Saturday, December 4, 2010

Proses bina insan - Bergerak seiring

Oleh PROF. DR. SIDEK BABA

REMAJA dan proses bina insan adalah sesuatu yang bergerak seiring. Tidak mungkin ada penerus generasi sekiranya tidak ada remaja. Remaja hari ini adalah orang dewasa pada hari esok. Kualiti remaja hari ini menggambarkan kualiti negara pada masa depan. Aspek bina insan amat penting dijadikan keutamaan terhadap remaja hari ini supaya pembinaan dirinya berlaku secara seimbang dan harmoni.

Allah menjadikan remaja dengan tiga potensi atau tiga kekuatan. Pertama, Allah menjadikan akal membolehkan remaja berfikir. Hasil fikir menjadikan remaja tahu dan akhirnya berilmu. Allah menjadikan juga remaja memiliki potensi rohaniah. Daripadanya terdapat faktor hati, kalbu dan nafsu dalam diri remaja. Faktor hati membolehkan remaja berperasaan, kalbu membolehkan remaja membuat pertimbangan baik-buruk sesuatu, dan nafsu membolehkan remaja mengawal keinginan atau hajat.

Allah juga menjadikan remaja memiliki faktor jasmani. Daripada potensi jasmani membolehkan ia memiliki daya untuk bergerak dan melakukan sesuatu. Sama ada potensi akal, rohani atau jasmani, ia memerlukan didikan, asuhan, penyuburan supaya ia berkembang secara seimbang dan memantapkan lagi maksud bina insan yang menyeluruh.

Mengapa pendekatan membangunkan bina insan perlu menyeluruh. Ia disebabkan keperluan dan cabaran yang bakal dihadapi remaja sifatnya sedemikian. Contohnya remaja perlu memperkasakan akal menerusi latihan dan pendidikan kerana corak kemajuan dan perubahan hari ini memerlukan ilmu dan ketrampilan.

Tanpanya, remaja akan terpinggir daripada arus perubahan. Bangsa-bangsa yang maju berubah dengan kekuatan ilmu sains dan teknologi. Banyak faedah berbanding yang boleh remaja dapati apabila belajar di kalangan bangsa-bangsa yang maju.

Remaja harus bersikap terbuka untuk belajar ilmu orang lain di samping bersedia mengembangkan ilmu itu sesuai dengan acuan kita sendiri. Faktor ilmu-ilmu Islam pada masa lalu, menjadi sebab terbinanya tamadun di Barat.

Tidak salah kita mengambil ilmu-ilmu yang bermanfaat di Barat danTimur supaya umat Islam akhirnya memiliki kekuatan membangunkan tradisi ilmu dengan menampilkan keunggulan ilmu Islam dan mampu membina tamadun.

Remaja juga perlu memperteguh potensi rohani kerana corak cabaran hari ini banyak menguji kekuatan hati dalam membuat pertimbangan dan tindakan. Cabaran budaya popular hari ini umpamanya memerlukan kalbu yang teguh. Cabaran nafsu-nafsi dalam berbagai bentuk kini menghendaki kedudukan nafsu yang terkawal. Tanpa didikan dan asuhan berasaskan nilai-nilai agama, bayangkan apa akan jadi pada remaja yang subur dengan keinginan dan dorongan hawa nafsu kalau faktor rohaniah di tolak tepi.

Hal yang sama juga penting terhadap keperluan jasmani. Remaja yang tangkas dan perkasa adalah yang sentiasa menjaga kesihatan mental dan kesihatan dirinya. Bayangkan di kalangan remaja yang terlibat dalam amalan ketagihan dadah, kestabilan mental tidak ada dan ketangkasan fizikal juga merosot.

Ia mengakibatkan negara kehilangan sumber potensi yang amat berharga untuk menggerakkan mereka ke dalam sistem supaya sifatnya menyumbang bukannya beban kepada negara. Bayangkan berapa keturunan umat Islam bakal menanggung kerugian dalam proses pembinaan generasi, sekiranya yang terlibat dengan dadah dan yang mengidap penyakit AIDS/HIV semakin ramai dan jalan kembali amat terbatas.

Di sini perlunya pembinaan generasi muda atau remaja berjalan secara seimbang. Maksud seimbang dalam proses bina insan ialah penguasaan ilmu dan ketrampilan harus sama naik dengan pembinaan diri dan peribadi. Kurikulum atau ilmu yang dipelajari oleh remaja di sekolah atau di Pusat Pengajian Tinggi, harus mampu mengimbangi faktor agama, nilai, etika dan adab dalam pengertian yang luas supaya ia menjadi asas kepada setiap subjek yang diajarkan.

Pihak perancang pendidikan harus mampu mengolah perspektif nilai dan etika secara bijaksana. Umpamanya mengajar para remaja kemahiran matematik, harus didukung dengan nilai bahawa matematik tidak saja mengajar tentang angka dan kaedah kemahirannya tetapi dikaitkan dengan nilai ketepatan, keseimbangan dan tanggungjawab.

Apabila nilai Rabbani menjadi pedoman terhadap pengurusan kewangan, dengan sendirinya kualiti kerja akan dapat dipertahankan dan organisasi menjadi lebih produktif dan diyakini oleh pihak lain kerana faktor amanah, jujur dan ikhlas sentiasa menjadi pedoman terbaik dalam pengurusan.

Oleh itu strategi membangunkan remaja, seharusnya memberi keseimbangan yang baik antara membina ketahanan fizikal dengan rohaniah dan akal-fikiran. Sekiranya sesuatu bentuk latihan untuk para remaja hanya tertumpu kepada memperkasa fizikal, amat dibimbangkan proses bina insan ini tidak menjadi seimbang.

Zaman globalisasi ini ketangkasan minda amat dituntut. Oleh itu amat penting ketangkasan minda juga dipupuk supaya wujud perimbangan antara tindakan fizikal dengan kebijaksanaan akal. Kuasa-kuasa Barat sering menggunakan pendekatan strategik dalam mengatur dan melaksanakan sesuatu strategi.

Membangunkan sistem maklumat dan sistem telekomunikasi umpamanya, menuntut dibangunkan perisian dan program mengikut acuan mereka. Sekiranya di kalangan remaja tidak memiliki kewaspadaan mental dan intelek, minda remaja bakal dibentuk dengan acuan Barat. Tetapi apabila minda remaja ditangkaskan dengan nilai-nilai yang baik, para remaja menjadi lebih kritikal dan evaluatif. Ia bakal menyebabkan remaja lebih teliti dan berhati-hati dalam menggunakan sesuatu.

Hal yang sama juga perlu ada dalam strategi memperkasa rohani remaja. Mendidik agama dan nilai tidaklah dalam maksud yang pasif. Agama dan nilai adalah sesuatu yang hidup dan relevan dengan perkembangan zaman. Bagaimana faktor rohaniah menjadi faktor merangsang daya-juang, memperkasa jati-diri, pencetus keinsafan dapat dijadikan landasan membentuk watak remaja sehingga peribadi remaja terbina dengan watak 'ikan di laut masin'. Semasin mana persekitarannya, dagingnya tetap tawar atau dalam fahaman yang mudah ialah bagaimana hebatnya pengaruh persekitaran yang ada, peribadi remaja tetap utuh dan teguh.

Allah s.w.t. umpamanya menjadikan 'Bina Rijal' atau 'Bina Manusia' atau 'Bina Insan' sebagai perkara utama sebelum sistem dibangun dan diuruskan. Rasulullah s.a.w. menyebut pada zamannya baginda menghasilkan generasi yang cemerlang. Cemerlang di sini dirujuk kepada keteguhan akidah, kekuatan akhlak dan daya-juang tinggi yang dimiliki oleh para sahabat Nabi. Keunggulan peribadi sebegini tidak saja mampu meneruskan perjuangan Rasulullah s.a.w. tetapi menjadikan Kota Madinah sebagai model pembangunan yang seimbang, dan Model Madinah akhirnya mampu menjadi suluh terhadap pembangunan Baghdad, Baitul Hikmah dan Andalusia yang amat penting bagi pembangunan tamadun Islam dan tamadun umat manusia.

DR. SIDEK BABA ialah pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, Kuala Lumpur.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...