Friday, December 24, 2010

Menangani Kekecewaan

Oleh Dr Jamaludin , Kosmo

Tiada siapa yang dapat lari daripada kegagalan hidup. tetapi yang membezakan kita ialah bagaimana kita berdepan dengan kegagalan itu.

Kekecewaan boleh berlaku bila apa yang kita ingini tidak diperoleh. Kenaikan harga barang yang mendadak menyebabkan seseorang tidak dapat menguruskan perbelanjaan dengan baik dan mengakibatkan masalah kewangan. Ada orang mencari jalan pintas untuk mendapatkan wang dengan cara meminjam dan sebagainya. Akhirnya menghadapi masalah hutang. Gagal dalam mengejar cita-cita juga boleh menimbulkan rasa kecewa.

Kecewa tidak mendapat apa yang diingini boleh merosakkan emosi dan fizikal. Kecewa kerana tidak ada peluang, tidak diberi peluang atau hilang peluang sangat menguji keinginan seseorang malah meluluhkan jiwa.

Kecewa inilah yang mengundang hidup yang tidak terurus dan dukacita berterusan. Allah mengingatkan kita dengan Firmannya : 'Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman' - Surah ali-Imran : 139

Bagaimana kita harus hadapinya? Sabar dan solat adalah kunci kepada ketabahan dan kejayaan. Solat adalah penguat jiwa yang lara, pengukuh ketahanan mental dan penyubur hati yang sedih.

Firman Allah: 'Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)' -Surah ali-Imran : 200.

'Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk'- Surah al-Baqarah: 45

Apa yang kita dapat daripada dugaan ini? Darjat keimanan akan meningkat. Begitu juga dengan adat dunia. Belajar daripada satu peringkat ke peringkat yang lebih tinggi. Jika lulus, barulah kita akan dibenarkan naik ke peringkat yang seterusnya.

Jika gagal, terpaksa mengulangi dan berusaha untuk lulus. Tegas Allah dalam firmannya: 'Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran, dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar' - Surah at-Taubah: 111.

GAGAL dalam peperiksaan boleh menimbulkan kecewa.

Jika berlaku demikian, kepada siapa kita harus berharap? Harapan adalah cita-cita, bukannya pemusnah hidup. Ramai orang yang keliru di antara harapan dan cita-cita. Mengharapkan bantuan Allah adalah pengukuh jiwa, penguat yang mengukuh tautan hati, mental dan fizikal hamba kepada Tuhannya.

Tidak ada apa yang dapat diharapkan selain daripada harapan yang sepenuhnya kepada Allah yang menguasai hati manusia. Firman Allah: 'Kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka katakanlah (wahai Muhammad): Cukuplah bagi Allah (yang menolong dan memelihara ku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, kepadanya aku berserah diri, dan Dialah yang mempunyai Aras yang besar'- Surah At-Taubah: 129.

Hidup, perlu diyakini adalah suatu ujian yang sangat hebat. Semakin kuat iman, semakin kuatlah ujian yang diterima. Banyak kisah yang kita lihat sendiri, kita dengar dan diceritakan betapa orang yang berjaya dalam hidup tidak pernah berputus asa.

Harapan mereka adalah bantuan daripada Allah, biar apa pun yang berlaku. Tidak pernah sekali-kali kecewa dengan rahmat Allah. Pesan Rasulullah yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas : 'Sesiapa yang banyak beristighfar, iaitu mengingati Allah serta memohon ampun daripadanya, dia dilepaskan Allah daripada segala kesukaran dan kesempitan, serta diberi rezeki daripada sumber-sumber yang tidak disangka'.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...