Saturday, December 4, 2010

Memperkasa peranan ‘tekno daie’

Oleh ZUARIDA MOHYIN

Artikel dari: http://www.utusan.com.my


SENARIO demi senario di asas menjadikan kita dalam situasi serba salah dan berbelah bahagi. Bak kata pepatah, ditelan mati emak, diluah mati bapa.

Apa tidaknya, perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) telah mencetuskan satu fenomena baru, seterusnya mewujudkan dunia tanpa sempadan.

Malah apabila kita membicarakan tentang penggunaan ICT, kita sebenarnya tidak boleh lari daripada pendedahan dunia Internet. Sistem inilah yang membuatkan perhubungan menjadi semakin pantas, canggih dan mencabar.

Sekali gus, memberi kesan yang besar kepada cara manusia berinteraksi dan berkomunikasi.

Penggunaan alat ICT pada hari ini bukan sekadar Internet dan komputer tetapi lebih daripada itu antaranya; perisian multimedia, power point, animasi, telefon bimbit, gerbang sesawang, jaringan sosial Internet, perpustakaan digital, permainan atas talian dan banyak lagi.

Lantaran itu, umat Islam seharusnya memanfaatkan perkembangan teknologi maklumat dan seterusnya mengambil pakai kecanggihan teknologi bagi menonjolkan ciri-ciri umat Islam yang mampu memahami keupayaan dan kaedah penggunaan ICT demi memakmurkan bumi.

Selain itu, mampu menyumbang pandangan serta membangunkan teknologi, bukan sekadar menggunakan teknologi itu secara membuta-tuli.

Walau bagaimanapun, dalam keghairahan kita menggunakan teknologi yang semakin canggih ini, seharusnya perlu dilihat kesan yang memudaratkan sekiranya pembangunan tidak mengikut acuan Islam yang betul.

Ini kerana persoalan eksploitasi ke arah kemudaratan jarang sekali mendapat perhatian banyak pihak.

Lantaran itu, dalam usaha mewujudkan generasi siber ummah, seharusnya aspek ini tidak dipandang sepi dan perlu diambil serius oleh para ‘tekno daie’.

Tidak hairanlah jika dikatakan perlunya golongan pendakwah yang menguasai ICT, memandangkan generasi zaman sekarang yang seolah-olah tidak boleh dipisahkan dengan teknologi.

Pegawai Penyelidik Pusat Sains dan Teknologi, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Norkumala Awang dalam kertas kerja bertajuk ‘Para Tekno daie dan Persoalan Technological Imperative’, mentakrifkan ‘tekno daie’ sebagai golongan pendakwah yang menggunakan teknologi untuk menjalankan kerja-kerja dakwah dengan menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Katanya, teknologi yang digunakan oleh pendakwah tidak terbatas hanya kepada skop ICT tetapi apa jua teknologi yang dapat dimanfaatkan dan digunakan oleh pendakwah demi kepentingan Islam itu sendiri.

Pendek kata, jelas beliau, golongan ‘tekno daie’ ini ialah sekumpulan individu yang mempunyai latar belakang yang berbeza tetapi mempunyai matlamat satu iaitu menyebarkan syiar Islam.

“Tetapi sayangnya, para teknologis atau saintis Muslim masa kini, tidak menyedari bahawa mereka juga sebenarnya tergolong dalam saf daie yang mampu membawa umat manusia menuju jalan Allah.

“Mereka yang memperlengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan semasa yang cukup juga tergolong sebaris dengan saf daei ini,” katanya pada seminar Memperkasa Peranan Teknodaie: Cabaran dalam Pembangunan dan Penggunaan ICT di IKIM, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambah Norkumala, kegagalan para pendakwah mendekatkan diri dan mempelajari teknologi menyebabkan kurang keberkesanan dalam aspek penyampaian serta kefahaman dakwah, sekali gus menjadi asbab kepada ketinggalan umat Islam.

Technological imperative dikatakan apabila sesuatu teknologi sudah mula berkembang, maka perkembangan ini tidak boleh dibendung atau dielakkan.

“Kita tidak mengawal teknologi tetapi teknologi yang mengawal kehidupan kita merupakan satu dakwaan yang terkandung dalam technological imperative.

“Apa yang boleh disimpulkan, kemunculan kepada teknologi baru ini mendesak dan memaksa kita sebagai pengguna untuk menerima perkembangannya tetapi sebagai seorang ‘tekno daie’, kita mempunyai pilihan untuk menentukan, sama ada penggunaan teknologi itu membawa kepada kebaikan atau kemudaratan.

“Di sinilah perlunya elemen ilmu yang berlandaskan al-Quran dan sunnah untuk menentukan pemilihan itu adalah yang terbaik untuk umat Islam secara amnya. Sebagai umat Islam kita perlu mengawal dan menguasai teknologi, bukannya teknologi mengawal kehidupan kita,” tegasnya.

Norkumala mengakui, umat Islam lebih kepada menjadi pengguna berbanding menjadi pencipta malah tabiat penggunaan teknologi ini, lebih cenderung kepada budaya negatif berbanding positif.

Beliau turut mengulas perihal cabaran yang perlu dihadapi oleh para ‘tekno daie’ dalam mengharungi arus kederasan teknologi maklumat iaitu perlu menguasai teknologi yang berlandaskan apa yang digariskan dalam Islam.

“Ia bukan sahaja mementingkan aspek keinsanan malah mengutamakan keihsanan. Aspek ini memberi keutamaan dalam hubungan manusia dengan Allah. Selain itu, kita juga perlu menjadi pengguna yang mahir dalam erti kata bagaimana mendidik mereka yang dekat dengan kita terlebih dahulu.

“Para ‘tekno daie’ juga perlu mempunyai pertahanan intelektual untuk menyahut cabaran dunia moden iaitu dengan memberi pemahaman jelas tentang Islam.

“Di samping itu, meningkatkan kemampuan masyarakat Islam untuk membina sistem jaringan maklumat yang canggih daripada sistem yang dicipta oleh Barat atau yang bermatlamat ‘jahat’,” jelasnya.

Pada seminar dua hari itu juga, Pensyarah Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Mohd. Farid Mohd. Shahran tidak menafikan kepentingan mengguna teknologi di dalam dunia pendakwahan.

Namun pada masa sama, tidak terlalu bergantung teknologi secara mutlak kerana katanya, suasana ekstrem ini sudah pasti menjadikan teknologi bukan lagi sepenuhnya menjadi pemudah kepada dakwah tetapi akan bakal menjadi penghambat dan penyebab kegagalan dakwah.

“Dalam dakwah, teknologi mungkin boleh membuka ruang kepada penyebaran maklumat mengenai agama secara lebih pantas dan berkesan. Pun begitu, adakah jumlah yang banyak dapat menjamin mutu kefahaman tentang agama,” soalnya.

Selain itu, kata Mohd. Farid, persoalan yang masih relevan untuk ditanya ialah mengapa dalam keadaan kemajuan teknologi membantu sistem pembelajaran agama, kadar keruntuhan akhlak dan kerosakan nilai dalam masyarakat Islam terutamanya, di kalangan generasi muda juga semakin tinggi?

“Bagi saya, di samping teknologi, apa yang lebih penting ialah kandungan dakwah itu sendiri. Adalah amat penting untuk para pendakwah memantapkan kefahaman mereka dengan mendalami ilmu dan mempunyai kejelasan dalam menyampaikan ilmu tersebut kepada orang lain,” tegasnya apa gunanya sekiranya kita mengunakan power point sedangkan kita tidak mempunyai powerful points.

Kertas kerja Mohd. Farid yang bertajuk, ‘Penyediaan Generasi Pendakwah Era Baru: Teknologi Sebagai Pemudah atau Penghambat?’ turut menegaskan bahawa ruang lingkup agama adalah lebih luas berbanding ruang lingkup sains (moden) yang hanya menekankan dimensi inderawi.

Hal-hal keagamaan seperti persoalan akidah, ibadah dan akhlak adalah mencakupi dimensi rohaniah yang tidak terjangkau oleh peralatan fizikal.

Contohnya, penggunaan teknologi maklumat (IT) seperti kemudahan jentera carian (search engine) melalui Internet, peralatan pandang dengar (audio visual) dan tele sidang, sudah pasti membantu pelajar untuk memperoleh pelbagai bahan-bahan ilmiah mengenai agama.

Namun, kefahaman sebenar mengenai hal-hal keagamaan terutama yang bersifat rohaniah, memerlukan kepada proses kemasukan ilmu jiwa Islam (Islamic psychology) dan teori ilmu Islam (Islamic epistemology).

Dengan maksud lain, proses kedatangan ilmu ke dalam diri bukan sahaja melalui pancaindera lahiriah tetapi juga pancaindera rohaniah.

Oleh itu, proses ini akhirnya berkait dengan persoalan adab menuntut ilmu dan penyediaan jiwa yang berada di luar kerangka teknologi.

Profesor dalam bidang Dakwah dan Media, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Zulkiple Abd. Ghani dalam kertas kerja bertajuk, ‘Adab-adab berdakwah dahulu dan Era ICT: Antara Kelainan dan Persamaan’, menjelaskan dua perkara pokok bagi membincangkan adab berdakwah dahulu dan dalam zaman ICT adalah faktor masa dan ruang.

“Kenyataan bahawa ‘Islam sesuai di sepanjang masa dan di sebarang tempat’ serta pemikiran tentang adanya aspek tetap dan fleksibel memberi kelebihan kepada Islam untuk berfungsi sebagai agama yang benar sehingga hari akhirat.

“Dalam konteks pengunaan teknologi terutamanya media baru yang menggabungkan media penyiaran, komputer dan satelit, aspek yang tetap dan yang fleksibel masih tetap berperanan,” katanya pada sesi satu seminar.

Tambahnya, berdakwah dahulu dan dalam zaman ICT kini, dari segi asas kewajipannya dan kerangka metodologi adalah sama. Ia bergerak dalam kerangka metodologi asas iaitu secara berhikmah, maui’zah hasanah (memberi nasihat dan peringatan) dan mujadalah al-husna (melibatkan aspek perbahasan, perbincangan, muzakaran dan perdebatan).

Malah matlamatnya juga sama iaitu ke arah mentauhidkan Allah, mendapat kebahagiaan hakiki dan menyebarkan kesejahteraan di atas muka bumi.

“Oleh itu, menggunakan ICT bagi tujuan dakwah dengan adab-adab yang tinggi adalah tuntutan ajaran agama dan ia adalah sebahagian daripada proses ke arah pencapaian peradaban atau dari sudut lain, dianggap sebagai peningkatan kepada ‘kualiti hidup’.

“Mana-mana masyarakat yang mengabaikan anugerah ICT akan ketinggalan. Begitu juga jika pembangunan ICT tidak menuju kepada sebuah peradaban, masyarakat tersebut juga tetap akan rugi,” katanya.

Menurut Zulkiple, adalah jelas berdakwah khususnya di zaman ICT menuntut kefahaman yang tinggi di kalangan pendakwah untuk menguasai kemahiran-kemahiran kandungan dan teknik.

Apa yang dapat beliau simpulkan menerusi kertas kerjanya iaitu adab berdakwah dahulu dan sekarang masih bergantung kepada manhaj rabbaniyyah yang digariskan oleh Allah SWT dalam surah al-Nahl ayat 125 iaitu dakwah secara hikmah, mauizah al hasanah dan mujadalah bil-husna. Ia masih tetap relevan walaupun dalam persekitaran siber.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...