Tuesday, April 6, 2010

Kuala Lumpur



Kuala Lumpur senyumanmu

Dipagi ini
Sungguh bererti
Kerna cinta bersemi lagi
Setelah kemarau panjang

Dilebuhraya
Dipapan tanda
Tergambar wajahmu
Dengan kalimat
Cinta untuk kita
Semoga kekal selamanya

Bila ku bisikan puisi cinta
Dan tugu peringatan negara
Bagai tersenyum
Dalam diam bergembira
Memberi sokongan cinta
Agar bersinar sentiasa

Berganding tangan
Kita berdua
Menyusuri jalan
Ditengah kota
Sambil senandungkan lagu
Lagu kisah cinta lama

Bilaku bisikan puisi cinta
Dan tugu peringatan negara
Bagai tersenyum
Dalam diam bergembira
Memberi sokongan cinta
Agar bersinar sentiasa

Terimakasih kuucapkan
Oh kepadamu
Kuala Lumpur
Kerna kau telah temukan
Cinta antara kami berdua

Jika korang terbaca lirik tu, pasti korang terbayang kumpulan lagenda tanah air kita. Namun masih ramai yang tidak mengenali Kuala Lumpur itu sendiri walau tinggal dan bekerja di sana.

Banjir di sekitar Bangunan Sultan Abdul Samad tahun 1970an

Kuala Lumpur (Tulisan Jawi: كوالا لومڤور; sering disingkatkan KL), atau nama penuhnya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, ialah ibu negara dan bandar terbesar di Malaysia. Kawasan Wilayah Persekutuan yang meliputi tanah seluas 244 km2 (94 batu²), dianggarkan diduduki 1.6 juta orang pada tahun 2006. Kuala Lumpur tergolong dalam sebuah kawasan metropolitan besar yang turut meliputi sebahagian besar negeri Selangor, iaitu Lembah Klang, sebuah kelompokan bandar yang diduduki 7.2 juta orang, dan juga kawasan metropolitan yang paling pesat membangun di negara dari segi bilangan penduduk dan ekonomi.


Kuala Lumpur merupakan tempat letak Parlimen Malaysia, dan juga pernah menjadi lokasi cabang eksekutif dan kehakiman kerajaan persekutuan yang kini bertapak di Putrajaya sejak tahun 1999. Namun begitu, terdapat beberapa cawangan kehakiman yang kekal di ibu kota ini. Kediaman rasmi Yang di-Pertuan Agong, iaitu Istana Negara, juga terletak di Kuala Lumpur. Bandar raya ini juga merupakan pusat kebudayaan dan ekonomi Malaysia kerana kedudukannya selaku ibu negara dan bandar raya primat. Kuala Lumpur ditarafkan sebagai bandaraya dunia alfa, dan juga satu-satunya bandar raya global di Malaysia, menurut Globalization and World Cities Study Group and Network (GaWC).

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ialah salah satu daripada tiga buah Wilayah Persekutuan Malaysia, dan juga sebuah enklaf dalam negeriSelangor, di pantai barat tengah Semenanjung Malaysia.

Semenjak 1990-an, bandar raya ini menjadi tuan rumah kepada berbilang acara sukan, politik dan kebudayaan, termasuk Sukan Komanwel 1998 dan Kejohanan Dunia Formula Satu.[9] Selain itu, di Kuala Lumpur terdirinya menara berkembar tertinggi di dunia, iaitu Menara Berkembar Petronas.

Kuala Lumpur dihubungkan dengan dunia luar oleh dua buah lapangan terbang, iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah yang kini hanya berkhidmat untuk penerbangan dalam negara.

Sejarah moden Kuala Lumpur bermula pada 1850-an, ketika ketua Melayu Klang, Raja Abdullah, mengupah buruh Cina untuk membuka lombong timah yang baru dan lebih besar. Mereka tiba di kuala Sungai Gombak dan Sungai Klang untuk membuka lombong di Ampang. Sungai Gombak pernah dikenali sebagai Sungai Lumpur, maka nama asal untuk bandar ini ialah "Pengkalan Lumpur", lama-kelamaan diberi nama Kuala Lumpur. Tidak lama kemudian, lombong timah dibuka di Pudu dan Batu.


Lombong-lombong ini berkembang menjadi kawasan perdagangan yang semakin diterima sebagai bandar sempadan. Banyak sekali kemelut yang dialami Kuala Lumpur yang masih muda itu, terutamanya Perang Saudara Selangor, di samping diserang wabak penyakit, kejadian kebakaran dan banjir. Sekitar 1870-an, Kapitan Cina Kuala Lumpur, Yap Ah Loy menjadi pemimpin yang bertanggungjawab memastikan ketahanan diikuti pertumbuhan sistematik bandar ini. Beliau mula membangunkan Kuala Lumpur dari sebuah tempat kecil yang tidak dikenali menjadi bandar perlombongan yang giat sekali ekonominya. Pada tahun 1880, ibu negeri Selangor berpindah dari Klang ke Kuala Lumpur yang jauh lebih strategik.

Pada tahun 1881, berlakunya malapetaka kebakaran besar disusuli banjir besar, memusnahkan struktur kayu atap bangunan-bangunan Kuala Lumpur. Residen British di Selangor, Frank Swettenham, bertindak dengan mewajibkan semua bangunan dibina daripada batu-bata dan jubin sahaja. Kebanyakan bangunan batu-bata baru menyerupai rumah kedai di China Selatan, dengan ciri-ciri "kaki lima" dan juga hasil kemahiran pertukangan kayu Cina, maka menyerlahkan seni bina eklektik rumah kedai tersendiri yang biasa terdapat di rantau ini. Pengangkutan ke bandar ini dipermudahkan lagi dengan landasan keretapi. Berikutan kepesatan pembangunan pada 1890-an, maka wujudnya sebuah Lembaga Kebersihan (Sanitary Board). Pada tahun 1896, Kuala Lumpur dipilih sebagai ibu negara Negeri-Negeri Melayu Bersekutu yang baru.

Pelbagai komuniti berlainan keturunan mencari tempat tinggal di merata Kuala Lumpur. Kaum Cina menetap di sekitar pusat perdagangan Medan Pasar (Market Square) di timur Sungai Klang, ke arah Pekan Cina (Jalan Petaling). Kaum Melayu, Chettiar India, dan India Muslim pula menetap di sepanjang Java Street (kini Jalan Tun Perak). Padang yang kini dikenali sebagai Dataran Merdeka, merupakan pusat pejabat pentadbiran British.


Ketika Perang Dunia Kedua, Kuala Lumpur ditawan oleh tentera Jepun pada 11 Januari 1942 dan menguasainya bersama seluruh Tanah Melayu sehingga 15 Oktober 1945, apabila panglima besar Tentera Kawasan Ketujuh Jepun di Singapura dan Tanah Melayu, Seishirō Itagaki, menyerah kalah kepada pentadbir British selepas pengeboman atom Hiroshima dan Nagasaki. Kuala Lumpur meredah zaman peperangan, kejatuhan nilai getah dan timah dan zaman darurat ketika Tanah Melayu berdepan dengan pemberontakan komunis. Pada tahun 1957, Persekutuan Tanah Melayu merdeka dari pemerintahan British. Kuala Lumpur kekal sebagai ibu negara selepas pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.

Tanggal 13 Mei 1969 menyaksikan salah satu rusuhan kaum yang paling dahsyat di Malaysia yang meletus di antara kaum Melayu dan Cina di Kuala Lumpur, disebabkan ketidakpuasan kaum Melayu mengenai keadaan sosiopolitik mereka ketika itu. Rusuhan ini menyebabkan 196 orang terkorban, lantas menyebabkan pembaharuan besar dalam dasar ekonomi negara yang menyebelahi kaum Melayu.

Kuala Lumpur mencapai status bandar raya pada tahun 1972, menjadikannya petempatan pertama di Malaysia yang dikurniakan status itu sejak mencapai kemerdekaan. Pada 1 Februari 1974, Kuala Lumpur menjadi Wilayah Persekutuan, lalu menyerahkan status ibu negeri Selangor kepada Shah Alam pada tahun 1978.

Pada 14 Mei 1990, Kuala Lumpur menyambut 100 tahun kerajaan tempatannya dengan memperkenalkan lagu dan bendera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Pada tahun 1998, sebuah pergerakan politik yang dikenali sebagai Reformasi bergiat di bandaraya ini, berikutan pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di samping mencetuskan berkali-kali perarakan bantahan sehingga tahun 1999, yang mana para penyokong Anwar menyesakkan jalan-jalan untuk menggesa pembaharuan dalam pentadbiran kerajaan, antara lainnya.

Pada 1 Februari 2001, Putrajaya diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan dan juga pusat kerajaan persekutuan Malaysia. Fungsi-fungsi pentadbiran dan kehakiman kerajaan beralih dari Kuala Lumpur ke Putrajaya. Namun begitu, Kuala Lumpur masih mengekalkan fungsi perundangan, dan juga kekal sebagai kediaman rasmi Yang di-Pertuan Agong.

Setapak 1950an

Stadium Merdeka

Taman Tunku Abdul Rahman

Kelantan

Negeri Kelantan yang mempunyai seni budaya tradisional yang unik ini juga mempunyai sejarah persinggahsanaan yang menarik. Diriwayatkan dalam tahun 1411M (814H) di Kelantan, terdapat seorang Raja yang beragama Islam bernama Raja Kumar. Tetapi sehingga kini ahli-ahli sejarah masih belum dapat mengesani daripada manakah asalnya Raja Kumar ini. Walau bagaimanapun baginda Raja Kumar telah menjalinkan hubungan muhibbah dengan Maharaja China, dan sebaliknya dalam tahun 1412M, baginda Raja Kumar telah menerima persembahan balas berupa kain-kain sutera dan surat kepujian daripada Maharaja China itu.


Selepas pemerintahan Raja Kumar lahir pula pemerintahan Sultan Iskandar sehingga 1465M. Kemudian Kelantan diperintah pula oleh Putera Baginda Sultan Mansur. Dalam zaman pemerintahan Sultan Mansur, nama Kelantan telah menjadi masyhur sehingga ke negeri Melaka di bawah pemerintahan Sultan Mahmud Shah. Pada 1477M, Sultan Melaka ini telah menghantar bala tenteranya untuk menyerang Kelantan. Walau bagaimanapun ia berakhir dengan satu simpulan peristiwa yang menarik, iaitu baginda Sultan Mahmud Shah telah berkahwin dengan Puteri Sultan Mansur yang bernama Onang Kening, yang kemudian menjadi bonda kepada Raja Perak yang pertama, iaitu Sultan Muzaffar Shah (1528M).

Apabila Sultan Mansur Shah mangkat 1526M (928H), maka putera baginda, Raja Gombak ditabalkan menjadi Sultan dengan gelaran "Sultan Gombak". Setelah baginda Raja Gombak mangkat, maka cucunda baginda yang telah dijadikan putera angkat, iaitu Raja Ahmad, ditabal menjadi Sultan Kelantan pada 1584M (992H). Dengan gelaran Sultan Ahmad, Baginda telah berkahwin dengan Cik Banun Puteri Seri Nara DiRaja, iaitu sepupu kepada Raja Hussein di sebelah isteri Lela Wangsa Pahang. Baginda berdua telah dikurniakan seorang puteri dinamakan Cik Siti Wan Kembang.

Baginda Sultan Ahmad mangkat pada 1589M, sewaktu puteri baginda Cik Siti Wan Kembang berusia 4 tahun, dan oleh sebab itu Raja Hussein dari Johor telah dilantik menjadi Pemangku Raja Pemerintah Kelantan. Bila Raja Hussein mangkat pada 1610M (1018H), maka Cik Wan Kembang ditabalkam menjadi Permaisuri Kelantan. Baginda bersemayam di Gunung Chinta Wangsa, Ulu Kelantan, kira-kira 40 kilometer ke arah tenggara Kuala Krai.

Pemerintahan Cik Siti Wan Kembang di Gunung Chinta Wangsa menjadi terkenal menyebabkan banyak dikunjungi oleh pedagang-pedagang dari dalam dan luar negeri termasuk juga orang-orang Arab yang mengelarkan Cik Wan kembang dengan panggilan "Paduka Cik Siti". Baginda mempunyai seekor kijang yang kemudiannya menjadi lambang kebesaran negeri Kelantan.

Semasa dalam pemerintahan Cik Siti Wan Kembang, telah timbul sebuah lagi kerajaan berpusat di Jembal, di bawah pemerintahan Raja Sakti 1638M (1046H). Setelah baginda mangkat, maka putera baginda, Raja Loyor telah ditabal menjadi Sultan pada 1649M (1059H). Baginda dianugerahkan dengan dua orang cahaya mata iaitu seorang putera, Raja Sakti yang mangkat sejak kecil lagi dan seorang puteri bernama Puteri Saadong.

Hubungan baik telah terjalin di antara Kerajaan Cik Siti Wan Kembang dengan Kerajaan Loyor di Jembal. Baginda mengambil Puteri Saadong sebagai anak angkat yang akan mewarisi takhta kerajaan sepeninggalannya nanti.

Puteri Saadong seorang gadis ayu yang cantik dan jelita, digelar oleh penduduk Gunung Chinta Wangsa sebagai Puteri Wijaya Mala. Perihal kecantikan Puteri Saadong itu telah sampai kepada Maharaja Siam yang menghantar utusan untuk meminang Puteri Saadong, tetapi ditolak. Puteri Saadong telah dikahwinkan dengan Raja Abdullah iaitu sepupunya, dan telah dimahkotakan di Kota Tegayong (Tanah Serendah Sekebun Bunga Cherang Tegayong) dan kemudiannya dipindahkan ke Kota Jelasin di Kota Mahligai.

Puteri Saadong telah diculik oleh Penglima Tentera Siam bernama Phraya Decho dan dibawa kepada Narai Maharaja Siam (1656-1688), kerana kesetiaannya pada suami baginda tidak boleh disentuh oleh Maharaja Siam. Setelah Puteri Saadong kembali ke Kelantan telah berlaku pergaduhan dengan Raja Abdullah. Akibat pergaduhan itu Raja Abdullah terkorban kerana kena tikaman cucuk sanggul Puteri Saadong.

Selepas kemangkatan Raja Abdullah, Puteri Saadong telah melantik Raja Abdul Rahim iaitu saudara raja Abdullah menjadi Sultan di Kota Mahligai pada 1671M (1082H) dan dikahwinkan dengan janda Raja Abdullah, anak Penghulu Ngah Jembal. Selepas itu Puteri Saadong menjadi Raja di Bukit Marak dan sejak itu kisahnya tidak dapat dikesan lagi.

Kemudian, Raja Abdul Rahim telah mangkat ditikam oleh rakyatnya di tepi Tasek Lelayang Mandi. Dengan itu putuslah sejarah "kerajaan mahligai" dan wujud pula Kerajaan Jembal yang pada waktu itu terletak dibawah pemerintahan Raja Omar yang bergelar Sultan Omar pada 1675M (1086H).

Raja Omar adalah adinda kepada Raja Loyor yang sebelum itu telah bergelar Temenggong Sultan Omar mempunyai lima orang putera dan puteri, iaitu Raja Kecil Sulung, Raja Ngah yang bergelar Raja Hudang, Raja Nah, Raja Sakti dan Raja Pah. Setelah Raja Omar mangkat pada 1721M (1132H), Baginda Long Bahar telah ditabal menjadi Sultan di Jembal atas kehendak puteri sulungnya, Raja Kecil Sulung. Baginda Long Bahar adalah putera Raja Petani (Wan Daim) yang bergelar Datuk Pengkalan Tua yang berhijrah ke Kelantan bersama ayahndanya dan berkahwin dengan Raja Pah Puteri Sultan Omar dan memerintah di Sening dekat Jembal.

Long Sulaiman (Wan Anom Long Nik) anak Long Bahar dengan Raja Perempuan Patani bergelar Mas Kelantan mempunyai seorang putera bernama Long Yunus dan dua orang puteri, iaitu Tuan Dewi dan Tuan Kembang yang berkahwin dengan Long Deraman putera Tuan Senik Getting yang memerintah di Legeh. Pada 1756M (1169H) telah berlaku serangan untuk merebut takhta dan akhirnya telah membawa kemangkatan Long Sulaiman. Berikutnya Long Pendak, sepupu Long Sulaiman telah dilantik menjadi Raja Kubang Labu, dan adiknya pula Long Muhammad dilantik menjadi Raja Muda.

Kemudiannya pada 1758M, Long Pendak telah mangkat di tangan Long Deraman kerana membalas dendam terhadap perbuatan Long Pendak membunuh isterinya Tengku Tengah iaitu adik Long Deraman. Selepas itu Long Muhamad dilantik menjadi Sultan di Kota Kubang Labu. Dalam masa pemerintahan Long Muhammad telah meletuskan peperangan antara pihak Long Muhammad yang dibantu oleh Long Deraman dengan Long Gaffar, putera kepada Raja Reman di Hulu Perak. Dalam peperangan pada 1762M, Long Muhammad dan Long Deraman telah tumpas dan Kerajaan Kubang Labu telah dapat dikuasai oleh Long Yunus. bagi mengenang jasa Long Gaffar yang membantunya dalam peperangan itu, maka baginda Long Yunus telah melantik Long Gaffar menjadi Perdana Menteri memerintah dari kawasan Jeram sampai ke Pasir Tumbuh. Baginda Long Yunus telah berjaya menyatukan seluruh pemerintahan negeri Kelantan yang banyak itu dengan meletakkannya dibawah satu pemerintahan pusat sahaja.

Long Gaffar menguasai Kelantan (ketika itu dipanggil "Tanah Serendah Sekebun Bunga, Negeri Cik Siti Wan Kembang). Setelah menang perang iaitu perang Kota Kubang Labu 1. Perang tersebut berlaku selepas raja Kota Kubang Labu (dari keturunan Jembal) yang bernama Long Pandak membunuh isterinya yang merupakan puteri Raja Legeh (Narathiwat sekarang).


Puteri tersebut bernama Puteri Neng Mas(Tengku tengah adik Long Deraman) adalah juga merupakan sepupu Long Gaffar dibunuh kerana dituduh berzina dengan Long Gaffar kerana memiliki "kain Cindai" yang bernama "Cepa Melaka" yang dimiliki oleh Long Gaffar. Sebenarnya kain cindai tersebut dipinjamkan oleh Long Gaffar semasa lawatannya ke Kota Kubang Labu, kebetulannya pada masa ketiadaan Long Pandak. Puteri Neng Mas telah dibunuh dengan kejam, dimana mayatnya telah dibelah perut dan diikat di atas belakang gajah yang bernama "Neng Malai" yang dihadiahkan oleh oleh Raja Legeh. Peristiwa inilah yang membangkitkan kemarahan Raja Reman dan Raja Legeh.
Kekaburan Sejarah Kelantan
 
Terdapat pihak yang mengatakan terdapat penyelewengan yang berkaitan dengan fakta sejarah negeri ini. Pendedahan yang telah dibuat menyebabkan ada pihak yang terasa. Penyelewengan itu dikatakan bermula dengan terbitnya buku "Ringkasan Cetera Kelantan" oleh Dato’ Perdana Menteri Nik Mahmud Bin Ismail sebelum tahun 1950-an. Penyelewengan fakta ini dipercayai dilakukan secara terancang dan berterusan ini terbukti dengan terbitnya buku terbaru sejarah Kelantan iaitu "Iktisar Sejarah Kelantan" yang kemudiannya diiklankan di dalam majalah "Pengasuh" keluaran MAIK.


Dikatakan, ramai yang tidak menyedari bahawa selepas kejatuhan "Kota Lubang Kubu" akibat Perang Kota Lubang Labu II pada tahun 1762 di antara Long Mohamad yang memerintah Kota Lubang Labu dengan Long Gaffar (Long Gaffar merupakan Raja Muda Negeri Reman dan bukannya anak pembesar Reman seperti yang didakwa di dalam buku di atas), negeri ini kemudiannya telah diperintah oleh Long Gaffar dan keturunannya.

Pusat pemerintahan utama semasa pemerintahan Long Gaffar di Negeri ini ialah di Kota Limbat, Peringat dan pada masa yang sama seorang tokoh iaitu Long Yunus (anak Long Sulaiman) yang merupakan sahabat baik Long Gaffar yang dianggap sebagai adik oleh baginda Long Gaffar. Lalu Long Yunus telah diberikan kuasa memerintah oleh Long Gaffar dari kawasan Pasir Tumbuh hingga ke Padang Garung, dan seterusnya hingga ke Kuala Kemasin dan Di sebelah Baratnya hingga ke Bukit Tanjung (Narathiwat). Walau bagaimanapun, segala keputusan dan kuasa sebenar berkaitan pentadbiran dan kes-kes jenayah adalah terletak di bawah bidang kuasa Baginda Long Gaffar di kota Limbat. Peristiwa ini yang menyebabkan munculnya nama "Kelantan", yang dikatakan berasal dari perkataan "Negeri yang Dikerat Lintang" antara Raja yang memerintah iaitu baginda Long Gaffar yang berpusat di Kota Limbat dengan Long Yunus dan sempadannya ialah Pasir Tumbuh.

Fakta tersebut dikatakan cuba diselewengkan oleh pihak-pihak tertentu di Kelantan dengan memutarbelitkan peristiwa (menyatakan Long Yunus yang beri kuasa kepada Long Gaffar) bertujuan bagi memperkecilkan dan seterusnya menghapuskan peranan Long Gaffar dalam lipatan sejarah Kelantan sedangkan dalam perang tersebut, dipercayai Long Gaffar berjaya berperang dan mengalahkan Long Mohamad yang dibantu oleh Long Deraman.

Semasa pemerintahan baginda Long Gaffar dan keturunannyalah, telah terlaksana Hukum Hudud di Kelantan. Di antara tokoh yang terlibat dan menjadi tempat rujukan dan nasihat bagi perlaksanaan hukuman ini ialah Haji Nik Ismail Limbat (Tok Baruh) yang merupakan keturunanan Raja Jambu Patani yang asal. Keturunannya kemudian mengasaskan pondok Bukit Abal dan salah seorang dari keturunannya muncul sebagai tokoh agama yang terkenal iaitu Tuan Guru Haji Daud Bukit Abal.

Pemerintahan keturunan Long Gaffar di Kelantan berakhir selepas peristiwa pemberontakan Tok Janggut pada tahun 1915 iaitu semasa pemerintahan Tengku Besar Jeram iaitu Tengku Besar Tuan Ahmad yang memerintah di Jeram, Pasir Puteh. Peristiwa yang membawa kepada kejatuhan pemerintahan keturunan Long Gaffar ini dipercayai mempunyai kaitan dengan keengganan mengiktiraf pengaruh Inggeris dan Siam di negeri Kelantan. Akibat mainan politik penjajah Inggeris dan Siam, para keturunan Long Yunus kemudiannya diiktiraf sebagai pemerintah Kelantan.

http://ms.wikipedia.org/wiki/Sejarah_Kelantan

Sunnah Tidur Tengahari Dan Penemuan Semasa

Tidur siang pernah dianggap sebagai salah satu tanda kemalasan. Islam menganggapnya sebagai suatu kebaikan asalkan seseorang itu tidak berlebih-lebihan dengannya.

Di dalam kitab 'Misykatul Masabih' disebutkan tentang salah satu amalan sunnah yang pernah dilakukan oleh Nabi:

"Tidur yang sedikit di waktu tengahari (qailulah) tidaklah keji.Rasulullah ada melakukannya."

Imam Al Ghazali di dalam kitab 'Ihya Ulumuddin' telah berkata:

"Hendaklah seseorang tidak meninggalkan tidur di siang hari kerana ianya membantu ibadah di malam hari sebagaimana sahur membantu puasa di siang hari. Sebaik-baiknya ialah bangun sebelum tergelincir matahari untuk solat zohor."

Islam mempunyai pandangan tertentu tentang tidur tengahari. Ia dianggap sebagai sunnah dan bukan sebagai suatu yang keji. Tidurnya hanya sekejap. Tujuannya adalah untuk kesegaran tubuh badan agar dapat dimanfaatkan untuk melaksanakan amal dan ibadah yang berkualiti. Dewasa ini, berpandukan kajian-kajian saintifik, tidur sekejap di waktu siang (day napping), terutamanya pada waktu tengahari, didapati amat berkesan untuk mempertingkatkan tenaga, tumpuan dan akhirnya produktiviti pekerja-pekerja. Baru-baru ini satu kajian 25 tahun tentang kesan tidur ke atas negara-negara industri dan pasca-industri telah mendapati bahawa "92.5% pekerja-pekerja yang berkesempatan tidur di waktu tengahari, mempunyai daya kreativiti yang lebih tinggi. Daya kemampuan mereka untuk menyelesaikan masalah juga meningkat. Semua ini pastinya meningkatkan produktiviti." (Napping News: 'Scientific Proof Confirms: Napping Enhances Worker Productivity,' from eFuse)

Waktu tengahari merupakan masa yang paling sesuai untuk tidur seketika kerana sistem badan kita memang bersedia untuk memanfaatkan fasa tidur pada waktu itu. Fasa ini disebutkan sebagai 'a midafternoon quiescent phase' atau ' a secondary sleep gate.' Di antara tokoh-tokoh yang menggalakkan tidur tengahari ini ialah Dr. William A. Anthony, Ph.D. dan Camille W. Anthony, pengarang buku 'The Art of Napping at Work.' Demikian juga yang disebutkan oleh David F. Dinges dan Roger J. Broughton di dalam buku mereka 'Sleep and Alertness: Chronobiological, Behavioural and Medical Aspects of Napping.' Dr. James Maas, pakar tidur dari Cornell University juga telah merumuskan bahawa tidur di tengahari sekadar 15-20 minit sudah mencukupi untuk mengembalikan tenaga dan menjaga kesihatan. Seorang pengkaji yang lain, Donald Greeley, telah mengatakan bahawa tidur tengahari adalah bermanfaat selama mana ianya tidak melebihi satu jam. (Gail Benchener: 'Parents and Sleep Deprivation,' Family.com)

Sunnah tidur tengahari yang diajarkan Nabi rupa-rupanya merupakan suatu yang amat saintifik lagi relevan pada hari ini.

JALINAN KASIH SAYANG NABI DAN SAHABAT

RASULULLAH s.a.w. meninggalkan kota Makkah dalam suasana dihambat oleh rasa kebencian dan permusuhan sebahagian besar penduduknya. Berbeza dengan ketibaan Nabi s.a.w. di Madinah, baginda disambut oleh penduduknya yang ramah mesra dengan perasaan kasih sayang. sifat mahabbah penduduk Madinah menjadi penawar hati baginda yang tercalar oleh sikap permusuhan dan kebencian penduduk Makkah terhadap baginda. Sayang dan benci, dua sifat perasaan yang bertentangan, kedua-duanya merupakan naluri insan yang dikurniakan oleh Allah SWT. Sekalipun ia bertentangan antara keduanya, namun ia tetap memberi manfaat kepada manusia. Ada sayang yang memberi manfaat dan boleh mendatangkan pahala atau dosa, kebencian juga begitu, memberi manfaat kepada manusia dan kadangkala mendatangkan bencana dan dosa. Sayang kena pada tempatnya akan mendatangkan kebajikan dan pahala, sebaliknya kebencian yang kena pada tempatnya juga mendatangkan kebajikan dan pahala.

Kebencian penduduk Makkah terhadap Nabi s.a.w. merupakan tindakan yang tidak kena dan melampaui batas, lebih-lebih lagi terhadap insan yang sebaik Muhammad s.a.w., seorang yang dilantik oleh Allah SWT sebagai Nabi dan utusan-Nya di muka bumi ini. Kebencian penduduk Makkah terhadap Nabi s.a.w. sememangnya tidak berasas, ia bukan saja mendatangkan kesukaran terhadap mangsanya malah bagaikan menempa petaka dalam kehidupan mereka di dunia lebih-lebih lagi di akhirat.

Penduduk Madinah telah meletakkan rasa hormat dan kasih sayang tepat pada tempatnya, iaitu terhadap Nabi dan Rasulullah. Seorang yang dipilih dan di asuh secara langsung oleh Allah SWT, untuk memikul tanggungjawab memimpin manusia ke arah kebenaran yang bersumberkan wahyu Ilahi.

Justeru itu, apabila penduduk Madinah mendapat tahu bahawa Nabi s.a.w. yang paling mereka sayangi telah tiba di Madinah, maka mereka keluar beramai-ramai menyambut ketibaan seorang yang paling dimuliakan dengan nasyid-nasyid dan syair-syair yang memuji-muji Nabi s.a.w.. "Tola'al Badru 'Alaina, Min tsaniyyatil Wada'ei, Wajabasy Syukru 'Alaina, Mada'a Lillahi Da'ei" Mereka menyifatkan Nabi s.a.w. ibarat bulan purnama yang menerangi kehidupan mereka di Madinah, justeru itu wajiblah mereka bersyukur ke atas Allah SWT yang memperkenankan harapan mereka.

Puji-pujian yang terbit dari hati murni penduduk Madinah, bukanlah suatu lakonan, seperti lakonan umat di zaman mutakhir yang mengadakan perarakan menyambut perayaan Maulidur Rasul, pada ketika yang sama mereka tidak menghargai langsung syariat dan hukum-hakam yang dibawa oleh Nabi s.a.w.. Lidah mereka memuji Nabi s.a.w., pada masa yang sama mereka tetap mengagungkan undang-undang Barat. Bernasyid di majlis sambutan Maulidur Rasul sekadar tradisi atau budaya, bukan sebagaimana penduduk Madinah yang merasa amat bersyukur dengan ketibaan Nabi s.a.w. yang menerangi hidup mereka dengan syariat Islam.

Sikap yang ditunjukkan oleh penduduk Madinah yang dikenali sebagai kaum 'Ansar', mendedahkan kasih sayang mereka terhadap Nabi s.a.w. begitu mendalam, melimpah dari hati penduduk Madinah sama ada lelaki atau perempuan semua peringkat umur. Mereka sanggup menunggu ketibaan Nabi s.a.w. sejak pagi hingga di tengah panas terik tengah hari. Selepas itu mereka pulang dan berazam untuk berdiri semula di tepi jalan pada keesokan harinya, bagi menunggu lagi ketibaan orang yang dikasihi Nabi Muhammad s.a.w..

Sebaik saja mereka melihat dari kejauhan ketibaan Nabi s.a.w. yang ditemani oleh Abu Bakar, maka kata-kata sanjungan terhambur dari lidah mereka bergema memenuhi ruang angkasa Madinah kerana terlalu gembira dapat menatap wajah Nabi s.a.w.. Sebaliknya Nabi s.a.w. juga sangat menyayangi kaum Ansar Madinah, seimbang dengan kasih sayang yang telah ditunjukkan oleh mereka.

Banyak bukti yang menunjukkan para sahabat dari kalangan Ansar sangat menyayangi Nabi s.a.w., ia dapat dilihat sejak pertama kali penduduk Madinah menemui Nabi s.a.w. semasa menunaikan haji. Mereka telah mengadakan bai'ah untuk mengikat kesetiaan, untuk mempertahankan Nabi s.a.w. sekiranya terdapat ancaman dari musuh, ketika Nabi s.a.w. telah sampai ke Madinah kelak. Mereka akan pertahankan Nabi sebagaimana mereka mempertahan kaum keluarga mereka sendiri dari ancaman musuh.

Sebaik saja Nabi s.a.w. sampai ke Quba, penduduk madinah berebut-rebut mempelawa Nabi singgah dan menginap di rumah mereka. Seorang sahabat dari kalangan Ansar iaitu Abu Ayub yang merasa amat bertuah apabila unta Nabi berhenti didepan rumahnya. Abu Ayub dan isterinya amat bersyukur kepada Allah SWT yang telah menganugerahkan tetamu ke rumahnya seorang Nabi yang agung.

Rasa sayang dan hormat Abu Ayub sekeluarga terhadap tetamu agungnya itu dapat dilihat melalui cara Abu Ayub meraikannya. Beliau memiliki rumah dua tingkat, Nabi s.a.w. tetamu agungnya itu ditempatkan ditingkat atas. Beliau berbuat demikian kerana merasa tidak wajar tetamu yang mulia itu seolah-olah ditempatkan di bawah tapak kakinya.

Abu Ayub dan keluarganya makan lebihan makanan yang dihidangkan kepada Nabi s.a.w.. Selain ingin mendapatkan keberkatan dari baki makanan yang telah disentuh oleh Nabi s.a.w., tetapi Abu Ayub juga melakukannya atas dorongan perasaan kasih terhadap Nabi s.a.w. yang sangat dimuliakan.

Banyak riwayat mengenai para sahabat yang berebut-rebut mendapatkan air dari basuhan wudhuk Nabi s.a.w., sehingga tiada air wudhuk baginda titis ke bumi kerana tangan para sahabat begitu rapat menyambutnya.

Ketika Nabi bermalam di rumah seorang muslimah bernama Ummi Sulaim, cuaca agak panas menyebabkan keringat baginda mengalir ke tikar yang dibuat dari kulit. Ummu Sulaim telah mengambil keringat baginda dan disapu ke tubuhnya untuk mendapat keberkatan di samping dorongan kasih sayang terhadap Nabi s.a.w..

Kalau begitulah keadaannya bertawasul dengan kesannya yang berbentuk benda, sedangkan Nabi s.a.w. tidak menghalangnya, maka yang demikian itu bererti mengambil berkat dari Nabi s.a.w., adalah suatu yang tidak bercanggah dengan Islam. Bagaimanapun untuk mendapatkan suatu keberkatan selain dari Nabi s.a.w., maka perlulah diperhati dan diteliti benar-benar keadaan orang yang diambil keberkatannya itu seorang yang soleh dan warak. Jika tidak, dikhuatiri ia akan menjadi suatu budaya yang berbentuk khurafat, atau kemungkinan terpedaya dengan orang yang berlagak soleh dan warak. Ada pihak yang mengatakan bahawa apa yang dilakukan oleh para sahabat itu hanya bersifat 'tabarruk' (mengambil berkat) semata-mata, dan bukannya 'tawasul'. Sebenarnya tabarruk dan tawasul itu dua kalimah yang berbeza tetapi dari segi istilahnya adalah sama. Di mana ada keharusan bertawasul atas perkara-perkara yang berhubung dengan Nabi s.a.w., maka di sana terdapat tabarruk iaitu keberkatan.

Sama ada tawasul dengan kebesaran Nabi s.a.w. atau dengan kesan-kesan Nabi (seperti air wudhuk dan peluh Nabi dan kain baju Nabi), ini adalah merupakan bahagian-bahagian tertentu yang termasuk dalam erti kata tawasul. Justeru tabarruk atau tawasul terhadap Nabi suatu yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam, dalilnya Nabi s.a.w. tidak melarang apa yang dilakukan oleh para sahabat, sedangkan ia berlaku di depan mata Nabi s.a.w. sendiri.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...