyarakat, dalam pergaulan di tempat kerja, di kampung, di taman, di flet dan pangsapuri, tetapi juga di jalan raya dan di lebuh raya. Sifat hati inilah yang mewarnai sikap, akhlak dan perangai para pemandu. Kalau hati baik dan kurang sifat mazmumah, sikap, akhlak dan perangai para pemandu akan ikut jadi baik. Kalau hati jahat dan penuh sifat mazmumah, pemandu akan bersikap ganas, pemarah, suka memandu laju dan tidak mahu bertolak ansur.

Selagi sifat-sifat mazmumah yang bersarang di hati para pemandu ini tidak dihakis dan dibuang, selagi itulah sikap dan perangai mereka yang negatif dan berbahaya itu tidak akan berubah. Para pemandu perlu dididik. Mereka perlu disedarkan bahawa kalau hati mereka baik, maka baiklah cara mereka memandu. Kalau hati mereka jahat maka jahatlah cara mereka memandu. Kehadiran mereka di lebuh raya akan membahayakan diri mereka, penumpang mereka dan pengguna lebuh raya yang lain.

Inilah kriteria yang patut diambil kira dalam menetapkan had laju lebuh raya kita. Bagaimana sikap, akhlak dan perangai para pemandu kita secara umumnya. Kalau hati-hati mereka masih jahat dan penuh dengan sifat-sifat yang tidak baik, maka janganlah naikkan had laju. Kalau sekiranya mereka umumnya satu hari nanti boleh menjadi pemandu yang berdisiplin, bersopan, berhemah, bersabar dan suka bertolak ansur dan suka mendahulukan orang lain, maka had laju bolehlah dinaikkan.

Kaedah dan cara mesti dicari untuk mendidik para pemandu kita. Yang terbukti mempunyai sifat dan sikap yang berbahaya atau ganas perlu diberi kaunseling dan nasihat dengan penuh hikmah dan kasih sayang. Setakat boleh memandu dan ada lesen sahaja tidak cukup. Mereka mestilah juga orang-orang yang baik.

Kereta itu, kalau disalah guna, sama bahayanya dengan senjata api. Ia boleh membunuh. Malahan lebih ramai orang mati disebabkan kemalangan kereta daripada yang mati ditembak. Takkanlah kita nak bagi lesen shot gun pada orang yang jahat, pemarah, panas baran, yang tak boleh bertolak ansur, yang suka mengamuk, yang tak sabar dan yang tidak bertanggungjawab. Nak bagi lesen memandu ini lebih kurang sama macam nak bagi lesen shot-gun juga. Kena tentukan orangnya betul-betul baik, boleh diharapkan dan bertanggungjawab.

Semuanya berbalik kepada masalah kemanusiaan. Semuanya kembali kepada masalah keinsanan. Manusia perlu dikembalikan kemanusiaannya. Manusia perlu dipulihkan keinsanannya. Barulah watak manusia itu akan menjadi lunak, lembut, bertolak ansur, berkasih sayang, suka mendahulukan orang lain, penyabar, pemaaf, suka meminta maaf, tenang, bertoleransi dan mudah mengalah. Inilah kriteria untuk keselamatan hidup manusia. Bukan sahaja di lebuh raya tetapi di mana juga di muka bumi ini. Kalau manusia tidak terbina insannya, maka akan terjadilah apa yang Tuhan firmankan:

Akan lahirlah kerosakan dan kejahatan di daratan dan di lautan hasil dari usaha tangan manusia itu sendiri.

 
Sumber: http://www.muslimconsumer.org.my

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...