Tuesday, December 7, 2010

Pembahagian kerja yang rapi dan teratur

Lebah terdapat di serata tempat di dunia, melainkan Kutub Utara dan Kutub Selatan.

Pelbagai perkara telah dibicarakan orang tentang lebah. la kerap disebut sebagai contoh teladan yang baik-baik.

Kisah lebah juga terdapat dalam kitab-kitab suci seperti al-Quran. Serangga kecil ini, sejak zaman-berzaman telah menarik perhatian manusia melalui kisah-kisah yang menarik.

Mengikut kata orang tua-tua, banyak yang dapat dipelajari daripada lebah. Pepatah Arab mengatakan, daripada perut lebah yang kotor terhasil madu yang manis.

Fosil lebah yang ditemui di dalam ambar, dipercayai hidup kira-kira 80 juta tahun dahulu. Begitulah purbanya serangga luar biasa ini. Kini telah diketahui bahawa terdapat kira-kira 20 000 jenis lebah bertaburan di seluruh dunia. Lebah menghasilkan madu yang digunakan manusia sebagai makanan. Lebah juga menghasilkan lilin lebah yang digunakan untuk membuat barangan seperti bahan pelekat, lilin, dan kosmetik.

Lebah yang terbesar ialah Chalicodoma pluto, sepanjang 4 sentimeter, manakala lebah terkecil ialah lebah katik yang berukuran cuma satu sentimeter panjang.

Satu koloni lebah pula boleh mengandungi sehingga 60 000 ekor lebah. Lebah pekerja, yang tugasnya ialah mendapatkah nektar untuk dibuat madu, dapat terbang sejauh kira-kira 25 kilometer satu jam. la mengumpul nektar yang mencukupi untuk membuat 45 gram madu, sepanjang hayatnya. Lebah ini juga berupaya mengecam rasa sama ada manis, masam, masin, atau pahit.

Demikianlah antara keistimewaan serangga kecil ini.

Bunga-bungaan menyediakan makanan untuk lebah. Lebah mengutip debunga dan nektar daripada bunga. Lebah membuat madu daripada nektar ini, dan memakan kedua-dua madu dan debunga. Namun ketika berterbangan dari bunga ke bunga untuk mengutip debunga, lebah juga memindahkan debunga dari satu bunga ke satu bunga yang lain. Ini mengakibatkan pendebungaan. Banyak pohon, termasuk pohon buah-buahan dan sayur-sayuran bergantung kepada lebah untuk proses pendebungaan ini.

Para saintis percaya bahawa lebah memainkan peranan mencipta berbagai-bagai jenis bunga, dengan menaburkan debunga di kalangan pelbagai jenis pohon.

Satu hal yang amat mengagumkan tentang kehidupan lebah, ialah pembahagian kerjanya yang amat teratur. Masing-masing dengan tugasnya yang khusus. Satu-satunya tugas lebah ratu ialah mengeluarkan telur. Pada musim tertentu, lebah ratu mungkin melahirkan sebanyak 2000 biji telur sehari. Fungsi dron pula ialah untuk mengawan dengan ratu. Dron bergantung kepada lebah pekerja untuk memberi makan, kerana lidahnya tidak cukup panjang untuk mendapatkan nektar. Pada musim apabila terdapat kekurangan makanan, lebah pekerja berhenti menyuap makanan kepada lebah dron. Lebah dron dihalau keluar dari sarang, dan mati.

Lebah pekerja menjalankan berbagai-bagai tugas. Selama beberapa hari setelah menjadi dewasa, lebah pekerja bertugas menjaga kebersihan sarang. la juga bertugas memberi makan kepada anak-anak lebah yang sedang membesar. Kemudian, ia mula mengeluarkan lilin dan membina sel-sel indung madu. Siap sahaja sel-sel indung madu itu dibina, lebah pekerja akan mengawal pintu sarang sambil menerima nektar yang dikumpul oleh lebah-lebah lain. Apabila usianya meningkat tiga minggu, lebah pekerja mula berterbangan mencari makanan, sehinggalah ke akhir hayatnya.

Proses mencari makanan di kalangan lebah juga dilakukan dengan cara yang amat teratur. Bunga-bungaan menyediakan debunga dan nektar sebagai makanan lebah.

Lebah memerlukan debunga sebagai sumber lemak, protein, vitamin, dan mineral, manakala gula yang terdapat di dalam nektar pula merupakan sumber tenaga.

Sebelum lebah pekerja keluar mengambil nektar, sekumpulan lebah pekerja lain yang bertugas sebagai peninjau, akan keluar mencari tempat di mana terdapat banyak makanan. Setelah menemuinya, lebah-lebah ini akan kembali ke sarang dan akan mempersembahkan satu bentuk tarian. Tarian ini merupakan isyarat yang memberitahu kepada lebah-lebah pekerja yang lain, di mana sumber makanan itu berada. Tarian ini juga menunjukkan jarak kedudukan sumber makanan tersebut. Lebih cepat tarian terse-but, lebih hampirlah sumber makanan.

Lebah pekerja menyedut nektar bunga dengan menggunakan lidahnya yang panjang. Nektar ini kemudiannya disimpan di dalam perut madunya. Apabila perut madu ini telah dipenuhi nektar, ia akan kembali ke sarangnya. Di sana, ia akan meluahkan nektar tersebut melalui mulutnya. Nektar ini kemudiannya sama ada diserahkan kepada lebah pekerja yang lain, atau disimpan di dalam sel yang kosong. Lebah-lebah pekerja yang berada di dalam sarang akan menambahkan sejenis enzim kepada nektar tersebut.

Apabila air menyejat, nektar bertukar menjadi madu. Di samping madu, lebah juga meng-hasilkan lilin lebah. Pada perut lebah pekerja yang berusia kira-kira 10 hari, terdapat sejenis kelenjar yang meng-hasilkan lilin. Lebah-lebah ini memakan banyak madu dan kelenjarnya mengubah gula yang terdapat dalam madu tersebut menjadi lilin.

Lebah hanya mengeluarkan lilin apabila diperlukan untuk membina indung madu. Manusia pula mengambilnya untuk membuat lilin, gincu, pelekat, dan sebagainya.

Demikianlah lebah yang kehidupan-nya banyak memberi pengajaran kepada kita manusia seperti firman Tuhan di dalam al-Quran:

"Tuhan kamu telah mengilhamkan kepada lebah:

Buatlah rumah di atas bukit dan di atas pohon dan pada apa-apa yang mereka jadikan atap. Kemudian makanlah bermacam-macam buah-buahan dan laluilah Tuhanmu dengan mudah. Keluar dari perutnya madu yang berlainan warnanya, untuk menyembuhkan penyakit manusia.

Sesungguhnya pada demikian itu menjadi tanda bagi kaum yang memikirkannya."

(Surah 16: Ayat 68-69)

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...