Tuesday, April 13, 2010

Sombong serlah kejahilan diri

Oleh Ahmad Sabki Mohd Tahir - http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sombongserlahkejahilandiri/Article/index_html
2010/01/22

SOMBONG adalah penyakit rohani. Mereka yang ada penyakit ini biasanya berkedudukan dalam masyarakat, dikenali ramai, cantik atau tampan, hidup mewah dan paling tidak pun ada kelebihan daripada orang lain. Sombong lahir di kalangan mereka yang berakhlak rendah dan bersifat angkuh. Mereka ada di mana-mana dalam masyarakat kita hari ini.


SOMBONG adalah penyakit rohani. Mereka yang ada penyakit ini biasanya berkedudukan dalam masyarakat, dikenali ramai, cantik atau tampan, hidup mewah dan paling tidak pun ada kelebihan daripada orang lain. Sombong lahir di kalangan mereka yang berakhlak rendah dan bersifat angkuh. Mereka ada di mana-mana dalam masyarakat kita hari ini.

Orang sombong tidak sampai ke mana hidupnya. Seperti orang lain yang barangkali tidak setaraf dengan mereka akan mati juga bila sampai masanya. Semua makhluk yang dicipta Allah s.w.t di atas muka bumi ini tidak kekal. Semua akan mati, musnah dan hancur. Yang kekal hanya Allah. Justeru itu, hanya Allah yang boleh memiliki sifat sombong kerana Dia Maha Besar, Maha Berkuasa dan Maha Agung.

Dalam sebuah hadis kudsi yang diriwayatkan Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Allah berfirman, keagungan adalah sarung-Ku dan kesombongan adalah selendang-Ku, maka sesiapa yang merebutnya daripada-Ku, nescaya Aku akan mengazabnya.” (Hadis riwayat Muslim) Dalam hadis lain disebutkan bahawa tidak akan masuk syurga sesiapa yang di hatinya ada seberat biji sawi kesombongan.

Orang sombong biasanya tidak ramai kawan. Kawan orang sombong hanya di kalangan mereka yang terpilih. Orang sombong tidak mesra silaturahim. Kalau kita menyingkap sejarah, banyak kisah orang sombong yang boleh kita ambil sebagai contoh untuk dijadikan iktibar dan peringatan kepada kita dalam melayari kehidupan sementara di atas dunia ini. Contoh paling baik untuk kita renungkan ialah kisah Qarun. Kesombongan Qarun membawa padah kepada dirinya.

Dr Abdurrahman Shalih al-Asymawi dalam bukunya ‘Tragisnya Nasib Orang- Orang Sombong’ (judul asal Al-Mukabiruna) menceritakan perihal Qarun: Diriwayatkan oleh Said bin Jabir bahawa Ibnu Abbas pernah berkata Qarun adalah anak saudara Nabi Musa dan nama lengkap Nabi Musa a.s. adalah Musa bin Imbran bin Qahits.

Kekayaan dan kemewahan duniawi menyelimuti Qarun hingga dia menjadi orang munafik, melencong daripada kebenaran, menjauhkan diri daripada kitab Taurat dan memanjangkan pakaiannya satu jengkal hingga menyapu bumi ketika berjalan. Hal ini wujud kerana kemuliaan dan kesombongannya.


Al-Quran telah menceritakan dengan jelas mengenai Qarun dalam surah al-Qashash. Dalam ayat berkenaan Allah menyebutkan bahawa Qarun termasuk kaum Nabi Musa. Namun, Qarun mengingkari dan mendustakan ajaran Nabi Musa dengan menganiaya kaumnya. Allah menganugerahi Qarun dengan kenikmatan yang melimpah-ruah.

Firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan Kami telah menganugerahkan kepadanya perbendaharaan harta yang kunci-kuncinya sungguh berat dipikul oleh sejumlah orang yang kuat. (Ingatlah) ketika kaumnya berkata kepadanya, janganlah kamu terlalu bangga, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang terlalu membanggakan diri.” (Surah al-Qashash ayat 76) Kekayaan itulah yang memalingkan Qarun daripada keimanan, menghilangkan hasratnya untuk membaca kitab Taurat dan menjauhkan diri daripada Nabi Musa. Qarun telah melebihi batas kesombongan sehingga tidak ada satu pun daripada kaumnya yang menyokongnya. Oleh kerana itu, mereka memberikan nasihat kepada Qarun “Janganlah kamu terlalu bangga.” Mereka ingin Qarun bersikap ramah, rendah diri, tidak sombong dan tidak berlebih-lebihan.

Dalam al-Quran Allah menyebut melalui firman-Nya yang bermaksud: “Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat. Dan janganlah kamu melupakan bahagianmu daripada (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu. Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berbuat kerosakan.” (Surah al-Qashash ayat 77) Nasihat berharga itu berlalu bersama hembusan angin. Ia tidak sampai ke hati Qarun walaupun satu huruf. Bukti kesombongan Qarun apabila ia berkata: “Sesungguhnya aku hanya diberi harta itu kerana ilmu yang ada padaku.” Perkataan itu menunjukkan kesombongannya. Dia sama sekali tidak menganggap anugerah dan kenikmatan Allah telah diberikan kepadanya. Dia berkeyakinan dirinya memang berhak mendapatkan harta kekayaan dan kenikmatan yang melimpah-ruah itu.


Pada suatu hari Qarun keluar menemui kaumnya dengan memakai perhiasan yang sangat megah, keindahan sangat menawan dan kemewahan mengagumkan bagi orang yang melihatnya, hingga menimbulkan kesedihan fakir miskin.

Firman Allah dalam surah al-Qashash ayat 80 yang bermaksud: “Kecelakaan yang besarlah bagimu, pahala Allah adalah lebih baik bagi orang-orang yang beriman dan beramal soleh.” Ayat 81 dalam surah yang sama adalah jawapan kesombongan Qarun. Firman Allah yang bermaksud: “Maka Kami benamkan Qarun bersama rumahnya ke dalam bumi.” Segala yang ada dalam kehidupan Qarun lenyap dalam waktu singkat. Bumi telah menelan Qarun bersama segala yang dimilikinya kerana Allah telah memerintahkan hal itu kepada bumi.

Lenyaplah harta kekayaan, kedudukan, istana yang dimegahkan, kunci yang berat, gudang yang dipenuhi harta benda dan Qarun yang pakaiannya memanjang ke belakang sebagai simbol keangkuhan serta kesombongan.

Demikian kisah orang yang angkuh dan sombong telah menerima balasannya daripada Allah. Akibat yang mereka terima telah digambarkan secara jelas kerana Allah mampu dan berkuasa melakukannya. Kisah Qarun boleh dijadikan iktibar bagi mereka yang selama ini bersifat angkuh dan sombong dengan anugerah dan nikmat yang mereka terima daripada Allah.

Sesungguhnya apa yang ada pada kita ketika ini semuanya milik Allah.

Petikan dari Harian Metro online itu adalah penyakit masyarakat kita pada masa kini. Kesombongan juga lah membuatkan manusia itu rugi. Ia sombong dalam menerima pendapat, ia sombong dalam menerima teguran, ia sombong dengan orang di sekelilingnya. Namun tidakkah ia ingat kepada Penciptanya. Sesungguhnya sifat itu tidak layak untuknya kerana ia milik Yang Maha Esa.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...